Anda di halaman 1dari 2

Sejarah merupakan mata pelajaran teras yang wajib dipelajari oleh semua murid

dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mulai tahun 4 di tahap dua
sekolah rendah. Objektifnya adalah untuk menyemai kefahaman terhadap mata
pelajaran Sejarah sejak sekolah rendah. Ini disebabkan melalui pengetahuan
dan kefahaman terhadap aspek sejarah negaralah yang mampu melahirkan
murid yang berjiwa patriotik. Jadi, melalui kurikulum Sejarah, murid diberi
pendedahan untuk menganalisis dan menilai fakta sejarah secara matang. Jika
sebelum ini, aspek Sejarah hanya diselitkan dalam mata pelajaran Kajian
Tempatan yang diajar pada tahap dua murid sekolah rendah,kini dengan adanya
pengenalan yang berfokus terhadap subjek Sejarah pastinya mampu memupuk
minat terhadap subjek Sejarah sedari sekolah rendah sebelum beralih kepada
Sejarah dengan lebih mendalam di sekolah menengah.

Kurikulum Sejarah sekolah rendah dibina berasaskan enam tunjang KSSR iaitu
Komunikasi, Kerohanian, Sikap dan Nilai, Kemanusiaan, Literasi Sains dan
Teknologi dan Keterampilan Diri. Keenam-enam tunjang tersebut merupakan nilai
yang menyokong antara satu sama lain dan disepadukan oleh kemahiran berfikir
aras tinggi. Melalui kesepaduan kesemua aspek ini, modal insan yang seimbang
dan harmonis, berpengetahuan dan berketerampilan dapat dilahirkan.
Pendekatan yang menarik yang diterapkan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran seperti Pembelajaran Luar Bilik Darjah (PLBD), Pembelajaran
Akses Kendiri (PAK) dan Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam
Pembelajaran (TMK) pastinya akan melahirkan situasi pembelajaran yang
menyeronokkan dan memberi input yang berguna kepada pelajar dalam melatih
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi. Seperti yang dikatakan oleh Menteri Pelajaran
Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kata alu-aluan Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia 2013-2025, dalam usaha kita untuk bersaing dengan
negara-negara termaju di dunia, sistem pendidikan kita perlu berupaya
melahirkan generasi muda yang berpengetahuan dan mampu berfikir secara
kreatif dan kritis.

Tema yang ditekankan dalam kurikulum Sejarah sekolah rendah ialah Tema
Mengenal Negara Kita, Sejarah Negara Kita, Kewarganegaraan dan Cintai Tanah
Air. Melalui tema-tema ini, pelajar tahap dua sekolah rendah dapat memahami
Sejarah berasaskan sikap ingin tahu dan seterusnya menghargai keunikan
negara kita dalam melahirkan warganegara yang patriotik di Malaysia. Konsep
sebab dan akibat yang ditekankan dalam kurikulum Sejarah juga akan
menyatakan kepentingan sejarah dalam kehidupan dan menjadikan masyarakat
Malaysia sebagai satu masyarakat yang mengambil iktibar daripada peristiwa
sejarah negara dalam usaha mengekalkan keharmonian negara kita. Menerusi
konteks Perlembagaan Persekutuan dan kemerdekaan tanah air yang diberi
keutamaan dalam kurikulum Sejarah, semangat cintakan negara akan dapat
diterapkan dalam kalangan generasi muda.

Selain itu, perspektif keunikan tanah air yang ditekankan dalam mata pelajaran
Sejarah akan dapat menilai warisan negara kita seterusnya menerangkan
kehidupan dan kebudayaan masa lalu dan masa kini masyarakat di Malaysia.
Menerusi ini, masyarakat Malaysia akan lebih menghormati masyarakat pelbagai
kaum, di samping mempertahankan identiti dan warisan negara serta
memahami perbezaan kaum, budaya, dan agama dalam memupuk
persefahaman antara kaum di Malaysia. Jika semua nilai ini dapat disemai sejak
sekolah rendah, pastinya Malaysia akan dapat mengekalkan perpaduan yang
menjadi aspek yang penting dalam menjana pembangunan negara. Sebagai
contoh, pengenalan terhadap budaya kaum-kaum di Malaysia dan budaya setiap
negeri di Malaysia tidak kira dari segi pakaian, makanan dan tarian yang
pelbagai dan mempunyai keunikan yang tersendiri akan membantu masyarakat
Malaysia memahami dan menghargai keistimewaan negara kita.

Dalam elemen kedaulatan negara kita pula, murid akan didedahkan dengan
pencapaian negara dari segi ekonomi, sosial dan pencapaian di peringkat
antarabangsa. Menerusi elemen ini, perasaan bangga terhadap pencapaian
negara akan dapat dipupuk. Seterusnya, elemen ini juga akan memberi
pengetahuan kepada murid dalam memahami cabaran negara dalam
mempertahankan kedaulatan negara. Dengan ini, pembinaan jati diri dalam diri
murid akan dapat dibentuk sejak dari zaman sekolah rendah lagi. Lagipun ,
generasi ini jugalah yang akan menerajui kepimpinan negara pada masa akan
datang yang lebih mencabar. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari
rebungnya.

Kesimpulannya, kurikulum Sejarah sekolah rendah merupakan satu bentuk


kurikulum yang dilihat sebagai satu usaha dalam melahirkan warganegara yang
bersatu padu, mempunyai perasaan bangga sebagai rakyat Malaysia,
berpengetahuan dan menghayati dan mengamalkan ciri-ciri warganegara yang
cemerlang. Elemen-elemen yang diterapkan dalam kurikulum ini diharapkan
dapat menjadi wadah dalam menerapkan nilai-nilai yang akan membentuk
kehidupan masyarakat yang lebih patriotik dan mempunyai jati diri. Walaupun
begitu, memandangkan kurikulum Sejarah ini merupakan kurikulum yang baru
ingin dilaksanakan di peringkat sekolah rendah, perhatian yang mendalam
terhadap pelaksanaannya dari setiap aspek perlu diambil berat supaya usaha ini
tidak akan menjadi sekadar melepaskan batuk di tangga. Pendekatan yang
menarik perlulah digunakan oleh guru dan panitia sejarah supaya sesi
pembelajaran akan menjadi lebih berkesan terhadap pelajar.
Posted by kurikulum sejarah at 08:40

Anda mungkin juga menyukai