Anda di halaman 1dari 18

MUNIRAH BINTI MOKHTAR

ISU 1 : GURU PUKUL MURID SEHINGGA MATI

1,0 PENGENALAN

Sistem pendidikan merupakan salah satu elemen utama negara bagi mencapai taraf negara
maju dan membangun sejajar dan selaras dengan Wawasan 2020. Semua pihak
memainkan peranan yang sangat penting bagi meningkatkan sistem pendidikan di negara
ini terutamanya para guru. Menurut Kamus Dewan, guru bermaksud pengajar, pendidik atau
pengasuh . (Syed Ismail Bin syed Mustapa. Ahmad Subki Bin Miskon: Julai 2010: m.s; 5 ).

Guru adalah merupakan sumber kepada keberkesanan pendidikan. Walaupun sesuatu


sistem pendidikan itu baik, sekiranya egen yang menyampaikan itu tidak efektif maka
maksud yang ingin disampaikan tidak akan tercapai matlamatnya.

Profesion keguruan merupakan profesion yang tertua di dunia dan kini memasuki satu lagi
era baharu. Peranan guru pada masa dahulu hanya tertumpu sebagai penyampai ilmu
semata-mata. Berbanding sistem pendidikan pada masa kini, guru lebih banyak berperanan
sebagai pemudah cara pengetahuan yang seharusnya lebih bersedia dan peka dalam
melahirkan dan menggunakan situasi-situasi pembelajaran secara cekap dan berkesan.
Selaras dengan perubahan peranan pendidik , guru harus lebih inovatif, kreatif dan efektif
dalam penyampaiannya serta sentiasa memikirkan pendekatan baharu untuk
mengadaptasikan amalan mereka dengan kehendak pelajar sebagai knowledge worker
dalam era revolusi maklumat abad ke-21

Pendapat Liberman, 1956, profesion merujuk kepada suatu pekerjaan yang melaksanakan
fungsi soSial yang penting. Untuk mencapai fungsi tersebut, tahap kemahiran tertentu dan
suatu pengalaman pengetahuan sistematik berasaskan teori yang dipegang oleh seseorang
individu diperlukan. Suatu profesion ialah suatu bidang yang mempunyai ciri-ciri seperti
kepentingan kemahiran intelek, latihan ikhtisas yang mencukupi, khidmat yang diperlukan
oleh masyarakat, menikmati autonomi individu dan kumpulan, mementingkan mutu
perkhidmatan, mempunyai tatasusila perkhidmatan atau kod etika dan mempunyai
organisasi tersendiri untuk menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan. ( Noriati
A.Rashid, Boon Pong Ying, Wong Kiet Wah, 2010,M.s: 2-3 )
Menurut Kamus Dewan ( 2005 ), profesion ialah suatu bidang pekerjaan khasnya yang
memerlukan pendidikan dan kecekapan serta kemahiran yang tinggi dan latihan yang khas.
Aspek keguruan dianggap sebagai satu profesion apabila guru memperoleh pengetahuan
atau kemahiran melalui latihan dalam suatu tempoh masa yang panjang, meningkatkan
profesionalisme, komited kepada klien dan mempunyai kuasa autonomi dalam membuat
keputusan. (Noriati A.Rashid, Boon Pong Ying, Wong Kiet Wah, 2010,M.s: 2-4). Profesion
keguruan merupakan salah satu bidang pekerjaan yang disanjung tinggi dan merupakan
bidang pekerjaan yang dipandang mulia oleh masyarakat. Guru adalah merupakan seorang
insan yang sentiasa diperhatikan oleh seluruh ahli masyarakat. Setiap tingkah laku, gerak
geri dan aktiviti yang dilakukan akan dinilai oleh semua orang, terutamanya anak didik di
sekolah masing-masing

Tugas guru bukan sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan semata-mata, malahan


tingkah laku dan amalan baik mereka akan sentiasa menjadi ikutan dan rujukan oleh semua
pihak. Oleh itu, profesion keguruan mempunyai kod etika yang perlu dipatuhi oleh setiap
guru bagi memastikan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dapat dilaksanakan
dengan berkesan. Mengikut pengertian Kamus Dewan (1995), etika bermaksud satu sistem
dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan. Pengertian dari sudut Islam pula
menyatakan etika adalah akhlak. Manakala dalam konteks pekerjaan, merujuk kepada
tingkah laku baik sewaktu menjalankan setiap amanah yang dituntut oleh syarak

Paparan isu dan masalah tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru seringkali mendapat
liputan menyeluruh dan senantiasa dilaporkan melalui media cetak atau media elektronik.
Paparan isu ini sering kali dijadikan isu yang hangat dan menjadi topik perbualan serta
perbincangan oleh lapisan masyarakat di seluruh Malaysia secara amnya dan di serata
dunia secara khususnya. Pelbagai masalah yang melibatkan etika perguruan sering
dilaporkan melibatkan kes tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru seperti kes rasuah,
gangguan seksual, dera dan sebagainya

Sebagai contohnya isu penderaan iaitu guru memukul murid hingga menyebabkan
kematian yang dilaporkan oleh Berita Harian yang bertarikh 31 Mac 2015 telah menjadikan
isu ini semakin hangat diperkatakan di segenap lapisan masyarakat. Berdasarkan isu guru
memukul muridnya sehingga menyebabkan kematian ini, menunjukkan bahawa guru
tersebut telah melanggar kod etika perguruan yang telah ditetapkan dengan melakukan
penderaan fizikal ke atas muridnya. Isu berkaitan dengan penderaan guru terhadap
muridnya merupakan isu yang semakin berleluasa dari hari ke hari. Persoalannya mengapa
isu ini berlaku
Kejadian penderaan fizikal yang dilakukan oleh guru yang semakin berleluasa ini merupakan
kejadian yang bukan berlaku di tempat kerja mahupun di tempat awam tetapi ianya berlaku
di institusi sekolah yang dianggap sebagai tempat yang paling selamat oleh semua pihak.
Kejadian penderaan ini semakin menular di sekolah di mana mangsanya ialah murid-murid
yang dikategorikan sebagai kanak-kanak atau golongan yang lemah jika dibandingkan
dengan guru. Penderaan fizikal yang dilakukan oleh para guru ini menunjukkan mereka
tidak bertanggungjawab dalam melindungi anak murid di bawah jagaan mereka. Seringkali
kita dengar bahawa terdapat tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru tidak kira guru itu
muda atau tua. Ini memberikan gambaran bahawa sekolah bukan lagi institusi yang selamat
dari masalah ini jika hal ini dilakukan sendiri oleh guru.

