Anda di halaman 1dari 10

No 1

1.0 PENDAHULUAN
Empayar Mughal merupakan antara sebuah kerajaan Islam yang besar di wilayah India.

Kewujudan dan pencapaian empayar Mughal dianggap permata dalam tamadun Islam dan

disifatkan setara dengan tamadun Islam di al-Andalus ketika era Umawi, Baghdad ketika era

Abbasi dan Turki ketika era Uthmani.1 Malah, penubuhannya yang diasaskan oleh Babur

pada tahun 1526 M dilihat sebagai satu langkah untuk mewujudkan kerajaan Islam di benua

Asia bagi menyaingi kekuatan Kerajaan Uthmaniyyah pimpinan Salim I, Kerajaan

Safawiyyah pimpinan Shah Ismail dan Kerajaan Uzbek ketika itu.2

Mughal berdiri seperempat abad selepas berdirinya kerajaan Safawi, dan dianggap antara

kerajaan yang termuda.3 Mughal merupakan kerajaan di anak benua India, dengan Delhi

sebagai ibu kotanya yang berkuasa antara tahun 1526-1858 M. Moghul di India didirikan oleh

Zahiruddin Muhammad Babur (1482-1530 M), salah satu cucu daripada Timur Lenk dari

etnik Mongol yang berketurunan Jengis Khan.4 Penguasaannya ke India dimulai dengan

penundukan penguasa setempat iaitu Ibrahim Lodi dengan Alam Khan dan gabenor Lohere.

Agama rakyat Moghul adalah Islam. Empayar ini bukanlah kerajaan Islam yang pertama di

India akan tetapi sebelumnya sudah berdiri beberapa kerajaan kecil Islam.

Seperti mana yang diketahui, kegemilangan sesebuah kerajaan atau empayar akan dimulai

dengan kebangkitan sesebuah empayar, proses perluasan pengaruh, zaman kegemilangan dan

akhirnya kejatuhan empayar. Sama seperti empayar Moghul, ia turut melalui perkara yang

sama. Terdapat pelbagai faktor yang membawa kepada kejatuhan empayar ini iaitu faktor

dalaman (politik, ekonomi dan sosial) dan luaran yang akan dibincangkan secara lebih

mendalam dalam esei ini.

1
Hamka, (2006), Sejarah Umat Islam, Singapura: Pustaka Nasional Pte. Ltd., hlm. 500.
2
Kulke. H. & Rothermund. D., (2004), A History of India, New York: Routledge, hlm. 196.
3
Badri Yatim, (2008), Sejarah Peradaban Islam Dirasah Islamiyah II, Jakarta: Rajawali Pers, hlm. 145.
4
Siti Maryam, (2002), Sejarah Peradaban Islam, Yogyakarta: LESFI, hlm. 184.
1.1 Asal Usul Empayar Moghul

Empayar Moghul merupakan kelanjutan dari kesultanan Delhi. Agama Islam masuk

ke India dianggarkan pada abad ke-7 M melalui perdagangan. Hal ini menunjukkan satu bukti

bahawa sebelum kerajaan Moghul berdiri, masyarakat India sudah mengenal Islam. Perkara

ini dapat dilihat di kota Delhi adanya sebuah bangunan masjid yang di bangun oleh

Qutubuddin Aybak pada tahun 1193 M, sedangkan kerajaan Moghul berdiri pada tahun 1526

M. Dapat dikatakan bahawa empayar ini sebagai penerus Islam sebelumnya di India.

India menjadi wilayah Islam pada zaman Umayyah iaitu semasa pemerintahan

Khalifah al-Walid. Penaklukan wilayah ini dilakukan oleh pasukan Umayyah yang dipimpin

oleh panglima Muhammad Ibn Qasim. Kemudian pasukan Ghaznawiyah di bawah pimpinan

Sultan Mahmud mengembangkan kedudukan Islam di wilayah ini dan berjaya menaklukkan

seluruh kekuasaan Hindu dan mengadakan pengislaman sebahagian masyarakat India pada

tahun 1020 M. Setelah Ghaznawi hancur, muncul beberapa dinasti kecil yang menguasai

negeri India seperti dinasti Khalji (1296-1316 M), dinasti Tuglag (1320-1412 M), dinasti

Sayyid (1414-1451 M), dinasti Lodi (1451-1526).5

Selama empayar Moghul, ia sempat dipimpin oleh beberapa orang raja. Raja-raja yang

sempat memerintah adalah Zahiruddin Babur (1526-1530), Humayun (1530-1556), Akbar

(1556-1605), Jahangir (1605-1627), Shah Jahan (1627-1658), Aurangzeb (1658-1707),

Bahadur Syah (1707-1712), Jehandar (1712-1713), Fahrukhsiyar (1713-1719), Muhammad

Syah (1719-1748), Ahmad Syah (1748-1754), Alamghir II (1754-1760), Syah Alam (1760-

1806), Akbar II (1806-1837 M), dan Jahandar Syah (1837-1858).6

5
Harun Nasution, (1985), Islam Ditinjau dari Berbagai Aspeknya, Jilid I, Jakarta: UI Press, hlm. 82.
6
Hamka, hlm. 500.
2.0 ISI PERBINCANGAN

Faktor-Faktor Kemerosotan dan Kejatuhan Empayar Moghul

Setiap empayar atau kerajaan sememangnya akan mengalami kemerosotan dan ada

juga yang runtuh secara mendadak. Para sarjana mempunyai pendapat yang tersendiri

berkaitan dengan faktor keruntuhan sesebuah empayar. Menurut Ibn Khaldun, sesebuah

tamadun atau empayar dapat disamakan dengan usia seorang manusia yang akan melalui

tempoh kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua. Menurut Arnold J. Toynbee (1935) pula,

kejatuhan tamadun atau empayar berpunca daripada dekadensi moral. Apabila rakyat terlalu

leka dan alpa menyebabkan moral manusia semakin lemah. Secara keseluruhannya, kejatuhan

sesebuah tamadun atau empayar itu disebabkan oleh kegagalan manusia untuk berpegang

teguh kepada agama, mengalami kemuflisan moral, ketidakadilan, tidak bersikap mesra

dengan alam, bencana alam dan penindasan terhadap rakyat. Tidak dinafikan juga faktor-

faktor lain seperti faktor kemunduran dari aspek keilmuan, kemiskinan, kejatuhan ekonomi

dan faktor penyakit juga boleh menyumbang kepada kemerosotan tamadun Faktor-faktor

yang membawa kepada kejatuhan empayar Moghul dapat diklasifikasikan kepada aspek

politik, sosial dan ekonomi.

2.1 Faktor Politik

Perebutan kuasa berlaku pada tahun 1658, iaitu ketika Aurangzeb menaiki takhta dan

beliau menjadi raja sehingga beliau mati pada Mac 1707 M. Beliau merupakan pemimpin

empayar Moghul terakhir yang terkuat.7 Beliau merupakan pemimpin yang soleh dan kejam

dalam memimpin Empayar Moghul dan dikenali sebagai seorang pemimpin yang berfikiran

7
Stanley Lane, (1906), History of India, London: The Grolier Society, hlm. 173.
cemerlang dalam pentadbirannya.8 Aurangzeb telah melancarkan peperangan dan

memenjarakan saudaranya sendiri selepas pengisytiharan beliau sebagai Maharaja Moghul

yang ke-6 di Agra. Hal ini demikian kerana, Aurangzeb terpaksa mengambil takhta daripada

abangnya iaitu Dara Shukor kerana beliau adalah berfahaman liberal yang mempunyai rasa

ingin tahu, intelektual dan toleransi agama yang lebih seimbang semasa pengakhiran

pemerintahan Shah Jahan.9 Syuja dan Murad pula tidak layak memegang jawatan tersebut

kerana sikap mereka yang suka berfoya-foya. Masalah ini telah membawa kepada perang

saudara antara pewaris-pewaris takhta kerajaan Moghul. Aurangzeb telah bertindak dengan

membuat pakatan dengan Murad untuk membunuh Dara Syukor dalam satu peperangan di

Samugarh (1658 M). Dara Syukor telah kalah dalam peperangan ini lalu bersembunyi dan

kehilangannya tidak dapat dijejaki. Seterusnya, Aurangzab telah bertindak memenjarakan

Murad kerana seorang yang pemabuk dan suka mengikut hawa nafsu.

Selepas Aurangzeb mangkat pada tahun 1707, empayar ini mula mengalami

perpecahan. Perebutan kuasa mula berlaku sesama pewaris Aurangzeb. Raja-raja pengganti

Aurangzeb merupakan penguasa yang lemah sehingga tidak mampu mengatasi kemerosotan

politik dalam negeri. Raja-raja sesudah Aurangzeb membawa kemunduran dan kehancuran

Mughal. Sepeninggalan Aurangzeb, takhta kerajaan dipegang oleh Bahadur Syah, putera

tertua Aurangzeb, iaitu seorang pengamal aliran Syiah. Pada masa pemerintahannya yang

berjalan selama lima tahun, ia berhadapan dengan peperangan bersama Sikh dan juga

penduduk Lahore kerana sikapnya yang terlampau memaksakan kepada ajaran Syiah.10

Bahadur Shah berjaya menguasai takhta selepas berjaya mengalahkan dua orang saudaranya

iaitu Azam Shah dan Muazzam. Bahadur Shah mesti dikreditkan dengan kedua-dua peribadi

beliau yang berhemah dan tidak menunjukkan sebarang perasaan dendam terhadap

8
Stanley Wolpert, (1993), A New History of India, New York: Oxford University Press, hlm. 157.
9
Ibid., hlm. 156.
10
S.M. Ikram, (1964), Muslim Civilization in India, New York: Columbia University Press, hlm. 254.
pemerintah pada ketika itu yang telah berpihak dengan saudara-saudaranya dalam beberapa

siri perang ringkas.11 Perang saudara yang berlaku ini menyebabkan Maratha, Sikh dan Rajput

mengambil kesempatan dan melakukan pemberontakan terhadap kerajaan Moghul.

Jahandar Shah menggantikan Bahadur Shah pada tahun 1712 M. Selepas perjuangan

untuk takhta dan melakukan pembunuhan beramai-ramai kaum kerabat dan akhirnya Bahadur

digantikan oleh anaknya Jahandar. Jahandar Shah adalah seorang yang lemah. Dalam tempoh

kurang daripada setahun berkuasa, beliau telah dibunuh oleh anak saudaranya, Farrukhsiyar.12

Atas bantuan tentera yang ramai, Farrukhsiyar telah berjaya menggulingkan Jahandar Shah

yang dianggap tidak bijak dalam pentadbiran dan seorang yang boros. Semasa

pemerintahannya, Jahandar mendapat tentangan daripada saudara beliau sendiri iaitu Azim-

Ush-Syah, Rafi-Ush-Syah dan Jahan Shah. Akibat perebutan takhta ini, mayat Bahadur Shah

telah dibiarkan begitu lama dan telah membuka peluang kepada kumpulan lain untuk campur

tangan dalam pemerintahan Moghul.

