Anda di halaman 1dari 5

ASTORA JABAT PENDUSTA AGAMA

Bagi pembaca yang mahir tentang perundangan Islam sudah tentu akan dapat mengesan titik-titik
yang menyerlahkan pendustaan Astora Jabat atas nama Islam. Namun bagi pembaca biasa yang
tidak berkecimpung dalam pengajian syari‟ah Islamiyyah secara talaqqi sudah tentu terpegun
dengan „kehebatan‟ Astora mengulas pandangannya dengan sebegitu „detail‟, terpaku dengan
„kealiman‟ Astora –yang dapat mengalahkan tokoh-tokoh lain yang dikenali sebagai ulama
selama ini- dalam membicarakan isu-isu agama masa kini disertakan rujukan-rujukan yang
muktabar dan tak boleh dicabar oleh ulama „kecilan‟ yang lain.

Penulis merasakan elok kiranya kolum Astora itu ditukar nama sedikit daripada Bicara Agama
kepada Dusta Agama. Di bawah ini disenaraikan antara contoh-contoh pendustaan atas nama
agama (Islam tentunya):

1) Mengada-adakan ayat al-Quran.

Astora telah menterjemahkan ayat 10 Surah al-Nur sebagai, “Oleh yang demikian Rasulullah
s.a.w. pun hilanglah keresahan selepas mendapati al-Quran diturunkan khusus untuk
menyelesaikan musibah yang menimpa sahabat yang dipercayai oleh baginda merupakan
orang yang baik lagi bercakap benar itu” (Zina: Saksi boleh bersumpah, Mingguan
Malaysia, 29 Ogos, 1999)

Ayat yang membawa terjemahan sedemikian sebenarnya tidak wujud dalam al-Quran bahkan
direka-reka oleh Astora sendiri dan mengadakan apa yang tidak ada dalam al-Quran.
Terjemahan sebenar ayat 10 tersebut ialah, “Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah
kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah
Maha Penerima taubat, lagi Maha Bijaksana, (tentulah kamu akan mengalami kesusahan
yang sukar diatasi), (lihat Tafsir Pimpinan Ar-Rahman) iaitu yang diletakkan oleh Astora
sebagai terjemahan bagi ayat 9.

Penulis cuba untuk berbaik sangka dengan Astora, dengan mengandaikan ianya adalah
kesalahan yang tidak disengajakan. Tetapi sesuatu andaian perlu juga kepada satu sandaran
kukuh, kerana hal ini bukannya mainan. Tiada sandaran kukuh di sini bagi andaian untuk
berbaik sangka tadi. Bahkan penulis dapat mengesan sebab mengapa Astora mengadakan
terjemahan ayat 10 itu sedemikian, iaitu kerana dalam kolum sama minggu yang sebelumnya
(Mingguan Malaysia, 22 Ogos 1999) Astora telah mereka cerita kononnya „Rasulullah amat
tidak senang dengan kejadian itu (Hilal menuduh isterinya berzina) dan baginda sangat
marah, pada hal yang membawa berita adalah seorang saksi sahaja…‟ Dari mana riwayat
ini dibawa Astora? Riwayat yang masyhur ialah apabila Hilal mengadu kepada Nabi s.a.w.
bahawa isterinya berzina dengan seorang lelaki bernama Sharik bin Sahma‟ (bukannya
Samha‟ seperti ditulis Astora secara tidak teliti), Nabi s.a.w. mengarahkan Hilal membawa
bukti (empat saksi), kalau tidak hukum had (80 sebatan) atas belakangnya. Ini kerana ketika
itu ayat li‟an (6 – 10 Surah al-Nur) belum diwahyukan kepada Nabi s.a.w., maka hukumnya
adalah berdasarkan ayat qazaf (al-Nur: 4 dan 5). Atas munajat Hilal kepada Allah kerana
kebenarannya, maka turunlah ayat li‟an dan selamatlah Hilal daripada hukum had al-
qazaf 80 sebatan dengan melaksanakan perintah ayat li‟an yang baru diturunkan itu. Lihat
Sahih Muslim (Imam Muslim), Naylul Awtor (al-Shawkani, Babul Li‟an).