1.1 ANALISIS DAN ULASAN ARTIKEL ISU MURID DIPUKUL HINGGA MATI

Artikel yang dipilih ialah berkaitan dengan kes seorang guru sekolah agama memukul
muridnya yang berusia 7 tahun sehingga menyebabkan kematian. Kejadian yang berlaku di
sebuah sekolah agama di Arau, Perlis ini, merupakan tragedi yang mengecewakan. Lebih-
lebih lagi suspek adalah merupakan tenaga pengajar sekolah agama berkenaan. Mangsa,
Saiful Syazani Saiful Sopfidee dikatakan dipukul dan dibelasah oleh gurunya yang berusia
26 tahun atas sebab kesalahan mencuri RM7. Murid tersebut dipukul selama 2 jam
menyebabkannya pengsan akibat daripada kecederaan di kepala dan tubuh badan kesan
daripada pukulan yang bertubi-tubi oleh guru berkenaan.

Kes yang berlaku ini mendapat liputan meluas oleh media-massa kerana kes ini melibatkan
suspek yang menyandang jawatan sebagai seorang guru iaitu satu pekerjaan atau profesion
yang sangat dipandang mulia oleh masyarakat sekeliling. Merujuk sumber Berita Harian
menyifatkan kes murid sekolah agama yang dibelasah guru sehingga maut adalah jenayah
serius yang tidak boleh dimaafkan. Beliau juga berkata, walaupun sekolah berkenaan bukan
di bawah Kementerian Pelajaran, namun perbuatan guru itu tetap tidak boleh dibiarkan
kerana ia membabitkan keselamatan murid. Hal ini adalah bertentangan dengan
akauntabiliti keguruan terhadap murid. Setiap guru perlu lebih mengutamakan kebajikan dan
keselamatan murid daripada hal-hal lain.

Isu berkaitan guru memukul muridnya sehingga menyebabkan kematian ini merupakan kes
yang boleh dikategorikan sebagai kes penderaan kanak-kanak. Tan Sri Muhyiddin Yassin
berkata, Bila ibu bapa menyerahkan anak mereka kepada pihak sekolah, ia menjadi
tanggungjawab guru dan sekolah kena memberi perhatian tentang keselamatan mereka,
(bukannya mendera mereka) apa lagi dilakukan oleh guru yang sepatutnya
bertanggungjawab mendidik anak-anak, (sumber: Berita Harian, 2012).

ISU 2 :HUKUMAN ROTAN PELAJAR BAKAL


DILAKSANAKAN MULAI TAHUN 2017?

Menurut laporan Utusan Online, Pengetua atau guru akan diberi kuasa penuh untuk
melaksanakan hukuman rotan terhadap pelajar yang melakukan kesalahan displin di
sekolah mulai tahun 2017. Walau bagaimanapun hukuman rotan tersebut hanya boleh
dilakukan secara tertutup dan tidak dibenarkan dilakukan di khalayak ramai seperti semasa
perhimpunan.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon, draf penambahbaikkan peraturan
displin tersebut akan dibawa ke Jabatan Peguam Negara untuk diperhalusi selepas kajian
terhadap Peraturan-Peraturan Displin Pelajar 1959/ Ordinan Pendidikan 1957 dibuat.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof - Pengetua/Guru besar
hanya dibenarkan merotan murid-murid tertakluk kepada syarat tertentu untuk kesalahan
serius berdasarkan SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL. 7/2003 : KUASA GURU MEROTAN
MURID.

Dr. Khair menjelaskan bahawa hukuman rotan sentiasa dibenarkan kerana berasaskan
peruntukan yang disediakan dalam Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959
namun hanya dinyatakan jenis hukuman yang boleh dikenakan mengikut keseriusan
sesuatu kesalahan.

Wajarkah guru merotan pelajar?

SEREMBAN: Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) masih menyiasat dari segenap
aspek kes guru wanita sebuah sekolah menengah di Kuala Klawang, Jelebu yang didakwa
merotan pelajarnya sehingga menyebabkan mangsa kini menerima rawatan di hospital
kerana tidak dapat bergerak.

Isu kewajaran guru merotan murid telah banyak dibincangkan dalam akhbar dan media
sosial. Walaupun ada pendapat yang menentang namun ada juga yang menyokong kerana
merasakan guru mempunyai peranan besar membantu menangani salah laku pelajar.
Dengan timbulnya kes-kes seperti di atas, ada yang beranggapan bahawa hukuman rotan
perlu dikaji semula terhadap mekanisme pelaksanaannya.
Timbul persoalan tentang kewajaran hukuman merotan yang pernah diberikan kuasanya
kepada guru tetapi telah dilarang mulai tahun 1983 ketika Tan Sri Murad Mohamed Noor
menjadi Ketua Penolong Pengarah Pelajaran Malaysia. Beliau dengan tegasnya
mempertahankan tindakannya untuk menarik kembali kuasa guru dari merotan pelajar
dengan alasan biarlah pelajar ini dididik dengan penuh hemah tetapi kesannya apa yang
dapat kita lihat sehingga hari ini ialah pelajar semakin berani mempertikaikan tentang
peraturan dan disiplin sekolah.

Pelbagai isu negatif yang melibatkan perlakuan negatif pelajar terhadap guru antaranya
pelajar mencekik seorang guru perempuan di Pulau Pinang, isu pelajar tumbuk guru di
Sabah, isu kereta guru dirosakkan pelajar di Terengganu dan lain-lain. Oleh hal yang
demikian, guru dalam dilema samada ingin menggunakan hukuman rotan atau tidak di
sekolah.

2.1 Analisis isu kedua

Isu merotan bukanlah perkara baharu di dalam dunia pendidikan di negara ini. Pelbagai
pihak seperti ibu bapa, pihak sekolah, tokoh akademik dan para pemimpin Negara telah
menyuarakan pendapat dan cadangan masing-masing sehinggalah berlaku beberapa kali
perubahan dalam tatacara perlaksanaan hukuman rotan di kalangan pelajar sekolah di
negara ini. Hukuman merotan adalah dibenarkan ke atas pelajar-pelajar yang melakukan
kesalahan berat seperti mana yang termaktub dalam Akta Dsiplin Sekolah (1957/59).
Walaubagaimanapun, Kementerian Pendidikan (1992) telah mengarahkan semua guru
besar dan pengetua supaya mengutamakan perbincangan dari hati ke hati terhadap pelajar
yang melakukan kesalahan, walaupun hukuman rotan masih dibenarkan. Sekali lagi
perubahan berlaku apabila Kementerian Pendidikan (1994) mengeluarkan arahan supaya
hukuman rotan di khalayak ramai dihentikan. Sebaliknya hukuman rotan seharusnya
dijalankan di dalam bilik pengetua dengan disaksikan oleh beberapa orang guru.

Malangnya masalah disiplin tetap terus meningkat. Perubahan berlaku lagi apabila
Kementerian Pendidikan pada tahun 1996 telah mengarahkan supaya hukuman rotan
diteruskan termasuklah terhadap pelajar-pelajar perempuan. Perubahan ini adalah
berdasarkan resolusi yang dicapai dalam Seminar Disiplin Pelajar Kebangsaan yang dihadiri
oleh pegawai-pegawai pendidikan, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru, kesatuan dan
persatuan perguruan, pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik, media massa dan juga
wakil-wakil pelajar. Kementerian Pendidikan pada tahun 1997 juga telah menetapkan hanya
guru besar, pengetua dan guru disiplin diberi kuasa merotan. Walaubagaimanapun,
peraturan tersebut telah diubah lagi apabila Kementerian Pendidikan (1988) membenarkan
guru besar atau pengetua member kuasa kepada mana-mana guru melaksanakan apa-apa
hukuman termasuklah merotan. Ini adalah kerana guru-guru agak sukar mengawal disiplin
pelajar di dalam kelas kerana peraturan sebelum itu hanya membenarkan pengetua, guru
besar dan guru disiplin sahaja melaksanakan hukuman terhadap pelajar yang melanggar
peraturan sekolah.

Rotan hanya jalan yang terakhir bagi pelajar yang melakukan kesalahan disiplin. Ini kerana
tujuan hukuman hanyalah untuk memperbaiki tingkah laku yang tidak diingini. Seseorang
guru perlulah menggunakan kebijaksanaannya dan menggunakan pendekatan seperti
kaunseling, terapi tingkah laku, nasihat dan bimbingan. Hal ini kerana pelajar yang
dihasilkan oleh sekolah haruslah selari dengan apa yang digariskan dengan rukun Negara
dan falsafah pendidikan kebangsaan selain mempunyai ciri-ciri akhlak, disiplin, agama,
budaya, akademik dan sukan yang baik.

ISU 3 : KURSUS 18 BULAN MANTAPKAN GURU

Visi dan misi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Bahagian Pendidikan Guru (BPG)
adalah untuk melaksanakan sistem pendidikan guru yang bertaraf dunia dari segi kualiti
untuk memastikan agar guru-guru sentiasa berketrampilan bagi memenuhi aspirasi negara
Malaysia. Justeru itu, salah satu objektif BPG adalah untuk melahirkan guru permulaan yang
berkualiti. Guru permulaan yang berkualiti ini merupakan modal insan minda kelas pertama
seperti yang digariskan di dalam Pelan Induk Pembangunan Pelajaran (20062010)
(Kementerian Pelajaran Malaysia, 2006). Guru permulaan yang berkualiti merangkumi
kebolehan mengurus kokurikulum yang dipertanggungjawabkan dan mematuhi etika
perguruan.

2.0 Isu Semasa

Dalam tugasan ini, telah membincangkan isu kepuasan pihak pentadbir sekolah
terhadap guru permulaan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) berdasarkan satu kajian
yang telah di lakukan. Terdapat empat aspek yang telah diukur merangkumi empat perkara
iaitu kualiti diri, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, pelaksanaan
aktiviti kokurikulum di sekolah dan pengurusan kerja. Kualiti diri guru merujuk kepada
kualiti profesional seseorang guru permulaan. Pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik
darjah adalah merujuk kepada strategi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
Sementara aktiviti kokurikulum di sekolah merujuk kepada pengendalian aktiviti sukan,
permainan, badan beruniform dan aktitivi-aktiviti luar bilik darjah yang profesional. Manakala
pengurusan kerja di sekolah merujuk kepada tugas pengurusan maklumat pelajar, bilik
darjah dan tugas tambahan di luar waktu sekolah.

Gambar 1 : Keratan Akhbar mengenai isu guru KPLI kurang kualiti

Apa yang menjadi isu ialah kegagalan guru permulaan dalam membuktikan mereka benar-
benar profesional turut menyumbang kepada masalah profesion keguruan. Lourdusamy
dan Tan (1992) dalam Chee Kim Mang (2008) merujuk kepada suatu tinjauan yang
mendapati bahawa guru tidak dapat mengawal masalah yang dihadapi dalam kelas seperti
masalah kesukaran mengawal pelajar, masalah pelajar bersikap negatif, masalah pelajar
tidak berminat belajar, pasif dan gagal memahami pelajaran yang diajar menyebabkan guru
mengambil pendirian ''tidak peduli.'' Manakala menurut Chiam (2004) dalam Chee Kim Mang
(2008) berpendapat bahawa terdapat perkaitan antara ketidak berkesanannya pengajaran
guru dengan ponteng dalam kalangan pelajar.

