Anda di halaman 1dari 15

NOVEL "KONSERTO TERAKHIR"

 
Sinopsis  

Hilmi berhijrah dari Kedah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan. Dia menumpung di rumah sepupu bapanya
iaitu, Datuk Johori. Kehadiran Hilmi tidak disukai oleh Datin Salmah kerana Datin Salmah memandang hina kepada
orang kampung yang miskin. Hilmi bekerja sebagai tukang kebun. Kerajinan dan sifat artistik yang dimiliki oleh Hilmi
telah mengubah pekarangan rumah Datuk Johari menjadi lebih cantik.

Hayati tertarik oleh kebolehan Hilmi bermain piano. Hubungan Hayati dengan Hilmi yang rapat menyebabkan Datin
Salmah bertekad menghalau Hilmi. Hilmi meninggalkan rumah dan belajar bermain alat muzik daripada Encik Bakar.
Hilmi berjaya sebagai seorang pemain alat muzik dan penggubah lagu yang terkenal. Sementara itu, Hayati hendak
berangkat ke London dengan suaminya, Mohsin. Sebelum berangkat, Hayati datang berjumpa dengan Hilmi dan
menyatakan perasaan cintanya kepada Hilmi.
 
Orkestra Hilmi berjaya memenangi Festival Muzik di Jepun. Hilmi berkahwin dengan Azizah tetapi Azizah
meninggalkannya selepas mendapat seorang anak. Hilmi terjatuh dan terlantar di hospital pada malam
"Pertunjukan Orkes Perdana".
 
Hayati pulang dan mengambil alih tugas Hilmi sebagai pemimpin orkestra. Di hospital, Pak Karim memberitahu
Datuk Johari bahawa Hilmi adalah anak Datuk Johari sendiri. Sebagai kesannya, Datuk Johari dan Datin Salmah insaf
akan perbuatan mereka yang menyeksa Hilmi. Seterusnya, Datuk Johari mati mengejut semasa menerima berita
kematian Hilmi.

Sinopsis Bab 1 hingga 14

Sinopsis Bab demi Bab

Sinopsis Bab 1 – Keluarga


Hayati tidak ada mood ( keinginan ) untuk belajar piano pada hari itu kerana sering membuat kesalahan. Keadaan ini
menimbulkan salah faham antara Hayati dengan guru pianonya. Tiba-tiba muncul Hilmi di saat-saat getir tersebut.
Hilmi memperkenalkan dirinya sebagai dua pupu Hayati iaitu anak Pak Karim dari Kedah. Hayati berasa gusar
melihat gerak-geri Hilmi yang serba canggung. Dia tidak pernah mengetahui bahawa bapanya masih mempunyai
saudara di kampung. Datin Salmah juga tidak menyenangi kehadiran Hilmi di rumahnya. Sementara menunggu
kepulangan Datuk Johari, Hilmi ditempatkan di sebuah bilik berhampiran dengan bilik Pak Amat, drebar mereka.
Kehadiran Hilmi telah mengingatkan Datuk Johari tentang kampung halamannya yang telah ditinggalkan selama
tujuh belas tahun lalu.
Hilmi menyatakan hasratnya untuk mencari pekerjaan. Walau bagaimanapun, kelulusannya yang hanya setakat
darjah empat sekolah Melayu menyukarkan usaha Datuk Johari mencari pekerjaan untuknya. Akhirnya Hilmi
disuruh menjadi tukang kebun di rumahnya. Hilmi bekerja dengan tekun membersihkan kebun itu. Dalam masa
yang sama, perasaannya cemburu melihat kemesraan antara Hayati dengan Mohsin.
Sinopsis Bab 2 – Kuli
Hilmi gembira dengan pekerjaannya sebagai tukang kebun. Dia telah melakukan perubahan yang besar di
pekarangan rumah itu sehinggakan mendapat pujian daripada Datuk Johari dan juga Dr. Nathan iaitu jiran Datuk
Johari. Hilmi berkawan baik dengan Pak Amat. Pak Amat pernah menjadi penyelam mutiara di Darwin, Australia.
Datuk Johari gelisah apabila Dr. Nathan bertanyakan tentang tukang kebun barunya itu kerana dia tidak sampai hati
menganggap Hilmi sebagai tukang kebunnya. Hilmi amat tertarik dengan mainan piano Hayati. Rumah Datuk Johari
juga sering didatangi oleh saudara mara Datin Salmah yang berpangkat.
Dalam pada itu, Datin Salmah teringat akan kata-kata kakaknya Siti Hajar tentang Hilmi kerana lambat laun orang
akan mengetahui bahawa Hilmi itu anak saudara Datuk Johari. Hasutan Siti Hajar itu menimbulkan rasa gelisah di
hati Datin Salmah dan dia berusaha mencari jalan untuk mengusir Hilmi dari rumahnya.

Sinopsis Bab 3 – Piano


Hilmi kecewa apabila dia mendapati tanamannya dirosakkannya oleh kumbang. Dia telah melepaskan geramnya
dengan memijak-mijak kumbang-kumbang itu dengan tumitnya. Tindakan Hilmi itu ditegur oleh Hayati dan
menganggap dia seorang yang kejam. Akhirnya Hayati faham kenapa Hilmi memusnahkan kumbang yang
mengancam keselamatan tanamannya. Kadangkala Hayati ikut bersama-samanya mencari kumbang dan ulat. Dua
kali dalam seminggu iaitu hari Sabtu dan Khamis, Hayati belajar bermain piano di rumahnya. Pada hari-bari tersebut
Hilmi akan mencari kerja yang dapat dibuatnya di depan rumah berhampiran dengan ruang tamu. Pada kedua-dua
hari tersebut keletihannya terasa hilang, dan dia menunggu kedua-dua hari itu dengan penuh harapan kerana dia
dapat mendengar lagu-lagu merdu yang keluar dari hujung-hujung jari Hayati yang diletakkan di atas pianonya.
Lagu-lagu itu menjadi makanan rohaninya. Pada suatu hari Khamis, Hilmi gelisah kerana Hayati belum pulang lagi.
Rupa-rupanya Hayati dan Mohsin pergi menonton wayang.
Hati Datin Salmah mulai berubah terhadap Hilmi. Dia tidak lagi menyebutnya sebagai tukang kebun tetapi sebagai
kaum keluarganya. Datuk Johari juga mulai bangga kerana tiap-tiap orang yang datang memuji-muji tanaman bunga
di rumahnya. Malah hasil tanaman seperti terung, kacang, timun, dan petola telah berbuah dengan lebatnya dan
menjadi satu kebanggaan pula kepada Datin Salmah. Dia menghadiahkan hasil tanaman itu kepada teman-
temannya apabila pergi ke morning coffee dan juga ketika ada antara kawannya yang datang berkunjung ke
rumahnya, mereka pulang dengan membawa buah tangan. Datin Salmah gembira mendengar pujian daripada
kawan-kawannya.

