Anda di halaman 1dari 2

Tujuan Pembentukan Malaysia

Menurut Zulhilmi Paidi dan Rohani Abdul Ghani (2003), terdapat tujuh faktor atau tujuan yang
memainkan peranan yang penting bagi Tunku Abdul Rahman membuat cadangan pembentukan
Malaysia. Salah satu tujuan penubuhan Malaysia adalah untuk mengelakkan ancaman dan pengaruh
komunis terutama di Singapura. Pengaruh komunis mula menyusup masuk ke dalam parti yang
memerintah Singapura sejak tahun 1959, iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew.
Perkembangan negatif ini membimbangkan Tunku Abdul Rahman kerana beliau khuatir Singapura
akan dikuasai oleh komunis dan keadaan ini boleh mengancam keselamatan Tanah Melayu yang
berjiran dengan Singapura. Oleh itu, Tunku Abdul Rahman berpendapat dengan penubuhan Malaysia,
pengaruh komunis akan dapat menyekat penyebaran pengaruh komunis di Singapura.

Penubuhan Malaysia juga memberi kemerdekaan dengan segera kepada Sabah, Sarawak,
Singapura dan Brunei. Ini memandangkan negara-negara berkenaan masih berada di bawah
penjajahan British semasa cadangan penubuhan Malaysia ini ditimbulkan. Dalam hal ini, Sabah dan
Sarawak diletakkan dalam status negeri jajahan, manakala Singapura dan Brunei diletakkan sebagai
negeri naungan. Dalam perancangan, penubuhan Malaysia akan ditubuhkan dalam tempoh dua
tahun. Tetapi jika Sabah dan Sarawak cuba mencapai kemerdekaan secara berasingan, besar
kemungkinan kemerdekaan itu tidak akan tercapai biarpun dalam tempoh lima tahun ataupun
sebaliknya. Jadi dengan menyertai Malaysia, kemerdekaan Sabah dan Sarawak boleh disegerakan.

Melalui Persekutuan Malaysia, negara-negara anggota akan dapat mengadakan kerjasama


ekonomi dan perdagangan untuk faedah bersama. Secara tidak langsung, negar-negara anggota
yang kaya dengan sumber ekonomi seperti minyak boleh membantu negara-negara anggota yang
miskin dan kekurangan sumber ekonomi sekaligus ia dapat meningkatkan pembangunan ekonomi,
terutama di Sabah dan Sarawak yang masih belum maju dari segi ekonominya. Sebagai contoh,
Tanah Melayu kaya dengan sumber bahan mentah, Brunei pula kaya dengan sumber minyaknya.

Penubuhan Malaysia juga bertujuan untuk membela masyarakat bumiputera di Sabah dan
Sarawak. Nasib masyarakat di sabah dan Sarawak tidak sama dengan nasib masyarakat di
Semenanjung Tanah Melayu, terutama golongan bumiputera. Kebanyakan jawatan-jawatan penting
di wilayah-wilayah tersebut dipegang oleh orang asing. Sebahagian besar penduduk pula terlibat
dalam sektor pertanian dan penggunaan tanah hanya pada kadar 3% sahaja. Jika kedua-dua wilayah
digabungkan ke dalam Persekutuan Malaysia, layanan istimewa yang diberikan kepada penduduk
bumiputera Sabah dan Sarawak adalah lebih besar. Malahan, kedudukan dan keistimewaan
Bumiputera telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Penubuhan Malaysia juga untuk menjaga kepentingan dan hak kaum bumiputera. Menurut
Tunku Abdul Rahman, gagasan pembentukan Malaysia perlu menggabungkan wilayah-wilayah
Borneo seperti Sabah, Sarawak dan Brunei bukan hanya terhad kepada Tanah Melayu dan Singapura
Sahaja. Jika Tanah Melayu dan Singapura sahaja bercantum, ini akan menghilangkan majoriti
penduduk Melayu. Ini kerana Singapura mempunyai 80% penduduk bukan Melayu dan apabila
dicantumkan dengan penduduk Persekutuan Tanah Melayu, penduduk bukan Melayu akan menjadi
golongan terbesar dalam penubuhan Malaysia.

Penubuhan Malaysia juga bertujuan untuk mengahpuskan penjajahan British dengan kadar yang
segera. Desakan supaya tanah jajahan di bawah naungan British dilepaskan telah dikemukakan oleh
Perdana Menteri Sir Harold Macmillan semasa beliau berada di Afrika pada tahun 1960. Selepas
Perang Dunia Kedua tamat, satu demi satu negara di Asia Tenggara menuntut kemerdekaan (Fuziah
Shaffie, 2000). Adalah wajar Britain menarik diri secara terhormat dan mengembalikan pemerintahan
kepada pemerintah tempatan untuk memerintah dan membentuk sebuah negara sesuai dengan
kehendak mereka. Di samping itu, usul Bangsa-Bangsa Bersatu yang diluluskan oleh Perhimpunan
Agung 1960, turut menyeru penamatan penjajahan di seluruh dunia (B. Simandjuntak, 1945-1963).

Anda mungkin juga menyukai