Anda di halaman 1dari 6

PUTERI GUNUNG LEDANG

Di atas puncak Gunung Ledang, tinggal seorang tuan puteri yang sangat jelita, dikenali
sebagai Puteri Gunung Ledang. Namun, Puteri Gunung Ledang bukanlah tinggal
keseorangan di atas gunung itu. Dia ditemani oleh para dayang yang menjadi teman dan
pembantu setianya. Malah, kononnya turut terdapat seorang nenek kebayan tinggal
bersama-sama dengan mereka.
Segelintir penduduk di beberapa buah kampung berhampiran kaki Gunung Ledang
sering mendaki gunung itu. Mereka mencari pelbagai jenis hasil hutan di atas gunung itu.
Sekali-sekala, mereka terserempak dengan puteri Gunung Ledang. Hal ini demikian
kerana Puteri Gunung Ledang sering memberikan pertolongan apabila mereka tersesat
jalan atau ditimpa sesuatu kesusahan.
Oleh yang demikian, nama Puteri Gunung Ledang menjadi sebutan dan termasyhur ke
mana-mana.
Sekali, kemasyhuran Puteri Gunung Ledang yang terkenal sangat jelita itu sampai
kepada pengetahuan Sultan Mahmud Syah yang sedang memerintah di negeri Melaka.
Timbullah hasrat dalam hati baginda untuk menjadikan Puteri Gunung Ledang sebagai
permaisurinya.
Sultan Mahmud Syah lalu memaklumkan hasratnya itu kepada sekalian pembesarnya.
Terkejutlah para pembesar baginda apabila mendengar kata-kata itu. Namun, masingmasing hanya berdiam diri kerana tidak berani menegur kehendak Sultan Mahmud.
Malahan, Datuk Bendahara juga tidak berani bersuara apa-apa.
"Bukanlah mudah untuk mencari Puteri Gunung Ledang itu kerana bukan semua orang
bertuah dapat bertemu dengannya," fikir Datuk Bendahara dalam hatinya.
Namun, apalah daya bagi Datuk Bendahara. Beliau tahu, Sultan Mahmud sangat
bengis dan pantang dihalang segala kehendak hatinya. Jika ada sesiapa yang ingkar,
mautlah padahnya. Mahu tidak mahu, terpaksalah beliau memilih dan menentukan
beberapa orang daripada kalangan pembesar istana untuk pergi mencari dan meminang
Puteri Gunung Ledang.
Datuk Bendahara memilih Tun Mamat sebagai ketua. Tidak ketinggalan, beliau turut
memilih Datuk Sang Setia supaya ikut serta dalam rombongan itu. Beliau berharap Datuk
Sang Setia, sebagai seorang tua yang berpengalaman luas, akan dapat turut membantu
Tun Mamat.
"Beta mahu Datuk Laksamana Tun Tuah turut pergi bersama-sama!" titah Sultan
Mahmud.

Terkejutlah Datuk Bendahara mendengar titah itu. Beliau sengaja telah mengecuali
Laksamana Hang Tuah kerana tidak ingin membebankannya dengan sebarang kerja berat
lagi. Lebih-lebih lagi kerana Laksamana Hang Tuah ketika itu sudah sangat berusia dan
selalu pula berkeadaan uzur.
Laksamana Hang Tuah memahami perasaan hati Datuk Bendahara. Namun kerana tidak
ingin menderhaka kepada Sultan, beliau tetap patuh pada titah itu.
"Ampun, tuanku! Titah tuanku tetap patik junjung," sembah beliau.
Sukacitalah hati Sultan Mahmud bukan kepalang apabila mendengar sembah
Laksamana Hang Tuah. Baginda sangat mengharapkan cita-citanya akan tercapai.
Tiba hari ditetapkan, berangkatlah rombongan utusan Sultan Mahmud menuju ke
Gunung Ledang. Jauhnya bukan kepalang. Perjalanannya pula bukan mudah untuk
ditempuhi. Meredah rimba belantara, menyeberang sungai, mendaki bukit, dan menuruni
lurah.
Namun, segala pahit getir itu terpaksa mereka tempuhi.
Akhirnya, mereka tiba di sebuah kampung berhampiran Gunung Ledang itu.
Terceganglah orang kampung apabila mengetahui bahawa rombongan itu adalah utusan
daripada Sultan Melaka yang datang untuk meminang Puteri Gunung Ledang. Namun,
tiada seorang pun daripada kalangan orang kampung itu yang berkesanggupan untuk
menolong mereka.
"Bukan kami tidak ingin membantu," ujar penduduk kampung. "Kami sendiri tidak
mengetahui di manakah sebenarnya tempat tinggal Puteri Gunung Ledang di atas gunung
itu."
"Puteri Gunung Ledang itu mungkin seorang puteri bunian. Sebab itulah tempat
kediamannya tiada diketahui oleh sesiapapun," sampuk yang lain pula.
Mahu tidak mahu, terpaksalah rombongan itu meneruskan usaha untuk cuba mencari
sendiri Puteri Gunung Ledang itu. Jikalau mereka pulang tanpa sempat bertemu Puteri
Gunung Ledang, nescaya murkalah Sultan Mahmud. Mereka lalu meneruskan perjalanan
ke kaki Gunung Ledang.
Tiba di kaki gunung itu, mereka berehat seketika. Laksamana Hang Tuah sangat
kepenatan kerana usianya sudah lanjut tua. Begitulah juga halnya dengan Datuk Sang
Setia. Laksamana Hang Tuah lalu menyuruh Tun Mamat dan orang-orangnya
meneruskan usaha mencari Puteri Gunung Ledang di atas gunung itu.

