Anda di halaman 1dari 9

PENGENALAN

Sewa beli adalah salah satu kaedah yang paling kerap diamalkan oleh orang ramai untuk
memiliki kereta. Sebelum memasuki sesuatu perjanjian sewa beli bagi kereta persendirian, ada
baiknya anda menatap halaman ini untuk lebih mendalami hal-hal yang berkaitan dengannya.
Memahami langkah-langkah yang terlibat di dalam pembiayaan sewa beli boleh membantu anda
menjimatkan masa dan mengelakkan keraguan dan keresahan.
Halaman ini juga menyediakan panduan asas kepada anda dan menghuraikan istilah teknikal di
samping memberikan tip-tip yang berguna untuk memohon pembiayaan sewa beli.

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN SEWA BELI (SB)?


Sewa beli ialah aktiviti menyewa barangan dengan opsyen untuk membeli barangan tersebut.
Anda adalah penyewa dan syarikat yang membiayai barang-barang tersebut adalah pembiaya
dan juga pemilik. Hak milik hanya akan berpindah kepada penyewa selepas semua ansuran
dijelaskan. Sementara itu, anda boleh membawa pulang barangan tersebut untuk digunakan.

DI MANAKAH BOLEH DAPAT PEMBIAYAAN?


Anda boleh memohon pembiayaan SB daripada syarikat kewangan.

JENIS BARANGAN YANG BOLEH DIPEROLEHI SECARA SB


Pelbagai barangan boleh diperolehi secara SB, termasuk:

Semua barangan pengguna yang diperolehi untuk kegunaan peribadi, keluarga atau isi
rumah
Kenderaan bermotor termasuk kenderaan orang sakit, motosikal, motokar (termasuk
teksi dan kereta sewa), kenderaan barangan dan bas

Walau bagaimanapun, panduan untuk tatapan pengguna ini adalah diterbitkan khusus untuk SB
kenderaan bermotor milik persendirian.

DARI SUDUT UNDANG-UNDANG- AKTA SEWA BELI 1967


Semua transaksi SB adalah dikawal oleh Akta Sewa Beli 1967 (Akta SB). Butir-butir dan syaratsyarat yang terkandung di dalam perjanjian SB, hak di sisi undang-undang, tanggungjawab dan
tugas penyewa serta pembiaya ada diterangkan di dalam Akta SB. Akta SB ini adalah di bawah
bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

DARI SUDUT KEMAMPUAN


Sebelum memasuki perjanjian untuk membeli kenderaan bermotor melalui SB, pastikan dahulu
berapa yang anda mampu untuk bayar melalui ansuran bulanan supaya tidak lari daripada bajet.
Sebagai panduan, bayaran ansuran bulanan untuk rumah dan kenderaan bermotor hendaklah
tidak melebihi 33% daripada pendapatan bulanan rumah. Anda juga perlu menyediakan
peruntukan tambahan untuk insurans dan cukai jalan. Adalah juga mustahak anda meneliti
segala kewajipan dan tanggungjawab anda, termasuk penalti yang mungkin akan dikenakan
sebelum menandatangani perjanjian SB.

BERURUSAN DENGAN SYARIKAT KEWANGAN:


Perjanjian SB boleh dirunding secara terus dengan syarikat kewangan atau melalui pengedar

kenderaan bermotor yang akan mengemukakan permohonan pembiayaan anda kepada syarikat
kewangan.

Sekiranya anda berurusan secara terus dengan syarikat kewangan, anda akan diberi
penyata kewangan bertulis yang dikenali sebagai Jadual Kedua Bahagian I. Penyata ini
akan menerangkan tanggungjawab kewangan anda di bawah perjanjian SB yang
dicadangkan
Sekiranya anda berurusan melalui pengedar kenderaan bermotor, di samping Jadual
Kedua Bahagian I, anda akan menerima penyata tambahan yang dikenali sebagai Jadual
Kedua Bahagian II yang menyatakan persetujuan syarikat kewangan untuk menjadi
salah satu pihak kepada perjanjian tersebut. Bahagian ini hendaklah ditandatangani oleh
pengedar dan syarikat kewangan selepas anda menerima Bahagian I Jadual Kedua
Anda tidak boleh dipaksa untuk memasuki perjanjian SB ataupun dikehendaki
menjelaskan kos menyediakan dan mendapatkan Jadual Kedua sekiranya anda tidak
bersetuju untuk menandatangani perjanjian SB tersebut
Anda tidak tertakluk kepada terma dan syarat-syarat penyata Jadual Kedua (Bahagian I
dan II) selagi anda tidak memasuki perjanjian SB tersebut
Sekiranya anda bersetuju untuk menyewa kenderaan bermotor tersebut selepas
menerima penyata Jadual Kedua (Bahagian I dan II), satu perjanjian SB akan dibuat di
antara anda dan syarikat kewangan

PERJANJIAN SB
Perjanjian SB seharusnya mengandungi maklumat-maklumat penting berikut:

Perihal kenderaan bermotor yang dibiayai


Pengiraan jumlah yang perlu dibayar
Deposit minimum
Caj terma dan Kadar Peratus Tahunan untuk caj terma
Caj lewat bayar
Tarikh permulaan sewa
Bilangan ansuran bulanan
Jumlah ansuran bulanan
Kepada siapa, bila dan di mana pembayaran ansuran bulanan perlu dibuat
Alamat di mana kenderaan bermotor biasanya disimpan

Anda hendaklah memastikan bahawa butir-butir yang terkandung di dalam perjanjian adalah
sama dengan butir-butir yang terdapat di penyata Jadual Kedua
Perjanjian tersebut akan disetemkan pada kadar nominal atas tanggungan anda
Anda tidak memerlukan khidmat peguam untuk memasuki sebarang perjanjian SB

DEPOSIT MINIMUM
Deposit minimum ialah 10% daripada harga tunai kenderaan bermotor. Walau bagaimanapun,
syarikat kewangan boleh mengenakan deposit yang lebih tinggi.

CAJ TERMA (KADAR FAEDAH)

Caj terma maksimum yang boleh dikenakan oleh syarikat kewangan ialah pada kadar sama rata
sebanyak 10% setahun. Kadar peratusan sama rata ini dikenakan sepanjang tempoh SB.
Sekiranya anda dikenakan kadar faedah sama rata sebanyak 10% sepanjang tempoh 5 tahun
untuk pembiayaan SB sebanyak RM50,000, kadar peratus tahunan yang anda bayar ialah
17.3%.

CAJ LEWAT BAYAR


Caj lewat bayar maksimum yang boleh dikenakan oleh syarikat kewangan ialah 8% setahun
dikira berasaskan baki harian ke atas ansuran yang tertunggak.

PENJAMIN
Syarikat kewangan akan membuat penilaian kredit ke atas pemohon kemudahan SB.
Berdasarkan kepada keputusan penilaian kredit tersebut, syarikat kewangan mungkin
memerlukan penjamin untuk kemudahan SB sebagai cagaran tambahan kepada kemudahan SB
tersebut. Penjamin dikehendaki menandatangani surat jaminan. Penjamin akan menerima
sesalinan perjanjian SB dan menanggung liabiliti ke atas kemudahan SB tersebut. Sekiranya
penyewa ingkar membuat pembayaran, penjamin bertanggungjawab untuk menjelaskan jumlah
yang tertunggak bagi kemudahan SB ini, termasuk faedah tertunggak.

PENGIRAAN CAJ TERMA


Caj terma, iaitu faedah, adalah dikira seperti di bawah. Contohnya, sekiranya anda mengambil
pembiayaan sebanyak RM50,000 pada kadar 10% setahun selama lima tahun.

Faedah ke atas pembiayaan SB dikira berasaskan jumlah pembiayaan permulaan dan


bukannya berasaskan baki belum jelas sebagaimana pinjaman lain.

