Anda di halaman 1dari 10

KRITIK SOSIAL DALAM PANTUN MELAYU:

LAMBANG KETEKALAN MINDA

Pendahuluan

Pantun merupakan satu khazanah yang amat bernilai dalam dunia Melayu. Pantun memang tidak asing kepada
masyarakat Melayu. Secara langsung atau tidak langsung kita sentiasa bertembung dengan pantun. Saban hari kita
mendengar pantun, bahkan pelbagai bentuk rakaman yang memanfaatkan pantun sebagai seni kata lagu yang menarik
dan indah. Selalunya, seni kata lagu yang berbentuk pantun akan menjadi siulan para remaja (Zainal Abidin Bakar: 1984:
3). Pantun telah menjadi sebati dengan jiwa dan budaya masyarakat Melayu satu masa dahulu. Perubahan masa telah
menjadikan pantun semakin hari semakin jauh ditinggalkan. Anak-anak muda hari ini semakin melupakan pantun yang
menjadi sebahagian daripada amalan hidup masyarakat Melayu lama yang sentiasa mementingkan adab dan kesantunan.

Pantun adalah salah satu cabang puisi Melayu tradisional yang masih popular hingga ke hari ini. Ia tersebar luas
melalui pelbagai media seperti lirik lagu, majlis-majlis dan pelbagai upacara, misalnya majlis perkahwinan. Malah pantun
juga berkembang mekar di laman internet (ada pantun net) dan berbalas pantun dari seluruh dunia. Mengikut Muhammad
Haji Salleh (2006) terdapat kekreatifan baru dunia pantun dalam bentuk bercetak, lisan (radio), visual (televisyen) dan
dunia siber termasuk di internet dan yang tersebar melalui khidmat pesanan ringkas atau sms di seluruh dunia.

Sering juga diadakan pertandingan antara kelas, antara sekolah dan antara negeri. Malah pertandingan pantun
di Pesta Pantun Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan turut ditaja oleh pihak-pihak seperti Dewan Bahasa
dan Pustaka , RTM, Berita Harian. Pantun bukan sahaja hidup dalam majalah ilmiah sahaja, seperti Dewan Budaya,
Dewan Sastera dan Pelita Bahasa malah dalam majalah-majalah jenaka dan komik seperti Ujang dan Din Lawak. Pantun
juga menjadi media iklan, misalnya;

Kek lapis dan kuih bahulu,

Menjadi juadah di Hari raya;

Kalau puan-puan ingin tahu,

Semua perkakasan ada di IKEA.

(Utusan Malaysia 13 Oktober 2006 dalam iklan IKEA )

Melihat kepada keadaan ini, kita tidak bimbang tentang survival pantun. Ia bukan hanyasurvive tetapi
berkembang mekar. Walau bagaimanapun hal yang membimbangkan ialah tentangpenghayatan pantun. Masyarakat
mengucapkan pantun tetapi kurang menghayati maksud dan kata-kata yang digunakan menyebabkan nilai, maksud dan
falsafah yang tinggi itu tidak dikenali oleh masyarakat.

Masyarakat Melayu amat mementingkan keharmonian ketika berkomunikasi antara satu sama lain. Pada satu
ketika dahulu, pantun menjadi bahasa basahan yang digunakan sebagai alat komunikasi yang bertujuan menjaga air
muka pendengar atau orang yang dilawan bercakap.Melalui pantun, masyarakat Melayu berkias mengenai sesuatu secara
halus dan teliti agar setiap perkara yang ingin disampaikan akan diterima dengan baik oleh seseorang. Oleh sebab itu,
melodi dan pemilihan perkataan dalam pantun dibuat dengan begitu teliti. Ini memperlihatkan bentuk pemikiran
masyarakat Melayu yang sentiasa peka terhadap alam sekeliling dan menjadikan pantun sebagai satu lambang ketekalan
minda yang “tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan”.

