Anda di halaman 1dari 2

Faktor kepupusan penyu

Selain menyalahkan manusia sebagai antara punca kepupusan penyu, faktor alam sekitar atau pencemaran juga
antara penyebabnya.
Manusia menjadi ancaman utama kerana apabila mereka mengutip telur penyu, mereka akan kutip 100 peratus
telur.
Menurut Ketua Projek Unit Penyelidikan Penyu (SEATRU), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Juanita
Joseph, disebabkan ancaman semula jadi penyu adalah tinggi, maka sekiranya telur dikutip, peratus anak yang
menjadi dewasa lebih rendah.
Dalam 1,000 anak penyu yang dilepaskan, mungkin seekor sahaja yang mencapai dewasa (matang). Penyu
lambat matang, sebab banyak ancaman,'' ujar beliau.
Katanya, selain manusia, pencemaran juga boleh membunuh penyu.
Sebagai contoh katanya, masalah pembuangan sampah di laut menyebabkan penyu terperangkap dan cedera dan
boleh membunuh.
Selain itu, banyak penyu juga mati tersangkut dalam pukat nelayan.
Pencemaran laut juga boleh mengurangkan rumpai laut dan karang. Sekiranya kawasan tersebut kurang sihat,
maka penyu akan kebuluran.
Bagaiamanapun Dr. Juanita memberi keyakinan, bagi memastikan penyu tidak pupus, SEATRU akan terus
membuat pemuliharaan jangka masa panjang.
Tegasnya, SEATRU tidak akan berhenti walaupun sampai bila-bila masa.
Pengasas SEATRU telah bersara dan bayangkan anak penyu yang mereka lepaskan pada tahun 1993, baru
mula bertelur pada 2013.
Usaha memulihara perlu diteruskan sampai bila-bila. Oleh itu kami juga terpaksa bekerja keras mencari
kewangan untuk teruskan projek pemuliharaan ini,''katanya lagi.
Outreach program juga akan diteruskan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai.
Kata beliau, meski pun kerajaan tidak meluluskan pengharaman penjualan telur penyu tetapi sekiranya orang
ramai tahu mengenai kepentingan dan sayangkan haiwan tersebut, mungkin tidak perlu undang-undang
berkaitan .
Menurut Juanita, walaupun banyak telah dilakukan dalam program pemuliharaan tetapi masih banyak lagi
perkara perlu diketahui mengenai biologi dan ancaman penyu.
Kami akan terus membuat kajian supaya dapat meningkat populasi penyu di Malaysia,''ujarnya.
Sebagai contoh, penyelidikan yang terbaharu SEATRU dan yang pertama di rantau Asia Tenggara adalah untuk
mencari di mana anak penyu semasa lost years mereka.
Beliau mahu supaya SEATRU akan menjadi pusat rujukan penyu yang terulung di Asia Tenggara nanti.

Malah pihaknya gembira dengan peningkatan jumlah sarang penyu pada tahun 2013 di Chagar Hutang.
Ini merupakan petanda awal usaha yang dijalankan selama 20 tahun ini telah membawa hasil.
SEATRU juga melatih saintis muda dalam bidang penyu sebagai persediaan untuk menyambung aktiviti
penyelidikan dan pemuliharaan penyu tersebut nanti. Ini kerana pemuliharaan penyu akan dijalankan sampai
bila-bila masa.
Bermula 1990an, program pemuliharaan penyu di negara ini sangat baik mengikut piawaian yang telah
ditentukan. Sudah banyak kawasan diwartakan sebagai santuari. Masalah sekarang hanyalah tiada pengharaman
penjualan telur penyu agar dan karah di Semenanjung Malaysia.
Walaupun Sabah dan Sarawak mengharamkan penjualan telur penyu, tetapi aktiviti penyeludupan telah
meningkat ekoran penjualan telur di Semenanjung tidak diharamkan.
UMT memang menyeru dalam pengharaman telur penyu tersebut tapi sampai sekarang kerajaan belum lagi
menyokong pengharaman ini.
Bagaimanapun menurut Juanita, tidak semua program pemuliharaan penyu di Malaysia berjaya sebaliknya ada
juga yang gagal
Sebagai contoh, masalah dihadapi dalam program pemuliharaan penyu belimbing di Rantau Abang. Terengganu.
Walaupun usaha pemuliharaan dijalankan pada tahun 1960an, tetapi pada tahun 2000 penyu belimbing telah
berada diambang kepupusan.
Sekiranya ada yang bertelur sekali pun, telur tidak menetas. Ada banyak sebab pemuliharaan penyu belimbing
itu tidak berjaya. Antaranya:
Pengeraman telur tidak dibuat 100 peratus. Hanya 10 peratus sahaja telur dieram manakala selebihnya dijual di
pasar. Hanya pada tahun 1986, barulah penjualan telur penyu belimbing diharamkan.
Suhu memainkan peranan dalam penghasilan jantina anak penyu. Semua telur dieram di pusat penetasan
terbuka dan hasilkan 100 peratus betina.
Tiada pengawalan penangkapan ikan pada masa itu. Banyak penyu belimbing mati tersangkut pada pukat. Penyu
belimbing juga berhijrah agak jauh sehingga ke kawasan temperat. - LAUPA JUNUS

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Sains_&_Teknologi/20140303/st_04/Faktorkepupusan-penyu#ixzz3rNoNK3e4


Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai