Anda di halaman 1dari 4

KEJAHATAN ADALAH PENGHANCURAN DIRI (Memahami mesej ayat 15 21 surah al-Jathiyah)

15. Barangsiapa mengerjakan kebajikan, maka itu untuk dirinya sendiri, dan barangsiapa mengerjakan kejahatan, maka itu akan menimpa dirinya sendiri; kemudian kepada Tuhan-mu kamu dikembalikan. 16. Dan sungguh, kepada Bani Israil telah Kami berikan Kitab (Taurat), kekuasaan dan kenabian, Kami anugerahkan kepada mereka rezeki yang baik, dan Kami lebihkan mereka atas bangsa-bangsa (pada masa itu). 17. Dan Kami berikan kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas tentang urusan (agama); maka mereka tidak berselisih kecuali telah datang ilmu kepada mereka kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka. Sungguh, Tuhan-mu akan memberikan putusan kepada mereka pada hari Kiamat terhadap apa yang selalu mereka perselisihkan. 18. Kemudian Kami jadikan engkau (Muhammad) mengikuti syari`at (peraturan) dari agama itu, maka ikutilah (syari`at itu) dan janganlah engkau ikuti keinginan orangorang yang tidak mengetahui. 19. Sungguh, mereka tidak akan dapat menghindarkan engkau sedikit pun dari (azab) Allah. Dan sungguh, orang-orang yang zalim itu sebahagian menjadi pelindung atas sebahagian yang lain; sedang Allah Pelindung bagi orang-orang yang bertaqwa. 20. (Al-Quran) ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang meyakini. 21. Apakah orang-orang yang melakukan kejahatan itu mengira bahawa Kami akan memperlakukan mereka seperti orang-orang yang beriman dan yang mengerjakan kebajikan, iaitu sama dalam kehidupan dan kematian mereka? Alangkah buruknya penilaian mereka itu.

Huraian Maksud Ayat Para pelaku dan pejuang kebaikan bila-bila dan di mana-mana pun selalu dihadang pelbagai rupa kejahatan - kezaliman, penindasan, pengkhianatan, fitnah, sabotaj dan sebagainya. Ayat 15 surah al-Jathiyah di atas mengungkapkan ketetapan Ilahi bahawa segala amal perjuangan penegak kebenaran dan kebaikan akan membuahkan hasil kejayaan yang menguntungkan mereka sendiri. Memang tidak amal kebaikan yang sia-sia. Sebaliknya, segala kejahatan dan kezaliman, kesombongan dan kecurangan para penentang kebenaran dan kebaikan adalah self-distruction, ketololan yang akan memakan diri. Ayat ini seharusnya memberikan keyakinan dan keberanian menghadapi kejahatan lawan yang bagaimana pun bentuknya, Tuhan telah tetapkan kesudahannya, iaitu kehancuran diri mereka sendiri. Kesudahan konflik antara kuasa kebaikan dengan kuasa kejahatan ini menurut Yusuf `Ali dapat disaksikan even in this world, di samping kesudahan muktamadnya dalam penghakiman Ilahi nanti. Al-Quran mengajak khalayaknya belajar dari sejarah, kerana esensi sejarah adalah `ibrah atau iktibar yang sentiasa relevan sepanjang zaman. Ayat 16 mengungkapkan nasib Bani

