Anda di halaman 1dari 2

ISTILAH DALAM KOMPONEN SASTERA

1. Personafikasi:
Personafikasi bermaksud member unsur manusia atau benda hidup kepada bukan benda
hidup.
Contoh:
i. Angin sepoi bahasa di pinggiran pantai itu menampar pipiku. (menampar ialah perbuatan
manusia)
ii. Dedaun kelapa di pantai melambaiku riang. (melambai/ riang ialah perbuatan/sifat
manusia)
2. Metafora:
Metafora bermaksud perbandingan sesuatu dengan sesuatu yang lain secara langsung
tanpa menggunakan kata bandingan iaitu seperti, bak, umpama dan sebagainya.
Contoh:
i. Rambut puteri itu mayang mengurai dan cantik sekali.
ii. Suaranya lantang guruh sambut menyambut.
3. Simile:
Simile bermaksud perbandingan sesuatu dengan sesuatu yang lain dengan menggunakan
kata bandingan iaitu seperti, umpama, bak, bagai, se dan sebagainya.
Contoh:
i. Hatinya hampa bagai kaca jatuh ke batu.
ii. Suaranya merdu seperti buluh perindu.
4. Inversi:
Inversi ialah pembinaan struktur frasa ayat atau ayat yang terbalik.
Contoh:
i. Panas cuaca petang itu melelahkan tubuhnya. (sepatutnya cuaca panas)
ii. Kopi secawan diteguknya puas-puas. (sepatutnya secawan kopi)
5. Sinkop:
Sinkop bermaksud singkatan perkataan.
Contoh:
i. Dia dah datang semalam, Pak Abu kata Ariff perlahan.
ii. Biarlah kubawa diri yang terluka ini, balas Wan Kamariah.
6. Anafora:
Anafora bermaksud pengulangan perkataan pada awal baris atau ayat.
Contoh:
i. Dia masih berdiri di situ. Dia mengingati saat manisnya di kota Paris.
ii. Masihkah lagi kau mengingatiku. Masihkah lagi detik itu kau ingati.
7. Epifora:
Epifora bermaksud pengulangan perkataan pada akhir baris atau ayat.
Contoh:
i. Hatinya mengimbas luka lama. Perasaannya masih terpilu oleh luka lama.
ii. Biarlah Dila menangis. Atau Shafik juga akan menangis.

8. Diksi:
Diksi bermaksud pemilihan perkataan yang sesuai dengan sesuatu cerita yang ditulis.
i. Contoh: (Katakan cerita tentang perjuangan seorang tentera)
Dia menggalas rifel dan melakukan serangan hendap di garisan hadapan platun itu.
ii. Contoh: (Katakan cerita tentang cinta/ kasih sayang)
Hatinya terlalu rindu. Belaian kemesraan itu sering kudambakan.
9. Asonansi:
Asonansi selalunya digunakan bagi mengulas sesuatu hasil puisi (sajak/ pantun/syair dan
sebagainya). Asonansi bermaksud pengulangan vokal dalam sesuatu baris ayat.
Contoh:
i. Di sini kita masih tercari-cari erti harga diri sendiri.
Pengulangan vokal i sebanyak 12 kali.
iii. Untung juga usahaku rupanya.
Pengulangan vokal u sebanyak 6 kali.
10. Aliterasi:
Aliterasi bermaksud "pengulangan konsonan dalam sesuatu ayat".
Contoh:
i. Gadis gigih itu menggigil gementar.
Pengulangan konsonan "g" sebanyak 7 kali.
ii. Kakak masih kaku ketika kita kembali.
Pengulangan konsonan "k" sebanyak 8 kali
11. Hiperbola:
Bombastik atau hiperbola ialah "perbandingan atau pemilihan kata yang berlebih-lebihan"
Contoh:
i. Suaranya bom atom meledak bumi.
ii. Badannya ringan seringan atom yang beterbangan di udara.
12. Rima akhir:
Rima akhir bermaksud bunyi perkataan yang ditandakan dengan huruf akhir pada
sesuatu ayat. Hanya digunakan untuk mengulas bahan puisi sahaja seperti sajak/ pantun/
syair dan sebagainya.
i. Contoh: (pantun)
Dua tiga kucing berlari. (ditandai dengan a)
Manakan sama si kucing belang.(ditandai dengan huruf b)
Dua tiga boleh kucari.(ditandai dengan a kerana huruf akhir sama dengan baris 1)
Manakan sama ibu seorang. (ditandai dengan b kerana huruf akhir sama dengan baris 2)
Oleh itu, rima akhir pantun di atas ialah abab.
13. Perlambangan/ imejan:
Imejan bermaksud penggunaan perkataan lain yang mempunyai maksud berlainan.
Contoh:
i. Dia masih hijau ketika tanah airnya diserang penjajah. (muda)
ii. Dia tahu, dirinya sudah menghampiri senja. (tua)

Anda mungkin juga menyukai