Anda di halaman 1dari 7

TEROMBA: WADAH MANIFESTASI SASTERA MELAYU

Teromba merupakan salah satu genre puisi tradisional yang lahir dalam komuniti masyarakat Melayu keturunan Minang dan mengamalkan budaya hidup yang berteraskan Adat Pepatih. Selain teromba, puisi tradisional ini turut dikenali sebagai terasul, tambo dan salasilah. Bagi masyarakat Minang, teromba dimaksudkan sebagai peraturan memperlihatkan peri penting peraturan dalam kehidupan manusia. Dalam hal ini, masyarakat Minang melihat kehidupan yang dijalani tanpa peraturan sama seperti menjalani kehidupan yang tidak beradat. Sebagai genre puisi, teromba yang masih diikuti dan diamalkan di Minangkabau, Sumatera dan di Negeri Sembilan, Malaysia, tergolong dalam puisi yang tidak terikat; iaitu tidak mempunyai bentuk dan struktur tertentu, berangkap atau tidak. Dalam adat Minangkabau, teromba digunakan dalam istiadat perkahwinan dan sebagai sumber utama masyarakat Minang untuk berbicara mengenai adat. Teromba wujud dan dihasilkan oleh masyarakat dahulu secara kolektif yang diwarisi secara lisan dan hafalan. Sebagai sebuah masyarakat yang hidup bersendikan pepatah alam takambang menjadi guru, masyarakat Minang yang terbiasa dengan kehijauan alam telah mencetuskan falsafah, pemikiran, peraturan dan hukum kehidupan melalui susunan ayat yang mengandungi inti makna mendalam melalui teromba. Teromba yang disusun dan disampaikan dalam bentuk puisi memberikan kefahaman yang lebih jelas kepada khalayak masyarakatnya. Dalam masa yang sama, masyarakat Melayu yang kukuh akar budi berupaya membentuk masyarakat yang halus jiwa dan pemikirannya melalui penciptaan teromba. Selain sebagai medium penyampaian fikiran dan perasaan, teromba juga menjadi wadah komunikasi dalam kalangan masyarakat. Proses enkod dan dekod khalayak yang menggunakan teromba dapat disalurkan dengan baik sehingga memberi kesan kepada pemikiran dan renungan mereka terhadap kehidupan. Komunikasi secara perbilangan, terasul, pepatah, gurindam, syair dan teromba membolehkan khalayak mencerna mesej yang ingin disampaikan melalui ragam penyampaian yang menarik. Hal ini merupakan kejayaan masyarakat pengamal puisi yang menemui jati diri dan rohani melalui renungan terhadap fenomena alam yang diterjemahkan dalam bentuk kreatif tersebut. Dalam mendepani arus modenisasi yang memperlihatkan kelonggaran struktur jati diri manusia, adalah wajar untuk masyarakat kembali mengenang semula akan keunggulan puisi seperti teromba yang mampu memberi keutuhan terhadap jati diri seseorang individu. Masyarakat moden yang sudah terbiasa dengan tulisan-tulisan popular bersifat harfiah

seharusnya diperkenalkan semula dengan bentuk teromba yang mampu mendidik jiwa manusia untuk lebih kenal diri dan pencipta, sekali gus melahirkan insan kamil yang menjadi modal insan berguna kepada pembangunan negara bangsa. Hal ini boleh dilakukan dengan melakukan pemupukan awal dengan konsep peribahasa melentur buluh biar dari rebungnya. Kepesatan pembangunan teknologi moden dalam membantu manusia memahami dunia boleh diseimbangkan dengan melihat unsur alam dalam teromba yang kaya dengan nilai falsafah. Renungan masyarakat terutamanya generasi muda terhadap nilai dalam teromba berupaya membentuk masyarakat yang tinggi akal budi dengan bersandarkan renungan terhadap alam tanpa meminggirkan modenisasi. Hal ini kerana, teromba yang semakin terpinggir dalam arus sastera perdana mampu membantu manusia untuk melahirkan satu kehidupan yang lebih sejahtera. Nilai yang wujud dalam teromba melangkaui ruang masa dan zaman. Sebagai contohnya, teromba yang telah lahir sejak zaman dahulu telah pun membicarakan persoalan ekonomi secara telus dan dibincangkan dalam khalayak masyarakatnya. Perkara ini dapat dihubung kait dengan struktur adat Minang itu sendiri yang memperlihatkan tanggungjawab Buapak dalam merangsang kegigihan anak buahnya untuk berusaha membaiki ekonomi diri dan keluarga. Sawah padi yang dimiliki perlu diusahakan dengan baik bagi menjamin masa depan diri dan keluarga. Secara halus, hal ini mencitrakan kepentingan masyarakat Minang untuk mengeksploitasi sawah padi dan unsur alam secara optimum agar kehidupan menjadi lebih stabil serta harmoni. Dalam masa yang sama, saranan agar berusaha gigih ini juga merupakan satu pesanan melalui teromba yang mempunyai keterikatan kuat dengan saranan agama Islam yang dipegang oleh Adat Pepatih iaitu saranan agar manusia berusaha untuk berjaya dan mengubah nasib manusia itu sendiri agar menjadi lebih baik. Hal ini dapat diperhalusi melalui teromba berikut: Hendak seribu daya Tak hendak seribu bicara Biar berputih tulang Jangan berputih mata Bulat tak datang menggolek Pipih tak datang melayang Kalau tak pecahkan ruyung Di manakah dapat sagunya(Kia Wahab, Kampung Peraku, Negeri Sembilan, 11 April 2001) Secara tidak langsung, teromba yang dihasilkan memberi makna tersembunyi untuk difikirkan oleh khalayak yang bijak menilai bahawa kesenangan hidup tidak datang tanpa usaha dan kegigihan. Hal ini nyata menyentuh perihal ekonomi masyarakat bahawa satu sistem ekonomi yang teratur dan jelas perlu dijana dalam usaha mendapatkan hasilnya.

Melalui teromba, pemimpin melaksanakan tanggungjawab dengan memberikan kesedaran kepada anak buahnya. Keutuhan falsafah Melayu yang tersembunyi dalam teromba tetap tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas. Lapisan makna yang terdapat di dalam sesebuah teromba merupakan satu pandangan terhadap masa kemudian. Sekiranya gagasan 1Malaysia muncul atas dasar pemikiran Perdana Menteri Malaysia Ke-6 pada tahun 2009, teromba yang dipetik daripada Alif Mokhtar pada tahun 2001 telah mencerminkan kepentingan perpaduan dan muafakat bagi memupuk sebuah negara harmonis yang berbilang kaum dan selaras dengan gagasan 1Malaysia yang baru dilahirkan. Malahan, teromba-teromba dengan landasan idea seperti yang diketengahkan Alif Mokhtar tidak mustahil telah wujud sejak berabad lama. Melalui teromba, perpaduan dijelmakan sebagai satu perkara asas yang perlu dipelihara sebaik mungkin. Nasihat di dalam teromba Alif Mokhtar mengajar manusia agar menepati janji, berkerjasama dan saling bertoleransi antara satu sama lain. Hal ini jelas dapat dikaitkan dengan situasi sosial masyarakat kini yang berusaha mencapai kedamaian negara melalui gagasan 1Malaysia yang mementingkan kesatuan dan perpaduan. Dalam hal ini, teromba yang dihasilkan tersebut menggunakan kiasan, alegori dan perbandingan terhadap alam sama ada flora mahupun fauna dalam menyampaikan fikirannya. Atas dasar keupayaan akal manusia untuk berfikir lanjut, teromba berselindung di sebalik bahasa-bahasa figuratif yang menjelma secara semula jadi melalui fikiran pengarang untuk ditelaah dan direnung oleh khalayak masyarakat penerima. Penelitian masyarakat penerima terhadap unsur alam dengan bahasa figuratif tersebut bukan hanya membuka minda khalayak sebaliknya memperkaya pengalaman manusia terhadap alam di persekitaran. Sekiranya khalayak menghayati dan memanfaatkan idea dan falsafah yang ada di dalam teromba ini, maka satu kehidupan masyarakat yang saling menghormati dan taat setia kepada negara mampu direalisasikan : Sekata tak berdalih Janji dibuat dimuliakan Buruk jangan dicari Musuh sama dihadang Berlunak sama berlumpur Bak kerbau sekandang Tanduk sama diasah Bak burung sesangkar Mengepal sekirai Bak ayam sereban Kecil besar sama sedayung Sakit sayu semua berduka Bak labu nan menjalar

