Anda di halaman 1dari 14

Jendela Menghadap Jalan

Nama: Tan Tze Jin

Kelas: 4SA2

No. Sekolah: D2243

Sinopsis

Bab 1

Lili terpaksa menghabiskan cuti penggal terakhir sekolah menengahnya di kampung kelahiran
ibunya, Kampung Sentosa yang terletak di Dungun, Terengganu. Lili tidak gembira dengan
keputusan ibunya tersebut. Namun begitu, demi menjaga hati ibu, Lili memendamkan kesedihannya
malah berpura-pura bahawa dia tidak sabar-sabar untuk pulang ke kampung.

Bab 2

Sebelum bertolak, ibu memesan Lili tentang perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dibuat
apabila di kampung. Dalam perjalanan Lili ke kampung dengan bas ekspres, dia bertemu dengan
seorang gadis India, Geetha yang berusia 19 tahun. Mereka berbual tentang masa depan dan cita-cita
masing-masing sepanjang perjalanan mereka.

Bab 3

Geetha turun di Pekan Sejahtera dan kemudiannya Lili pun sampai ke destinasinya, iaitu Pekan
Sentosa. Seorang pemuda Cina telah memulangkan buku Lili yang tercicir kepadanya dan
menyatakan bahawa dia juga menetap di Kampung Sentosa. Setelah menolak ajakan pemuda
tersebut untuk menumpang, Lili pun bergegas menaiki van Abang Rashid lalu menuju ke kampung.

Bab 4

Lili amat menyukai pemandangan persekitaran hutan yang indah nian. Dia turut berasa kaget tatkala
mendapati hampir semua jendela rumah-rumah di kampung menghadap jalan. Lili berjumpa dengan
nenek yang dirinduinya di sawah. Nenek menolak pemberian wang kiriman ibu Lili. Selain itu,
nenek memberitahu Lili bahawa datuk telah ke surau gara-gara orang kampung ingin memasang
kubah di bumbung surau usang tersebut. Lili bertanyakan nenek tentang sebab memasang kubah
tetapi tidak terjawab.

Bab 5

Lili mengemukakan persoalannya tentang kepentingan susunan rumah dan jendela yang menghadap
jalan kepada datuk. Datuknya pun berkisah tetapi bukan menjawab kemusykilan Lili. Datuk
menceritakan kegunaan akar-akar kayu yang lebih mujarab daripada ubat-ubatan moden serta kaedah
perubatan tradisional. Nenek menempelak datuk yang asyik mengagungkan kelebihan rawatan
tradisionalnya. Datuk tidak puas diejek lalu meminta Lili melihatnya merawat seorang pesakit yang
menghidap strok, darah tinggi dan kencing manis pada keesokan hari.

Bab 6

Nenek menyuruh Lili menutup jendela kerana cahaya kilat semasa hujan lebat. Seterusnya, nenek
meminta Lili membantunya mencari bekas kemenyan buatan India yang dihadiahkan oleh pesakit
datuk. Menurut nenek, kepercayaan para pesakit terhadap datuk barangkali akan terjejas jika
pemberian mereka tidak dihargai. Nenek mengajak Lili ke kedai runcit Letchumi selepas hujan
berhenti. Setelah dua jam mencari, bekas kemenyan tersebut akhirnya Berjaya ditemukan.

Bab 7

Apabila menziarahi kedai Letchumi, nenek memperkenalkan cucunya, Lili kepada wanita yang
berbadan gempal itu. Tanpa diduga, Lili bertembung dengan Geetha yang rupa-rupanya anak
perempuan Letchumi. Mereka berdua pun mula berlabun di ruang dapur. Geetha memberitahu Lili
bahawa ibunya merupakan pelanggan setia herba buatan datuk Lili malah menggalakkan Lili
mempelajari ilmu perubatan tradisional daripada datuk.

Bab 8

Datuk menguji Lili tentang hal keagamaan. Kemudian, Lili menjamah buah-buahan di tangga dan
didampingi oleh dua ekor kucing. Tindakan Lili menolak kucing-kucing dengan kaki itu ditegah oleh
nenek. Peristiwa dicakar kucing pada zaman kanak-kanak tetap memomokkan Lili sehingga kini. Pak
Sahak dan dua orang lelaki bertandang ke rumah untuk menjemput datuk ke surau disebabkan
kekecohan yang berlaku. Datuk merungut sambil memarahi abang Danel, Sugi Oogway yang bukan
sahaja berhenti menggunakan cara rawatan tradisional malah menghantar pemaju perumahan untuk
mengambil alih tanah mereka.

Bab 9

Lili terkejut dengan kehadiran tetamu setelah bersarapan, iaitu William Ng dan anak bongsunya
Danel. Selepas berkenalan, Danel memberitahu Lili bahawa isu kubah yang menjadi buah mulut
seluruh kampung adalah kerana tiada muafakat antara penduduk. Di samping itu, Danel juga
menyatakan tujuannya untuk menghentikan rawatan tradisional ayahnya dengan menjelaskan
keberkesanan ubat moden kepada datuk. Walau bagaimanapun, datuk masih teguh dengan
pendiriannya bahawa kaedah tradisional lebih efektif daripada yang moden.

Bab 10

Lili diberitahu nenek tentang kesungguhan datuk sebagai seorang pengamal perubatan tradisional
yang terkenal. Namun, disebabkan peralihan zaman, pesakit-pesakitnya meninggalkan datuk satu
demi satu dan ibu Lili turut berpindah ke bandar. Kini, datuk pasti berasa kecewa dan marah akan
keputusan William menghentikan rawatan tradisional. Sekali lagi Lili bertanya kepada datuk tentang
sebab jendela menghadap jalan tetapi diubah topik perbincangan oleh datuk. Datuk meluahkan
ketidakpuasannya terhadap tindakan kedua-dua orang anak William Ng yang tidak mengambil kira
perasaan orang tua.

Bab 11

Tasbih datuk telah hilang. Akibatnya, datuk amat resah. Katanya, dia baru terasa penat selepas hidup
selama lebih tujuh puluh tahun. Apabila nenek membawakan kopi yang diminta yang datuk, Lili
meminta diri untuk beredar tetapi dihalang oleh datuk. Datuk menyuruh Lili untuk menceritakan
perihal ibunya kepada datuk nenek. Datuk turut mengisahkan kisah silam mengenai zaman kanak-

kanak ibunya yang tidak didengari Lili. Bagi Lili, mungkin ibu menghantarnya ke kampung untuk
mencari apa-apa yang ditinggalkan dahulu semula.

Bab 12

Penduduk kampung masih bertelingkah atas isu kubah. Nenek memberitahu Lili bahawa
pembangunan boleh dibawa masuk ke tanah kampung ini hanya selepas 100 ratus. Nenek
mempercayai khabar karut bahawa kampung mereka telah disumpah dan dihantui. Ketika Lili sedang
menunggu nenek di bendang, ternampaknya sekumpulan lelaki yang tergesa-gesa ke sesuatu arah.
Salah seorang daripada mereke mengepit seekor ayam jantan manakala satu lagi mengepit seekor
ayam betina. Rashid muncul dan menghantar Lili pulang kerana keadaan kampung tidak setenang
dahulu lagi. Setiba di rumah datuk, terdapat dua buah kereta nasional di halaman dan lima orang
tetamu.

Bab 13

Setelah lima orang tetamu tersebut beredar, Lili menolong nenek membasuh pinggan mangkuk dan
menyediakan makan malam. Nenek menyatakan bahawa sekali lagi datuk kehilangan pesakitpesakitnya yang bertukar kepada rawatan moden. Datuk mengalami tamparan dan berputus untuk
mengerjakan kebun dan menangkap ikan. Lili mahu melawat Geetha tetapi hanya diizinkan dengan
bertemankan Abang Rashid. Hasrat Lili tidak tercapai dan demi menebusnya, Rashid membawa Lili
mengunjungi pasar malam. Rashid berjanji akan menghantarnya ke rumah Geetha pada keesokan
pagi.

Bab 14

Lili melawat Geetha yang demam akibat belum mampu mengadaptasikan diri dengan perbezaan
cuaca di pekan. Lili mempelawa Geetha untuk tinggal di rumah neneknya supaya Geetha tidak
berasa bosan. Dua orang gadis tersebut memanfaatkan masa mereka memerhatikan gelagat orang
yang lalu-lalang di perhentian bas. Setelah sampai ke rumah pula, mereka mendaki bukit untuk
menikmati panorama matahari terbenam dari puncak bukit.

Bab 15

Geetha tetap membantu nenek membuat kerja di dapur walaupun dilarang oleh nenek. Dalam
perbualan mereka, Geetha menceritakan keadaan ibunya dan bagaimana dia berkenalan dengan Lili
di dalam bas. Mereka juga bergurau atas sifat Lili yang pendiam. Pada lewat malam, datuk Lili yang
belum kelihatan kelibat mencetuskan kebimbangan nenek dan Lili. Menjelang subuh, barulah datuk
pulang dengan dua bakul akar kayu dan daun herba.

Bab 16

Datuk bercerita dengan nenek pengalamannya mencari bahan-bahan untuk dijadikan herba di hutan
tanpa kepenatan. Geetha dan Lili menyiapkan minuman kepada Danel yang datang. Geetha
meminati sikap dan penampilannya. Geetha memohon untuk balik kerana telah berjanji kepada
ibunya bahawa dia hanya bermalam semalam sahaja di rumah nenek Lili. Sebelum Geetha dihantar
pulang, nenek berpesan kepada Lili supaya pergi ke kedai Ah Kwan untuk membeli barang-barang
keperluan dapur. Dalam perjalanan pulang, Lili ternampak peristiwa anak-anak Che Jah dikejar oleh
sekumpulan pemuda yang bersenjatakan parang kerana mencuri harta benda ibu mereka. Sebaik

sahaja tiba di rumah, Lili terkejut apabila melihat Danel dalam keadaan meniarap sedang diurut
oleh Datuk. Sebenarnya menurut kata nenek, kebelakangan ini hubungan datuk dengan Danel
begitu baik.

Bab 17

Dalam artikel Danel yang berjudul Segala Tentang Pisang telah menghuraikan secara panjang lebar
berkaitan produk pisang di Tenom, Sabah. Penanaman pisang secara besar-besaran di Sabah telah
berjaya dieksport keluar negeri. Pendapatan lumayan ini juga dibantu dengan tanaman sampingan
lain seperti buah-buahan, getah dan kelapa sawit. Hasil pertanian ini telah berjaya memberi pulangan
tinggi kepada peladang dan hidup mewah. Mengikut kajian perubatan, pisang bukan sahaja dapat
mendatangkan pulangan yang tinggi, malah boleh menghasilkan tenaga segera kepada tubuh badan
di samping menyembuhkan pelbagai penyakit jika pengambilannya seimbang. Kulit pisang pula
boleh menyembuhkan bintat dan rasa gatal akibat gigitan nyamuk.

Bab 18

Isu kubah surau telah dicetuskan oleh Pak Sahak, ketua kampung, Imam Sanusi dan Kiai Baharom.
Mereka ke rumah datuk untuk berbincang supaya masalah yang buntu ini dapat diselesaikan, jika
tidak campur tangan Yang Berhormat diperlukan. Lili mencuri dengar perbincangan mereka
mengenai pembinaan masjid di kampung. Danel mengajak Lili menemaninya ke pekan untuk
membeli minyak gamat.

Bab 19

Sebelum pulang, Danel dan Lili singgah di restoran makanan segera. Danel juga memberitahu
bahawa nenek Lili memang pandai memasak dan masakannya sungguh sedap. Dia juga selalu ke
rumah nenek membantu nenek masak tanpa pengetahuan Lili. Mereka singgah di pasar raya untuk
membeli beberapa barang keperluan, seterusnya Lili merancang untuk berkunjung ke rumah Geetha.
Setiba di kampung, kelihatan Rafiq dikejar oleh beberapa orang lelaki dengan suara yang memekik.
Tiba-tiba tangan Lili dipulas, Danel tergamam kerana senjata tajam yang dipegang oleh Rafiq telah
diacukan ke leher Lili. Sebaik sedar, Lili telah berada di tempat perculikan yang dilakukan oleh
kedua-dua anak lelaki Che Jah.

Bab 20

Lili disembunyikan di sebuah rumah usang berlantaikan buluh. Danel telah datang menyelamatkan
Lili pada waktu malam kerana Danel memang tahu tempat persembunyian Rafiq dan Haziq. Danel
tidak memaklumkan kejadian itu kepada penduduk-penduduk kampung atas alasan tertentu. Menurut
Danel, Haziq merupakan seorang pelajar pintar yang sama sekolah dengannya. Namun, pergaulan
bebas kutu-kutu rayau menyebabkan dirinya terjerumus dalam jenayah seperti mencuri, menghisap
dadah dan pecah rumah sehinggakan mereka sanggup melakukan kekerasan dan mengugut ibunya
sendiri Orang-orang kampung juga menyumpah-yumpah supaya mereke ditangkap dan dihumban ke
dalam penjara. Sebaik sahaja sampai ke rumah, nenek menyambut kepulangan Lili dengan tangisan
kerana bimbang akan keselamatan cucunya. Sebenarnya nenek tahu tentang kejadian yang menimpa
Lili.

Bab 21

Lili berasa simpati tentang nasib malang Rafiq dan Haziq kerana masalah keluarga yang
dihadapinya. Sebaik sahaja berjumpa Danel, Lili terus bertanyakan khabar berita nasib mereka dua
beradik. Ketua kampung pula telah mengarahkan penduduk-penduduk kampung merobohkan pondok
tempat persembunyian mereka. Lili bercadang untuk berjumpa dengan Geetha untuk mendapatkan
maklumat yang lebih telus dan bersifat terbuka tentang mereka berbanding dengan penyataan nenek.
Bagi Lili, Rafiq dan Haziq manusia biasa yang memerlukan pertolongan dan perhatian semua pihak,
bukan mengutuk dan menghina secara berterusan. Lili memohon kebenaran untuk ke rumah Geetha,
tetapi neneknya tidak membenarkannya atas faktor keselamatan.

