Anda di halaman 1dari 26

PENGENALAN

Kritikan sastera merupakan usaha mempertimbangkan dan menilai sesebuah


karya sastera secara jujur dan sistematik. Kritikan sastera juga merupakan
cabang ilmu yang mempunyai fungsi-fungsinya yang tersendiri dan matlamat
untuk memperkayakan lagi hasil sesebuah karya. Pertimbangan dan penilaian
terhadap karya-karya sastera akan diperkuatkan dengan alasan-alasan yang
munasabah.

Takrif atau definisi kritikan sastera yang dipegang oleh setiap pengkritik
sastera adalah berbeza-beza. Umpamanya, Hashim Awang dalam bukunya
Kritikan Kesusasteraan: Teori dan Penulisan (1997) mentakrifkan kritikan
kesusasteraan itu merupakan suatu usaha untuk menilai hasil-hasil ciptaan
seseorang sasterawan atau penulis sastera dengan cara yang beralasan serta
bersistem dan bertujuan untuk mengembangkan sesuatu yang difikirkan baik lagi
indah. Beliau juga mengatakan bahawa takrif bagi kritikan sastera itu ialah suatu
kegiatan untuk membuat penilaian, pertimbangan dan penganalisisan terhadap
sesebuah karya sastera.

Kritikan sastera dapat menyumbangkan pengetahuan dan seterusnya


mengembangkan pengetahuan tersebut. Selain itu, pembaca juga dapat
menikmati karya sastera dengan jelas sekiranya terdapat penerangan tentang
karya dan pengarangnya melalui kritikan sastera. Pengkritik dan pembaca dapat
membuat perbezaan antara karya sastera yang baik dengan karya sastera yang
tidak baik. Kritikan sastera turut memberikan penerangan kepada pengarang
cara-cara hendak menyesuaikan karya sasteranya dengan pembaca. Melalui
bidang kritikan sastera, usaha untuk menghapuskan prasangka buruk terhadap
karya sastera dan juga kesusasteraan dapat dilaksanakan di samping
memperkenalkan karya sastera yang baru kepada mereka yang tidak sempat
membaca.

Kritikan sastera terhasil oleh kekritisan rasa dan fikiran tentang sesuatu
karya atau judul sastera. Untuk mengkritik sesebuah karya, para pengkritik
memerlukan pengetahuan yang mantap dari aspek teori, strategi, pendekatan,
kaedah dan teknik. Pengajaran dan pembelajaran Kesusasteraan Melayu dapat
menyediakan guru pelatih ke arah bidang sastera terutama dalam bidang kritikan
karya. Pelbagai teori yang sesuai perlu digunakan untuk mengkritik sesebuah
karya untuk dipaparkan dan menjadi bacaan khalayak. Hasil daripada kritikan
sastera oleh tokoh-tokoh sastera secara tidak langsung telah menyedarkan
rakyat terhadap kepentingan individu dalam pembangunan masyarakat dan
negara.

Dalam ilmu kritikan sastera, terdapat jenis-jenis kritikan. Ilmu kritikan


dapat dilihat dari dua penggolongan dasar iaitu Kritikan Teori dan Kritikan Amali.
Kritikan Teori ialah kritikan yang memperkatakan tentang istilah, konsep dan
pelbagai masalah yang berkaitan dengan soal-soal menilai, menimbang,
menafsir dan menganalisis. Manakala Kritikan Amali itu ialah kritikan yang
menggunakan atau menerapkan secara langsung prinsip-prinsip teori yang
diambil dari Kritikan Teori yang berkenaan dan diaplikasikan kepada karya atau
pengarang sastera.

Kritikan teori telah diaplikasikan semasa membuat kajian dan kritikan


terhadap sebuah novel Melayu yang bertajuk „Mencari Azizah‟ karya Khadijah
Hashim. Satu teori sastera telah dikenalpasti sesuai untuk membuat kritikan
terhadap novel ini iaitu Teori Feminisme yang dipelopori oleh Elaine Showalter.
Teori feminisme ini adalah teori yang memperjuangkan wanita untuk
mendapatkan tempat yang sedarjat dengan lelaki dan untuk memperkasakan
kuasa feminis. Ulasan yang dapat dibuat berdasarkan novel yang dikaji ialah
watak utama novel „Mencari Azizah‟ iaitu Azizah seorang wanita yang mengahapi
kesukaran hidup dan konflik bangkit untuk mempertahankan maruah dan
kedudukannya supaya dipandang mulia oleh masyarakat dalam novel tersebut.
TEORI FEMINISME

Teori feminisme merupakan salah satu teori yang amat penting dan sangat kuat
pengaruhnya di seluruh dunia. Teori feminisme berpunca daripada perjuangan
wanita untuk mendapat tempat yang sedarjat dengan lelaki yang berdasarkan
pengalaman wanita. Mereka menganggap selama ini mereka telah ditindas,
dianiaya dan dipinggir oleh kaum lelaki. Untuk menghayati sepenuhnya teori ini
dan memanfaatkannya, konsep-konsep utama dan perbezaan antara konsep-
konsep ini perlu diketahui dan difahami lebih dahulu. Konsep dasar teori ini ialah
„feminis‟, „female‟ dan „feminin‟. Bagi memudahkan pemahaman, Toril Moi (1985)
mencadangkan supaya konsep feminism diertikan sebagai merujuk kepada isu
dan kedudukan politik, femaleness (wanita) diertikan sebagai merujuk kepada
aspek fizikal atau biologi dan feminity (kewanitaan) diertikan sebagai tingkah laku
yang diingini oleh kebudayaan.

Tokoh-tokoh falsafah era Yunani menganggap kedudukan wanita adalah


rendah berbanding kaum lelaki. Malah, Thomas Aquinas, seorang ahli falsafah
yang kuat pegangan agama pernah menyatakan, bahawa wanita sebenar tidak
lengkap tanpa lelaki. Dalam tradisi masyarakat bangsa Arab sebelum Islam.
Kaum wanita juga dianggap sebagai tidak penting dan dipandang rendah oleh
masyarakat, malah bayi perempuan yang baharu lahir akan ditanam hidup-hidup
kerana dianggap membawa `sial` kepada keluarga.

Sekian lama, kaum lelaki telah menjadi `kuasa` penentu dalam semua
urusan kehidupan, termasuk dalam hal ehwal yang berkait dengan wanita. Di
semenanjung Arab, Islam diturunkan untuk membebaskan wanita daripada
perspektif songsang masyarakat dengan meletakkannya sama taraf dengan
kaum lelaki di sisi Allah. Di Barat, pandangan dan tanggapan klasik yang
mengakar sekian lama dalam pemikiran masyarakat, akhirnya goyah pada
penghujung tahun 1700-an, apabila kedengaran suara yang meragukan
pandangan kuno terhadap kaum wanita. Mary Wollstnecraft, seorang pengarang
A Vindication of the Light of Women (1792) merupakan tokoh wanita terawal
yang menyuarakan pandangan bahawa, kaum wanita mesti bangun dan tidak
hanya bergantung kepada kaum lelaki sahaja. Wollstcraft mendapat ilham
berkenaan persamaan hak bersuara lelaki dan wanita dalam kerajaan menerusi
tulisan Thomas Paine (1791-1792) dalam bukunya yang berjudul The Right of
Man.

Walau bagaimanapun, pandangan Mary Wollstnecraft tidak merubah


keadaan. Selepas Mary Wollstnecraft muncul pula Margaret Fuller (1845-1969)
dengan bukunya Women in the 19th dan John Stuart Mill dengan karyanya The
Subjection of Women. Karya-karya ini membincangkan dominasi lelaki, ideologi
yang bersifat phallosentrik dan konsep patriarki yang mula mencabar tradisi dan
tanggapan lelaki terhadap biologi wanita (Siti Hajar Che Man,2000:4). Memasuki
abad ke-20, munculnya Jane Tompkins yang bangkit memperjuangkan
keterampilan wanita.

Meskipun tidak ada suatu tulisan yang boleh menjelaskan tentang teori ini
secara terperinci, dan lagi tidak ramai kaum wanita yang terlibat dalam teori
Feminisme ini, namun begitu, penglibatan dan kelompok kaum wanita yang
dalam teori ini boleh dirujuk kepada tiga negara iaitu Amerika Syarikat, Britain
dan Perancis.

Teori Feminisme Amerika lebih memberi perhatian kepada aspek tekstual,


manakala teori Feminisme Britain pula cenderung kepada pengaruh Marxisme
dengan fokus kepada penindasan terhadap kaum wanita. Teori Feminisme
Perancis mementingkan aspek dalam jiwa wanita atau lebih cenderung kepada
psikoanalisis. Meskipun berbeza dari segi pandangan dan metodologi, namun
ketiga-tiga kumpulan feminsme ini sama dalam usaha mereka mendokong
aspirasi wanita, memperjuangkan hak dan menyelamatkan wanita dari persepsi
yang buruk dan dipinggirkan.

Kelompok pendokong teori ini juga dapat dibahagikan kepada dua era
atau dua gelombang. Kelompok pertama ialah kelompok gelombang pertama
(first wave) dan kelompok kedua ialah kelompok gelombang baharu (new
wave/second wave). Gelombang Pertama bermula dari tahun 1890 hingga tahun
1920. Kelompok pendokong Feminisme dalam gelombang pertama lebih
menumpukan kepada aspek-aspek persamaan hak. Gelombang ini dikatakan
telah mencipta satu bentuk indentiti wanita di mana mereka telah mendapat hak
yang sah di samping menikmati kebebasan yang diingini (Siti Hajar Che
Man,2000:4). Kelompok dalam gelombang kedua lebih radikal dengan menuntut
kepentingan wanita secara menyeluruh. Gelombang ini juga dikenali dengan
Feminisme Gender.

Feminisme Perancis cenderung kepada pengaruh teori Psikoanalisis. Ini


bermakna, mereka memberi penekanan kepada aspek-aspek kejiwaan wanita.
Meskipun pada dasarnya, Feminisme mengkritik pandangan Frued terutama
yang berkait dengan seksimenya (Raman Selden,1989:137). Walau
bagaimanapun, Feminisme Perancis tidak cenderung kepada idea Sigmund
Frued, sebaliknya lebih kepada idea Jaque Lacan dan Derrida.

Di negara kita, perkembangan teori ini boleh dikatakan terkini dalam


sejarah perkembangan pendekatan kritikan sastera. Sebagai sebuah teori yang
baru dan mengandungi konsep feminis, teori ini sering dipandang serong dan
disalah-ertikan. Kita sering mendengar suara-suara tentang wanita yang mahu
memperjuang dan mempertahankan hak serta kedudukan wanita. Ramai penulis
yang memperjuangkan hak wanita ini telah menulis karya mengenai perjuangan
wanita dan penindasan yang dialami. Oleh itu, gambaran cerita yang ditulis ada
persamaan feminis tentang wanita hilang hak bersuara dan mengalami
penderitaan.

Ciri-Ciri dan Kriteria Kritikan

Kritikan feminis dicirikan oleh aktiviti politik dalam menentang patriaki dan
seksisme. Namun demikian, bukan semua wanita menggunakan dan memegang
kepada pendekatan ini. Maksudnya bukan semua karya yang ditulis oleh wanita
dan ditujukan kepada wanita bersikap feminis. Selain itu, kriteria kritikan
feminisme menolak peniruan pola pemikiran lelaki. Hal ini menunjukkan bahawa
cara penulisan dan olahan penulis wanita dan lelaki adalah berbeza berdasarkan
pengalaman dan pengetahuan.

Di samping itu, ciri-ciri kesamaan sosial, politik dan ekonomi antara


kedua-dua jantina disertakan untuk meningkatkan taraf sosial wanita. Perbezaan
jantina harus tidak merupakan factor penentu yang membentuk identiti sosial
atau-hak-hak sosiopolitik dan ekonomi seseorang. Karya yang dicipta haruslah
membuktikan bahawa wanita tidak selemah yang dianggap oleh golongan lelaki.

Prinsip Kritikan

Teori kritikan feminisme menggunakan istilah koda/kod atau disebut aspek dalam
analisis-analisisnya. Koda merupakan konsep tentang sesuatu yang telah
dipersetujui akan keciriannya. Koda ini bersedia untuk ditokok-tambah dan
ditukar ganti mengikut kesesuaian tempat, zaman dan keperluan.

Biologi

Sosial Kod Pengalaman

Psikologi

Rajah 1: Kod-kod Yang Diterima Sebagai Prinsip Kritikan Teori Feminisme.

1. Biologi

Menurut Elaine Showalter, pengkritik feminis seharusnya berfikir


perbezaan biologi dan hubungannya dengan penulisan tentang watak wanita. Ini
bermaksud, apabila membincangkan mengenai biologi, jangan hanya tertumpu
kepada tubuh wanita tetapi perlu berfikir lebih jauh daripada itu. Contohnya
fungsi biologi wanita itu sendiri, tugas wanita sebagai ibu, isteri dan kakak.
Pengkritik feminis yang menulis dalam perspektif biologi menekankan,
pentingnya tubuh badan mereka sebagai sumber inspirasi dalam tulisan mereka.
Terdapat perbezaan pandangan penulis lelaki dan wanita dalam perspektif
biologi. Penulis lelaki lebih tertumpu pada kecantikan tubuh badan wanita dan
kelembutannya manakala penulis wanita lebih kepada tanggungjawab dan
membela nasib wanita.

2. Pengalaman

Mempunyai kaitan yang erat dengan aspek biologi. Maksudnya,


perkembangan tubuh badan wanita yang merupakan satu pengalaman sejak
meraka dilahirkan sehingga mereka tua. Contohnya, pengalaman melahirkan
anak. Pengalaman yang dialami kaum wanita amat berbeza dengan kaum lelaki.
Bagi golongan feminis radikal, aspek pengalaman ini perlu dihuraikan dengan
sejelas-jelasnya. Penjelasan ini diperlukan untuk membetulkan fakta sebenar
yang digambarkan oleh penulis lelaki.

