Anda di halaman 1dari 2

Penggunaan matematik dalam ekonomi

Matematik memainkan fungsi penting alam bidang ekonomi. Penelitian struktur program
sarjana muda dan ijazah lanjutan dalam bidang ekonomi, dan penulisan tesis oleh calon ijazah
lanjutan, dan hasil penyelidikan ahli akademik menunjukkan peningkatan yang nyata dalam
pengungkapan menggunakan matematik (termasuk statistik dan ekonometrik).
Laporan ekonomi seperti yang diterbitkan oleh Kementerian Kewangan, Bank Negara
Malaysia, institut penyelidikan seperti Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), dan
bahagian ekonomi akhbar utama, mengandaikan kecelikan matematik dan statistik yang baik
untuk seseorang itu memahami analisis ekonomi yang terkandung di dalamnya. Keputusan
yang dibuat dalam pasaran modal, saham dan kewangan banyak berasaskan kepada model
matematik.
Di sektor swasta, pengurus firma perlu tahu menggunakan pendekatan matematik untuk
merancang strategi firma yang bermatlamatkan keuntungan, seperti strategi memaksimumkan
jumlah hasil dan meminimumkan jumlah kos tertakluk kepada batasan tertentu seperti harga
input, harga output dan kuantiti input yang ditetapkan. Kenyataan tersebut menunjukkan
seseorang yang ingin memahami penyelesaian masalah ekonomi memerlukan pemahaman
teknik matematik yang bersesuaian.
Di kalangan pembuat dasar negara pula, terdapat beberapa alasan yang menyokong
kepentingan menggunakan kaedah matematik untuk tujuan perancangan. Pertama, model
ekonomi berguna kepada pembuat dasar yang berkaitan dengan pengurusan makroekonomi
yang mempunyai objektif seperti pertumbuhan ekonomi, kestabilan harga, guna tenaga penuh
dan keseimbangan imbangan pembayaran. Misalnya, terdapat banyak faktor yang
mempengaruhi pertumbuhan ekonomi, dan faktor itu lebih mudah diteliti jika dirangkumkan
ke dalam satu kumpulan, dan dikenalpasti faktor mana yang paling kuat mempengaruhi
pertumbuhan ekonomi.
Kedua, model struktur ekonomi boleh memberikan gambaran kasar mengenai potensi
ekonomi untuk mencapai matlamat pembangunan jangka panjang seperti pertumbuhan
pendapatan, pengwujudan peluang pekerjaan, pengagihan pendapatan dan pembasmian
kemiskinan. Model yang dibentuk juga membantu menerangkan kesan yang berlaku dari
pelbagai strategi alternatif yang dipilih.
Ketiga, model analisis kos faedah (benefit cost analysis, BCA) yang banyak digunakan oleh
pembuat dasar banyak membantu kerajaan dalam membuat keputusan tepat pemilihan
pelaburan awam yang memberikan pulangan ekonomi yang optimum.
Pada masa kini penumpuan yang lebih perlu diberikan untuk meningkatkan kemahiran asas
matematik di kalangan para pelajar. Pada masa yang sama, teknik pengajaran matapelajaran
matematik dikalangan para pendidik perlu diperbaiki untuk menjadikan subjek matematik
lebih menarik. Pelajar yang mempunyai asas matematik yang kukuh tentunya lebih
berkemampuan menghadapi cabaran di lapangan pekerjaan yang semakin mencabar pada
masa kini.
Sebagai kesimpulan, matematik memupuk dan melatih seseorang mempunyai keupayaan
analitikal yang baik. Justeru itu, bagi membolehkan universiti melahirkan siswazah ekonomi
yang bermutu, yang bakal menjadi penggubal dasar, penganalisis dan perancang ekonomi

yang berkesan sama ada disektor kerajaan, swasta atau bekerja sendiri, kandungan dan
pendedahan pelajar kepada matematik, statistik dan ekonometrik perlu dipertingkatkan.
(diubahsuai dari artikel yang ditulis oleh saya dan Dr. Mohammad Hj. Alias dalam Berita
Harian pada 16.8.2001)
Posted by Assoc. Prof. Dr. Jamal Ali
Rujukan : http://jamal7478.blogspot.com/2008/07/penggunaan-matematik-dalamekonomi.html

Anda mungkin juga menyukai