Sinopsis Bab 4 – Hukuman


Leha, penolong pembantu rumah telah pulang ke kampung. Hilmi telah ditugaskan oleh Datin Salmah untuk
membersihkan ruang tamu. Hilmi amat senang hati menerimanya kerana dapat datang berhampiran dengan piano.
Suatu hari Hilmi keseorangan di rumah kerana Datin tidak ada di rumah, manakala Hayati belum pulang dari
sekolah, sementara Mak Minah keluar ke rumah seorang kenalannya. Hilmi telah mencuba memainkan piano
tersebut sehingga tidak menyedari kepulangan Mak Minah. Perbuatan Hilmi itu ditegur oleh Mak Minah kerana
takut dimarahi oleh Datin Salmah. Kebimbangan Hilmi jelas terlihat apabila Datin Salmah memanggilnya. Rupa-
rupanya Datin Salmah menyuruhnya mengambil bunga yang dibawa dari rumah kawannya. Hilmi juga berasa lega
kerana Mak Minah tidak memberitahu mak ciknya tentang perlakuannya tadi.
Ketika Hayati pulang dan hendak menghiburkan tetamunya iaitu pak cik dan mak ciknya, dia menyedari pianonya
telah rosak. Apabila dia meletakkan jari-jarinya pada mata-mata piano dan membuat "intro"-nya dengan C minor,
tiba-tiba pada mata yang mengeluarkan nada “fa” nadanya begitu melenting. Peristiwa itu telah menimbulkan
kegemparan kecil. Datin Salmah mula mencari siapa yang mengganggu piano itu. Ketika dipanggil oleh Datin
Salmah, Mak Minah terpaksa memberitahu yang Hilmi telah memainkan piano itu. Datin Salmah ingin mengambil
kesempatan dari peristiwa itu untuk mengusir Hilmi. Atas kebijaksanaan Datuk Johari, Hilmi dimaafkan dan
dipotong gajinya. Datin Salmah juga menyuruh Hilmi memujuk Hayati dan memohon maaf daripadanya.
Sementara itu, Datin Salmah sekeluarga akan bercuti selama satu bulan. Mak Minah dan Pak Amat juga diberi cuti
balik ke kampung. Hilmi diminta untuk menjaga rumah tersebut sepanjang peninggalan mereka. Hilmi amat
kesunyian sepanjang ketiadaan mereka terutamanya rasa kehilangan terhadap Hayati kerana sebulan lamanya dia
tidak akan mendengar lagu-lagu yang dimainkan oleh Hayati. Kehidupan Hilmi sepanjang waktu hanya bertemankan
bunga-bunga dan tanamannya sahaja.

Sinopsis Bab 5 – Penunggu


Hilmi tidak ikut menghantar Datuk Johari dan keluarganya berangkat ke luar negeri. Dia memuatkan barang-barang
yang mahu dibawa ke dalam motokar. Datuk Johari berpesan supaya menjaga rumah dengan baik. Datin Salmah
pula tidak bercakap sepatah pun dengannya. Dia sibuk bercakap dengan orang lain. Sepeninggalan mereka, Hilmi
mendapat simpati jiran Datuk Johari, iaitu Dr. Nathan. Mamat kawan baiknya iaitu drebar Dr. Nathan juga balik ke
kampung. Hilmi sibuk mengemaskan rumah Datuk Johari. Hidupnya terasa bebas. Dia menjadi tuan rumah dan dia
juga menjadi raja. Setelah selesai mengemas, Hilmi masuk ke bilik mak ciknya. Dia amat terkejut kerana bilik itu
seperti sebuah syurga. Dari bilik mak ciknya, dia pergi pula ke bilik Hayati. Seolah-olah perasaannya amat dekat
dengan Hayati. Dia amat merindui Hayati. Hilmi masuk pula ke bilik tamu. Di ruangan tamu, matanya tertumpu pada
piano. Keinginannya untuk bermain piano begitu kuat dan meronta-ronta di dalam dirinya tetapi dia tidak berani
menyentuhnya. Akhirnya dia menuju ke biliknya. Tiba-tiba Hilmi teringat kucing Siam kesayangan Hayati. Dia masuk
ke dalam rumah mencari kucing itu. Dia membawa kucing itu ke dapur dan diberi makan ikan.
Dalam pada itu, Mamat, drebar Dr. Nathan telah balik dari kampung dan membawa bersama isterinya Esah. Esah
telah diperkenalkan oleh Mamat kepada Hilmi. Mamat mengajak Hilmi makan bersama-samanya. Esah juga telah
bekerja sebagai tukang masak di rumah D. Nathan. Hilmi berasa kecewa. Dia mengharapkan bila Mamat balik dari
Kelantan dia mahu mengajak Mamat tidur bersama-sama menemaninya. Mamat telah memperkenalkan Hilmi
dengan Encik Bakar, seorang ketua sebuah quartet. Encik Bakar menyuruh Hilmi bermain organ dan Hilmi telah
mendapat pujian daripada Encik Bakar. Encik Bakar mengajar Hilmi muzik secara percuma. Hilmi amat gembira
mendengar kata-kata Encik Bakar kerana pada sangkaannya Encik Bakar akan mengenakan bayaran kepadanya.
Justeru, Hilmi pada mulanya kurang senang kerana setiap kali dia pergi ke rumah Encik Bakar, dia akan
meninggalkan rumah pak ciknya. Dia berasa bersalah kerana telah melanggar janji-janjinya pada pak ciknya. Walau
bagaimanapun kerana minat yang amat mendalam terhadap muzik, Hilmi terpaksa melakukannya. Hilmi telah
belajar dengan tekun dan Encik Bakar juga telah mengajarnya tentang not-not muzik.

Sinopsis Bab 6 - Muzik


Hilmi berasa bertuah kerana dapat belajar muzik dengan Encik Bakar. Sebaik sahaja pulang dari rumah Encik Bakar,
Hilmi menjalankan tugas biasanya seperti menyiram pokok-pokok bunga. Hilmi juga mendapat sokongan dan
galakan yang kuat daripada Mamat dan isterinya. Setelah kembali dari bilik Mamat kerana berbual-bual dengan
mereka, Hilmi balik ke rumah. Hilmi terus ke sudut di mana terletaknya piano dan memainkannya. Tanpa disedari
Datuk Johari dan keluarganya telah kembali dari luar negeri. Hayati terpesona melihat Hilmi bermain piano. Datin
Salmah terpegun. Datuk Johari tegak tidak bergerak. Akhirnya dia menyedari seperti diperhatikan. Lantas
terperanjat kerana tidak menyedari kepulangan pak ciknya sekeluarga. Hilmi bergegas membawa masuk beg-beg
yang banyak dan terus kembali ke dalam biliknya. Hilmi dikejutkan dengan kedatangan Hayati yang membawa oleh-
oleh untuknya yang berupa sebuah patung wanita dengan pakaian gaun kembang zaman kuno. Patung itu juga
boleh mengeluarkan bunyi lagu “Blue Danube”. Hubungan mesra Hilmi dan Hayati tidak disenangi oleh Datin
Salmah. Lebih-lebih lagi apabila Hayati membeli oleh-oleh kepada Hilmi. Sedangkan selama perjalanan mengelilingi
England itu, tidak pernah sekalipun disebutnya nama Hilmi. Hayati Cuma menyebut nama Mohsin sahaja. Naluri
keperempuanan Datin Salmah merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada Hayati.

