Anda di halaman 1dari 5

Adat Kelahiran

Anak atau zuriat adalah suatu kurniaan Tuhan yang tidak ternilai bagi setiap pasangan
suami isteri. Bagi masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam, adalah dipercayai
setiap anak yang dilahirkan mempunyai rezekinya masing-masing, justeru itu setiap
kelahiran itu perlu disyukuri.
Dalam aspek kelahiran ini, masyarakat Melayu banyak mengamalkan adat-adat tertentu
yang diwarisi sejak turun temurun. Ia merangkumi peringkat sewaktu mengandung,
bersalin dan selepas lahir.
1. Mengandung
1.1 Melenggang Perut

Adat ini juga dipanggil Kirim Perut oleh masyarakat Melayu di bahagian utara Semenanjung
Malaysia dan di sesetengah tempat dikenali sebagai Mandi Tian. Upacara ini dilakukan
kepada wanita yang mengandung anak sulung ketika kandungan berusia dalam lingkungan
tujuh atau lapan bulan.
Ia dijalankan oleh seorang bidan untuk membuang geruh atau kecelakaan yang mungkin
menimpa wanita hamil yang bakal bersalin dan bagi membetulkan kedudukan bayi di
dalam perut.
Peralatan untuk upacara ini termasuk:
- Tujuh helai kain dengan tujuh warna berlainan
- Segantang beras
- Sebiji kelapa
- Beberapa urat benang mentah
- Damar
- Minyak kelapa atau minyak urut

Adat Kelahiran
- Lilin
- Tepak sirih yang lengkap isinya
- Pengeras sebanyak RM1.25
Pada permulaannya bidan akan membacakan jampi mentera dan mengandam wanita hamil
tadi. Tepung tawar dicalit ke mukanya dan beras kunyit ditabur.
Seterusnya adat mandi sintuk limau dan air buyung dilakukan. Sebiji telur diselitkan di kain
basahan iaitu di bahagian perutnya dan sebuah cermin kecil dibawa bersama.
Wanita itu didudukkan di atas kerusi di mana pada kaki kerusi itu ditambat seekor ayam.
Kemudian air buyung dijiruskan ke badannya manakala telur tadi dilepaskan atau dijatuhkan
dengan kepercayaan ia akan memudahkan wanita tadi bersalin.
Setelah membersihkan badan, wanita itu bercermin muka dengan harapan anak yang bakal
lahir nanti mempunyai rupa paras yang cantik. Setelah acara itu selesai bidan akan
membentangkan ketujuh-tujuh helai kain berbentuk melintang sehelai di atas sehelai yang
lain.
Ibu yang hamil dibaringkan di atas lapisan kain-kain tersebut. Bidan akan mengurut ibu yang
hamil dengan menggunakan minyak kelapa atau minyak urut.
Bidan mengambil buah kelapa yang telah dibersihkan lalu menggulingkannya perlahanlahan di atas perut terus ke hujung kakinya sebanyak tujuh kali.
Adalah dipercayai sekiranya kelapa berhenti bergolek dengan matanya ke atas, anak yang
dikandungnya adalah lelaki dan perempuan jika sebaliknya. Akhirnya bidan akan
melenggangkan setiap helai kain tersebut pada perut wanita hamil itu.
Mengikut adatnya, kain yang di bawah sekali diberikan kepada bidan beserta dengan
peralatan upacara tadi. Lazimnya pada hari tersebut, kenduri doa selamat akan diadakan
dan ibu yang menjalani upacara ini dipakaikan dengan pakaian baru. Adalah dipercayai adat
ini mengandungi unsur-unsur budaya Hindu.
2. Sewaktu Bersalin
Apabila hampir tiba waktu bersalin, persediaan akan diuruskan oleh keluarga berkenaan.
Mengikut kebiasaannya kandungan ketika itu sudah cukup sembilan bulan sepuluh hari.
Tetapi adakalanya tempoh kehamilan boleh mencapai sehingga sepuluh hingga dua belas
bulan yang dipanggil bunting kerbau.
Mengikut kepercayaannya juga daun mengkuang berduri akan digantung di bawah rumah
dan kapur akan dipangkah pada tempat-tempat tertentu di dalam rumah wanita yang
hendak bersalin tadi bagi mengelakkan gangguan makhluk halus.
Di samping itu juga, terdapat beberapa adat yang perlu dijalankan semasa menyambut
kelahiran ini.
2.1 Potong Tali Pusat
Sejurus selepas bayi lahir, bidan akan menyambutnya dengan jampi dan serapah lalu
disemburkan dengan daun sirih. Selepas bayi dibersihkan, tali pusatnya akan dipotong
dengan menggunakan sembilu buluh dan dialas di atas sekeping wang perak satu ringgit.

Adat Kelahiran
Di sesetengah tempat tali pusat dipotong menggunakan cincin emas. Baki tali pusat di perut
bayi akan dibubuh kunyit dan kapur lalu dibungkus dengan daun sirih yang telah dilayukan
di atas bara api sehinggalah tali pusat itu tanggal sendiri.
2.2 Azan/Qamat

Kelazimannya bayi lelaki akan diazankan di kedua-dua belah telinganya manakala bayi
perempuan akan diqamatkan. Biasanya, bapa atau datuk bayi tersebut akan melakukan
upacara ini. Ia bukanlah satu adat, sebaliknya lebih merupakan amalan berunsur
keagamaan.
2.3 Membelah/Mulut

Adat ini mempunyai pengaruh budaya Hindu, namun demikian ia juga terdapat dalam
agama Islam yang menghukumkan sunat untuk berbuat demikian.
Upacara bermula dengan membacakan surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas. Ia diikuti
dengan langkah mencecap atau merasakan sedikit air madu atau kurma dan ada juga yang
menggunakan emas yang dicelupkan ke dalam air pinang pada mulut bayi yang baru lahir
tersebut.
Sewaktu menjalankan upacara ini, jampi mentera dibacakan. Namun demikian, adat ini
sudah tidak diamalkan lagi oleh masyarakat Melayu hari ini.
2.4 Berpantang

Adat Kelahiran

Dalam masyarakat Melayu, wanita yang telah bersalin mesti menjalani masa berpantang
yang bermaksud larangan.
Sekiranya wanita tersebut melanggar pantang, mereka akan mengalami bentan atau sakit
sampingan. Tempoh berpantang lazimnya berlangsung selama empat puluh empat hari
dikira dari hari mula bersalin dan ada juga yang berpantang selama seratus hari.
2.5 Tempoh Berpantang
Dalam tempoh ini wanita tersebut dilarang dari makan sebarang makanan mengikut
kehendaknya atau berbuat apa-apa kerja yang memerlukan banyak pergerakan.
Antara makanan yang dilarang keras ialah yang boleh mengakibatkan kegatalan di seluruh
anggota badan seperti udang, kerang, ketam dan ikan pari serta memakan ikan yang
mempunyai sengat seperti ikan keli, sembilang dan baung kerana ia boleh menyebabkan
bisa-bisa pada badan.
Sebaliknya mereka digalakkan memakan nasi dengan ikan haruan yang dibakar, direbus dan
dibenarkan minum air suam atau susu.
2.6 Bertungku

Selama berpantang mereka diberi makan ubat-ubat tradisi dan bertungku. Bertungku
dipercayai dapat membantu perut wanita bersalin kembali normal.
Biasanya tungku diperbuat dari batu yang dipanaskan di atas bara. Kemudian tungku itu
dibalut dengan kain yang di lapik dengan beberapa helai daun yang tebal seperti daun
lengkuas yang dipercayai dapat mengimbangi kepanasan tungku di samping berfungsi
sebagai ubat.
Tungku akan dituam pada bahagian perut dan bahagian lain bertujuan untuk mengatasi
masalah kesakitan selepas bersalin. Selesai bertungku, si ibu akan menyapu perutnya
dengan air limau yang dicampur dengan kapur sebelum memakai bengkung.
Amalan berbengkung ini bertujuan untuk mengatasi perut buncit atau pinggul yang turun
selepas bersalin di samping memberi keselesaan kepada wanita selepas bersalin.

Adat Kelahiran

Anda mungkin juga menyukai