3. Psikologi

Pengetahuan ilmu psikologi penting kerana menjadi alat dan dasar kajian
untuk menghayati watak-watak dalam genre sastera. Wilbur Scott (1962)
menyatakan bahawa disiplin psikologi dapat diaplikasikan dalam karya sastera
bagi menerangkan aksi atau reaksi seseorang watak yang sukar diramal.
Golongan feminis menitikberatkan psikologi dalam karya melalui psikologi watak-
watak dalam sesuatu karya. Antaranya, pemikiran watak, imaginasi, keinginan
watak, cita rasa, tekanan perasaannya, jiwa dan segala sesuatu yang lahir dari
hati dan kata-kata watak.

4. Sosial

Terdapat perbezaan antara sosial kaum lelaki dengan sosial kaum wanita
apabila dicerminkan dalam karya. Antara aspek sosial wanita yang dikenalpasti
boleh digarap dalam karya ialah :

i. proses sosialisasi (soal didikan, pendidikan, pekerjaan dan pergaulan)


ii. tugas sosial (anak gadis, dara, ibu, isteri, nenek)
iii. kelas sosial wanita (kelas bawahan, menengah dan atasan)
SINOPSIS NOVEL

Berdasarkan novel Mencari Azizah, pengarangnya iaitu Khadijah Hashim


mengajak para pembaca mendalami dan menjiwai watak seorang wanita yang
tabah dalam mencari identiti dan kekuatan diri. Novel ini sarat dengan nilai-nilai
kasih sayang, kekeluargaan, ketuhanan dan nilai persahabatan yang ditulis
dalam gaya bahasa yang menarik dan indah untuk dihayati oleh pembaca.

Pada permulaaan cerita, watak Azizah dihurai dengan cukup menarik dan
penuh dengan konflik. Kisah yang bermula di lapangan terbangyang dalam
perjalanan menuju ke Iowa, Chicago, Azizah membiarkan dirinya terbuai dan
hanyut dalam dilema antara mencari kekuatan dan identiti diri serta perasaan
berbelah bagi meninggalkan anak-anak demi mencapai impiannya
menggenggam segulung ijazah sarjana (MA).

Watak Azizah memang menarik sebagai seorang wanita Pan-Asian yang


amat manis dari segi luaran mahupun dalaman. Namun begitu, Azizah tidaklah
sebahagia yang digambarkan. Kehidupan rumahtangganya apabila beliau
mendapat tahu suaminya telah berkahwin lain tanpa pengetahuannya. Di
perantauan, Azizah belajar untuk membina semula keyakinan diri di samping
mencari kekuatan diri yang telah lama hilang. Azizah juga berusaha mencari
bapanya yang tidak pernah ditemui sepanjang usianya 35 tahun.

Di kemuncak cerita, usaha yang ditunjangi dengan keberanian dan


pertolongan rakan-rakannya untuk mencari ayah membuahkan hasil. Jejak kasih
itu telah merubah keseluruhan hidup Azizah. Dirinya yang dulu dipandang
rendah oleh bekas suami dan ibu mertuanya, kini menjadi pujaan dan harapan
mereka untuk menyelamatkan perniagaan dan maruah sebagai keluarga
bangsawan.

Novel ini diakhiri dengan cukup dramatik setelah Azizah berjaya


mengembalikan semula harga diri dan kekuatan dirinya. Ayah yang tidak pernah
ditemui sejak dalam kandungan kini telah bersua muka, bekas suami dan ibu
mertua yang dulu meminggirkannya kini telah menjilat kembali ludah mereka dan
seorang teman yang disangka ikhlas dalam membantu rupanya mempunyai
maksud dan tujuan yang tersirat.

APLIKASI KRITIKAN TEORI FEMINISME DALAM NOVEL

Watak utama dalam novel yang dikaji adalah seorang wanita yang bernama
Azizah. Pengaplikasian teori feminisme amat sesuai terhadap watak utama novel
ini kerana novel ini banyak menceritakan kisah kehidupan seorang wanita yang
penuh cabaran dan dugaan untuk mencapai tahap yang setaraf dengan watak-
watak lain dalam novel. Teori feminisme yang dikaji dalam novel ini adalah
melalui beberapa prinsip kritikan teori feminisme seperti prinsip biologi, prinsip
sosial, prinsip psikologi dan prinsip pengalaman.

KRITIKAN BIOLOGI

Menurut Elaine Showalter, pengkritik-pengkritik feminis seharusnya berfikir


mengenai perbezaan biologi dan hubungannya dengan penulisan watak wanita.
Hal ini bermaksud apabila membincangkan mengenai biologi, penulis dan
pengkritik tidak hanya perlu menumpukan kepada tubuh wanita tetapi perlu lebih
jauh daripada itu. Contohnya fungsi biologi wanita itu sendiri, tugas wanita
sebagai ibu, isteri, kakak dan lain-lain.

Dalam novel Mencari Azizah ini, watak Azizah digambarkan sebagai


seorang wanita Pan-Asian yang jelita. Memiliki sepasang mata yang bulat
bersinar, berbulu mata lentik, berkulit halus putih melepak, berhidung mancung
dan berdahi jendul. Azizah ibarat sekuntum mawar merah yang menjadi rebutan
jejaka di kampus sewaktu bergelar mahasiswi. Azizah juga merupakan wanita
kacukan hasil perkahwinan ibunya seorang gadis kampung dan ayahnya
seorang Pegawai Penyelidik Hutan dari Amerika yang meminati keunikan alam
semulajadi di hutan negara.
Selain itu, dalam prinsip biologi juga pengarang menekankan aspek-aspek
pembangunan wanita dalam memperjuangkan nasib dan mencari kekuatan diri
setelah menghadapi hidup yang sukar. Contoh petikan berikut memperjelaskan
penerangan ini :

Azizah kini adalah Azizah baru masih bernyawa, belum patah hati, belum
hilang semangat. Aku mahu hidup seribu tahun lagi! Akan kubuktikan
pada dunia bahawa terdirinya Azizah di sini bukan lari daripada kenyataan
hidup. Berdirinya aku di bumi Iowa bukan kerana merajuk diceraikan
Zamri. Semangatku segagah pohon maple itu, tegak berani menghadapi
pertukaran cuaca empat musim.

(Mencari Azizah; hal. 65)

Berdasarkan contoh petikan, pengarang telah menggarapkan ciri-ciri


kebangkitan dalam watak Azizah. Azizah berjaya bangkit daripada kegagalannya
di alam rumah tangga. Dengan satu semangat baru, Azizah cuba keluar dari
kepompong seorang wanita yang pasrah menerima apa saja. Walaupun telah
biasa hidup dalam kemewahan dan kesenangan, Azizah berjaya berdikari dan
sanggup menerima cabaran baru di tempat orang. Azizah mendapat suntikan
semangat yang baru untuk mencari kekautan diri walaupun terpaksa merantau
ke tempat yang jauh.

