Anda di halaman 1dari 4

Membina Keyakinan Diri

Terdapat pelbagai petua untuk tampil berkeyakinan tanpa


perlu memakai susuk!
Oleh : Hizazul Khan Ibrahim Khan

Keyakinan diri merupakan salah satu aset yang sangat berharga bagi setiap insan. Walau
bagaimanapun tidak semua orang yakin pada dirinya sendiri. Ada sesetengah individu yang
sentiasa berfikiran negatif hingga membenamkan rasa yakin dalam dirinya. Tidak dinafikan juga
terdapat individu yang memiliki tahap keyakinan diri yang tinggi dan mampu membawa dirinya
ke mercu kejayaan. Rasa malu, rendah diri, takut dan gemuruh menjadi antara faktor yang
menyebabkan seseorang individu itu hilang keyakinan diri. Dalam artikel ini, penulis ingin
berkongsi dengan pembaca akan beberapa petua untuk meningkatkan keyakinan diri.

1) Kenali diri anda.


Setiap individu mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Jadikan kelemahan
diri sebagai pembakar semangat untuk terus berjaya dan jadikan pula keistimewaan diri
sebagai senjata untuk terus berjuang dalam kehidupan yang seba mencabar ini. Jika kita
mengenali diri dengan lebih baik, pastinya kita mampu untuk menzahirkan sisi diri yang
lebih unggul. Keyakinan diri mampu dibentuk jika setiap individu faham akan dirinya
sendiri dan hanya diri kita sendiri yang mampu membentuk diri kita.
2) Menerima diri seadanya.
Kebanyakan individu sering mengimpikan susuk tubuh menawan, rupa paras yang jelita
atau kacak, atau apa sahaja yang tidak dimilikinya. Tahukah anda bahawa dengan
perasaan sedemikian yang sering ditanam dalam diri akan hanya merosakkan dan
memusnahkan diri sendiri?!. Kita harus terima diri kita seadanya dan tidak
membandingkan kelemahan diri kita atau kekurangan diri kita dengan orang lain.
Singkirkan segala anasir negatif jika ingin tampil berkeyakinan. Ingatlah tidak semua
orang mementingkan paras rupa dan paras rupa juga belum tentu menjamin kehidupan
yang bahagia.

3) Suntik kata-kata positif dalam diri setiap masa.


Kita digalakkan untuk sering memuji diri dengan kata-kata yang positif dan bukannya
memuji diri yang hanya merosakkan diri sendiri. Misalnya katakan pada setiap masa pada
diri kita “aku hebat!”, “aku boleh lakukannya!”, “aku orang yang berjaya!” dan
sebagainya yang mampu menaikkan semangat kita.
4) Jauhi racun!, dekati madu!.
Apa cuba penulis sampaikan di sini ialah kita sebagai seseorang individu berhak untuk
menentukan siapa yang layak menjadi kawan dalam hidup kita dan siapa yang harus kita
singkirkan. Kawan yang membawa ‘racun’ haruslah kita jauhi kerana individu seperti itu
hanya akan merosakkan diri kita. ‘Racun’ bermaksud setiap perkara yang hanya
melemahkan dan tidak mampu membantu diri kita, misalnya rakan yang terlalu pasif,
rakan yang mementingkan diri sendiri, rakan yang sentiasa lalai, rakan yang tidak
mempunyai matlamat hidup dan sebagainya yang bersifat negatif. Rakan yang membawa
‘madu’ pula adalah disifatkan sebagai rakan yang sering membawa kemanisan dalam
hidupnya dan orang lain. Individu seperti ini adalah individu yang sentiasa berfikiran
positif, baik budi pekerti, rajin berusaha, berkeyakinan tinggi dan sebagainya. Dengan
mendekati individu seperti ini, secara tidak langsung akan mampu memotivasikan diri
kita untuk lebih yakin dalam menempuhi kehidupan ini.
5) Hargai setiap kejayaan yang dilakukan.
Kejayaan yang penulis maksudkan bukanlah kejayaan besar semata-mata akan tetapi
sekecil-kecil kejayaan juga harus kita raikan. Meraikan kejayaan yang diperoleh
dipercayai dapat membantu seseorang individu itu untuk lebih berjaya dalam kebanyakan
hal. Biarpun kecil kejayaan yang diperoleh jika kita berbangga dengan pencapaian kita, ia
akan mampu untuk membantu diri kita lebih berkeyakinan tinggi dalam mencapai
kejayaan-kejayaan yang lain pula. Apa yang penting, kita perlu hargai setiap apa yang
dilakukan.
6) Jangan terlalu mengharapkan kesempurnaan.
Jika kita terlalu taksub pada kesempurnaan, ia boleh memakan diri sendiri.
Kesempurnaan adalah sesuatu yang bersifat abstrak, sempurna pada seseorang mungkin
tidak sempurna pada orang lain dan begitulah sebaliknya. Keyakinan diri juga akan
hilang jika kesempurnaan yang diharap-harapkan tidak dimiliki. Oleh yang demikian kita
seharusnya cuba melakukan yang terbaik tanpa perlu mengharap kesempurnaan.
Belajarlah daripada kesilapan dan itu adalah sebaik-baik pelajaran. Jika kita tidak belajar
daripada kesilapan, kita tidak akan menjadi orang yang berjaya.
7) Berani mencuba.
Kebanyakan individu yang tidak mempunyai keyakinan diri adalah individu yang tidak
berani mencuba. Mereka takut untuk gagal, takut jika diketawakan, takut untuk menerima
kekalahan dan banyak lagi ketakutan yang menguasai diri. Jika perasaan ini terus
bermaharajalela maka, selamanya seseorang individu itu tidak akan berjaya. Mulalah
daripada sekarang!. Beranikan diri untuk bercakap di hadapan orang ramai untuk
menambah keyakinan diri. Jika kita rajin mencuba, lama-kelamaan kita akan rasa selesa
untuk bercakap di hadapan orang ramai. Belajarlah teknik-teknik untuk menarik
perhatian pendengar dan mencari cara-cara berkomunikasi yang betul agar mampu untuk
menjadi seorang penyampai yang baik. apabila kita mencuba sesuatu itu, lakukan dengan
sebaik mungkin dan perlulah mempunyai keazaman yang tinggi dan yakin dengan apa
yang kita lakukan. Jika kita sendiri tidak yakin dengan kebolehan diri sendiri, maka
kegagalan adalah jawapannya.
8) Tabah.
Bukan senang untuk menjadi seorang yang tabah, namun tidak mustahil untuk kita
menanam ketabahan dalam diri kita. Kita harus tabah dengan setiap apa yang berlaku.
Kita jangan mudah berputus asa dengan apa yang berlaku. Gagal sekali tidak bermakna
kita gagal untuk selamanya. Selagi ada usaha, selagi itu kejayaan adalah milik kita.
Sesungguhnya individu yang berani bangkit daripada kegagalan adalah merupakan
individu yang telah pun berjaya membina keyakinan dirinya!.
Hidup di dunia ini perlu ada matlamat diri, keazaman, kekuatan menghadapi cabaran dan
sebagainya. Tanpa semua ini kita seolah-olah telah membazirkan usia kita yang
dikurniakan oleh Allah S.W.T. Penulis berharap artikel ini dapat membuka pintu hati
pembaca yang selama ini tidak tahu bagaimana untuk memupuk keyakinan diri. Semoga
kita semua akan menjadi manusia yang berguna kepada diri kita sendiri, keluarga, agama,
bangsa dan negara.

Anda mungkin juga menyukai