Anda di halaman 1dari 3

ARKIB : 20/02/2011

Grafiti dan suara orang muda

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

SEMASA merentasi perjalanan selama tujuh jam dari Cannes ke Paris dengan kereta api laju
beberapa tahun lalu, selain pemandangan ladang yang saujana menghijau, sebahagian lagi adalah
grafiti pada tembok dan dinding bangunan yang mengadap landasan kereta api.

Grafiti secara mudahnya bermakna tabiat menconteng tembok atau dinding bangunan tanpa
tujuan yang khusus. Gaya lakaran hampir sama dengan beberapa tempat lain yang pernah saya
lawati.

Di Kuala Lumpur juga serupa. Grafiti telah wujud lebih sepuluh tahun lalu di Kuala Lumpur dan
menjadi masalah kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membersihkan
tempat-tempat yang strategik yang telah "dikotorkan". Tembok dan dinding berhampiran Pasar
Budaya hanya bersih sehari atau dua hari selepas dicat semula. Grafiti akan mengisi tembok dan
dinding putih dengan lakaran penuh warna.

Kenapa grafiti? Ada kalangan yang malas berfikir menganggap grafiti itu vandalisme yang
dilakukan oleh anak-anak muda nakal. Benarkah semua yang membuat grafiti itu nakal?
Mungkin ada benarnya tetapi tidak semuanya benar.

Ketika menoleh ke arah tembok di Pasar Budaya , seorang rakan berkata, "Barangkali ini boleh
dijadikan ukuran anak-anak muda kita yang gelisah dan marah."

Kegelisahan anak-anak muda Amerika Syarikat (AS) pernah paparkan dengan jayanya oleh
George Lucas dalam filem American Graffiti pada tahun 1973.

American Graffiti mengimbas kembali rasa kegelisah sosial anak-anak muda era awal 1960-an
semasa John F. Kennedy menjadi Presiden hingga pembunuhan beliau pada akhir 1963. Pada
poster American Graffiti tertera, "Where were you in 1962?"

Kegelisahan dan pergolakan jiwa anak-anak muda berlaku di mana- mana. Dalam American
Graffiti, pergolakan ini diambil di AS pada era pergolakan politik hingga membawa kepada
pembunuhan seorang presiden yang berpengaruh.

Mungkin tidak menghairankan kalau pergolakan yang sama wujud dalam jiwa anak-anak muda
di negara ini. Barangkali kita perlu kembali bertanya secara jujur adakah ini ada kaitan dengan
suara anak muda yang jarang didengar oleh pembuat dan perlaksana dasar?

Perhatian
Sejauh manakah jujurnya kita melihat permasalahan sosial anak-anak muda termasuk yang
terlibat dalam budaya grafiti ini dan memberi perhatian? Jalan singkatnya DBKL mungkin boleh
memasang kamera CCTV dan menjejaki mereka yang menconteng itu. Tetapi itu bukanlah
penyelesaian. Sebabnya ini belum pasti satu perbuatan nakal.

Saya masih ingat pada tahun 2002 lalu akhbar Utusan Malaysia pernah menyiarkan gambar
sekumpulan anak muda Melayu menconteng tembok berdekatan bangunan KLCC. Rakaman
gambar oleh jurugambar Utusan, Azman Ghani itu ialah pada pukul 4.30 pagi.

Di sisi mereka ialah sebuah kereta pacuan empat roda mewah yang masih terbuka pintu
belakang. Secara teorinya kereta pacuan empat roda itu milik mereka atau setidak-tidaknya
kereta yang dipinjamkan daripada seseorang. Ini menunjukkan status sosial keluarga atau mereka
sendiri. Mereka menconteng menggunakan semburan cat dan bukan kapur berwarna atau pen
maker seperti di tandas-tandas awam di Kuala Lumpur sebelum ini. Apabila kereta pacuan empat
roda dihubungkan dengan menconteng menggunakan semburan cat, ini dapat dirumuskan kerja
grafiti tidak boleh diperemehkan sebagai vandalisme.

Adakah mereka ini kalangan berjiwa seni khususnya seni lukis yang mahu menunjukkan bakat?
Atau mereka ini anak-anak muda yang memberontak terhadap sistem sosial di persekitaran?
Secara mudah, banyak melabelkan mereka sebagai nakal kerana merosakkan harta awam. Tetapi
jawapan seperti itu tidak cukup untuk menghurai dorongan lain yang membawa anak-anak muda
terjerumus kepada grafiti.

Menghukumkan mereka sebagai nakal saja tidak cukup. Malah tanggapan itu adalah satu analisis
yang tidak adil untuk menyelami pergolakan jiwa anak-anak muda di kota besar seperti Kuala
Lumpur. Tentunya penyimpangan sosial seperti yang berlaku ini perlu dibaca lapis demi lapis.
Malah kita perlu bertanya adakah grafiti di Kuala Lumpur disebabkan oleh tidak ada tempat
untuk anak muda (pelajar) bersuara? Memanglah baru-baru ini diwujudkan speaker conner.
Tetapi speaker conner di universiti tidak berperanan memberi ruang bersuara. Speaker conner
sebenarnya tidak ada suara tetapi sekadar mainan politik.

Sosiologis, psikologis dan antropologis malah budayawan perlu tampil dengan hujah mereka.
Ketepikan emosi atau terpaksa menjaga hati. Menganggap itu sebagai vandalisme adalah satu
pandangan yang singkat dan malas. Kalau arkeologis boleh membaca maksud daripada lakaran-
lakaran zaman purba di dinding-dinding gua, tentunya kaedah yang sama boleh dilakukan untuk
mencari sebab berlakunya grafiti kalangan anak muda negara ini. Tentunya kita semua tidak
boleh buat tidak endah terhadap luahan di tembok atau di dinding bangunan ini. Memanglah
luahan itu hanya setaraf dengan surat layang yang tidak dinyatakan pengenalan penulisnya.
Tetapi yang penting daripada grafiti atau surat layang bukanlah siapa yang menulis tetapi apa
yang ditulis.

Dengan undang-undang yang ada tentunya dengan mudah kita boleh menangkap dan
menghukum mereka. Tetapi ini bukanlah penyelesaian kepada wujudnya grafiti apa lagi untuk
membendung jiwa anak muda yang sentiasa bergolak.
Sesetengah pihak pula menganggap ini satu kesan daripada Akta Universiti dan Kolej (AUKU)
yang mengembirikan keberanian bersuara golongan pelajar. AUKU diwujudkan selepas
kebangkitan pelajar 1974 dan untuk mengekangnya. Semua ini mungkin boleh dilihat kembali
kerana suasana politik antara dua zaman ini sudah jauh berbeza.

Jangan membiarkan mereka meluahkan "teriakan" di dinding dan tembok akhirnya melahirkan
pula "Malaysian Graffiti". Ingat, golongan muda adalah penentu hala tuju politik hari ini. Maka
pendekatan berpolitik juga mesti berbeza jangan buat macam "fesyen" lama lagi.

Anda mungkin juga menyukai