Bab 22

Abang Rashid memberitahu Lili bahawa Haziq dan Rafiq telah ditangkap oleh penduduk-penduduk
kampung dan salah seorang daripadanya teruk dibelasah oleh ayah mereka. Lili bercadang ke rumah
Che Jah untuk mengetahui keadaan yang sebenar dan kemudiannya merancang ke pekan bersamasama dengan Abang Rashid. Che Jah menjelaskan bahawa Haziq teruk dibelasah dengan tali
pinggang oleh ayahnya. Menurut cerita Che Jah lagi, Haziq semasa alam persekolahan dulu
merupakan seorang pelajar yang pandai, tetapi telah dibuang sekolah kerana selalu ponteng dan
melawan guru. Haziq menjadi nakal kerana tersalah gaul dengan budak-budak nakal sehingga
perangainya tidak dapat dilentur. Che Jah memohon maaf daripada Lili atas apa yang dilakukan oleh
anaknya terhadap Lili. Lili secara ikhlas telah memaafkannya. Che Jah memuji-muji kebaikan hati
Lili yang sanggup datang menjenguk dan bertanya khabar. Che Jah mempelawa Lili untuk makan
tengah hari di rumahnya, dia tidak menolak pelawaan itu.

Bab 23

Nenek menegur Lili kerana mengambil tahu tentang hal keluarga orang lain. Nenek juga berkata
bahawa orang-orang kampung memang suka bermuka-muka. Kekadang boleh mengumpat hanya
melalui jendela. Lili menghampiri datuk yang masih belum selesai dengan isu kubah surau dan
herba-herba ubatan tradisionalnya. Seman suami Che Jah merupakan seorang bapa yang sangat
garang. Seman bukan sahaja garang terhadap anak-anaknya, tetapi juga terhadap orang-orang lain
yang berurusan dengannya. Seman suka berjudi, berhutang, menipu, minum arak dan anak-anak serta
isterinya akan menjadi mangsa kekejamannya. Lili tidak berpuas hati terhadap segala tindakan dan
perbuatan Seman yang tersalah mendidik anak-anak dalam membina keluarga.

Bab 24

Menjelang waktu isyak, melalui jendela Lili ternampak sebuah lori membawa kubah di puncaknya
terdapat bulan sabit. Selepas jam sepuluh malam, barulah Lili mendapat berita daripada datuk
bahawa kubah surau akan dipasang dalam tempoh terdekat. Kini isu kubah surau telah menjadi
perbualan hangat dalam kalangan penduduk kampung. Abang Rashid lebih suka sebuah masjid
didirikan di kampung tersebut sebagai tanda pembangunan, begitu juga dengan Lili. Bagi datuk pula
tidak kisah, sama ada kubah surau atau sebuah masjid, yang penting ilmu-ilmu agama ditegakkan.

Bab 25

Menjelang pagi, Lili memberitahu nenek hasratnya untuk melihat kubah surau atau bertemu dengan
Che Jah. Nenek menasihati Lili agar dalam keadaan sebegini lebih selamat tidak berjumpa dengan
sesiapa. Danel datang membawa gulai kari pisang ikan masin yang dimasak sendiri dan
menyampaikan suatu pesanan khas ayahnya kepada datuk. Berita kenaikan harga minyak petrol dan
diesel telah menenggelami isu kubah surau ketika ini. Di mana-mana sahaja semua penduduk akan

membincangkan kenaikan harga bahan api tersebut dan mengeluh tentangnya. Begitu juga kenaikan
harga barangan yang lain termasuk perubatan. Datuk sempat memerli Danel bahawa kos perubatan
tradisional sahaja yang tidak naik. Lili ke rumah Che Jah menziarahinya dan sempat melihat Haziq
yang belum sembuh akibat kesan dibelasah oleh ayahnya. Che Jah begitu mesra melayan Lili, jauh
berbeza dengan jangkaan dan gambaran buruk perwatakan Che Jah oleh nenek. Lili memberitahu
Che Jah bahawa dia akan kembali ke Kuala Lumpur seminggu lagi.

Bab 26

Lili mempunyai dua cadangan yang ingin diketengahkan iaitu perlunya dibina sebuah masjid dan
melaporkan kepada biro pengaduan jenayah yang dilakukan oleh Seman terhadap ahli
keluarganya.Datuk menasihati Lili agar tidak memikirkan hal-hal yang berat dan lebih memberikan
tumpuan menghabiskan masa cuti persekolahan. Danel pula telah banyak membantu seperti
menyelamatkan nyawa, membawanya ke pekan dan dalam segala hal juga mereka bersependapat.
Lili juga berpandangan bahawa tugas membangunkan kampung merupakan tanggungjawab Danel
sebagai penduduk tetap dan perlu diperjuangkannya.

