Anda di halaman 1dari 5

SI BONGKOK TANJUNG PUTERI

Ada beberapa tokoh misteri yang nama mereka hilang dalam lembaran sejarah
perjuangan menentang penjajah di tanah air, ratusan tahun lalu. Walaupun
kewujudan mereka suatu ketika dulu memberi sumbangan besar dan mencetuskan
kegerunan di jiwa penjajah, kebanyakan tokoh ini tidak disebut dalam mana-mana
dokumen sejarah. Menyedari pentingnya sumbangan dan kewujudan pahlawan
misteri itu didedahkan kepada khalayak untuk diiktiraf sejarah tanah air, ahli
Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Jelebu, Negeri Sembilan; Abdul Latip Talib,
memulakan penyelidikan bagi membongkar rahsia kehilangan mereka.

Antara tokoh terbabit adalah Si Bongkok Tanjung Puteri yang sehingga kini, sejarah
perjuangannya masih tidak diketahui ramai pihak, katanya yang menulis novel
sejarah berkenaan pahlawan itu, tahun lalu. Beliau berkata, tidak seperti tokoh
pejuang lain seperti Datuk Bahaman di Pahang atau Rentap di Sarawak, sejarah
negara ini tidak pernah mengenali siapa Si Bongkok yang berjuang menentang
British dan sekutunya di Johor. Ceritanya bermula apabila British mula menjajah
Singapura seterusnya cuba melebarkan pengaruh mereka ke Johor, kata Abdul
Latip seterusnya memulakan kisah perjuangan Si Bongkok Tanjung Puteri yang kini
semakin hilang dalam lipatan sejarah negara.

Pernah suatu ketika sekitar abad ke-19, Kerajaan Johor tidak diperintah oleh
Sultannya tetapi pentadbiran dan segala urusan negeri diuruskan Temenggung
Abdul Rahman atas sokongan British. Polemik itu berlaku apabila Sultan Hussein
mangkat pada 1835; putera baginda iaitu Tengku Ali cuba mendapatkan haknya
sebagai Sultan Johor tetapi dihalang Temenggung Abdul Rahman. Akibat daripada
perebutan kuasa itu, muncul kisah perjuangan Si Bongkok di Tanjung Puteri (kini
Johor Bahru). Beliau berhasrat mengusir pengaruh penjajah dari bumi Johor dan
tidak bersetuju dengan hasrat pemerintah negeri yang berbaik-baik dengan British.

Si Bongkok juga inginkan takhta kesultanan Johor yang ketika itu dikuasai
Temenggung Abdul Rahman, dikembalikan kepada pewaris asal iaitu Tengku Ali. Si
Bongkok memang nama asalnya manakala nama bapanya adalah Damak.
Dinamakan dirinya sebagai Si Bongkok berikutan keadaan tubuh badannya yang
cacat iaitu bongkok ke kanan manakala tangan kirinya pula cengkung. Mukanya
pula herot dan bengkak ke kanan. Walaupun dilahirkan sebagai insan yang cacat, Si
Bongkok membesar sebagai seorang pemuda yang gagah dan berani. Beliau cekap
bermain senjata dan mahir dalam ilmu lautan. Si Bongkok juga dikatakan memiliki
ilmu kebal yang menyebabkan jasadnya tidak akan luka sama ada ditembak atau
ditikam senjata tajam. Kewibawaan beliau dikagumi ramai pihak sehingga Si
Bongkok diangkat menjadi pemimpin oleh pengikutnya yang ramai. Di kalangan
musuhnya sendiri beliau digelar Panglima Si Bongkok. Si Bongkok hidup di atas
kapal layar di tengah laut. Dia mempunyai pengikut yang ramai dan masing-masing
memang cekap bermain senjata serta mengendalikan kapal di laut.
Kebenciannya terhadap penjajah dan pemimpin tempatan yang mengadakan
hubungan dengan bangsa asing itu menyebabkan Si Bongkok bersama pengikutnya
bangkit menentang. Mereka akan menyerang kapal bangsa asing yang melalui
perairan Johor untuk berdagang di pelabuhan Tanjung Puteri atau Singapura.
Tindakan itu menyebabkan British melabelkan mereka sebagai lanun. Disebabkan
serangan Si Bongkok dan pengikutnya, aktiviti perdagangan dan ekonomi di Tanjung
Puteri dan Singapura semakin merosot kerana kebanyakan pedagang asing tidak
lagi berani memasuki wilayah itu. Keadaan itu menimbulkan kebimbangan kepada
British menyebabkan bangsa asing itu mengarahkan Temenggung Abdul Rahman
supaya menghapuskan kumpulan Si Bongkok.

