Anda di halaman 1dari 3

Kesan & Akibat Kehamilan Remaja

Kehamilan remaja bermaksud kehamilan yang berlaku pada remaja perempuan berumur di
antara 10 dan 19 tahun. Banyak kesan dan akibat yang akan dihadapi oleh remaja perempuan
yang hamil, bukan setakat menanggung masalah yang biasa dihadapi oleh setiap perempuan
yang hamil tetapi kesan bagi remaja yang hamil lebih dari itu seperti masalah mental, sosial,
kewangan dan juga menghadapi risiko kematian.

Kesan ke atas keluarga remaja

Apabila kehamilan remaja berlaku, seluruh keluarga yang terlibat akan menghadapi tekanan
dan ini boleh menjejaskan hubungan kekeluargaan. Ibu bapa serta remaja tersebut perlu
membuat keputusan sama ada remaja tersebut akan menjaga bayi yang akan lahir,
menggugurkannya atau memberikan anaknya kepada keluarga angkat. Jika remaja di bawah
umur dan belum berkahwin, kehamilan remaja ini melibatkan masalah undang-undang yang
menambahkan lagi tekanan/stres kepada remaja serta ahli keluarganya.

Kesan kehamilan ke atas mental remaja

Remaja yang hamil berisiko tinggi menghadapi masalah mental seperti kemurungan, tekanan
dan stres untuk menjadi ibu/bapa. Kurang sokongan dari keluarga dan masyarakat boleh
membawa remaja kepada kemurungan, membuat keputusan yang tidak tepat dan masalah
penyalahgunaan dadah.

Disebabkan stigma kehamilan remaja yang masih tinggi dalam masyarakat, remaja
menghadapi masalah malu, rasa bersalah, rasa marah, denial dan murung. Ini akan membawa
kepada perasaan kurang harga diri dan akhirnya mereka akan takut untuk memberitahu atau
meminta pertolongan kawan, keluarga atau sesiapapun tentang kehamilan mereka dan
seterusnya akan memencilkan diri sendiri.

Kesan jika pengguguran bayi dilakukan

Pengguguran bayi jika dilakukan boleh mengakibatkan kesan jangka panjang kepada remaja
berkenaan termasuk kemurungan, masalah stress post trauma, rasa bersalah, masalah tidur
dan juga masalah anxiety/resah gelisah.

Kesan sosial

Stigma masyarakat kepada remaja yang mengandung di luar nikah akan membuat remaja
berasa terpinggir dan tidak akan mendapat banyak sokongan daripada keluarga dan rakan.

Masalah kesihatan yang berkaitan dengan kehamilan remaja.

Masalah kepada bayi yang akan lahir

Kurang berat lahir (kurang 2.5 kg)


Kelahiran awal (premature). Remaja yang mengandung selalunya melahirkan anak
awal dari jangkaan atau kurang daripada 37 minggu.

Kematian, disebabkan bayi yang lahir di kalangan remaja yang hamil selalunya tidak
mendapat penjagaan kesihatan yang mencukupi.

Masalah kepada remaja yang hamil

Tekanan darah tinggi. Ini kerap berlaku semasa kehamilan pertama.

Kesukaran semasa proses kelahiran disebabkan pinggul remaja yang sempit


(Obstructive labour) termasuk penggunaan alat untuk membantu proses kelahiran
(Instrumentation delivery)

Kurang darah/anaemia

Komplikasi kelahiran yang boleh mengakibatkan kematian.

Kesan kewangan/ekonomi

Kehamilan remaja akan menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan persekolahannya dan
menyebabkan remaja sukar mendapat pekerjaan serta pendapatan yang baik dan ini akan
mengurangkan peluangnya untuk membina hidup yang lebih baik di masa hadapan.
Pendapatan yang kurang akan memberi kesan ke atas penjagaan dan pemakanan anak yang
akan lahir.

Kesan jangka panjang

Remaja hamil berisiko tinggi hidup dalam kemiskinan, tidak mendapat kerja yang stabil,
mempunyai rumah tangga yang tidak stabil, mempunyai anak-anak yang mempunyai
pencapaian yang rendah di sekolah dan akan mempunyai anak perempuan yang akan
berkesudahan hamil juga semasa remaja. Fakta ini didapati daripada kajian yang dijalankan
oleh American Academy of Child and Adolescent Psychiatry.

Setiap remaja perlu mengetahui akibat serta kesan daripada tingkah laku yang akan
membawa kepada kehamilan remaja. Remaja yang hamil akan menghadapi berbagai-bagai
masalah seperti yang telah dibincangkan di atas dan akan mempengaruhi hubungan keluarga
dan juga masyarakat.

Anda mungkin juga menyukai