Anda di halaman 1dari 4

Kemerosotan Kerajaan Monghul di India Disebabkan Oleh Kelemahan Dasar Pemerintahan.

Bincangkan

Pendahuluan
o Kerajaan Moghul diasaskan oleh Zahiruddin Muhammad Baber pada tahun 932H/ 1526M apabila
tenteranya berjaya mengalahkan Sultan Ibrahim Lodi, sultan Delhi terakhir dalam peperangan di
Panipat.
o Kejayaan ini merupakan langkah awal ke arah penubuhan empayar Moghul. Kerajaan Moghul
berjaya memerintah India selama hampir 342 tahun bermula 932H/1526M hingga 1274H/1858M.
o Pemerintahan kerajaan Moghul dapat dibahagikan kepada dua tahap iaitu tahap pertama zaman
kegemilangan iaitu zaman pemerintahan Baber hingga Aurangzeb. Tahap kedua adalah zaman
kemunduran bermula sejak kematian Aurangzeb hingga jatuhnya kerajaan Moghul ke tangan
British.
o Pemerintahan Moghul pada umumnya mengamalkan permusatan kuasa (centralization) dan
pentadbiran wilayah.

Isi-isi utama

1. Pemerintahan bersifat autokratik mutlak


o Kerajaan Moghul mengamalkan pemerintahan autokratik mutlak. Kuasa penuh hanya dimiliki
oleh maharaja. Oleh itu, segala kejayaan dan kemajuan sesebuah negeri bergantung kepada
diri seseorang maharaja itu.
o Pemerintahan kerajaan Moghul dan Barbur hingga Aurangzeb merupakan maharaja-
maharaja yang cekap dan berwibawa. Namun, pemerintah Moghul yang berikutnya terdiri
daripada maharaja yang lemah dan hanya menjadi simbol sahaja.
o Mereka menyerahkan semua pentadbiran negara kepada para menteri dan pegawai istana
yang dilantik maharaja.
o Oleh itu, timbul pelbagai persengketaan, perebutan kuasa, penyelewangan dan rasuah yang
membawa kepada kemerosotan pemerintahan kerajaan Moghul.

2. Kelemahan sistem penggantian raja


o Ketiadaan suatu peraturan yang tetap dan jelas mengenai pelantikan putera mahkota
mendorong berlakunya perebutan kuasa di kalangan putera-putera maharaja Moghul
o Setiap kali kemangkatan seseorang maharaja, maka timbullah sengketa merebut takhta
pemerintahan kerajaan Moghul yang mengakibatkan kelemahannya.
o Kesan pengaruh budaya lama India yang mengutamakan putera sulung sedikit sebanyak
masih mencengkam pemikiran sesetengah golongan. Justeru, didapati kebanyakan putera
sulung raja akan menggunakan kedudukannya itu sebagai alasan untuk mendapatkan takhta
kerajaan.

1|Page
o Akan tetapi disebabkan tiada suatu peraturan khusus yang menetapkan sistem ini
(primogeniture) mesti dipatuhi, maka ternyata putera-putera lain (adik-adik) merasa keberatan
untuk menyerahkan takhta kepada abang sulung semata-mata atas dasar adat atau budaya.
o Adat ini masih sukar diterima oleh putera-putera lain kerana tiada peruntukan undang-undang
yang mewajibkan mereka akur kepada keputusan tersebut.
o Percakaran yang berlaku di antara pewaris-pewaris takhta menyebabkan mereka sanggup
menggadaikan kestabilan negara demi kepentingan peribadi. Dengan kata lain, mereka
sanggup berperang sesama sendiri semata-mata kerana ingin membolot kuasa.
o Meskipun telah ada nasihat yang diberikan tentang bahaya pergaduhan sesama sendiri
seperti wasiat Aurangzeb terhadap anak-anaknya, mereka tetap menolak gagasan
perkongsian kuasa yang dicadangkan dan memilih jalan untuk berperang.

3. Perebutan kuasa di kalangan pembesar dan pegawai kerajaan


o Pada permulaan kerajaan Moghul, kaum bangsawan memainkan peranan yang penting
dalam pentadbiran samada pada masa perang atau damai.
o Situasi ini mula berubah dalam fasa akhir pemerintahan kerajaan Moghul. Para pembesar,
bangsawan dan pegawal lebih bersikap mengutamakan kepentingan diri dan melakukan
pelbagai perbuatan khianat yang mengancam keselamatan negara.
o Di samping itu, kaum bangsawan telah berpecah kepada tiga golongan iaitu Irani, Turani dan
Hindustan. Ketiga golongan ini bersengketa dan bersaing untuk kepentingan masing-masing
yang akhirnya merosakkan keutuhan negara. Contohnya, serangan golongan syiah pimpinan
Nadir Syah dan Ahmad Syah Dunari di barat daya terhadap karajaan Moghul dan seorang
pemimpin golongan Irani bernama Sa'adat Khan menyebelahi musuh kerana cemburu
terhadap seorang Turani yang dinaikkan pangkat oleh maharaja.

4. Kelemahan dalam pentadbiran termasuk penyalahgunaan kuasa


o Isu keadilan dalam pentadbiran terutama dalam pengagihan peluang-peluang pekerjaan dan
ekonomi (kronisme) amat ketara serta diamalkan secara berleluasa oleh kebanyakan
pemerintahan di India.
o Malah amalan ini telah mendorong berlakunya amalan rasuah di kalangan orang yang
berkuasa. Sebagai contoh, Maharani Nur Jahan secara terangan menganugerahkan jagir
(tanah anugerah) kepada ketua-ketua tentera serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan demi
mendapatkan sokongan mereka dalam meluluskan rancangannya untuk melantik anak
bongsu Jahangir iaitu Putera Shahriyar sebagai putera mahkota Moghul bagi menggantikan
Shah Jahan, putera mahkota asal, yang dipecat oleh Nur Jahan atas sebab-sebab tertentu.
o Penyalahgunaan kuasa seperti ini sebenarnya berlaku dalam kebanyakan kerajaan di India
dan menjadi sebab utama dalam merangsang pemberontakan dan peperangan.
o Dalam aspek populasi bangsa, disebabkan India didiami oleh berbagai kaum dan etnik
seperti Arab, Parsi, Turki, Afghan dan pribumi asal negara itu, maka pemberian jagir yang
kurang teliti selalunya menimbulkan masalah ketidakpuasan hati di antara penduduk

2|Page
setempat kerana masing-masing kaum merasakan kumpulan mereka lebih patut dapat lebih
daripada kumpulan lain atas pelbagai alasan.

5. Kelemahan struktur ketenteraan


o Kelemahan struktur organisasi tentera di peringkat pusat menyebabkan maharaja terpaksa
bergantung kepada gabenor wilayah untuk mendapatkan bantuan ketenteraan.
o Ini bermakna pihak pemerintah pusat telah memberi kuasa penuh kepada gabenornya untuk
menguruskan hal ehwal ketenteraan tanpa sebarang kawalan.
o Oleh sebab itu, terdapat ketidak seimbangan yang ketara antara organisasi ketenteraan di
peringkat wilayah di seluruh India.
o Situasi ini secara tidak langsung telah mencetuskan perlumbaan di kalangan gabenor
wilayah untuk meningkatkan jumlah anggota tentera sebanyak mungkin demi kepentingan
masing-masing. Demi memiliki angkatan tentera yang besar dan kuat, seseorang gabenor itu
sudah tentu mempunyai kedudukan yang istimewa di hati maharaja kerana ia boleh memberi
bantuan yang berkesan kepada pemerintah pusat apabila diperlukan.
o Malah, tidak kurang pula gabenor yang bertindak menentang pemerintah pusat bila mana ia
merasa tidak berpuas hati tentang sesuatu perkara.
o Sepanjang pemerintahan Islam di India, peristiwa gabenor menentang pemerintah pusat
bukan sesuatu perkara yang luar biasa. Kadang kala mereka sanggup bekerjasama dengan
wilayah Rajput (Hindu) untuk mencapai cita-cita peribadi. Pasukan tentera kerajaan Moghul
juga dipengaruhi dengan kehidupan yang mewah. Sebagai sebuah empayar yang
bergantung keutuhannya kepada pedang (penaklukan), maka kerajaan itu akan lemah jika
pedang itu tidak diasah dan dibiarkan berkarat.

6. Pemerintahan kerajaan pusat tunggal dan kekurangan kemudahan pengangkutan


o Empayar Moghul yang begitu luas tidak dapat ditadbir melalui satu pusat pemerintahan yang
tunggal kerana kekurangan perhubungan jalan raya dan kenderaan.
o Jajahan-jajahan yang jauh sukar ditadbir. Maka jajahan-jajahan itu kurang mendapat
perhatian dari kerajaan pusat.
o Situasi ini akhirnya membawa kepada perpecahan wilayah dan timbulnya usaha-usaha
pengasingan dari kerajaan pusat.
o Dengan kelemahan ini, menyebabkan perpecahan empayar Moghul dan menggalakkan
serangan dari luar. Jajahan-jajahannya beransur-ansur merdeka daripada kerajaan pusat.

7. Dasar terhadap penganut agama lain


o Polisi kebanyakan pemerintah Moghul yang dikatakan menindas golongan Hindu dan Syiah
dalam pelbagai aspek kehidupan.
o Dalam hubungan ini, hanya maharaja Akbar sahaja yang mendapat sanjungan daripada
masyarakat Hindu lantaran sikapnya yang bertoleransi dengan penganut agama lain.

3|Page
o Dasar pemerintahan Maharaja Aurangzeb yang kurang toleransi terhadap agama dan
penganut Hindu menimbulkan rasa kurang senang di kalangan orang Hindu. Akibatnya, kaum
Rajput, Sikh, Jat dan Maratha bangun memberontak terhadap kerajaan Moghul.
o Sikap Aurangzeb yang menimbulkan kemarahan kaum Hindu Rajput menyebabkan beliau
hilang sokongan dan taat setia daripada golongan ini yang sangat terkenal dengan
keberanian dan kegagahan mereka mempertahankan keutuhan Empayar Moghul.
o Oleh itu, kerajaan Moghul telah kehilangan bantuan daripada pelbagai penganut agama yang
pada masa lalu banyak memberi jasa dalam pentadbiran negara. Yang paling ketara,
serangan golongan Maratha yang bergerak cergas di bahagian selatan dan menakluki negeri
demi negeri serta melakukan keganasan hingga ke pintu kota Delhi. Akibatnya, pentadbiran
negara beransur-ansur lemah dan akhirnya membawa kepada kejatuhan empayar Moghul.
o Namun, sebenarnya perjuangan golongan Moghul adalah berorientasikan politik, bukan
berorientasikan agama. Memang tidak dinafikan terdapat pemimpin Moghul yang memberi
perhatian serius terhadap perkara berkaitan agama tetapi perjuangan asal mereka bukan
berasaskan agama. Oleh sebab itu, tindakan buruk mereka bukan tertumpu kepada golongan
Hindu sahaja. Ramai orang Islam sendiri, khasnya golongan syiah, malah kaum kerabat
pemerintah sendiri menerima nasib malang akibat kekejaman para pemerintah. Dan tidak
kurang pula orang Hindu yang mendapat nikmat daripada pemerintah.

8. Kelemahan menguruskan perbendaharaan negara


o Polisi maharaja Aurangzeb memerangi suku Maratha menyebabkan berlakunya kemerosotan
kewangan negara. Ini menjejaskan aspek pentadbiran negara.
o Apabila kerajaan berada dalam keadaan yang tidak stabil dan ekonomi pula merudum, maka
rusuhan begitu mudah berlaku kerana rakyat tidak sabar lagi melihat kepincangan terus
berleluasa dalam masyarakat.
o Hakikat ini terbukti dalam zaman akhir pemerintahan Moghul, khususnya selepas
kemangkatan Aurangzeb di mana rusuhan telah berlaku secara serentak di seluruh negara
hingga maharaja yang memerintah menjadi panik dan tiada berupaya untuk berbuat apa-apa
selain menuruti apa sahaja yang dikehendaki oleh para perusuh.

Kesimpulan
o Sejak kemangkatan Maharaja Aurangzeb, maka kekuatan kerajaan Islam Moghul mulai merosot.
o Sedikit demi sedikit Empayar Moghul telah ditakluki oleh musuh, khasnya penjajah British.
Maharaja terakhir kerajaan Moghul, Bahadur Syah telah dibuang negeri ke Burma.

4|Page

Anda mungkin juga menyukai