2.2 Faktor Ekonomi

Semasa pemerintahan Akhbar, ekonomi negara sangat kukuh. Pada zaman Jehangir

dan Shah Jahan pula dianggap sebagai zaman Golden Age kerana pembangunan yang pesat

tetapi hanyalah kepada perkara-perkara tertentu sahaja. Namun, ia mula berubah pada zaman

Aurangzeb kerana telah berlaku banyak perkara yang membawa kepada kemusnahan sistem

ekonomi dalam empayar ini. Lemahnya pengurusan ekonomi yang tidak dikelola secara baik

dan tersusun lantas telah menyebabkan krisis ekonomi yang tidak mampu menghadapi

perubahan global pada zamannya.13

11
Stanley Lane, hlm. 177.
12
Ibid., hlm. 178.
13
Syamsul Bakri, (2011), Peta Sejarah Peradaban Islam, Yogyakarta: Fajar Media Press, hlm. 158-159.
Dari segi ekonomi, Akbar telah membuat beberapa perubahan kerana banyak cukai

yang dikenakan sebelum itu dianggap membebankan rakyat. Justeru, beliau menghapuskan

cukai yang dikenakan ke atas golongan petani dan orang miskin, antaranya cukai penjualan

tanah, cukai penjualan ternakan, cukai garam, cukai pasar, cukai pakaian dan cukai pembelian

rumah. Beliau turut menghapuskan pelbagai jenis bayaran yang lazimnya dikenakan oleh

pegawai-pegawai tertentu ke atas rakyat.14 Demi memastikan layanan sama rata diberikan

kepada semua rakyatnya, Akbar telah menghapuskan cukai yang dikenakan ke atas

masyarakat Hindu. Antara cukai yang dihapuskan ialah cukai jizyah dan cukai kepada orang

Hindu yang ingin melakukan ziarah ke tempat suci mereka di Mathura.15 Penghapusan cukai

tersebut amat menggembirakan penganut Hindu dan beranggapan Akbar telah menghapuskan

sebarang bentuk diskriminasi ke atas mereka. Bagaimanapun, umat Islam, termasuk para

ulama, membantah penghapusan cukai tersebut dengan alasan cukai berkenaan dibenarkan

oleh syarak dan penghapusannya akan menyebabkan perbendaharaan negara semakin

berkurangan. Namun demikian, Akbar tetap melaksanakan pembaharuan tersebut demi

memastikan rakyatnya diberikan hak sama rata sekaligus menyatukan mereka di bawah

pemerintahan Mughal. Namun, hal yang sebaliknya telah berlaku apabila Aurangzeb mula

berkuasa. Aurangzeb telah bertindak memperkenalkan semula cukai jizyah. Pengenalan

semula cukai jizyah oleh Aurangzeb telah membawa kepada pemberontakan awal kepada

empayar ini.16 Semasa pemerintahan Aurangzeb, berlaku kerugian yang paling besar sehingga

menjadi faktor utama kejatuhan empayar Moghul iaitu disebabkan oleh peperangan. Kesan

peperangan telah memberikan gangguan kepada kestabilan ekonomi dalam empayar Moghul

akibat beberapa siri peperangan yang berterusan. Hal ini demikian kerana, Aurangzeb terlalu

14
Abdullah Ishak, (1992), Islam di India, Nusantara dan China, Kuala Lumpur: Nurin Enterprise, hlm. 57.
15
Gascoigne, (1971), The Great Moghuls, London: Constable, hlm. 81-82.
16
Jizyah merupakan cukai perlindungan yang dikenakan oleh kerajaan Islam terhadap orang bukan Islam yang
tinggal di negara Islam untuk menjamin keamanan dan keselamatan jiwa dan harta benda mereka.
Tujuan jizyah adalah sebagai gantian bagi usaha dan penat lelah yang dicurahkan oleh orang Islam bagi
melindungi mereka. Orang bukan Islam diwajibkan membayar jizyah mestilah mempunyai syarat-syarat seperti
sihat dari segi fizikal dan mental, lelaki, baligh, berkemampuan, sihat, dan merdeka.
ghairah untuk meluaskan empayar dan telah melupakan bidang-bidang lain seperti pendidikan

dan teknologi. Keghairahan ini semakin menjadi-jadi setelah baginda bergelar raja

menyebabkan Aurangzeb menyerang wilayah-wilayah di sekitarnya. Peperangan yang

berterusan berlaku di Selatan India telah meningkatkan perbelanjaan negara. Oleh itu, untuk

mengatasi masalah ini, Aurangzeb telah memperkenalkan semula cukai jizyah yang telah

dihapuskan oleh Akhbar. Penerapan jizyah ini kemudian mendapat kritikan keras dari

sebahagian besar sejarawan Hindu. Nilai cukai yang tinggi telah menyebabkan berlakunya

pemberontakan pada waktu itu.