KRITIKAN SOSIAL

Terdapat perbezaan antara kehidupan sosial kaum lelaki dengan kaum wanita
apabila dicerminkan dalam sesebuah karya. Antara aspek sosila wanita yang
selalu digarapkan dalam karya ialah seperti soal pendidikan, pekerjaan,
pergaulan, tugas sosial dan kelas sosial wanita tersebut sama ada kelas
bawahan, kelas sederhana dan kelas atasan. Mengikut kepada novel Mencari
Azizah ini, watak Azizah merupakan seorang yang mempunyai kelas sosial yang
rendah dan sering dihina oleh masyarakat kelas sosial atasan. Azizah juga
sering menerima kutukan dan cercaan orang kerana memiliki wajah mat saleh
terutama daripada ibu mertuanya sendiri. Situasi ini dapat digambarkan melalui
petikan di bawah:
Itulah tuah celaka berwajah pan-asian. Kerana hidung yang cantik
berbentuk itulah menjadi keraguan kepada keluarga Zamri. Ibu mertua
bergelar datin itu masih tertanya-tanya siapa sebenar bapa Azizah
meskipun telah diterangkan bahawa ayahnya seorang lelaki Amerika yang
telah memeluk Islam.

(Mencari Azizah; hal. 11)

Azizah juga turut dipinggirkan oleh ibu mertua. Ia dapat dilihat dalam situasi
seperti di bawah:

Perbincangan ibu mertua dengan anak-anaknya usah disampuk sebab itu


adalah urusan keluarga. Dia cuma ditugaskan untuk menghidangkan kopi.
Dia seolah-olah bukan sebahagian daripada ahli keluarga itu.

(Mencari Azizah; hal. 151)

Dalam rumahtangganya, Azizah sering merasakan dirinya hanyalah


sebagai hiasan. Tidak ada hak untuk bersuara dan memberikan pandangan.
Pernah sesekali mencuba, namun Azizah serik dengan teguran ibu mentua yang
lebih merupakan ingatan dan amaran. Kalau ada idea bernas pun cuma
disimpan dalam kepala. Azizah hanya berlagak pasif semata-mata menjaga ego
suami dan ibu mentua. Azizah juga tidak faham kenapa Zamri bekas pemimpin
pelajar sewaktu di universiti yang terbuka menerima pendapat orang lain tetapi
bersikap kuku besi terhadap isteri. Kuasa veto digunakan sehabis-habisnya.
Untuk tidak menimbulkan kekecohan dalam keluarga, Azizah hanya mengambil
sikap berdiam diri.

Menurut teori keperluan manusia Maslow (1962), manusia perlu melalui


beberapa peringkat iaitu peringkat kesempurnaan diri, kesempurnaan
keselamatan, kesempurnaan sosial, keperluan harga diri dan kesempurnaan
kendiri. Keperluan-keperluan inilah yang gagal dipenuhi ketika Azizah hidup
bersama-sama Zamri. Keadaan ini jelas seperti dalam petikan di bawah :

Zamri yang besar panjang ini pun masih takut dengan ibunya, masih tidak
dapat berfikiran rasional. Apa gunanya mendukung biawak hidup? Demi
maruah! Maruah apa kalau semuanya hampir tergadai? Mujurlah ada
penyelamatnya. Tetapi penyelamat itulah pula yang menyingkir Azizah
daripada keluarga bangsawan Datin Mariah.

(Mencari Azizah; hal. 29)

Daripada petikan tersebut, jelas bahawa segala keperluan Azizah tidak


dapat dipenuhi oleh Zamri. Zamri tidak dapat menjaga harga diri Azizah di mata
keluarganya sebaliknya Zamri sendiri yang menafikan kesempurnaan kendiri dan
sosial Azizah melalui kata-katanya :

“Awak fikir senang hendak menguruskan perniagaan dua syarikat menjadi


satu!” itu pula alasannya. Jawapan itu sekaligus memperkecilkan
kebolehan Azizah yang mempunyai ijazah ekonomi. Apakah kerana aku
ini suri rumah sepenuh masa, maka pandanganku, ideaku tidak boleh
dipakai? Bodoh benarkah aku? Aku masih membaca, masih mengikuti
perkembangan dunia.

(Mencari Azizah; hal. 31)

Ketika berusia 35 tahun, Azizah mula menjalani kehidupan yang penuh


berliku dalam rumahtangganya. Hidup sebagai seorang suri di sangkar emas
yang membesarkan dua anak gadis yang masih kecil, Azizah sentiasa bersikap
mengalah dan menerima kerana menyedari dirinya tidak setaraf dengan keluarga
Zamri, suaminya. Azizah sering menyamakan dirinya seperti bacang yang
berkulit licin tetapi busuk di dalam. Perumpamaan untuk dirinya ini jelas
menggambarkan kehidupan yang tidak seindah seperti yang dipamerkan kepada
umum.

KRITIKAN PSIKOLOGI

Pengetahuan ilmu psikologi penting kerana menjadi alat dan dasar kajian untuk
menghayati watak-watak dalam genre sastera. Wilbur Scott(1962) menyatakan
bahawa disiplin psikologi dapat diaplikasikan dalam karya sastera bagi
menerangkan aksi atau reaksi seseorang watak yang sukar diramal. Karya
feminis lebih menitikberatkan psikologi dalam karya melalui psikologi watak-
watak. Antaranya pemikiran watak, cita rasa, tekanan perasaan, jiwa dan segala
sesuatu yang lahir daripada hati dan kata-kata watak. Dalam novel Mencari
Azizah, peranan prinsip psikologi watak Azizah banyak digarapkan oleh
pengarang. Untuk menghadapi segala konflik, watak Azizah digambarkan
banyak bermonolog sendirian.

Seharusnya aku tidak berada di sini. Kalau setakat hendak mendapat


masters, di universiti Malaysia pun boleh. Tetapi kenapa aku di sini?
Bukan. Bukan masanya untuk menyesal. Aku sendiri yang membuat
pilihan belajar di Iowa. Jauh daripada Zamri. Kalau begitu tepatlah kata
Kamaliah, aku datang ke Iowa untuk mengubat hati yang luka. Apapun
tanggapan Kamaliah, sebenarnya tidak penting bagiku. Soal pokok, aku
mesti berjaya membina hidup baru.

(Mencari Azizah; hal. 69)

Menurut Robiah (1995), penghargaan kendiri yang tinggi dan padat dilihat
melalui ciri-ciri positif seperti berdikari, sanggup menerima tanggungjawab,
bersedia menghadapi cabaran baru dengan penuh azam, berjaya menghadapi
kekecewaan dan berkeupayaan mempengaruhi orang lain. Penghargaan kendiri
ini sebenarnya mempengaruhi tahap keyakinan seseorang terhadap dirinya
sendiri samaada ia bersikap optimis atau sebaliknya. Sebagai seorang yang baru
bangkit dari kegagalannya, Azizah berjaya mengembalikan harga dirinya yang
telah lama tercalar. Azizah berazam untuk membina hidup baru tanpa
bergantung harap lagi kepada keluarga bekas suaminya. Hal ini dipaparkan oleh
pengarang seperti dalam petikan :

Teguhkan iman, kuatkan semangat, Azizah sekarang bukan Azizah dulu


yang berpaut bergantung pada orang lain. Izinkan aku mencorak masa
depanku.

(Mencari Azizah; hal. 17).

Namun Azizah masih dapat mendidik jiwanya agar tidak menurut kata
hati. Azizah cuba menerima takdir hidupnya dengan cara yang paling baik iaitu
berserah kepada Allah dan cuba mencari kembali dirinya yang telah hilang.
Azizah pasrah dengan ketentuanNya seperti yang dipaparkan dalam petikan
tersebut:

Kenapa mesti bersedih? Bukankah ini pilihanku? Usah gelisah resah. Di


mana pun aku berada aku masih di bawah lindunganMu...Kenapa aku
mesti di sini? Alangkah selesanya kalau di rumah bersama anak-anak!
Allah, berilah aku petunjuk dalam menjalani hidup di tempat yang jauh ini.
Permudahkan hidupku di sini.

(Mencari Azizah; hal. 37 & 110)

Azizah juga menilai dirinya yang baru sebagai seorang yang tabah
menghadapi cabaran, berkeyakinan dan mempunyai kekuatan untuk mengatasi
setiap dugaan. Azizah ingin bangkit dari kehidupannya yang lalu. Azizah ingin
membuktikan bahwa dia akan boleh menjadi seorang Azizah yang baru bukan
lagi hanya mengangguk dan mengiakan. Azizah juga ingin membuktikan bahawa
dia seorang yang mempunyai harga diri, bukan untuk dijadikan patung di dalam
rumah. Azizah banyak menerima tekanan daripada suami dan ibu mertuanya.
Keadaan ini ditunjukkan dalam apabila Azizah sering bermonolog kepada dirinya
sendiri seperti petikan di bawah:

Akulah manusia bodoh yang menurut kata membuta tuli tidak ubah
macam hamba. Makan dilayan, nasi mesti disenduk ke pinggan, Cuma
tidak disuap ke mulut. Segala yang teringin mesti dimasakkan. Ikut segala
keletahnya. Ada masanya tidak mahu masakan pembantu, aku juga yang
jadi babunya. Begitulah taatnya aku melayan Datin Mariah, tetapi apabila
Zamri berkahwin lagi dia tidak pun membantah, malah gembira kerana
dapat merapatkan dua keluarga bangsawan. Aku pula diungkit-ungkit
sebagai tidak kufu.

(Mencari Azizah; hal. 6)

Azizah juga memberikan kesetiaan sepenuhnya kepada Zamri. Sikapnya


ini jelas terbukti berdasarkan petikan tersebut :

Aku bukan suri yang bergayut di telefon mendengar gosip suami dengan
para artis. Aku suri rumah yang diamanahkan supaya menjaga nama baik
suami. Aku isteri yang berpegang kepada Islam sebagai prinsip hidup.
Aku isteri yang sentiasa mendengar nasihat orang tua. Aku isteri yang taat
dan ibu yang bertanggungjawab.

(Mencari Azizah; hal. 31)

Namun seperti susu dibalas tuba, begitu jugalah yang terjadi kepada
Azizah. Zamri sering menolak untuk berbincang masalah mereka. Penolakan
Zamri ini jelas melalui perlakuannya dalam petikan yang berikut :

Mati hidup balik dia tidak mengaku bahawa perubahan yang berlaku
kerana seorang wanita lain dalam hidupnya. Azizah belas dengan anak-
anak yang tidak dapat bermanja. Segala hal diserahkan bulat-bulat
kepada Azizah. Dari soal makan hinggakan soal sekolah anak. Zamri
semakin tidak lekat di rumah.

(Mencari Azizah; hal. 31)

Disebabkan sikap Zamri yang tidak bertanggungjawab terhadap Azizah


dan anak-anaknya telah memberi kesan psikologi dalam watak Azizah. Dia
sebenarnya ingin meluahkan segala yang terpendam di dalam hati, namun
apakan daya. Dia sering tidak dihiraukan.

Azizah sedar akan masalah yang dihadapi oleh Zamri dan ingin
menolong, tetapi apa sangat yang dapat dibantu apabila nasihat dan
pandangannya tidak dihiraukan orang.

(Mencari Azizah; hal. 29)

Ketika watak Azizah sedang berusaha mencari ayah kandungya, dia


sanggup menanggung risiko dengan menjalankan pencarian ayah kandungnya di
media massa walaupun menerima kutukan dan pandangan sinis orang lain yang
mengatakan dia hanya mahu mencari populariti. Azizah tetap bertegas dengan
tindakannya. Ini kerana walau apapun pendapat dan pandangan orang,
keputusan akhirnya masih terletak di tangan sendiri. Ketegasannya ini jelas
dipaparkan melalui petikan:
Dalam suasana bening bersendirian menunggu bas tengahari itu dia
masih bertanya: jika bukan aku yang berusaha mencari ayah, siapa lagi?

(Mencari Azizah; hal. 124)

Dalam situasi ini, Azizah mengambil risiko tinggi dengan mencari ayahnya
melalui televisyen, akhbar dan internet. Azizah mengenepikan soal malu dan
pandangan masyarakat atas usahanya itu. Seperti yang dikatakan oleh Khalifah
Ali ra bahawa orang yang banyak memikirkan soal risiko, beliau menjadi seorang
yang tidak berani. Sifat yakin sebenarnya terletak pada diri sendiri. Kita boleh
memilikinya atau melenyapkan keyakinan itu. (Muhammad Isa, 1998) Atas
keyakinan itulah Azizah tekad untuk terus mencari ayahnya.

Ah, apa hendak dihairankan, „dasar langit terbuka‟, entahkan emak dan
ayah Sudin pun sudah tahu. Kalau berita itu tersiar di CNN tentu saja
tersiar di televisyen Malaysia.

(Mencari Azizah; hal. 186)

Semua mainan psikologi ini telah menguatkan lagi penceritaan watak


Azizah dalam usaha mencari identiti dirinya. Azizah digambarkan sebagai
seorang yang tidak mudah berputus asa dan tidak malu sekiranya dikutuk kerana
dia telah berubah kepada Azizah yang baru dengan semangat yang baru.

