Anda di halaman 1dari 4

Hadis daif dan palsu dalam

Kitab Ihya ‘Ulumiddin


KITAB Ihya ‘Ulumiddin karangan al-Imam al-Ghazali adalah kitab yang sangat masyhur
dalam masyarakat kita. Bahkan kitab ini juga memang masyhur di seluruh dunia Islam.
Ramai yang gemar membaca dan mengambil manfaat daripada kitab ini. Namun ramai
yang kurang memberi perhatian terhadap peringatan para ulama hadis sejak zaman
dahulu bahawa dalam kitab ini terdapat banyak hadis lemah, tersangat lemah dan palsu.
Di samping banyak juga terdapat di dalamnya hadis-hadis sahih yang diguna pakai oleh
imam berkenaan ketika mengemukakan hujah-hujahnya.

Al-Imam al-Ghazali adalah seorang tokoh umat Islam yang dihormati. Jasa dan
sumbangannya dalam sebahagian bidang agama tidak dapat dilupakan. Beliau adalah
ahli fikir yang besar. Namun bidang hadis bukanlah pengkhususan beliau. Ini diakui oleh
mereka yang alim dalam bidang hadis.

Mengkritik hadis-hadis lemah dan palsu dalam kitab Ihya ‘Ulumiddin tidaklah bermaksud
menghina atau melupakan jasa dan sumbangan al-Ghazali. Namun, kita harus berkata
benar dan jujur dalam segala perkara. Menghargai seseorang tidak boleh membawa kita
mengatakan kesilapannya sebagai kebenaran. Jasanya dikenang. Namun kesilapan
dinilai agar mereka yang membaca kitab tersebut tidak membuat kesalahan dengan
menganggap riwayat yang tidak layak dinilai sebagai hadis dikatakan hadis.

Firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu
menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang
menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu
bapa dan kaum kerabat kamu. (al-Nisa’: 135)

Al-Ghazali seperti yang dinyatakan oleh al-Hafizd al-Zahabi (wafat 748H) ketika
mengulas kesilapan-kesilapan dalam kitab Ihya berkata: “Aku katakan: Al-Ghazali
adalah imam yang besar, namun bukanlah menjadi syarat seorang alim itu untuk dia
tidak melakukan kesilapan.’’ (Rujukan: Al-Zahabi, Siyar Alam al-Nubala 19/339, Beirut:
Muassasah al-Risalah.)

Sesiapa sahaja yang mengkaji ilmu hadis tahu bahawa Al-Imam al-Ghazali bukan
seorang pakar dalam bidang hadis, ini diakui oleh semua pihak, melainkan mereka yang
jahil tentang ilmu hadis. Sehingga Taj al-Din al-Subki (meninggal 771H), seorang tokoh
mazhab al-Syafie terkenal yang begitu mempertahankan al-Imam al-Ghazali, dalam
Tabaqatnya turut mengakui hal ini dengan menyatakan: “Adapun apa yang dianggap
cacat pada kitab al-Ihya disebabkan kelemahan sebahagian hadis-hadisnya, ini kerana
al-Ghazali diketahui bukanlah seorang pakar dalam bidang hadis.’’ (Rujukan: Taj al-Din
al-Subki, Tabaqat al-Syafi’yyah al-Kubra, 3/449, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.)

Kita lihat apa yang dikatakan oleh tokoh-tokoh hadis mengenai kitab Ihya‘ Ulumiddin,
antaranya:
1. Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (meninggal dunia 774H) dalam kitab Al-Bidayah wa
Al-Nihayah: “Ketika berada di Damsyik dan Baitulmaqdis, al-Ghazali mengarang
kitabnya Ihya ‘Ulumiddin. Ia sebuah kitab yang ganjil. Ia mengandungi ilmu yang banyak
berkaitan syarak, bercampur dengan kehalusan tasawuf dan amalan hati. Namun
dalamnya banyak hadis yang gharib, mungkar dan palsu.’’ (Rujukan: Ibn Kathir, Al-
Bidayah wa al-Nihayah, 12/186, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.)

2. Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Jauzi (wafat 597H): “Kemudian datang Abu Hamid al-
Ghazali menulis untuk golongan sufi kitab al-Ihya Ulumiddin berdasarkan pegangan
mereka. Dia memenuhi bukunya dengan hadis-hadis batil yang dia tidak tahu
kebatilannya.’’ (Rujukan: Ibn Jauzi, Talbis Iblis, hlm 190, Beirut: Dar al-Kutub al-
ilmiyyah).

3. Kata al-Hafizd al-Imam al-Zahabi (wafat 748H): “Adapun kitab al-Ihya padanya ada
sejumlah hadis-hadis yang batil. Sekiranya tidak ada padanya adab, cara dan zuhud
yang diambil daripada ahli falsafah dan golongan sufi yang menyeleweng, padanya ada
kebaikan yang banyak. Kita memohon daripada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah
anda apa itu ilmu yang bermanfaat? Ia apa yang dinyatakan al-Quran dan ditafsirkannya
oleh Rasulullah s.a.w. secara perkataan dan perbuatan.” (Rujukan: Al-Zahabi, Siyar
‘Alam al-Nubala’, 19/339, Beirut: Dar al-Risalah.)

4. Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (wafat 728H): “Abu Hamid (Al-Ghazali) tidak
mempunyai kepakaran dalam hadis-hadis Nabi dan riwayat-riwayat salaf seperti mana
yang dimiliki oleh ahli-ahli yang mengetahui perkara itu.

“Mereka dapat membezakan antara yang sahih dan yang tidak sahih. Oleh itu, al-
Ghazali menyebut dalam kitab-kitabnya hadis dan athar yang palsu dan dusta, yang
mana kalau mengetahuinya tentu dia tidak menyebutnya.” (Rujukan: Ibn Taimiyyah,
Dar’u Ta’arud al-‘Aql wa al-Naql, 7/149, Riyad: Dar al-Kunuz al-Adabiyyah.)

Sebagai langkah penyelesaian bagi mengatasi masalah hadis-hadis palsu dan daif yang
terlalu banyak dalam Ihya maka kitab tersebut hendaklah dibaca bersama dengan takhrij
(penilaian dan semakan) yang dibuat oleh Al-Hafizd al-‘Iraqi (wafat 806H). Al-Hafizd
Abd. al-Rahim bin al-Husain al-‘Iraqi telah menyemak hadis-hadis Ihya dengan
menyebut sumber hadis-hadis yang disebut dalamnya serta kedudukan hadis-hadis
tersebut. Banyak hadis Ihya telah dihukum tidak ada asal-usul dalam kitab-kitab hadis.

Takhrij al-Hafizd al-‘Iraqi telah dicetak bersama dengan kitab Ihya. Maka hendaklah kita
berhati-hati ketika memetik hadis-hadis daripada kitab tersebut dengan cara merujuk
kepada takhrij berkenaan. Kata seorang muhaqqiq yang terkenal di zaman ini, al-Syeikh
Syu’ib al-Arnaud: Al-Hafizd Abu Fadl Abd al-Rahim al-‘Iraqi (wafat 806H) telah
menyemak hadis-hadis Ihya ‘Ulumiddin kesemuanya dalam semua kitab yang
dinamakan Al-Mughni ‘an haml al-Asfar fi al-Asfar fi Takhrij ma fi al-Ihya min al-Akhbar.
Ia dicetak bersama dengan Ihya. Beliau telah menunjukkan setiap hadis kepada
sumbernya serta menyatakan kedudukannya.

Kebanyakan hadis tersebut beliau menghukumnya sebagai daif (lemah) atau palsu, atau
ia tidak ada asal daripada ucapan Rasulullah s.a.w.. Maka hendaklah para penulis,
khatib, guru dan penceramah berhati-hati dalam memetik dan berhujah dengan hadis-
hadis Ihya selama mereka tidak jelas tentang kesahihannya menerusi semakan al-
Hafizd al-‘Iraqi.

Sesungguhnya seorang ulama hadis Syam, Badr al-Din al-Hasani telah berkata: “Tidak
harus menyandarkan sesebuah hadis kepada Rasulullah kecuali apabila dinyatakan
kesahihannya oleh salah seorang huffaz (yang amat pakar dalam hadis) yang dikenali.
Sesiapa yang berkata: “Rasulullah telah bersabda” sedangkan dia tidak tahu kesahihan
hadis tersebut menerusi salah seorang huffaz, dibimbangi dia termasuk dalam hadis
“Sesiapa yang berdusta ke atasku apa yang aku tidak ucapkan, maka siaplah tempat
duduknya dalam neraka.” (Rujukan: Syu’ib al-Arnaud, nota kaki tahqiq Siyar ‘Alam al-
Nubala’, 19/340.)

Kata al-Syeikh Abu Syahbah pula: “Aku nasihatkan kepada sesiapa yang membaca Ihya
agar tidak berpegang dengan hadis-hadis yang disebutkan kecuali setelah melihat
takhrij al-‘Iraqi. Jika tidak dia akan terjatuh dalam dosa berdusta sedangkan dia tidak
sedar.” (Rujukan: Muhammad Abu Syahbah, Al-Wasit fi ‘Ulum wa Mustalah al-Hadis,
hlm. 254, Kaherah: Dar al-Fikr.)

Antara hadis yang al-Ghazali dikritik hebat kerana menyebutnya dalam Ihya ialah hadis
Solat Raghaib iaitu solat yang dilakukan pada malam Jumaat pertama bulan Rejab.
Hadis cara dan fadilat solat ini disebut dan digalakkan dalam Ihya sedangkan ia dinilai
sebagai palsu oleh para ulama hadis. Al-Hafiz al-‘Iraqi yang menilai hadis ini adalah
pakar besar dalam bidang hadis. Beliau menyatakan beliau mendapati tiada asal usul
bagi hadis ini.

Al-Imam al-Nawawi (meninggal dunia 676H) ketika mensyarah hadis Muslim daripada
Abi Hurairah memetik Baginda bersabda: Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat
dengan solat yang berbeza dengan malam-malam yang lain. Jangan kamu
mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa yang berbeza dengan hari-hari yang lain,
kecuali ia dalam (bilangan hari) puasa yang seseorang kamu berpuasa).

Al-Imam al-Nawawi berkata: “Pada hadis ini larangan yang nyata mengkhususkan
malam Jumaat dengan sesuatu solat yang tiada pada malam-malam lain dan puasa
pada siangnya seperti yang telah dinyatakan. Sepakat para ulama dalam
kemakruhannya. Para ulama berhujah dengan hadis ini mengenai kesalahan solat
bidaah yang dinamakan solat al-Raghaib.

Semoga Allah memusnahkan pemalsu dan pereka solat ini. Ini kerana sesungguhnya ia
adalah bidaah yang mungkar daripada jenis bidaah yang sesat dan jahil. Padanya
kemungkaran yang nyata. Sesungguhnya sejumlah para ulama telah mengarang
karangan yang berharga begitu banyak dalam memburukkan dan menghukum sesat
orang menunaikan solat tersebut dan perekanya.

Para ulama telah menyebut dalil-dalil keburukan dan kebatilannya dan kesesatan
pembuatnya. (Rujukan: Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 3/211, Beirut: Dar al-Khair.)

Beliau pernah berkata: “Bidaah yang buruk lagi sangat mungkar, jangan terpengaruh
dengan ramai yang melakukannya di banyak negeri. Juga jangan terpengaruh
disebabkan ia disebut dalam Qut al-Qulub dan Ihya ‘Ulumiddin.” (Rujukan: petikan
daripada Ali Hasan Ali, Kitab al-Ihya fi Mizan al-‘Ulama, hlm. 21.)
Al-Imam al-Sayuti (meninggal dunia 911H) menyatakan: “Ketahuilah olehmu, semoga
Allah merahmatimu, sesungguhnya membesarkan hari tersebut dan malamnya (hari dan
malam Jumaat pertama Rejab) hanya perkara baru yang dibuat dalam Islam selepas
400 tahun. Diriwayatkan mengenainya hadis yang palsu dengan sepakat ulama yang
mengandungi kelebihan berpuasa pada siangnya dan bersolat pada malamnya. Mereka
menamakan solat Raghaib.”

Katanya juga, ketahuilah sesungguhnya solat yang bidaah ini menyanggahi kaedah-
kaedah Islam dalam beberapa bentuk. (Rujukan: Al-Sayuti: Abd al-Rahman bin Abi
Bakr, Al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-Nahy ‘an al-Ibtida’ hlm. 52-54, Beirut: Dar al-Fikr al-
Lubnan.)

Demikian juga kitab-kitab kerohanian kesufian lain yang kebanyakan penulisnya tidak
mengambil berat soal kesahihan hadis-hadis. Ini seperti kitab Tanbih al-Ghafilin yang
banyak dibaca di masjid dan surau. Demikian juga Bustan al-‘Arifin dan lain-lain.

Kata al-Syeikh Abu Syahbah: “Kitab Tanbih al-Ghafilin karangan al-Samarqandi; wajib
pembaca berhati-hati terhadap hadis-hadis palsu dan Israiliyyat di dalamnya. Juga kitab
Bustan al-‘Arifin yang juga karangannya patut pembaca berjaga-jaga.” (Rujukan:
Muhammad Muhammad Abu Syahbah, Al-Wasit fi ‘Ulum wa Mustalah al-Hadis, hlm.
354, Kaherah: Dar al-Fikr.)

Justeru para pembaca kitab-kitab ini hendaklah berhati-hati ketika memetik hadis-hadis
daripada kitab-kitab ini.

* Penulis ialah Pensyarah Pengajian Islam, Universiti Sains Malaysia.

Petikan: Utusan Online

Freeware © 2006, al-ahkam.net

This help file has been generated by the freeware version of HelpNDoc

Anda mungkin juga menyukai