Anda di halaman 1dari 4

ARKIB : 08/09/2012

ASEAN hadapi cabaran besar


Oleh NIZAM YATIM
pengarang@utusan.com.my

PADA 8 Ogos lalu, Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara


(ASEAN) merayakan hari ulang tahun ke-45. Sambutan pada
tarikh itu diadakan secara berasingan di 10 negara anggota
iaitu Brunei, Indonesia, Filipina, Thailand, Singapura,
Myanmar, Kemboja, Laos, Vietnam dan Malaysia.

Di Malaysia, sambutan diadakan di Dewan Serbaguna Wisma


Putra, Putrajaya yang dihadiri oleh Timbalan Menteri Luar,
Senator A. Kohilan Pillay dan duta-duta dari negara ASEAN.

Sekretariat ASEAN di Jakarta pula mengadakan majlis


melepaskan belon yang turut dihadiri oleh Setiausaha
Agungnya, Surin Pitsuwan dan program sama turut diadakan
di Rumah Tetamu Kerajaan di Hanoi, Vietnam yang dihadiri
Menteri Luar negara itu, Pham Binh Minh.

Langkah meraikan ulang tahun itu memang kena pada


masanya kerana telah banyak kejayaan dicapai ASEAN
termasuk dalam mengukuhkan ekonomi negara anggota
dengan pembentukan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN
(AFTA).

Pembangunan ekonomi dapat dilaksanakan dengan pesat


berikutan wujudnya keamanan dan kestabilan di rantau Asia
Tenggara apabila setiap negara anggota berpegang kepada
prinsip untuk bersatu dan bersahabat seperti yang
diperlihatkan menerusi 10 tangkai padi yang terdapat pada
logo rasmi ASEAN.

Sebelum ASEAN ditubuhkan, rantau berkenaan agak


bergelora dengan pelbagai konflik antaranya konfrontasi
antara Indonesia dan Malaysia serta Perang Vietnam pada
1960-an.

Dengan wujudnya ASEAN, hubungan negara-negara di rantau


itu semakin baik dan masing-masing cuba memberi
sumbangan bagi meningkatkan kerjasama terutama dalam
bidang ekonomi, politik dan sosial.

Semangat saling bekerjasama itu telah membolehkan konflik


sempadan antara Thailand dan Kemboja berhubung kuil
Preah Vihear pada 2011 diselesaikan dengan baik.

Isu tuntutan bertindih seperti Pulau Sipadan dan Ligitan


antara Malaysia dengan Indonesia pada 2002 dan Pulau Batu
Putih antara Singapura dan Malaysia pada 2008 juga berjaya
diselesaikan secara harmoni dengan masing-masing akur
dengan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Sikap saling percaya mempercayai juga cukup terserlah


apabila Myanmar yang dilanda Taufan Nargis pada 2008
sehingga ratusan ribu nyawa terkorban hanya bersetuju
menerima bantuan ASEAN dan menolak bantuan
antarabangsa lain.

ASEAN juga berjaya memujuk Myanmar agar melaksanakan


reformasi politik sehingga membolehkan pilihan raya awam
dilaksanakan dan ikon demokrasi negara itu, Aung San Suu
Kyi aktif berpolitik.

Berdasarkan sejarah, ASEAN ditubuhkan pada 8 Ogos 1967


oleh lima pemimpin iaitu Menteri Luar Indonesia, Adam
Malik; Filipina (Narciso R. Ramos); Malaysia (Tun Abdul
Razak Hussin); Singapura (S. Rajaratnam) dan Thailand
(Thanat Khoman) di Bangkok, Thailand.

ASEAN melengkapkan keanggotaannya menjadi 10 negara


apabila Brunei menyertainya pada 1984, Vietnam (1995), Laos
dan Myanmar (1997) serta Kemboja (1999).

Jika Timor Leste menjadi anggota terbaru, maka bilangan


keanggotaan ASEAN akan meningkat kepada 11. Namun,
setakat ini tiada sebarang kata putus terhadap permohonan
dari negara yang merdeka dari Indonesia pada 2002.

Dengan jumlah 10 anggota sekarang, ASEAN mempunyai lebih


558 juta penduduk. Bilangan yang ramai dan ekonomi kukuh
sepatutnya membolehkannya mempunyai kuasa tawar-
menawar yang tinggi.
Bagaimanapun, ketika menyambut usia yang ke-45, ASEAN
tidak dapat lari daripada pelbagai cabaran baru antaranya isu
status kerakyatan etnik Muslim Rohingya yang tidak diiktiraf
kerajaan Myanmar.

Jika isu ini tidak ditangani dengan baik, ia sudah pasti


merenggangkan hubungan Myanmar dengan negara-negara
Islam dalam ASEAN.

Cabaran lain adalah penghijrahan pendatang tanpa izin,


pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah, lanun dan
jenayah rentas sempadan.

Isu terbesar sudah pasti berkaitan kegagalan ASEAN


mencapai kata sepakat berhubung tuntutan pulau-pulau di
Laut China Selatan yang melibatkan Malaysia, Filipina,
Vietnam dan Brunei dengan China.

Sewaktu Persidangan Menteri-Menteri Luar yang diadakan di


Phnom Penh, Kemboja pada 6 hingga 13 Julai lalu, tuan
rumah yang juga Pengerusi ASEAN mengambil sikap memihak
kepada China apabila mahu isu itu diselesaikan secara
bilateral dan bukannya melalui platform ASEAN.

Ini bermakna Phnom Penh berpendapat negara yang


mempunyai isu tuntutan tersebut perlu berunding dengan
China secara bersendirian tanpa melibatkan ASEAN.

Pendirian Kemboja disanggah oleh Filipina dan Vietnam yang


mahukan isu diselesaikan menerusi platform ASEAN sama
seperti pertikaian kuil Preah Vihear.

Inilah kali pertama sepanjang sejarah 45 tahun


penubuhannya, ASEAN gagal mencapai kata sepakat.

Sikap berpihak Kemboja dan sikap berdiam diri Myanmar


serta Laos yang mempunyai hubungan rapat dengan Beijing
berhubung isu itu membuatkan ASEAN berada dalam dilema
bagaimana untuk mencapai kata sepakat seperti yang telah
diamalkan sekian lama.

Mengulas perkara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman


dalam satu kenyataan berkata, kegagalan mencapai kata
sepakat itu harus menjadi peringatan kepada ASEAN untuk
memperkukuh dan mengekalkan barisan yang bersatu padu
demi menghadapi cabaran masa depan.

"Tidak ada pilihan lain untuk kita kecuali untuk bersatu,"


katanya.

Oleh itu, untuk kekal relevan sudah sampai masanya negara-


negara anggota kembali kepada sikap asal yang cuba
diterapkan pemimpin pengasas ASEAN yang berkumpul di
Bangkok pada 1967.

Sikap itu adalah untuk memberikan keutamaan kepada


negara anggota dan tidak membiarkan negara luar campur
tangan bagi memporakperandakan perpaduan ASEAN.

Negara-negara ASEAN harus sedar bahawa dengan bersatu


sahaja mereka dapat berdepan dengan China yang semakin
agresif menuntut pulau-pulau yang dianggap miliknya
berasaskan faktor sejarah dan bukannya berdasarkan
peruntukan undang-undang antarabangsa.

Anda mungkin juga menyukai