Anda di halaman 1dari 4

STRATEGI MELATIH PELAJAR BERFIKIR SECARA KBAT

6 Strategi Melatih Pelajar Untuk Berfikir Secara KBAT

Dalam pembelajaran abad ke-21, kemahiran berfikir aras tinggi atau lebih dikenali
sebagai KBAT semakin giat dipromosikan.

Apakah cara dan strategi yang boleh digunakan oleh guru-guru bagi menggalakkan
pelajar untuk berfikir secara KBAT?

1. Tingkatkan Soalan Aras Tinggi

Bagi membiasakan pelajar dengan soalan sebegini, maka guru hendaklah sentiasa
memberikan soalan berbentuk KBAT. Semakin banyak soalan KBAT, semakin luas
tahap pemikiran seseorang pelajar itu.

Tapi, bagaimana yang dikatakan dengan soalan KBAT? Antara ciri-ciri soalan
KBAT adalah soalan yang menguji kemahiran berfikir pelajar pada tahap Analisa,
Sintesis dan Penilaian. Soalan-soalan berbentuk 'Wajarkan', 'Cadangkan', 'Ramalkan'
adalah antara beberapa kata tugas yang memerlukan pelajar menguasai KBAT. Maka
perbanyakkanlah soalan-soalan yang sebegitu.
2. Mempelbagaikan Aktiviti Penyelesaian Masalah

Bagi menggalakkan pelajar berfikir secara KBAT, guru boleh memperbanyak lagi
aktiviti yang melibatkan penyelesaian masalah. Dalam situasi baru yang diberi,
pelajar perlulah menggunakan kemahiran menganalisa, mensintesis dan juga menilai
apa konsep yang bersesuaian dan boleh digunapakai bagi menyelesaikan masalah
tersebut.

Objektif dalam menyelesaikan masalah juga haruslah diterapkan iaitu bagi


membolehkan kita membuat penyelesaian yang terbaik, meneroka dan
mempertimbangkan pelbagai pilihan dengan sebanyak mungkin dan membolehkan
kita bertindak atas keputusan yang telah diambil kira semua faktor serta kesan
akibatnya.

Secara ringkas, langkah-langkah menyelesaikan masalah adalah bermula dengan


menyedari apa permasalahan, memahami masalah, meneroka pilihan-pilihan
penyelesaian, meninjau kesan akibat daripada pilihan-pilihan dan juga memilih
pilihan yang terbaik sebagai penyelesaian.

3. Teknik Menyoal

Teknik menyoal adalah teknik paling lama dan paling popular dalam bidang
pendidikan. Pemilihan teknik ini dalam pdp dapat melahirkan interaksi antara guru
dan pelajar secara berkesan. Teknik ini dilaksanakan dengan cara guru
mengemukakan soalan yang berkaitan dengan isi pelajar dan pelajar dikehendaki
memberi tindak balas yang sewajarnya. Kejayaan penggunaan teknik ini dalam pdp
bergantung kepada kebolehan guru untuk menguasai teknik menyoal.

Salah satu perkara penting ketika berkomunikasi adalah aktiviti bertanya dan
menyoal. Kemahiran bertanya dan menyoal bukan sekadar untuk mendapatkan
sesuatu maklumat, tetapi juga membantu kita membina iklim komunikasi yang positif
dan memupuk sikap saling memahami dan bekerjasama.

Tujuan Teknik Penyoalan


- Melihat keupayaan pelajar memahami sesuatu blok informasi
- Mengalih perhatian pelajar daripada satu fakta kepada fakta yang lain
- Menegaskan kepentingan isi
- Mengarah pelajar ke arah membentuk konsep pemahaman yang tersendiri
- Mengesan pengetahuan berbahasa pelajar
- Mengalakkan pelajar berfikir secara kreatif, inovatif, logik dan juga kritis
- Mendorong pelajar menyusun dan menghuraikan bahan yang diajar
Walaubagaimanapun, penggunaaan teknik penyoalan adalah untuk mencerna
pemikiran. Hal ini kerana soalan yang dikemukakan untuk menganalisis, mensintesis,
menilai kemahiran dan menyediakan latihan untuk pelajar berkomunikasi.