Bab 27

Nenek bersuara janggal mengatakan sesuatu sambil memanggil Abang Rashid. Abang Rashid pula
tergesa-gesa menyediakan basikalnya untuk membawa nenek ke rumah Che Jah. Lili dan Danel juga
segera ke rumah Che Jah tetapi masih belum pasti apa yang berlaku. Sebaik sahaja sampai,
kedengaran kekecohan, pastinya Seman sedang berang. Terdapat beberapa orang di dalam rumah
Che Jah ketika itu. Tiba-tiba seorang pemuda jatuh terhumban dari atas rumah, iaitu Haziq dengan
keadaan tubuhnya berdarah. Seman yang naik angin dan dalam keadaan yang tidak siuman telah
menerajang Haziq sehingga menyebabkan mulutnya berdarah. Tiada seorang pun yang berani
meleraikan ketegangan itu, mereka hanya berani melihat tentang apa yang berlaku. Manakala Che
Jah telah memekik minta cerai kerana tidak sabar lagi dengan kerenah suaminya yang melampau.

Bab 28

Che Jah belum berjaya menuntut cerai daripada suaminya. Seorang pesakit baharu datang berubat
dengan datuk kerana penyakit gout. Datuk meminta Lili mengambilkannya sebotol herba untuk
pesakit wanita tersebut dan menerangkan pantang larang tentang sakit tersebut. Pesakit wanita iaitu
Kak Mimah sanggup bermalam di rumah datuk untuk menghabiskan rawatan. Hasil perbualan
dengan Lili, Kak Mimah bekerja sebagai penolong pegawai, Jabatan Kebajikan Masyarakat,
Bahagian Warga Tuadan Keluarga. Tugasnya berkaitan dengan keganasan rumah tangga,
penganiayaan kanak-kanak dan pengabaian warga tua. Lili telah mengambil kesempatan dan ini
untuk membuat aduan terus kepada Kak Mimah untuk memanjangkan kes keluarga Che Jah untuk
diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Bab 29

Kak Mimah bersetuju untuk membantu Lili menyelesaikan masalah keluarga yang dihadapi oleh Che
Jah. Hal ini akan diletakkan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Kak Mimah akan balik
ke Kuala Lumpur dan membuat laporan kes tersebut dan Lili akan menjadi saksi. Danel datang ke
rumah ketika datuk dan nenek tiada di rumah. Lili bersembang dengan Danel di pangkin sambil
membincangkan pembinaan masjid dan merancang untuk mengadakan pertemuan dengan penduduk
kampung.

Bab 30

Danel mencadangkan pengumuman akan dibuat di surau untuk mengadakan pertemuan dengan
penduduk kampung ketika majlis pernikahan anak Pak Busu pada hari Jumaat nanti. Danel dan Lili
bercadang untuk bertemu dengan Geetha untuk memintanya menyelesaikan masalah keluarga Che
Jah. Geetha setuju dan ingin berjumpa dengan Che Jah terlebih dahulu. Mereka ke rumah Che Jah
setelah mendapat kebenaran ibu Geetha, tetapi Che Jah tiada di rumah.

Bab 31

Danel berbangga kerana Geetha sanggup membantu dalam menyelesaikan masalah pembinaan
masjid dan surau kampungnya. Mereka juga berbincang tentang bioteknologi berkaitan dengan
madulebah, kambing dan pokok vanilla yang mampu memberikan pulangan yang cukup lumayan.
Kak Mimah telah menghubungi datuk, selain membincangkan rawatan mereka juga menyentuh isu
keganasan rumah tangga Che Jah. Lili tercengang dengan keputusan datuk untuk mengambil
tindakan terhadap suami Che Jah dan mengheretnya ke penjara. Mereka berbincangkan cara untuk
menangkap Seman dan menghukumnya mengikut lunas undang-undang.

Bab 32

Berita kubah dilarikan orang menjadi isu hangat ketika ini. Beberapa orang wanita mengesyaki
angkara ini sudah pasti dilakukan oleh anak-anak Che Jah yang telah terkenal dengan kejahatan
lampaunya. Lili menenangkan keadaa dan meminta agar mereka tidak membuat tuduhan melulu
tanpa bukti. Datuk mengheret Rafiq dan Haziq ke halaman rumah. Datuk meminta semua penduduk
kampung yang marah bersurai. Rafiq dan Haziq dalam keadaan lesu dan badannya lebam-lebam
akibat dibelasah. Datuk mencarikan herba untuk memulihkan mereka tetapi badan mereka langsung
tidak bermaya. Badan Haziq lebam manakala hidung Rafiq berdarah dan rebah di lantai rumah.
Geetha memberitahu Danel supaya membiarkan datuk menyelesaikan masalah masjid dan surau. Dia
hanya ingin membantu menyelesaikan masalah keluarga Che Jah.

