Anda di halaman 1dari 1

Komponen-komponen elektronik hendaklah dibentuk, dipasang dan dipateri dengan kemas di atas bod litar atau bongkah litar.

Penghasilan projek menggunakan komponen ini dibuat berpandukan lukisan skematik dan lukisan bergambar yang telah disiapkan. Langkah-langkah untuk menghasilkan sebuah projek elektronik ialah: 1. Sediakan alatan dan komponen-komponen elektronik yang diperlukan 2. Baca dan fahamkan lukisan skematik dan terjemahkannya kepada lukisan bergambar 3. Kenal pasti komponen dengan nilai yang betul dan jalurkan wayar dengan kemas dan dipintalkan 4. Bentukkan kaki-kaki komponen dan pasang komponen tersebut mengikut kedudukan pada verobod 5. Semak semula pemasangan itu dengan berpandukan lukisan bergambar 6. Paterikan dan potong lebihan kaki komponen menggunakan pemotong sisi 7. Sambungkan bateri dan uji projek yang telah siap. Buatkan pembaikan jika perlu Membentuk kaki komponen

Membentuk kaki komponen bermaksud membengkokkan kaki komponen yang terlibat dengan menggunakan playar muncung tirus. Perlu diingatkan supaya tidak membengkokkan kaki komponen terlalu hampir dengan badan komponen untuk mengelakkan kakinya daripada patah.

Memasang komponen pada bod litar

Pemasangan komponen dibuat berdasarkan litar skematik dan litar bergambar. Saiz bod perlulah sesuai dengan projek yang hendak dibuat. Tandakan komponen-komponen yang perlu dipasang di atas bod litar dan pasangkan komponen dengan kedudukan kekutuban yang betul di atas bahagian yang ditandakan.

Menyemak semula kedudukan komponen pada bod litar

Penyemakan dilakukan berpandukan litar bergambar. Ia adalah penting sebelum kerja-kerja pematerian dilakukan bertujuan untuk mengelakkan berlakunya kesilapan setelah kaki komponen dipateri pada bod litar.

Memateri kaki komponen dan tamatan

Sebelum memateri, pastikan alat pemateri berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan. Pegang alat pemateri dengan tangan yang kering dengan wayar bekalan berada di sebelah luar tangan. Pematerian hendaklah dilakukan dengan kemas untuk mengelakkan litar pintas. Jangan memateri pada tempat yang sama terlalu lama kerana haba berlebihan boleh merosakkan komponen dan jalur pada bod litar.

Memotong kaki komponen yang berlebihan

Kaki komponen yang berlebihan hendaklah dipotong menggunakan pemotong sisi. Kerja ini dapat mengelakkan berlakunya litar pintas disamping mengemaskan lagi projek yang dihasilkan. Lebihan kaki tersebut handaklah dikumpul dan dibuang di tempat yang selamat.

Menguji projek

Projek yang telah siap haruslah diuji untuk memastikan ianya berfungsi dengan baik. Uji menggunakan meter pelbagai untuk kefungsian komponen dan keterusan arus pada litar. Sekiranya terdapat komponen yang rosak, gantikan dengan komponen yang baru. Gunakan penyedut pateri untuk menyedut timah pada tamatan komponen yang rosak untuk membuang komponen tersebut.

Anda mungkin juga menyukai