Maka tidak disebut pun tentang keresahan dan kemarahan Nabi s.a.w. dalam riwayat yang
masyhur itu. Astora telah mereka-reka cerita dan di atas cerita rekaan itu beliau binakan pula
terjemahan palsu ayat 10 Surah al-Nur itu. Sebenarnya perbuatan menokok tambah ayat yang
tidak wujud dalam al-Quran pun boleh mengeluarkan seseorang dari batas iman, jika
dilakukan dengan sengaja. Jika demikian, perbuatan Astora ini juga boleh dimasukkan
sebagai tambahan bukti dakwaan penulis dalam artikel yang bertajuk Astora Melakukan
Perkara Merosakkan Aqidah.

2) Mengatakan rakaman gambar dan video boleh dijadikan qarinah atau baiyyinah.

“Qarinah atau baiyyinah ialah seperti seorang wanita yang hamil sedangkan dia tidak ada
suami. Pada zaman moden ini pula qarinah atau baiyyinah ialah rakaman gambar dan
rakaman video, boleh dijadikan bukti. Bagaimanapun, sesetengah ulama menolak qarinah
atau baiyyinah ini boleh dijadikan bukti sabit perzinaan”, tulis Astora Jabat dalam Bicara
Agama bertajuk Hukuman zina zaman Rasulullah (Mingguan Malaysia, 22 Ogos 1999).

Ulama mana yang mengatakan rakaman gambar dan video diterima dalam kehakiman Islam
sebagai bukti? Ini adalah satu lagi pendustaan Astora atas nama Islam, mungkin kerana jahil.

Sebenarnya qarinah berbeza dengan bayyinah. Bayyinah ialah bukti, dan bukti itu adalah
saksi (orang Islam yang adil) pada pendapat jumhur (majoriti) ulama. Manakala pada
pendapat Ibn Taimiyyah dan Ibnul Qayyim, ia dikatakan “lebih umum daripada saksi, iaitu
segala apa yang menerangkan kebenaran dan menyerlahkannya”. (al-Turuq al-Hukmiyyah,
Ibn Qayyim al-Jawziyyah, m/s: 14; al-Nizam al-Qadha‟i fi al-Fiqh al-Islami –kitab pengajian
Fakulti Syari‟ah Tahun 4 Univ. al-Azhar, Dr. Muhd. Ra‟fat „Uthman, m/s: 306)

Manakala qarinah pula ialah “amarah (isyarat) dan „alamah (tanda) yang zahir lagi jelas
mengiringi sesuatu yang kabur, lalu menyerlahkannya”, seperti ditakrifkan oleh Syaikh
Mustafa al-Zarqa dan Dr. Wahbah al-Zuhayli. Dalam kitab Majallah al-Ahkam al-„Adliyyah
(kanun rujukan perundangan Islam Kerajaan Turki „Uthmaniyyah) pula ia disebut sebagai
“tanda yang sampai ke tahap yakin” (ibid, Dr. Muhd. Ra‟fat „Uthman).

Perlu diberi perhatian bahawa dalam perundang Islam terdapat sepuluh cara pensabitan
hukuman secara teratur. Rujuklah kitab-kitab yang tersebut di atas untuk maklumat lanjut.
Bayyinah ialah persaksian orang Islam yang adil dengan syarat-syaratnya yang ketat,
manakala qarinah (tanda dan isyarat) pula ialah yang qati‟ah (sampai ke tahap yakin) sahaja
yang boleh diterima pakai.. Adakah rakaman gambar atau video termasuk dalam qarinah
qati‟ah? Jawabnya tidak, kerana dalam rakaman gambar dan video terdapat banyak syubhah
(keraguan munasabah) di mana gambar foto dan visual boleh dibuat-buat melalui teknik
super impose (tindihan atau sambungan gambar) seperti yang pernah berlaku kepada
beberapa artis di negara kita telah digambarkan sebagai melakonkan aksi lucah yang
sebenarnya –menurut kata mereka- tidak mereka lakukan Tidak perlu dihairankan tentang hal
ini di zaman teknologi ini. Filem-filem di Amerika dibikin tanpa para pelakonnya
melakonkan semua aksi, cukup dengan teknik animasi digital dan perkomputeran canggih
seperti pembikinan filem Twister, Titanic, Jurassic Park, Men In Black dan lain-lain lagi.
Apabila terdapat sesuatu syubhah, maka tuduhan tidak boleh disabitkan, apatah lagi yang
melibatkan hukum hudud. Namun, untuk mengenakan hukuman lebih rendah daripada hudud
(iaitu ta‟zir), terpulanglah kepada kebijaksanaan hakim jika ada sebarang qarinah lain atau
prima facie yang sekunder.

Kita mengatakan ini (boleh dikenakan ta‟zir) kerana kita lihat pada hari ini ramai pula artis
(99 peratus daripadanya adalah wanita) terutama yang tidak berapa laris di pasaran seni tanah
air, beraksi lucah dan bergambar bogel tanpa seurat benang pun dalam laman-laman internet.
Ini terjadi mungkin kerana, apabila terdapat seorang pakar komputer telah menunjukkan
bagaimana membuat video dan photo berdasarkan teknik super impose, maka perkara ini
dikhuatiri dijadikan batu loncatan sebagai alasan mereka bergambar bogel. Mereka tidak
bimbangkan tindakan undang-undang kerana mereka boleh berkata yang mereka dikhianati
oleh orang yang dengki dengan mereka dengan mencipta gambar melalui super impose.
Cuma alasan itu boleh dipersoalkan; kenapa mereka sebilangan itu sahaja yang dikhianati,
sedangkan artis-artis yang lebih popular tidak disabotaj pun? Kenapa kebanyakannya (99%)
adalah artis wanita, tidak artis lelaki? Kenapa artis wanita sahaja yang dikhianati, didengki
dan disabotaj? Pihak berkuasa mesti menyiasat sedalam-dalamnya tentang penglibatan artis
kita dalam „industri‟ gambar bogel ini, kerana ada andaian atau qarinah yang agak kuat
bahawa mereka ini benar-benar melakukannya, bukannya gambar orang lain yang disuper
imposekan.

Berbalik kepada persoalan tadi, apakah sama antara qarinah qati‟ah wanita mengandung
tanpa suami –yang merupakan isyarat pasti dan yakin bahawa dia telah berzina, dengan
mengetepikan dulu soal dia rela atau dipaksa- dengan qarinah gambar dan rakaman video?
Apakah boleh disamakan untuk proses pensabitan hukum hudud? Sudah pasti tidak sama,
dan dakwaan mengatakannya sama adalah satu percubaan untuk mendustakan agama Allah.

3) Mengatakan Nabi s.a.w. menyebat Khawlah dan pasangannya sehingga terjelir lidah.

Ini adalah satu lagi pendustaan Astora ke atas Nabi s.a.w. Ingatlah hadis sahih mutawatir
yang masyhur itu wahai Astora, yang membawa maksud, “Sesiapa yang berdusta atas nama
aku secara sengaja maka tersedialah tempat duduknya di dalam neraka”(muttafaqun
„alayhi).

Tuduhan Nabi s.a.w. menghukum sebat 80 kali ke atas Khawlah dan pasangannya telah
disebutkan oleh Astora dalam Bicara Agama 22 Ogos 1999. Riwayat sahih yang sebenarnya
berlaku telah disentuh dalam bukti pendustaan Astora yang pertama di atas, maka tidak
perlulah diulangi lagi di sini.

4) Membuat kesimpulan pendapat bahawa seorang saksi boleh mensabitkan hukuman


hudud zina.

“Kaedah persaksian seorang saksi ini juga dapat dilaksanakan dalam semua kes seperti
persaksian seorang saksi dengan angkat sumpah”, kata Astora Jabat dalam Bicara Agama 29
Ogos 1999, berdasarkan fahaman serongnya daripada kitab I‟laam al-Muwaqqi‟in oleh Ibnul
Qayyim (bukan „Alam al-Muwaqqi‟in, seperti yang Astora selalu sebut secara salah di setiap
tempat – akan dibahaskan dalam artikel bertajuk Astora Dangkal Dalam B. Arab nanti).