Majoriti guru yang baru yang mengajar sekitar 1-3 tahun kebiasaanya mengalami masalah
dalam pengurusan bilik darjah. Ini dibuktikan oleh para penyelidik pendidikan (Veenman,
1984; Knowles & Cole, 1994; Calderhead & Shorrock, 1997) ada menyatakan bahawa
majoriti guru yang mengajar pada beberapa tahun permulaan mengalami pelbagai masalah
dalam pengajaran mereka seperti mengurus murid, menjalin hubungan yang baik di dalam
bilik darjah, menguasai isi kandungan pelajaran, merancang aktiviti yang melibatkan murid
dan membantu murid belajar di dalam kelas. Sering kali di dalam kelas, guru permulaan
kurang keyakinan diri untuk membentuk disiplin murid-murid serta mengaplikasikan teori
pedagogi yang telah dipelajari.

Bukan itu sahaja, sebahagian guru permulaan atau guru novis turut alami masalah dalam
unit pengurusan kokurikulum. Ini mungkin disebabkan oleh kurang pengalaman dan sikap
tidak mahu ambil tahu. Perkara ini dikukuhkan lagi oleh Abu Bakar ( 1994) dalam kajiannya,
menyatakan guru permulaan tidak mahir dalam ehwal pengurusan kokurikulum dan sukan.
Tambah Glickman (1990) dalam Chee Kim Mang (2008) lagi, guru permulaan didapati
rendah dari segi peniskalan. Ini dapat dijelaskan apabila guru permulaan didapati kurang
signifikan dalam membuat keputusan ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlaku di
dalam bilik darjah. Kekurangan pengalaman juga membuatkan mereka tidak tahu apa yang
harus dilakukan apabila timbul perkara yang tidak diingini dalam bilik darjah. Oleh demikian,
mereka lebih gemar diberitahu apa tindakan dan keputusan yang perlu dilaksanakan.

Fuller dan Bown (1975) dalam Chee Kim Mang (2008) mendapati keperluan utama guru
permulaan adalah berkenaan dengan kehidupan dan keselamatan kendiri (own survival and
security). Lantaran itu, mereka dikatakan berada dalam suatu keadaan yang dikenali
sebagai practice shock (Veenman, 1984) yang digambarkan sebagai sink-or-swim (Renard,
2003; Achinstein & Athanases, 2006) dalam Chee Kim Mang (2008) permulaan karier,
terpencil di dalam bilik darjah, tiada sokongan guru-guru lain, kuasa terbatas untuk membuat
keputusan dan kurang peluang untuk belajar. Mereka khuatir sama ada mereka boleh
mengawal pelajar dan apakah persepsi guru besar dan guru sekolah lain terhadap mereka?
Soal menyesuaikan diri dengan guru besar dan guru-guru lain di sekolah merupakan suatu
aspek yang sangat penting. Menurut Rosli Yaacob (2006) dalam Chee Kim Mang (2008),
guru permulaan menggangap guru besar sebagai sebagai seorang ketua pentadbir dan
tidak membantu sepenuhnya dalam meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran
( P&P) mereka. Manakala, guru-guru lain di sekolah dianggap sebagai teman sosial sekadar
untuk berbual, dan tempat untuk mendapatkan sokongan emosi. Namun apa yang jelas,
penerimaan dan kerjasama guru-guru yang lebih berpengalaman akan membantu
meningkatkan motivasi guru permulaan.
Ananalisis isu 3:

Kesimpulannya, berdasarkan isu ini memberi sedikit gambaran tentang kepuasan pihak
pentadbir terhadap kualiti guru permulaan KDPM dan KPLI yang baru berkhidmat di
sekolah. Atas segala rasional di atas, guru permulaan atau guru novis harus lebih proaktif
dan berusaha melonjakkan profesion keguruan kearah yang lebih baik lagi. Diharapkan,
berdasarkan huraian dan idea di atas sedikit sebanyak dapat membantu perkembangan diri
dan profesionalisme guru dalam menghadapi cabaran semasa.

4.0 DEFINISI PENDERAAN

Merujuk sumber Wikipedia Bahasa Melayu (2012), Penderaan kanak-kanak bermaksud dera
ataupun satu perbuatan zalim yang dilakukan kepada golongan kanak-kanak. Biasanya
ditakrifkan kepada mereka yang berusia kurang daripada 18 tahun. Menurut Kamus Dewan
Edisi Keempat (2010), dera bermaksud pukulan, mendera, seksa, denda dan hukuman.
Manakala penderaan pula merujuk kepada perbuatan mendera terhadap kanak-kanak.

Peters dalam bukunya yang bertajuk Ethics and Education (1966) dan The Logic of
Education (1970) telah mendefinisikan denda sebagai mengenakan kesakitan dengan
sengaja oleh orang yang berautoriti ke atas seseorang yang melanggar peraturan dan ke
atas sesorang yang melakukan sesuatu yang tidak menyenangkan. Oleh itu, dalam konteks
isu yang dibincangkan ini, guru tersebut telah melakukan penderaan terhadap muridnya
sebagai hukuman terhadap kesalahan yang dilakukan bagi membentuk disiplin murid
tersebut. Namun begitu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa setiap sekolah
termasuklah sekolah agama rakyat perlu mempunyai kaedah standard dalam menguruskan
soal disiplin pelajar.

Penderaan berlaku kerana si pendera adalah lebih kuat dan bertenaga secara fizikal serta
lebih berkuasa secara mental dan psikologi daripada yang didera. Murid yang menjadi
mangsa terhadap penderaan yang dilakukan oleh guru sekolah agama tersebut adalah
dikategorikan sebagai kanak-kanak kerana umurnya belum menjangkau 18 tahun dan ke
atas. Penderaan terhadap kanak-kanak dibahagikan kepada empat jenis penderaan yang
utama, iaitu penderaan fizikal, penderaan seksual, penderaan kerana mereka diabaikan
penjagaan dan penderaan emosi (Malaysia 1991).
4.0 JENIS-JENIS PENDERAAN

4.1 Penderaan Fizikal

Pakar perubatan mendefinisikan penderaan fizikal sebagai tindakan yang boleh


menyebabkan kecederaan seperti pendarahan otak (Birrell & Birrell 1968), lebam yang teruk
(Silverman 1968 dan Cafey 1972), kecacatan akibat penderaan fizikal (Camerin 1972), retak
dan patah tulang (ONeil et al. 1973), bekas gigitan (Sims et al. 1973), lecur dan terbakar
dicucuh puntung rokok (Smith & Hanson 1974). Menurut Mohd. Sham Kasim (1994) cara
dan alat yang digunakan untuk mendera selain memukul menggunakan tangan, dirotan,
disebat, digigit, disimbah cecair panas, dicucuh dengan besi atau benda panas, puntung
rokok atau ubat nyamuk, dirantai, diikat, dikurung, dikunci di dalam bilik atau rumah,
ditumbuk, disepak, diterajang, dicubit, dikepit atau dipulas dan sebagainya.

