Anda di halaman 1dari 4

Merakam Sejarah dan Pembangunan Negara

Dari sebuah pekan kecil perlombongan bijih timah, Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia terus menempa nama dan dikenali di seluruh dunia. Perubahan demi perubahan mewarnai wajah Kuala Lumpur yang pesat membangun sebagai pusat pentabdiran dan perdagagan negara. Kemajuan yang dikecapi Kuala Lumpur telah meletakkan Malaysia gah di peta dunia dengan pelbagai kejayaan yang dicipta.

Jika dahulunya, persekitaran Kuala Lumpur dipenuhi dengan rumah-rumah atap nipah, kini ianya lebih diserikan dengan bangunan-bangunan pencakar langit serta perkembangan pesat penempatan penduduk. Dunia terus mengenali Kuala Lumpur melalui mercu tanda-mercu tanda hebat seperti Menara Berkembar Petronas 88 tingkat yang pernah mencatat sejarah sebagai bangunan tertinggi di dunia dan Menara Kuala Lumpur, menara komunikasi kebanggaan negara yang dilengkapi dengan teknologi terkini.

Keunggulan Kuala Lumpur sebagai pusat perdagangan telah mula berkembang sejak usaha perlombongan bijih pada tahun 1857. Rentetan dari itu, Kuala Lumpur telah membangun secara perlahan-lahan sehingga mencapai taraf yang ada sekarang ini dengan terbentuknya Wilayah Persekutuan. Kepesatan ekonomi Kuala Lumpur yang menjadi lubuk rezeki telah mengundang minat tidak hanya pelabur asing malah rakyat di negara ini. Jelas terbukti, penghijrahan penduduk yang menghuni bandar raya ini terus meningkat tahun demi tahun.

Kedudukan ekonomi yang kukuh turut memberi impak besar kepada pembangunan di Kuala Lumpur. Menyentuh aspek infrastruktur jalanan, pasti mata terpukau melihat perkembangan lebuh raya-lebuh raya baru di sekitar ibu kota yang semestinya dilaksanakan demi kesejahteraan penghuninya. Tidak dapat disangkal lagi, kepadatan penduduk Kuala Lumpur telah mencorakkan pola penempatan yang lebih tersusun terutama bagi kawasan-kawasan setinggan yang telah digantikan dengan perumahan kos rendah yang lebih selesa seperti di Pantai Dalam.

Kepesatan ekonomi juga telah memberi kesan kepada aspek pengangkutan di Kuala Lumpur. Dari zaman lanca dan beca hinggalah kepada sistem aliran ringan (LRT), keretapi ekspres (KLIA Ekpres) dan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART), pelbagai kemudahan terus disediakan untuk kesenangan rakyat. Perkembangan positif ini telah memacu negara untuk menjadi salah satu kuasa ekonomi yang disegani di rantau ini.

Peredaran masa turut menyerlahkan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran. Bermulanya Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran apabila Sir Andrew Clarke, Gabenor Negeri-Negeri Selat telah melantik J.G. Davidson sebagai Residen British di Selangor pada Disember 1873. Beliau telah memindahkan ibu kota Selangor dari Kelang ke Kuala Lumpur pada tahun 1880 apabila Frederick Weld menjadi Gabenor Negeri-Negeri Selat yang baru. Bertitik tolak dari itu, Kuala Lumpur telah berkembang pesat dan telah dipilih sebagai Ibu Negeri Persekutuan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896 diikuti oleh pemerintahan Malayan Union dan sehinggalah negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Kuala Lumpur kekal sebagai ibu negara hingga ke hari ini. Pada tahun 1890, Kuala Lumpur mula diurus di bawah seliaan Lembaga Kebersihan yang bertanggungjawab antaranya menjaga kebersihan jalan raya, pemasangan lampu-lampu, mentadbir pasar-pasar dan sebagainya. Kini, ia boleh berdiri sebaris dengan kota-kota besar dunia yang lain di bawah pentadbiran dan pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Sebut sahaja Kuala Lumpur dan pentadbiran, pastinya ingatan kita membayangkan Bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak di lokasi strategik di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur berhampiran dengan Dataran Merdeka, Kelab Diraja Selangor dan Masjid Jamek. Bangunan warisan ini pernah menjadi Pusat Pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Ia juga pada satu ketika menempatkan Pejabat Pos Besar, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan Mahkamah Agung Malaysia. Kini, Bangunan Sultan Abdul Samad dijadikan pejabat Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan merupakan pusat kebudayaan negara. Bangunan bersejarah ini akan terus menjadi simbol kebanggaan rakyat sebagai mercu tanda negara sejak sebelum merdeka.

