Anda di halaman 1dari 24

(a)Perpaduan

Perpaduan boleh ditakrifkan sebagai satu proses yang menyatupadukan anggota


masyarakat dan negara seluruhnya melalui ideologi negara supaya tiap-tiap anggota
masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan kebangsaan
dalam kalangan mereka. Perpaduan masyarakat merupakan antara aspek yang penting
dalam membentuk perpaduan negara. Malaysia kini dihuni oleh beberapa kaum dan etnik
yang bersifat majmuk yang membawa kepada wujudnya jurang perpisahan .
Pada zaman pemerintahan British di negara ini, mereka mengamalkan dasar pecah dan
perintah terutama membiarkan penduduk negara ini mengamalkan kegiatan ekonomi masingmasing mengikut komposisinya. Orang Melayu dibiarkan berada di kampung yang terlibat
dalam bidang pertanian dan penanaman padi serta menangkap ikan manakala tenaga buruh
di ladang diambil dari negara India dan di kawasan lombong bijih timah tenaga imigran dari
China diambil. Kesannya jurang perpaduan mula timbul disebabkan kegiatan ekonomi yang
diusahakan di samping tempat tinggal yang berbeza . Keadaan ini mengurangkan
kebarangkalian penduduk Melayu , Cina dan India bersama-sama dalam satu lokaliti.Kesan
jangka panjang keadaan ini ialah wujudnya jurang pemisahan antara kaum.
Bersama-sama dengan kedatangan imigran ini ialah sistem pendidikan mereka yang
dibawa ke negara ini. Orang Cina dan India memiliki sistem sekolah vernakular sendiri yang
membawa masuk guru, buku dan sukatan pelajaran dari negara mereka. Kesannya di negara
ini telah wujud satu sistem pendidikan yang di dalamnya terdapat sekolah aliran agama ,
Inggeris, Cina , Tamil dan aliran Melayu. Kesan langsung wujudnya sistem pendidikan zaman
British ini menyebabkan terhalangnya proses asimilasi yang boleh memungkinkan pergaulan
kaum dapat dilakukan dengan sempurna.
Penaklukan Jepun di Tanah Melayu pada Perang Dunia Kedua iaitu pada 1941-1945
juga tak kurang mendatangkan kesan yang hebat ke atas hubungan integrasi kaum di negara
ini. Pihak Jepun pula mengamalkan dasar anti-Cina dan pro-Melayu yang ternyata
mengeruhkan lagi keadaan semasa dengan menyebabkan timbulnya perasaan benci dan
prasangka buruk masyarakat Cina terhadap orang Melayu. Orang Cina bertindak mengambil
kesempatan utuk membalas dendam dengan menganggotai Bintang Tiga atau lebih dikenali
sebagai Parti Komunis Malaya (PKM) dalam tempoh masa Jepun menyerah kalah dan
sebelum kedatangan kembali pihak British. Ketika inilah berlakunya keganasan 14 hari seperti
membunuh, menculik, membakar masjid dan bangunan sebagai cara membalas dendam .
Keadaan ini menyebabkan berlakunya persengketaan kaum antara orang Melayu dan orang
Cina. Lebih memburukkan lagi keadaan adalah apabila kebanyakan orang Cina terlibat dalam
pergerakan PKM manakala orang Melayu kebanyakannya merupakan anggota pasukan
keselamatan ketika zaman darurat pada 1948-1960.
Semasa kempen Pilihan Raya 1969, calon-calon pilihan raya serta ahli-ahli politik dari
kalangan parti pembangkang, telah membangkitkan soal-soal Bangsa Malaysia berkaitan
dengan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu), kedudukan istimewa orang Melayu sebagai
(Bumiputera) dan hak kerakyatan orang bukan Melayu. Hal ini telah memberi kesempatan
kepada ahli-ahli politik yang ingin mendapatkan faedah dalam pilihanraya.

Pada pilihanraya umum 1969 Parti Perikatan yang dianggotai oleh (UMNO-MCA-MIC)
telah gagal memperolehi majoriti 2/3 diparlimen, walaupun masih berjaya membentuk kerajaan
persekutuan. Hal ini disifatkan oleh parti pembangkang sebagai satu kemenangan yang besar
buat mereka. Jumlah kerusi yang dimenanginya dalam Dewan Rakyat (Parlimen) telah
menurun daripada 89 kerusi pada tahun 1964 kepada 66 kerusi pada tahun 1969.Parti
Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Progresif
Rakyat (PPP) menang 25 buah kerusi dalam Dewan Rakyat manakala PAS menang 12 kerusi.
Pihak pembangkang yang memperoleh pencapaian gemilang dalam pilihanraya telah
meraikan kemenangan mereka pada 11 Mei 1969. Perarakan tersebut sebenarnya tidak
bermotif untuk menimbulkan isu perkauman. Malah terdapat segelintir pengikut perarakan
telah mengeluarkan slogan-slogan sensitif berkenaan isu perkauman semasa mengadakan
perarakan di jalan-jalan raya di sekitar Kuala Lumpur. Perarakan turut dijalankan pada 12 Mei
1969 di mana kaum Cina berarak menerusi kawasan Melayu, melontar penghinaan sehingga
mendorong kepada kejadian tersebut. Pihak pembangkang yang sebahagian besar darinya
kaum Cina dari Democratic Action Party dan Gerakan yang menang, mendapatkan permit polis
bagi perarakan kemenangan melalui jalan yang ditetapkan di Kuala Lumpur. Bagaimanapun
perarakan melencong dari laluan yang ditetapkan dan melalui kawasan Melayu Kampung
Baru, menyorak penduduk di situ. Sesetengah penunjuk perasaan membawa penyapu,
kemudiannya dikatakan sebagai simbol menyapu keluar orang Melayu dari Kuala Lumpur,
sementara yang lain meneriak slogan mengenai tengelamnya kapal Perikatan . Orang Melayu
memandang perisitiwa ini sebagai kaduk naik junjung. Natijahnya berlaku kemarahan yang
meluap-luap dalam kalangan orang Melayu sehingga menumpahkan darah .Maka berlakulah
kejadian yang dinamakan Tragedi 13 Mei 1969. Kepanasan isu ini cepat menular sehingga ke
seluruh negara dalam masa yang begitu singkat sahaja.
Perpaduan negara ini juga diuji dengan pelbagai isu berkaitan dengan agama dan soal
hak kerakyatan dan beberapa isu sensitif lain yang mampu menjejaskan perpaduan kaum di
negara ini . Ianya dibawa dan dimainkan oleh beberapa badan bukan kerajaan yang cuba
mendapatkan nama dalam usaha mendapatkan sokongan berterusan sehingga ke tarikh
pilihanraya akan datang. Jika dibiarkan begitu sahaja tanpa diselesaikan atau dirungkai terlebih
awal hal ini mampu merobek perpaduan kaum sedia ada pada masa sekarang.
(b) Kepentingan perpaduan kaum
Perpaduan dalam kalangan pelbagai etnik di negara kita haruslah dikekalkan untuk
menjamin keselamatan negara agar kemerdekaan yang kita kecapi sekarang ini berkekalan
.Hal ini adalah untuk mengelakkan berulangnya perkara yang tidak diingini seperti rusuhan
kaum pada 13 mei 1969 yang telah berlaku di negara kita. Kesan daripada rusuhan ini kita
dapat lihat betapa ramai masyarakat negara kita yang mati dalam peristiwa berdarah ini. Oleh
itu, perpaduan penting agar kejadian yang sama tidak akan berulang. Dalam nada yang sama
kita akan dapat mengekalkan kestabilan politik jika kejadian rusuhan kaum ini dapat dielakkan
oleh semua anggota masyarakat yang memiliki semangat nasionalisme dan patriotik yang
tinggi.
Selain itu, keharmonian ini juga mestilah dikekalkan untuk melahirkan perasaan cintakan
tanah air dan sanggup berkorban untuk negara kita. Perpaduan dalam kalangan etnik di
negara ini juga akan dapat mengukuhkan lagi keselamatan negara daripada ancaman luar
dan dalam negara. Warganegara yang memiliki semangat nasionalisme akan melahirkan

kekuatan dalam mempertahankan negara ini daripada campurtangan kuasa luar seterusnya
memelihara kedaulatan negara ini dan mengekalkan kemerdekaan negara ini seterusnya.
Perpaduan negara yang jitu juga dapat membina sebuah masyarakat yang saling
menghormati antara satu sama lain disebabkan faktor rasa bersama dan kekitaan yang lahir
dalam jiwa seluruh anggota masyarakat. Sifat dengki dan khianat akan terlebur begitu sahaja
jika semua anggota masyarakat memiliki sifat saling menghormati yang dipupuk sejak kita kecil
lagi.
(c) Faktor yang menyumbang kepada pengukuhan perpaduan kaum
Peristiwa 13 Mei telah menjadi catatan sejarah yang suram di negara ini. Hal ini
demikian kerana peristiwa ini memperlihatkan bahawa hubungan kaum akan menjadi rapuh
jika ada tindakan luar batasan dilakukan dan tindakan mencegah tidak dilakukan dengan
secukupnya. Peristiwa berdarah ini menjadi iktibar bahawa perpaduan kaum boleh menjadi
bom jangka yang boleh meletup pada bila-bila masa memandangkan terdapat sebahagian
anggota masyarakat yang gemar menjaja isu sensitif bagi meraih sokongan politik mudah
untuk bangsa mereka. Selepas kejadian ini lahir kesedaran untuk menyatupadukan kaum di
negara ini dengan terbentuknya Rukun Negara yang menjadi satu identiti bagi semua anggota
masyarakat. Dalam masa yang sama kekurangan orang Melayu dalam bidang ekonomi cuba
diselesaikan dengan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru yang dilancarkan pada 1970.
Rentetan peristiwa tersebut juga telah terbentuknya MAGERAN pada 17 Mei 1969 yang
berfungsi sebagai pengembali keamanan dan undang-undang negara; penentu pentadbiran
yang licin dan sempurna; dan pengembali keharmonian dan kepercayaan antara kaum.
MAGERAN didapati berjaya mengembalikan keamanan kepada negara selepas dua tahun
ditubuhkan. Seterusnya, pada tahun 1969 juga, Jabatan Perpaduan Negara(JPN) dan Majlis
Muhibah Negara(MMN) telah dibentuk. JPN yang diketuai Tan Sri Mohd Ghazali Shafie telah
ditubuhkan untuk membantu kerajaan menggerakkan dan membimbing rakyat ke arah
perpaduan negara. MMN pula ditubuhkan pada 18 Julai 1969 bertujuan memulihkan
kepercayaan dan keyakinan antara kaum, mengkaji dan mengatasi masalah untuk
menghapuskan perselisihan faham, membantu dan menyusun kerja-kerja sukarela. MMN dan
JPN telah digabungkan pada 1Januari 1972 menjadi Kementerian Perpaduan Negara yang kini
bergelar Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat yang ditugaskan
untuk mengendalikan aktiviti-aktiviti bercorak muhibah untuk masyarakat yang berbilang kaum.
Penubuhan parti politik di negara kita sebenarnya bermula pada 1940 apabila kesedaran
politik mula melonjak hasil pengenalan Malayan Union oleh Inggeris di negara ini. Penubuhan
UMNO , MCA dan MIC pada awalnya bermaksud untuk membela masyarakat atau kaum
masing-masing dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Perpaduan kaum mula dibentuk
apabila Parti Perikatan mula ditubuhkan hasil gabungan UMNO,MCA dan MIC yang
merapatkan hubungan antara orang Melayu, Cina dan India dalam bidang politik dalam usaha
memuju kerjasama kaum ke arah mencapai kemerdekaan. Proses ini dilakkukan mulai 1948
hinggalah 1956 . Dapat dilihat pada masa ini kesedaran pentingnya perpaduan kaum dibentuk
bagi menjamin keadaan negara yang aman dan damai dengan penduduknya dapat
bekerjasama antara satu sama lain.
Kerajaan telah merangka Dasar Pendidikan Kebangsaan sebagai landasan mewujudkan
masyarakat yang bersatu padu. Penyata Razak dan Ordinan Pelajaran yang telah termaktub

sebelum merdeka telah disemak semula menghasilkan Laporan Rahman Talib dan seterusnya
dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961 merupakan antara usaha awal kerajaan dalam sektor
Pendidikan. Matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan diharapkan dapat memenuhi keperluan
tenaga rakyat negara ini dalam jangka pendek dan panjang demi melahirkan masyarakat yang
bersatu padu, berdisiplin dan terlatih. Antara strategi yang dirancang untuk mencapai matlamat
Dasar Pendidikan Kebangsaan ialah menjadikan Bahasa Kebangsaan bahasa pengantar yang
utama, mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis
sekolah,
mewujudkan
sistem
peperiksaan
yang
sama
dan
sebagainya.
(d) Cabaran untuk mengekalkan perpaduan kaum
Cabaran kepentingan etnik dari aspek politik iaitu politik perkauman boleh menimbulkan
perasaan kurang senang hati dan mengukuhkan semangat perkauman jika sesuatu tindakan
diambil tanpa mendapat kata sepakat oleh semua pihak. Isu-isu perkauman seperti bahasa,
kebudayaan, pendidikan, agama, kerakyatan, dan ekonomi jika dipergunakan untuk tujuan
berpolitik, pastinya, ia tidak akan menyumbang ke arah masyarakat yang bersatu padu.Ianya
ditambah lagi dengan usaha parti tertentu yang mengemukakan ideologi Malaysian Malaysia
bagi mendapatkan hak yang sama rata dalam kalangan penduduk di negara ini.Sekali
pandang ianya merupakan suatu isu yang kecil tetapi sebenarnya isu ini berlawanan dengan
kontrak sosial yang dibuat sebelum negara ini mencapai kemerdekaan.
Sejak zaman penjajahan lagi, masalah integrasi telah wujud terutamanya semasa
penjajahan British. Mereka menjalankan dasar divide and rule iatu dasar pecah dan perintah
agar dapat memerintah dan mengeksploitasi ekonomi negara. Dasar ini jugalah yang
memisahkan kaum-kaum utama negara ini mengikut bidang ekonomi yang dijalankan.
Masyarakat melayu mengendalikan pertanian dan ditempatkan di kawasan luar Bandar iaitu di
kampong-kampung. Masyarakat Cina ditempatkan dilombong-lombong bijih timah dan bandarbandar kerana aktiviti perlombongan dan perdagangan yang dijalankan mereka. Manakala
masyarakat India pula ditempatkan di lading-ladang getah. Perubahan fungsi ini telah
menyebabkan ketiga-tiga kaum ini terpisah dan hubungan semakin terhada dan menjadi
bertambah renggang.
Cabaran dari segi ekonomi yang paling nyata ialah perbezaan dari segi pekerjaan di
mana perbezaan ini diwujudkan oleh pihak British melalui pecah dan perintah sepertimana
dinyatakan sebelum ini. Masalah ini telah mewujudkan perasaan curiga dan telah mewujudkan
jurang ekonomi antara kaum-kaum terbabit. Akibat daripada dasar yang dicipta oleh British itu,
kesannya masih lagi dapat dilihat sampailah sekarang di mana sektor perniagaan masih lagi
didominasi oleh orang Cina dan kebanyakkan orang India masih lagi tinggal di lading-ladang.
Perbezaan pekerjaan ini telah membataskan interaksi sosial antara mereka kerana masa
banyak diluangkan ditempat kerja dan sekiranya rakan sekerja terdiri daripada kaum atau etnik
yang sama maka interaksi dan komunikasi hanya berlaku dan berada dalam lingkungan kaum
yang sama sahaja. Kesannya adalah di mana perasaan prasangka dan perkauman akan
menjadi semakin kuat dan menebal di antara sesama kaum terbabit.
Sistem persekolahan yang wujud di negara ini, pada dasarnya berpandukan sistem
Barat yang diperkenalkan oleh pentadbiran British mulai abad ke 19, Pelajaran Cina telah
memberi kesedaran kebangaaan pemuda pemuda Cina. Sekolah Cina bukan hanya
menggunakah bahasa Cina sebagai bahasa pengantar, gurunya datang dari negara China,
buku teks diimport dari negara China dan berkiblatkan China. Sekolah Tamil pula

menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar yang tunggal. Kebanyakan sekolah
Tamil terletak di kawasan ladang dan sebahagian besarnya dibiayai oleh syarikat-syarikat yang
memiliki ladang-ladang berkenaan. Kerajaan sebelum merdeka menganggap sekolah Inggeris
sebagai sistem persekolahan yang unggul. Kelulusan sekolah Inggeris terdedah kepada
pemikiran Barat. Perbezaan di antara sekolah Inggeris dengan sekolah-sekolah lain bukan dari
segi bahasa pengantar sahaja, sukatan pelajaran juga tidak sama dan sekolah Inggeris juga
memberi kesan kepada perpecahan yang berlaku di dalam masyarakat. Jelas sekali, sistem
persekolahan sebelum merdeka memainkan peranan penting mengekalkan keperibadian satusatu golongan etnik dan, di samping itu, mewujudkan dua golongan terdidik berpelajaran
Inggeris dan berpelajaran vernakular yang tidak mempunyai pandangan dunia (world view)
yang sama. Pihak Inggeris tidak memberatkan objektif perpaduan dalam sistem pelajarannya.
Tidak ada satu dasar pendidikan kebangsaan sepertimana yang kita lihat hari ini. Yang penting
bagi mereka ialah memberi pelajaran kepada segolongan rakyat untuk membolehkan
sebahagian mereka memenuhi keperluan tenaga dan ekonomi.
Penyalahgunaan media sosial telah mula menular sejak akhir-akhir ini. Media sosial
seperti web dan blog serta face book menyebabkan timbulnya kerenggangan kaum kerana
banyak menimbulkan isu sensitif . Beberapa laman web yang bebas bergerak telah
memperkatakan begitu banyak isu bersifat sensiti di samping menaburkan fitnah serta berita
palsu menyebabkan wujudnya keresahan dalam masyarakat di negara ini. Beberapa
kenyataan bersifat rasis dan berunsur perkauman begitu berleluasa pada masa sekarang.
Keadaan ini pula tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa kerana pertindihan tugas dan
bidang kuasa antara badan penguatkuasa dan badan pengawal komunikasi. Penyebaran
berita palsu dan tohmahan juga menjadi punca perbalahan dan persengketaan terhadap
anggota masyarakat di negara ini. Isu kalimah Allah dalam bible yang diterbitkan dalam
Bahasa Melayu contohnya menyebabkan berlaku pertentangan pendapat dalam kalangan
rakyat di negara ini. Ianya bakal menyebabkan wujudnya rasa benci dan dendam dalam
masyarakat yang mampu mengguggat keamanan negara.
Campurtangan kuasa luar juga boleh menlunturkan perpaduan di negara ini.Beberapa
individu yang dikenalpasti sedang berusaha mendapatkan kerjasama daripada Amerika
Syarikat dan Australia dalam usaha mendapatkan sokongan dan dokongan terhadap
permasalahan yang mereka hadapi. Kehadiran beberapa pemimpin dari luar ini boleh dianggap
cuba mencampuri urusan negara ini kerana cuba mempertikaikan isu hubungan sesama jenis
dan hak golongan lesbian, gay dan transgender di negara ini.Segelintir anggota masyarakat
juga mengaitkan isu di atas sebagai isu hak asasi manusia di negara ini. Dengan menjadikan
isu ini sebagai isu hak asasi maka ianya mendapat sokongan sebahagian daripada anggota
masyarakat.
(e) Langkah-langkah untuk mengekal dan memantapkan perpaduan kaum di Malaysia
Beberapa kempen dan program yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan mampu
mengekal dan memantapkan perpaduan kaum di negara ini. Pelan Tindakan Perpaduan &
Integrasi Nasional telah dirancang oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. Ia
merupakan rancangan lima tahun iaitu dari 2005-2010 yang merancang pelbagai usaha untuk
memupuk dan mempertingkatkan perpaduan dan integrasi nasional. Pelan ini mengandungi
pelbagai strategi yang dirancang dari pelabagai aspek seperti strategi politik, ekonomi,
pendidikan, penggunaan Bahasa Kebangsaan, Agama, Kebudayaan, Integrasi Wilayah,

Keselamatan, Pembangunan Kawasan, Penggunaan Tenaga Manusia, Media Massa,


Kesukanan, Pemasyarakatan Perpaduan, Pertubuhan Sukarela, Penyelidikan Dan Penerbitan
Bahan Bacaan, Pemantauan Isu-isu Semasa dan Konflik, Penubuhan Panel Penasihat
Perpaduan Negara (PANEL) dan Jawatankuasa Penasihat Perpaduan Peringkat Negeri
(JKPPN), program dan aktiviti perpaduan, Sekolah Wawasan dan Program Latihan Khidmat
Negara. Kesemua program, pelan dan aktiviti yang dirancang telah dijalankan dengan
bertujuan supaya masyarakat dapat melibatkan diri dan memupuk hubungan etnik yang erat
antara rakyat di negara ini.
Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan program
Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) sejak tahun 1986. Program ini pada
awalnya telah dilaksanakan di peringkat sekolah rendah dan kini diperluaskan ke semua
sekolah rendah dan menengah pada tahun 2005. KPM memandang berat akan pentingnya
dijalin hubungan yang rapat antara murid pelbagai kaum di sekolah supaya wujud
kesefahaman dan perpaduan antara mereka. Dengan adanya persefahaman dan berbaik
sangka maka akan timbul suasana hormat-menghormati terhadap agama, budaya dan adapt
resam sesuatu kaum dengan kaum yang lain. KPM menyediakan peluang kepada murid
pelbagai kaum untuk bergaul mesra secara sedar dan terancang. Proses perpaduan ini dapat
dipupuk dan dibina agar semangat tersebut dapat diamalkan dalam masyarakat. Usaha ini
dijana semula kea rah merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia hidup
bersatu padu dan harmoni.Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah lawatan sambil belajar,
kursus motivasi, kem perpaduan , sambutan hari perayaan , pameran kebudyaan dan
persembahan pentas.
Sekiranya isu ini diperinci secara mendalam, kerajaan telah mewajibkan remaja yang
berumur 17 tahun ke atas menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Modul
kenegaraan PLKN sememangnya bertujuan untuk melahirkan semangat perpaduan dalam
sanubari remaja daripada masyarakat majmuk yang merupakan bakal pemimpin negara.
Selaras dengan modul kenegaraan, para remaja berbilang kaum berpeluang untuk
bekerjasama bagai aur dengan tebing dan seterusnya perpaduan dapat disemai melalui
aktiviti-aktiviti berkumpulan yang dilaksanakan dalam PLKN. Sesungguhnya, tidak dapat
disangkal bahawa PLKN turut memainkan peranan dominan dalam iltizam membentuk
perpaduan kaum.
Perpaduan kaum juga dapat dipupuk melalui aktiviti kemasyarakatan yang memerlukan
setiap kaum mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Cara ini dapat
memupuk semangat kerjasama dan saling membantu antara satu sama lain dengan
menghapuskan sikap mementingkan diri yang tertanam di dalam jiwa masyarakat kini. Namun,
sikap negative masyarakat terutamanya masyarakat yang duduk di bandar yang hanya bekerja
tidak tentu masa dan melakukan kerja sendiri menyebabkan usaha memupuk semangat
perpaduan sukar untuk diterapkan. Aktiviti memperteguh jalinan kemesraan harus dijalinkan
seperti aktiviti gotong royong yang memerlukan sumbangan setiap pihak untuk menjayakan
aktiviti tersebut supaya perpaduan secara maksimum dapat dilahirkan. Pendek kata, aktiviti
kemasyarakatan dapat menjadi wadah yang terbaik bagi memupuk semangat perpaduan yang
perlu ada dalam diri setiap rakyat seiring dengan hasrat negara untuk mewujudkan masyarakat
yang bersatu padu walaupun berlainan bangsa mahupun agama.

Satu daripada cara mencapai perpaduan di antara kaum ialah menjaga budi bahasa
serta akhlak dalam pergaulan. Perbezaan agama serta kepercayaan tidak mengurangkan
kepentingan pemupukan budi bahasa. Adat istiadat adalah peraturan yang sentiasa dlpatuhi
dan diamalkan dalam masyarakat Malaysia terutamanya pada hari perayaan. Adat istiadat ini
mencirikan Kebudayaan Kebangsaan. Antara hari-hari perayaan yang sama-sama dihormati
ialah Hari Kebangsaan Malaysia pada 31 Ogos, Hari Deepavali, Tahun Baru Cina, Hari Raya,
Sambutan Maulud Nabi Muhammad s.a.w,
Slogan 1Malaysia atau 'Satu Malaysia' adalah satu gagasan peribadi yang diperkenalkan
oleh Perdana Menteri Malaysia keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2 April 2009. Intipati
gagasan ini idea satu bangsa tanpa mengira kepelbagaian etnik, sub-etnik dan kebudayaan.
Semua pihak mestilah bersama-sama menjayakannya. Pelaksanaannya bukan dibuat
semalaman tetapi secara evolusi.Ia adalah ramuan serta formula pentadbiran dalam proses
negara menuju Wawasan 2020 serta menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang
diperjuangkan perdana menteri keempat dan kelima iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun
Abdullah Ahmad Badawi.
Aspek utama ialah sikap saling hormat menghormati dan bersikap menerima di antara
satu sama lain.Masyarakat majmuk di Malaysia perlu disatukan melalui '1Malaysia'. Hubungan
kaum dipereratkan bagi jangka masa panjang. Prinsip utama yang mendasari 1Malaysia
adalah kebersamaan dan kekitaan dalam satu keluarga besar. Oleh yang demikian slogan ini
sudah tentu menjadi satu pemangkin kepada perpaduan rakyat di negara ini.
Cara paling penting untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia
ialah melalui penggunaan bahasa kebangsaan. Penggunaan satu bahasa perhubungan dan
persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain dapat diwujudkan tanpa menimbulkan
rasa curiga. Langkah ini mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa hormoni antara kaum di
negara ini.

Contoh Karangan Kepentingan Perpaduan Kaum di Malaysia


1 Malaysia, slogan yang telah diperkasa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Abdul Razak membawa seribu erti kepada negara. Pengalaman Malaysia mengekalkan
formula perpaduan antara kaum dan amalan tolak ansur agama selama ini pastinya dapat
diperkukuhkan dengan laungan slogan 1 Malaysia. Sensitiviti pihak kerajaan yang sentiasa
berusaha menyuburkan semangat perpaduan dalam masyarakat heterogen perlu diberi pujian.
Bagaimanakah perpaduan kaum menatijahkan impak positif kepada negara? Tuntasnya, tepuk
dada tanya selera.
Secara dominan, kepentingan mengamalkan perpaduan kaum dalam kalangan
masyarakat ialah dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni. Keharmonian sesebuah
negara pastinya sentiasa disokong oleh kestabilan politik yang jelasnya akan membuka ruang
untuk masyarakat dan pemimpin bersatu tenaga dan idea bagi memajukan negara. Hal ini
pastinya mampu mewujudkan sebuah entiti masyarakat yang mementingkan kerjasama bak
kata pepatah ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni serta secara tidak langsung dapat
mengikis sikap individualistik. Tamsilnya, organisasi masyarakat yang berbeza latar belakang,
agama dan adat resam mampu duduk semeja berjuang mempertahankan keharmonian negara
daripada dicabuli pihak tertentu. Hal ini pastinya, dapat mengeratkan perpaduan kaum di
negara kita dan negara bertambah gah di persada dunia.
Nama negara juga akan disanjungi dan meningkatkan imej negara di mata dunia.
Malaysia pastinya akan menjadi role model kepada negara-negara di pentas dunia,
seterusnya akan dapat meningkatkan imej negara. Di negara lain, perpaduan berkemungkinan
berada pada tahap yang amat rendah jika dibandingkan dengan negara kita yang mempunyai
masyarakat yang bersatu padu. Contohnya pada 31 Oktober 2006, dilaporkan bahawa mantan
Timbalan Perdana Menteri Britain mempelajari pengalaman Malaysia mengekalkan formula
perpaduan. Oleh hal yang demikian, sebagai rakyat yang cinta akan watan, kita perlu
melaksanakan langkah-langkah proaktif bagi mengekalkan perpaduan antara kaum kerana
bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Selain itu dapat memajukan ekonomi negara dan seterusnya ekonomi Malaysia pasti
bertambah mantap apabila perpaduan kaum dapat dikekalkan. Sektor ekonomi Malaysia yang
mantap dan masih mampu bertahan jika dibandingkan dengan negara serantau yang
berhempas pulas menghadapi kepincangan ekonomi. Seterusnya pelabur asing tidak bimbang
untuk melabur di Malaysia kerana keadaan negara kita yang aman dan damai, sekali gus
dapat menjana ekonomi supaya terus berkembang. Sebagai contohnya rakyat yang bersatu
padu akan berusaha mengerah keringat bagi memastikan negara terus maju dan
menggembeleng tenaga memulihkan ekonomi negara. Oleh itu, rakyat Malaysia amat
diharapkan agar asas perpaduan yang telah lama bertapak mampu diperkukuhkan dan
diperkasakan lagi.
Di samping itu, kepentingan mengamalkan perpaduan kaum dalam masyarakat juga
dapat menarik kedatangan pelancong ke Malaysia. Sudah terang lagi bersuluh, salah satu
sumber ekonomi negara adalah dalam sektor pelancongan yang dapat menjana ekonomi negara.
Asas perpaduan yang kukuh dan kebudayaan yang unik di samping kepelbagaian adat resam yang
membentuk identiti sesebuah masyarakat dapat memikat hati pelancong untuk berkunjung.
Sebagai tamsilnya, pelancong amat tertarik dengan kepelbagaian kaum di negara kita iaitu
terdiri daripada tiga kaum yang terbesar iaitu Melayu, Cina dan India yang dapat menonjolkan
imej negara. Hal ini, seterusnya mampu menarik kedatangan pelancong dan dapat menjana
ekonomi Malaysia secara tidak langsung.

Konklusinya, terdapat pelbagai kepentingan mengamalkan perpaduan kaum dalam


kalangan masyarakat di negara ini. Rakyat Malaysia amat diseru agar mempertahankan
maruah bangsa hingga ke titisan darah yang terakhir dan memakmurkan bumi Malaysia
melalui perpaduan. Ingatlah, Keranamu Malaysia, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Oleh itu, semua pihak perlu menggembeleng tenaga bagi memurnikan dan mengekalkan
perpaduan antara kaum.

Kepentingan Perpaduan Kaum


Malaysia merupakan sebuah negara berdaulat yang didokong oleh gabungan
masyarakat pelbagai kaum. Keunikan masyarakat 1 Malaysia ialah sikap saling bertolak-ansur
yang diamalkan sejak laungan merdeka mewarnai bumi bertuah ini. Ironinya, simpulan
perpaduan itu mula goyah apabila terdapat campur tangan anasir-anasir jahat yang
mempunyai agenda sulit. Maka, masyarakat Malaysia perlu segera celik akan kepentingan
perpaduan kaum dan berusaha membenihkan semula semangat bersatu teguh bercerai
roboh agar terus bercambah serta menjadi pegangan hidup.
Tidak dapat disangkal bahawa masyarakat yang harmoni merupakan kesan perpaduan
kaum yang utuh. Penerimaan adat dan budaya kaum lain merupakan elemen penting dalam
menjana perpaduan. Amalan ini mencetuskan rasa saling menghormati dan sudah pasti setiap
kaum akan mengelakkan sebarang insiden yang boleh mengguris hati kaum yang lain.
Percampuran budaya yang tercetus hasil perkahwinan campur juga menjadi bonus ke arah
perpaduan antara kaum, sekaligus melahirkan masyarakat yang harmoni di Malaysia. Sudah
terang lagi bersuluh bahawa perpaduan kaum yang teguh akan melahirkan masyarakat yang
harmoni.
Seterusnya, keharmonian yang tercetus hasil daripada ikatan perpaduan yang erat
mampu memajukan ekonomi negara. Hal ini boleh dijelaskan melalui peningkatan jumlah
pelabur asing yang berminat untuk menjana perniagaan mereka di Malaysia kerana
persekitaran perniagaan yang aman pasti mendatangkan keuntungan yang maksimum kepada
mereka. Jika jumlah pelaburan asing tinggi di Malaysia, peluang pekerjaan untuk rakyat
Malaysia akan terbuka luas. Secara tidak langsung, bukan sahaja ekonomi negara meningkat
secara global tetapi ekonomi rakyat juga akan semakin rancak disebabkan peluang-peluang
yang menjelma. Hal ini cukup membuktikan bahawa perpaduan kaum mampu meningkatkan
ekonomi negara.
Perpaduan kaum yang utuh juga memangkin kehidupan yang berkualiti sehingga
menjadikan negara kita duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara lain. Imej
sebagai sebuah negara berbilang kaum yang sentiasa berpaksikan perpaduan sentiasa
menjadi buah mulut negara luar. Banyak negara yang kagum akan dasar-dasar kerajaan
yang berjaya mentransformasikan negara ke arah negara maju tanpa meminggirkan nilai-nilai
kemanusiaan terutamanya semangat perpaduan antara kaum. Pengiktirafan Malaysia sebagai
penanda aras dalam memacu hubungan rakyat yang mesra merupakan satu tanda
penghargaan negara luar terhadap keistimewaan acuan kemajuan negara kita sendiri.
Jelaslah bahawa perpaduan kaum menjadikan imej negara kita menarik pada pandangan
masyarakat dunia.
Selain itu, asimilasi pelbagai budaya rakyat Malaysia diterima sebagai satu budaya unik
di bawah satu bumbung. Hal ini menjadi satu elemen menarik yang menggamit minat
pelancong asing untuk datang bertandang dan menyaksikan sendiri kehebatan bangsa 1
Malaysia. Rakyat Malaysia yang sudah terdedah dengan konsep berkompromi selagi tidak
mencuit isu sensitif berkaitan agama merupakan rakyat yang ramah dan mesra serta mudah
menerima kedatangan rakyat asing ke dalam kelompok peribadi mereka. Jadi, tidak hairanlah
jika rakyat Malaysia yang bersatu padu sedia memberikan layanan kelas pertama kepada
pelancong yang datang untuk mengalami keunikan Malaysia.

Kesimpulannya, hidup berlandaskan konsep bagai aur dengan tebing tanpa mengira
kaum patut menjadi pegangan setiap warga Malaysia. Usah biarkan sejarah 13 Mei 1969 yang
berpunca daripada perbalahan kaum melakar dakwatnya untuk kali kedua kerana kesan
negatifnya sangat memeritkan. Bersama-samalah kita rakyat Malaysia berjuang demi
melahirkan bangsa Malaysia jenama baru yang sentiasa ikhlas bersatu.

Usaha-usaha mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia.


Isu perpaduan kaum merupakan satu usaha berterusan yang perlu dipikul dan dijunjung
bersama-sama oleh semua pihak. Sekiranya terlerai ikatan silaturahim dan musnah perpaduan
dalam masyarakat, nescaya pelbagai impak negatif akan menimpa masyarakat khususnya dan
negara amnya. Oleh sebab itu, pelbagai usaha perlu diambil bagi memupuk dan membaja agar
perpaduan terus subur dan mewangi dalam kehidupan masyarakat sekali gus mengelakkan
peristiwa hitam 13 Mei 1969 daripada berulang kembali.
Antara usaha yang boleh dilakukan dalam untuk mewujudkan perpaduan dalam
kalangan masyarakat adalah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong. Aktiviti gotongroyong merupakan saluran dan peluang kepada masyarakat di sesuatu kawasan perumahan
untuk bertemu dan mengenali antara satu sama lain. Di samping itu, aktiviti ini dapat memupuk
semangat bekerjasama untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat
kediaman mereka sesuai dengan slogan Negara Bersih Rakyat Sihat. Sebagai contoh, aktiviti
gotong-royong yang boleh dijalankan ialah kerja-kerja membersihkan kawasan perumahan,
taman permainan, tanah perkuburan dan sebagainya. Seterusnya, aktiviti gotong-royong dapat
meringankan serta memudahkan kerja yang sukar dilakukan ibarat kata peribahasa yang berat
sama dipikul, yang ringan sama dijinjing serta ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni.
Selain itu itu, perpaduan kaum di Malaysia boleh dicapai dengan meraikan sambutan
perayaan kaum-kaum di Malaysia secara bersama-sama. Melalui amalan kunjung-mengunjung
yang dilakukan akan dapat mengeratkan ikatan silaturahim antara jiran serta rakan daripada
pelbagai kaum. Sebagai contohnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali,
Hari Gawai dan Hari Krismas merupakan perayaan utama yang boleh diraikan oleh seluruh
masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Melalui kunjungan sambutan perayaan
sesuatu kaum dapat menerbitkan perasaan hormat-menghormati terhadap adat dan
kepercayaan kaum lain. Di samping itu, budaya ini dapat mengukuhkan perpaduan apabila
kurangnya syak wasangka antara kaum di Malaysia. Sekiranya perkara ini dapat dipraktikkan
nescaya masyarakat Malaysia akan mampu menghadapi apa-apa sahaja cabaran yang datang
dari luar atau masyarakat antarabangsa, ibarat kata peribahasa bulat air kerana pembetung,
bulat manusia kerana muafakat serta bersatu kita teguh, bercerai kita roboh

Seterusnya, aktiviti sukan dan permainan yang dijalankan juga boleh mewujudkan
perpaduan kaum di Malaysia. Sukan dan permainan yang dijalankan dapat dijadikan tali
penghubung atau gelanggang pertemuan pelbagai kaum di Malaysia. Dalam hal ini, satu
perkara yang perlu diselesaikan adalah dengan memecahkan monopoli sukan dan permainan
yang dikuasai oleh sesuatu kaum sahaja seperti permaian bola keranjang, ping pong, sepak
takraw dan sebagainya. Kita berharap pada suatu masa nanti pasukan bola keranjang negara
misalnya, mampu diwakili pelbagai kaum di Malaysia dan bukan sahaja dimonopoli oleh kaum
Cina sahaja. Dalam konteks ini, sukan bola sepak, badminton, hoki dapat dijadikan contoh dan
teladan. Dengan bermain bersama-sama dalam sesuatu sukan dan permainan serta
seterusnya

mewakili

pasukan

kebangsaan

di

peringkat

antarabangsa,

akan

dapat

menanamkan semangat cinta akan negara. Usaha ini tentu dapat mengharumkan nama
negara sekali gus meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa.
Sebagaimana yang semua telah ketahui tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh
keramat kemerdekaan negara. Sambutan Hari Kebangsaan sesungguhnya membuka satu lagi
jalan dalam usaha memupuk perpaduan di Malaysia. Pada kebiasaannya, pelbagai kaum akan
menyertai upacara sambutan tersebut pada setiap tahun. Melalui pelbagai aktiviti yang
dijalankan nescaya dapat menambahkan ukhwah dan permuafakatan antara masyarakat
pelbagai kaum di Malaysia. Di samping itu, penghayatan tema sambutan Hari Kebangsaan,
misalnya Keranamu Malaysia diharap dapat menanam semangat cinta akan negara sekali gus
mengukuhkan amalan peribahasa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Sesungguhnya,
semua kaum di Malaysia perlu memahami bahawa kemerdekaan yang digapai pada hari ini
perlu dijaga kerana Malaysia hanya satu, dan tiadak ada duanya. Peribahasa hujan emas di
negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baiklah di negeri sendiri perlu direnungi oleh setiap
warganegara Malaysia agar perpaduan bukanlah menjadi duri dalam daging dalam usaha
negara mencapai Wawasan 2020.
Intihanya, semua pihak perlu sedar akan pentingnya memupuk dan menjaga perpaduan
masyarakat di negara kita. Sesungguhnya, sekali kita leka dan lali serta memandang enteng
akan perpaduan kaum, nescaya kita akan menyesal untuk selama-lamanya kerana terlajak
perahu boleh diundur, terlajak kata dan tindakan buruk padahnya. Kini, kita berada dalam era
globalisasi dan liberalisasi. Pelbagai usaha dijalankan adalah demi menuju ke arah membentuk
sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu. Walaupun terdapat beberapa cabaran, tetapi

dengan adanya perancangan yang teliti, usaha yang gigih dan strategi yang lebih berkesan
dan dilaksanakan pula dengan penuh tanggungjawab dan bersifat proaktif oleh semua pihak
sudah pasti keharmonian, perpaduan kaum dan integrasi nasional akan tercapai.

Perpaduan Asas Pembangunan Negara

Sirih berlipat sirih pinang,


Sirih dari Seri Indah;
Pemanis kata selamat datang,
Salam sejahtera pembuka madah.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, yang arif lagi bijaksana para hakim yang budiman, yang
dikasihi guru-guru yang tidak jemu mendidik anak bangsa serta rakan-rakan seperjuangan
sekalian.Salam sejahtera saya tujukan.
Berdirinya saya dengan penuh hormat dan bangga di dewan yang serba indah ini adalah untuk
menyampaikan pidato yang bertajuk Perpaduan Asas Pembangunan Negara.
Sidang hadirin sekalian,
Perpaduan bermaksud bekerjasama ataupun saling membantu. Pembangunan pula
bermaksud segala pembaharuan dan kemajuan yang membawa kepada taraf hidup yang lebih
baik. Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa amalan bersatu padu dalam kalangan rakyat
merupakan dasar kepada kemajuan sesebuah negara seiring dengan gelombang modenisasi.
Para pemimpin negara kita saban hari dan setiap ketika menyeru rakyat Malaysia membentuk
benteng pertahanan yang teguh menentang anasir-anasir luar. Hubungan dan kerjasama yang
erat akan memastikan negara Malaysia terus maju dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.
Sekiranya perkara ini tidak diberi perhatian, harapan dan aspirasi pemimpin kita pada masa
lalu akan menjadi angan-angan Mat Jenin sahaja. Perjuangan Tunku Abdul Rahman, Tun Tan
Cheng Lock dan Tun Sambathan akan sia-sia sahaja. Justeru, sebagai seorang rakyat
Malaysia yang mempunyai jati diri yang tinggi dan berhati waja, kita haruslah menghargai
kemerdekaan yang telah diperoleh ini dan berusaha mengukuhkan lagi semangat perpaduan
dalam jiwa kita demi pembangunan negara.
Sidang hadirin yang dihormati,
Lihatlah keadaan kini di Bangkok, Thailand. Rakyat negara jiran kita tidak berjaya
menyelesaikan masalah yang dihadapi secara diplomasi dan sebagai akibatnya demonstrasi,
pergaduhan, keganasan dan lain-lain berlaku pada setiap hari.Perkara yang menyedihkan
ialah banyak nyawa yang tidak berdosa melayang begitu sahaja.Lihatlah juga keganasan yang
berlaku di Madura, Indonesia pada beberapa ketika yang lalu. Penduduk di situ diseksa dan
diperkosa untuk orang-orang yang mereka kenali. Pembangunan yang wujud sebelum
tercetusnya huru-hara dan kemaslahatan di kedua-dua lokasi ini tidak memberi sebarang erti
lagi akibat tidak mempunyai modus operandi yang berkesan serta tidak wujud perpaduan yang
mantap dalam kalangan rakyat yang berlainan agama, bangsa, budaya, kepercayaan dan
pandangan.
Para hadirin yang dimuliakan,

Negara kita kini telah berjaya mencapai tahap yang tinggi dan dihormati di mata dunia.
Kecermelangan negara kita dalam pelbagai bidang walaupun mempunyai rakyat yang
berbilang bangsa menyebabkan negara lain cemburu dengan pencapaian negara kita. Malah,
negara Malaysia telah dijadikan negara contoh oleh negara-negara dunia ketiga. Biarlah
mereka cemburu melihat pencapaian nusa kita yang sememangnya merupakan berkat amalan
nilai bantu-membantu dan nilai toleransi. Pepatah Melayu ada mengatakan bulat air kerana
pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Para hadirin yang dikasihi,
Konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri kita, Dato Seri Najib Tun
Razak pada bulan Mac 2009 merupakan usaha beliau untuk menyatupadukan rakyat Malaysia
di bawah satu slogan yang akan menjadi
identiti rakyat negara ini. Hasrat Perdana Menteri kita untuk mewujudkan satu bangsa Malaysia
sekiranya mendapat sokongan padu semua lapisan masyarakat negara ini. Mengikut beliau,
segelintir masyarakat perlu membuat anjakan paradigma daripada masyarakat yang
terkongkong dengan pemikiran yang dangkal, cetek dan pesimistik kepada masyarakat yang
mempunyai mentaliti kelas pertama. Dengan semangat Satu Malaysia, Wawsan 2020, aspirasi
rakyat Malaysia pasti akan dapat direalisasikan.
Sedang hadirin sekalian,
Sebelum saya mengundurkan diri saya dari pentas serba cantik ini, saya berharap agar nilai
perpaduan dan patriotisme akan disemai dan dibajai dalam diri anak-anak muda. Jangan biar
titik hitam 13 Mei 1969 berulang semula dalam sejarah negara kita supaya negara dapat terus
berkembang dan maju mengikut acuan kita sendiri. Akhir kata,
Bersatu teguh bercerai roboh,
Bermuafakat bertambah berkat,
Bersatu bertambah mutu;
Ala bisa tegal biasa,
Berbahasa kita berbangsa.

LOH CHOOI SHAWN


5 sains
Sek. Men. Keb. Seri Indah,
2010
Perpaduan Asas Kecemerlangan Negara

Berikut adalah teks syarahan pemenang pertandingan syarahan Bahasa Malaysia sekolah
saya.
Yang mulia Tuan Pengerusi majlis, barisan panel hakim yang adil lagi bijaksana, guru-guru dan
murid-murid yang dihormati sekalian. Salam sejahtera saya ucapkan. Pada pagi yang mulia ini,
izinkan saya menyampaikan sebuah syarahan bertajuk Perpaduan Asas Kecemerlangan
Negara.
Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai rakyat pelbagai kaum, agama,
kebudayaan serta mengamalkan cara hidup yang berbeza. Oleh itu, perpaduan negara
merupakan matlamat yang amat penting dalam setiap dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan,
sama ada dalam bidang ekonomi, sosial mahupun politik.
Perpaduan amatlah penting dalam pembangunan dan pentadbiran negara kerana ia
merupakan asas untuk mengekal dan mempertahankan kebebasannya sebagai sebuah
negara yang merdeka dan berdaulat.
Saudara-saudari yang dihormati sekalian,
Menerusi perpaduan yang kukuh, tahap pencapaian ekonomi negara dapat dipertingkatkan
supaya taraf hidup rakyat akan bertambah maju di samping mewujudkan suasana politik yang
stabil.
Perpaduan yang kukuh dan kuat merupakan pemangkin kepada kecemerlangan negara.
Dengan wujudnya perpaduan dan negara yang aman damai, kita mampu mencapai kejayaan
dalam pelbagai bidang. Kejayaan yang dicapai membolehkan kita menjadi bangsa yang
bermaruah dan berdikari.
Saudara-saudari yang dihormati,
Sekiranya perpaduan rakyat rapuh dan lemah, negara akan terdedah kepada pelbagai
ancaman dan masalah. Rakyat yang berpecah-belah dan tidak bersatu-padu akan
menyebabkan huru-hara, rusuhan, pergaduhan kaum dan sebagainya. Keadaan ini pasti akan
menjejaskan kedaulatan, ekonomi serta kestabilan negara.
Kita harus belajar dari peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang pernah melanda negara ini
agar pisang tidak berbuah dua kali. Perpaduan rakyat negara ini telah tergugat akibat peristiwa
pahit itu.
Sebagai langkah untuk menyatu-padukan rakyat negara ini, kerajaan telah melancarkan Rukun
Negara pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun ke-13 kemerdekaan negara.
Prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara merupakan kunci untuk memelihara
serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum negara ini.
Rakyat negara ini harus berusaha untuk membentuk satu bangsa yang bersatu padu, setia dan
cinta akan negara.

Saudara-saudari yang dihormati sekalian,


Perpaduan Asas Kecemerlangan Negara
Sebagai warganegara Malaysia yang tercinta, kita harus menjadikan perpaduan rakyat sebagai
teras dan landasan hidup bermasyarakat di negara ini.
Negara ini adalah tanggungjawab kita. Perpaduan negara ini adalah tanggungjawab kita
bersama. Kecemerlangan dan kejayaan negara pasti menjadi kemegahan kita semua. Maka
itu, kita harus sentiasa bersatu-padu dan hidup dalam berharmoni.
Akhir kata, izinkan saya mengakhiri syarahan saya dengan pantun berikut.
Tasik Chini dipenuhi bunga,
Ada cerita terdapat naga;
Negara diancam huru-hara,
Perpaduan dengan Rukun Negara.
Sungai Pahang berjela-jela,
Naik rakit merentas desa;
Demi rakyat negara tercinta,
Perpaduan tonggak 1 Malaysia.
Sekian. Terima kasih.

Bersatu teguh bercerai roboh perlu menjadi pegangan hidup masyarakat Malaysia.
Peribahasa bersatu teguh bercerai roboh bermaksud kepentingan bekerjasama dan perpaduan
dalam sesebuah negara itu. Konsep ini begitu penting kerana keutuhan negara banyak
ditentukan oleh rakyat yang mempunyai kesepaduan yang sebenarnya. Negara yang
mempunyai rakyat yang tidak bersatu pasti akan menerima impak negatifnya terutama dengan
keadaan ekonomi dan politik dunia yang begitu berkaitan hubungannya. Jelaslah, peribahasa
ini mempunyai banyak kepentingan untuk dihayati oleh masyarakat kita.
Kehidupan masyarakat kita yang berbilang kaum memerlukan pengamalan peribahasa
ini kerana satu tindakan yang tidak bijak mampu menjejaskan keamanan yang dihayati selama
ini. Mereka perlu berpegang pada prinsip peribahasa ini untuk membina kekuatan negara kita
semula. Masyarakat yang berbilang yang wujud di negara ini menyebabkan perasaan
perpaduan itu begitu mudah dikikis jika kita tidak berhati-hati dalam melakukan sesuatu
tindakan yang mungkin boleh menjatuhkan air muka kaum yang lain. Maka, peribahasa ini
mengingatkan kita betapa pentingnya perpaduan itu.
Selain itu, konsep perpaduan yang diutarakan dalam peribahasa ini juga penting dalam
suasana politik negara. Perpaduan diperlukan dalam politik kerana politik boleh membela nasib
rakyat negara ini. Perpecahan yang wujud dalam sistem politik atau pentadbiran negara boleh
menggugat keamanan negara pada jangka masa panjang.Tanpa perpaduan yang utuh tiadalah
sistem politik yang kukuh untuk memastikan nasib rakyat di negara ini terus terbela.
Pada masa yang sama, makna perpaduan juga penting untuk memudahkan
pembangunan dilaksanakan di negara ini. Semua aktiviti pembangunan yang dirancang
bertujuan untuk menjadikan negara ini lebih makmur dan maju. Sebarang tindakan negatif atau
jahat boleh menjejaskan pembangunan yang kemudiannya menjadikan taraf kehidupan rakyat
menurun secara mendadak. Keadaan ini jika berterusan akan menjadikan rakyat di negara ini
hidup dalam satu suasana yang begitu menyedihkan seperti keadaan negara asing yang kita
sering tonton di televisyen pula.
Malahan, peribahasa ini turut mencanangkan maksud perpaduan rakyat dalam bentuk
penyatuan kebudayaan. Kita sedia maklum budaya negara ini berbilang yang memerlukan satu
integrasi untuk menjadikan semua kebudayaan kita itu satu kebudayaan Malaysia yang
sebenarnya. Amalan bekerjasama atau perpaduan yang dihayati oleh rakyat negara ini
membolehkan semua kebudayaan yang berbeza itu diserapkan secara tabii menjadi satu
kebudayaan kebangsaan yang boleh menjadi kebanggaan semua rakyat negara ini.
Kesimpulannya, peribahasa ini banyak membawa peringatan kepada kita semua akan
peri pentingnya perpaduan atau semangat bekerjasama itu. Sikap menuding jari terhadap
mana-mana pihak apabila mengalami sesuatu masalah bukanlah satu tindakan yang sesuai di
negara ini. Kita harus sedar bahawa amalan bagai aur dengan tebing amat penting
dipraktikkan di negara ini.

Bersatu Teguh Bercerai Roboh seterusnya menjadi amalan berguna untuk menentukan
kejayaan sesebuah negara.
Huraikan pandangan anda terhadap pernyataan di atas.
Bersatu Teguh Bercerai Roboh merupakan satu cogan kata yang dalam maknanya
untuk diamalkan oleh manusia sejagat demi mencapai kesejahteraan hidup. Cogan kata ini
menggesa seluruh masyarakat bersatu dan berganding bahu dalam melakukan sesuatu
pekerjaan atau menyelesaikan sesuatu masalah supaya mereka dapat hidup dalam suasana
yang sejahtera, utuh, dan harmoni. Sebaliknya, jika kita bercerai-cerai, berpecah-belah, dan
mementingkan diri sendiri, kita akan mengalami huru-hara dan kehancuran.
Dalam konteks negara Malaysia yang terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum, kita
haruslah menghayati peribahasa ini dengan hidup bersatu padu tanpa mengira bangsa,
agama, dan adat resam. Untuk mencapai kemajuan nagara, masyarakat harus hidup dalam
suasana aman dan damai.
Semangat bersatu padu boleh disemai dan dipupuk di kalangan jiran tetangga melalui
semangat kejiranan, khususnya di kawasan bandar yang semangat kejiranannya dikatakan
semakin luntur. Kita yang tinggal di kawasan bandar sering berjauhan dengan keluarga dan
kaum kerabat. Jadi, jiranlah yang menjadi saudara mara kita yang terdekat. Melalui hubungan
sedemikian, masalah-masalah sosial seperti kecurian dan rompakan dapat dikurangkan. Jiran
sepakat membawa berkat juga dapat diperhatikan melalui suasana kemesraan, tolongmenolong, dan saling menjaga kebajikan sesama mereka.
Semangat gotong-royong, iaitu dengan melakukan kerja secara beramai-ramai juga
akan mempererat hubungan sosial antara anggota masyarakat dan seterusnya dapat
melahirkan perasaan kekitaan dan kesedaran kebangsaan. Selain itu, dengan adanya aktiviti
bergotong-royong, masa, tenaga, dan perbelanjaan individu, masyarakat, dan negara dapat
dijimatkan. Ini juga bermakna, sesuatu kerja berat akan menjadi ringan apabila dilakukan
bersama, bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Dalam bidang pentadbiran, sama ada di sektor swasta atau di sektor kerajaan,
semangat bersatu di kalangan pekerjanya juga harus dipupuk. Sekiranya semangat ini
diabaikan, maka sesebuah organisasi itu tidak akan maju. Hal ini terjadi kerana tidak ada
kerjasama antara semua pihak untuk memajukan organisasi tersebut. Jika hanya pihak
tertentu sahaja yang bekerja bertungkus lumus, sedangkan pihak yang lain tidak memberi
komitmen, maka kejayaan cemerlang tidak akan tercapai. Oleh yang demikian, semangat
seperti aur dengan tebing perlu dijadikan panduan demi meningkatkan produktiviti sesebuah
organisasi.
Di peringkat nasional, memang tidak dinafikan lagi tentang kepentingan semangat
bersatu itu. Misi dan visi yang dirancangkan oleh kerajaan untuk memajukan negara bukan
setakat memerlukan kerjasama semua rakyat, malahan kerajaan dan rakyat harus bersatu dan
berganding bahu untuk menjayakannya. Usaha-usaha kerajaan untuk meningkatkan
kesejahteraan hidup masyarakat tidak akan menjadi realiti, sekiranya tidak ada tindak balas
positif daripada rakyat keseluruhannya. Jika segelintir sahaja yang menyahutnya, maka
kempen-kempen dan program-program kerajaan seperti inflasi sifar, cintai alam sekitar, budaya
membaca, dan lain-lain akan gagal.

Tambahan pula, negara sekarang sedang mengalami masalah ekonomi. Oleh sebab itu
rakyat harus bersama-sama membantu memulihkan keadaan supaya tidak bertambah teruk.
Rakyat dan kerajaan tidak boleh mementingkan diri sendiri kerana masalah yang melanda
negara dirasai bersama-sama.
Oleh yang demikian, dapatlah kita katakan bahawa pepatah Bersatu teguh bercerai
roboh amat penting untuk dijadikan teras dalam mencapai kejayaan. Jika masyarakat
berpecah-belah dan bercerai-berai, sudah pasti berbagai-bagai masalah negara akan timbul
seperti kes jenayah, pengangguran, kemiskinan, rusuhan kaum, dan lain-lain. Sesungguhnya
keadaan sosial yang tidak stabil akan membantut usaha kerajaan untuk memajukan negara.
Oleh itu, marilah kita beramal dan berpegang teguh dengan peribahasa Bersatu teguh
bercerai roboh demi kebahagiaan kita semua.

ISU SUKAN : SUKAN ALAT PERPADUAN DI MALAYSIA


Rencana ini ditulis oleh : Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian Pusat Pengajian Sains
Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
Seringkali ketika berlangsungnya temasya sukan yang besar, masing-masing sanggup
bersengkang mata untuk menonton dan memberikan sokongan walaupun di depan televisyen
ataupun di pelbagai lokasi strategik seperti kedai makan. Baik sukan bola sepak Piala Dunia
ataupun bola sepak liga Inggeris, Sepanyol dan Itali; lumba kereta F1, dan bola keranjang;
penyokongnya bukan sekadar di stadium atau litar perlawanan tetapi juga ditonton merata
dunia. Ini menunjukkan setiap sukan ada penyokong dan peminatnya. Sukan Olimpik juga
tidak terkecuali lebih-lebih lagi apabila jaguh sukan negara turut bertanding. Sorakan demi
sorakan diberikan atas nama wakil negara tercinta, Malaysia. Bergegarnya ruang di luar
kadang-kadang lebih meriah dari dalam stadium apatah lagi ia diadakan di London sudah pasti
turut menjadi keterbatasan sokongan yang mahu diberikan.
Sekiranya ia diadakan di Malaysia, saya percaya stadium akan dipenuhi untuk
memberikan sokongan kepada Datuk Lee Chong Wei ataupun Khairul Anuar mahupun Mohd.
Azizulhasni Awang serta Pandelela Rinong, Noraseela Mohd. Khalid, Nur Suryani Mohd. Taibi
dan Peng Kean Yu. Malaysia diwakili oleh 30 atlet dalam sembilan acara sukan di London
2012. Sukan tidak pernah mengira latar belakang agama, keturunan, kepercayaan dan
batasan yang boleh menghalang interaksi antara pemain, penyokong, pengurusan dan massa.
Zaman bola sepak negara tahun 1980-an pasti tidak akan lupa kepada Allahyarham Mokhtar
Dahari, Hassan Sani, V Arumugam, Soh Chin Aun, James Wong, Torai Raju, Wan Jamak, V
Gunalan, Zainal Abidin dan Khalid Ali.
Walaupun tidak dinafikan sukan juga menjadi ancaman provokasi perkauman
sebagaimana yang berlaku dalam liga bola sepak luar negara, namun seringkali kita melihat
sukan akan menjadi alat perpaduan dalam kalangan masyarakat umum walaupun mempunyai
pelbagai perbezaan termasuk fahaman politik masing-masing. Ketika Perang Dunia Kedua,
sukan menjadi alat untuk mengetepikan perbezaan masing-masing dan tempat penyatuan
negara-bangsa yang boleh bersama walaupun mempunyai latar belakang pemerintahan dan
struktur tadbir-urus berbeza. Sukan diakui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
bahawa ia merupakan medium perpaduan negara dan ia dekat dengan diri beliau yang gemar
sukan bola sepak. Najib pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan pada 1986 sehingga 1990
yang juga melihat perkembangan pesat dalam proses membangun dan meningkatkan tahap
aktiviti dan penyertaan sukan dalam kalangan masyarakat.
Dasar Sukan Negara yang menjadi asas memurnikan dan memakmurkan dunia sukan
terbentuk sewaktu Najib memimpin Kementerian Belia dan Sukan. Beliau juga menjadi
'penggerak' dalam mengkaji semula fungsi Majlis Sukan Negara untuk melahirkan atlet
bermutu dan berkualiti. Beberapa insentif dan skim diperkenalkan termasuklah untuk jurulatih,
atlet dan staf sebagaimana menyediakan biasiswa sukan dalam dan luar negara. Ini tidak
ketinggalan program di peringkat sekolah seperti program Kem Bakat dan Tunas Cemerlang
untuk mengenal pasti kebolehan bersukan dari peringkat awal lagi. Penglibatan Najib dalam
sukan bersifat menyeluruh. Di samping mengutamakan dasar dan pembentukan agenda
pembangunan sukan, Malaysia juga berjaya dari penganjuran sukan di bawah kepimpinan
beliau. Ini termasuklah Sukan Malaysia (Sukma) yang diperkenalkan olehnya dan kini menjadi
temasya sukan terbesar dalam negara. Sukma XV baru-baru ini diadakan di Pahang
bertemakan 'Sukan Menjana Perpaduan'.
Begitu juga dengan kejayaan menganjur Sukan SEA 1989 yang melihat Malaysia
memenangi pingat emas terbesar (69 pingat emas) untuk sukan itu; yang juga merupakan
pencapaian terbaik yang pernah diduduki oleh Malaysia di arena antarabangsa. Di samping itu,

dalam sukan badminton, Malaysia melayakkan diri dalam perlawanan akhir Piala Thomas 1988
dan 1990; sejarah yang masih terpahat dalam pencapaian secara keseluruhan aktiviti sukan
negara. Sumbangan Najib diiktiraf di dalam negara apabila menerima Anugerah Emas
Kepimpinan SAM-Benson & Hedges 1983 sebagai menghargai sumbangan dalam dunia
sukan. Najib juga pernah dianugerahkan Ijazah Kehormat Sains Sukan dari Akademi Sukan
Amerika Syarikat kerana kewibawaan serta usaha berterusan untuk meningkatkan tahap
pembangunan sukan tempatan dan antarabangsa sepanjang mentadbir Kementerian Belia dan
Sukan.
Peranan kepimpinan arus perdana amat penting dalam menerokai alam sukan sebagai
alat perpaduan di samping nilai komersial lain. Yang nyata, sokongan berterusan ke atas sukan
akan membolehkan kepelbagaian negara turut menjadi tumpuan. Ia boleh dibangunkan
sebagai satu industri yang membawa pulangan besar kepada negara dalam jangka panjang
terutama dalam sektor pelancongan dan pelaburan. Pemikiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr.
Mahathir Mohamad melangkaui zaman dengan memperkenalkan litar kereta F1 di Malaysia,
menjadi penganjur lumba basikal Tour de Langkawi, mengelilingi dunia dengan kapal layar, dan
pendakian Gunung Everest; menyemarakkan semangat 'Malaysia Boleh'. Imej negara terpapar
di seluruh dunia dan kesemua ini hanya dapat dilakukan jika negara terus kekal stabil,
masyarakatnya tidak terhakis semangat jati diri dan berjiwa Malaysia.
Perpaduan dalam negara yang rencam menjadi indikator penting agar sukan tidak
menjadi alat politik tetapi menjadi alat 'penghubung' keseluruhan warganya. Sukan sebagai
alat perpaduan harus diketengahkan dengan lebih tersusun di pelbagai ruangan termasuk
sekolah dan kawasan penempatan. Pencapaian di kesemua peringkat yakni kampung, daerah,
negeri dan nasional serta antarabangsa mesti diperluaskan supaya Malaysia akan menjadi gah
sebagaimana Jepun dan Korea Selatan yang satu ketika dahulu di belakang Malaysia. Mutu
pencapaian di peringkat antarabangsa banyak bergantung kepada organisasi dan bukan
semata-mata atlet yang terlibat.
Apa gunanya atlet memiliki keupayaan dan kecergasan tetapi permusuhan dalam
organisasi menyebabkan atlet hilang motivasi dan keazaman. Keistimewaan seseorang dalam
sukan jangan disekat hanya kerana kepentingan diri ke atas kedudukan dalam organisasi.
Maka, perpaduan bukan sekadar dalam kalangan masyarakat; tetapi juga segenap lapisan
stratifikasi kepimpinan dan organisasi sukan agar perpaduan tidak dikompromi tetapi dijadikan
sebagai benteng pembinaan jati diri menyeluruh. Ini kerana sukan merupakan antara
mekanisme penting dalam melentur semangat 'kekitaan'. Misalnya, anugerah Kalung
Perpaduan kepada Kelab Sukan Sportsunite oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi
Nasional (JPNIN) menunjukkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan tahap penerimaan ke
atas konsep Satu Malaysia.
Yang penting adalah usaha menganjurkan karnival sukan termasuklah badminton, hoki,
futsal, bola sepak, boling, bola jaring, ping pong, taekwando, bola keranjang dan kabadi.
Perpaduan sebegini boleh diperpanjangkan ke dalam kehidupan harian kita. Dalam
membangunkan prestasi sukan, ia sekali gus juga dapat memaparkan usaha memupuk
penerimaan ke atas kepelbagaian sukan yang wujud dari masyarakat pelbagai etnik. Sukan
mampu memecah tradisi dominasi oleh sesuatu etnik terutama dengan penampilan
'kemajmukan' bukan sahaja dari segi penyertaan tetapi lebih dari itu, menghargai dan mencipta
'semangat satu negara, satu Matlamat'.
Sukan mempunyai nilai murni yang boleh melahirkan generasi cergas, sihat bukan
sahaja dari segi fizikal dan rohani tetapi keupayaan mengukuhkan kesejahteraan pelbagai
masyarakat dalam memastikan perpaduan terus utuh juga mampu menjadi sebahagian dari
proses meraikan kepelbagaian kelompok etnik yang ada di negara ini. Sukan adalah 'penjana'

dalam mempertahankan keharmonian, kemuafakatan dan perpaduan dalam kalangan


masyarakat negara ini di bawah prinsip 1Malaysia. Apabila Chong Wei melangkah masuk ke
gelanggang badminton pertandingan akhir sukan Olimpik, apakah yang mahu kita lihat;
bukankah kejayaan memenangi pingat emas pertama dalam sejarah penyertaan Malaysia di
Sukan Olimpik?
Sokongan padu dan harapan setiap warga Malaysia pasti akan dihargai oleh beliau
kerana Chong Wei bukan sekadar mewakili dirinya tetapi beliau juga menjunjung semangat jati
diri 28 juta populasi Malaysia. Beliau dan atlet lain adalah milik Malaysia sebagaimana kita
mempunyai tanggungjawab mempertahankan apa sahaja yang boleh mengancam
keselamatan negara, biarlah 'yang ringan sama dijunjung, yang berat sama dipikul' kerana kita
rakyat Malaysia. Ia boleh dimanfaatkan secara berterusan melalui sukan.

Anda mungkin juga menyukai