Pucuk sama digetus Wakaf sama dipetik Ada sama mendapat Cicir sama dicari Untung laba sama dirasa Dalam masyarakat Minang di Negeri Sembilan, teromba menjadi alat untuk memupuk perpaduan, keselesaan dan jalinan kasih sayang yang berpanjangan. Melalui teromba, komunikasi antara masyarakat Melayu yang mengamalkan Adat Pepatih disalurkan dengan bentuk yang begitu halus. Kehalusan susunan, pemilihan dan unsur alam digunakan untuk menyemarakkan sifat berbudi dalam kalangan masyarakatnya. Aspek budi ditekankan agar masyarakat Melayu mampu hidup secara aman dengan rasa saling menghormati dan memahami antara satu sama lain. Masyarakat Melayu yang dikenali dengan kesantunan dan keperibadian yang tinggi begitu mementingkan nilai budi dalam aspek hidup seharian. Keanjalan struktur teromba menjadikan puisi ini berupaya memanfaatkan variasi peribahasa yang disatukan bagi memberi satu pengukuhan terhadap nilai yang ingin disampaikan. Melalui teromba berikut, aspek ini ditekankan dengan unsur nasihat serta pengajaran sebagai panduan untuk masyarakat menjalani kehidupan dengan sejahtera bersandarkan budi yang dijunjung semulia adat: Hati gajah sama dilapah Hati kuman sama dicecah Berat sama dipikul Ringan sama dijinjing Yang tua dimuliakan Yang muda dikasihi Sama besar hormat-menghormati Yang merah itu saga Yang kurik itu kundi Yang indah itu bahasa Yang baik itu budi (Mansor Gampam, Gunung Pasir, Negeri Sembilan, 5 Jun 2001) Sejajar dengan pegangan Islam bermazhab Shafie yang diamalkan masyarakat Minang, Adat Pepatih, nilai syumul falsafah dalam teromba tidak ketinggalan mengangkat martabat kaum wanita seperti yang pernah diperjuangkan oleh Nabi Muhammad S.A.W pada awal penurunan al-Quran. Dalam hal ini, teromba yang menjadi medium penyampaian fikiran dan perasaan telah dimanfaatkan oleh masyarakat Minang dengan peluahan penghargaan dan keutamaan untuk menghormati kaum wanita. Secara tidak langsung, mesej yang disampaikan melalui teromba mampu menimbulkan rasa kagum dan hormat akan wanita daripada kalangan kanak-kanak mahupun dewasa. Kesedaran yang dipupuk

melalui alternatif kreatif tradisional ini berupaya membuang rasa klise masyarakat yang memandang enteng tentang isu hak dan keutamaan kaum wanita. Dalam masyarakat ini, kaum wanita yang mampu memberikan pandangan secara bebas haruslah mempunyai sifat kewanitaan yang ideal dan anggun. Menariknya, keanggunan yang dimaksudkan bukan tertakluk kepada kecantikan luaran semata-mata sebaliknya merangkumi kebijaksanaan, kecerdasan dan berpengalaman yang luas. Walau bagaimanapun, segala dasar keanggunan tersebut tetap dibatasi hukum adat dan kebijaksanaan wanita berfikir dalam banyak segi kehidupan. Perincian tersebut disalurkan melalui pemanfaatan unsur alam seperti di bawah : Tahu mudarah jaga manfaat Mengenal laba juga rugi Tahu di onak yang menyangkut Tahu di ranting yang mencucuk Ingat di dahan yang menghempap Tahu di angin yang berseru Tahu di arus ombak yang bersabung Tahu di alamat kata sampai (Mohd Shah Mazlan, Kampung Dioh, Negeri Sembilan, 22 Mac 2001) Keupayaan teromba dalam mengungkap nilai kehidupan dan falsafah hidup manusia merupakan satu perkara penting yang perlu diberi perhatian. Sekiranya masyarakat Barat berbangga dengan inti falsafah mereka yang dibukukan, maka masyarakat Melayu sewajarnya memberi penekanan dan berbangga dengan kewujudan puisi tradisional seperti teromba yang menyembunyi falsafah kehidupan di sebalik susunan kata bersumberkan nilai alam dan kemanusiaan. Falsafah bangsa Melayu yang lahir secara semula jadi terakam dalam puisi tradisional seperti ini. Ketohoran pengetahuan masyarakat dan generasi kini terhadap teromba seharusnya diperdalamkan agar keunggulan memanifestasikan falsafah Melayu dapat terus disuburkan. Generasi kini mempunyai keterbukaan minda yang lebih mudah untuk dilentur melalui pengaplikasian medium teromba yang sarat dengan bahasa figuratif dan renungan pengarang terhadap alam. Sekiranya masyarakat dahulu mewujudkan teromba secara kolektif, penulis atau pemikir kini mampu menjadikan teromba sebagai satu saluran pemikiran yang berkesan dalam memantapkan sesebuah institusi baik dari yang kecil sehingga menjangkau lapisan institusi yang lebih besar seperti negara. Pendedahan serius mengenai teromba terhadap generasi kini merupakan satu tindakan yang wajar bagi memastikan pelestarian teromba dalam sejarah sastera Melayu tidak terpadam. Fungsi teromba dalam mendidik masyarakat, memberi panduan serta pengajaran mengenai kehidupan dan falsafah bangsa Melayu yang halus budi pekerti

mampu dikembangkan melalui warisan terhadap generasi kini yang semakin tandus pengetahuan mengenai seni puisi teromba. Dalam mendepani arus kemodenan, nilai seni teromba sentiasa relevan untuk segenap lapisan masyarakat. Kepadatan nilai moral, akhlak, agama, kekeluargaan dan mencakupi keseluruhan isu dalam aspek kehidupan manusia membolehkan nilai seni dan tradisi Melayu dalam teromba terus terpelihara meskipun berhadapan dengan unsur globalisasi. Keupayaan teromba dalam mengungkapkan falsafah Melayu secara halus merupakan satu kebanggaan yang wajar dilestarikan untuk warisan generasi akan datang. Pelestarian dan kerelevanan teromba dalam kehidupan masyarakat Melayu juga wajar diberi perhatian serius agar genre puisi tradisional yang menyimpan khazanah ilmu alam, budaya dan pemikiran manusia ini mampu diteliti generasi akan datang untuk mengenali susur galur adat dan budaya Melayu yang kaya dengan kiasan dan perlambangan kata dalam mencerminkan pemikiran, jati diri dan keperibadian bangsa. Esei ini telah tersiar dalam majalah Dewan Sastera, Mei 2010

ADAT PEPATIH
Adat Perpatih berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera, diasaskan oleh seorang pemimpin Minang bernama Sutan Balun yang bergelar Dato' Perpatih Nan Sebatang. Adat ini adalah amalan dan peraturan hidup yang ditentukan bagi masyarakat Minangkabau yang rata-ratanya adalah petani ketika itu. Tidak ada tarikh yang tepat dicatatkan bila adat ini diwujudkan. Tetapi Adat Perpatih telah dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) oleh perantau-perantau Minangkabau pada abad ke 14 Masehi. Di Malaysia, Adat Perpatih ini masih lagi wujud dan diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan dan sebahagian dari Melakaterutamanya Masjid Tanah. Majoriti mereka adalah keturunan Melayu Minangkabau. Masyarakat Adat Perpatih terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu Perut Suku dan Luak. Perut adalah unit sosio-politik yang terkecil di mana anggota sesuatu perut itu adalah berasal daripada moyang (keturunan perempuan) yang sama. Mereka ini sangat rapat dan lazimnya tinggal di sesuatu perkampungan atau kawasan yang sama. Setiap perut mempunyai seorang ketua yang digelar Buapak.Buapak ini dipilih oleh anak-anak buah di dalam sesuatu perut berkenaan. Kumpulan yang kedua ialah suku. Suku dibentuk oleh beberapa perut yang menjadikan keluarga berkenaan semakin besar. Suku diketuai oleh seorang ketua yang digelar Dato' Lembaga. Kumpulan ketiga ialah Luak. Luak adalah unit kawasan pentadbiran dari segi adat di mana ada empat luak utama iaituRembau, Sungai Ujung, Johol dan Jelebu. Setiap luak diketuai oleh seorang Undang. Selain daripada empat luak utama ini ada satu lagi luak yang kelima dipanggil Luak Tanah Mengandung. Luak Tanah Mengandung ini adalah terdiri daripada lima luak kecil di Seri Menanti iaitu Luak Inas, Luak Ulu Muar, Luak Gunung Pasir, Luak