Sinopsis Bab 7 – Oleh-oleh


Mohsin terperanjat apabila mendengar kepulangan Hayati dan kesal kerana dia tidak dapat menjemput Hayati di
lapangan terbang. Sebelum ke pejabatnya Mohsin singgah dahulu ke rumah Hayati. Ketika Datin pergi memanggil
Hayati dia terlihat Hayati sedang berdiri amat dekat dengan Hilmi memerhatikan sesuatu di pokok ros. Hayati tidak
menghiraukan panggilan ibunya kerana asyik bercerita kepada Hilmi tentang perjalanan mereka di England, tentang
konsert muzik yang disaksikannya di Vienna, tentang pemandangan yang indah di kebun tulip di negara Belanda.
Hayati juga senang mendengar cerita Hilmi tentang bunga-bunganya.
Apabila diberitahu tentang kedatangan Mohsin, Hayati tidak berminat untuk mengetahuinya. Hayati hanya
mencecah dengan hujung jarinya sahaja apabila Mohsin menghulurkan tangannya. Hayati telah menghadiahkan
neck tie ( tali leher ). Mohsin juga terasa ada sesuatu yang aneh pada gerak-geri Hayati tetapi dia tidak berapa pasti.
Hayati selalunya gembira menyambut kedatangannya tetapi tidak sekarang ini.
Sebaik sahaja Mohsin keluar dari rumah itu, Hayati terus masuk berkurung di dalam biliknya. Datin Salmah semakin
gelisah dan hatinya mulai percaya bahawa perubahan perangai anaknya itu mesti ada sangkut paut dengan dukun.
Mesti ada anasir-anasir jahat memainkan peranannya. Suaminya tidak mudah percaya dengan cerita karut serupa
itu, lebih-lebih lagi apabila membabitkan anak penakannya sendiri. Datin Salmah memanggil Hayati untuk mendapat
penjelasan daripadanya tetapi anaknya itu telah menjawab dengan kasar menyebabkan Datin Salmah memberi
amaran dan Hayati tidak dibenarkan bercakap lagi dengan Hilmi. Datin Salmah juga sudah nekad untuk mencari
jalan supaya Hilmi keluar dari rumahnya.
Dalam pada itu, Mak Minah datang pada petang itu dari kampung setelah Datin Salmah menelefon kepadanya
melalui Balai Polis Lenggeng. Dia membawa oleh-oleh dari kampung yang Hayati gemari. Hayati pula
menghadiahkan Mak Minah jam tangan kecil buatan Swiss. Mak Minah amat gugup mendapat jam baru. Dia
teringat setiap kali Hayati pulang dari tempat-tempat yang jauh setiap kali itu pula ada oleh-oleh untuknya.

Sinopsis Bab 8 - Sengketa


Hilmi ke rumah Encik Bakar. Kedatangannya itu disambut oleh Azizah, anak Encik Bakar. Sebaik sahaja Hilmi
melangkah masuk, Azizah menutup pintu. Azizah cuba menggoda Hilmi. Mula-mula Hilmi agak kekok tetapi lama-
kelamaan sudah tidak terasa apa-apa baginya duduk satu bangku dengan Azizah dan bersentuhan badan. Tiba-tiba
Azizah tersentak apabila mengetahui yang Hilmi hanya tukang kebun bapa saudaranya sahaja. Pada sangkaannya
Hilmi itu paling tidak seorang kerani kecil atau seorang guru. Hilmi kemudian terus meminta izin untuk pulang.
Apabila menghampiri rumah bapa saudaranya, perasaan Hilmi gementar kerana terdapat tiga motokar asing di
depan pekarangan rumah itu. Hilmi masuk dari pintu kecil di sebelah belakang. Mak Minah datang memberitahunya
bahawa Datin Salmah heboh mencarinya. Ketika Hilmi sedang menyiram bunga-bunga yang terletak di bahagian
anjung depan rumah itu, Datin Salmah datang dengan marah bertanyakan ke manakah dia pergi. Hilmi meminta
maaf daripada mak ciknya dan berlalu pergi. Setelah selesai semuanya, Hilmi pun mandi dan terus masuk ke dalam
biliknya. Dia teringatkan peristiwa yang berlaku antara dia dengan Azizah.
Dalam pada itu, ketika Encik Bakar pulang, Azizah memberitahu kedatangan Hilmi. Encik Bakar berpesan kepada
Mamat supaya memberitahu Hilmi yang dia akan pergi ke rumah adik iparnya di Klang. Dia meminta Mamat
menyampaikan pesan supaya Hilmi datang besok. Azizah juga cuba memberitahu bapanya tentang pekerjaan Hilmi
sebagai tukang kebun tetapi bapanya tidak mengendahkan berita itu. Dia tahu Azizah kecewa kerana pada
anggapannya Hilmi tidak setaraf dengannya. Azizah lulusan MCE dan sedang mencari kerja. Paling rendah pasangan
yang ingin dicarinya ialah kerani. Bagi Encik Bakar untuk menjadi ahli muzik bukan perlu persekolahan tinggi.
Ilmunya jika tidak diajarkan kepada orang, habislah reput dengan tulang-belulang di dalam kubur nanti. Azizah
terdiam dan berasa kesal akan sikapnya itu terhadap Hilmi.
Namun begitu, perkara lain berlaku di rumah Datuk Johari. Hilmi tidak mahu makan makanan yang dibawa oleh Mak
Minah kerana kecewa apabila diberitahu bahawa mak ciknya tidak membenarkan Mak Minah memanggilnya
makan. Mak Minah meletakkan makanan itu di atas meja kecil dan balik ke dapur mengambil tudung saji dan air
minum. Hayati muncul bersama-sama Mak Minah untuk memujuk Hilmi makan. Hayati bangun dan duduk di
sebelah Hilmi. Hilmi memandang Hayati dengan perasaan pilu. Dia bingung dengan sikap yang diperlihatkan oleh
Hayati. Selama ini dia menyangka Hayati tidak pernah mempedulikannya, Hilmi akhirnya menyuruh Hayati keluar.
Mak Minah cuba menenangkan Hilmi dan menasihatinya supaya jangan terlalu ambil hati terhadap sikap mak
ciknya. Hilmi kemudiannya keluar untuk berjumpa Mamat dan meminta pertolongannya mencari tempat untuknya
berpindah dari rumah Datuk Johari.

Sinopsis Bab 9 – Pertemuan


Setelah dua hari Hilmi tiada di rumah barulah Datin Salmah menyedari bahawa kehadiran Hilmi selama ini
mempunyai erti besar kerana adanya Hilmi di rumah itu, dia tidak perlu memikirkan sedikit pun tentang tanaman
bunganya. Sami yang dihubungi oleh Datuk Johari tidak dapat datang bekerja, paling cepat akhir bulan. Dalam
tempoh 12 hari itu, Datin Salmah mengerahkan Mak Minah, Pak Amat, dan Hayati sendiri untuk menolongnya
menyiram bunga-bunga itu pada waktu petang. Hayati kini tidak mahu bercakap dengan ibunya sejak diketahui
Hilmi telah pergi. Dia asyik berkurung di dalam bilik sahaja. Hayati kecewa kerana pada hari itu setelah pulang dari
sekolah, dia mahu memberikan Hilmi tiket untuk menonton permainan piano seorang pianist dunia yang terkemuka
yang akan diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Hayati amat kecewa apabila diberitahu oleh Mak Minah bahawa
Hilmi telah pulang ke kampung. Tetapi Hayati tahu itu merupakan helah ibunya yang sememangnya tidak suka Hilmi
tinggal di situ. Datin Salmah kemudian memujuk Hayati dan menyatakan bahawa Hilmi akan datang lagi selepas itu.
Datin Salmah juga mulai risau tentang perubahan yang berlaku pada Hayati. Matanya sudah mulai cengkung,
makannya sudah tidak banyak lagi. Dia bercadang untuk menyatukan Hayati dan Mohsin seberapa segera. Hayati
boleh melanjutkan pelajarannya di England dan Mohsin pula boleh menyambung pelajaran tetapi Hayati menolak.
Apabila ditanya oleh Mohsin tentang perubahan Hayati mereka membuat alasan keadaan Hayati yang murung dan
susut tubuhnya itu kerana teringatkan Mohsin.
Dalam pada itu, Mamat menghantar Hilmi ke tempat bas. Hilmi amat gelisah. Bapanya sebenarnya tidak sakit. Surat
yang diperlihatkan kepada pak ciknya itu ialah surat yang ditulis oleh Mamat. Dia amat risaukan Hayati. Hilmi
teragak-agak mahu naik atau tidak. Akhirnya dia ikut naik. Waktu bas itu meninggalkan Tanjung Malim setelah
berhenti rehat selama 30 minit, salah satu kerusi bas itu telah kosong. Hilmi tidak dapat menahan tekanan
perasaannya. Dengan sebuah teksi dia pulang semula ke Kuala Lumpur. Hilmi terus berjalan mencari kerja. Dia
menuju ke kios tempat jualan minyak. Dia tahu sekurang-kurangnya dia dapat menjadi pekerja sementara dengan
gaji harian sebanyak dua ringgit setengah. Hilmi juga diberikan sebuah kanvas dan dibenarkan tidur bersama-sama
dengan seorang penjaga malam.
Hilmi bekerja dengan rajin dan berdoa supaya pak cik atau mak ciknya jangan datang mengisi minyak di situ. Walau
bagaimanapun, Hilmi telah terserempak dengan Mohsin. Mohsin telah menghasut tauke kedai minyak itu supaya
membuang Hilmi tetapi tauke itu tidak mempedulikannya. Minggu pertama di bulan kedua bekerja di situ, Hilmi
bertekad berjumpa semula dengan Encik Bakar. Dalam perjalanannya dia telah bertemu Pak Amat di kedai kopi.
Kesempatan itu digunakan oleh Hilmi untuk bertanya khabar tentang Hayati. Dia amat sedih kerana Hayati kini
sudah banyak berubah perangai dan dia tidak segembira dan senang dahulu lagi.
Sesampai Hilmi di rumah Encik Bakar, rumah itu seperti tiada penghuni. Tingkap dan pintunya tertutup rapat. Ketika
di mahu berpatah balik, tiba-tiba sebuah jendelanya terbuka dan Azizah telah muncul dan terkejut dengan
kehadiran Hilmi. Kedatangannya itu disambut dengan Hilmi. Hilmi menceritakan kisahnya kepada Encik Bakar dan
hasratnya ingin menyambung belajar muzik dengannya. Encik Bakar tidak keberatan. Hilmi meminta izin pulang
awal kerana telah berjanji dengan Ah Kong akan kembali sebelum pukul 7.00 malam untuk menggantikannya
bekerja.
Hilmi diajar oleh Encik Bakar peringkat demi peringkat. Dia tidak sahaja belajar berbagai-bagai alat muzik tetapi juga
diajar untuk mengenal lebih dekat tiap-tiap jenis alat itu. Hilmi sering diingatkan oleh Encik Bakar bahawa dia akan
berjaya kerana mempunyai bakat. Hubungan Azizah dengan Hilmi juga semakin rapat. Setiap kali dia ke rumah Encik
Bakar, Azizah selalu menyambutnya dengan mesra. Hilmi juga sudah mula kenal dengan not kerana menurut Encik
Bakar untuk menjadi pemain muzik yang baik seseorang itu mesti tahu membaca not. Selain itu Hilmi telah belajar
bermain trompet, seksofon, klarinet, dan biola.

Sinopsis Bab 10 - Bebas


Sejak Hilmi meninggalkan rumah pak ciknya, pokok-pokok bunga di taman Jepunnya yang dulunya menjadi
kebanggaan kepada Datin Salmah dan Datuk Johari telah mulai musnah sedikit demi sedikit. Hayati pula seolah-olah
ikut meratapi kehancuran taman bunga itu. Keadaan itu menyebabkan atin Salmah mendesak suaminya menulis
surat ke kampung bertanyakan Hilmi, kalau benar Hilmi menggunakan sesuatu kuasa ghaib ke atas Hayati tetapi
Datuk Johari menolak. Dia tahu isterinya itu telah terpengaruh dengan cakap-cakap morning coffee. Datin Salmah
serba salah dengan keadaan Hayati. Hayati bukan lagi anak kecil yang dapat dipujuk dengan hadiah atau janji
apabila dia menangis. Hayati sekarang sudah menjadi gadis remaja malah sudah bertunang. Ketika masuk ke bilik
Hayati, dia terkejut kerana terjumpa buku agama dan lebih memeranjatkan lagi ialah sejadah dan telekung yang
terlipat dengan baik di sudut biliknya. Anaknya itu sudah mula sembahyang. Dia keluar dari bilik itu dan menelefon
suaminya. Perasaan ngeri mulai menguasai dirinya apabila dia mengetahui anaknya sembahyang setiap waktu
sementara dia dan suaminya tidak sembahyang. Dia mula menyiasat dengan siapakah Hayati berkawan. Ketika
suaminya pulang makan tengah hari dia terburu-buru menunjukkan buku-buku agama di bilik Hayati, tikar, dan
telekung.
Hayati menyambut kepulangan Mohsin di lapangan terbang. Mohsin turut hairan melihat perubahan diri Hayati.
Mohsin mengumumkan berita gembira iaitu dia hanya pulang sebentar sahaja dan akan berangkat lagi ke London
kerana telah dilantik menjadi penolong pengurus di cawangan banknya yang baru sahaja dibuka di kota
metropolitan Inggeris itu. Datin Salmah mencadangkan supaya perkahwinan antara Hayati dan Mohsin disegerakan.
Cadangan itu tidak dibantah oleh Hayati, malah Hayati kelihatan terlalu gembira.
Berita perkahwinan Hayati dan Mohsin tersiar dalam semua surat khabar Melayu dan Inggeris. Hilmi terpegun
ketika Azizah menunjukkan kepadanya berita perkahwinan itu. Hilmi memohon untuk beredar dan tidak ada mood
untuk belajar muzik pada hari itu. Mamat pula datang ke biliknya membawa berita bahawa Hayati dan Mohsin akan
berangkat ke England sebaik sahaja mereka pulang dan berbulan madu di Cameron Highland. Seminggu lamanya
Hilmi berkurung di rumah. Habis kerja dia terus balik ke biliknya dan tidak keluar-keluar lagi. Penghuni di sebelah
menyebelah biliknya itu hanya sering mendengar gesekan biola ataupun petikan gitar. Hari kelapan Hilmi pergi
semula ke rumah Encik Bakar dengan memperlihatkan sebuah lagu yang telah dikarangkannya. Encik Bakar
mencuba lagu itu di piano sambil dipindanya sedikit-sedikit. Hilmi memberi judul lagu itu “Sebuah Intermeso”. Hilmi
berasa gembira kerana dia telah mengetahui bahawa dia mempunyai bakat bukan sahaja sebagai pemain muzik,
tetapi juga sebagai penggubah lagu.

