Anda di halaman 1dari 3

Fokus Karangan SPM 2010 – Penyakit Berbahaya

Isu lain yang perlu difokuskan dalam karangan SPM 2010 nanti ialah penyakit berbahaya.

Soalan ini terdapat dalam Karangan Respons Terbuka Peperiksaan Percubaan SPM 2010
negeriJohor iaitu Soalan 4 (Dimensi antarabangsa).

Penularan penyakit berbahaya seperti H1N1, Demam Denggi dan AIDS telah mendatangkan
kesan negatif kepada kehidupan manusia sejagat.
     Bincangkan tindakan yang perlu dilakukan oleh negara-negara terlibat untuk menangani
penularan penyakit-penyakit berbahaya.

Selain itu, soalan negeri Pahang turut menyentuh isu yang sama iaitu wabak penyakit
berbahaya dalam Soalan 4.

Wabak ILI dan H1N1 merupakan penyakit berjangkit yang menular di seluruh dunia sejak
akhir-akhir ini. Wabak ini telah menimbulkan pelbagai kesan terhadap kesihatan penduduk
dan ekonomi sesebuah negara.

      Jelaskan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk mengatasi penularan tersebut.

Soalan SBP dan Sekolah Kluster juga menyentuh isu yang sama iaitu dalam Soalan 4.

Belakangan ini, penyakit yang berbahaya sangat cepat merebak dari satu negara ke satu
negara yang lain.
      Jelaskan cara-cara untuk mengawal penularan wabak tersebut secara global.

Soalan negeri Sabah turut menyentuh isu yang sama, cuma nombor soalan soalannya sahaja
yang berbeza iaitu nombor 3 (Dimensi masyarakat atau negara). Selain itu, penyakit
berbahaya itu pula difokuskan kepada amalan corak hidup yang tidak sihat, dan tidak
semestinya pernyakit berbahaya yang berjangkit sahaja seperti soalan negeri Johor, Pahang,
dan SBP & Sekolah Kluster. 

Penyakit berbahaya semakin mengancam kesihatan rakyat Malaysia akibat amalan dan
corak hidup yang tidak sihat.
      Huraikan langkah-langkah untuk menangani masalah ini.

Di bawah ini saya paparkan soalan dan karangan contoh yang membincangkan isu yang
hampir sama dan fokus soalannya juga hampir sama dengan soalan tersebut untuk rujukan
bersama.
Soalan Contoh

Negara kita turut menerima tempias akibat wabak selesema burung dan penyakit Sindrom
Pernafasan Akut yang Teruk (SARS) yang berlaku di kebanyakan negara di dunia baru-baru
ini.
      Sarankan langkah-langkah yang perlu diambil oleh negara kita dan negara-negara yang
terlibat.

Rangka Karangan

Pendahuluan 
- Wabak penyakit berjangkit di negara ini terkawal - kerajaan mengambil langkah-langkah
untuk mengatasi masalah penyakit berjangkit.

Isi-isi Penting
i. Pesakit-pesakit dikuarantin daripada orang awam supaya tidak berjangkit.
ii. Jangan melancong atau berkunjung ke negara-negara yang dilanda oleh penyakit tersebut.
iii. Gunakan mesin pengimbas - sekat kemasukan pelancong asing dari negara yang terlibat
memasuki negara Malaysia.
iv. Penyediaan ubat-ubatan seperti vaksin untuk ketahanan tubuh badan melawan penyakit.
v. Memusnahkan punca penyakit yang berpunca daripada unggas (ayam, burung dan lain-
lain).

Penutup
- Kerajaan dan rakyat perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling – aspek penjagaan
kebersihan dan kesihatan perlu diutamakan - meyakinkan pelancong asing.

Karangan Contoh

     Industri pelancongan negara terjejas sedikit akibat wabak selesema burung dan penyakit
Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (SARS) yang berlaku di kebanyakan negara di dunia
baru-baru ini. Namun demikian, wabak penyakit itu berjaya dikawal dan tidak memberikan
kesan yang serius terhadap industri pelancongan dan kesihatan rakyat negara ini. Hal ini
demikian kerana, pihak kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang efektif untuk
menangani penyakit tersebut. Berdasarkan langkah mencegah lebih baik daripada mengubati,
penyakit tersebut tidak merebak kepada rakyat negara ini. Seterusnya rakyat negara ini perlu
berasa bimbang akan wabak yang menular di seluruh dunia itu.

     Negara kita dan negara-negara yang terlibat sepatutnya mengambil langkah seperti
mengasingkan pesakit yang menghidap wabak tersebut. Dengan perkataan lain, pesakit perlu
dikuarantin dan diasingkan daripada orang awam agar penyakit tersebut tidak merebak
kepada orang lain iaitusebelum nasi menjadi bubur. Jika tindakan ini diambil sudah pasti
penyakit ini dapat dikawal dan tidak akan disebarkan kepada orang lain dan juga ke negara-
negara lain. Seterusnya, keadaan ini tidak akan menjejaskan kesihatan manusia malahan
industri pelancongan juga tidak terjejas.

     Langkah lain yang perlu dijalankan adalah dengan mengelakkan diri daripada melancong
ke negara-negara yang terlibat. Rakyat negara kita atau negara lain perlu membatalkan
rancangan buat sementara waktu untuk pergi melancong ke negara-negara yang sedang
dilanda wabak itu seperti negara China, Hong Kong, dan Indonesia. Langkah yang dikatakan
sebagaimenyediakan payung sebelum hujan, sudah pasti dapat mengelakkan seseorang itu
daripada dijangkiti oleh penyakit yang berbahaya itu.

     Pihak berkuasa setiap negara juga perlu membuat pemeriksaan yang ketat dan
menyediakan alat pengimbas di pintu-pintu masuk utama negara masing-masing. Sebagai
contohnya, alat pengimbas tersebut perlu diletakkan di lapangan-lapangan terbang
antarabangsa seperti di KLIA, Kuching, dan Bayan Lepas. Alat pengimbas tersebut berupaya
untuk mengesan pelancong yang masuk sekiranya mereka dijangkiti oleh penyakit tersebut.
Sekiranya mereka telah dijangkiti oleh penyakit tersebut, maka mereka perlu di bawa ke
hospital untuk diberikan rawatan dan juga dikuarantin.

     Selain itu, pihak berkuasa perlu menyediakan ubat-ubatan dan vaksin yang boleh melawan
virus H5N1 dan mencegah virus tersebut daripada menyerang manusia. Seseorang yang perlu
ke luar negara atas urusan yang penting perlu diberikan suntikan vaksin yang dapat mencegah
seseorang itu daripada dijangkiti penyakit tersebut. Hal ini demikian kerana, vaksin yang
berkesan akan berupaya untuk melawan virus penyakit itu daripada menyerangnya. Orang
yang sudah dijangkiti oleh penyakit ini pula, perlu diberikan rawatan yang rapi dan ubat-
ubatan yang benar-benar berkesan untuk mengubati pesakit tersebut.

     Langkah seterusnya ialah pihak berkuasa perlu memusnahkan haiwan yang telah
dijangkiti dan menjadi punca penyakit ini merebak kepada manusia pula. Unggas seperti
burung dan ayam yang telah dijangkiti perlulah dihapuskan segera agar wabak tersebut tidak
menjangkiti manusia pula. Hal ini demikian kerana, penyakit ini sebenarnya berpunca
daripada unggas seperti ayam dan burung yang dijangkiti oleh virus tersebut dan seterusnya
memindahkannya kepada manusia yang memeliharanya atau terlibat secara langsung dengan
unggas tersebut setiap hari.

     Sebagai kesimpulannya, pihak kerajaan dan rakyat hendaklah peka terhadap keadaan di
sekeliling mereka. Aspek penjagaan kebersihan dan kesihatan perlulah diberikan perhatian
yang utama dalam kehidupan seharian. Janganlah sudah terhantuk baru nak tengadah kerana
sekiranya aspek kebersihan diabaikan sudah pasti penyakit itu akan mudah menyerang
mangsanya. Jadi, langkah awal penting untuk menghindarkan seseorang itu daripada
dijangkiti oleh wabak yang berbahaya ini. Seterusnya, perkara ini juga akan dapat
meyakinkan pelancong yang hendak melancong ke negara kita. 

Anda mungkin juga menyukai