Sebelum membuat fatwa, seseorang yang berkeahlian hendaklah memastikan dahulu, adakah
wujud atau tidak nas (al-Quran atau hadis sahih) dalam perkara yang akan difatwakan. Jika
sudah ada nas yang terang lagi jelas, maka haram memberi fatwa yang lain daripada
kehendak nas tadi, kerana ia bermakna melanggar titah perintah Allah. Tapi Astora tidak
pastikan dahulu, sebab itu dia silap dan salah besar. Bila bertemu satu kitab yang pada
sangkaannya menjadi hujah untuknya, maka dia naik syok dan seronok habis kerana dengan
kitab itu disangkanya dia dapat menjunamkan para ulama (politik pada anggapannya)
seperti Syaikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, Dato‟ Nik Aziz, Dato‟ Fadzil Noor, Ustaz Hadi
Awang dan Dato‟ Dr. Harun Din yang tetap mengatakan pertuduhan zina hanya sabit dengan
empat saksi yang adil.

Astora silap, salah dan bohong besar bila mengatakan tuduhan zina boleh disabitkan walau
dengan satu saksi jika saksi itu bersumpah. Kerana Astora telah mengetepikan ayat qazaf
(Surah al-Nur: 4) yang bermaksud, “Dan orang-orang yang melemparkan (tuduhan zina)
terhadap orang-orang yang baik-baik, kemudian gagal membawa empat saksi (adil), maka
sebatlah mereka (yang menuduh) sebanyak 80 sebatan, dan janganlah kamu terima lagi
persaksiannya untuk selama-lamanya, dan mereka itu adalah orang-orang yang fasiq”
Apakah maksud ayat ini tidak jelas lagi bagi Astora? Atau dia seorang ilmuan picisan yang
cuai? Atau memang perangainya suka menyembunyikan fakta dan kebenaran dari Allah?

Kenapa dicampur adukkan makna ayat qazaf (tuduhan zina seseorang ke atas orang lain)
dengan maksud ayat li‟an (tuduhan zina dari suami ke atas isteri) iaitu ayat 6 hingga 9 Surah
al-Nur? Persaksian seorang saksi dalam kes zina hanya boleh diterima pakai apabila saksi itu
adalah suami kepada isteri yang dituduh sahaja. Itu pun bukan untuk mensabitkan hukum
hudud zina ke atas isteri, dan bukan bermakna saksi itu sudah dikira benar, tetapi hanyalah
untuk membebaskan si suami yang menuduh daripada hukum qazaf (80 sebatan) dengan
syarat sanggup bersumpah empat kali mengesahkan tuduhannya dan disertakan dengan
sumpah kelima menyatakan kesediaan menerima laknat Allah jika dia berbohong. Si isteri
juga, untuk membebaskannya daripada hukuman rejam, dia hendaklah sanggup bersumpah
empat kali mengatakan suaminya bohong dan disertakan yang kelima menyatakan kesediaan
menerima kemurkaan Allah jika suaminya benar. Kes itu pun selesai, dan mereka berdua
dipisahkan untuk selama-lamanya, tiada hukuman lagi selepas itu.

Tapi Astora faham cara lain berdasarkan rujukan kepada kitab Ibnul Qayyim itu. Sebenarnya
Ibnul Qayyim pun tidak berkata seperti yang Astora kata. Astora seorang yang tidak faham.
Memang persaksian seorang saksi diterima dalam kes bunuh, melihat anak bulan dan yang
seumpamanya selagi tidak ditetapkan bilangannya oleh nas. Tetapi bila nas telah
menetapkannya, seperti kes tuduhan zina ini yang mewajibkan empat saksi dan kes hutang
yang memerlukan paling kurang dua saksi lelaki (al-Baqarah: 282), maka tidak bolehlah
dicampur adukkan sekali dengan kes yang hanya perlu satu saksi. Kalau betul Ibnul Qayyim
mengatakan persaksian zina sah dengan seorang saksi (bukan suami) beserta sumpah, sila
Astora tunjukkan di muka surat berapa daripada kitab itu. Yang pasti Ibnul Qayyim tidak
kata dan tidak sekali-kali menyalahi kehendak ayat qazaf itu, hanya Astora yang pakai serkap
jarang! Insaflah Astora sebelum terlambat…

Wassalam.

Anda mungkin juga menyukai