PENGIRAAN ANSURAN SB
Menggunakan contoh tadi,

INSURANS

Syarikat kewangan bertanggungjawab menginsuranskan kenderaan bermotor di bawah


nama anda untuk tahun pertama sahaja. Untuk tahun-tahun yang berikutnya, adalah
tanggungjawab anda sebagai penyewa untuk memperbaharui polisi insurans
Sekiranya anda gagal untuk memperbaharui polisi, syarikat kewangan akan
menginsuranskan kenderaan bermotor anda dan mengenakan sebarang kos berkaitan
ke atas anda
Sesalinan resit insurans akan diserahkan kepada anda
Mengikut amalan biasa, polisi insurans yang diperlukan oleh syarikat kewangan ialah
yang bersifat komprehensif

PENYERAHAN PERJANJIAN SB
Anda dan penjamin (jika ada) akan diberi sesalinan perjanjian SB dalam masa 14 hari selepas
perjanjian dimeterai.

PENYELESAIAN AWAL
Anda boleh memilih untuk menyelesaikan lebih awal baki hutang di bawah perjanjian SB.
Sekiranya anda berbuat demikian, anda berhak untuk mendapat rebat ke atas faedah.
Mengikut contoh tadi, tempoh SB anda ialah 5 tahun (60 bulan). Setelah membayar ansuran
selama 4 tahun (48 bulan), anda ingin menyelesaikan pembiayaan tersebut. Anda berhak
mendapat rebat ke atas faedah bagi baki tempoh pembayaran balik yang tinggal sebanyak 12
bulan (iaitu, 60 bulan - 48 bulan = 12 bulan).
Pengiraan rebat ke atas faedah mengikut contoh tadi adalah seperti berikut:
Jumlah faedah ke atas jumlah pembiayaan ialah RM25,000.

HAK ANDA SEBAGAI PENYEWA


Anda mempunyai hak-hak seperti berikut:

Menerima sesalinan perjanjian SB


Memperolehi sebarang maklumat mengenai akaun anda
Meminta penyata baki belum jelas (sekali setiap 3 bulan)
Menyelesaikan kemudahan SB lebih awal
Menamatkan perjanjian SB pada bila-bila masa

TANGGUNGJAWAB ANDA SEBAGAI PENYEWA


Anda mempunyai tanggungjawab berikut:

Tidak memindahkan atau menjual kenderaan bermotor tanpa persetujuan syarikat


kewangan
Membayar ansuran mengikut jadual
Memberitahu syarikat kewangan jika berlaku sebarang pertukaran alamat
Tidak gagal menginsuranskan kenderaan bermotor selepas tahun pertama dan
memberitahu syarikat kewangan mengenai pembaharuan polisi insurans tidak lewat 14
hari sebelum polisi sekarang luput

HAK SYARIKAT KEWANGAN


Syarikat kewangan mempunyai hak-hak seperti berikut:

Menarik balik kenderaan bermotor bila anda ingkar dalam membuat pembayaran
Menggesa anda menginsuranskan kenderaan bermotor
Mengenakan fi ke atas anda bagi tujuan menguatkuasakan perjanjian SB

HAK PENJAMIN
Sebagai penjamin di bawah perjanjian SB, anda mempunyai hak-hak seperti berikut:

Menerima sesalinan perjanjian SB


Menerima semua notis pembayaran yang dihantar oleh syarikat kewangan kepada
peminjam
Dilepaskan daripada liabiliti sebaik sahaja jumlah yang terhutang kepada syarikat
kewangan dibayar dengan sepenuhnya
Mengambil tindakan undang-undang terhadap penyewa kerana gagal melaksanakan
tanggungjawab
Dibayar ganti rugi oleh penyewa terhadap tuntutan-tuntutan oleh syarikat kewangan
selepas anda membayar jumlah hutang kepada syarikat kewangan

MENARIK BALIK KENDERAAN BERMOTOR


Sebagai penyewa, anda hendaklah memastikan bahawa ansuran bulanan dibayar mengikut
jadual. Syarikat kewangan boleh menarik balik kenderaan bermotor yang disewa kepada anda
bila:

Anda ingkar membayar dua ansuran berturut-turut atau ansuran terakhir


Jika penyewa meninggal dunia, keingkaran berlaku untuk empat ansuran berturut-turut

SIAPAKAH YANG BOLEH MENARIK KENDERAAN BERMOTOR ANDA?