KRITIKAN PENGALAMAN

Prinsip ini mempunyai kaitan yang erat dengan prinsip biologi. Namun, prinsip ini
lebih menjuruskan kepada peristiwa yang pernah dilalui oleh watak-watak sejak
mereka dilahirkan sehingga mereka tua. Pengalaman yang dialami kaum wanita
amat berbeza dengan kaum lelaki. Watak Azizah mempunyai satu pengalaman
yang buruk dan tidak manis sejak dilahirkan. Pergolakan konflik jiwa Azizah ini
ditambah lagi dengan persoalan yang sentiasa timbul dalam diri Azizah. Azizah
anak tunggal berbintikan „Mat Saleh‟. Sering menjadi tanda tanya dan dipandang
sinis oleh masyarakat mahupun oleh keluarga suaminya sendiri.
Dalam membina estim yang positif Azizah telah menanamkan rasa yakin
bahawa dia mampu menentukan kedudukan dirinya. Azizah tahu bahawa dia
bukan anak haram seperti yang digembar-gemburkan oleh orang-orang
kampung seperti dalam petikan di bawah :

Emak dihina oleh orang kampung kerana melahirkan seorang bayi


berwajah „mat saleh‟. Orang kampung memfitnah kononnya emak berlaku
sumbang sebelum bernikah.

(Mencari Azizah; hal. 15)

“Anak dara gatal!” itu gelaran diberi.

“Padan muka ditinggalkan dek orang putih!” tempelak jiran-jiran Mak Long.
(Mencari Azizah; hal. 57)

Namun berdasarkan pengakuan ibunya:

“Kau anak yang suci. Emak tidak melakukan perkara terkutuk sebelum
bernikah.”

(Mencari Azizah; hal. 15)

“Kau tetap suci di mata Islam. Emak tidak melakukan perkara sumbang
sebelum bernikah dengan ayah kamu. Allah saja yang tahu apa sebenar
yang berlaku.”

(Mencari Azizah; hal. 17)

Ainon Mohd. (1997) berpendapat bahawa estim adalah bagaimana kita


menilai diri kita. Konsep estim ini memberi penekanan bagaimana kita melihat
diri sendiri meliputi aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial kita.
Pengalaman menjalani hidup sebagai seorang isteri dan ibu juga dapat dilihat
pada watak Azizah. Tetapi pengalaman yang dilalui olehnya merupakan satu
pengalaman yang pahit apabila dia telah dimadukan oleh suaminya, Zamri
secara diam-diam dan Zamri lebih menyayangi isteri keduanya. Untuk
mempertahankan maruahnya, Azizah telah berpisah dengan Zamri. Akhirnya
jalan keluar sebagai penyelesaiannya ialah perceraian. Ini kerana Azizah tidak
sanggup terus hidup dalam pahitnya bermadu. Sikap Azizah ini jelas ditunjukkan
dalam petikan-petikan yang berikut:

Hem, orang tak merasa tentulah tidak tahu pahitnya bermadu. Bukanlah
aku tamakkan kasih sayang, tapi aku mahukan keadilan. Apalah ertinya
bersuami kalau tidak bertanggungjawab, lebihkan isteri muda?

(Mencari Azizah; hal. 7)

Azizah juga menyatakan kekesalan dan kesedihannya terhadap


perbuatan Zamri kepadanya seperti yang digambarkan melalui luahan
Azizah ini, „Tetapi dalam baikku orang mengambil kesempatan. Nasibku
ditakdirkan bermadu kemudian bercerai...Entahlah, hatiku hancur-lebur
tidak dapat dipujuk apabila Zamri kahwin lagi.‟

(Mencari Azizah; hal. 18 & 38)

Lantas, kebetulan menjejakkan kaki ke bumi Amerika digunakan sebaik-


baiknya untuk mencari ayah kandungnya demi untuk membuktikan bahawa
semua cercaan orang salah belaka. Azizah menenggelamkan rasa gelisah dalam
dirinya dengan mengambil satu langkah positif iaitu menyambung pelajaran ke
peringkat MA di rantau orang. Selain sebagai satu usahanya untuk menimba
ilmu, langkah ini juga sebagai satu cara untuk Azizah mengalihkan rasa sedih
dan kecewa terhadap keruntuhan rumahtangganya. Azizah menjadikan tuntutan
menimba ilmu ini sebagai satu cara mencari identiti baru dan meningkatkan
keyakinan diri untuk menghadapi masa akan datang. Pergolakan diri Azizah ini
jelas terpapar di awal novel ini :

Merajuk atau melarikan diri? Moga-moga jauh dari Zamri akan dapat
mengubat hati yang luka. Harap-harap jauh di mata, jauh juga dari
ingatan...Aku pergi berbekalkan semangat waja mencari diri,
membetulkan arah. Lebih sepuluh tahun masa terbuang, menghamba diri,
membodohkan diri mengikut kata Zamri semata-mata hendak menjaga
hati suami, demi kebahagiaan rumahtangga.
(Mencari Azizah; hal. 4-5)
PENDEKATAN DALAM KRITIKAN SASTERA

Semasa menjalankan penilaian dan analisis terhadap novel „Mencari Azizah‟


yang ditulis oleh Khadijah Hashim, pendekatan yang dikenalpasti sesuai dan
digunakan ialah pendekatan sosiologi. Pendekatan sosiologi dijadikan sebagai
fokus utama dalam mengkaji dan mengkritik novel tersebut.

Pendekatan sosiologi merupakan satu jenis pendekatan dalam kritikan


sastera yang menilai karya dari aspek-aspek sosio-budaya, politik, dan ekonomi.
Kesemua aspek ini adalah sebagaimana yang ada dalam realiti kehidupan dan
sering kali didapati dalam karya sastera dalam dunia pengkaryaan. Pendekatan
sosiologi ini melihat hubungan antara pengarang dengan masyarakat seperti
kedudukannya, pengaruhnya dan status sosialnya. Selain itu, pendekatan ini
juga melihat pengaruh persekitaran seperti budaya, politik, sosial, ekonomi atau
pendidikan terhadap diri dan penciptaan pengarang sesebuah karya. Selain itu,
dapat juga memperlihatkan reaksi atau peranan pembaca dan pengaruh
pembaca terhadap penciptaan karya sastera.

Tulisan sastera diciptakan oleh penulis sastera untuk dimanfaatkan oleh


pembacanya. Penulis sastera itu sendiri adalah anggota masyarakat. Sastera
adalah lembaga sosial yang menggunakan bahasa sebagai pengantar, media
atau medium. Ini adalah kerana bahasa itu sendiri merupakan ciptaan sosial.
Sastera memaparkan gambaran realiti sosial. Kritikan yang menggunakan
pendekatan sosiologi adalah tergolong sebagai kritikan ekstrinsik, iaitu
mengandaikan sastera sebagai cerminan kehidupan masyarakat, mendapat
pengaruh dari masyarakat dan juga boleh mempengaruhi kehidupan masyarakat
dan pengarang menjadi anggota masyarakat.

