Anda di halaman 1dari 4

KACANG LUPAKAN KULIT

Didalam sebuah hutan, tinggal seekor kucing dan harimau merupakan dua sahabat yang amat
baik. Malahan harimau telah menganggap kucing sebagai saudaranya sendiri. Ini kerana raut wajah
dan bentuk badan mereka adalah sama. Keakraban mereka boleh diibaratkan bagai isi dan kuku.

Harimau amat menyayangi kucing. Disebabkan badan kucing lebih kecil daripadanya,
maka dengan senang hati harimau telah menawarkan dirinya untuk mencari makanan buat kucing.
Apa-apa sahaja daging yang dimakan oleh harimau akan menjadi habuan kepada kucing juga.

Harimau pula diangkat sebagai raja di hutan itu kerana ia amat berani dan gagah perkasa.
Apabila ada musuh yang datang menceroboh hutan mereka, maka harimaulah yang akan tampil ke
hadapan untuk menentang musuh tersebut.

Semua perintah harimau akan dituruti oleh semua binatang di dalam hutan tersebut. Tidak ada
seekor pun binatang yang berani membantah perintah dan kehendaknya kerana jika ada di kalangan
mereka yang ingkar, mereka akan menerima nasib yang malang.

Kucing yang menjadi anak angkat harimau itu ditatang bagai minyak yang penuh. Tetapi
dalam diam kucing berasa iri hati dengan kelebihan yang dikurniakan kepada harimau. Kucing juga
bercita-cita supaya ia dihormati dan ditakuti oleh binatang-binatang lain.

Apabila harimau keluar untuk mencari makan, kucing akan duduk di atas singgahsana yang
dibina khas untuk harimau. Ia akan duduk di situ dan meniru gaya harimau bercakap dan
mengeluarkan perintah kepada binatang-binatang lain. Keadaan ini menimbulkan semacam
keseronokan kepada kucing dan menambahkan keazaman kepadanya untuk mengambil alih takhta
tersebut daripada harimau. Semenjak hari itu, kucing sering berangan-angan untuk menjadi raja di
rimba tersebut.

Pada suatu hari, sedang kucing berjalan-jalan di dalam hutan, dia telah ditegur oleh seekor
serigala. Sebenarnya serigala telah mengetahui rancangan kucing untuk menghapuskan harimau.
Serigala sebenarnya amat iri hati dengan persahabatan kucing dengan harimau. Dia ingin mengambil
alih tempat kucing. Jika ia berjaya, bererti seumur hidup ia tidak perlu mencari makanan.

Setelah mengucapkan salam, serigala pun berkata kepada kucing yang hidup kucing cukup
bahagia kerana tidak perlu lagi bersusah payah untuk mencari makanan. Setiap hari makanan
sudahpun disediakan oleh harimau.

Kucing berasa sungguh marah apabila mendengar kata-kata serigala. Ia seraya menjawab
dengan mengatakan bahawa ia sendiri pun bukan begitu senang diperlakukan sedemikian. Kali ini
suara kucing sedikit meninggi.
1
Serigala pula hanya menyeringai. Dalam fikirannya sudah terbayang satu idea untuk
memisahkan kucing dengan harimau. Niat buruknya seperti api didalam sekam. Serigala mengatakan
kucing kelihatan seperti ditimpa masalah. Ia mengaku bukan untuk menjaga tepi kain kucing, tetapi
alangkah baik sekiranya masalah tersebut dapat dikongsi bersama. Itupun kalau kucing sudi untuk
menceritakannya.

Kucing berasa terharu dengan kesudian serigala untuk mendengar masalahnya. Kepada
serigala, kucing telah menceritakan segala rancangannya untuk menghapuskan harimau.

Serigala pun semakin menunjukkan niat buruknya tanpa disedari oleh kucing. Serigala
memberitahu kucing di hujung rimba sebelah barat sana ada serumpun bambu. Kucing perlu
mengambil duri rebung bambu tersebut dan menabur di sekeliling tempat tidur harimau. Nescaya
harimau akan terus mati kerana duri rebung tersebut amat bisa sekali.

Kucing mengucapkan terima kasih kepada serigala. Pada petang tersebut juga kucing telah
meletakkan duri rebung di tempat pembaringan harimau. Pada waktu itu harimau masih belum pulang
daripada memburu.

Ketika malam menjelma, kelihatan harimau pulang dalam keadaan kelesuan setelah sehari
suntuk pergi memburu. Harimau tidak melupakan kucing dengan membawa pulang sepotong daging.
Seperti biasa kucing menyambutnya dengan perasaan gembira dan mesra lebih-lebih lagi pada malam
tersebut.

Tanpa mengesyaki apa-apa, ditambah pula dalam keadaan keletihan, harimau terus pergi ke
tempat pembaringannya yang telah dihias dengan cantik oleh kucing.

Setelah beberapa ketika di perbaringan, harimau berasa ada sesuatu yang tidak kena.
Badannya terasa miang dan gatal-gatal. Semakin lama gatalnya makin merebak ke seluruh badan.
Harimau bangun dan melihat di tempat pembaringannya. Rupa-rupanya ia telah tidur di atas duri
rebung. Harimau berasa pelik dan terus berlari keluar dari gua tersebut.