Kehebatan dan ketepatan pantun sebagai satu alat kritik sosial yang digunakan oleh masyarakat Melayu
menunjukkan bahawa masyarakat Melayu mempunyai daya pemikiran yang begitu halus dan kreatif. Seperti mana
Laksamana Hang Tuah pernah berkata “tak Melayu hilang di dunia”, pantun juga harus dipelihara agar terus hidup dan
diamalkan dalam kehidupan masyarakat Melayu hari ini. Pantun dikarang untuk menyampaikan kritikan dan sindiran
terhadap sesuatu kepincangan yang berlaku dalam masyarakat. Kritikan dan sindiran ini amat tajam dan disampaikan
secara berlapik dan berkias, sesetengahnya dalam nada bergurau.

Melalui pantun terpancar budaya masyarakat Melayu tradisional yang tidak mengkritik secara berterus terang
tetapi secara halus. Kata-kata yang digunakan dalam pantun adalah lambang-lambang yang mengandungi makna yang
tersirat. Seperti kebanyakan karya Melayu tradisi, kita tidak mengetahui siapakah pengarang sebenar. Namun daripada
pantun yang kita warisi, terbukti bahawa pengarang pantun adalah pemikir yang amat tajam pemerhatiannya terhadap
alam dan masyarakat di sekeliling. Mereka peka terhadap segala yang berlaku lalu menyampaikan teguran dan kritikan
untuk membawa kebaikan. Pengarang pantun menggunakan perbandingan dan tamsilan seperti perumpamaan, metafora,
simile dan personifikasi yang kaya dengan imej alam. Imej-imej alam ini perlu ditafsir untuk mengetahui maksud sebenar
pantun.

Sesuai dengan ruang dan masa seminar, kertas ini akan membincangkan kritik sosial dalam pantun Melayu
dengan menumpukan kepada aspek percintaan, etika dan masyarakat, serta sifat buruk manusia yang sering dialami
dalam hidup manusia.

Percintaan

Sebahagian besar pantun yang terdapat dalam bahasa Melayu ialah pantun percintaan. Percintaan merupakan salah satu
hubungan yang terjalin sesama manusia. Dalam konteks kertas kerja ini akan dibicarakan pantun-pantun yang berupa
teguran atau kritik tentang tingkah laku manusia yang menyebabkan hubungan percintaan tidak berjalan dengan baik.

Tuai padi antara masak,

Esok jangan layu-layuan;

Intai kami antara nampak,

Esok jangan rindu-rinduan.

(Zainal Abidin Abu Bakar,1984: 247)

Pantun ini dipopularkan melalui lagu “Gurindam Jiwa” nyanyian Rafeah Buang dan R.Ismail dan dipetik daripada
filem yang juga berjudul “Gurindam Jiwa”( terbitan tahun 1966 lakonan Nordin Ahmad dan Latiffah Omar) . Pantun ini
membayangkan suasana percintaan atau hubungan yang masih erat. Namun begitu si kekasih berpesan kepada
pasangannya supaya “intai kami antara nampak” supaya “esok jangan rindu-rinduan”. Dengan pesanan ini si kekasih
sebenarnya memberi peringatan supaya pasangannya selalu mengintai, dalam erti kata selalu menjengok dan melihat
keadaannya. Ini juga membawa maksud mengambil berat untuk memastikan orang yang dijenguk atau diintai itu masih
ada ditempatnya dan berada dalam keadaan yang baik.
Dalam konteks perhubungan percintaan pantun membawa pesanan supaya jangan sesekali mengambil ringan
dan jangan mengamalkan sikap take for granted bahawa hubungan yang sedang berjalan dengan baik itu akan terus
kekal baik. Hubungan kasih mesti dijaga dengan sewajarnya. Jangan sampai si kekasih merajuk dan merasa dirinya tidak
dipedulikan. Jika si kekasih pergi membawa diri maka jangan sampai ia dirindu dibiarkan belalu pergi baru nak menyesal
baru nak cari. Jangan take for granted. Hal ini adalah penting demi menjaga hubungan kasih sayang.

Pembayang pantun menggambarkan keadaan alam iaitu padi dalam keadaan “antara masak”, Padi baru mula
masak dan ada antaranya yang belum masak. Dalam keadaan inilah petani mesti bersedia untuk menuai padinya kerana
jika ditunggu ada padi yang akan layu dan tidak sempat dituai. Padi mesti dituai semasa antara masak, iaitu dalam
keadaan antara masak dan tidak masak. Jangan biar atau tunggu kerana esok padi akan masak. Jika ditunggu sehingga
semuanya masak, kemungkinan tidak sempat mengetam atau menuai. Sebahagiannya akan layu ditangkai. Dari segi
falsafahnya pantun ini memberi penekanan kepada faktor masa dan peluang. Sesuatu yang berharga (iaitu hubungan
percintaan) mestilah dihargai sebelum ianya hilang atau sebelum terlambat.

