Anda di halaman 1dari 4

ASAARI MUHAMMAD BUKAN PUTERA BANI TAMIM

Amat mengejutkan! Baru-baru ini dalam satu ‘majlis khas’, pemimpin kanan Rufaqa’
membuat pengakuan bahawa Asaari sebagai Pemuda Bani Tamim hanyalah sekadar ramalan
yang belum disahkan. Andainya Asaari ditakdirkan meninggal dunia maka berakhirlah
penantian al-Arqam dan Rufaqa’. Apa yang mereka lontarkan selama ini hanyalah sekadar
pandangan semata-mata. Krisis yang berlaku antara Rufaqa’ dan kerajaan cuma perbezaan
pendapat dalam menentukan siapakah al-Mahdi dan Bani Tamim.

Pemimpin kanan tersebut juga meminta supaya para ulama lebih terbuka dan melihat
perjuangan al-Arqam dan Rufaqa’ berasaskan fakta-fakta akademik. Menurutnya lagi,
Rufaqa’ hanya berusaha menjalankan ‘jadual Tuhan’ sebagaimana yang sedia termaktub di
dalam hadith-hadith fitan yang dikaji oleh mereka. Persoalannya, benarkah dakwaan
pemimpin kanan Rufaqa’ ini? Atau ia helah rutin mereka untuk melepaskan diri dengan cara
taqiyyah dan berdolak-dalih?

Apabila merujuk kepada fakta-fakta ‘sebenar’, amat mudah untuk kita merumuskan bahawa
segala kenyataan yang dilafazkan itu tidak lebih daripada satu pendustaan. Masakan tidak,
buku baru yang telah diharamkan berjudul “Abuya Ashaari Muhammad, Pemimpin Paling
Ajaib Di Zamannya” membuktikan tiada langsung fakta yang boleh dikaitkan dengan disiplin
keilmuan Islam. Ia tidak lebih daripada buku yang berpandukan khayalan dan dongengan
penulisnya. Tiada langsung fakta akademik yang menyokong bahkan bercanggah pula.

Fakta paling jelas, penulisnya menukilkan sebuah kisah daripada seorang ‘perawi’ bernama
Embah Mahmud. Ia dijadikan dalil untuk membenarkan pelantikan Syeikh Suhaimi sebagai
Imam al-Mahdi, keghaibannya serta pelantikan Asaari Muhammad sebagai Putera Bani
Tamim selaku pembantu Imam al-Mahdi.

Kisahnya berbunyi, daripada Embah beliau menjelaskan, “60 tahun yang lalu, bertempat di
Johor, saya berada di Majlis Sayidi Syeikh Suhaimi bersama 9 orang. Orang lain semuanya
sudah tua dan saya paling muda. Masa itu umur saya dua puluh tahun. Di majlis itu
seseorang bertanya kepada Sayidi Syeikh Suhaimi: Apakah benar tuan Imam al-Mahdi?
Sayidi Syeikh Suhaimi bertafakur 15 minit dan kemudian angkat kepala lalu menjawab: Ya,
saya Imam al-Mahdi”.

“Kata Sayidi Syeikh Suhaimi lagi, InsyaAllah saya akan dighaibkan Allah, tapi kalau hilang
begitu sahaja, sedangkan saya begitu terkenal, akan jadi masalah. Maka Allah izinkan saya
untuk dilihat seperti meninggalkan dunia walhal saya dighaibkan Allah. Sayidi Syeikh
Suhaimi menyambung lagi, perjuangan saya ini akan jadi seperti anak ayam kehilangan ibu
waktu ketiadaan saya, tapi nanti ia akan bersambung oleh seorang bernama Ashaari
Muhammad”. Tamat.

Demikianlah hujjah dan dalil yang menjadi sandaran kukuh al-Arqam dan Rufaqa’ terhadap
aqidah Imam al-Mahdi dan Bani Tamim versi mereka. Tambah menghairankan, penulis buku
tersebut menerima bulat-bulat cerita tersebut hanya berlandaskan satu alasan remeh. Asaari
dan Syeikh Suhaimi mempunyai perjuangan yang sama walaupun tidak pernah bertemu.
Inilah bukti konkrit bagi mereka untuk menerima kesahihan cerita ini.

