Anda di halaman 1dari 17

SEMINAR SEJARAH LISAN WARISAN MELAYU

PERPUSTAKAAN AWAM SELANGOR, SHAH ALAM, SELANGOR

29 OKTOBER

Sejarah lisan tentang Peribadi dan Perjuangan


Dr Burhanuddin al-Helmi Oleh Keluarganya

oleh

Dr Mohamad Muzammil Mohamad Noor


Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh
Universiti Sains Malaysia
muzammil@usm.my

Definisi Sejarah Lisan

Sejarah lisan atau oral history merupakan satu cabang disiplin ilmu sejarah yang
merupakan salah satu kaedah melakukan penyelidikan mengenai peristiwa-peristiwa
yang telah lalu yang diceritakan menerusi mulut ke mulut ataupun sesuatu yang
diucapkan tanpa bertulis.1 Dengan kata lain, kaedah penyelidikan sejarah itu adalah
melalui wawancara atau temu bual atau soal jawab yang dilakukan secara pita rakaman,
iaitu memilih tokoh atau individu terpilih untuk mengetahui dengan lebih jelas peristiwa
atau menjelaskan sesuatu fakta sejarah. Selepas ditemu bual, maklumat tersebut disalin
atasu dirakamkan dan penyelidik atau penulis itu akan menyemak kembali dan terus
ditaip. Sekiranya maklumat yang diperolehi itu agak meragukan atau kurang jelas,
penyelidik akan merujuk kepada penulisan buku atau sumber-sumber pertama yang
sahih seperti dokumen, surat, fail atau sumber bertulis. Selalunya, kaedah ini akan
melengkapkan penyelidikan dan penulisan sejarah.
Namun begitu, pengalaman penyelidik sejarah mendapati terdapat beberapa
kelemahan yang harus dihadapi apabila menggunakan kaedah sejarah lisan dan
penyelidikannya. Antaranya yang dapat dikesani ialah;
(a) perlu mencari individu yang berkaitan
(b)kekadang individu tersebut tidak memberi kerjasama
(c)kesahihan maklumat yang diperolehi hasil temu bual mungkin boleh dipersoalkan
(d)ingatan individu tersebut mungkin telah merosot akibat umur yang lanjut
(e)sesuautu maklumat yang diperolehi mungkin berat sebelah atau bias jika
berkaitan dengan politik atau perasaan dendam

1
Dalam Kamus Dewan, lisan diistilahkan sebagai sesuatu yang diucapkan dan tidak ditulis atau diberitahu
dengan mulut, rujuk kamus tersebut, Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustakan, 2005, hlm. 948.
Oleh hal yang demikian, seseorang yang ditemu bual melalui kaedah sejarah lisan itu
adalah mereka yang berada dalam sesuatu peristiwa itu atau mengetahui sesuatu fakta
sejarah yang akan menyumbang maklumat bersejarah dari penglibatan dan pengalaman
mereka kepada pengkaji sejarah. Penulisan sejarah yang berkaita rapat dengan sejarah
lisan ialah sejarah ketokohan atau penulisan biografi seperti riwayat Dr. Burhanuddin
al-Helmi yang merupakan wira bangsa yang jarang-jarang didendangkan.

Mengenali Dr Burhanuddin al-Helmi

Nama asal Dr. Burhanuddin al-Helmi ialah Burhanuddin bin Muhammad Nor,
yang dilahirkan pada 29 Ogos 1911 di Changkat Tualang, Mukim Kota Bharu, Taiping,
Perak.2 Ayahnya bernama Haji Muhammad Nor bin Kasim dan ibunya dikenali sebagai
Sharifah Zahrah bin Habib Osman. 3 Beliau berketurunan bangsawan ’Melayu Jati’ 4
Minangkabau di sebelah ayahnya5 dan Arab adalah daripada darah keturunan ibunya.
Ayahnya dikatakan seorang yang alim dan bekerja sebagai petani dan juga guru agama
yang merantau dari Kampung Sungai Jambu, Batu Sangkar, dalam daerah Tanah Datar,
Pagar Ruyung, Minangkabau yang datang pada tahun 1908 dalam usia lapan belas
tahun.6 Haji Muhamad Nor seorang yang berpendidikan agama Islam yang kuat dan
pernah menuntut ilmu agama di Makkah melalui beberapa orang guru termasuk Sheikh
Mohammad Khatib yang juga berasal dari Minangkabau.7 Sebelum berhijrah ke Tanah
Melayu, beliau sangat aktif berjuang menentang penjajah Belanda di Sumatera Barat.
Disebabkan perjuangannya yang anti Belanda itu, pihak penjajah menjalankan kegiatan
memburunya bagi menyumbatkannya dalam penjara. Lantaran itu menyebabkan Haji
Muhammad Nor melarikan diri ke Tanah Melayu untuk menyelamatkan diri dan
2
Dr. Burhanuddin menyatakan sendiri yang tarikh kelahiran dan tempat beliau diberanakkan dalam
suratnya kepada Hassan Adli berkenaan pengenalan diri untuk menganggotai dan memimpin PAS. Dalam
surat tersebut juga, beliau menyertakan No. Kad Pengenalan Singapuranya iaitu Scc No 00964. Lihat,
SP/28/A/36 - Surat Peribadi Dr. Burhanuddin Kepada Hassan Adli, bertarikh 14 Disember 1956. Lihat
juga, Saliha Haji Hassan, Dr. Burhanuddin Al-Helmy: A Political Biography, Academic Exercise, University of
Malaya, Kuala Lumpur, 1972, hlm. 7; Ramlah Adam, Burhanuddin Al-Helmy Suatu Kemelut Politik, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996, hlm. 1; dan, Kamaruddin Jaafar, Dr. Burhanuddin al-Helmi: Politik
Melayu dan Islam, Kuala Lumpur: Yayasan Anda, 1980, hlm. 4. Rujuk juga, Mastika, terbitan Utusan Melayu,
Ogos, 1957, hlm. 87.
3
Kamaruddin Jaafar, Dr.Burhanuddin al-Helmi: Politik Melayu dan Islam, hlm.4.
4
Menurut Saliha, “istilah ‘Melayu Jati’ ini popular di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua untuk
membezakan keturunan Melayu tulen denghan keturunan Melayu yang berdarah kacukan Arab, India dan
lain-lain.” Saliha Hassan, “Dr. Burhanuddin al-Helmi 1911-1969”, dlm. Abdullah Zakaria dan Adnan Nawang,
Biografi Tokoh Pilihan Malaysia, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 1997, hlm. 20.
5
Ibid.
6
Penjelasan daripada adiknya, Noorbait pada 6 September 2008 di rumah beliau di Sentul, Kuala Lumpur.
Dalam catatan Saari Sungib pula, nama ayahnya adalah Ungku Muhammad Nor yang juga dikenali sebagai
seorang ahli tasawuf. Rujuk, Saari Sungib, 5 Tokoh Gerakan Islam di Malaysia, Gombak: PAS Gombak, hlm.
30. Semasa bertemu bual dengan beliau, Saari menerangkan bahawa di zaman silam terutama di Sumatera,
nama-nama yang bermula dengan ‘Tengku’, ‘Teuku’ dan ‘Ungku’ adalah nama bagi gelaran mereka yang
kuat beragama dan mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakatnya. Gelaran ini setaraf dengan
gelaran bagi ‘Sheikh’ atau ‘Syed’. Temu bual dengan beliau pada 9 April 2009 di Shah Alam.
7
Saliha Hassan, “Dr. Burhanuddin al-Helmi 1911-1969”, hlm. 20.
menyambungkan perjuangannya di tempat lain. Di Tanah Melayu, beliau mendiami di
Kampung Changkat Tualang, di sebelah utara Perak.
Ibunya pula yang berdarah Arab yang datang ke Perak dari Melaka dan dikatakan
daripada sebuah keluarga golongan atasan masyarakat Melayu.8 Selepas ibu bapanya
berkahwin, setahun kemudian pasangan tersebut telah memperolehi Dr. Burhanuddin.
Adik beradiknya yang lain ialah Abdul Halim, Bahrin, Sayuti, Takyah, Zaleha, Suffian,
Sahar dan Noorbait.9 Dalam kalangan ahli keluarga dan kawan-kawannya di kampung
memanggil beliau dengan nama ’Borhan’ atau ’Yop’ sahaja. Begitu juga semasa beliau
terlibat dalam kegiatan politik-agama dan dalam masa yang sama mengamalkan ilmu
perubatan homeopati, masyarakat menggelarkannya sebagai ’Pak Doktor’ 10, ’Doktor
Politik’ dan juga ’Doktor Agama’.

Ahli Keluarganya yang ditemu bual

ISTERI
Suri bte Yahya, pada 2 Ogos 2009, di Muzium Alam Shah, Shah Alam, Selangor, (isteri Dr.
Burhanuddin al-Helmi yang terakhir. Perkahwinan beliau dengan Suri pada tahun
1958. Ketika ini menetap di Gombak bersama anak tunggalnya, Nouxman. Beliau
dalam keadaan uzur ketika ditemu bual. Pernah menjawat jawatan Nazir Sekolah
semasa di zaman British di Perak).

ADIK
Noorbait Mohd Noor, pada 6 September 2008, di Taman Senu, Sentul, Kuala Lumpur,
(adik bongsu Dr. Burhanuddin al-Helmi serta pernah berjumpa dengan
Muhammad Natsir semasa belajar di Jakarta. Hidup pencen selepas berkhidmat
dalam sebuah koperasi guru).

ADIK IPAR
Mardiana Adnan, pada 6 September 2008, di Taman Senu, Sentul, Kuala Lumpur, (adik
ipar Dr. Burhanuddin al-Helmi dan berasal dari Bukit Tinggi, Sumatera Barat yang
juga isteri kepada Noorbait).

ANAK-ANAK
Ahmad Shukry Burhanuddin, pada 23 Januari 2009, di Jalan Bunga Kamunting, Shah
Alam, Selangor, (anak Dr. Burhanuddin al-Helmi).

8
Ibid.
9
Hanya Noorbait sahaja yang masih hidup ketika penulisan ini dilakukan dan sedang menghabiskan
sisa-sisa kehidupan sebagai pesara di Sentul, Kuala Lumpur bersama isterinya, Mardiana yang juga
berketurunan Minang dengan seorang anak lelaki yang telah berkahwin. Mereka berdua juga pernah
mengenali Muhammad Natsir ketika menuntut ilmu di Jakarta sekitar tahun-tahun 1960-an. Keterangan
Noorbait.
10
Saliha Hassan, “Dr. Burhanuddin al-Helmi 1911-1969”, hlm. 20.
Nouxman Burhanuddin, pada 2 Ogos 2009, di Muzium Alam Shah, Shah Alam, Selangor,
(anak bongsu kepada Dr. Burhanuddin al-Helmi. Bekerja sendiri).

ANAK ANGKAT

Surinah Burhanuddin, pada 2 Julai 2008, di Jurong West, Singapura, (anak angkat Dr.
Burhanuddin al-Helmi).

Pandangan ahli keluarganya tentang Dr Burhanuddin al-Helmi

i. Keperibadian

Cerdik Dalam Pendidikan

Semasa menuntut ilmu di Pondok Pisang, Kubang Pasu di Kedah dalam sekitar
tahun 1927, Dr. Burhanuddin telah memerhati dan merasai corak pendidikan yang
kurang memberangsangkannya. Sistem pendidikan pondok tersebut yang terlalu
mementingkan pendidikan tradisional iaitu cara hafalan semata-mata tanpa memahami
ilmu, baginya kurang berkesan dan tidak mendatangkan faedah. Menurut penceritaan
abang beliau, Abdul Halim Mohd Noor iaitu bekas pembantu kadi di Slim River, Perak,
sistem hafalan pelajaran di sekolah pondok kadang-kadang mengambil masa hingga dua
tahun dan akan mengganggu sistem pembelajaran serta pengaruh psikologi
kanak-kanak.11 oleh itu, tidak hairanlah kenapa Dr. Burhanuddin menyedari yang sistem
pendidikan secara hafalan ini tidak memberi kesan yang positif terhadap dirinya. Oleh
hal yang demikian, beliau menunjukkan sikap tidak minatnya kepada pihak sekolahnya
dan enggan menurut perintah gurunya supaya menghafal pelajaran. 12 Beliau tidak
memahami penerimaan ilmu melalui kaedah tersebut kerana dipaksa menghafal tanpa
diberi penerangan tentang ilmu yang diajar. Pertentangan prinsip beliau itu dengan
guru-guru di Pondok Pisang tersebut telah mengakibatkan beliau mengambil tindakan
mendesak kepada ayahnya supaya dipindahkan dari pondok itu.13 Walaupun desakan itu
beberapa kali tidak diendahkan oleh kedua-dua orang tuanya, tetapi pada akhir tahun
1927, mereka terpaksa akur dengan permintaannya dan mulalah dipindahkan ke
Madrasah al-Mashor al-Islamiyah, Pulau Pinang. 14 Dengan otak yang cerdik dan
berjaya menyempurnakan pengajiannya sehingga memperolehi ijazah falsafah dan ijazah

11
Keterangan adik Dr. Burhanuddin, Noorbait ketika diceritakan oleh abangnya, Abdul Halim. Temu bual
dengan Noorbait pada 6 September 2008, di Sentul, Kuala Lumpur.
12
Ibid.
13
Ibid. Adiknya itu mendapat maklumat tersebut daripada penceritaan keluarganya dan daripada Dr.
Burhanuddin sendiri.
14
Ibid.
perubatan homeopati, adfiknya, Noorbait berkata, “Semasa awal usianya dua puluhan,
di samping berdasarkan ilmu pengetahuan yang dipelajarinya, beliau telah menunjukkan
ketokohan ‘merevolusikan pemikiran dan pendidikan’ kepada kehidupan penduduk
sekitar kampungnya.”15
Beliau dikatakan seorang yang cerdik, terang hatinya, kuat bekerja dan rajin serta
tekun melakukan sesuatu pekerjaan. Sebagai seorang yang terang hati dan rajin, beliau
tentulah amat berminat dalam bidang-bidang keilmuan terutama hal-hal agama, falsafah
dan perubatan serta kesihatan. Disebabkan itulah beliau rajin meneroka perkara baru
seperti mempelajari bahasa Cina, Tamil serta Inggeris. Sikapnya yang suka membaca
pelbagai jenis bahan bacaan dan buku-buku adalah kerana ingin tahu sesuatu perkara
dan mendalami ilmu tertentu.16 Dalam masa yang sama beliau suka mengarang dan
mencatat sesuatu yang terlintas dalam fikirannya.
Dengan kelebihan yang ada padanya iaitu mampu menguasai pelbagai bahasa
terutama bahasa Arab, Melayu dan Inggeris, Dr. Burhanuddin turut menjadi guru bahasa
dan penterjemah kepada para pedagang, saudagar, kapten kapal dan pegawai laut yang
berurus niaga di pelabuhan antarabangsa Kota Singapura. Pekerjaannya itu telah
menggelarkan beliau seorang ‘munshi’.17
Menurut Dr. Burhanuddin, mendalami sesuatu ilmu bahasa merupakan salah
satu cara menceduk ilmu pengetahuan. 18 Oleh yang demikian, beliau mampu
menguasai bahasa Cina dan Tamil melalui kawan-kawan ketika bersekolah serta
penduduk kampung yang berketurunan Cina dan India. 19 Dalam masa sama juga beliau
menguasai bahasa Indonesia yang dipelajari daripada ayahnya serta semasa beliau
dihantar belajar di Minangkabau.20 Di kampung, ayahnya melanggan beberapa akhbar
dan majalah dari Indonesia yang memaparkan perjuangan nasionalisme dan politik
menentang penjajah Belanda.
Sebagai seorang yang cerdik dan petah bercakap, sepatutnya beliau layak
menjadi seorang pendidik di kampungnya. Ditambah lagi beliau seorang yang gemar
membaca dan menyebarkan ilmu dalam kalangan kawan-kawan sekolahnya semasa
zaman kanak-kanak dan awal remaja.21Dengan sifat sedemikian, beliau diberi pendidikan
yang sempurna oleh kedua ibu bapanya dengan menyekolahkannya di sekolah Melayu
dan pendidikan agama termasuk menerima pendidikan di Sumatera Barat, Indonesia
semasa zaman penjajah Belanda. Seterusnya beliau menyambung pelajarannya di
Aligarh Islamic University, India pada tahun 1934. Apabila menetap di Singapura, beliau