Terachi dan Luak Jempol. Setiap luak kecil ini ditadbirkan oleh seorang ketua yang bergelar Penghulu Luak. Adat Perpatih ini diwariskan dari generasi ke generasi melalui kata-kata perbilangan. Ia merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuk soal harta pusaka, perlantikan pemimpin, hukum nikah kahwin, amalan bermasyarakat, sistem menghukum mereka yang melanggar adat atau melakukan kesalahan dan pelbagai aspek lagi. Setiap peraturan atau adat itu ada perbilangannya dan setiap peraturan itu ada rasional atau sebab-sebab terjadinya hukum atau adat itu. Perlantikan pemimpin, misalnya, banyak yang menyamakan sistem Adat Perpatih dengan amalan demokrasi. Contohnya ialah perlantikan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan di mana bukannya melalui keturunan dari bapa ke anak tetapi adalah melalui pemilihan oleh Undang Luak yang empat iaitu Undang Rembau, Undang Sungai Ujung, Undang Johol dan Undang Jelebu. Empat undang ini akan bermesyuarat untuk melantik salah seorang keturunan dari raja Pagar Ruyung untuk menjadi Yang DiPertuan. Undang Luak pula dilantik oleh Dato'-Dato' Lembaga di luak (daerah) masing-masing. Dato' Lembaga ini pula adalah pemimpin-pemimpin yang dilantik secara muafakat oleh pemimpin-pemimpin keluarga yang digelar Buapak. Oleh itu secara keseluruhannya kuasa melantik pemimpin itu sebenarnya berada di tangan rakyat biasa.Inilah satu sistem Adat Perpatih yang ada persamaan dengan demokrasi. Adat Perpatih mempunyai lima prinsip utama. 1. Keturunan dikira melalui nasab ibu: Adat Perpatih memberi keistimewaan kepada perempuan yang dianggap bonda kandung iaitu ibu yang melahirkan anggota-anggota masyarakat. Seseorang individu itu adalah anggota suku ibunya dan bukan anggota suku bapanya. 2. Tempat Kediaman adalah di kawasan ibu isteri: Apabila berlangsungnya sesuatu perkahwinan, si lelaki akan meninggalkan kampung halamannya dan menetap di kawasan ibu isterinya sebagai orang semenda. Pada zaman dahulu si lelaki akan mengusahakan tanah keluarga isterinya. 3. Perempuan mewarisi pusaka, lelaki menyandang saka: Hanya lelaki sahaja yang berhak menyandang saka (jawatan-jawatan dalam adat) manakala perempuan adalah mewarisi harta pusaka keluarga ibunya. 4. Perkahwinan seperut atau sesuku adalah dilarang: Dalam sesuatu perut dan suku, hubungan adalah rapat dan si lelaki menganggap perempuan dalam perut atau sukunya adalah saudara perempuannya. Begitu juga sebaliknya. Oleh itulah perkawinan sesama suku ini adalah terlarang. Perempuan yang berkahwin sesama suku akan hilang haknya untuk mewarisi harta pusaka ibunya manakala lelaki pula akan hilang hak untuk menyandang sebarang jawatan dalam adat. 5. Orang luar boleh menjadi ahli sesuatu suku: Untuk tujuan perkahwinan atau waris mewarisi, dibenarkan orang luar untuk menjadi ahli sesuatu suku dengan cara melalui upacaraberkedim. Dalam upacara ini seseorang itu akan bersumpah taat setia dan bersaudara dengan ahli-ahli suku yang akan disertainya.

Anda mungkin juga menyukai