Berdasarkan pendekatan sosiologi, kritikan ekstrinsik dapat


membincangkan pelbagai hal seperti hubungan karya sastera dengan penulis,
faktor-faktor yang mempengaruhi atau mendorong penulis menghasilkan karya
sastera, fungsi sosial sastera yang berhubung kait dengan tema, sastera sebagai
cermin masyarakat dan budaya, kesan sesebuah karya kepada khalayak
pembaca dan sebagainya. Untuk mendalami kritikan jenis ini, penulis hanya
menumpukan kepada satu-satu aspek sahaja. Antara aspek-aspek yang ingin
dibincangkan adalah, aspek gambaran masyarakat yang dilukiskan di dalam
novel “Mencari Azizah” serta fungsi-fungsi yang dapat diambil dalam gambaran
tersebut. Salah satu fungsi yang tergambar dalam novel ini ialah kebangkitan
seorang wanita daripada dihina untuk mencari identiti dan kekuatan diri.

Novel „Mencari Azizah‟ ini mampu membentuk moral dan membangkitkan


semangat wanita yang selalu ditindas dan dihina oleh masyarakat. Penulis yang
sudah tentu seorang wanita memahami jiwa dan perasaan watak utama Azizah
dan perwatakannya. Masalah rumahtangga Azizah di dalam novel digambarkan
dengan jelas oleh penulis menunjukkan terdapat konflik keluarga di samping
campur tangan ibu mertua serta isteri kedua suaminya. Azizah menjalani
kehidupan yang sangat menyedihkan sewaktu bersama keluarga tersebut dan
akhirnya untuk mengubah nasibnya, Azizah bercerai dengan suaminya untuk
mencari identiti diri yang baru. Penulis novel ini memaparkan hal yang
sememangnya berlaku iaitu konflik di dalam rumahtangga.

ISU-ISU HASIL DARIPADA KRITIKAN

Konflik Jiwa

Terdapat gambaran konflik jiwa yang dialami oleh watak utama dalam novel
„Mencari Azizah‟. Penulis ternyata ingin memaparkan segala masalah yang
dihadapi oleh watak utama. Konflik rumahtangga telah menyebabkan Azizah
mengundur diri daripada sebuah keluarga yang sering tidak menghiraukan dia
sebagai seorang isteri yang setia malah dia selalu dicemuh oleh ibu mertuanya
sendiri kerana dia berasal daripada golongan sosial yang rendah dan tidak
setaraf dengan suaminya. Azizah sering bermonolog sendiri kerana segala yang
ingin dinyatakan olehnya mungkin tidak bermakna. Sebagai contoh konteks di
bawah :

Akulah manusia bodoh yang menurut kata membuta tuli tidak ubah
macam hamba. Makan dilayan, nasi mesti disenduk ke pinggan, Cuma
tidak disuap ke mulut. Segala yang teringin mesti dimasakkan. Ikut segala
keletahnya. Ada masanya tidak mahu masakan pembantu, aku juga yang
jadi babunya. Begitulah taatnya aku melayan Datin Mariah, tetapi apabila
Zamri berkahwin lagi dia tidak pun membantah, malah gembira kerana
dapat merapatkan dua keluarga bangsawan. Aku pula diungkit-ungkit
sebagai tidak kufu.

(Mencari Azizah; hal. 6)

Penindasan dan Diskriminasi

Terdapat unsur penindasan dan diskriminasi di dalam novel „Mencari Azizah‟.


Penindasan yang sering dialami oleh watak utama iaitu Azizah ialah daripada
suaminya sendiri. Zamri telah mengabaikan tanggungjawabnya terhadap Azizah
dan anak-anaknya.

Mati hidup balik dia tidak mengaku bahawa perubahan yang berlaku
kerana seorang wanita lain dalam hidupnya. Azizah belas dengan anak-
anak yang tidak dapat bermanja. Segala hal diserahkan bulat-bulat
kepada Azizah. Dari soal makan hinggakan soal sekolah anak. Zamri
semakin tidak lekat di rumah.

(Mencari Azizah; hal. 31)

Unsur diskriminasi yang digarapkan di dalam novel ini ialah perbezaan


kelas sosial masyarakat. Dalam masyarakat terdapat berlainan golongan seperti
golongan atasan dan golongan bawahan. Azizah merupakan seorang gadis
golongan bawahan telah berkahwin dengan Zamri yang merupakan golongan
atasan. Oleh itu, Azizah sering mendapat penghinaan daripada keluarga Zamri.

Itulah tuah celaka berwajah pan-asian. Kerana hidung yang cantik


berbentuk itulah menjadi keraguan kepada keluarga Zamri. Ibu mertua
bergelar datin itu masih tertanya-tanya siapa sebenar bapa Azizah
meskipun telah diterangkan bahawa ayahnya seorang lelaki Amerika yang
telah memeluk Islam.

(Mencari Azizah; hal. 11)


Azizah juga turut dipinggirkan oleh ibu mertua. Ia dapat dilihat dalam situasi
seperti di bawah:

Perbincangan ibu mertua dengan anak-anaknya usah disampuk sebab itu


adalah urusan keluarga. Dia cuma ditugaskan untuk menghidangkan kopi.
Dia seolah-olah bukan sebahagian daripada ahli keluarga itu.

(Mencari Azizah; hal. 151)

Ketidak-adilan Dalam Perkahwinan

Penulis juga mengisahkan watak Azizah menghadapi konflik rumahtangga yang


dia sendiri tidak sangka. Azizah telah dimadukan oleh suaminya secara diam-
diam. Pengalaman pahit ini dilalui oleh Azizah apabila dia telah dimadukan oleh
suaminya, Zamri secara diam-diam dan Zamri lebih menyayangi isteri keduanya.
Untuk mempertahankan maruahnya, Azizah telah berpisah dengan Zamri.
Akhirnya jalan keluar sebagai penyelesaiannya ialah perceraian. Ini kerana
Azizah tidak sanggup terus hidup dalam pahitnya bermadu. Sikap Azizah ini jelas
ditunjukkan dalam petikan-petikan yang berikut:

Hem, orang tak merasa tentulah tidak tahu pahitnya bermadu. Bukanlah
aku tamakkan kasih sayang, tapi aku mahukan keadilan. Apalah ertinya
bersuami kalau tidak bertanggungjawab, lebihkan isteri muda?

(Mencari Azizah; hal. 7)

Azizah juga menyatakan kekesalan dan kesedihannya terhadap


perbuatan Zamri kepadanya seperti yang digambarkan melalui luahan
Azizah ini, „Tetapi dalam baikku orang mengambil kesempatan. Nasibku
ditakdirkan bermadu kemudian bercerai...Entahlah, hatiku hancur-lebur
tidak dapat dipujuk apabila Zamri kahwin lagi.‟

(Mencari Azizah; hal. 18 & 38)

Berserah Kepada Tuhan

Watak Azizah digambarkan sebagai seorang yang beragama Islam dan


sentiasa ingat kepada Tuhan dalam menghadapi dugan hidup. Walaupun dihina
oleh ibu mertuanya, namun Azizah masih dapat mendidik jiwanya agar tidak
menurut kata hati. Azizah cuba menerima takdir hidupnya dengan cara yang
paling baik iaitu berserah kepada Allah dan cuba mencari kembali dirinya yang
telah hilang. Azizah pasrah dengan ketentuanNya seperti yang dipaparkan dalam
petikan tersebut:

Kenapa mesti bersedih? Bukankah ini pilihanku? Usah gelisah resah. Di


mana pun aku berada aku masih di bawah lindunganMu...Kenapa aku
mesti di sini? Alangkah selesanya kalau di rumah bersama anak-anak!
Allah, berilah aku petunjuk dalam menjalani hidup di tempat yang jauh ini.
Permudahkan hidupku di sini.