1
Bagi menjawab kedangkalan pemahaman al-Arqam dan Rufaqa’ ini, dibentangkan beberapa
fakta akademik sekaligus menolak kaedah sumber ilmu yang digunakan oleh mereka dalam
berhujjah dan berdalil.

Pertama, persoalan berkaitan Imam al-Mahdi dan Bani Tamim adalah termasuk di dalam
perkara-perkara yang akan berlaku pada masa hadapan. Tiada siapa pun yang diberi autoriti
oleh agama ini untuk menokok-tambah sesuatu yang melampaui riwayat-riwayat sedia ada.
Dalam hal ini, al-Arqam atau Rufaqa’ secara terang-terangan telah melampaui riwayat-
riwayat sedia ada. Mereka telah menjadikan kata-kata manusia biasa setaraf dengan hadith-
hadith Rasulullah SAW. Apakah cerita dongeng yang didengar daripada seorang yang
bernama Embah Mahmud ini boleh dipercayai begitu sahaja? Di manakah dakwaan pemimpin
kanan Rufaqa’ yang mengatakan selama ini mereka bersumberkan kajian terhadap hadith-
hadith fitan? Atau mereka sebenarnya baru ‘mengenali’ hadith-hadith fitan dan melihat ada
kesempatan untuk mempergunakannya bagi menyokong doktrin palsu mereka.

Kedua, andaikan kita menerima kejujuran Embah Mahmud tentang cerita pengakuan Syeikh
Suhaimi sebagai Imam al-Mahdi dan Asaari Muhammad sebagai Putera Bani Tamim.
Bermaksud ia bukan rekaan atau pembohongan atau pemalsuan daripadanya. Itu juga tidak
menjamin kita boleh berpegang kepada cerita tersebut. Ini kerana kandungan cerita itu perlu
dinilai dengan neraca al-Qur’an dan al-Sunnah.

Melalui neraca syara’ kita dapati sekiranya benar Syeikh Suhaimi telah membuat pengakuan
bahawa beliau adalah Imam al-Mahdi. Pengakuan itu sudah tentu jelas tertolak berdasarkan
percanggahan yang nyata dengan hadith-hadith yang warid tentang Imam al-Mahdi. Ini
kerana Imam al-Mahdi apabila beliau muncul, beliau tidak akan mengumumkan dirinya
sebagai Imam al-Mahdi. Dr. Yusuf al-Qaradawi menyebut bahawa di sana tidak terdapat apa
yang dikatakan dengan al-dakwah al-al-Mahdiyyah sebaliknya Imam al-Mahdi sebagaimana
yang diisyaratkan oleh hadith-hadith ialah seorang lelaki yang berhukum dengan syariat Islam
dan berusaha menegakkan keadilan di muka bumi. Bila orang ramai melihat hakikat ini
mereka (secara tidak langsung) akan mengatakan ini ialah al-Mahdi yang diberitakan oleh
Baginda SAW, beliau tidak akang datang dengan berkata: “Akulah al-Mahdi”. Tidak,
sebaliknya beliau akan datang lalu menegakkan keadilan di muka bumi dan manusia akan
berkata inilah al-Mahdi sebagaimana yang diberitakan di dalam hadith-hadith.
(islamonline.net)

Imam Al-Mahdi juga sepertimana yang diisyaratkan di dalam hadith sahih adalah berbangsa
Arab bukan sekadar berketurunan Arab sebagaimana dakwaan sesat Rufaqa’. Diriwayatkan
dalam Sahih Muslim, telah berkata A’isyah r.a.: “Ketika tidur, tubuh Rasulullah SAW
bergetar lalu kami bertanya: Mengapa engkau melakukan sesuatu yang belum pernah engkau
lakukan, wahai Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab: Akan terjadi satu kehancuran iaitu
bahawa sekelompok orang dari umatku akan berangkat menuju ke Baitullah untuk memburu
seorang ‘lelaki Quraisy’ yang pergi bersembunyi di Ka’bah sehingga apabila orang-orang
tersebut telah sampai di sebuah padang pasir (al-baida’) maka mereka ditelan bumi...”.

Dalam memahami hadith ini dan hadith-hadith lain, Syeikh al-Azhar yang lalu, Syeikh Abdul
Halim Mahmud mengatakan bahawa Imam al-Mahdi adalah seorang pemimpin berbangsa
Arab yang berjihad untuk menegakkan keadilan dan membasmi kezaliman. (islamonline.net)

2
Berhubung dakwaan Asaari dilantik sebagai Putera Bani Tamim, ia juga satu pendustaan yang
nyata. Ia langsung tidak berlandaskan nas-nas syara’ tetapi hanya cerita Embah Mahmud
sahaja yang menabalkan bahawa Asaari ialah Putera Bani Tamim.

Berdasarkan kajian terhadap hadith-hadith fitan, memang terdapat hadith-hadith yang


menyebut tentang pemuda Bani Tamim dan pembawa panji-panji hitam. Namun begitu
kebanyakan hadith-hadith bab ini tidak boleh dibuat hujjah. Dalam kajian yang dijalankan
oleh Dr. al-Syarif Hatim ibn al-‘Auni, pensyarah di Universiti Ummul Qura, Arab Suudi,
beliau mengatakan: “Bahawa hadith-hadith dan riwayat-riwayat tentang kemunculan panji-
panji hitam serta sufyani terdiri daripada hadith-hadith yang mempunyai pelbagai jalan dan
lafaznyadi dalam kitab-kitab al-malahim (huru-hara akhir zaman) dan tanda-tanda Qiyamat,
sehingga jalan-jalannya memenuhi kitab sepenuhnya. Maka telah bergembiralah dengannya
kumpulan-kumpulan tertentu lalu mereka menambahnya lagi sehingga sekarang! (Namun)
sesiapa yang meneliti hadith-hadith tersebut, dia akan teringat kepada kata-kata Imam
Ahmad: Tiga jenis kitab yang tiada baginya asal; al-maghazi (peperangan), al-malahim dan
tafsir. Apa yang ingin dimaksudkan oleh beliau iaitu kerana banyaknya pembohongan dan
riwayat-riwayat yang tertolak dalam ketiga-tiga bab tersebut dan amat sedikit sekali hadith-
hadith yang sahih berkenaannya”. (islamonline.net)

Bertepatan dengan kata-kata Imam Ahmad ini, dalam kajian yang dijalankan oleh Dr. Syarif
beliau mendapati bahawa tidak ada satu pun hadith-hadith tentang pembawa panji-panji hitam
yang marfu’ kepada Nabi SAW mahupun yang mauquf kepada Sahabat, kerana itu hadith-
hadith tersebut tidak layak untuk dijadikan hujjah.

Adapun berkaitan hadith-hadith putera Bani Tamim. Ia ada diriwayatkan oleh Imam al-Suyuti
dalam kitab berjudul al-Hawi li al-fatawi yang menukilkan beberapa hadith yang berkaitan
dengan putera Bani Tamim. Antaranya menyebut: Daripada Abi Jaafar berkata: “Seorang
pemuda dari Bani Hasyim keluar di sebelah kanan bapa saudara mereka dari bahagian
Khurasan (Iran sekarang) membawa bendera hitam dikepalai oleh Syu`aib bin Salih; dia
memerangi pengikut-pengikut Sufiyani dan mengalahkan mereka. Kesimpulan daripada
hadith-hadith tersebut pemuda Bani Tamim bernama Syu’aib bin Salih (bukan Asaari bin
Muhammad!) dan beliau akan membawa panji-panji hitam dalam angkatan tentera Imam al-
Mahdi”. Malangnya apabila diteliti hadith-hadith tersebut, Imam al-Suyuti tidak mencatatkan
daripada mana hadith itu diperolehi. Sanadnya juga tidak ada. Beliau hanya mencatatkan
nama perawinya sahaja.

Hakikat yang perlu diterima oleh pengikut Rufaqa’ juga iaitu hadith-hadith berkenaan
menyebut PEMUDA Bani Tamim atau al-fata al-tamimi dalam bahasa Arab bukannya putera
Bani Tamim. Putera di dalam bahasa Arab disebut ‘ibn’ sedangkan hadith menyebutnya
‘fata’. Dalam riwayat yang lain tentang pemuda Bani Tamim, daripada Ibn Hammad terdapat
lafaz menyebut “ghulamun hadathus sin” bermaksud “seorang budak di awal umur”.
Bermaksud pemuda Bani Tamim ini adalah seorang yang masih muda. Jelas, ini satu lagi
penyelewengan Rufaqa’ terhadap istilah Arab. Atau kumpulan Rufaqa’ sudah tidak mengenali
apa beza antara tua dan muda? Sudah hilang kewarasan untuk memahami maksud tua atau
muda kerana ketaksuban yang membabi buta?

Bagaimanapun secara keseluruhannya, para ulama hadith mendapati tiada satu pun hadith
sahih berkenaan pemuda Bani Tamim. Apa yang sampai kepada kita ialah apa yang
diriwayatkan antaranya oleh Imam al-Tabrani, namun al-Haithami mengatakan hadith
tersebut munkar. Begitu juga apa yang diriwayatkan oleh Ibn Hammad di dalam kitab al-

3
Fitan, namun begitu kedua-dua riwayat tersebut mauquf kepada tabi’in, dan apa yang mauquf
kepada tabi’in dianggap sebagai maqtu’ (hadith yang terputus).

Untuk makluman para pimpinan dan pengikut Rufaqa’, para ulama yang mengkaji hadith-
hadith fitan telah menyatakan bahawa terdapat dua kaedah utama dalam kita mengkaji hadith
fitan.

Pertama, memastikan martabat atau darjat sesebuah hadith. Adakah hadith tersebut layak
dijadikan hujjah dalam menyatakan sesuatu pandangan atau ia sebuah hadith yang tertolak
dan langsung tidak boleh dijadikan hujjah kerana kecacatan-kecacatan teruk (syiddat al-dha’f)
yang wujud berdasarkan metodologi ilmu hadith. Apatah lagi sekiranya sesuatu hadith itu
ingin dijadikan sandaran kepada perkara yang berhubung dengan aqidah! Dalam hal ini,
Rufaqa’ langsung tidak berdalilkan mana-mana hadith untuk mensabitkan Imam al-Mahdi
ialah Syeikh Suhaimi dan Asaari Muhammad ialah pemuda Bani Tamim, bahkan realitinya
Rufaqa’ menyalahi hadith.

Kedua, hadith-hadith fitan adalah berbentuk hadith-hadith yang menceritakan perihal di akhir
zaman. Ia suatu perkhabaran berkenaan apa yang bakal berlaku pada masa akan datang
menurut qadha’ dan qadar Allah SWT. Ada isyarat-isyarat di dalam hadith tersebut yang jelas
dan mudah dikesan atau disedari tetapi terdapat juga isyarat-isyarat yang sukar dirungkai dan
difahami oleh manusia. Ringkasnya hadith fitan tidak membawa hukum syara’ yang
mengandungi perintah suruhan mahupun larangan. Ia hanya suatu perkhabaran daripada Allah
SWT supaya manusia lebih berhati-hati dalam mengharungi hidup di akhir zaman.

Justeru itu, sedarlah wahai pengikut-pengikut Rufaqa’ sekalian. Anda sebenarnya sedang
ditipu oleh pemimpin anda sendiri. Ketahuilah bahawa hadith-hadith fitan tersebut
kebanyakannya adalah berdarjat dha’if. Sudah tentu ia sukar untuk dijadikan ‘sumber hukum’
yang menjadi landasan sesuatu amalan, apatah lagi untuk mengubah paradigma aqidah yang
sudah mapan. Namun kita boleh menerimanya sebagai suatu perkhabaran yang mungkin ada
benar dan salahnya. Itu pun jika benar pemimpin Rufaqa’ bersandarkan kepada hadith-hadith.
Realitinya mereka lebih gemar berkhayal dan bercita-cita dan berdongeng semata-mata.
Wallahu a’lam.

Cawangan Aqidah
Bahagian Penyelidikan JAKIM
fail pp(appa)

Anda mungkin juga menyukai