Anda di halaman 1dari 4

Alam dalam puisi

Corak hidup masyarakat dan bangsa Melayu pada zaman dahulu dicerminkan melalui
puisi lama seperti pantun dan peribahasa. Za’ba di dalam bukunya bertajuk Ilmu
Mengarang Melayu (1965: 219), mengatakan bahawa penciptaan pantun merupakan
puisi tertua dan milik asal kepunyaan masyarakat Melayu. Telah diterima umum bahawa
pantun adalah ciptaan asli orang Melayu. Ianya bukanlah adaptasi daripada puisi-puisi
Jawa, India atau Cina. Ini bermakna, pantun merupakan puisi asli yang dimiliki oleh
masyarakat Melayu serta paling awal muncul berbanding puisi yang lain (Harun Mat
Piah, 1989: 122).

Masyarakat Melayu lama akrab dengan alam iaitu alam tumbuhan, alam haiwan dan
alam cakerawala. Ini adalah disebabkan masyarakat pada masa tersebut sering
berinteraksi dengan alam yang berada di sekeliling mereka sama ada di laut, di hutan, di
bendang, di ladang dan di gunung. Harun Mat Piah (1989: 115) menjelaskan bahawa
penggunaan lambang-lambang daripada alam raya perlu diketahui untuk memahami
maksud pantun. Lantaran itulah pantun dikaitkan dengan alam semulajadi sebagai
perbandingan dan perlambangan yang berfungsi sebagai sumber pengajaran dan
nasihat. Berikut adalah contoh pantun yang memperlihatkan keakraban masyarakat
Melayu lama dengan alam semulajadi:

Buah cempedak di luar pagar


Ambil galah tolong jolokkan
Saya budak baru belajar
Kalau salah tolong tunjukkan

Penggunaan unsur  alam semulajadi seperti cempedak digandingkan dengan galah yang
menjadi alat kebiasaan digunakan untuk menjolok buah-buahan. Pemilihan kata untuk
kedua-dua baris pembayang dihasilkan dengan teliti sehinggakan dengan hanya
menyebutnya sahaja, khalayak dapat mengetahui dan memahami bahagian maksud
yang diujarkan pada baris ketiga dan keempat. Misalnya dengan hanya menyebut:

Buah cempedak di luar pagar


Ambil galah tolong jolokkan

Secara tidak langsung telah memperlihatkan unsur-unsur menyedari akan kelemahan


dan kekurangan diri dengan harapan memohon bantuan daripada pihak lain yang lebih
mampu. Buah cempedak sepertimana lazimnya, bercambah dari pangkal pokok
hinggalah ke dahan yang tinggi. Buah yang berada di bahagian luar pagar sudah pasti
tumbuh pada bahagian yang tinggi sehingga sukar untuk dicapai menggunakan tangan.
Apatah lagi sekiranya buah tersebut berada di halaman atau bahagian kebun orang lain,
maka perlu meminta keizinan terlebih dahulu untuk mengambilnya. Bantuan yang
diminta bukan dengan tangan kosong tetapi dengan huluran galah untuk memudahkan
orang yang menolong itu melaksanakannya.

Falsafah yang tersirat di sebalik pantun tersebut secara tidak langsung membawa
amanat tentang peri pentingnya sifat merendah diri yang perlu ada dalam diri setiap
insan. Selain itu, pantun tersebut memancarkan pemikiran masyarakat Melayu lama
yang amat menekankan aspek kesantunan dan budi bahasa dalam kehidupan seharian.
Budi adalah berhubung erat dengan jasa kerana jasa adalah berbudi (Harun Mat Piah,
1989: 469). Tidak mungkin seseorang individu dapat dianggap membuat jasa jika dia
tidak berbudi. Ianya juga sejajar dengan tuntutan ajaran Islam yang menekankan
hubungan baik antara sesama manusia.