(Mencari Azizah; hal. 37 & 110)

Doa itu ibadat. Mereka yang tidak berdoa pada Allah adalah orang yang
sombong. Sombong? Hendak sombong pada siapa? Aku tidak sombong.
Aku tahu betapa kecilnya aku di bumi Mu, Allah!

(Mencari Azizah; hal. 114)

Cintakan Ilmu Pengetahuan

Watak Azizah dilakarkan sebagai seorang yang sentiasa ingin mencari ilmu
pengetahuan. Walaupun usianya mencecah 35 tahun, dia sanggup pergi jauh ke
negara asing agar impiannya untuk memiliki masters tercapai.

Seharusnya aku tidak berada di sini. Kalau setakat hendak mendapat


masters, di universiti Malaysia pun boleh. Tetapi kenapa aku di sini?
Bukan. Bukan masanya untuk menyesal. Aku sendiri yang membuat
pilihan belajar di Iowa. Jauh daripada Zamri. Kalau begitu tepatlah kata
Kamaliah, aku datang ke Iowa untuk mengubat hati yang luka. Apapun
tanggapan Kamaliah, sebenarnya tidak penting bagiku. Soal pokok, aku
mesti berjaya membina hidup baru.

(Mencari Azizah; hal. 69)


HURAIAN ISU-ISU YANG DIKRITIK UNTUK KEPENTINGAN MASYARAKAT
DAN NEGARA

Novel yang dikarang oleh Khadijah Hashim iaitu „Mencari Azizah‟ banyak
membangkitkan isu-isu konflik yang dihadapi oleh watak utama iaitu Azizah.
Tumpuan utama pengkritikan novel ini adalah kepada watak Azizah yang telah
dikaji menggunakan teori feminisme. Walaupun watak Azizah mengharungi
pelbagai masalah, dia bangkit dengan semangat baru dalam mencari kekuatan
diri dan menjauhkan dirinya dari belenggu kesengsaraan. Hal ini dapat mendidik
masyarakat pembaca agar sentiasa berusaha untuk mencari kekuatan diri dalam
menghadapi cabaran hidup. Cubalah keluar dari takuk lama yang penuh derita
agar dapat menikmati masa depan yang gemilang. Watak Azizah yang sanggup
merantau jauh membawa diri setelah dia dipinggirkan oleh suaminya dapat
membangkitkan semangat pembaca novel tersebut.

Perantauan jauh Azizah ke luar negara adalah untuk mendapatkan


masters. Semangatnya untuk mencari ilmu tidak pernah luntur. Dia walaupun
dikatakan cuba lari daripada kegagalan rumahtangga sebenarnya ingin
mengubah nasib dan cuba mencari ayah kandungnya yang tidak pernah dia
tatapi sejak lahir. Perginya Azizah adalah untuk mencari ketenangan dan
kejayaan dalam hidup supaya dia tidak lagi dipandang hina oleh golongan
atasan. Kecintaan Azizah terhadap ilmu patut dicontohi oleh masyarakat agar
menjadi lebih maju dalam dunia pendidikan dan menjadi sebuah negara yang
mempunyai generasi beilmu pengetahuan tinggi.

Isu penindasan dan diskriminasi yang digambarkan di dalam novel


„Mencari Azizah‟ tidak patut menjadi ikutan masyarakat kerana mendatangkan
keburukan kepada masyarakat. Perbezaan golongan atasan dan golongan
bawahan perlu dihapuskan agar kehidupan bermasyarakat di negara ini lebih
bertamadun. Isu ketidakadilan seorang suami yang beristeri dua tidak patut
dicontohi. Seseorang suami yang tidak mampu untuk membahagikan kasih
sayang antara isteri tidak patut berkahwin dua kerana mungkin ada hati yang
terluka. Contohnya, akhirnya Azizah bercerai jua dengan suaminya kerana sudah
tidak tahan dengan kehidupan yang sering dipinggirkan.
KESIMPULAN

Kesimpulannya, „Mencari Azizah‟ adalah sebuah novel yang indah dan penuh
dengan pelbagai mesej yang merangkumi nilai-nilai kekeluargaan, kepercayaan,
saling kebergantungan dan persahabatan. Pengarangnya, Khadijah Hashim ingin
memperlihatkan bahawa cinta dan kasih sayang merupakan satu perasaan yang
kuat bagi memenuhi keperluan emosi dan rohani dalam jiwa manusia. Perasaan
cinta dan kasih sayang yang dimuatkan dalam novel ini sarat dengan pergolakan
jiwa dan konflik yang berlaku dalam watak utamanya. Di sinilah letaknya unsur
dedaktik atau unsur pengajaran yang ingin disampaikan dalam novel ini iaitu
bagaimana Azizah menangani konflik dalaman seterusnya mencari kekuatan
untuk meneruskan hidup.

Sebagai watak yang protagonis dalam novel ini, Azizah merupakan simbol
seorang wanita yang berhati tabah, optimis melihat masa depannya dan sanggup
menghadapi risiko dalam mencari kebenaran. Perjalanan novel yang penuh
dengan konflik ini juga diwarnai dengan watak-watak sampingan yang antagonis
seperti suami Azizah iaitu Zamri dan Datin Mariah, ibu mertuanya. Kehadiran
watak-watak antagonis ini melahirkan satu suasana tegang dalam kehidupan
Azizah. Konflik dan pergelutan jiwa Azizah berlaku sepanjang keterlibatan Azizah
bersama watak-watak ini. Selain itu, muncul juga watak-watak sampingan lain
yang lebih optimis seperti watak yang menjadi sahabat Azizah iaitu Robert,
Kelvin dan Kamaliah. Watak-watak inilah yang menguasai perjalanan cerita ini
untuk tampil lebih menarik.

Bersesuaian dengan konflik yang banyak ditimbulkan dalam novel ini,


Khadijah Hashim menggambarkan dengan begitu baik sekali bagaimana
sesebuah konflik itu berakhir jika dapat ditangani dengan bijak. Lalu Novel
„Mencari Azizah‟ ini mengajar kita pelbagai persoalan yang di kemukakan oleh
pengarang cerita ini melalui watak utamanya. Novel ini mengajar kita erti
ketabahan dan kekuatan diri yang disertai dengan nilai-nilai kasih sayang dan
kekeluargaan serta sikap berserah diri pada Tuhan. Pengarangnya juga ingin
menunjukkan bahawa setiap usaha yang dilakukan itu pasti akan membuahkan
hasil dan setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Di sinilah letaknya sebuah
harga diri dan kebijaksanaan dalam menangani konflik, mempertahankan hak
dan mencari kebenaran.

Anda mungkin juga menyukai