Tuan ketam padi pulut,

Saya ketam padi Jawi;

Tuan berkata sedap di mulut,

Saya mendengar sakit hati.

(Zainal Abidin Abu Bakar,1984: 153)

Pantun ini memberi nasihat supaya berhati-hati dengan kata-kata. Hubungan percintaan juga boleh terjejas
akibat salah seorang tidak pandai mengawal kata-kata. Salah satu kesilapan yang diakukan oleh pasangan bercinta ialah
tidak berhati-hati dengan kata-kata. Apa yang dilafazkan mungkin menggores perasaan pasangannya. Secara amnya
seseorang tidak sepatutnya berkata sesedap hati tanpa menimbang akibatnya kepada orang yang mendengar,apatah lagi
bila berkata-kata dengan orang yang sentiasa mengharapkan kasih sayang. Hati mudah terluka lebih-lebih ketika dilamun
cinta dan mengharapkan kekasih akan membelai dengan kata-kata yang manis. Pembayang maksud menyentuh dua
perkara yang berbeza. Seorang mengetam padi pulut, seorang mengetam padi Jawi. Dari sini membayangkan bahawa
perbezaan adalah perkara biasa. Hal ini mudah membawa kepada perbezaan pendapat atau perselisihan faham.
Perbezaan ini juga seharusnya membuat kita sentiasa berhati-hati dan bersedia untuk memahami orang lain.

Mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan juga merupakan suatu penderaan. Penderaan tidak hanya terhad
kepada penderaan fizikal, tetapi juga penderaan psikologi iaitu menyakitkan seseorang dengan kata-kata. Dengan kata-
kata merupakan penderaan psikologi, bukan fizikal. Menyebabkan orang yang mendengar berasa sakit.

Burung jelatik sarang kedidi,


Sarang tempua sarang berjuntai;
Sungguhpun cantik sutera dipuji,
Belacu juga tahan dipakai.

( lirik lagu Pandang-pandang Jeling-jeling)

Pantun ini menjadi terkenal bila ia dinyanyikan dalam lagu “Pandang-pandang Jeling-jeling” (S.M.Salim/Siti Nurhaliza).
Pantun ini adalah teguran terhadap orang yang mementingkan kecantikan fizikal sedangkan kebahagiaan tidak terjamin
dengan rupa paras yang cantik semata-mata. Oleh itu janganlah terlalu memuji sutera kerana kecantikan dan
kehalusannya ataupun menghina belacu kerana kekasarannya walhal di dalam keadaan sehari-hari belacu lebih berguna
dan dipakai sebagai kain basahan dan untuk bekerja. Hal ini dapat dikaitkan dengan falsafah keindahan dalam Islam.
Islam menekankan kepada pentingnya sesuatu yang indah dan yang bermanfaat.

Keindahan dalam Islam bukan semata-mata diukur dari segi fizikal atau rupa paras.Keindahan merangkumi
kecantikan fizikal dan nilai yang baik dan positif. Sesuatu yang dipandang indah mestilah juga mempunyai nilai gunaan,
iaitu dapat memberi manfaat kepada masyarakat.Misalnya mutu sesebuah karya sastera atau karya seni yang lain diukur
dari nilai-nilai yang dituntut oleh Islam, iaitu yang bercirikan kebenaran, kebaikan dan keindahan. Selaras dengan ajaran
Islam seperti yang dihuraikan di atas, pantun Melayu juga menasihatkan agar berhati-hati memilih kekasih atau pasangan
hidup. Janganlah hanya memberi perhatian kepada rupa paras kerana kecantikan mungkin hanya sifat luaran semata-
mata. Hal ini dapat dikaitkan dengan pantun di bawah:

Berbaju batik bujang kelana,

Duduk bermadah di tilam pandak;

Usah dipetik si bunga sena,

Warnanya indah berbau tidak.