Biasanya syarikat kewangan akan melantik penarik yang berdaftar dengan Persatuan SyarikatSyarikat Sewa Beli Malaysia untuk menarik balik kenderaan bermotor. Sebelum menarik balik
kenderaan bermotor, penarik mestilah menunjukkan kad pengenalannya, kad kuasa dan surat
arahan penarikan yang dikeluarkan oleh syarikat kewangan yang membenarkan penarik
mengambil kenderaan bermotor tersebut. Anda boleh meminta untuk melihat kad pengenalan
dan kad kuasanya sebelum menyerahkan kenderaan bermotor anda.

PERILAKU PENARIK
Penarik haruslah menunjukkan sikap profesional semasa menjalankan tugas menarik kenderaan
bermotor daripada anda. Persatuan Syarikat-Syarikat Kewangan Malaysia telah mengeluarkan
"Garis Panduan Mengenai Perlantikan dan Perilaku Penarik" untuk dipatuhi oleh penarik dan
untuk melindungi kepentingan penyewa. Di antara peraturan tersebut adalah seperti berikut:

Penarik hendaklah menunjukkan kepada penyewa Perintah Penarikan dan kad kuasa
yang diberi oleh syarikat kewangan sebelum menarik kenderaan bermotor
Mereka yang ditugaskan untuk menarik kenderaan bermotor hendaklah seminimum
mungkin, melainkan dalam keadaan yang memerlukan kumpulan yang lebih ramai
Penarik hanya boleh memasuki premis dengan izin penghuninya atau penyewa
kenderaan bermotor itu sendiri
Penarik hendaklah kelihatan profesional dan bertindak secara profesional
Bertindak secara kekerasan dan paksaan adalah dilarang sama sekali
Penyewa hendaklah diberi masa yang mencukupi untuk mengeluarkan barang-barang
peribadi daripada kenderaan bermotor yang akan ditarik
Selepas kenderaan bermotor ditarik, penarik hendaklah membuat laporan polis dengan
serta-merta dan membawa kenderaan bermotor tersebut ke tempat yang diarahkan oleh
syarikat kewangan terbabit

Sekiranya penarik melanggar peraturan di atas, anda boleh membuat aduan kepada syarikat
kewangan terbabit atau kepada Persatuan Syarikat-Syarikat Sewa Beli Malaysia.

SEBELUM KENDERAAN BERMOTOR DITARIK


Syarikat kewangan anda seharusnya telah menghantar notis-notis berikut:

Notis Jadual Keempat. Ini adalah merupakan notis bertulis 21 hari yang menyatakan
hasrat syarikat kewangan untuk menarik kenderaan bermotor
14 hari selepas tarikh notis Jadual Keempat, notis kedua akan dikeluarkan untuk
memberitahu anda bahawa syarikat kewangan berhasrat untuk menarik kenderaan
bermotor selepas luput notis Jadual Keempat

Catatan:
Sila ambil perhatian bahawa menurut Akta SB, notis akan dihantar oleh syarikat kewangan itu
sendiri atau melalui pos berdaftar ke alamat terakhir yang diketahui.
APA YANG PERLU ANDA BUAT?

Anda boleh membayar jumlah tertunggak seperti yang tertera di dalam notis Jadual
Keempat sebelum luput 21 hari seperti yang dinyatakan di dalam notis Jadual Keempat.
Dengan berbuat demikian, kenderaan bermotor anda tidak akan ditarik balik
Anda boleh memulangkan kenderaan bermotor kepada syarikat kewangan sebelum luput
21 hari notis Jadual Keempat. Anda akan dikehendaki menyelesaikan baki hutang
selepas ditolak nilai kenderaan bermotor

TARIKH PENARIKAN
Penarikan boleh dijalankan pada bila-bila masa selepas luput 21 hari sebagaimana yang
dinyatakan di dalam notis Jadual Keempat.

SELEPAS KENDERAAN BERMOTOR DITARIK


Sebaik sahaja kenderaan bermotor anda ditarik, syarikat kewangan hendaklah memberi kepada
anda dokumen bertulis yang mengesahkan penerimaan kenderaan bermotor tersebut. Sekiranya
anda tidak dapat dihubungi, dokumen tersebut akan dihantar kepada anda secepat mungkin.
Dalam masa 21 hari selepas penarikan, syarikat kewangan akan memberi kepada anda dan
setiap penjamin notis Jadual Kelima yang membenarkan anda membayar balik jumlah hutang
kepada syarikat kewangan.
APAKAH TINDAKAN ANDA SETERUSNYA?
Sebelum tempoh 21 hari seperti yang tertera di dalam notis Jadual Kelima luput, anda boleh
meminta syarikat kewangan untuk memulangkan kenderaan bermotor anda dengan:

Menjelaskan semua jumlah yang tertunggak dan belanja tunai langsung (termasuk kos
penyimpanan, pembaikan atau penyelenggaraan, kos penarikan dan penghantaran balik)
yang ditanggung oleh institusi kewangan; atau
Membayar balik jumlah baki hutang sepenuhnya dan menyelesaikan semua belanja tunai
langsung (termasuk kos penarikan, penyimpanan, pembaikan atau penyelenggaraan

Anda boleh juga memperkenalkan seorang bakal pembeli yang berminat untuk membeli
kenderaan bermotor anda pada harga yang ditetapkan dalam notis tersebut

HAK SYARIKAT KEWANGAN TERHADAP KENDERAAN BERMOTOR YANG DITARIK


Sekiranya anda atau penjamin anda tidak menyelesaikan jumlah belum jelas seperti yang
ditetapkan dalam notis Jadual Kelima dalam tempoh 21 hari selepas notis Jadual Kelima dihantar
kepada anda, syarikat kewangan berhak menjual kenderaan bermotor tersebut melalui lelongan
awam atau jualan terus.
Sekiranya syarikat kewangan menjual kenderaan bermotor melalui:

Lelongan awam, syarikat kewangan berkenaan perlu memberi sesalinan notis lelongan
awam tersebut kepada anda, 14 hari sebelum tarikh lelongan
Kaedah yang selain daripada lelongan awam, syarikat kewangan hendaklah memberi
opsyen kepada anda untuk membeli kenderaan bermotor tersebut sekiranya syarikat
kewangan berhasrat untuk menjual pada harga yang lebih rendah daripada harga
anggaran yang ditetapkan di dalam notis Jadual Kelima

BAKI HUTANG SELEPAS PENARIKAN


Anda dan penjamin masih bertanggungjawab untuk menyelesaikan baki hutang kepada syarikat
kewangan walaupun kenderaan bermotor telah dilelong. Anda perlu juga menanggung
perbelanjaan yang berkaitan dengan lelongan tersebut.

NASIHAT KEPADA PENYEWA


Kena Buat

Pastikan bahawa semua perjanjian dibuat secara bertulis


Baca setiap cetakan halus pada perjanjian bertulis
Pastikan bahawa harga belian dan terma SB dalam perjanjian adalah sebagaimana yang
telah dipersetujui
Pastikan bahawa anda mampu membayar ansuran bulanan sepanjang tempoh
pembiayaan
Pastikan anda mengetahui hak-hak anda di bawah Akta SB
Pastikan anda mengetahui tanggungjawab anda di bawah kontrak SB untuk memastikan
bahawa anda tidak melakukan apa-apa tindakan yang melanggar kontrak
Segala dokumen yang berkaitan perjanjian SB seperti surat perjanjian, resit dan
sebagainya hendaklah disimpan di tempat selamat
Semua pembayaran mestilah dibuat kepada orang yang diberi kuasa oleh syarikat
kewangan

Jangan Buat

Menandatangani perjanjian atau borang kosong atau dokumen yang tidak lengkap
Menerima surat perjanjian yang tidak ditandatangani
Menghilangkan sebarang dokumen berkaitan dengan perjanjian SB
Membayar ansuran bulanan kepada seseorang, pengedar atau ejen yang tidak diberi
kuasa oleh syarikat kewangan
Gagal memaklumkan syarikat kewangan jika berlaku pertukaran alamat
Menjual atau memindah hak milik atau menyerahkan kenderaan bermotor kepada pihak
ketiga tanpa persetujuan syarikat kewangan

Anda mungkin juga menyukai