15
Ibid.
16
Ibid. Keterangan adiknya sendiri, Noorbait yang berpeluang melihat tabiat abangnya ketika tinggal
bersama-sama di Singapura semasa remaja.
17
Temu ramah dengan Surinah Burhanuddin, pada 2 Julai 2008, di Jurong West, Singapura.
18
Temu ramah dengan beberapa orang anaknya yang sentiasa memesan supaya sentiasa menggali ilmu
dengan belajar bersungguh-sungguh bermula di zaman kanak-kanak. Antara anak-anaknya yang ditemu
ramah ialah Ahmad Shukry, Surinah (anak angkat) dan Nouxman pada 23 Januari 2009, 2 Julai 2008 dan 2
Ogos 2009.
19
Keterangan sahabatnya dari satu kampung, Hj. Abdul Majid Salleh, pada 27 April 2006, di rumahnya di
Taiping, Perak.
20
Penjelasan ini diperkuatkan lagi dengan keterangan adiknya, Noorbait.
21
Ibid.
menerima tawaran menjadi guru sementara dengan mengajar anak-anak tempatan mata
pelajaran bahasa Arab dan ilmu agama di Madrasah Al-Juned selama kira-kira dua tahun
mulai pada tahun 1935 di Singapura.22 Dalam masa yang sama, beliau turut menjadi
penterjemah dan guru bahasa kepada para pedagang, saudagar asing, kapten kapal dan
pegawai laut terutama dari Asia Barat dan Asia Timur yang singgah menjalankan urusan
niaga di pelabuhan entraport Singapura sehingga digelar ‘munshi’.23 Oleh sebab itu,
salah satu sebab beliau tidak menjadi guru dalam tempoh yang agak panjang adalah
kerana sifat semula jadinya yang gemar mendalami pelbagai bidang dan mendekati ilmu
lain. Namun, keterlibatannya dalam bidang politik serta perjuangannya sebagai
nasionalis Melayu menuntut kemerdekaan penuh Tanah Melayu dan Singapura telah
menghad dan membatasinya meneruskan kerjaya dalam perguruan. Selain itu, beliau
rancak memperkenalkan ideologi ‘Alam Melayu’ dalam setiap ceramahnya di merata
tempat dan juga dalam penulisannya.24
Selain itu, beliau dikatakan tidak meneruskan pekerjaannya sebagai pendidik adalah
juga disebabkan ‘minat barunya’ dalam bidang yang agak asing bagi masyarakat Melayu
di zaman penjajahan iaitu pengamal ilmu perubatan homeopati. Terpengaruhnya beliau
dalam bidang baru ini adalah kerana beliau mengalami sakit lelah dan sering sesak nafas
di dada.25 Minatnya dalam ilmu perubatan itu menjadi kuat apabila beliau berjiran
dengan seorang pengamal perubatan homeopati, yang hanya dikenali dengan nama Dr.
Rajah dan beliau berasal dari India.26

Lemah lembut tapi tegas

Sebagai seorang anak sulung, Dr. Burhanuddin diasuh dan dibimbing oleh ibu
bapanya supaya menjadi seorang yang bertanggung jawab dan perlu bijak membawa diri
ke mana sahaja dirinya berada. Peranan ibu bapanya dalam memupuk nilai-nilai sosial
dengan memberi tunjuk ajar dan dididik dengan perlakuan yang baik dan betul. Oleh
sebab itulah sifat beliau dikatakan tidak meragam, tidak manja dan tidak cerewet,
menurut adiknya, Norbait.27 Pandangan adiknya lagi, sebagai abang yang sulung, beliau
menunjukkan sikap dan tingkah laku yang baik sebagai seorang abang, tidak banyak
kerenah, rajin membantu ibu bapanya dengan mengasuh adik-adiknya dan panggilan
mesranya dalam keluarga adalah ‘Yob’. 28 Dr. Burhanuddin juga dikenali masyarakat

22
Ibid.
23
Ibid. Penjelasan adiknya lagi, beliau pernah tinggal bersama-sama Dr. Burhanuddin di Singapura semasa
zaman remajanya. Menurut Noorbait lagi, abangnya itu cukup aktif dalam aktiviti sosial terutama agama
dan kegiatan pertubuhan politik. Di samping itu, abangnya itu juga mula menjinak-jinak dalam ilmu
perubatan homeopati yang diperkenalkan oleh Dr. Rajah yang kebetulan menjadi jiran tempat Dr.
Burhanuddin tinggal.
24
Lihat salah satu tulisan beliau, Dr. Burhanuddin al Helmy, 1964, “Perjuangan Kita”, dlm. Kamaruddin Jaafar,
Dr. Burhanuddin al-Helmy Politik Melayu Dan Islam, hlm. 31-60.
25
Keterangan anaknya, Ahmad Shukry.
26
Lihat, Rashidah Ismail, “Dr. Burhanuddin al-Helmy, Anak Melayu Pertama Mempelajari Homeopathy”,
Dewan Masharakat, Disember, 1969.
27
Kenyataan Noorbait.
28
Ibid.
kampungnya sebagai seorang yang lemah lembut dan semestinya bersopan santun
dengan sesiapa sahaja. Disebabkan sifatnya yang lemah lembut dan mudah bersenyum
itu, beliau diberi gelaran ‘Abi Halim’ oleh rakan-rakan sebayanya di kampung sehinggalah
lama-kelamaannya menjadi kebiasaan menggunakan ‘al-Hulaimi’ atau diringkasnya
‘al-Helmi’ yang bermaksud ‘orang yang tidak mempunyai sifat pemarah’.29 Menurut
anak-anaknya, Shukry dan Nouxman, sikap beliau itu dikatakan mewarisi perangai
ayahnya yang terlebih dahulu menerima gelaran tersebut daripada masyarakat kampung
yang terkenal dengan sifat-sifat terpuji seperti tidak mempunyai sikap kebendaan,
bersikap sederhana dalam kehidupan, mudah dalam senyuman dan jauh sekali bersikap
pembengis. 30 Dalam satu lagi sumber yang diperolehi, sahabat seperjuangannya,
Ahmad Boestamam mencatatkan beliau sebagai seorang yang lurus, jujur dan tidak
pernah menganggap negatif terhadap orang lain, apatah lagi jika seseorang itu telah
diperkenalkan sebagai seorang yang seperjuangan dengan matlamat dan pendirian
politik beliau tetapi kejujuran ini dilihat sebagai suatu kelemahan yang ada pada Dr.
Burhanuddin.

Alim dan kuat beramal


Dr. Burhanuddin juga turut dikenali sebagai seorang yang kuat berusaha dan
tidak patah semangat setiap kali rintangan mendatang. Dengan semangat yang padu
memperjuangkan ideologi nasionalisme Melayunya itu, beliau memberi semangat dan
juga motivasi kepada masyarakat Melayu lain terutama dalam pertubuhan yang
dianggotainya. Beliau menjadi contoh dan pembimbing kepada ahli-ahli PKMM apabila
beliau menyeru mereka berusaha dengan tekun dalam setiap perjuangan supaya nasib
diri dan kaum akan berubah.31 Pegangan kuat beliau dalam agama terserlah bila beliau
sering memberi tazkirah kepada anak-anak buahnya dengan memperdengarkan
ayat-ayat al-Quran yang sesuai sebagai penguat semangat perjuangan. Menurut seorang

29
Ibid. Menurut tulisan Saliha pula, asal gelaran ini diberi kepada ayah Dr. Burhanuddin, Hj. Muhammad
Nor. Gelaran yang diberikan oleh masyarakat kampung kepada ayahnya disebabkan beliau memiliki sifat-sifat
terpuji seperti tidak mementingkan kebendaan, tidak mengejar kemewahan dunia, sentiasa mengukir
kesenyuman dan tidak mempunyai sifat kemarahan. Saliha Hassan, “Dr. Burhanuddin al-Helmi 1911-1969”,
hlm. 20. Menurut Rashidah Ismail pula, gelaran ‘ al-Helmi’ berasal dari perkataan Arab yang membawa
maksud ‘yang lembut’ dan ‘yang tenang’. Rashidah Ismail, “Dr. Burhanuddin Al-Helmy: Anak Melayu
Pertama Mempelajari Homeopathy”, dlm Dewan Masyarakat, Disember 1969, hlm. 23.
30
Temu bual dengan anak-anaknya, Ahmad Shukry dan Nouxman pada 23 Januari 2009 dan 2 Ogos 2009,
serta seorang sahabat rapatnya, Hj. Abdul Majid Salleh pada 10, 23 dan 30 September 2007, di rumahnya di
Kampung Sengat, Gopeng, Perak.
31
Menurut keterangan Ahmad Boestamam melalui tulisan memoirnya, semasa Dr. Burhanuddin
menyampaikan ucapan dalam kongres PKMM kedua pada akhir tahun 1945 di Melaka, Ketua Agung PKMM
tersebut mengingatkan para pejuang Melayu giat berusaha mencapai matlamat ke atas tanah air dan beliau
sempat menyampaikan ‘kata-kata irama bersajak’ iaitu;
“Di atas robohan kota Melaka,
Kita dirikan jiwa merdeka,
Bersatu padulah segenap baka,
Membela hak keadilan pusaka.”
Rujuk, Ahmad Boestamam, Memoir Ahmad Boestamam: Merdeka dengan Darah dalam Api, Bangi:
Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia, 2004, hlm. 190-193.
pejuang Melayu berhaluan kiri dalam PKMM yang pernah dipenjarakan di bawah
Undang-undang Darurat selama tujuh tahun, Abdul Majid Salleh;
“.. beliau adalah orang yang pertama dalam PKMM memperkenalkan
ayat-ayat al-Quran yang bermaksud, Allah SWT tidak akan mengubah
nasib sesuatu umat itu sehinggalah kaum itu mengubah nasib mereka
sendiri.”32

Sehubungan dengan itu, boleh dikatakan dari segi amalan peribadinya, beliau
seorang yang bersungguh-sungguh mengerjakan kewajiban-kewajibannya seorang Islam,
banyak berfikir dan kerap mengalir air mata apabila beliau menginsafi kekerdilan
manusia dalam hubungannya dengan Tuhan. Menurut Shukry dan Nouxman lagi, sebagai
seorang penganut agama yang setia kepada Allah, Dr. Burhanuddin kerap berzikir,
bermunajad dan melakukan solat tahajud pada waktu malam serta sentiasa menginsafi
kekerdilan manusia disisi maha penciptanya.33 Justeru itu, beliau juga dikatakan seorang
pengikut kuat sekumpulan ajaran tarekat yang wujud di zaman kolonial iaitu ‘Tarekat
Na’syabandiah’.34
Dengan sifat yang agak terpuji yang dimilikinya itu, tidak hairanlah beliau seorang
yang alim iaitu kuat pegangan agama hasil asuhan ayah dan ibunya yang sememangnya
mempunyai pegangan kukuh dalam agama Islam. Ayahnya seorang ahli tasawuf dan
tinggal beberapa tahun di tanah suci Makkah dan Madinah untuk mendalami ilmu
agama dan menguasai pengajian al-Quran.35 Segala ilmu dan sifat kealiman ayahnya
diperturunkan kepada beliau. Sifat dan sikap yang dimiliki oleh Dr. Burhanuddin
mendapat perhatian para penulis sejarah dan pengkaji biografi seperti Farish A. Noor.
Pandangan Farish tentang tokoh pemikir Melayu ini merangkul semua yang telah disebut
di atas seperti berikut;
“... Dr. Burhanuddin, walaupun seorang yang berpendidikan agama
(madrasah di Malaysia dan Sumatera) merupakan seorang yang
berpendidikan moden juga (Aligarh Islamic University, India dan Ismaeliah
University, India). Beliau mempunyai asas (foundation) agama yang kukuh
tetapi juga fahaman isu semasa yang mendalam. Dia menjadi doktor
homeopati Melayu yang pertama (kalau tidak salah saya) dan mengambil
bahagian dalam perjuangan nasionalis di India dan juga perjuangan
anti-kolonial di Palestin. Dia mempunyai sudut pandangan universal dan
terbuka, dan dia tidak pernah menggunakan kata-kata atau ucapan yang
bersifat esoterik (vokabulari yang tidak difahami masyarakat biasa) untuk
mengkagumi pengikutnya. Aspek sufi (tasawuf) peribadi Dr. Burhanuddin
juga penting. Baginya Islam itu bukan hanya suatu ritual normatif yang

32
Abdul Majid Salleh, Memoir Abdul Majid Salleh Dalam PKMM dan Kesatuan Buruh, Bangi: Penerbit
Universiti Kebangsaan Malaysia, 2004, hlm. 25.
33
Kenyataan ini turut disahkan oleh adiknya Noorbait dan anaknya, Ahmad Shukry Burhanuddin, pada 23
Januari 2009, di Jalan Bunga Kamunting, Shah Alam, Selangor.
34
Saliha Hassan, “Dr. Burhanuddin al-Helmi 1911-1969”, hlm. 22.
35
Dalam temu ramah dengan Saari Sungib pada 9 April 2009, ketaatan agama oleh ayah Dr. Burhanuddin
memberikan gelaran ‘Ungku’ kepada ayahnya.
mesti ditonjolkan didepan khalayak ramai. ‘Islam’ itu bukan sahaja janggut
dan kopiah semata-mata bagi beliau. Dia tidak menggunakan kata-kata
Arab (walaupun fasih dalam bahasa itu) untuk menawan hati orang lain,
dan tidak pernah menggunakan taktik takfir (menuduh muslim lain sebagai
kafir atau munafik) yang dikeji dan jijik, seperti yang berlaku sekarang. Dari
sudut pandangannya, Islam itu bukan sahaja holistik dan relevan untuk
semua zaman dan masyarakat, tetapi merupakan suatu ideologi yang dapat
digunakan untuk menentang penjajah dan sistem politik neo-kolonial masa
itu. Dari ini dia membentuk suatu ideologi Islamisme yang bersifat aktivis
dan pragmatik.
... Dr. Burhanuddin sangat terbuka, toleran dan pragmatik watak dan
mindanya. Oleh kerana itu dia diterima oleh semua pihak, termasuk
parti-parti sekular haluan kiri seperti Parti Rakyat dan Socialist Front pada
masa itu. Dr. Burhanuddin dihormati oleh tokoh-tokoh lain seperti Ahmad
Boestamam, pemimpin Parti Rakyat pada masa itu... Dr. Burhanuddin yang
mula-mula menentang ideologi rasisme yang sekarang ini menjadi akar
umbi kepada sistem politik Malaysia dan ideologi BN (Barisan Nasional). Dia
menganggap semua bangsa di Malaysia sama, mempunyai hak yang sama
di bumi ini. Bukankah ini suatu model yang patut dicontohi? Bagi Dr.
Burhanuddin, konsep race itu suatu idea kolonial yang diimport oleh British,
untuk memecahbelahkan masyarakat Asia, agar lebih senang dijajah.
Sebagai seorang muslim, dia terima konsep ini. Dari sudut pandangan
teologi Islam race itu tidak relevan. Hanya ada satu race iaitu manusia, dan
kita semua insan di alam ini.”36

Seorang lagi pejuang nasionalis yang sezaman dengan Dr. Burhanuddin, Abdullah
Hussain juga turut mengulas keperibadian beliau. Abdullah mengkongsikan kenangan
dan menggambarkan saat-saat manis sesama mereka ketika aktif dalam kegiatan politik
dan nasionalisme di tanah air iaitu;
“… walaupun pertama kali berjumpa dengan Dr. Burhanuddin tetapi kita
merasakan seperti berjumpa dengan seorang kawan lama. Tutur katanya
dan gerak gerinya menarik hati, senyum dan tenungan matanya membuat
kita untuk duduk lebih lama mendengar percakapannya. Ia menghadapi kita
sebagai seorang bapa yang penuh pengertian atau sebagai seorang guru
yang ingin menyampaikan ilmunya seberapa yang dapat. Ia seorang pasifis
yang cintakan keamanan, tidak mau menyakiti orang walaupun
kadang-kadang terpaksa menerima kesakitan itu. Ia selalu menjauhkan
dirinya daripada berbuat salah tetapi dia selalu menjadi korban daripada
kesalahan orang lain. Namun demikian ia tidak pernah mengeluh atau
menyesali orang itu, ia tidak kenal dengan marah.”37

36
Farish A. Noor menulis dalam laman sesawang, http://www.ummahonline.com.
37
Abdullah Hussain,”Dr. Burhanuddin Pelupor Semangat Kebangsaan”, dlm. Dewan Masharakat, November
1969.
ii. Perjuangan

Anti Penjajah

Setiap perjuangan golongan haluan kiri mendapat tentangan dari pihak yang
memerintah atau berkuasa dalam politik. Bila perjuangan mereka disekat, pejuang
ditahan dan dipenjarakan oleh pihak-pihak berkuasa dengan alasan mahu mengengkang
penglibatan pejuang itu daripada mendapat pengaruh dan kononnya mengawasi
ketenteraman awam. Begitu juga peristiwa yang sama dihadapi oleh Dr. Burhanuddin.
Beliau menerima tekanan yang bukan sedikit peritnya dalam mengharungi
perjuangannya.Tahanan pertama Dr. Burhanuddin adalah semasa terlibat dalam aktiviti
politiknya menyokong perjuangan Parti Fatah di Palestin menentang penjajahan Yahudi.
Kejadian ini berlaku semasa Dr. Burhanuddin melanjut pelajarannya di India. Beliau pergi
ke Palestin bagi melihat sendiri pencabulan hak serta menyaksikan penjajahan British
dan bangsa Yahudi ke atas tanah rakyat Palestin. Bagi menunjuk rasa simpati dan
tanggung jawab sebagai saudara se-Islam, pada tahun 1936 Dr. Burhanuddin turut sama
dalam satu perarakan menentang Perjanjian Balfour yang membentuk negara Israel.
Penentangan terhadap perjanjian itu dipimpin oleh Mufti Baitul Muqaddis, al-Haj Amin
al-Hussain. Namun, perarakan yang disertainya itu telah memberi kesan kepada dirinya
apabila ditahan dan disumbatkan dalam lokap untuk beberapa hari di Palestin atas
tuduhan menyertai perhimpunan, perarakan dan penentangan secara haram terhadap
British. Dengan penangkapan beliau di situ, telah mencatatkan anak Melayu yang
pertama ditahan oleh bangsa asing di luar Tanah Melayu. Menurut adiknya, Noorbait,
perjuangan abangnya itu cukup berani dan bukan calang-calang orang boleh
menghadapinya lebih-lebih lagi ketika itu zaman penjajahan masih berlaku. 38
Tambahnya lagi, keberanian Dr. Burhanuddin itu telah mengorbankan masa mudanya
yang sepatutnya menghadapi kuliah pengajiannya.
Seterusnya setahun kemudian, tindakannya yang cukup anti British makin mendapat
perhatian pihak penjajah itu apabila Dr. Burhanuddin ditahan sekali lagi tetapi kali ini di
Singapura. Penangkapannya itu disebabkan hasil penerbitan sebuah majalah yang anti
penjajah, Taman Bahagia. Penulisannya dalam majalah itu berjaya dikesan dengan
drastik oleh pihak British di Singapura dan terus menahan beliau kerana sekali lagi
dituduh sebagai individu yang anti British dan mahu menimbulkan perasaan benci
masyarakat Islam kepada mereka. Pihak British di Singapura mendakwa yang Dr.
Burhanuddin cuba menyebar berita yang menimbulkan kesangsian kerana penulisannya
terhadap nasib masyarakat Palestin dan tindakan British yang memberi sokongan kepada
pihak zionis Yahudi (Israel). Dalam penahanannya itu, beliau ditawarkan ikat jamin
sebanyak $1000.00. Oleh itu, penahanan beliau tersebut agak merisaukan keluarganya di
Perak terutama ayahnya semasa menerima sepucuk telegram daripada seorang sahabat

38
Keterangan adiknya, Noorbait.
Dr. Burhanuddin di Singapura. 39 Menurut cerita adik bongsunya, Noorbait, dengan
kerisauan yang menyelubungi seluruh keluarganya itu, ayahnya hanya mampu membalas
surat supaya memintanya banyak bersabar dan menyerahkan nasibnya kepada takdir
disebabkan taraf kehidupan mereka yang sederhana itu tidak mungkin dapat
membebaskan abang sulungnya itu.40
Namun begitu, nasib Dr. Burhanuddin agak baik kerana mendapat sokongan moral
daripada beberapa pihak yang berjuang menentang pendudukan haram Yahudi di
Palestin serta simpati daripada sebuah keluarga keturunan Arab yang menetap di
Singapura yang hanya dikenali dengan nama al-Sagoff.
Seterusnya, kisah perebutan hak penjagaan Natrah adalah tidak lengkap tanpa
melibatkan perjuangan Dr. Burhanuddin serta masyarakat Islam yang tidak puas hati
dengan keputusan mahkamah dalam pembicaraan kes tersebut sehingga penangkapan
Dr. Burhanuddin sekali lagi. Penahanan beliau dalam kes Natrah pada tahun 1950 adalah
disebabkan penglibatannya dalam peristiwa tunjuk perasaan menentang keputusan
Mahkamah Tinggi Singapura yang memihak kepada keluarga asal Natrah, Hertogh, yang
mahu mengambil kembali Natrah yang sebelum ini dipelihara oleh ibu angkatnya,
Aminah binti Mohamad. Masyarakat Islam menentang keputusan mahkamah tersebut
yang memihak kepada bangsa penjajah dengan melakukan perarakan bantahan di luar
mahkamah di Singapura. Dengan lumpuhnya perarakan bantahan keputusan mahkamah
terhadap hak penjagaan Natrah yang memihak kepada keluarga asalnya, pihak British
telah mengambil tindakan tegas dengan mencari pihak-pihak yang terlibat dalam
rancangan mengadakan tunjuk perasaan yang berlangsung pada bulan Disember 1950.
Apa yang pasti tentulah Dr. Burhanuddin yang diburu mereka kerana beliau cukup
dikenali sebagai individu yang anti British dan suara-suaranya mendapat pengaruh
masyarakat Islam terutama dalam isu mengenai Natrah tersebut. Oleh yang demikian,
pihak berkuasa telah menahannya di Geylang Road pada 18 Disember 1950 dalam pukul
tiga pagi.41 Menurut keterangan anak angkatnya, Surinah, pihak polis menggeledah
setiap sudut rumah mereka bagi mencari bahan-bahan bukti berkaitan rancangan
mengadakan tunjuk perasaan tersebut. Dalam serbuan itu, pihak berkuasa telah
merampas surat-surat persendirian, dokumen-dokumen penting dan bukti-bukti lain
yang berkaitan ke balai polis sebagai bahan pembuktian. 42 Menurut penjelasan
Surinah lagi, beliau bersama-sama ibu angkatnya, Aminah, dan adik beradiknya lain tidak
dapat menahan air matanya dan berada dalam suasana kesedihan serta dalam keadaan
masa yang sama juga mereka menerima tekanan yang kuat apabila melihat Dr.
Burhanuddin digari dan mengheretkannya ke kenderaan polis.43Pada tahun 1953, Dr.
Burhanuddin dibebaskan tanpa syarat dan kembali ke Tanah Melayu beberapa bulan
kemudian.

39
Ibid. Keterangan adiknya, Noorbait semasa beliau tinggal bersama Dr. Burhanuddin di Singapura.
40
Ibid.
41
Laporan akhbar Utusan Melayu, 19 Disember 1950.
42
Penjelasan anak angkatnya, Surinah ketika ditemu bual di Jurong, Singapura pada 2 Julai 2008. Surinah
yang ketika itu masih awal remaja menyaksikan sendiri bagaimana Dr. Burhanuddin ditangkap dan bahan
bukti serta dokumen pembuktian dirampas oleh pihak berkuasa.
43
Ibid.
Pembela Masyarakat Melayu Zaman Pendudukan Jepun

Zaman Perang Dunia Kedua atau zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu
yang bermula pada tahun 1941 telah membuka lembaran baru kepada Dr. Burhanuddin
dalam perjuangan politiknya. Pada dasarnya, beliau seperti memberi kerjasama kepada
pemerintah tentera Jepun melalui satu konsep yang diperkenalkan oleh pihak Jepun
sebagai salah satu cara untuk mendapatkan kemerdekaan di tanah air masing-masing.
Ibrahim Hj. Yaakob mencalonkan dirinya kepada pihak tentera Jepun bagi memegang
jawatan Penasihat Adat Istiadat dan Kebudayaan Melayu di Markas Jepun di Taiping. 44
beliau menyedari yang pihak tentera Jepun banyak melakukan kekejaman dan siksaan
kepada masyarakat Melayu.45 Atas kesedaran itulah beliau mengambil peluang melalui
jawatannya itu untuk ‘memujuk dan menasihati’ penjajah timur itu supaya tidak
melakukan kekejaman dan tidak memaksa orang-orang Melayu dihantar ke Burma bagi
membina landasan kereta api maut. 46 Dengan pelantikannya itu turut memberi
beberapa keistimewaan peribadi kepada beliau apabila kerap diraikan oleh masyarakat
Melayu kampung setiap kali melakukan lawatan kerja ke kawasan kampung Melayu.
Dalam masa yang sama juga kehidupan keluarganya turut merasai sedikit keselesaan
terutama bekalan beras sentiasa dihantar oleh pihak tentera Jepun ke rumahnya.47
Peranan yang dimainkan oleh Dr. Burhanuddin sebagai pegawai khas pihak pemerintah
Jepun, sekurang-kurangnya telah menyelamatkan madrasah ini daripada dicerobohi dan
seterusnya menjadi markas tentera Jepun.

44
Mengikut satu sumber, Mustapha Hj. Hussain yang sebenarnya memilih beliau untuk menjawat jawatan
tersebut. Menurut Mustapha;
“Saya telah memilihnya untuk menyandang jawatan Pembantu (mula-mula) dalam
Jabatan Hal Ehwal Orang-Orang Melayu dalam sebuah Jabatan Pemerentah Jepun
bernama Gunseikanbu di Singapura (Syonan diwakhtu itu) oleh kerana beliau berkaliber
yang payah dicari-progressive dalam agama, fasih dalam bahasa Arab, tahu bahasa
Inggeris dan yang terlekat pada hati saya ialah kerana ia pernah merengkok dalam lokap
Polis Singapura kerana membantah diatas persetujuan British memberi tempat kepada
Yahudi di Palestin.”
Petikan dari SP/84, Alias Hj. Zaidi, “Dr. Burhanuddin al-Helmi Pelopor Kebangkitan Semangat”, dlm. Mastika,
Disember, 1979. (Sumber Arkib 2007/0026349).
Ibrahim Hj. Yaakob pula dilantik sebagai Penasihat Hal Ehwal Sumatera/Tanah Melayu Kepada
Pentadbiran Tentera Jepun di Singapura pada bulan Ogos 1942. Dengan jawatan yang dipegangnya itu,
beliau mengetuai satu Lembaga Penasihat Melayu dengan enam orang anggota yang dipilihnya. Walau
bagaimanapun, pihak Jepun tetap tidak melepaskan bangsa Melayu dengan begitu sahaja tanpa diawasi bila
melantik setiausahanya daripada pegawai tentera Jepun, Hosai yang berpangkat Kolonel.
45
Antara kekejaman yang dilakukan oleh tentera Jepun ke atas penduduk tempatan adalah seperti
menggertak, memaksa memanjat pokok kelapa, minum air bertimba-timba, memukul dan menekan perut
dengan papan. Lihat kekejaman yang dilakukan mereka itu dalam, Baharum Ahmad, Syair Kenang-kenangan,
Pulau Pinang: The Ltd. Press, 1952.
46
Kenyataan Hj. Abdul Majid Salleh ketika ditemu bual.
47
Kenyataan Noorbait.
Reformis Islam

Dr. Burhanuddin adalah seorang tokoh ulama dan politikus Islam yang mula
mencipta nama pada tahun 1935 bermula penahanan British di Palestin kerana
menentang penjajahan British ke atas Baitul Muqaddis. Beliau juga telah terlibat dalam
perjuangan terhadap isu penjajahan British ke atas umat Islam di Singapura dan ditahan
sekali lagi pada tahun 1937 kerana penerbitan majalah Taman Bahagia yang dianggap
mengancam kepentingan British. Melalui karya yang ditulisnya berjudul Simposium
Tasawwuf dan Tariqat, asalnya mempunyai ucapan-ucapan beliau dalam kegiatan ilmu
tarekat dan ceramah agama di beberapa tempat di sekitar tanah air, termasuklah di
Dewan Bandaran Kuala Lumpur pada 2 Oktober 1960 dan semasa sesi pembukaan
Sidang Mesyuarat Agung Persatuan Tarekat Sufiah yang pertama pada 3 Jun 1964. 48
Dalam bukunya itu, Dr. Burhanuddin ada menyatakan tentang minatnya dalam bidang
ilmu tasawuf dan tarekat. Hatinya tertarik dalam bidang ilmu agama ini adalah
disebabkan ayahnya Haji Mohamad Noor juga adalah seorang ahli tasawuf yang dikenali
dengan Naqshabandiah49 dan seorang yang boleh dikatakan seorang yang warak serta
pernah mendalami ilmu agama di Makkah. 50 Sejak zaman kanak-kanak lagi, beliau
didedahkan dan dididik oleh ayahnya dengan beribadat dan mendalami ilmu-ilmu
agama.51
Setelah menamatkan pengajiannya pada tahun 1931 di Madrasah tersebut serta
menerima pendidikan tingginya di India, beliau kembali ke kampungnya di Changkat
Tualang, dia mula menunjukkan sifat-sifat sebagai seorang reformis, agresif dan progresif.
Golongan ‘Kaum Muda’ ini mementingkan ajaran Islam yang bersandarkan al-Quran dan
al-Hadis dengan mengetepikan perkara-perkara dan adat tempatan yang menyimpang
dari ajaran Islam yang sebenarnya. Walau bagaimanapun, di kampungnya masih tebal
dengan fahaman lama atau pengaruh ortodok yang diketuai satu golongan yang dikenali
dengan gelaran ‘Kaum Tua’. Dr. Burhanuddin kurang menyenangi fahaman kolot tersebut
dan menurutnya adalah tidak sesuai digunakan seperti mana kaum tersebut
mengharamkan orang Islam memakai pakaian budaya barat walaupun telah menutup
aurat.52 Dalam satu isu lagi, iaitu isu tentang anjing yang haram disentuh, sikap dan
perangai masyarakat kampungnya itu mendatangkan ketidaksenangan dalam fikirannya.
Sebagai seorang yang berfahaman moden berlandaskan al-Quran dan al-Hadis, adalah
satu kewajiban untuk beliau meluruskan kembali perkara-perkara yang masih diamalkan

48
Dalam akhbar Berita Harian, 31 Oktober 1964, ada melaporkan kegiatan Dr. Burhanuddin dalam dakwah
hingga menggelarkannya sebagai ahli tasawuf.
49
Salah satu bidang ilmu tasawuf yang diasaskan oleh al-Syeikh Abdul Khaliq al-Ajdawani. Asas tarekat ini
ialah harus bersifat lurus, benar, menunai janji, patuh mengikut hukum syarak, menjauhi bidaah dan
melawan hawa nafsu. Lihat Dr. Burhanuddin, Simposium Tasawwuf dan Tariqat, hlm. 64.
50
Ayahnya seorang ahli sufi yang memegang ajaran tarekat ‘Naqsyabandiah’. Sebagai seorang yang
memegang ajaran agama yang kuat dan warak, ayahnya digelar ‘Haji Muhammad Nor Serambi “Makkah’.
Dali Muin, ‘Malam Kenangan Prof. Dr. Burhanuddin Hilmi’, Majalah Wangi, Bil. 7, 1985, hlm. 65.
51
Keterangan adiknya, Noorbait, semasa ditemu bual di Sentul, Kuala Lumpur, pada 6 September 2008.
52
Temu bual dengan isterinya, Suri bte Yahya di Shah Alam pada 2 Julai 2009.
oleh mereka yang tidak sesuai lagi dengan kehendak-kehendak zaman. Menurut Dr.
Burhanuddin, perkara ini boleh menghalang kemajuan dan perkembangan fikiran. Bila
keadaan ini berlarutan, sukar sekali bangsa Melayu dapat bersaing dan setanding dengan
bangsa lain.53
Langkah pertamanya adalah bertujuan merubah corak pemikiran masyarakat
kampungnya yang terlalu fanatik agama. Beliau menggunakan tempat-tempat yang
menjadi tumpuan masyarakat Islam seperti surau, masjid, dewan orang ramai dan
kelas-kelas agama kampung sebagai tempat untuk beliau berceramah. 54 Di
tempat-tempat tersebut, Dr. Burhanuddin meluahkan dan menerangkan perkara-perkara
yang benar dan salah di sisi al-Quran yang masih diamalkan oleh sekelompok Melayu
yang bercampur aduk dengan adat setempat. Namun begitu, usahanya itu telah
mendapat tentangan hebat dari alim ulama, imam dan guru-guru agama daripada
golongan ‘Kaum Tua’ yang menuduh beliau seorang yang masih mentah dan belum layak
menegur serta mungkin cuba mencari pengaruh. Selain itu, tuduhan ‘Kaum Tua’ itu
mungkin juga kerana takut hilang pengaruh daripada masyarakat kampung.55 Dalam
masa yang sama, masyarakat kampung menuduh beliau ‘melanggar’ agama Islam yang
diwarisi sejak nenek moyang lagi. Menurut Puan Suri, Dr. Burhanuddin pernah memakai
pakaian ala barat iaitu bertali leher dan berbaju kot semasa menunaikan fardu solat
Jumaat di sebuah masjid, namun berlaku pertelingkahan dan pertengkaran oleh dua
golongan tersebut.56 Golongan ‘Kaum Tua’ menuduh Dr. Burhanuddin cuba membawa
pengaruh penjajah dari segi pakaian. Oleh itu, mereka menyifatkan jika tidak dibendung
akan menyesatkan pemikiran masyarakat kampung.

Perjuangan Hingga Akhir Hayat

Perjuangan Dr. Burhanuddin dalam nasionalisme dan politik berakhir selepas beliau di
tahan di bawah Akta ISA di Pusat Tahanan Kamunting. Walau bagaimanapun, beliau
masih menjadi Yang Dipertua PAS sehingga akhir hayatnya. Sebagai tahanan politik,
kegiatannya agak terbatas di pusat tersebut sehinggakan ada beberapa usahanya yang
tidak tercapai akibat ditahan dalam tahanan, uzur dan meninggal dunia iaitu
menterjemahkan kitab al-Quran dan menyiapkan sebuah kamus dalam bahasa
Inggeris-Arab-Melayu. 57 Menurut anak bongsunya, Nouxman, usaha beliau
menterjemahkan kitab Al-Quran dan Kamus Jawi Melayu-Inggeris-Arab tidak dapat

53
Untuk mengetahui persoalan-persoalan yang diutarakannya itu, teliti hasil tulisan beliau melalui, Dr.
Burhanuddin al Helmy, Ucapan di Mesyuarat Agong PAS Ke 12, 1964; Burhanuddin al-Helmy, ‘Pidato di
Kongres Partai Rakyat’, diedit oleh Kamaruddin Jaffar, dlm. Dr. Burhanuddin al-Helmy: Politik Melayu dan
Islam, Kuala Lumpur: Yayasan Anda, 1980; dan, Professor Dr. Burhanuddin Al-Helmi, PAS Tuntutan
Kebangkitan Ummah, Kuala Lumpur: GG Edar, 1988. Semasa di dalam perdebatan parlimen juga, Dr.
Burhanuddin turut mengemukakan isu-isu politik, ekonomi dan sosial masyarakat Melayu. Lihat, Federation
of Malaya, Parliamentary Debates Dewan Rakyat, Part II, Vol. III, Third Session, Oktober 1961, The Death of
Dato’ Onn bin Ja’afar, D.K.D.P.M.J., 22 January 1962.
54
Temu bual dengan Hj. Abdul Majid Salleh.
55
Ibid.
56
Keterangan oleh Suri bte Yahya.
57
Temu bual dengan anaknya, Nouxman, pada 2 Ogos 2009 di Shah Alam.
disempurnakan dengan sepenuhnya kerana kesibukannya dalam kegiatan politik,
menjadi ahli parlimen dan memimpin PAS serta menerima hukuman tahanan politik di
bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (I.S.A.) setelah dituduh berkomplot dengan
kerajaan Sukarno menjatuhkan kerajaan Persekutuan Malaysia dan seterusnya
mewujudkan ’kerajaan buangan’ di Karachi, Pakistan. Keadaan menjadi halangan lagi
setelah kesihatan Dr. Burhanuddin terus merosot walaupun menerima rawatan di dalam
dan luar negeri dan beliau gagal melaksanakannya. Menurut keterangan isteri beliau,
Puan Suri, Allahyarham suaminya merasa terkilan kerana tidak dapat melaksanakan
sepenuhnya penterjemahan al-Quran dan penyusun kamus bahasa disebabkan
faktor-faktor tersebut. 58 Oleh itu, hasrat beliau menterjemah Al-Quran dan
menyiapkan kamus tersebut tidak diteruskan oleh warisnya sehingga ke hari ini.

Kesimpulan

Keseluruhannya dapatlah dikatakan bahawa kaedah secara lisan ini banyak digunakan
dalam genre sejarah berbentuk tokoh atau penulisan biografi bagi melengkapkan
penyelidikan dan penulisan sejarah selain menggunakan sumber pertama lain seperti
dokumen rasmi, fail, surat rasmi dan surat khabar serta sumber kedua iaitu buku, jurnal
dan tesis. Sekarang ini sejarah lisan menjadi ‘trend’baru kepada mereka yang belajar
untuk menulis berkaitan sejarah yang merangkumi sejarah nasional, sejarah bangsa,
sejarah sosioekonomi, sejarah sosiobudaya dan sejarah tokoh.

Bibliografi

Abdul Majid Salleh, Hj., pada 10, 23 dan 30 September 2007, di rumahnya di Kampung
Sengat, Gopeng, Perak. (sahabat dan rakan seperjuangan Dr. Burhanuddin
al-Helmi)
Abdul Majid Salleh, Memoir Abdul Majid Salleh Dalam PKMM dan Kesatuan Buruh,
Bangi : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2004.
Abdullah Hussain,”Dr. Burhanuddin Pelupor Semangat Kebangsaan”, dlm. Dewan
Masharakat, November 1969.
Ahmad Boestamam, Memoir Ahmad Boestamam: Merdeka dengan Darah dalam Api,
Bangi: Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia, 2004.
Ahmad Shukry Burhanuddin, pada 23 Januari 2009, di Jalan Bunga Kamunting, Shah
Alam, Selangor, (anak Dr. Burhanuddin al-Helmi).
Baharum Ahmad, Syair Kenang-kenangan, Pulau Pinang: The Ltd. Press, 1952.
Berita Harian, 31 Oktober 1964
Burhanuddin, Dr. Simposium Tasawwuf dan Tariqat,

58
Temu bual dengan isterinya, Suri bte Yahya pada 2 Ogos 2009, di Muzium Alam Shah, Shah Alam,
Selangor. Menurut keterangan beliau, Allahyarham suaminya merasa terkilan kerana tidak dapat
melaksanakan sepenuhnya penterjemahan al-Quran dan penyusun kamus bahasa disebabkan faktor-faktor
tersebut.
Burhanuddin al Helmy, Dr. 1964, “Perjuangan Kita”, dlm. Kamaruddin Jaafar, Dr.
Burhanuddin al-Helmy Politik Melayu Dan Islam, hlm. 31-60.
Burhanuddin al Helmy, Dr. Ucapan di Mesyuarat Agong PAS Ke 12, 1964.
Burhanuddin al-Helmy, ‘Pidato di Kongres Partai Rakyat’, diedit oleh Kamaruddin Jaffar,
dlm. Dr. Burhanuddin al-Helmy: Politik Melayu dan Islam, Kuala Lumpur: Yayasan
Anda, 1980.
Burhanuddin Al-Helmi, Professor Dr. PAS Tuntutan Kebangkitan Ummah, Kuala Lumpur:
GG Edar, 1988.
Ensiklopedia Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, Jilid 1, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1999.
Farish A. Noor menulis dalam laman sesawang, http://www.ummahonline.com. (akses
pada 27 April 2008)
Federation of Malaya, Parliamentary Debates Dewan Rakyat, Part II, Vol. III, Third
Session, Oktober 1961, The Death of Dato’ Onn bin Ja’afar, D.K.D.P.M.J., 22 January
1962.
Kamaruddin Jaafar, Dr. Burhanuddin al-Helmi: Politik Melayu dan Islam, Kuala Lumpur:
Yayasan Anda, 1980.
Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustakan, 2005.
Ramlah Adam, Burhanuddin Al-Helmy Suatu Kemelut Politik, Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka, 1996.
Rashidah Ismail, “Dr. Burhanuddin al-Helmy, Anak Melayu Pertama Mempelajari
Homeopathy”, Dewan Masharakat, Disember, 1969.
Saari Sungib, 5 Tokoh Gerakan Islam di Malaysia, Gombak: PAS Gombak.
Saari Sungib, Hj., YB, pada 9 April 2009, di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor,
Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, (beliau menulis kembali kisah
kehidupan Dr. Burhanuddin al-Helmi dalam tahanan I.S.A. serta pernah ditahan
sebagai tahanan I.S.A. pada tahun 1998 dan 2001, sekarang menjadi Ketua
Penerangan PAS Selangor dan memenangi Pilihanraya Umum 2008 di Dewan
Undangan Negeri Ulu Kelang).
Saliha Haji Hassan, Dr. Burhanuddin Al-Helmy: A Political Biography, Academic Exercise,
University of Malaya, Kuala Lumpur, 1972.
Saliha Hassan, “Dr. Burhanuddin al-Helmi 1911-1969”, dlm. Abdullah Zakaria dan Adnan
Nawang, Biografi Tokoh Pilihan Malaysia, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya,
1997.

SP/28/A/36 - Surat Peribadi Dr. Burhanuddin Kepada Hassan Adli, bertarikh 14


Disember 1956.
SP/84, Alias Hj. Zaidi, “Dr. Burhanuddin al-Helmi Pelopor Kebangkitan Semangat”.
Suri binti Yahya, pada 2 Ogos 2009, di Muzium Alam Shah, Shah Alam, Selangor, (isteri Dr.
Burhanuddin al-Helmi).
Surinah Burhanuddin, pada 2 Julai 2008, di Jurong West, Singapura, (anak angkat Dr.
Burhanuddin al-Helmi).
Utusan Melayu, 19 Disember 1950.
Majalah Wangi, Bil. 7, 1985.
Mardiana Adnan, pada 6 September 2008, di Taman Senu, Sentul, Kuala Lumpur, (adik
ipar Dr. Burhanuddin al-Helmi dan berasal dari Bukit Tinggi, Sumatera Barat yang
juga isteri kepada Noorbait).
Mastika, Disember, 1979.
Mastika, terbitan Utusan Melayu, Ogos, 1957.
Mohamad Muzammil Mohamad Noor, Burhanuddin al-Helmi: Pemikiran dan
Perjuangan, Bangi: Medium Publications, 2014.
Mohamad Muzammil Mohamad Noor, Guru Melayu dan Politik di Kedah, 1940-1960,
Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 2013.
Mohamad Muzammil Mohamad Noor, “Burhanuddin al-Helmi dan Muhammad Natsir:
Perbandingan Pemikiran dan Perjuangan”, Tesis Ijazah Doktor Falsafah, Fakulti
Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, 2011.
Noorbait Mohd Noor, pada 6 September 2008, di Taman Senu, Sentul, Kuala Lumpur,
(adik Dr. Burhanuddin al-Helmi serta pernah berjumpa dengan Muhammad
Natsir semasa belajar di Jakarta).
Nouxman Burhanuddin, pada 2 Ogos 2009, di Muzium Alam Shah, Shah Alam, Selangor,
(anak Dr. Burhanuddin al-Helmi)

Anda mungkin juga menyukai