Di sini juga disertakan sedikit Panduan Penyoalan yang betul bagi membantu guru
untuk mengasah pemikiran kreatif dalam kalangan pelajar.

Prinsip Panduan Penyoalan


- Soalah hendaklah dirancang
- Soalan bersesuaian dengan peringkat kebolehan pelajar
- Aras soalan tidak terlalu senang dan tidak terlalu sukar
- Beri peluang kepada pelajar untuk berfikir mengenai jawapan
- Kemukakan soalan kepada keseluruhan kelas
- Elakkan daripada mengemukakan soalan kepada murid tertentu sahaja
- Kemukakan soalan terlebih dahulu sebelum menentukan nama murid
- Bentuk soalan perlu diubah-ubah untuk menarik perhatian murid
- Soalan dapat didengar dengan jelas oleh pelajar seluruh kelas
- Soalan haruslah mampu mendorong pelajar untuk berfikir
- Elakkan soalan yang mengandungi jawapan di dalamnya
- Soalan hendaklah ringkas dan juga jelas

4. Aktiviti Pemikiran Aras Tinggi Dalam Buku Teks

Tanpa kita sedari, buku teks yang disediakan sudah lama mengandungi aktiviti yang
boleh merangsang pemikiran aras tinggi. Perhatikan semula kandungan dalam buku
teks serta aktiviti yang disediakan bagi pembelajaran tertentu.

Gunakanlah sebaiknya aktiviti dalam buku teks tersebut bagi membentuk pelajar yang
mahir dalam menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi.

5. Pembelajaran Berasaskan Projek

Satu lagi perkara yang boleh menggalakkan pelajar untuk berfikir secara KBAT
adalah dengan memperbanyak aktiviti pembelajaran yang berasaskan projek, iaitu
project-based learning (PBL).

Pembelajaran berasakan projek merupakan pelaksanaan program atau aktiviti dalam


jangka panjang. Proses pembelajaran ini memerlukan pelajar bekerjasama, misalnya
menyediakan soalan berkaitan projek dan mengimpelementasikan penyelidikan
dengan mengumpulkan data, menganalisis data dan menghasilkan laporan sama ada
secara lisan atau pun bertulis.

Dengan ini pelajar-pelajar dapat didedahkan dengan proses kemahiran berfikir dalam
menyelesaikan tugasan yang diberikan. Maka pelajar perlu dilibatkan dalam proses
pengajaran yang aktif dan menyeronokkan seperti kaedah projek.
6. Menggunakan Alat Berfikir

Strategi terakhir dalam mengajar pelajar untuk berfikir secara KBAT adalah dengan
menggunakan alat berfikir. Alat berfikir mampu membantu pelajar menggunakan
minda dengan lebih bijak dan berkeesan. Pemikiran menjadi lebih tersusun, luas, jelas
dan tidak terburu-buru dalam melakukan sesuatu.

Berikut adalah antara alat-alat berfikir yang boleh digunakan untuk meningkatkan
ketrampilan dalam berfikir:

- Soalan dan penyoalan


- Peta Minda
- Pengurusan Grafik
- CoRT
- i-Think
- 6 Thinking Hats

Alat pengurusan grafik juga dikenali sebagai peta pengetahuan, peta konsep, peta
cerita dan alat pengurusan kognitif. Alat komunikasi yang menggunakan simbol untuk
menggambarkan pengetahuan, konsep, pemikiran, idea-idea dan juga hubungan antara
mereka. Tujuan utama pengurusan grafik adalah untuk menyediakan bantuan visual
bagi membantu pelajar berfikir.

Alat CoRT (Cognitive Research Trust) merupakan instrumen kognitif dalam bentuk
garis panduan yang digunakan untuk meningkatakn kualiti pemikiran seseorang.
Penggunaan alat ini dapat memandu pelajar untuk membuat keputusan dengan
mengambil kira pelbagai faktor, menyelesaikan masalah, meluaskan pandangan
terhadap sesuatu isu, meneliti kesan terhadap suatu tindakan, meneroka kepentingan
apabila diberi pelbagai pilihan serta melihat sesuatu dari pelbagai sudut pandangan.

Anda mungkin juga menyukai