(Zainal Abidin Abu Bakar, 1984:154)

Pantun di atas membawa maksud, seseorang dinasihati supaya jangan memilih bunga yang cantik tetapi tidak
bau wangi. Dia sepatutnya memilih bunga yang harum. Di dalam puisi Melayu bunga yang harum dikaitkan dengan nama
yang harum atau nama yang baik. Bunga yang cantik tetapi tidak berbau adalah rendah nilainya seperti yang terungkap
dalam pantun.Kecantikan tidak dapat menjamin kebahagiaan sekiranya hanya luaran sahaja yang cantik, tetapi dari aspek
dalaman tidak seperti yang diharapkan. Ini dikaitkan dengan hubungan antara lelaki dan perempuan.

Bunga yang wangi adalah objek alam yang masih digunakan untuk membawa makna sesuatu keindahan dan
kemurnian yang menjadi kenangan dan sebutan. Masyarakat Melayu mengutamakan nama yang baik dan oleh itu
seseorang disarankan supaya berkelakuan baik supaya tidak mencemarkan nama ibu bapa dan keluarga. Selaras dengan
itu ialah pandangan Islam yang juga mengutamakan nama yang baik atau nama yang bersih. Allah S.W.T mengajar
manusia supaya berdoa agar meninggalkan nama yang harum, di samping berdoa untuk menambahkan ilmu: “Wahai
Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang salih. Dan jadikanlah
bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian” (Surah asy-Syura,
ayat 83-84).

Terdapat pantun-pantun yang memperkatakan tentang perilaku kekasih yang tidak setia. Misalnya:

Budak-budak mendayung perahu,

Sambil berdayung sambil bermain;

Macam mana bunga tak layu,

Embun menitis di tempat lain.


(Zainal Abidin Abu Bakar,1984:165)

Seri Andalas ke kota Ambon,

Hendak mencari asam paya;

Kasih ibarat setitis embun,

Ditiup angin berderai ia.

(lirik lagu Seri Andalas)

Pantun kedua di atas menggunakan perlambangan embun untuk menyatakan perihal kasih yang tidak
bersungguh-sungguh. Embun dijadikan simbol kepada sesuatu keadaan yang tidak kekal dan tidak terjamin. Pantun yang
pertama merupakan luahan rasa terhadap kekasih yang tidak lagi memberi perhatian kepada pasangannya. Daripada
simbol yang digunakan iaitubunga maka dapatlah diketahui bahawa yang ditinggalkan itu ialah perempuan dan yang
berubah hati ialah lelaki. Hati lelaki sudah beralih kepada gadis yang lain. Hal ini diperikan sebagai embun yang menitis
di tempat lain. Perilaku lelaki ini dianggap sebagai tidak bersungguh-sungguh di dalam hubungan percintaan dan
keadaan ini disebut di dalam pembayang pantun seperti budak-budak yang sambil berdayung sambil bermain. Ini juga
membawa maksud tidak ada niat atau keazaman untuk sampai ke sesuatu destinasi. Demikian juga hubungan cinta yang
tidak serius, akan menyebabkan kegagalan. Cinta yang gagal dilambangkan oleh bunga yang layu.

Etika Masyarakat Melayu

Etika ialah prinsip moral (atau akhlak) atau nilai-nilai akhlak yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu
kumpulan (Kamus Dewan, 1996: 345). Masyarakat (society) merupakan istilah yang digunakan untuk
menerangkan komuniti manusia yang tinggal bersama-sama. Etika masyarakat merujuk pada nilai moral atau akhlak yang
harus dipegang oleh sesebuah masyarakat. Oleh kerana sesebuah masyarakat yang inginkan kestabilan memerlukan
ahli-ahli yang sanggup menolong antara satu sama lain, maka ia perlu kepada nilai-nilai murni
sepertikerakyatan, hak dan etika. Ini merupakan perkara asas untuk mencapai keadilan. Jika nilai-nilai ini gagal dipatuhi,
sesebuah masyarakat tersebut sebagai tidak adil dan musibah akan berlaku (Wikipedia Ensiklopedia
Bebas, http://ms.wikipedia.org/wiki/Masyarakat). Masyarakat Melayu biasanya mengaitkan etika masyarakat dengan
pegangan agama Islam. Contohnya seperti yang tergambar dalam pantun di bawah:
Asam kandis asam gelugur,
Ketiga asam riang-riang;
Mengangis di pintu kubur,
Teringat badan tidak sembahyang.
(http://culture.melayuonline.com)
Sesuatu yang bercanggah dengan agama Islam merupakan perlanggaran kepada etika masyarakat Melayu. Setiap
perlakuan dalam kehidupan masyarakat Melayu yang beragama Islam secara halus dikaitkan dan dijalin dengan indah
dalam pantun. Ini juga sebagai peringatan secara bersahaja dan relaks tanpa menyentuh peribadi sesiapapun yang
terlibat.