Bab 33

Kak Mimah dan rakannya Nadia muncul ketika datuk ingin mengadakan pertemuan di balai raya.
Che Jah juga hadir tanpa dicari, membuat pengakuan untuk dipanjangkan kepada pihak berkuasa.
Suaminyalah yang telah melarikan kubah surau kampung, bukannya Rafiq dan Haziq. Che Jah
membiarkan pihak berkuasa mengambil tindakan wajar supaya suaminya dihantar ke pusat
pemulihan akidah. Menurut Kak Mimah, jika Che Jah membuat laporan polis, tindakan mahkamah
boleh diambil, dan kes ini akan diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan mendapat
bantuan daripada Jabatan Perlindungan Wanita dan Masyarakat bagi membiayai kos rawatan
pemulihan akidah suaminya. Suami Che Jah berjaya ditangkap oleh penduduk kampung di belakang
pondok dusun. Haziq diberi herba sebagai penawar, manakala Rafiq dihantar ke hospital untuk
mendapatkan rawatan.

Bab 34

Sugi tidak mengaku terlibat dengan kemasukan dua orang wakil pemaju perumahan yang dating
memujuk penduduk kampung menjualkan tanah mereka. Datuk pula dituduh cuba melindungi Che
Jah yang terlibat melindunginya anak-anaknya daripada kes culik cucunya, Lili. Berpuluh-puluh
orang pemuda kampung menunjuk perasaan di halaman rumah, menuduh datuk terlibat dengan
pemaju perumahan. Datuk tidak mengambil kisah kerana itu bukan urusannya. Sugi pula

menjelaskan bahawa dia bukan bertujuan untuk membangunkan kampung dengan projek rumah kos
rendah, tetapi ingin memajukan tanah-tanah penduduk kampung dengan projek agropolitan,
penanaman Jatropha Cuncas dan selama ini semuanya tersalah anggap. Haziq semakin pulih
manakala Rafiq disahkan mengambil terlalu banyak dadah jenis syabu sehingga sistem tubuh
badannya terjejas. Kak Mimah berjanji akan membantunya sehingga pulih.

Bab 35

Ibu pulang ke kampung untuk membawa Lili balik ke Kuala Lumpur. Cadangan Danel untuk
membina sebuah masjid diterima oleh semua penduduk dan ketua kampung.

Bab 36

Matahari terbit dapat disaksikan oleh Lili dan Geetha seawal paginya. Ibu tiba di kampung dan akan
membawa Lili ke Kuala Lumpur dan sempat untuk menghadiri majlis perpisahan pengetuanya.
Datuknya, Haji Abdul Rahman menceritakan maksud yang tersembunyi tentang jendela menghadap
jalan yang terlalu banyak kisah-kisah silam. Sejak zaman penjajahan hinggalah zaman komunis yang
mereka tidak memasukkan sejarah jendela menghadap jalan. Neneknya pula, Hajah Aisyah Tan
Abdullah menceritakan kisah zaman silam berasal dari Tanah Besar China sehinggalah
pertemuannya dengan datuk di Tanah Melayu hingga hari ini. Lili kerap berjumpa dengan Geetha di
Kuala Lumpur dan meneruskan pelajarannya. Haziq dan Rafiq pula akan menduduki PMR pada
tahun hadapan dan hidup mereka telah banyak berubah. Danel berharap agar Lili akan kembali
semula ke Kampung Sentosa dan semoga Lili telah mengetahui kisah jendela menghadap jalan,
manakala Danel telah banyak menulis artikel tentang pisang.

Tema
Kecekalan seorang gadis dalam menempuh berbagai-bagai ujian dan rintangan.

Persoalan
1.
2.
3.
4.
5.

Persoalan tentang kasih sayang antara anggota keluarga.


Persoalan tentang persaingan antara perubatan tradisional dengan rawatan moden.
Persoalan tentang masalah social penduduk kampung yang tidak bersepakat.
Persoalan tentang keganasan rumah tangga.
Persoalan tentang sikap prihatin terhadap situasi orang lain.

Watak & Perwatakan


Watak Utama: Lili

Lepasan sekolah menengah


Tidak gembira pulang ke kampung datuk dan neneknya pada mulanya
Rajin membaca buku panduan pemakanan sayur-sayuran dan buah-buahan
Akur cakap orang tua

Suka berkawan dan peramah


Menjadi teman baik Geetha
Cepat bersimpati dengan orang lain iaitu Haziq dan Rafiq anak Che Jah yang nakal.
Prihatin dan meminta bantuan Kak Hamimah supaya mengambil tindakan terhadap
suami Che Jah yang melakukan jenayah keganasan rumah tangga.
Mesra dengan Danel dan berbincang untuk pembinaan masjid baru di kampungnya itu
bersama-sama.
Cekal menempuh dugaan yang dihadapi di Kampung Sentosa.

Watak Sampingan
1.

Datuk (Haji Abdul Rahman)


Pengamal perubatan tradisional yang terkenal di kampung.
Sumber rujukan masalah kesihatan penduduk kampung.
Berjaya menyembuhkan Letchumi daripada sakit teruk dengan herba yang dibuat oleh
datuk.
Mengajar Lili ilmu keagamaan dan mengujinya dengan ilmu agama.
Sayang akan pekerjaannya.
Seorang yang alim dan kuat beribadat.

2.

Danel
Anak William.
Mampu menjelaskan isu pembinaan kubah surau dan kebaikan rawatan moden.
Berhujah dengan berhemah supaya datuk tidak berkecil hati.
Akrab dengan datuk.
Menulis artikel tentang buah pisang di Tenom, Sabah.
Membantu menyelamatkan Lili daripada diculik dan menyelesaikan masalah Lili.

3.

Nenek (Hajah Aisyan Tan Abdullah)


Kurang yakin dengan ubat tradisional yang disediakan suaminya.
Percaya akan pantang larang dan penyataan karut.
Suka menyindir rawatan tradisional yang diagungkan oleh datuk.
Pandai Memasak dan masakannya sering dipuji oleh Danel.
Seorang nenek yang penyayang dan sentiasa bimbang akan keselamatan cucunya.

4. Geetha
Kenalan Lili di dalam bas sewaktu ke Terengganu.
Siswa tahun pertama jurusan Kejuteraan Awam Universiti Malaya.

Anak Letchumi yang membuka kedai runcit dan sembuh selepas makan ubat
tradisional datuk Lili.
Menjadi akrab dengan Lili.
Seorang yang suka membantu dan menepati janji.

5.

Abang Rashid
Sering membantu datuk dan nenek.
Mengambil Lili di perhentian bas untuk pulang sewaktu Lili tiba di kampung.
Mengutip buah dari kebun datuk.
Belum berkahwin.

6. Ibu Lili
Suka akan seni Taman Ala Bali yang penuh dengan reka bentuk dan tumbuhan
tanam herba.
Pembuka selera makan.
Mengabaikan ilmu agama akibat kecuaian datuk.
Gemar belajar silat.
Mendapatkan pendidikan di luar negara.
Menghantar anak perempuannya ke kampung asalnya

7.

Rafiq dan Haziq


Anak remaja berumur belasan tahun.
Bakal menduduki PMR.
Anak Che Jah yang sering menimbulkan masalah akibat tersalah gaul.
Menculik Lili dengan menggunakan senjata tajam dan mengacukan di leher Lili
Berubah sikap dan insag setelah mendapat bantuan daripada Lili.

8.

Seman
Suami Che Jah.
Kaki judi, gemar berhutang dan minum arak.
Melarikan kubah surau.
Seorang yang pemarah dan sering menjadikan isteri dan anak-anaknya sebagai tempat
melepaskan geram dan kemarahan.
Membelasah Haziq dan Rafiq dengan teruk.
Ditangkap di belakang pondok dusun dan diserahkan kepada pihak berwajib untuk
dijalankan pemulihan akidah

Latar Tempat

Kampung Sentosa
Pekan Sentosa
Rumah datuk
Rumah Lili di Kuala Lumpur
Rumah Che Jah
Puncak bukit
Jeti nelayan.

Latar Masyarakat
Masyarakat yang mempunyai masalah institusi kekeluargaan
Masyarakat yang prihatin dan saling membantu
Masyarakat yang mengasihi ahli keluarga
Masyarakat yang mengamalkan perubatan tradisional
Masyarakat yang hidup bermesra tanpa mengira kaum dan agama

Plot
Permulaan
Lili pulang ke kampung datuknya di Dungun, Terengganu dengan menaiki bas. Walaupun dia
tidak gembira dengan percutiannya pada kali ini, namun dia menurut sahaja kehendak ibunya
supaya ibunya tidak berasa kecil hati.
Dalam perjalanan ke Dungun, Lili bertemu dengan Geetha dan Danel.
Perkembangan
Datuk menghadapi situasi getir di kampung akibat penggantian kubah surau.
Kekalutan turut timbul apabila Sugi dikatakan memujuk orang kampung untuk menjual tanah
bagi pembinaan kawasan perumahan di kampung datuk.
Datuk didatangi oleh orang dari bandar untuk mendapatkan rawatan secara tradisional.
Geetha memaklumkan kepada Lili bahawa datuknya telah berjaya menyembuhkan ibunya
Letchumi yang sakit dengan menggunakan herba tradisional.
Danel sering datang untuk membantu nenek memasak kerana menganggap nenek seorang
yang pandai memasak dan masakan nenek sangat sedap.
Danel berbual mesra dengan datuk dan menerangkan kepentingan perubatan moden. Namun
cara Danel yang berhemah dapat memastikan bahawa datuk tidak berkecil hati. Danel sering
menulis artikel tentang pisang.
Lili diculik oleh anak-anak Che Jah, namun berjaya diselamatkan oleh Danel.
Konflik
Datuk berhasrat untuk tidak meneruskan perubatan tradisionalnya lagi akibat tamparan
daripada pesakit-pesakitnya yang meninggalkannya.