"Pergilah Orang Kaya Tun Mamat bersama-sama dengan yang lain lagi untuk mencari
Puteri Gunung Ledang. Biarlah hamba dan Datuk Sang Setia menunggu di kaki gunung
ini saja," kata Laksamana Hang Tuah.
Tun Mamat patuh kepada arahan Laksamana Hang Tuah. Beliau bersama-sama
dengan beberapa orang pemuda lain meneruskan usaha menaiki Gunung Ledang.
Pelbagai kesukaran ditempuhi mereka di sepanjang pendakian itu. Malah, banyak pula
perkara ganjil ditemui mereka.
Mereka terdengar suara orang bercakap-cakap, suara perempuan bergurau senda, tiupan
seruling sangat merdu. Malah, sekali-sekala terdengar juga suara hilai yang sungguh
menyeramkan.
"Semua ini adalah dugaan untuk kita," Tun Mamat memberitahu orang-orangnya agar
mereka tidak mudah berasa takut atau berputus asa.
Akhirnya, Tun Mamat menyedari bahawa dirinya telah terpisah daripada kawankawannya. Beliau berasa tersangat hairan memikirkan kejadian itu.
Tun Mamat bertanya dalam hatinya, "Bagaimanakah aku boleh terpisah daripada
kawan-kawanku?" Namun, apalah dayanya lagi. Tinggallah beliau sendirian di situ.
Beliau sudah tersesat jalan.
Puaslah Tun Mamat cuba melaung untuk memanggil kawan-kawannya. Namun,
usaha itu sia-sia sahaja. Oleh sebab tiada pilihan lain lagi, Tun Mamat lalu berusaha
meneruskan perjalanannya sendirian.
Tanpa disangka-sangka, Tun Mamat tiba di sebuah kawasan taman bunga yang
tersangat indah. Sekelilingnya harum semerbak oleh bau wangi-wangian bunga. Di dalam
taman itu pula terdapat sebuah tempat kediaman yang tersangat ganjil bentuknya.
Tiangnya diperbuat daripada tulang-tulang yang besar. Atapnya pula diperbuat daripada
rambut yang sangat panjang. Timbul juga rasa kecut dalam hati Tun Mamat.
Tun Mamat terkejut kerana berpuluh-puluh orang gadis yang cantik tiba-tiba saja
datang mengelilinginya.
"Tuan hamba ini datang dari mana?" salah seorang gadis itu menegur Tun Mamat.
Tun Mamat segera menjawab, "Hamba ini orang Melaka. Datang ke sini untuk
bertemu dengan Puteri Gunung Ledang."
Seorang nenek kebayan keluar dari tempat kediaman yang ganjil itu. Dia lalu
bertanyakan hajat Tun Mamat. Tun Mamat segera menceritakan tujuan kedatangannya
itu.

"Patik akan tanyakan kepada Tuan Puteri Gunung Ledang, sama ada dia bersetuju atau
tidak menjadi permaisuri Sultan Melaka?" ujar nenek kebayan. Dia segera berjalan
masuk ke dalam tempat kediaman itu semula.
Tidak lama selepas itu, nenek kebayan itu muncul semula. Dia segera memberitahu
Tun Mamat bahawa Puteri Gunung Ledang bersetuju menjadi permaisuri Sultan Melaka,
sekiranya Sultan Melaka dapat memenuhi semua syarat peminangan yang dikehendaki.
"Apakah syarat-syarat peminangan itu?" Tun Mamat ingin tahu.
Nenek kebayan menjelaskan, "Syarat-syaratnya ialah Sultan Melaka hendaklah membina
sebuah jambatan emas dan sebuah jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang ini,
tujuh tempayan berisi emas dan tujuh tempayan berisi perak, tujuh tempayan air pinang
muda dan tujuh tempayan air mata, tujuh dulang hati nyamuk dan tujuh dulang hati
kuman, serta semangkuk darah Sultan Melaka dan semangkuk darah putera Sultan
Melaka."
Terpegunlah Tun Mamat mendengar segala syarat peminangan itu. Sejenak, tiadalah
beliau berkata apa-apa.
Berdasarkan syarat peminangan yang ditetapkan itu, Tun Mamat dapat menduga
bahawa Puteri Gunung Ledang tiada berkenan untuk menjadi permaisuri kepada Sultan
Melaka. Namun untuk terus menolak peminangan itu, mungkin rasa tidak tergamak.
Itulah sebabnya Puteri Gunung Ledang sengaja menetapkan syarat-syarat sedemikian
agar Sultan Mahmud tidak berkecil hati.
Tanpa berlengah lagi, Tun Mamat segera turun ke kaki Gunung Ledang. Laksamana
Hang Tuah dan Datuk Sang Setia masih menunggu di situ. Kawan-kawannya yang hilang
dulu juga sudah berada di situ. Tun Mamat segera menceritakan kisah yang dialaminya
itu kepada Laksamana Hang Tuah.
"Orang Kaya dapat bertemu sendiri dengan Puteri Gunung Ledang itu?" Laksamana
Hang Tuah bertanyakan Tun Mamat.
"Tidak!" jawab Tun Mamat. "Hamba hanya berpeluang bertemu dengan nenek kebayan
sahaja."
"Nenek kebayan itulah sebenarnya Puteri Gunung Ledang. Dia sengaja menyamar
menjadi seorang perempuan tua," ujar Laksamana Hang Tuah.
Termenunglah Tun Mamat sejenak setelah mendengar kata-kata Laksamana Hang
Tuah itu. Tun Mamat sama sekali tidak menduga bahawa beliau rupa-rupanya telah
bertemu dengan Puteri Gunung Ledang itu.