Pantun berikut merupakan kritikan sosial dalam etika masyarakat Melayu.

Mengapa bising di tepi laut,


Ombak menghempas berderai-derai;

Kusangka tuan beras pulut,

Bila ditanak nasi berderai.

(Zainal Abidin Bakar (peny.), 1984: 184)

Daripada petikan pantun di atas, jelas menunjukkan kritikan sosial orang Melayu terhadap orang yang tidak boleh
dipercayai. Terdapat banyak kategori sikap ’orang yang tidak boleh dipercayai’, dan ini dapat dilihat banyak sekali dalam
peribahasa Melayu yang merujuk kepada orang yang tidak boleh dipercayai. Misalnya ’talam dua muka’ – orang memuji di
depan tetapi di belakang kita mereka mengeji, ’ular lidah bercabang’ – orang yang tidak menepati janji, atau orang yang
sentiasa berubah dengan cepat kata-katanya,

Pemantun dalam pantun di atas telah menunjukkan nada marah dan sindiran terhadap orang yang tidak boleh dipercayai
ini. Dalam konteks pantun di atas, ’orang yang tidak dipercayai’ merujuk kepada kepercayaan terhadap pada orang yang
disangka dapat berkongsi masalah dan menyimpan rahsia, namun kepercayaan terhadap orang itu musnah kerana
sikapnya yang tidak sebaik yang disangka. Berdasarkan pembayang dan maksud yang diberikan dalam pantun di atas,
kemungkinan kesalahan yang dilakukan oleh orang tersebut ialah suka membawa mulut atau menceritakan perihal orang
lain, atau kemungkinan juga orang itu tidak boleh menyimpan rahsia, sebaliknya suka menghebahkan rahsia atau sesuatu
perkara kepada orang lain. Beras pulut ialah lambang ’orang yang dipercayai’, yang boleh menyimpan rahsia. Ini dapat
disesuaikan dengan beras pulut apabila ditanak akan melekat dan padat. ’Beras’ pula menjadi lambang ’orang yang tidak
boleh dipercayai’ kerana apabila ditanak akan berderai, tidak seperti pulut.Penggunaan simbol-simbol ini jelas
memperlihatkan kebijaksanaan orang Melayu dahulu dalam membuat pemilihan kata yang bertepatan dengan pemikiran
yang hendak disampaikan.

Pantun berikutnya turut memperlihatkan rasa marah pemantun terhadap lelaki yang suka mempermain-mainkan
wanita. Pemantun yang menuturkan pantun ini berkemungkinan besar adalah seorang wanita.

Nasi dingin bersayur mumbang,

Sayur dimasak dalam belanga;

Kami tak ingin melihat kumbang,

Kalau kumbang merosak bunga.

(Zainal Abidin Bakar (peny.), 1984: 251 )

Pantun di atas jelas menunjukkan kemarahan pemantun terhadap lelaki yang gemar merosakkan wanita. Ibarat peri
bahasa ’habis madu sepah dibuang’ sekiranya peribahasa ini merujuk kepada wanita, ia bermaksud wanita yang
ditinggalkan apabila lelaki itu sudah mendapat apa yang dihajati daripada wanita berkenaan; peribahasa ’ibarat bunga,
sedap dipakai, layu dibuang’ turut bermaksud wanita yang ’dirosak’ oleh lelaki, iaitu wanita yang dikasihi semasa muda
tetapi diceraikan apabila tua. Kritikan sosial di sini jelas ditujukan kepada golongan lelaki yang tidak bertanggungjawab
terhadap wanita. Dalam Al-Quran menegaskan bahawa “Lelaki itu adalah pelindung/pemimpin bagi wanita.” Riwayat Abu
Hurairah dalam Sahih Bukhari mengatakan bahawa Nabi Muhammad S.A.W pernah berkata:
“O Muslims! I advise you to be gentle with women, for they are created from a rib, and the
most crooked portion of the rib is its upper part. If you try to straighten it, it will break and if you
leave it, it will remain crooked, so I urge you to take care of the women.”