Israil yang tersingkir dari kepimpinan umat sejagat, walhal sebelumnya mereka telah diangkat mengatasi martabat segala umat zaman itu, dianugerahi pelbagai nikmat - pengutusan rasul, penurunan kitab, pengurniaan kekuasaan, pelimpahan rezeki dan sebagainya. Merekalah pembawa obor ajaran samawi di tengah jagat raya ini. Tetapi martabat kepimpinan Bani Israil itu runtuh akibat silang-sengketa perpecahan yang berpunca dari kedengkian, kebencian dan permusuhan (baghyan baynahum). Ayat 17 menegaskan bahawa ajaran yang Tuhan turunkan kepada mereka sebenarnya sangat jelas sehingga tidak ada sebab untuk mereka berselisih dan bertikai. Tetapi kenyataannya mereka telah bersengketa sedemikian dahsyat. Puncanya bukan ketidakjelasan ajaran agama, tetapi baghyan baynahum (dengki sesama sendiri) yang berhujung dengan pelbagai kejahatan dan kezaliman. Ertinya, mereka mempertikaikan suatu yang mereka tahu kebenarannya, mereka menolak fakta dan bukti nyata. Bani Israil telah rosak parah dan tidak dapat diperbaiki, lalu Allah bangkitkan umat lain dan rasul lain, iaitu umat Islam di bawah pimpinan Nabi `Arabiy Muhammad s.`a.w. Kepada Nabi Muhammad s.`a.w. dan umat pengikutnya Allah s.w.t. berpesan agar mengambil iktibar dari perilaku baghyan baynahum Bani Israil, perilaku buruk membuat pendirian bukan berdasarkan fakta kebenaran, tetapi berasaskan kedengkian, kebencian dan permusuhan. Ayat 18 mengingatkan al-Rasul s.`a.w. agar berpegang teguh dengan syari`at Ilahi, dan jangan sekali-kali terpengaruh dengan desakan atau rayuan nafsu serakah orang-orang jahil. Ayat ini mengisyaratkan bahawa di hadapan kita hanya ada dua jalan: pertama jalan kebenaran syari`at Ilahi, dan kedua jalan nafsu dan kejahilan. Selain yang dibawa oleh syari`at, atau yang bertentangan dengan syari`at adalah nafsu dan kejahilan. Tidak ada jalan tengah antara keduanya. Kerana itu ayat ini menuntut sikap istiqamah bersama syari`at berfikir, bersikap dan bertindak berasaskan syari`at. Justeru, syari`at adalah satu-satunya jalan selamat. Misi besar umat Muhammad s.`a.w. ialah pendaulatan syari`at di tengah dunia yang kini diperintah oleh nafsu dan kejahilan. Ayat 19 menjelaskan hakikat kesia-siaan melayani kemahuan orang-orang zalim yang bersikap dan bertindak atas dasar nafsu dan kejahilan. Mereka sebenarnya adalah orang-orang yang sangat lemah, mereka tidak akan mampu melindungi dan membela kita dari azab Tuhan andainya kita mengikuti kehendak mereka dengan mengenepikan ajaran syariat. Memang orang-orang zalim itu selalu bersatu atas dasar nafsu dan kejahilan. Tetapi sekuat manalah persatuan yang dibina di atas asas nafsu dan kepentingan duniawi. Mereka juga saling melindungi, saling membela, saling membantu dan bekerjasama sesama mereka. Tetapi apalah erti perlindungan dan pembelaan sesama orang zalim berbanding dengan perlindungan dan pembelaan Allah terhadap orang-orang yang bertaqwa. Dengan taqwa kita mendapat perlindungan dan pertolongan Tuhan Yang Maha Perkasa, dan kerana itu pula tidak perlu gentar dengan pakatan kuasa-kuasa zalim. Sekuat mana pun mereka pada pandangan mata, hakikatnya mereka sangat lemah dan rapuh berhadapan dengan kekuasaan Allah. Apabila orang-orang bertaqwa sudah berada dalam perlindungan Allah, maka tidak ada kekuatan apa pun dan siapa pun yang dapat menggugat. Ayat 20 menegaskan tentang keunggulan al-Quran (syari`at) sebagai sumber petunjuk dan rahmat bagi mereka yang memiliki keyakinan terhadapnya. Ternyata tidak semua orang mendapat barakah, rahmat dan manfaat dari syari`at. Apabila al-Quran menyebut liqawmin yuqinun bererti bahawa syari`at hanya akan melimpahkan manfaat rahmah dan barakahnya setelah syarat keyakinan itu dipenuhi. Mereka yang ragu, skeptis dan sinis terhadap syari`at tidak akan mendapat apa-apa.

Para pelaku kejahatan berfikir bahawa antara mereka dengan orang-orang salih tidak ada beza, ketika hidup atau sesudah mati. Yang jahat dan yang baik sama-sama mendapat kurnia. Malah ada yang berfikir, jika di dunia mereka lebih kaya dan lebih kuat berbanding orangorang yang berpegang pada syari`at, maka di akhirat nanti pun keadaan mereka akan lebih baik. Mungkin ayat ini juga merujuk mereka yang berada di pihak kuasa jahat dan zalim, tetapi masih berasa berbuat baik. Ayat 21 dengan tegas menolak anggapan sedemikian. Orang jahat tidak mungkin sama dengan orang baik dari segi kebahagiaan dan habuan duniawiukhrawi. Orang salih hidupnya penuh erti, setiap saat dilimpahi rahmat, matinya nanti bererti memasuki hidup baru yang lebih bahagia dan abadi. Sementara orang jahat yang tidak beriman hidupnya kosong, tanpa erti, setiap saat ditimpa laknat, dan matinya nanti bererti memasuki hidup baru yang penuh derita, terseksa selama-lamanya. Segala yang difikirkan oleh para pelaku kejahatan itu hanya mimpi, sedang hakikatnya perkiraan mereka semuanya salah dan bodoh.

TM69 29032014

Anda mungkin juga menyukai