Kebolehan seseorang pencipta pantun menggunakan lambang-lambang yang segar dan


berkesan di dalam pantun amat mengkagumkan (Harun Mat Piah, 1989: 132). Tidak
dapat dinafikan, hasil ciptaan pantun yang digunakan sehingga ke hari ini secara tidak
langsung memperlihat keakraban penciptanya dengan alam semulajadi. Mana mungkin
pantun dapat dicipta dengan sebegitu indah sekiranya para penciptanya tidak
menghayati unsur-unsur perlambangan yang digunakan.

Pantun dapat berfungsi dalam hampir setiap aktiviti kehidupan masyarakat Melayu
(Jamilah Hj. Ahmad, 1993: 114). Terdapat pelbagai jenis pantun yang mempunyai tema
tertentu berkait rapat dengan perasaan cinta, kasih sayang, puji-pujian, nasihat, agama,
adat, telatah dan corak hidup masyarakat. Tema yang ingin diketengahkan, disisipkan
dengan latar alam. Kerana alam itu indah, maka unsur-unsur alam diaplikasikan di
dalam setiap rangkap pantun. Sebagai contoh, masyarakat Melayu lama
mengaplikasikan unsur-unsur alam seperti buah bidara, selasih, buah berangan di dalam
pantun yang berkait rapat dengan luahan perasaan seseorang:

Nasi lemak buah bidara


Sayang selasih hamba lurutkan
Buang emak buang saudara
Kerana kasih hamba turutkan

Contoh lain:

Buah berangan masaknya merah


Buah keranji dalam perahu
Luka di tangan nampak berdarah
Luka di hati siapa yang tahu

Keakraban masyarakat Melayu dengan alam semulajadi turut dikesan dalam pantun
berikut yang menggunakan latar alam sebagai objek dan perlambangan:

Sayang Hanuman membelah bukit


Mencari ubat Seri Rama
Kasih sayang bukan sedikit
Jadi ingatan selama-lama

Pantun tersebut mengutarakan tema kasih sayang. Ianya secara tidak langsung
menggambarkan nilai kasih sayang yang tidak berbelah bahagi. Kasih sayang yang
diterima pula terpahat dalam ingatan hingga ke akhir hayat. Di dalam Hikayat Hang
Tuah umpamanya, digambarkan betapa kasihnya Sultan Melaka terhadap Hang Tuah.
Hal yang demikian adalah kerana budi Hang Tuah dan sahabatnya yang melindungi
nyawa baginda daripada angkara Patih Gajah Mada semasa berada di Majapahit. Kasih
Sultan Melaka terhadap Hang Tuah digambarkan sebagaimana berikut:

Hatta berapa lamanya raja Melaka kembali dari Majapahit itu, maka Laksamana pun
terlalu sangat amat kurnia raja dan kasih raja akan Laksamana. Barang kata Laksamana
kata rajalah, dan jika raja hendak membunuh, maka sembah Laksamana. “Tiada harus,
tuanku dibunuh orang ini,” tiadalah jadi dibunuh oleh raja. Hatta maka Laksamana pun
terlalu karib kepada raja, keluar masuk tiadalah berpintu lagi.

(Hikayat Hang Tuah, 1966: 168)

Berdasarkan penelitian terhadap pantun-pantun masyarakat Melayu lama, tidak dapat


disangkal bahawa penciptaannya memancarkan intipati pemikiran Melayu. Segala
pengalaman hidup, pandangan hidup dan falsafah yang ingin dikemukakan di dalam
pantun menggunakan latar alam sebagai pembayang. Unsur-unsur sedemikian secara
tidak langsung memperlihatkan keakraban masyarakat Melayu lama dengan alam
semulajadi. Ini diperkukuhkan dengan pandangan yang dikemukakan oleh Francois Rene
Daillie (1988: 6) sebagaimana berikut:

…this brief poem is an epitome of life and a universe in a grain of sand. It carried within
itself all the elements of the Malay man’s life: his land, his house, his garden, his paddy
field; the river, the sea or the forest; the trees, fruits, animals, birds, fishes; the few
simple things of everyday use, it expresses his customs and tradition, wisdom, beliefs
and feelings of all sorts, his love of man, woman and god.

Anda mungkin juga menyukai