Che Jah berasa sangat kecewa dengan sikap suaminya Seman yang melakukan keganasan
dengan memukul anak-anaknya Haziq dan Rafiq sehingga cedera. Oleh sebab tidak tahan
dengan tindakan suaminya itu, Che Jah minta diceraikan.
Klimaks / Puncak
Datuk dituduh melindungi anak-anak Che Jah yang menculik Lili.
Che Jah memaklumkan bahawa suaminyalah yang melarikan kubah surau. Selama ini
penduduk kampung menuduh Haziq dan Rafiq, namun telahan mereka tersasar.
Peleraian
Che Jah dicadangkan oleh Kak Hamimah supaya membuat laporan polis supaya suaminya itu
dapat diberkas dan dipulihkan.
Suami Che Jah ditangkap di belakang pondok dusun.
Haziq diberi herba sebagai penawar oleh datuk.
Rafiq dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Sugi tidak mengaku ada kaitan dengan wakil pemaju perumahan yang memujuk penduduk
kampung menjualkan tanah mereka.
Ibu pulang menaiki bas tanpa ayah. Lili pulang ke Kuala Lumpur untuk menghadiri majlis
perpisahan pengetuanya.
Haziq dan Rafiq kembali semula ke sekolah untuk menduduki PMR.

Teknik Penceritaan
1. Teknik pemerian
Penulis memerihalkan perwatakan ibu Lili yang mempunyai rupa paras yang amat menawan
dan mempunyai sifat yang berbeza daripada suaminya, iaitu bapa Lili.
2. Teknik dialog
Contohnya, dialog antara Lili dengan ibunya tentang sebab Lili bermusam durja sebelum
bertolak ke kampung.
3. Teknik imbas kembali
Datuk mengimbas kembali terhadap kesilapannya mendidik ibu Lili. Datuk menyesal kerana
tidak memberikan pendidikan agama yang secukupnya menyebabkan ibunya kurang
mengamalkan ilmu kegamaan.
4. Teknik saspens
Pembaca tertanya-tanya akan dalang yang melarikan kubah surau. Semua penduduk
kampung menuduh bahawa Haziq dan Rafiq yang berbuat demikian.
5. Teknik kejutan
Pembaca tidak menyangka bahawa gadis India yang dikenali Lili di dalam bas itu anak
Letchumi.

Gaya Bahasa
1. Simile
Contohnya, seperti nafas orang diserang asma / tangannya yang kecut macam lobak /
kampung ini ibarat seekor ular yang sangat berbisa macam ular tedung
2. Personifikasi
Contohnya, jam loceng di tepi katil menjerit dengan kuatnya.
3. Metafora
Contohnya, garis kebimbangan.
4. Inversi
Contohnya, Tidak berapa kemudian dia pun terlena.

Nilai
1. Kasih sayang
Nenek Lilia amat menyayangi cucunya dan tidak membenarkan Lili menjenguk Che Jah
demi keselamatannya.
2. Prihatin
Lili mengambil berat tentang keadaan orang di sekelilingnya termasuk Geetha dan Che Jah,
malah berusaha membantu keluarga Che Jah.
3. Kesabaran
Datuk bersabar semasa menangani kerenah dan provokasi sekumpulan penduduk yang
menuduhnya berpakatan dengan pemaju perumahan serta melindungi anak-anak Che Jah
yang menculik Lili.

Pengajaran
1. Kita haruslah menyayangi ahli keluarga kita.
Seman sepatutnya menyayangi isteri dan anak-anaknya dan bukannya berganas terhadap
mereka.

2. Kita haruslah bersikap jujur dan berterus terang.


Che Jah bercerita dengan jujur kepada Kak Mimah dan Nadia tentang perlakuan buruk
suaminya untuk menyelesaikan masalah.

3. Kita haruslah bermuafakat demi kesejahteraan hidup.


Penduduk kampung patut bermuafakat dalam membuat keputusan supaya tidak menimbulkan
huru-hara di kampung.

Ulasan Murid
Setelah membaca novel ini, saya telah memahami bahawa keprihatinan dan kecekalan amat
penting dalam kehidupan kita. Kita perlulah sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan
seperti Lili yang menolong Che Jah dan anak-anaknya daripada keganasan rumah tangga.
Saya juga mendapat inspirasi daripada datuk Lili iaitu teguh pada pendirian dan kerjaya diri
meskipun disindir dan dipandang remeh oleh orang lain. Demi keharmonian hidup, kita turut
wajarlah mengamalkan sikap toleransi dan bekerjasama untuk mencapai kata sepakat dalam
apa jua perkara.

Anda mungkin juga menyukai