Anda di halaman 1dari 3

LAPORAN AKTIVITI KELAB TENPIN BOWLING UITM PUNCAK ALAM

Pada 6 Februari 2013 yang lalu, Kelab Tenpin Bowling Asasi Uitm Puncak
Alam di bawah naungan Encik Zamri Bin Abu Bakar telah mengadakan Kejohanan
Tenpin Bowling Antara Ahli Kelab di Sunway Megalanes, Sunway Pyramid,
Selangor. Kejohanan ini terpaksa dilaksanakan di luar kawasan UiTM Puncak Alam
kerana pihak UiTM tidak menyediakan kemudahan bowling di dalam kampus. Aktiviti
ini juga dilaksanakan di tempat tersebut kerana harganya yang murah dan
berpatutan terhadap para pelajar. Seramai 52 orang ahli kelab termasuk seorang
pegawai pengiring telah mengikuti program ini. Kami telah diarahkan berkumpul di
pondok bas berdekatan dengan Kolej Kemudahan Pelajar Rafflesia pada pukul 3.00
petang sebelum bertolak ke tempat pertandingan. Kami ke sana dengan menaiki
sebuah bas dan sebuah van.

Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang satu jam kerana kesesakan
lalu lintas yang amat teruk. Kami selamat tiba di Sunway Pyramid pada pukul 4.00
petang. Setiap ahli kelab telah diarahkan untuk pergi solat asar di surau dan
diarahkan berkumpul semula di tempat bowling pada pukul 5.00 petang kerana
kejohanan kami akan bermula tepat pukul 5.30 petang. Setelah berkumpul di tempat
pertandingan, kami diberikan kumpulan dan lorong untuk bertanding. Para peserta
telah mengambil kasut dan bola masing-masing dan bersedia di lorong yang telah
ditetapkan. Tepat pukul 5.30 petang, kesemua 14 lorong yang telah ditempah dibuka
dan kesemua peserta dibenarkan untuk membuat balingan latihan selama 5 minit.
Peserta bersungguh-sungguh membuat balingan latihan bagi memanaskan badan
sebelum pertandingan sebenar bermula. Setelah 5 minit berlalu, kesemua lorong
tadi ditutup semula dan para peserta tidak sabar untuk memulakan pertandingan.

Kejohanan diadakan sebanyak 3 permainan. Kesemua peserta menunjukkan


bakat dan kehebatan masing-masing bagi memenangi pertandingan tersebut.
Kejohanan ini juga diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara ahli
kelab dan mengasah bakat-bakat terpendam yang terdapat pada setiap ahli kelab.

Kejohanan tersebut selesai pada pukul 8.00 malam. Para peserta keletihan dan
telah dibekalkan dengan roti dan air minuman. Pada hari yang sama juga, terdapat
pertandingan bowling peringkat Malaysia dipertandingkan. Para peserta dibenarkan
solat dan makan malam di dalam kawasan Sunway Pyramid dan diminta berkumpul
semula di tempat bowling pada pukul 9.30 malam bagi menyaksikan perlawanan
tersebut. Tujuannya adalah bagi memperlihatkan kepada ahli kelab mengenai cara
pertandingan bowling sebenar diadakan di peringkat tinggi. Kesemua ahli kelab
menonton pertandingan tersebut dengan penuh minat.

Tepat pada pukul 10.00 malam, kami semua bersiap sedia untuk pulang ke
UiTM Puncak Alam. Bas dan van akan menunggu kami pada pukul 10.30 malam di
tempat yang telah diberitahu setibanya kami di sana. Ada antara ahli kelab yang
masih sempat untuk berkunjung ke kedai buku Popular sebelum pergi ke tempat
berkumpul. Pengangkutan pulang sedikit lewat kerana kesesakan yang berlaku.
Sebuah van yang dipenuhi dengan 10 orang ahli telah bertolak pulang terlebih
dahulu manakala bas tiba di tempat berkumpul 10 minit kemudian. Setelah mengira
bilangan ahli, kami bertolak pulang ke UiTM Puncak Alam. Perjalanan mengambil
masa lebih kurang 45 minit dan kami semua selamat tiba di UiTM Puncak Alam
pada pukul 11.15 malam. Kesemua peserta telah menandatangani borang kehadiran
dan selamat kembali ke bilik masing-masing untuk meneruskan pembelajaran.
Antara gambar-gambar semasa pertandingan dijalankan :

Tiada sesi penyampaian hadiah pada aktiviti kali ini kerana kesemua ahli
kelab telah bersetuju untuk mengumpul dana yang ada dan membeli hadiah pada
aktiviti terakhir yang akan dilaksanakan di Klang Parade. Hadiah akan disampaikan
mengikut kumpulan dan juga individu yang meraih jumlah pungutan jatuhan pin yang
tertinggi selepas ketiga-tiga aktiviti dijalankan. Diharapkan aktiviti seperti ini dapat
dijalankan lagi. Melalui aktiviti ini, banyak manfaat yang diperoleh seperti dapat
mengeratkan lagi hubungan antara ahli kelab. Selain itu,aktiviti ini juga dapat
merapatkan lagi hubungan ahli kelab dengan penasihat kelab bowling iaitu En.Zamri
Bin Abu Bakar. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada En. Zamri Bin
Abu Bakar yang banyak membantu bagi menjayakan aktiviti ini. Tidak lupa juga
kepada ahli jawatankuasa tertinggi kelab dan semua ahli kelab yang lain kerana
telah memberi komitmen yang amat tinggi bagi menjayakan aktiviti ini. Sekian.

..
(MUHAMMAD NUR SYAFIQ BIN SINWAN)
Pengerusi,
Kelab Tenpin Bowling,
UiTM Puncak Alam.

Anda mungkin juga menyukai