2.3 Faktor Sosial

Semasa zaman pemerintahan Akhbar, dalam soal pentadbiran, beliau menganggap

semua rakyat adalah sama dari segi hak dan kedudukan tanpa mengira ras dan agama. Oleh

itu, Akbar merealisasikan pendapatnya dengan melantik bangsawan Hindu menduduki

jawatan penting yang melibatkan pembentukan dasar. Misalnya, Akbar telah melantik

Bhagwan Das, seorang putera raja Hindu di Amber sebagai panglimanya. Bahkan, Akbar

telah mengurniakan gelaran Amir al-Umara kepada Bhagwan Das disebabkan jasa beliau

yang membantu tentera Mughal mencapai kemenangan dalam beberapa peperangan.17

Namun, dasar yang digunakan oleh Akhbar adalah berbeza dengan dasar yang digunakan oleh

Aurangzeb. Aurangzeb tidak membenarkan orang bukan Islam memegang jawatan penting

dalam pentadbiran negara terutama yang berkaitan dengan perkhidmatan awam dan

ketenteraan. Beliau hanya melantik ramai orang Hindu memegang jawatan di peringkat

rendah sahaja. Kesannya, perkara ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan

orang bukan Islam pada waktu tersebut. Perbezaan agama dalam kalangan masyarakat ketika

itu telah memberikan satu kesan yang dingin. Semasa Aurangzeb berkuasa, Islam telah

diangkat menjadi agama rasmi negara. Aurangzeb juga telah mengamalkan dasar yang keras

17
Abdullah Ishak, hlm. 49.
kepada orang Hindu dan Sikh dan juga agama-agama yang lain. Corak pemerintahan ini

secara tidak langsung telah merenggangkan hubungan antara orang Islam dan Hindu

Selanjutnya untuk menegakkan kehidupan agama Islam di dalam masyarakat,

Aurangzeb berusaha menerapkan pola baru dengan mengangkat muhtasib (petugas pengawas

akhlak), yang mempunyai kuasa untuk mengawal perjudian, pelacuran, penggunaan dadah

dan minuman keras. Aurangzeb juga telah mengharamkan gundik yang sekian lama

bermaharajalela dalam dinasti Moghul. Seperti yang diketahui, ia telah menjadi amalan

golongan atasan untuk berhibur. Sebagai contoh, Jehangir yang sangat gemar akan arak,

wanita dan tarian yang menjadi tradisi maharaja sejak zaman berzaman.18 Dasar yang dibawa

oleh Aurangzeb ini telah berjaya membina dan membawa peradapan Islam di dunia Islam

sampai di puncaknya.19 Kesannya, hubungan antara orang Hindu dan Islam semakin

berkurangan.

Selain daripada faktor-faktor dalaman seperti politik, ekonomi dan sosial yang

dibincangkan di atas. Keruntuhan dan kemerosotan empayar Moghul turut dipengaruhi oleh

faktor luaran. Faktor luaran ialah melalui campur tangan British. Ratu Elizabeth dari Inggeris

sudah berusaha menjalin hubungan baik dengan India sejak pemerintahan Akbar lagi. Ratu

tersebut pernah meminta kepada Akbar agar Inggeris mendapat kesempatan yang sebanyak-

banyaknya untuk berdagang di India. Sejak tahun 1500-an lagi Inggeris telah mula melakukan

perluasan kuasanya untuk mencari daerah koloni agar mendapatkan rempah-ratus untuk

pasaran mereka. Orang Inggeris pertama yang tinggal di tanah besar India ialah Thomas