Bagaimanapun, walau pelbagai cara digunakan untuk membunuh Si Bongkok,


usaha itu tidak pernah berhasil kerana dipercayai tiada siapa yang mengetahui cara
untuk mengatasi ilmu kebal yang dikuasai pahlawan itu. Usaha mengekang
serangan Si Bongkok terus diperketat dengan rondaan berterusan diadakan di
perairan Selat Tebrau. Kerajaan Johor dan British juga semakin khuatir kerana
angkatan laut Si Bongkok memiliki ubat bedil dan senjata api hasil rampasan kapal
dagang Barat yang diserang mereka. Pada suatu hari, satu angkatan laut Johor
diketuai Panglima Johor, Laksamana Daeng Alek meronda di Selat Tebrau mencari Si
Bongkok. Kehadiran tentera diraja itu untuk menangkapnya sudah diketahui Si
Bongkok melalui perisiknya di istana. Si Bongkok pun bersedia menghadapi
tentangan angkatan Panglima Johor. Rondaan kapal perang Panglima Johor akhirnya
berjaya mengesan kedudukan kapal Si Bongkok. Mereka segera merapati kapal itu
untuk menyerangnya.

Si Bongkok mengarahkan pengikutnya seramai lima puluh orang menyerang belas


askar diraja itu. Pertempuran hebat berlaku di atas kapal, di tengah lautan. Selepas
lama bertempur, akhirnya angkatan Panglima Johor tewas. Mereka terpaksa
berundur kembali ke pangkalan di Tanjung Puteri selepas ramai askar diraja yang
terkorban dan lima kapal perangnya, karam. Kekalahan itu tidak memutuskan
semangat Panglima Johor untuk terus menyerang Si Bongkok. Pada hari yang lain,
mereka menyerang lagi dengan lebih ramai askar. Angkatan perang Panglima Johor
berjaya mengepung beberapa kapal Si Bongkok tetapi dengan kebijaksanaannya, Si
Bongkok berjaya melarikan diri ke tempat persembunyiannya sekitar Tanjung
Belungkur. Kegagalan itu menyebabkan Laksamana Daeng Alek, Kerajaan Johor
serta British semakin marah dan tertekan.

Selain Panglima Johor, turut menentang Si Bongkok adalah adiknya sendiri iaitu
Panglima Putih. Berbeza dengan Si Bongkok yang menyokong Tengku Ali, Panglima
Putih menyokong Temenggung Abdul Rahman menyebabkan mereka bermusuhan.
Mereka berdua juga dikatakan mencintai gadis yang sama iaitu Si Tanjung. Bersama
Laksamana Daeng Alek, Panglima Putih beberapa kali menyerang abangnya tetapi
tetap gagal menghapuskan Si Bongkok. Si Bongkok pula terus menyerang kapal
dagang yang ingin berlabuh di Tanjung Puteri dan Singapura. Episod akhir
perjuangan Si Bongkok berlaku apabila sekali lagi kapalnya diserang. Akan tetapi,
serangan pada kali itu lebih dahsyat kerana setiap penjuru perairan Selat Tebrau
sudah dikepung angkatan laut Johor. Si Bongkok dapat melepaskan diri ke Tanjung
Belungkur, tempat persembunyiannya tetapi kapal Panglima Putih terus mengejar.
Lirik lagu Tanjung Puteri Tajuk Johor Tanjung Puteri Selat Tebrau airnya biru Di Pantai
Lido tepian mandi Sepanjang masa di hari minggu Atas bukit Tanjung Puteri Taman
hiburan indah berseri Pemandangan menawan hati Jalan tambak hubungan negeri
( korus ) Tanjung Sekijang nun di kuala Tempat nelayan mengail gelama Istana
Hinggap di Kuala Danga Pantai berkelah keluarga diraja Dari Tebrau orang berakit
Singgah Stulang membeli kopi Pusara Si Bongkok di lereng bukit Di tepi pantai
Tanjung Puteri Inggeris label pemuda cacat sebagai pengganas. SELEPAS Si
Bongkok menemui ajalnya di tepi pantai itu, mayatnya dijumpai seorang penduduk
tempatan dikenali Uteh Jantan.