(http://nurjeehan.hadithuna.com/ ).

Namun, perlakuan lelaki adalah dalam pantun ini jelas menyalahi norma masyarakat malah menyalahi hukum Islam
berdasarkan Al-Quran dan Hadis. Golongan lelaki ini bukan sahaja mereka tidak melindung dan membimbing wanita,
malahan mereka merosakkan pula wanita tersebut. Seorang suami misalnya hendaklah memberi perlindungan dan
bimbingan sebaik-baiknya kepada isteri, bukan setakat makanan dan pakaian sahaja, tetapi juga agama.

Pantun seterusnya yang bernada marah dapat dilihat dalam pantun jenaka. Apabila pantun ini dibaca, secara tidak
langsung perasaan pendengar akan tercuit rasa geli hati. Namun jika diteliti sebenarnya pantun ini mengandungi emosi
marah, bukan jenaka semata-mata, dan emosi marah jelas terlihat dalam perkataan ’terajang punggung’.

Di sana merak di sini merak,

Merak mana hendak dikepung;

Di sana hendak di sini pun hendak,

Pusing belakang terajang punggung.

(Zainal Abidin Bakar (peny.), 1984: 103)

Pantun di atas merupakan satu kritikan sosial terhadap orang yang suka mengikut hawa nafsu dalam kehidupan
mereka. Pemantun mengkritik orang yang bersifat tamak haloba, terlalu mementingkan hawa nafsu dan sekali gus
memperlihatkan sikap mereka yang mementingkan keduniaan semata-mata. Banyak sekali mengenai sikap tamak
diungkapkan dalam peribahasa Melayu, iaitu ”seperti anjing dengan bayang-bayang”, ”seperti anjing berebut tulang” dan
”seperti anjing beroleh bangkai”. Dalam pantun lama juga ada memperlihatkan akibat daripada sikap tamak, iaitu sentiasa
mendapat kerugian dalam kehidupan. Ini dapat dilihat dalam pantun di bawah:

Dalam semak ada duri,


Ayam kuning membuat sarang;
Orang tamak selalu rugi,
Seperti anjing dengan bayang-bayang.
(http://pestapantun.wordpress.com/category/pantun-lama/)

Sifat Buruk Manusia

Setiap manusia di dunia ini dilahirkan dengan pelbagai sifat dan rupa. Di sebalik wajah yang cantik kadangkala ada benda
yang buruk, tidak semua manusia di atas dunia ini sempurna sifatnya. Masyarakat Melayu amat kreatif dalam
memperkatakan sifat buruk ini dalam bentuk teguran, nasihat ataupun luahan melalui pantun. Antara pantun yang dapat
dilihat dalam bahasa Melayu yang menunjukkan kritik sosial sifat-sifat buruk ini ialah seperti:

Dari Kuala Pahang ke Kuala Lipis,


Mari dibawa angin utara;

Berhadapan saja mulutnya manis,

Paling belakang lain bicara.

(Zainal Abidin Bakar (peny.), 1984: 173)

Pantun di atas membawa maksud bahawa dalam kalangan manusia, banyak yang akan sentiasa memberi pujian atau
meluahkan kata-kata yang manis, namun di sebalik perkataan yang manis itu, mungkin akan jadi sebaliknya apabila
mereka bercakap di belakang kita. Dalam rutin kehidupan, kita tidak boleh lari daripada menghadapi situasi di mana
terdapat pelbagai jenis manusia wujud di sekeliling kita. Pantun ini sebenarnya sebagai peringatan bahawa dalam hidup
kita pasti ada perkara-perkara yang kurang menyenangkan, terutama daripada mereka yang mempunyai perasaan hasad
dan dengki terhadap apa yang kita miliki. Kadang kala seseorang yang banyak memuji kita itulah sebenarnya yang akan
menjadi duri dalam daging, maksud merekalah yang lebih banyak mempunyai perasaan hasad dan dengki terhadap kita.