Di sebalik unggulnya Kuala Lumpur dek pembangunan dan pentadbiran, begitu jugalah dengan sejarah peradaban negara. Kuala Lumpur telah merakamkan pelbagai peristiwa suka duka dalam lipatan sejarah negara. Laungan MERDEKA pasti terus terpahat dalam ingatan setiap rakyat Malaysia tatkala negara meraikan saat-saat manis kemerdekaan dan bebas dari belenggu penjajah. Peristiwa 13 Mei 1969 pula mencatat memori hitam apabila perpaduan rakyat telah tergugat dan keselamatan negara turut terancam. Peristiwa ini wajar diambil iktibar oleh semua rakyat Malaysia.

Arus kemodenan tidak dapat menafikan Kuala Lumpur untuk menjadi destinasi warisan dan budaya. Ia memartabatkan seni dan budaya rakyat Malaysia yang berbilang kaum melalui pelbagai usaha bagi menarik minat para pelancong dan penggemar seni tanah air. Selain dari itu, Kuala Lumpur sebagai destinasi ilmu turut mengetengahkan khazanah warisan dan kepimpinan tokoh negara di Muzium dan Memorial sekitar Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur, banyak yang diketahui, semakin banyak pula yang perlu diterokai. Bagi generasi sebelum merdeka, pasti mereka kaya dengan coretan yang boleh dikongsi bersama anak dan cucu akan kehebatan Kuala Lumpur. Generasi pasca merdeka pula perlu terus menghayati keunggulan Kuala Lumpur agar semangat cintakan watan sentiasa membara. Terdapat pelbagai sumber bahan sejarah berkaitan Kuala Lumpur yang boleh dibuat penyelidikan di Arkib Negara Malaysia.

1 Februari ini genaplah 36 tahun Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan. Perancangan strategik Kuala Lumpur terus menjadi fokus di bawah Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 yang bermatlamat untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya bertaraf dunia selaras dengan Wawasan 2020. Mengimbau kembali detik Kuala Lumpur dianugerahkan taraf Bandaraya oleh Yang di-Pertuan Agong pada 1 Februari 1972 dan kemudiannya diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974, Yang di-Pertuan Agong dalam titah ucapan Baginda sempena majlis menandatangani Perjanjian Kuala Lumpur di Istana Negara telah mendoakan semoga Kuala Lumpur akan terus maju dan makmur serta menjadi lambang perpaduan rakyat seluruh negara dan mencerminkan kemajuan bangsa dan negara Malaysia setanding dengan ibu kota negara-negara yang maju di dunia ini.

Sebegitu tinggi harapan payung negara, sepatutnya setinggi itu jugalah harapan setiap rakyat Malaysia untuk terus memastikan Kuala Lumpur yang telah bermula asalnya di kawasan pertemuan kuala Sungai Gombak dan Sungai Kelang bergerak maju dan pantas dalam mencapai wawasan negara dan menghadapi cabaran global.

Sesungguhnya, kelahiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjadi salah satu titik kejayaan yang amat besar maknanya dalam perkembangan dan kemajuan negara sejak penubuhan Malaysia. Justeru, ia memainkan peranan penting dalam mencorakkan kejayaan negara ini pada masa hadapan. Biarlah setinggi manapun kejayaan yang ingin dicapai, semoga ianya diiringi dengan keseimbangan sosial bagi merealisasikan hasrat gagasan 1Malaysia dan membentuk masyarakat maju menjelang tahun 2020.

Anda mungkin juga menyukai