Sinopsis Bab 11 – Intermeso


Hilmi telah berhenti dari kios minyak petrol kerana akan menjadi anggota salah sebuah quartet yang terkenal di ibu
kota. Encik Bakar telah mengambil Hilmi bermain di dalam quartetnya sebagai menggantikan tempat pemain
biolanya yang kebetulan telah berpindah ke Pulau Pinang. Pertama kali berlatih Hilmi berasa gugup. Dia berasa
mahu menarik diri sahaja daripada quartet tersebut tetapi atas dorongan Encik Bakar semangatnya pulih kembali.
Hilmi memainkan lagu gubahannya “Sebuah Intermeso”. Seluruh hadirin terpesona dan terpegun. Hilmi telah
diinterview ( ditemu ramah ) oleh pemberita hiburan dari sebuah surat khabar Inggeris yang terkemuka. Hasil
interview itu telah disiarkan di dalam ruangan hiburan akbarnya pada hari yang berikutnya. Datuk Johari juga
terpegun ketika melihat gambar Hilmi terpampang di ruangan hiburan surat khabar bertajuk “Penemuan Baru Abad
ini Pemain Biola Hikmat Malaysia”.
Hayati tidur di rumah mak ciknya bersama Maimun. Maimun hairan dengan perubahan Hayati yang sudah
sembahyang. Perbualan mereka berdua berkisar kepada Hilmi. Maimun tidak menyangka tukang kebun Hayati ada
bakat muzik. Hati Hayati bergelodak kerana dia ingin menceritakan perkara sebenar bahawa Hilmi bukan tukang
kebun. Daripada akhbar itu Hayati mendapat tahu Hilmi masih berada di Kuala Lumpur dan telah menjadi seorang
pemain muzik dalam quartet tetap di Hotel Titiwangsa. Cuma Hayati kesal kerana Mamat sering berdalih apabila
ditanya tentang Hilmi.
Pada malam kedua, Encik Bakar mendesak Hilmi memainkan lagunya “Sebuah Intermeso” tanpa nyanyian. Seluruh
hadirin terpesona. Kisah Hilmi mendapat perhatian Setiausaha Persatuan Pemain-pemain Muzik Nasional. Encik
Bakar telah melanggar peraturan perlembagaan persatuannya. Semua pemain muzik di hotel dan kelab-kelab
malam hendaklah terdiri daripada anggota-anggota persatuan itu yang sah. Encik Bakar telah menerima surat
daripada Setiausaha Persatuan Pemain-pemain Muzik Nasional. Encik Bakar menganggap itulah masa yang paling
malang sekali dalam hidupnya. Dia bukan tidak sedar tentang hal ini, tetapi keadaan terdesak. Pemain biolanya tiba-
tiba berhenti. Encik Bakar mengumpul semua ahli kumpulannya kecuali Hilmi untuk berbincang. Akhirnya mereka
sebulat suara menyokong kemasukan Hilmi dalam kumpulan mereka. Hilmi kemudian diberitahu tentang krisis yang
terjadi dan tentang keputusan mesyuarat itu. Walaupun keputusan itu dicapai sebulat suara, tetapi meninggalkan
kesan yang parah dalam hati Hilmi. Dia berasa kesal kerana menjadi sebab Encik Bakar diancam oleh persatuannya.
Walau bagaimanapun pada malam itu mereka bermain seperti biasa.
Seminggu sesudah itu, Encik Bakar telah dipanggil oleh Jawatankuasa Persatuan Pemain-pemain Muzik Nasional
untuk menghadapi tuduhan melanggar tatatertib persatuan dan melanggar arahan setiausaha. Tiga jam lamanya
ahli jawatankuasa persatuan itu membuat persidangan tertutup. Encik Bakar disuruh menunggu di luar bilik
persidangan. Keputusan mesyuarat akhirnya memaafkan Encik Bakar kerana mengenangkan jasa-jasanya terhadap
persatuan tersebut dan menerima keahlian Hilmi.

Sinopsis Bab 12 - Krisis


Hilmi gelisah kerana Encik Bakar belum pulang dan Persatuan Pemain-pemain Muzik Nasional dan dia tidak
dibenarkan hadir sama dalam mesyuarat tersebut. Keyakinan Hilmi pulih setelah ibu Azizah menasihatinya supaya
bertenang kerana dia percaya suaminya tidak akan diapa-apakan. Encik Bakar seorang yang jujur dan dia tidak akan
dipecat. Kepulangan Azizah membawa berita tentang Hayati mendapat biasiswa dari British Council untuk belajar
muzik di Conservatory of Music selama dua tahun dan akan berangkat esoknya. Hilmi tergesa-gesa pulang. Semasa
Hilmi keluar, Encik Bakar pun sampai bersama-sama dengan Rahmat dan Harry Lam. Melihat Hilmi tidak ada di situ,
Rahmat dan Harry Lam pun meminta diri pulang ke rumah.
Pada malam itu, ada dua penerbangan ke London. Satu kapal terbang British Airways dan satu lagi Qantas yang
datang dari Sydney. Sekiranya Hilmi pergi ke lapangan terbang pada waktu itu bererti dia tidak dapat ikut bermain
dalam orkestra Encik Bakar. Fikirannya terlalu runsing. Akhirnya dia pulang ke bilik. Di pintu biliknya ada sekeping
surat yang ditinggalkan oleh Mamat menyatakan dia barangkali akan datang pada pukul tujuh malam dan ingin
membawa Hilmi berjumpa Hayati. Di dalam pertemuan itu Hayati menyatakan bahawa dia amat mencintai Hilmi
tetapi dia tidak mahu membantah kata orang tuanya dan terpaksa berkahwin dengan Mohsin. Mohsin juga tahu
akan pertemuannya dengan Hilmi. Hayati juga menyatakan bahawa lagu “Sebuah Intermeso” itu menjadi ubat yang
paling mujarab bila hatinya luka. Kaset lagu itu dibawanya di dalam beg ke mana sahaja dia pergi. Hayati juga
meminta Hilmi memaafkan ibu dan bapanya kerana tindakan dan kelakuan mereka terhadapnya dahulu.
Encik Bakar pula gelisah kerana Hilmi belum muncul-muncul. Setelah kemunculan Hilmi, Encik Bakar memberikan
resit sebagai bukti dia telah menjadi pemain muzik profesional yang sah. Pada malam itu, permainan yang luar biasa
telah diperlihatkan oleh Hilmi. Ketika jam berdeting pukul 12.40 malam jantungnya ikut berdetak kuat kerana pada
saat itu pesawat yang dinaiki oleh Hayati terbang meninggalkannya. Pada malam perpisahan itu Hilmi telah berjaya
menggubah sebuah lagu yang lahir dari perpisahan dengan Hayati dan diberi judul “Perpisahan”. Encik Bakar juga
telah memberikan petua-petua bagaimana cara menggubah lagu yang baik dan menasihati Hilmi supaya mengarang
beberapa buah lagu lagi dan lagu-lagunya itu disimpan dahulu. Apabila telah banyak dan sudah cukup barulah
dirakamkan menjadi rekod.
Pengaruh gitar rancak dan Barat telah mulai melanda ke negara ini. Hilmi telah mendapat keizinan Encik Bakar
untuk menubuhkan kugiran yang diberi nama “Kugiran Dahlia” ringkasan nama Daniel, Azizah, Hilmi, Tony Lim, Dan
Arasu. “Kugiran Dahlia” dengan cepat mendapat popularitinya. Hilmi banyak menggubah lagu untuk dinyanyikan
oleh Azizah dan nama Azizah mulai terkenal. Perhubungan mereka semakin erat. Apabila gelombang kugiran mulai
merosot, Hilmi kembali bergiat dalam orkestra yang bermain di kelab-kelab malam. Walaupun rekod dan kaset yang
mengandungi lagu-lagu gubahannya sudah banyak terjual tetapi sebagai penggubah lagu dia tidak pernah
mendapat hasil yang lumayan malah berdepan pula dengan masalah cetak rompak.
Setelah setahun lebih bergaul rapat, dia dan Azizah diijabkabulkan sebagai suami isteri. Pada mulanya kehidupan
mereka sebagai suami isteri amat harmoni tetapi kira-kira setahun setelah anak lelaki mereka yang pertama lahir,
Azizah mulai berubah dan Hilmi juga ikut berubah. Rumah tangga mereka mula goyah. Kepedihan yang dirasai dari
penghidupan itu menyebabkan Hilmi banyak berfikir dan telah mendatangkan ilham untuknya menggubah lagu.
Sebahagian besar lagu-lagu yang digubahnya tidak ditunjukkan kepada orang lain, walaupun kepada Encik Bakar.

Sinopsis Bab 13 – Perpecahan


Keretakan yang terjadi dalam rumah tangga Hilmi telah tidak dapat diselamatkan lagi. Encik Bakar dan isterinya,
walaupun pada mulanya tidak mahu campur tangan kerana itu urusan rumah tangga mereka terpaksa memanggil
kedua-duanya kerana keadaan semakin buruk. Tetapi pertemuan itu tidak membawa apa-apa hasil. Persengketaan
antara mereka tidak boleh diatasi malah Azizah mengajar anaknya memanggil Hilmi dengan panggilan “bapa jahat”.
Azizah cemburu kerana pada anggapannya beberapa buah lagu yang telah digubah khas oleh Hilmi adalah untuk
Hayati. Sedangkan dia tidak mengetahui Hilmi juga pernah menggubah lagu tentang cinta dan sayangnya kepada
isteri dan anaknya dalam lagu “Balada Kasih”.Lagu itu ialah curahan isi hatinya yang jujur. Kini hidupnya terasa
kesunyian yang amat sangat. Dia sering menyembunyikan kesedihannya daripada kawan-kawannya. Dia terus
menghiburkan orang-orang yang datang mencari hiburan di tempatnya bermain muzik. Dia juga tetap menggubah
lagu. Sekali sekala dia teringatkan Hayati. Tragedi yang menimpanya menyebabkan dia mencipta sebuah lagu yang
diberi tajuk “Cinta dan Tangis”. Lagu “Cinta dan Tangis” menjadi inspirasi kepadanya untuk menggubah lagu-lagu
lain dan menulis sendiri sari katanya. Dia mulai terasa bahawa menggubah lagu-lagu itu sebagai satu misi yang telah
ditugaskan oleh Tuhan kepadanya biarpun terpaksa bekerja keras siang dan malam tetapi hatinya senang dan
tenteram. Harapan untuk kembali dengan Azizah telah pudar. Walau bagaimanapun dia belum berniat untuk
menceraikan Azizah kerana Azizah sendiri tidak pernah memintanya. Setiap malam sebaik sahaja pulang dari
tempatnya bekerja, Hilmi akan duduk di hadapan pianonya menggubah lagu-lagu baru. Kalau ilhamnya tidak ada dia
akan memainkan rekod. Lagu-lagu yang telah digubahnya kini berjumlah ratusan buah.
Orkes Hilmi telah mendapat undangan untuk bermain dalam pertunjukan Hari Keputeraan Sultan Kelantan di
Kelantan. Hilmi mendapat sambutan yang luar biasa. Peminat-peminatnya telah menyerbunya. Kira-kira jam empat
pagi, Hilmi dikejutkan dengan panggilan telefon dari Rahmat tentang kematian Encik Bakar. Hilmi menaiki kapal
terbang MAS pulang ke Kuala Lumpur. Dalam penerbangan tersebut dia telah selesai menyiapkan sebuah lagu yang
diberi nama “Seniman” yang dicipta khas untuk Encik Bakar iaitu guru, kawan, dan bapa mertuanya.
Tiga tahun berturut-turut Hilmi muncul sebagai pemenang dalam pesta muzik tahunan yang dianjurkan oleh RTM.
Hilmi telah diberi penghormatan untuk memimpin satu pertunjukan Orkes Perdana yang dianjurkan oleh RTM.
Pertunjukan itu sama tarafnya dengan Royal Performance ( persembahan di-Raja ) yang diadakan di England. Hilmi
diminta untuk membuat arrangement (penyusunan) semua lagunya dan diberi nama “Hilmi Potpouri”. Publisiti
(berita) tentang pertunjukan itu tersebar luas. Bukan sahaja melalui RTM, tetapi juga melalui media massa di
seluruh negara. Datin Salmah juga telah mendesak Datuk Johari mencari kad jemputan pertunjukan Orkes Perdana
itu kerana saudaranya iaitu Datin Mastura (kakak), dan Datuk Roslan (abang ipar), Datin Maniam (kakak), dan
seluruh geng morning coffee telah bercadang untuk menontonnya.

Sinopsis Bab 14 – Seniman


Dewan Tunku Canselor telah penuh sesak. Keadaan kalut mulai terasa apabila Hilmi belum kelihatan. Ketua
Pengarah RTM mengarahkan Amat, seorang pengawal RTM pergi menjemput Hilmi tetapi Hilmi tidak ada di
rumahnya. Ketua Pengarah itu tidak puas hati lalu mengajak Amat sekali lagi bersama-samanya pergi ke rumah
Hilmi Dan akhirnya mereka mendapat tahu daripada seorang pemuda Cina bahawa Hilmi sakit dan dimasukkan ke
hospital. Ketua Pengarah berkejar ke hospital dan dia mendapati keadaan Hilmi dalam bahaya dan telah dibawa ke
unit rawatan rapi ( ICU ). Doktor juga telah memberitahu bahawa nyawa Hilmi terancam dan dia tidak mungkin
dapat memimpin Orkes Perdana. Ketua Pengarah telah mengarahkan Borhan supaya mencari pengganti Hilmi dan
kembali ke universiti. Kebimbangannya itu dikongsi bersama oleh Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha. Tiba-tiba
muncul Hayati, wanita yang ingin menonton pertunjukan tersebut. Keadaan menjadi semakin kelam kabut.
Berbagai-bagai spekulasi telah dibuat kerana ketiadaan Hilmi itu. Hayati mendapat tahu tentang kesakitan yang
dialami oleh Hilmi dan berminat untuk membantu Hilmi memimpin pertunjukan tersebut. Setelah menunjukkan
bukti kelulusan dan pengalamannya serta hubungan rapat dengan Hilmi, akhirnya ketua pengarah membenarkan
Hayati memimpin Orkes Perdana tersebut.
Datuk Johari dan Datin Salmah menyesali perbuatan mereka terhadap Hilmi, lebih-lebih lagi apabila mendengar
puji-pujian yang diberikan kepada Hilmi oleh penonton. Mereka juga menyedari yang memimpin pertunjukan orkes
itu ialah Hayati. Baginda Yang di-Pertuan Agong diiringi oleh Perdana Menteri amat terhibur dengan persembahan
itu dan dukacita di atas kemalangan yang menimpa Hilmi. Setelah pertunjukan selesai Hayati bergegas ke hospital,
begitu juga Datuk Johari dan Datin Salmah apabila mengetahui perkhabaran tersebut. Di hospital, Datuk Johari telah
bertemu dengan abang sepupunya iaitu bapa Hilmi yang baru sampai dari kampung. Suasana menjadi bertambah
pilu dengan kehadiran Azizah, ibunya serta Hakim, anak Hilmi.
Abang sepupunya itu kemudian menceritakan kepada Datuk Johari dan Datin Salmah bahawa Hilmi selalu memuji
kebaikan pak cik dan mak ciknya itu. Akhirnya abang sepupunya iaitu Karim akhirnya membongkar rahsia bahawa
Hilmi sebenarnya anak kandung Datuk Johari. Dia sengaja menyimpan rahsia itu kerana tidak mahu merosakkan
rumah tangga mereka. Datuk Johari dan Datin Salmah amat menyesal dan akan menebus dosa mereka sekiranya
Hilmi pulih. Setelah doktor yang merawat Hilmi membenarkan mereka melawat Hilmi, mereka pulang ke rumah
Datuk Johari. Karim bersyukur kerana Allah memanjangkan usianya dan dapat membuka rahsia yang terpendam di
hati selama ini. Sesampai sahaja di pekarangan rumah, mereka dikejutkan dengan panggilan telefon dari hospital.
Datuk Johari telah menerima khabar tentang kematian Hilmi dan pada saat yang sama Datuk Johari jatuh terjelepok
di atas lantai dan pergi buat selama-lamanya.

Latihan : Lengkapkan tempat-tempat kosong di bawah.


Novel ini mengisahkan ___________ (1) seorang pemuda yang berasal dari __________ (2) datang ke
kota untuk memperbaik kehidupannya. Dia menumpang di rumah bapa saudaranya, ________ (3). Hilmi
bekerja sebagai __________ (4) di rumah orang kaya itu. Isteri Datuk Johari, iaitu ___________ (5) tidak
suka akan kedatangan Hilmi kerana Hilmi orang kampung yang dianggap akan mencemarkan status
keluarganya.
Semasa tinggal di rumah Datuk Johari, Hilmi melakukan berbagai-bagai kerja. Dia _____________ (6)
dan menjaga ____________ (7) rumah dengan baik. Hilmi mempunyai minat dan bakat yang besar
terhadap bidang ____________ (8). Dia tertarik dengan kebolehan ___________ (9) bermain piano.
Hilmi juga tertarik dengan penampilan Hayati walaupun Hayati telah ditunangkan dengan ___________
(9). Hal ini mendatangkan _______________ (10) Datin Salmah. Hilmi meninggalkan rumah itu dengan
alasan untuk ____________________ (11). Namun, Hilmi sebenarnya terus berada di kota untuk
_________________ (12) secara lebih serius. _______________ (13) telah sudi mengajarnya muzik
tanpa mengenakan sebarang bayaran.
Hilmi mula mencipta nama dalam bidang muzik. Dia akhirnya berjaya mengepalai sebuah ___________
(14). Dalam persembahan konsert perdana di ___________________ (15), Hilmi tidak muncul-muncul
walaupun persembahan itu hampir dimulakan. Akhirnya muncul seorang wanita yang menggantikan
tempat Hilmi. Beliau ialah Hayati yang baru pulang dari ___________ (16).
Hilmi sebenarnya telah terlantar di wad ____________________ (17) dalam keadaan tenat setelah jatuh
pengsan. Ketika itulah Datuk Johari diberitahu oleh abang sepupunya, ______________ (18) bahawa
Hilmi ialah anak kandungnya. Datin Salmah dan ___________ (19) insaf akan perbuatan mereka dan
ingin menebus kesilapan. Ketika Datuk Johari sampai di rumah, dia mendapat panggilan telefon
mengatakan Hilmi telah __________________ (20). Datuk Johari turut meninggal dunia kerana terkejut
dengan berita itu.

Tema untuk novel Konserto Terakhir ialah perjuangan hidup seorang anak muda yang berasal dari
kampung yang berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan dan akhirnya berjaya menjadi seorang
seniman besar negara.
Berikut ialah bukti-bukti yang dapat dikaitkan dengan kewujudan tema novel Konserto Terakhir.

1. Melalui novel ini, pengarang mengetengahkan liku-liku yang dilalui oleh Hilmi yang sebelum ini tidak
mengetahui langsung bahawa dia mempunyai bakat sebagai seorang pemuzik. Bakat itu lahir secara
tidak sengaja apabila dia mendengar alunan muzik yang dimainkan oleh Hayati.

2. Hilmi telah bekerja sebagai tukang kebun di rumah bapa saudaranya, Datuk Johari. Setiap kali Hayati
bermain piano, Hilmi sengaja mencari kerja yang dekat dengan suara alunan piano itu.

3. Minat Hilmi terhadap muzik semakin memuncak. Dia telah mengusik piano Hayati dan memainkan
beberapa buah lagu seperti lagu “anak ikan”. Pengarang melukiskan bakat yang ada pada Hilmi itu yang
membolehkan nalurinya menggerakkan jari-jarinya bermain piano walaupun sebelum ini dia tidak ada
asas muzik dan tidak pernah mengenal piano. Peristiwa itu menyebabkan piano itu rosak dan Datin
Salmah memarahi Hilmi.

4. Keazaman untuk menjadi pemuzik menyebabkan Hilmi belajar muzik daripada Encik Bakar, seorang
pemimpin quartet yang terkenal. Dengan bimbingan Encik Bakar, Hilmi boleh bermain biola, trompet,
seksofon, dan klarinet. Hilmi juga telah berjaya menggubah lagu seperti “Sebuah Intermeso” dan banyak
lagunya yang menjadi pujaan ramai.

5. Dunia muzik yang ada jatuh dan bangunnya juga dirasai oleh Hilmi. Hilmi memulakan kariernya dalam
dunia muzik apabila bermain dalam quartet di bawah pimpinan Encik Bakar dan akhir-nya digelar
sebagai “Pemain Biola Hikmat Malaysia”.

6. Dia juga telah menubuhkan sebuah kurigan yang diberi nama “Kurigan Dahlia” mengikut
perkembangan muzik di Barat yang menjadi kegilaan muda-mudi ketika itu. Pengaruh muzik itu mula
hilang dan Hilmi kembali menyertai orkestra dan telah memimpin orkestranya dan menjadi johan tiga
kali berturut-turut dalam pertandingan yang dianjurkan oleh RTM.

7. Kejayaannya itu menyebabkan dia telah ditawarkan untuk memimpin pertunjukan Orkes Perdana
yang sama tarafnya dengan Royal Performance di England dan membuat arrangement semua lagu
ciptaannya dan arrangement itu diberi nama “Hilmi Potpouri”.

8. Walaupun terlalu banyak rintangan yang perlu dilaluinya untuk menjadi seorang pemuzik profesional,
namun bagi Hilmi yang tabah, dia telah melalui setiap cabaran hidupnya dengan nilai-nilai murni.

Perbandingan Novel T4 dan T5 - Teknik Plot


KOLEKSI SOALAN BMSPM - NOVEL (2001-2009)

TAHUN 2001 (N)


4a Pada pendapat anda, wajarkah pengarang mengakhiri cerita seperti yang terdapat dalam novel yang
anda pelajar ?
4b Huraikan empat persoalan yang terdapat dalam novel yang telah anda pelajari itu.
 

TAHUN 2002 (J)


4a Tulis sinopsis novel yang telah anda pelajari.
4b Huraikan empat nilai murni yang terdapat dalam novel yang telah anda pelajari itu.
 

TAHUN 2002 (N)


4a Jelaskan tema novel yang telah anda pelajari
4b Huraikan latar masyarakat dalam novel yang telah anda pelajari
 

TAHUN 2003 (J)


4a Plot merupakan aspek penting dalam pembinaan sebuah novel. Berdasarkan novel yang telah anda
pelajari, jelaskan klimaks novel berkenaan dan peristiwa-peristiwa yang membawa kepada kesudahan
cerita.
4b Huraikan empat latar tempat berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajari.
 

TAHUN 2003 (N)


4a Kegigihan merupakan salah satu persoalan yang terdapat dalam novel yang telah anda pelajari.
Buktikan pernyataan tersebut.
4b Huraikan watak utama novel yang telah anda pelajari
 

TAHUN 2004 (J)


4a Watak utama sesebuah novel sering dikaitkan dengan pelbagai cabaran. Berdasarkan novel yang
telah anda pelajari, huraikan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh watak tersebut.
4b Huraikan empat pengajaran daripada novel yang telah anda pelajari
 

TAHUN 2004 (N)


4a Huraikan tiga nilai kasih sayang yang terdapat dalam novel yang anda kaji
4b Konflik merupakan perkara yang menarik dalam sesebuah cerita. Berdasarkan novel yang anda baca,
jelaskan bagaimana watak utama menyelesaikan konflik yang dihadapi.
 

TAHUN 2005 (J)


4a Watak sampingan turut memainkan peranan penting dalam sesebuah novel. Berdasarkan novel yang
telah anda pelajari, huraikan perwatakan satu daripada watak sampingan tersebut.
4b Pengarang banyak memberikan teladan kepada pembaca melalui peristiwa-peristiwa yang
dipaparkan dalam novelnya. Jelaskan tiga peristiwa yang dapat anda teladan berdasarkan novel yang
anda pelajari.
 

TAHUN 2005 (N)


4a Terdapat pelbagai peristiwa menarik yang dipaparkan dalam sesebuah novel. Huraikan dua peristiwa
paling menarik dalam satu novel yang telah anda pelajari. Mengapakah anda berpendapat demikian?
4b Berdasarkan dua novel yang anda pelajari, bandingkan satu latar tempat dalam setiap novel itu.
 

TAHUN 2006 (J)


4a Pertentangan antara watak banyak terdapat dalam sesebuah novel. Huraikan dua peristiwa yang
menunjukkan pertentangan antara watak dalam sebuah novel yang anda telah kaji.
4b Berdasarkan dua buah novel yang anda telah kaji, jelaskan dua nilai kemasyarakatan daripada setiap
novel tersebut.
 

TAHUN 2006 (N)


4a Huraikan pengajaran yang terdapat dalam sebuah novel yang anda telah kaji.
4b Berdasarkan dua buah novel yang anda telah kaji, jelaskan satu persoalan daripada setiap novel
tersebut.
 

TAHUN 2007 (J)


4a Nilai setia kawan sering dipaparkan dalam sesebuah novel.
Huraikan dua nilai setia kawan dalam sebuah novel yang anda pelajari
4b Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan tema dalam setiap novel itu.
 

TAHUN 2007 (N)


4a Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan dua peristiwa yang dapat dikaitkan dengan
persoalan maruah.
4b Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan cara watak utama setiap novel
menyelesaikan satu konflik yang dihadapinya.
 

TAHUN 2008 (J)


4a Pemilihan tajuk sesebuah novel dapat dikaitkan dengan isi kandungan novel tersebut.
Buktikan pernyataan di atas berdasarkan sebuah novel yang telah anda kaji.
4b Berdasarkan dua novel yang telah anda kaji, berikan tiga pengajaran yang terdapat dalam setiap
novel.
 

TAHUN 2008 (N)


4a Bahagian permulaan sebuah novel memainkan peranan yang penting kepada pembaca untuk
meneruskan pembacaan.
Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan dua sebab bahagian permulaan novel itu menarik
minat anda.
4b Bandingkan, iaitu dari segi persamaan dan perbezaan, satu latar masyarakat dalam dua buah novel
yang anda pelajari.
 

TAHUN 2009 (J)


4a Sesebuah novel dapat menimbulkan pelbagai kesan terhadap perasaan pembaca.
Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan dua peristiwa yang meninggalkan kesan
terhadap perasaan anda.
4b Berdasarkan dua buah novel yang telah anda kaji, huraikan satu latar masa dalam setiap novel.
 

TAHUN 2009 (N)


4a Ketabahan watak utama dalam sesebuah novel membolehkannya memperoleh kejayaan.
Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, huraikan dua contoh yang dapat membuktikan
pernyataan di atas.
4b Berdasarkan dua buah novel yang telah anda kaji, jelaskan satu contoh nilai kasih sayang yang
terdapat dalam setiap novel.

Anda mungkin juga menyukai