Berilah saya pisau raut,

Hendak meraut bingkai tudung;

Gila apakah ikan di laut,

Mengidam umpan di kaki gunung.

(Zainal Abidin Bakar (peny.), 1984: 178)

Pantun di atas juga menunjukkan bagaimana sifat hasad dan dengki dalam kalangan manusia yang dikaitkan
dengan ikan yang mengidam umpan di kaki gunung. Pantun ini membawa dua maksud, iaitu sebagai peringatan kepada
mereka yang menginginkan sesuatu yang di luar kemampuan, dan juga sebagai peringatan kepada manusia mengenai
pelbagai sifat manusia yang tidak dijangka akan berlaku kepada kita.

Buah cempedak buah nangka,

Ditanam orang dalam di dalam kebun;

Haram tidak disangka-sangka,

Buah delima menjadi racun.

(Zainal Abidin Bakar (peny.), 1984: 179)

Pantun di atas jelas menggambarkan bahawa akibat daripada perbuatan yang tidak baik akan mewujudkan satu keadaan
yang tidak diangka-sangka berlaku dalam kehidupan kita. Benda yang luarannya kelihatan cantik dan molek, kadangkala
akan menjadi perosak atau pembunuh yang kejam. Maksudnya di sini, kita harus berhati-hati dalam melakukan sesuatu
hal, ataupun dalam mempercayai sesuatu perkara yang kita lihat kerana dalam apa jua keadaan, benda yang cantik atau
yang disangka manis itu sebenarnya adalah racun yang akan merosakkan.
Raja di gua jalan ke teluk,

Cantik halus rupa mukanya;

Ibarat buah busuk di pokok,

Hilang manis pahit rasanya.

(Zainal Abidin Bakar (peny.), 1984: 180)

Pantun di atas pula merujuk kepada sifat manusia yang tidak mahu berubah. Kebanyakan kita kadangkala lupa bahawa
dunia ini sentiasa berubah, begitu juga dengan sifat manusia.Perubahan zaman dan masa ini juga harus kita sedari
kerana sekiranya kita tidak mengikuti perkembangan zaman, maka kita akan ketinggalan di belakang. Pantun ini juga
bertujuan menegur bahawa ketika berada pada sesuatu tahap kita perlu mengikut peredaran masa bagi membolehkan kita
diterima dalam masyarakat. Misalnya, apabila meningkat tua, seseorang itu haruslah sedar bahawa umur yang meingkat
memerlukan mereka menjadi dewasa. Mereka yang tidak mahu berubah akan dikecam atau dikeji.

Berbanding dengan masyarakat muda hari ini pula, pantun dilihat sebagai sesuatu yang agak tradisi yang diwarisi
daripada masyarakat lama. Namun begitu, masyarakat muda juga tidak ketinggalan dengan pantun mereka yang
diadaptasikan dan disesuaikan dengan dunia baru.Kewujudan pantun-pantun generasi baru ini kadangkala dianggap
sebagai perosak kepada keindahan pantun lama, tetapi jika dilihat daripada aspek yang positif, generasi hari ini juga
mencipta pantun, namun agak longgar dan lebih bersahaja sifat. Contohnya:

Ada duit naik teksi,


Tak ada duit naik bas;
Cari makwe jangan seksi,
Nanti cepat kena kebas.

Pantun ini ditemu ketika penulis bercuti hari raya, dan dalam gurauan antara anak-anak muda, penulis sempat mendengar
pantun ini yang menjadi bahan gurauan anak-anak muda yang datang menziarah. Dapat dilihat bahawa generasi hari ini
lebih terbuka dan berterus terang dalam mengungkapkan sesuatu. Setiap pemilihan kata yang dibuat lebih bersahaja dan
agak selamba.Ini seakan telah menyebabkan unsur estetika dan keindahan dalam pemilihan kata telah sedikit bergeser
kerana pembayang dan maksud yang dipilih kelihatan wujud secara langsung dengan kehidupan dan suasana masyarakat
hari ini.