Melihatkan keadaan itu, kucing berpura-pura datang kepada harimau lalu bertanya apakah
yang telah terjadi. Harimau tersangat marah kerana ia tahu semua ini adalah perbuatan kucing. Kalau
tak ada angin masakan pokok akan bergoyang.

Dalam diam kucing telah melihat segala perlakuan harimau. Kucing menyangka harimau
tidak tahan dengan duri rebung itu dan mati keranan bisanya. Tetapi jangkaan kucing jauh meleset
sama sekali. Pada pagi itu harimau kembali ke gua dalam keadaan bengkak-bengkak.

Kucing pergi mendekati harimau lalu memohon maaf. Kucing mengaku bahawa ia lah yang
meletakkan duri rebung tersebut. Kucing menjelaskan kepada harimau ada tabib mengatakan duri
2
rebung amat sesuai untuk pemburu seperti harimau. Kucing sebenarnya cuba menutup kesalahannya
dengan alasan sedemikian.Walaupun pada awalnya harimau amat marah dengan kucing, tetapi kata-
kata kucing itu telah berjaya meyakinkan harimau.

Kemudian kucing pergi mendapatkan serigala dan menceritakan tentang kegagalan


rancangannya. Serigala tidak berputus asa. Ia kemudiannya membuat rancangan kedua. Dalam
rancangan kedua ini, serigala telah menyuruh kucing pergi bertemu dengan seekor ular sawa pula.
Sampai di tempat ular sawa, kucing terus menyeru ular sawa dengan menyatakan bahawa ia telah
dititahkan oleh harimau untuk membawa ular sawa ke istana harimau kerana ia akan dijadikan sebagai
tali pinggang untuk menentang bala tentera musuh pada keesokan harinya.

Ular sawa juga diminta hadir pada malam tersebut dan melilit badan harimau dengan kuat
supaya apabila pagi menjelma harimau akan berasa selesa. Ular sawa menyanggupi perintah yang
telah dititahkan oleh harimau itu.

Pada malamnya ketika harimau sedang tidur nyenyak, ular sawa datang ke tempat
pembaringan harimau. Ular sawa terus melilit pinggang harimau dengan kuat. Harimau sangat
terkejut dan cuba sedaya upaya untuk melepaskan dirinya.

Dengan kukunya yang tajam itu, harimau telah mengcengkam tengkuk ular sawa. Ular sawa
amat terkejut. Oleh sebab tidak tahan dengan cengkaman kuku harimau yang amat kuat itu, ular sawa
mula bersuara.

Ular sawa bertanyakan mengapa harimau mengcengkam tengkuknya. Ia hanya dipanggil


untuk berkhidmat untuk harimau sahaja. Lantas harimau menyoal ular sawa siapakah sebenarnya yang
membawa titah ini. Dengan nada yang terketar-ketar, ular sawa menjawab bahawa kucing yang
membawa titah ini.

Setelah mendengar kata-kata ular sawa maka tahulah harimau bahawa semua ini adalah
angkara kucing. Sementara itu, kucing pula pulang ke gua dengan perasaan senang hati. Dia
menyanyi-nyanyi kecil kerana menyangkakan harimau telah mati dibelit oleh ular sawa. Apabila
sampai di muka pintu gua, harimau mula mengherdik kucing.

Dengan nada yang amat marah, harimau berkata bahawa kucing tidak mengenang jasa.
Harimau berasa kecewa kerana membela kucing hingga besar dengan segala kasih sayang tetapi ia
langsung tidak menghargai malah sanggup mengkhianatinya. Perbuatan kucing ini ibarat bagai
kacang yang lupakan kulit. Harimau ingin menangkap dan terus membunuh kucing sampailah ke
anak cucunya.

3
Kucing amat terperanjat. Apabila melihat harimau mula hendak menerkamnya, kucing
membuka langkah seribu dan lari ke dalam hutan. Harimau dengan sepantas kilat pula mengejar
kucing. Akhirnya kucing mengambil keputusan untuk memanjat pokok. Kucing selamat di atas pokok
kerana harimau tidak pandai memanjat.

Pada keesokan harinya, seorang pemburu lalu di bawah pokok itu. Kucing turun dan
menghampiri pemburu. Ia menceritakan segala kejadian yang menimpa dirinya serta ancaman
daripada harimau. Si pemburu amat kasihan dengan nasib yang menimpa kucing. Dia mengajak
kucing pulang ke rumah bersama-sama dengannya. Walaupun kucing berasa sedikit terkilan kerana
terpaksa meninggalkan hutan yang menjadi tempat lahirnya tetapi demi menyelamatkan nyawanya
daripada buruan harimau, dia terpaksa mengikuti si pemburu tersebut. Hidup kucing diibaratkan yang
dikejar tidak dapat, yang dikendong pula keciciran. Sudah ada sampan hendak pula berenang.

Begitulah nasib kucing. Semenjak hari itu, kucing terus tinggal di dalam rumah dan menjadi
binatang peliharaan manusia. Manakala harimau pula tinggal di dalam hutan dan menjalani
kehidupannya seperti biasa iaitu memburu binatang.

Begitulah kawan-kawan, pengajaran yang dapat kita teladani daripada cerita ini ialah budi
yang ditaburkan tidak seharusnya dibalas dengan kejahatan. Kita hendaklah mengenang jasa orang
yang berbuat baik kepada kita kerana jasa yang diberikan dahulu pernah menolong kita ketika berada
dalam kesusahan. Sekian terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai