Anda di halaman 1dari 2

CARA-CARA MENINGKATKAN KEYAKINAN DIRI

“Hanya ada satu sebab kegagalan manusia. Dan itu, kerana kurangnya keyakinan
mereka terhadap diri sendiri”. Kata-kata William James seorang filosofi dari Amerika
Syarikat jelas menunjukkan keyakinan diri amat signifikan dalam diri seseorang
individu. Namun, dewasa ini persepsi keyakinan diri sering kali disalah ertikan.
Adakah ia bermaksud berani? Atau bijak berbicara? Atau tidak takut mengambil
risiko? Oleh itu, sebelum kita menelusuri topik dengan lebih mendalam, maksud
keyakinan diri perlu kita hadam terlebih dahulu. Keyakinan diri bererti betul-betul
percaya dan tidak ragu-ragu pada diri sendiri. Keyakinan diri sering dikaitkan dengan
kejayaan. Hal ini dikatakan demikian kerana, seseorang yang mempunyai keyakinan
diri mampu menyuntik motivasi dan inspirasi kepada diri sendiri dan juga orang lain.
Kendatipun begitu, masih terdapat segelintir masyarakat yang tidak yakin pada diri
sendiri. Justeru itu, terdapat beberapa prakarsa yang boleh dilaksanakan untuk
meningkatkan keyakinan diri.

Sebagai cetusan minda yang pertama, kita perlu mengenali diri sendiri terlebih
dahulu. Hal ini dikatakan demikian kerana kita dapat mengetahui kelemahan dan
kekuatan serta potensi diri yang sebenar. Ironinya, kita akan berusaha dengan
semaksimum mungkin untuk memperbaiki kelemahan kita dengan tenang dan cuba
untuk mempertingkatkan potensi diri. Kita harus ingat bahawa setiap orang
mempunyai kelemahan tersendiri dan bukannya kita sahaja yang memiliki
kekurangan. Sehubungan dengan itu, dengan mengenali diri sendiri kita dapat
membuang tanggapan bahawa orang lain menjauhi kita disebabkan kelemahan
tersebut dan menjadikannya sebagai bahan cemuhan. Perkara-perkara negatif seperti
ini perlu dikendalikan dengan bijak bak kata pepatah jauhari juga mengenal manikam.
Secara tidak langsung, keyakinan diri akan mula muncul sedikit-sedikit tanpa kita
sedari.

Prakarsa yang seterusnya ialah kita perlu membuang perasaan malu tidak bertempat
dalam diri kita. Hal ini demikian kerana, perasaan ini akan membuatkan kita
kehilangan banyak peluang dan kesempatan dalam kehidupan terutamanya dari aspek
ilmu pengetahuan. Bukan itu sahaja, perasaan malu tidak bertempat juga membuatkan
kita sukar untuk bergaul dengan orang, tidak meluahkan buah fikiran dan pendapat
yang dimiliki. Justeru itu, perasaan ini harus dijauhi supaya dapat melakukan sesuatu
yang luar dari kelaziman. Sebagai contoh, dari seorang yang pendiam menjadi
seorang yang lantang bersuara dan dari seorang yang suka menyendiri menjadi
seorang yang suka bergaul dengan orang lain. Kesannya, keyakinan akan mula terbina
dalam diri sendiri dan akan meningkat secara berperingkat.

Dalam pada itu, keyakinan diri dapat ditingkatkan dengan mendekati dan berkawan
dengan orang yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Menurut ahli neurologi
Univerisiti Northwestern, Moran Cerf, manusia cenderung untuk mengikut atau
meniru tingkah laku orang yang mereka luangkan masa bersama. Oleh itu, kelilingilah
diri dengan keluarga dan rakan-rakan yang positif. Keyakinan diri kita akan
bertambah apabila kita bersosial dengan rakan yang selalu memberi bantuan dan
sokongan kepada kita. Secara tidak langsung, kita juga akan berusaha sebaik mungkin
untuk mencapai matlamat hidup. Tamsilnya, ingin mendapat keputusan cemerlang
dalam peperiksaan dan ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Kendatipun begitu, penting untuk diingati bahawa tidak kira apa pun yang kita
lakukan, pasti akan ada orang yang cuba untuk menjatuhkan kita bak kata pepatah
rambut sama hitam, hati lain-lain. Oleh itu, kita mestilah mendekatkan diri dengan
orang yang betul.

Tuntasnya, keyakinan diri seseorang dapat ditingkatkan melalui alpukah-alpukah di


atas. Kita harus berani untuk melakukan perubahan secara perlahan-lahan untuk
kemaslahatan diri kita sendiri dan masyarakat. Sekiranya kita seperti enau dalam
belukar, melepaskan pucuk masing-masing, kita akan mengalami kerugian besar
dalam hidup dan tidak menikmati kejayaan yang diimpikan. Sememangnya,
pembinaan dan pemupukan keyakinan diri mengambil sama ada masa yang panjang
atau singkat bergantung kepada seseorang itu bagaimana mereka ingin membentuk
keyakinan mereka. Richard Bach seorang penulis dari Amerika Syarikat tahun 1936
menukilkan kata-kata bahawa keyakinan yang kuat memenangkan orang yang kuat,
yang kemudian membuat mereka lebih kuat. Izharlah bahawa, keyakinan diri amat
penting untuk dibentuk dan dikembangkan bagi memastikan kita dapat mencapai apa
yang kita kehendaki dalam hidup kita.

Anda mungkin juga menyukai