Anda di halaman 1dari 3

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Bismillah, Alhamdulillah.

Terima kasih pengerusi majlis,


Yang dihormati barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana,
seterusnya hadirin hadirat sekalian,

"Guru Berkualiti Menjana Insan Cemerlang"

Begitulah tajuk syarahan saya pada pagi yang berbahagia ini, Sebelum saya melangkah dengan
lebih jauh lagi, izinkan saya mendefinisikan tajuk syarahan saya satu persatu.

Menurut Kamus Dewan, "Guru" bermaksud pendidik,pengajar atau pengasuh.


"Berkualiti" pula bererti bermutu tinggi. "Menjana" pula ditakrifkan sebagai menghasilkan
manakala "Insan" pula merujuk kepada individu manusia
dan "Cemerlang" menurut kamus dewan lagi ialah kejayaan yang tinggi.
Dari definisi tadi jelaslah bahawa pendidik yang bermutu yang tinggi mampu melahirkan
manusia yang terdiri daripada golongan "Al-Muflihun" atau mereka yang berjaya.

Hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah,

Kualiti guru yang pertama ialah melaksanakan tugas dengan sepenuh keikhlasan. Jasad yang
digerakkan oleh keikhlasan kerana Allah S.W.T akan memampukan seorang guru menjalankan
tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin.Segala usaha ini dilakukan untuk mendapat
keredhaan Allah dan diserahkannya kepadaNya untuk dinilai.
Firman Allah S.W.T didalam surah Al-Bayyinah ayat 5,

Maksudnya: "Mereka tidaklah diperintahkan, melainkan supaya beribadat kepada Allah dalam
keadaan mengikhlaskan agama kepadanya".

Berhubung ayat ini, Imam Habib Abdullah Hadad mengulas bahawa tanpa keikhlasan maka
perbuatan yang dilaksanakan adalah untuk menunjuk-nunjuk kepada orang ramai.
Sebagai contoh,lihat sahaja keihklasan guru yang mengajar di pedalaman. Kisah mereka
dipaparkan di akhbar dan televisyen beberapa bulan yang lepas. Mereka terpaksa berjalan
kaki,menaiki sampan malah ada yang terpaksa berenang untuk sampai ke sekolah. Niat mereka
adalah ikhlas untuk mendidik anak bangsa supaya cemerlang,gemilang,terbilang. Jika tiada
keikhlasan mana mungkin tugas ini sanggup dilakukan.

Hadirin-hadirat,

Kualiti guru yang kedua ialah berilmu. Tanpa ilmu, guru tidak mampu menyampaikan pelajaran
dengan baik kepada murid-murid.
Sepertimana yang diungkapkan oleh hadis Nabi S.A.W dari riwayat Anas bin Malik dari "Majmu'
Zawaid yang bermaksud;

"Sesungguhnya, orang yang berilmu di dunia ibarat bintang dilangit menjadi penunjuk dalam
kegelapan di darat dan di laut.

Hadis ini mengingatkan kita, bahawa guru yang berilmu mampu membimbing para murid ke
arah kecemerlangan. Sesungguhnya, ilmu adalah ibarat bintang yang menunjuk arah kepada kita
dalam belayar, tanpa ilmu hilanglah pedoman dan sesatlah arah.

Justeru itu, didalam memastikan para guru dilengkapi dengan ilmu mengajar maka setiap guru
hari ini diberikan latihan terlebih dahulu di Institut-Institut Perguruan seluruh negara. Bahkan
kerajaan juga turut menggalakkan para guru untuk melanjutkan pelajaran di peringkat universiti.

Hadirin-hadirat,

Kualiti guru yang ketiga ialah berhikmah didalam mendidik.Hikmah disini bererti bijaksana.
Allah berfirman didalam Al-Quran surah An-Nahl ayat 125 yang bermaksud
"Serulah mereka kejalan Tuhanmu dengan cara yang bijaksana dan contoh teladan yang baik".

Berhikmah disini merujuk kepada kreativiti pendakwah didalam mempelbagaikan cara


dakwahnya agar sesuai dengan suasana semasa. Begitulah juga peranan guru yang berhikmah.
Mencari dan menggunakan kaedah yang sesuai didalam mendidik.
Sebagai contoh, guru disaran oleh Kementerian Pelajaran untuk menggunakan teknologi
multimedia bagi membantu pembelajaran para murid. Penggunaan teknologi adalah kaedah
yang bijaksana dan merupakan langkah terbaik meningkatkan kualiti pengajaran dan
pembelajaran

Kualiti guru yang keempat ialah berakhlak mulia. Guru sebagai ibu dan bapa di sekolah
merupakan contoh teladan bagi murid. Justeru itu guru perlu terlebih dahulu berakhlak mulia
sebelum dapat melahirkan murid yang berakhlak mulia. Sepertimana hadis Nabi S.A.W daripada
riwayat Abu Ya'la yang bermaksud;

"Sesungguhnya kamu sekalian tidak akan boleh mempengaruhi manusia dengan hartamu,maka
dari itu pengaruhilah mereka dengan wajah yang manis dan berbudi pekerti.

Jelaslah pada kita, bahawa akhlak mulia mampu merubah manusia sedangkan akhlak buruk yang
dipamerkan oleh guru hanya mendatangkan kejelekan.
Lihat sahajalah bagaimana media massa memaparkan beberapa siri keganasan guru terhadap
murid. Sikap panas baran dan melampau bukan akhlak yang mulia. Guru-guru terbabit bukan
sahaja gagal mendidik , bahkan dicerca kerana tidak menunjukkan contoh yang baik
Kesimpulannya, guru berkualiti akan dapat melahirkan insan cemerlang dunia dan akhirat. Oleh
itu sebagai guru marilah kita tingkatkan kualiti diri ke arah melahirkan insan yang cemerlang,
gemilang dan terbilang.

Wabillhi taufiq wal hidayah, wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai