Anda di halaman 1dari 3

PENGENALAN KEPADA TEROMBA

Teromba merupakan salah satu genre puisi tradisional yang lahir dalam komuniti
masyarakat Melayu keturunan Minang dan mengamalkan budaya hidup yang berteraskan Adat
Perpatih. Selai teromba. Puisi tradisional ini turut dikenali sebagai terasul, tambo dan salasilah.
Bagi masyarakat Minang, teromba dimaksudkan sebagai peraturan memperlihatkan peri
penting peraturan dalam kehidupan manusia. Dalam hal ini, masyarakat Minang melihat
kehidupan yang dijalani tanpa peraturan sama seperti menjalani kehidupan yang tidak beradat.
Sebagai genre puisi, teromba yang masih diikuti dan diamalkan di Minangkabau, Sumatera dan
di Negeri Sembilan, Malaysia tergolong dalam puisi yang tidak terikat, iaitu tidak mempunyai
bentuk dan struktur tertentu, berangkap atau tidak. Dalam adat Minangkabau, teromba
digunakan dalam istiadat perkahwinan dan sebagai sumber utama masyarakat Minang untuk
berbicara mengenai adat. Teromba wujud dan dihasilkan oleh masyarakat dahulu secara
kolektif yang diwarisi secara lisan dan hafalan.
Sebagai sebuah masyarakat yang hidup bersendikan pepatah alam terkembang
menjadi guru, masyarakat Minang yang terbiasa dengan kehijauan alam telah mencetuskan
falsafah, pemikiran, peraturan dan hukum kehidupan melalui susunan ayat yang mengandungi
inti makna mendalam melalui teromba. Teromba yang disusun dan disampaikan dalam bentuk
puisi memberikan kefahaman yang lebih jelas kepada khalayak masyarakatnya. Dalam masa
yang sama, masyarakat Melayu yang kukuh akar budi berupaya membentuk masyarakat yang
halus jiwa dan pemikirannya melalui penciptaan teromba.
Selain sebagai medium penyampaian fikiran dan perasaan, teromba juga menjadi
wadah komunikasi dalam kalangan masyarakat. Proses enkod dan dekod khalayak yang
menggunakan teromba dapat disalurkan dengan baik sehingga memberi kesan kepasa
pemikiran dan renungan mereka terhadap kehidupan. Komunikasi secara perbilangan, terasul,
pepatah, gurindam, syair dan teromba membolehkan khalayak mencerna mesej yang ingin
disampaikan melalui ragam penyampaian yang menarik. Hal ini merupakan kejayaan
masyarakat pengamal puisi yang menemui jati diri dan rohani melalui renungan terhadap
fenomena alam yang diterjemahkan dalam bentuk kreatif tersebut.

Dalam masyarakat Minang di Negeri Sembilan, teromba menjadi alat untuk memupuk
perpaduan, keselesaan dan jalinan kasih sayang yang berpanjangan. Melalui teromba,
komunikasi antara masyarakat Melayu yang mengamalkan Adat Perpatih disalurkan dengan
bentuk yang begitu halus. Kehalusan susunan, pemilihan dan unsur alam digunakan untuk
menyemarakkan sifat berbudi dalam kalangan masyarakatnya. Teromba yang menjadi medium
penyampaian fikiran dan perasaan telah dimanfaatkan oleh masyarakat Minang dengan
peluahan penghargaan dan keutamaan untuk menghormati kaum wanita. Secara tidak
langsung, mesej yang disampaikan melalui teromba mampu menimbulkan rasa kagum dan
hormat akan wanita daripada kalangan kanak-kanak mahupun dewasa. Kesedaran yang
dipupuk melalui alternatif kreatif tradisional ini berupaya membuang rasa klise masyarakat yang
memandang enteng tentang isu hak dan keutamaan kaum wanita.
Pendedahan serius mengenai teromba terhadap generasi kini merupakan satu tindakan
yang wajar bagi memastikan pelestarian teromba dalam sejarah sastera Melayu tidak
terpadam. Fungsi teromba dalam mendidik masyarakat, memberi panduan serta pengajaran
mengenai kehidupan dan falsafah bangsa Melayu yang halus budi pekerti mampu
dikembangkan melalui warisan terhadap generasi kini yang semakin tandus pengetahuan
mengenai seni puisi teromba. Pelestarian dan kerelevanan teromba dalam kehidupan
masyarakat Melayu juga wajar diberi perhatian serius agar genre puisi tradisional yang
menyimpan khazanah ilmu alam, budaya dan pemikiran manusia ini mampu diteliti generasi
akan datang untuk mengenali susur galur adat dan budaya Melayu yang kaya dengan kiasan
dan perlambangan kata dalam mencerminkan pemikiran, jati diri dan keperibadian bangsa.

Anda mungkin juga menyukai