Pantun di bawah ini pula merujuk kepada bentuk pantun lama yang diberi wajah baru.

Siakap senohong,
Gelama ikan duri;
bercakap bohong,
Lama-lama jadi menteri.
(http://ibrahimbaba.wordpress.com/)
Pantun di atas sebenarnya merujuk kepada sikap ahli politik yang banyak memberi ceramah dan berjanji sana sini untuk
mendapat undi rakyat. Namun di sebalik ceramah yang diberi, banyak antaranya adalah bohong semata-mata.
Siakap senohong,
Gelama ikan duri;
Baca berita bohong,
Lama-lama mencuri.
(http://erisar.blogspot.com/2008_04_01_archive.html)

Pantun di atas berkaitan dengan penyiaran berita di TV3, yang banyak menyokong kerajaan.Pantun tersebut digunakan
bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kandungan berita yang disiarkan di TV3 yang dikatakan banyak
mengandungi unsur tokok tambah.

Perkembangan masa telah menjadikan pantun sebagai bahan jenaka yang digunakan dalam menempelak
seseorang. Jika diteliti dengan mendalam, kelihatan bahawa pantun-pantun baru menerima banyak perubahan, namun
unsur-unsur kesamaan bunyi dan penyampaian maksud itu masih boleh difahami.

Kesimpulan

Pantun merupakan khazanah bangsa yang amat bernilai bagi masyarakat Melayu. Keindahan pantun dalam
mengungkapkan seribu satu macam maksud menjadi lambang ketekalan minda yang amat kreatif. Penggunaan pantun
sebagai bahan kritik sosial secara tidak langsung menunjukkan bahawa pemikiran masyarakat Melayu dalam
mengadaptasi alam sekeliling bagi menyampaikan maksud ataupun meluahkan perasaan menjadi cerminan jiwa dan raga
masyarakat Melayu itu sendiri. Pentingnya menjaga keharmonian diperlihatkan dalam pemilihan kata setiap pantun yang
dicipta. Bukan sahaja maksud yang terhasil dalam pantun menjadi inti, tetapi juga perkataan yang digunakan sebagai
pembayang juga mengandungi makna yang mendalam.

Sifat pantun yang banyak memperlihatkan kesopanan dan ketelitian pemakainya dalam meluahkan perasaan amat
menarik untuk dibincangkan. Jangkauan akal fikiran yang merenung dan mencerna segala bentuk kehidupan dalam lagu
dan irama pantun melambangkan pesona jiwa dan kehalusan minda masyarakat Melayu dalam menjaga air muka dan
juga sebagai satu senjata untuk menangkis sebarang perbuatan secara lembut dan harmonis. Perkara-perkara seperti
inilah yang perlu dijaga dan dikekalkan dalam jiwa masyarakat Melayu supaya kesopanan dan kelembutan yang selama
ini menjadi amalan akan terus berkekalan dalam jiwa generasi hari ini.

Generasi muda mempunyai pemikiran yang lebih kepada straight to the point, ataupun lebih berterus terang dalam
mengungkapkan atau meluahkan maksud, sama ada dalam pantun mahupun dalam bahasa seharian. Ini terjadi akibat
daripada pengaruh globalisasi yang semakin merubah jiwa dan perasaan masyarakat Melayu hari ini. Perubahan masa
bukanlah satu alasan untuk generasi hari ini merosakkan dan memperlecehkan keindahan dan kehalusan
pantun.Sepatutnya perlu ada kesedaran yang lebih mendalam dalam kalangan generasi hari ini untuk memelihara
kesopanan dan kehalusan budi bahasa yang terpancar dalam pantun. Adat muda semestinya ada bentuk-bentuk yang
baru, tetapi janganlah sehingga mengetepikan khazanah lama yang ternyata indah dan halus. Membentuk masyarakat
yang maju dan bersopan santun serta berbudi bahasa menjadi tanggungjawab bersama yang akan memastikan Melayu
mempunyai jati diri dan wawasan dalam dunia globalisasi hari ini.

Anda mungkin juga menyukai