4.1 Penderaan Seksual

Penderaan seksual merujuk segala bentuk aktiviti seksual yang mempunyai tujuan
memenuhi nafsu seks orang dewasa, melalui pornografi, gambar, perakam suara, filem,
perakam video atau mengeksploitasi bahagian sulit kanak-kanak. Penderaan seksual
melibatkan kanak-kanak adalah dengan cara mencabul kehormatannya, dirogol dan dipaksa
melacur. Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991 mentakrifkan bahawa seseorang yang
terlibat dalam kes penderaan seksual kanak-kanak adalah apabila dia mengambil bahagian,
sama ada sebagai peserta atau pemerhati dalam apa-apa aktiviti yang bersifat seks bagi
maksud apa-apa bahan, fotograf, rakaman, filem, pita video atau persembahan yang
bersifat pornografi, lucah atau eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi memuaskan
nafsu seks orang itu atau orang lain.

4.2 Penderaan Pengabaian Penjagaan

Penderaan kerana diabaikan penjagaan didefinisikan secara rumusan daripada Akta


Perlindungan Kanak-kanak sebagai kegagalan ibu bapa untuk memenuhi keperluan asas
anak seperti pemberian makanan, pakaian, kediaman, rawatan perubatan, tidak memberi
penyeliaan atau pengawalan anak daripada terlibatnya dengan kumpulan jahat atau bahaya
moral dan tidak melindungi mereka daripada bahaya sehingga kanak-kanak terpaksa
menjaga diri sendiri dan menjadi pengemis. Pengabaian kanak-kanak merujuk pada
pengabaian terhadap penjagaan kanak-kanak daripada segi keperluan asas seperti
keselamatan, makanan berkhasiat, pendidikan, rawatan emosi dan fizikal (Ammerman &
Hersen, 1990:28).
4.3 Penderaan Emosi

Penderaan emosi merujuk kepada bentuk gangguan psikologi terutama daripada segi
mental dan emosional, sama ada didera dan dianiayai oleh ahli keluarga atau individu yang
paling hampir dengan kanak-kanak tersebut. Emosi adalah rasa dalaman yang dapat dilihat
sebagai sedih, marah, meradang, geram, benci, sakit dan sebagainya (lihat Kieran O
Hagan, 1993:22). Penderaan emosi merangkumi tidak memberi kasih sayang yang cukup
atau membenci kanak-kanak tersebut, kanak-kanak tidak dihiraukan, tidak dilayan
karenahnya, pergaulan mereka disekat misalnya tidak dibenarkan berkawan atau bermain
sesama mereka, mereka sering dimarahi, ditengking, ditakut-takuti dan ahli keluarga
bermusuhan dengan kanak-kanak.

Oleh itu, ternyatalah di sini bahawa kes penderaan yang dibincangkan ini adalah
jenis penderaan fizikal. Terdapat kesan-kesan melecet pada tangan akibat diikat seperti
yang dilaporkan dan ini menyebabkan mangsa koma selepas dipukul oleh guru berkenaan.

5.0 FAKTOR-FAKTOR YANG MENYEBABKAN BERLAKUNYA PENDERAAN

5.1 Tekanan Bebanan Kerja

Menurut Kamus Dewan (1999), tekanan membawa maksud sesuatu desakan atau paksaan
yang diterima oleh seseorang. Manakala Kamus Oxford Advanced Learners (1983)
mendefinisikan tekanan atau dalam Bahasa Inggerisnya stress sebagai pressure; condition
causing hardship, disquiet. Seyle (1964) adalah orang yan pertama menggunakan terma
tekanan mendefinisikannya sebagai satu set fizikal dan psikologikal yang bertindak balas
kepada keadaan dan pengaruh yang sebaliknya. Manakala Kamus Behavioral Science
medefinisikan tekanan sebagai satu keadaan fizikal atau tekanan mental yang
menyebabkan perubahan dalam sistem saraf autonomi.

Kyriacou & Sutcliffe, (1978) menyatakan bahawa tekanan guru boleh ditakrifkan sebagai
perasaan tidak selesa, emosi negatif seperti marah, kebimbangan, tekanan serta
kekecewaan yang berpunca dari aspek kerja mereka sebagai seorang guru. Dalam hal ini,
guru yang menghadapi tekanan adalah guru yang tidak dapat mengawal emosi mereka
terhadap perubahan budaya pendidikan yang bukan sahaja untuk memberi ilmu
pengetahuan tetapi perlu mendidik manusia agar menjadi modal insan yang berguna
kepada masyarakat.
Guru terpaksa melakukan kerja lebih masa, perkeranian, menyediakan alat bantu mengajar,
menghadiri kursus atau bengkel sepanjang minggu sambil terpaksa melakukan penyesuaian
terhadap kaedah pengajaran yang baru sehingga mengabaikan emosi dan kehendak
dalaman mereka. Oleh itu, kadangkala mereka akan bertindak diluar jangkaan semata-mata
untuk memuaskan kehendak dalaman mereka yang selama ini tidak dapat dipenuhi
berikutan bebanan kerja yang terlalu banyak.

5.2 Kurang Memahami Etika Perguruan

Selain itu, punca berlakunya kes penderaan yang melibatkan guru ini adalah disebabkan
guru tersebut kurang memahami etika keguruan yang telah digariskan. Guru yang
memahami etika keguruan tidak akan tergamak untuk melakukan perkara sedemikian
terhadap anak muridnya sendiri. Hal ini berbeza pula dengan kes yang telah berlaku kepada
guru tersebut kerana telah melanggar kod etika guru yang telah digariskan ini. Hal ini sedikit
sebanyak telah memberikan gambaran bahawa guru tersebut tidak mengerti dan memahami
kandungan yang telah termaktub di dalam kod etika guru.

Laporan Suruhanjaya Diraja Mengenai Perkhidmatan Perguruan Malaysia Barat (Laporan


Aziz, 1971), mencadangkan supaya diadakan Etika Profesion Perguruan bagi pembentukan
tatasusila guru. Etika perguruan ini akan menjadi satu panduan kepada guru dalam
melaksanakan tugasan harian sebagai guru. Berdasarkan kod etika perguruan yang telah
ditetapkan, sepatutnya setiap ahli profesion iaitu guru sedia maklum tentang perkara yang
boleh dilakukan serta perkara yang tidak boleh dilakukan sebagai seorang guru. Tetapi, apa
yang berlaku di dalam kes ini adalah sebaliknya.

5.3 Tiada Kesedaran Agama

Tiada kesedaran agama juga boleh membawa kepada gejala penderaan guru terhadap
anak muridnya sepertimana yang berlaku terhadap guru tersebut. Guru tidak menghayati
apa yang diajarkandalam agama. Agama Islam contohnya menganjurkan agar umatnya
bekerja dengan ikhlas, amanah dan penuh bertanggungjawab. Kerja adalah satu ibadah dan
ramai di antara guru yang bekerja tetapi tidak bersungguh-sungguh dan tidak amanah.

Kesedaran agama yang kurang iaitu tidak menggunakan ilmu yang dipelajari dengan sebaik
mungkin menyebabkan guru tersebut tidak dapat membezakan yang mana betul dan yang
mana salah. Oleh itu hal ini akan menyebabkan berlakunya kes penderaan seperti yang
telah dilakukan oleh guru tersebut terhadap anak muridnya. Walaupun kes yang
dibincangkan ini melibatkan guru sekolah agama, namun di sini jelas menunjukkan
perbuatan guru tersebut bukan mencerminkan beliau sebagai seorang muslim yang
mengamalkan ajaran Islam dengan baik. Jika difikirkan secara logiknya, mana mungkin kes
seperti ini akan berlaku kepada seorang guru sekolah agama yang telah kita sedia maklum
mempunyai pengetahuan agama yang tinggi.

5.4 Penyalahgunaan Dadah

Penyalahgunaan dadah merupakan salah satu punca berlakunya kes penderaan di sekolah
yang melibatkan guru dan murid. Guru yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah akan
hilang kawalan diri dan tidak mampu untuk berfikiran dengan waras. Mereka ini telah hanyut
dalam dunia mereka sendiri dan telah hilang matlamat sebenar kehidupan. Spiritual mereka
amat lemah manakala emosi mereka sukar dikawal dan mudah tertekan. Apabila seseorang
guru telah terlibat dengan penyalahgunaan dadah mereka akan mudah dihimpit dengan
pelbagai masalah lain.

Kesan penyalahgunaan dadah juga akan menyebabkan perubahan sikap individu tersebut.
Mereka akan mudah menjadi panas baran oleh sebab kitaran darah dalam badan mereka
bergerak dengan cepat. Maka, tidak hairanlah sekiranya dikatakan guru yang terlibat
dengan penyalahgunaan dadah akan mudah melakukan penderaan terhadap anak
muridnya.

6.0 IMPLIKASI KES PENDERAAN FIZIKAL

Sekiranya masalah penderaan fizikal yang melibatkan guru dan murid sekolah ini tidak
dibendung dengan baik, mungkin masalah ini akan menular dengan lebih teruk lagi. Kesan
dan akibat daripada perbuatan tingkah laku guru yang negatif ini bukan sahaja akan
memberi kesan kepada guru tersebut sahaja, namun kesannya akan turut dirasai oleh
mangsa penderaan itu sendiri, guru-guru lain, sekolah, masyarakat dan sebagainya.

6.1 Terhadap Guru

Masalah yang berlaku ini akan menyebabkan hubungan guru dan murid menjadi semakin
renggang di mana semua murid membenci dan takut untuk menuntut ilmu dengan guru
tersebut. Dalam situasi ini, murid akan berasa tidak selamat untuk meneruskan sesi
pembelajaran. Selain itu, hubungan guru dengan rakan sejawatannya juga akan musnah
kerana mereka semua tidak lagi mempercayai guru tersebut selepas sekali melakukan
perbuatan mendera anak muridnya. Akibatnya, guru tersebut akan mengalami tekanan
emosi dan konflik jiwa yang serius. Mengikut Terri Mauro (2004), terdapat banyak faktor
yang berkait dengan gangguan emosi contohnya masalah ketidakfungsian otak, pemakanan
dan masalah keluarga.

6.2 Terhadap Murid

Murid-murid yang didera akan mengalami kecederaan pada mana-mana bahagian tubuh
badan dan kesan penderaan ini dapat dilihat oleh penglihatan. Malah ia juga akan
menyebabkan pertumbuhan murid-murid yang didera ini terjejas. Malah, kesan penderaan
terhadap murid juga boleh menyebabkan kematian seperti kes yang dibincangkan ini.
Malah, guru yang bersikap suka mendera dan memukul ini akan memberi kesan atau
mempengaruhi murid-murid lain untuk melakukan perbuatan yang sama kepada rakan-
rakan mereka yang lemah kerana guru merupakan role-model kepada murid-murid.
Menurut Mahathir (1999), guru-guru dituntut agar mempunyai sahsiah dan akhlak yang
boleh diteladani oleh murid dan masyarakat di samping menguasai pelbagai ilmu. Sahsiah
yang dipamerkan oleh guru ini akan menjadi panduan dan diteladani oleh murid-murid di
sekolah. Maka, hal ini akan sekaligus menjejaskan sistem pendidikan yang terdapat di
negara kita.

6.3 Terhadap Profesion Perguruan

Isu penderaan ini hanya dilakukan oleh segelintir guru sahaja, tetapi seperti kata pepatah
Kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Kesan daripada tingkah laku segelintir guru ini
akan merosak dan mencemarkan imej profesion perguruan. Tingkah laku negatif yang
dilakukan oleh guru akan menyebabkan profesion perguruan ini dipandang rendah oleh
lapisan masyarakat. Masyarakat lebih cenderung melihat dan menilai sesuatu yang negatif
berbanding perkara yang positif. Tambahan pula, profesion ini tidak lagi dihormati oleh
masyarakat terutama ibu bapa dan murid-murid.

Selain itu, gejala penderaan yang berlaku ini juga memberi kesan kepada profesion
perguruan yang menyebabkan generasi muda tidak lagi berminat untuk menjadi guru dan ini
akan mengakibatkan profesion ini kekurangan generasi muda yang berbakat untuk mendidik
anak bangsa. Kesannya kerajaan tidak dapat melahirkan guru-guru yang berkemahiran
dalam pelbagai aspek kerana kekurangan generasi muda yang ingin menceburi bidang ini.
Mengikut Lilia dan Norlena (1998), penyusutan kuasa untuk menjalankan tugas secara
professional menyebabkan profesion perguruan menurun di kaca mata masyarakat.

6.4 Terhadap Sekolah

Apabila isu penderaan ini memberi kesan kepada guru dan murid, secara tidak langsung isu
ini juga akan memberi kesan kepada sekolah. Dengan berlakunya kes-kes penderaan ini,
reputasi dan imej sekolah akan jatuh. Sekolah adalah sebagai sebuah organisasi formal
yang mempunyai matlamat tertentu. Menurut Abu Bakar dan Ikhsan (2003), sekolah adalah
satu masyarakat kecil yang mempunyai budaya tersendiri.

Sekiranya budaya penderaan diamalkan di sesebuah sekolah dan tidak dibendung dengan
kadar segera, masyarakat tidak lagi mengganggap sekolah sebagai sebuah institusi yang
selamat untuk mereka menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan di sekolah
tersebut. Hal ini juga akan menyebabkan sekolah tidak lagi dianggap sebagai institusi
pendidikan yang memberi pendidikan berkualiti kepada murid-murid.

6.5 Terhadap Ibu Bapa dan Masyarakat

Isu penderaan yang berlaku ini turut memberi kesan kepada ibu bapa dan
masyarakat. Hubungan yang terjalin di antara guru dan ibu bapa akan menjadi renggang
disebabkan ibu bapa tidak lagi mempercayai kredibiliti guru-guru tersebut untuk mendidik
anak-anak mereka. Kebajikan dan keselamatan yang seharusnya dititikberatkan oleh guru
akhirnya terancam disebabkan oleh guru sendiri. Hal ini akan merisaukan pihak ibu bapa
untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Kesannya ada di antara ibu bapa yang
membawa isu penderaan ini kepada pihak atasan seperti polis dan peguam bagi
mendapatkan keadilan bagi pihak anak mereka. Di samping itu juga, masyarakat akan turut
memandang serong kepada semua pihak termasuklah guru dan pentadbir sekolah kerana
tidak bertanggungjawab dalam menjalankan tugas sebagai pendidik.

7.0 CADANGAN / LANGKAH MENGATASI ISU PENDERAAN

Penderaan fizikal yang berlaku kepada murid ini merupakan salah satu isu yang sangat
dipandang serius oleh lapisan masyarakat. Kita sedia maklum bahawa kebanyakan guru
menghukum murid di atas kesalahan atau kenakalan yang dilakukan oleh murid itu sendiri.
Namun begitu, penderaan bukanlah langkah yang terbaik untuk menghukum seseorang
murid yang melakukan kesalahan. Tingkah laku negatif seperti mendera yang dilakukan oleh
guru tersebut hendaklah dibendung dengan kadar segera. Menurut Lewis M. Beaker (2001),
tingkah laku adalah sebarang perbuatan yang dilakukan sama ada secara terus atau tidak,
secara sedar atau separa sedar.

7.1 Tingkatkan Kesedaran Agama Dalam Diri

Antara langkah untuk mengatasi isu tersebut ialah dengan meningkatkan kesedaran agama.
Setiap guru hendaklah mendalami ilmu agama supaya setiap tingkah laku yang dilakukan
adalah berlandaskan kepada pegangan agama. Dengan mendalami ilmu agama, seseorang
guru itu akan sedar peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan perlu dilaksanakan
dengan sebaik yang mungkin dan berusaha untuk menjalankan tanggungjawab dengan
ikhlas. Menurut INTAN (1994), ikhlas merupakan salah satu etika yang perlu diamalkan
dalam pekerjaan. Ini bermaksud setiap penjawat awam hati yang bersih, jujur dan suci. Jika
seseorang itu ikhlas dalam kerjanya, ia akan menjalankan tugas tersebut dengan sempurna
dan menghasilkan output yang memuaskan secara berterusan.

7.2 Wujudkan Khidmat Kaunseling Khas Untuk Guru

Selain itu, di setiap sekolah hendaklah diwujudkan khidmat bimbingan dan kaunseling yang
dikhaskan untuk guru bagi menangani isu penderaan fizikal terhadap murid di mana khidmat
ini dikendalikan oleh individu yang pakar dalam masalah ini. Khidmat bimbingan dan
kaunseling ini bertujuan untuk membolehkan guru mendapatkan bantuan dan nasihat
daripada pakar kaunseling jika mereka terlibat atau mengalami masalah gangguan emosi
yang boleh mengakibatkan mereka bertindak di luar kawalan. Menurut Shertzer dan Stone
(1981) menyatakan bahawa bimbingan sebagai perkhidmatan membimbing individu yang
memerlukannya untuk mencapai kefahaman, pengetahuan dan kemahiran tertentu.

7.3 Penguatkuasaan Undang-undang

Penguatkuasaan undang-undang adalah merupakan langkah yang patut diambil


oleh kerajaan bagi mengatasi isu berkaitan dengan penderaan. Merujuk kepada rencana
yang dikeluarkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 1 April 2001, Dr. Rais Yatim menyatakan
bahawa undang-undang adalah peraturan hidup yang berkata-kata. Undang-undang
berkata-kata melalui bahasanya yang tersendiri iaitu bahasa undang-undang.
Penguatkuasaan undang-undang seperti penjara, sebatan, hukuman dan sebagainya
perlulah dikuatkuasakan bagi mengatasi masalah ini daripada terus berleluasa. Mana-mana
guru yang terlibat dengan tindakan undang-undang boleh dilucutkan jawatannya sebagai
seorang guru. Ini dapat memberi pengajaran kepada guru lain supaya tidak melakukan
perkara yang sama berkaitan isu penderaan ini.

7.4 Melantik Guru yang Berkelayakan

Kerajaan hendaklah melantik guru-guru yang berkelayakan untuk menjawat


profesion sebagai seorang pendidik. Hal ini disebabkan, guru yang berkelayakan telah diberi
latihan yang secukupnya untuk menjadi seorang guru. Program-program dan kursus-kursus
yang telah dijalani oleh individu ini sedikit sebanyak membantu mereka memahami etika
keguruan yang telah digariskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia contohnya seperti
Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP).

8.0 RUMUSAN

Pandangan saya berkaitan dengan isu guru agama memukul anak muridnya
sehingga menyebabkan kematian ini adalah tidak wajar berlaku. Hal ini kerana tugas guru
adalah sebagai seorang pendidik dan pembimbing dan bukan sebagai pengancam
keselamatan murid-murid. Persoalan yang timbul ialah adakah perlu seorang guru
membelasah muridnya sedemikian rupa? Lebih-lebih lagi mangsa hanya berumur 7 tahun.
Tidak sepadan langsung dengan suspek yang berumur 26 tahun. Sekiranya memang benar
bahawa murid tersebut melakukan kesalahan mencuri, tindakan membelasah murid
berkenaan secara melulu bukanlah jalan yang terbaik dalam menyelesaikan sesuatu
masalah.

Terdapat pelbagai cara yang lebih efektif dan berkesan yang boleh digunakan. Guru
tersebut tidak boleh bertindak tanpa alasan dan bukti yang kukuh. Tambahan pula sekiranya
dakwaan yang mengatakan bahawa murid tersebut mencuri adalah daripada percakapan
murid-murid yang lain. Dalam erti kata yang lain ialah hanya syak. Tindakan memukul dan
membelasah murid tersebut bagi saya adalah sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Lebih-lebih lagi bagi seorang guru yang mempunyai pendidikan agama. Mencabut nyawa
seseorang dengan tangan sendiri hanya kerana syak dan wasangka, adalah tindakan yang
paling dangkal sekali yang dibuat oleh seorang manusia lebih-lebih lagi digelar seorang
guru.

Menurut Abu Bakar Nordin (2003), peribadi dan sahsiah seorang guru akan
menentukan kedudukannya di mata masyarakat. Oleh itu, guru harus memiliki sifat
profesionalisme yang tinggi. Sebagai seorang pendidik, guru perlu menjadi contoh dan
teladan kepada para murid dalam pelakuan sehariannya supaya pendidik menjadi
masyarakat yang dihormati dan disegani. Etika dan tatasusila profesion perguruan yang
menjadi pegangan harus sentiasa difahami, dihayati dan diamalkan. Dengan mengamalkan
etika keguruan yang telah digariskan, isu berkaitan dengan penderaan seperti yang
dibincangkan akan dapat dibendung dan diatasi dengan berkesan.

9.0 REFLEKSI

Dunia pendidikan semakin mencabar pada hari ini. Pelbagai isu yang berkaitan
dengan guru dan keguruan sering dibincangkan melalui media massa. Berdasarkan tugasan
projek yang telah diberikan ini, pelbagai manfaat telah saya perolehi. Dengan menjalankan
tugasan projek ini, saya dapat meningkatkan kefahaman tentang ruang lingkup kerjaya
sebagai seorang guru pada masa hadapan. Isu-isu yang berkaitan dengan guru dan
keguruan merupakan topik yang sering mendapat liputan menyeluruh oleh semua pihak. Hal
ini dapat memberi pendedahan kepada saya untuk lebih matang dalam menempuhi isu-isu
yang bakal berlaku apabila menjadi seorang guru pada masa hadapan.

Tugasan projek ini juga mengkehendaki saya menganalisis, mengulas dan


mengutarakan pendapat berkaitan isu yang berkait dengan guru dan keguruan. Hal ini
sekaligus akan dapat mempengaruhi tindakan saya pada masa hadapan sekiranya
menghadapi masalah yang berkaitan. Sekiranya saya berada di dalam mana-mana situasi
yang melibatkan isu guru dan keguruan seperti yang berlaku pada masa kini, saya
hendaklah bertindak secara matang. Tindakan yang saya ambil hendaklah berlandaskan
kepada profesionalisme sebagai seorang guru tanpa mengikut hawa nafsu semata-mata.

Malah, dengan adanya tugasan projek ini, saya dapat berfikir secara kreatif dan kritis dalam
menangani setiap masalah yang berlaku. Hal ini disebabkan, bertindak tanpa berfikir akan
mendatangkan kesan yang negatif kepada individu itu sendiri. Jadi, setiap masalah yang
berlaku akan dapat diselesaikan sekiranya saya dapat berfikir secara kreatif dan kritis dalam
usaha untuk mencari jalan penyelesaian. Tambahan pula, saya dapat mempelajari
kemahiran baharu dengan adanya penerapan unsur ICT semasa menjalankan tugasan
projek ini. Tugasan ini memerlukan saya membina sebuah blog laman ilmu secara
berkumpulan. Hal ini memberi pengetahuan kepada saya tentang penggunaan teknologi
maklumat dan komunikasi dalam pendidikan. Kemahiran ini juga dapat digunakan pada
masa hadapan kerana sistem pendidikan pada masa kini amat mementingkan penggunaan
ICT dalam bidang pendidikan.

Anda mungkin juga menyukai