Stephens.20 Dengan menggunakan semboyan imperialisma kuno iaitu gold, glory dan gospel,

mereka mula mengawal daerah koloni untuk kepentingan mereka. Kedatangan British ke

18
Stanley Wolpert, hlm. 152.
19
Donald N. Wilber, (1964), Pakistan: Yesterday and Today, New York: Holt, Rinehart and Winston Inc., hlm. 59-
60.
20
P. E. Roberts, (1921), History Of British India, London: Oxford University Press, hlm. 21.
tanah besar India adalah untuk memonopoli kegiatan ekonomi. Ketika empayar ini makin

lemah, British mula mengorak langkah untuk mengukuhkan lagi kedudukannya. Inggeris juga

melebarkan pengaruhnya dalam politik dengan membentuk The East India Company (EIC).

Sehingga tahun 1830 M, EIC mengambil keuntungan dari kelemahan Dinasti Moghul dengan

mengambil alih kekuatan politik dan ketenteraan. EIC, seperti yang kita lihat ditubuhkan di

Madras sejak tahun 1940. Kilang atau gudang yang dibina di sebuah bandar ini telah

berkembang menjadi sebuah kilang yang berkubu di atas sebidang tanah yang dipajak.21

British juga banyak melakukan kekejaman dengan merampas harta rakyat sehingga

menyebabkan huru-hara, kemiskinan dan kelaparan. Akibat daripada ketidakpuasan hati

penduduk, pada tahun 1857 M telah berlakunya Pemberontakan Dahagi yang diketuai oleh

Bahadur Shah iaitu Raja Moghul yang ke-14 yang memerintah ketika itu. Pemberontakan ini

dilakukan bersama orang Islam dan Hindu. Walau bagaimanapun, kemenangan tidak berpihak

kepada penduduk India dan ini memberi ruang kepada kekuasaan British yang kemudiannya

mengumumkan seluruh tanah India jatuh ke dalam jajahan mereka.22 Akhirnya, pada tahun

1858, empayar Moghul dapat dihancurkan oleh British yang mendapat sokongan daripada

beberapa penguasa Hindu dan Muslim.

21
Percival Spear, (1972), India: A Modern History, Ann Arbor: University of Michigan Press, hlm. 187.
22
Abu Ali Al Banjari, (1992), Sejarah Perkembangan Islam Di India, Kedah: Khazanah Banjariyah, hlm. 133-135.
3.0 KESIMPULAN
Kesimpulannya, jelaslah bahawa, kejatuhan dan kemerosotan empayar Moghul adalah

berpunca daripada masalah dalaman kerajaan ini sendiri. Bermula dengan faktor perebutan

takhta daripada saudara-saudara sendiri sehinggalah faktor campur tangan pihak luar, dinasti

ini kian lemah sehingga ia lenyap dari muka bumi ini. Setiap faktor yang wujud telah

membawa kepada kelemahan terhadap empayar ini walaupun pada awalnya tidak

memberikan kesan yang begitu ketara yang membawa kepada kejatuhan empayar ini. Walau

bagaimanapun, dinasti ini juga sempat menikmati zaman kegemilangannya dengan kemajuan

dalam beberapa bidang seperti ekonomi, kebudayaan, agama, seni dan sebagainya. Kemajuan

yang dicapai oleh dinasti ini telah memberi inspirasi bagi peradapan dunia dari segi politik,

ekonomi dan sosial. Tonybee menyatakan bahawa setiap kebudayaan memiliki beberapa

tahap iaitu kebangkitan, perkembangan dan keruntuhan, dan dinasti Moghul telah melalui

zaman-zaman tersebut.

Anda mungkin juga menyukai