Kemudian Uteh Jantan bersama beberapa penduduk kampung membawa mayat Si


Bongkok sehingga ke lereng bukit Tanjung Puteri dan pahlawan itu dikebumikan di
situ secara rahsia, kata penulis novel Si Bongkok Tanjung Puteri, Abdul Latip Talib.
Beliau berkata, pengebumian itu dilakukan secara rahsia kemungkinan bagi
mengelakkan Kerajaan Johor dan British mengambil jasad pahlawan yang
sememangnya disokong penduduk tempatan. Katanya, penduduk terbabit juga
mungkin khuatir mereka akan ditahan pihak berkuasa kerana mengebumikan jasad
Si Bongkok menyebabkan mereka tidak menghebohkan lokasi mayat itu ditanam.

Kini, pusara berkenaan terletak dalam hutan belukar di kaki bukit Tanjung Puteri dan
pengunjung perlu meredah semak dan denai selama setengah jam untuk sampai di
sana. Penduduk yang tidak biasa dengan keadaan hutan itu, pasti tersesat dan tidak
menemui kubur pahlawan berkenaan. Sebaik melihat pusara berkenaan pula,
perasaan sayu dan pilu menjelma di jiwa tatkala melihat keadaannya yang terbiar
tanpa ada usaha untuk memuliharanya. Pusara itu sekadar bernesankan sekeping
papan yang sudah reput.

Mengikut cerita penduduk tempatan, nesan itu diletakkan seorang lelaki pada 23
Januari 1981 selepas dia bermimpi didatangi Si Bongkok yang menyuruhnya
menanda pusara pahlawan berkenaan, katanya. Abdul Talib berkata, berdasarkan
penemuan kubur berkenaan selain cerita mengenai Si Bongkok yang tersebar
secara lisan sehingga hampir ke seluruh Johor sehingga kini, maka beliau yakin
yang Si Bongkok sememangnya pernah wujud dan bukanlah cerita dongeng. Malah,
namanya turut disebut dalam lagu rakyat Johor iaitu Tanjung Puteri.

Katanya, beliau mula menulis novel sejarah mengenai Si Bongkok sejak tahun lalu
bagi memperbetulkan kembali fitnah yang dilemparkan terhadap pahlawan itu
kononnya beliau adalah lanun dan bukannya pejuang menentang penjajah. Selain
itu, usaha membukukan kisah perjuangan Si Bongkok juga dibuat Abdul Latip bagi
membolehkan cebisan sejarah lisan yang tersimpan dalam ingatan orang lama,
tidak hilang ditelan masa seterusnya nama Si Bongkok akan dikenang melewati
masa.
Saya percaya ramai pejuang Melayu yang nama mereka hilang daripada lipatan
sejarah negara kita dan Si Bongkok adalah seorang daripada pejuang itu; sejarah
kita dulu ditulis British menyebabkan ramai pahlawan kita yang menentang mereka
dianggap penderhaka dan nama mereka tidak dicatat dalam sejarah. Saya
berharap supaya sejarah ini boleh diperbetulkan semula dan pihak terbabit perlu
tampil mengiktiraf perjuangan Si Bongkok setaraf dengan nama pejuang lain seperti
Tok Janggut, Dol Said dan sebagainya, katanya. Abdul Latip juga menggesa pihak
berkuasa supaya memulihara pusara Si Bongkok sebagai satu daripada warisan
peninggalan sejarah yang bukan saja dibanggakan rakyat Johor tetapi rakyat negara
ini. Saya sendiri sudah pergi ke Tanjung Belungkur untuk melihat sendiri pusara Si
Bongkok Tanjung Puteri, keadaannya amat menyedihkan kerana terbiar. Selepas 50
tahun kita merdeka, masihkah kita sependapat dengan penjajah yang melabelkan Si
Bongkok itu lanun dan pengganas? katanya

Anda mungkin juga menyukai