"Kalaulah hamba tahu nenek kebayan itulah sebenarnya Puteri Gunung Ledang,
nescaya hamba akan tangkap dan bawa pulang ke Melaka," kata Tun Mamat dengan rasa
kesal. Laksamana Hang Tuah dan Sang Setia tertawa mendengar kata-kata Tun Mamat
itu.
Mereka segera berangkat pulang ke Melaka.
Tiba di istana Melaka, mereka segera menghadap Sultan Mahmud. Tun Mamat lalu
menyembahkan kepada Sultan Mahmud akan segala peminangan yang telah ditetapkan
oleh Puteri Gunung Ledang.
Terpegunlah Sultan Mahmud mendengar segala syarat peminangan itu. Malah,
sekalian pembesar turut terkejut setelah mendengar kata-kata Tun Mamat itu. Masingmasing tunduk berdiam diri setelah melihat Sultan Mahmud termenung panjang
memikirkan hal itu.
Hanya Laksamana Hang Tuah dan Tun Mamat sekali-sekala saling berpandangan.
Mereka mengetahui tujuan Puteri Gunung Ledang sengaja menetapkan syarat
sedemikian, iaitu menolak secara halus peminangan itu agar tidak mengecilkan hati
Sultan Melaka.
Lamalah Sultan Mahmud berdiam diri, termenung panjang, kerana tidak menyangka
akan demikian rupa-rupanya syarat peminangan yang ditetapkan oleh Puteri Gunung
Ledang itu.
Akhirnya, Sultan Mahmud bertitah kepada sekalian pembesarnya, "Jikalau beta mahu,
nescaya segala syarat peminangan yang ditetapkan oleh Puteri Gunung Ledang itu akan
dapat beta penuhi. Akan tetapi, syarat semangkuk darah putera Sultan Melaka tiadalah
sanggup beta penuhi. Tiadalah sanggup beta mengambil darah daripada putera beta
sendiri, semata-mata untuk berkahwin dengan Puteri Gunung Ledang."
Legalah hati para pembesar setelah mendengar kata-kata Sultan Mahmud itu.
Pada mulanya, mereka menyangka Sultan Mahmud tentu akan sanggup berbuat apa
sahaja untuk mencapai sebarang cita-citanya. Sebarang kehendak Sultan Mahmud, tidak
mungkin dapat digalang. Kini, mereka berasa lega kerana Sultan Mahmud sudah
membuat keputusan sedemikian.
"Wahai Tun Mamat dan Datuk Laksamana Tun Tuah, kita lupakanlah saja tentang Puteri
Gunung Ledang itu. Tidak perlulah dia menjadi permaisuri Melaka. Biarkanlah dia tetap
tinggal di atas puncak Gunung Ledang itu," ujar Sultan Mahmud.

Tun Mamat, Laksamana Hang Tuah, Datuk Sang Setia, dan Datuk Bendahara
tersenyum panjang. Sejak itu, tiadalah lagi Sultan Mahmud menyebut nama Puteri
Gunung Ledang. Malah, baginda melarang orang Melaka pergi ke kaki Gunung Ledang
semasa hayat hidupnya.
Salah sebuah pantun yang pernah diungkapkan oleh Puteri Gunung Ledang dan
dayang-dayangnya tinggal menjadi sebutan orang di sepanjang zaman, sampailah
sekarang :
Dang Nila memangku puan,
Lemak sisik ikan pedada;
Adakah gila bagimu tuan,
Burung terbang dipipiskan lada?
SEKIAN . TERIMA KASIH.

Anda mungkin juga menyukai