Anda di halaman 1dari 2

CAKJING Cakjing adalah sejenis permainan tradisional yang hampir sama dengan berjalan di atas tempurung.

Perbezaannya ialah cakjing menggunakan buluh sebagai alat untuk berjalan. Permainan ini dikenali juga sebagai 'galah panjang', 'kaki hantu', dan 'kaki gajah'. Pada zaman dahulu, permainan cakjing ini sangat popular, terutama dalam kalangan masyarakat di negeri Kelantan. Permainan ini begitu popular dalam kalangan kanak-kanak. Namun demikian, permainan ini turut digemari oleh golongan dewasa. Dalam kalangan orang dewasa, permainan ini diadakan sebagai pertunjukan atau pertandingan untuk tujuan bersuka ria. Pertunjukan atau pertandingan permainan ini diadakan semasa berlangsung sesuatu majlis atau acara tertentu. Misalnya, majlis perkahwinan, sukan rakyat, pesta, dan lain-lain lagi. Cakjing diperbuat daripada buluh. Dua batang buluh diperlukan untuk membuat cakjing. Dengan demikian dapatlah seseorang itu menggunakannya sebagai alat untuk berjalan. Setiap batang buluh itu dikerat lebih tinggi daripada orang berdiri. Biasanya, sekali ganda lebih tinggi. Pada bahagian pertengahan buluh itu, atau pada bahagian lebih rendah sedikit, ditebuk lubang. Lubang itu dimasukkan kayu untuk dijadikan alas tempat berdiri. Dengan cara demikian, dapatlah seseorang itu menggunakan cakjing sebagai alat untuk berjalan. Permainan cakjing ini sebenarnya boleh dianggap sebagai permainan berjalan dengan menggunakan buluh. Pada masa kini, permainan ini sudah tidak popular lagi dalam kalangan kanak-kanak. Permainan ini seolah-olah sudah hampir pupus. Namun demikian, permainan ini masih popular dalam kalangan sesetengah kanakkanak di kawasan pedalaman negeri Kelantan. Sekali-sekala, permainan ini masih menjadi pertunjukan dalam majlis tertentu. Malah permainan ini sekali-sekala masih diadakan, jika berlangsung sukan rakyat.

Anda mungkin juga menyukai