Anda di halaman 1dari 15

1

BAB 1

PENGENALAN

1.1 Pengenalan

Pembangunan pesat ekonomi negara telah menambah peluang kerjaya yang lebih
baik sama ada sektor awam mahupun swasta. Setiap individu mempunyai pilihan
yang tersendiri untuk membuat pilihan kerjaya masing-masing yang akan menjamin
masa depan diri dan keluarga. Kerjaya ibarat penentu dalam menentukan sama ada
seseorang itu berjaya dalam hidup atau sebaliknya. Kerjaya yang tepat juga menjadi
salah satu kayu ukur untuk mengukur tahap pencapaian seseorang itu dalam
masyarakat. Dalam pemilihan kerjaya, pilihan yang tepat perlu dibuat agar tidak
menyesal di hari kemudian. Pemilihan kerjaya yang tepat dapat memberikan
kepuasan dan keseronokan kepada individu itu sendiri dan juga orang sekeliling
mereka. Sebaliknya, pemilihan kerjaya yang kurang tepat boleh mendatangkan rasa
cepat bosan dan kemungkinan boleh memusnahkan masa depan seseorang individu
itu. Oleh itu, adalah sangat penting bagi seseorang itu mengambil kira pelbagai aspek
dan faktor-faktor yang boleh memberikan kebaikan kepada mereka terhadap
pemilihan kerjaya yang dipilih.
Menurut Laporan Perangkaan Tenaga Buruh yang dikeluarkan oleh Jabatan
Perangkaan Malaysia yang disiarkan pada April 2016 menunjukkan kadar
pengangguran di negara ini meningkat daripada 461,800 orang pada Februari 2015
2

kepada 506,400 orang pada Februari 2016. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak
44,600 orang yang menggangur dalam masa satu tahun dan peningkatan ini adalah
suatu kebimbangan kepada negara. Hal ini kerana pengangguran dalam kalangan
siswazah merupakan satu pembaziran, khususnya kepada negara kerana kos
pendidikan dan latihan yang ditanggung oleh kerajaan amatlah tinggi dan tempoh
masa untuk mendapatkan segulung ijazah adalah panjang (Yussof, Ismail & Sidin,
2008). Selain merugikan kerajaan, individu itu juga mengalami kerugian kerana apa
yang telah dipelajari sepanjang tempoh di universiti tidak dapat dipraktikkan di
dunia sebenar iaitu alam pekerjaan.
Pekerjaan merupakan suatu aktiviti yang penting dalam kehidupan individu,
dan individu akan berasa puas dengan kehidupannya apabila memiliki sesuatu
pekerjaan yang tetap, terjamin dan sesuai dengan minat mereka. Malah pekerjaan
yang bagus dan profesional dapat memperlihatkan status individu itu tinggi dalam
sistem masyarakat, tahap ekonomi dan pendapatan serta taraf hidup seseorang
individu. Menurut Abdullah (2001) kebanyakan siswazah yang menganggur ini
bukannya tidak mendapat pekerjaan atau tidak menerima sebarang tawaran
pekerjaan tetapi mungkin tugas yang ditawar dirasakan tidak bersesuaian dengan
mereka. Kebanyakan siswazah masih mencari pekerjaan lain yang mana tawaran
pekerjaan yang diterima dirasakan tidak bersesuaian dengan status mereka sebagai
bekas penuntut universiti. Tambahan lagi ada siswazah yang menganggur selama
bertahun-tahun kerana terlalu memilih tawaran kerja yang akhirnya merugikan diri
sendiri.
Pelajar sering kali menghadapi masalah dalam pemilihan kerjaya
terutamanya pelajar yang akan menyambung pelajaran pada tahap yang lebih tinggi
seperti diploma dan sarjana muda. Bagi pelajar sarjana dan keatas mereka sudah
cukup dewasa dan boleh berfikir secara rasional untuk menilai diri, minat dan
kebolehan diri sendiri, jadi mereka kurang memerlukan bantuan berbanding pelajar
diploma dan sarjana muda. Masalah yang sering dihadapi adalah kurang
pengetahuan mengenai maklumat diri dan kerjaya yang bakal diceburi, tiada
kepastian tentang kerjaya yang dipilih iaitu kurang maklumat mengenai kerjaya,
kurang minat untuk merancang dan tidak mampu menyelesaikan masalah. Mat Jusoh
(2012) ada menyatakan, kesedaran tentang peluang kerjaya penting bagi pelajar agar
dapat menceburi alam pekerjaan yang diminatinya pada masa hadapan.
3

Kerjaya perguruan pada masa kini menjadi pilihan ramai bakal siswazah
yang ingin menceburinya. Hal ini mungkin disebabkan oleh persepsi segelintir
masyarakat yang menganggap bahawa kerjaya perguruan itu mudah. Terdapat juga
segelintir individu yang menjadikan kerjaya perguruan sebagai pilihan terakhir
sebagai kerjaya dan bukannya memilih kerjaya itu diatas dasar minat untuk mendidik
anak bangsa. Sebaliknya mereka memilih diatas dasar kehendak keluarga untuk
mendapat nama, pilihan akhir dan juga taraf hidup yang lebih baik. Menurut
cendikawan Usman Awang, guru merupakan satu kerjaya yang sangat mulia.
Seorang pemimpin agung mula belajar menulis, membaca dan mengira hanya
daripada seorang guru biasa.
Kini, kita banyak dihebahkan di media massa tempatan mengenai guru-guru
yang bermasalah di Malaysia seperti guru ponteng, mencabul pelajar, menyertai
kumpulan ajaran sesat dan banyak lagi. Antara salahlaku guru yang terbaru dalam
negara ialah daripada keratan akhbar Utusan Malaysia yang bertarikh 10 Oktober
2016, memaparkan seorang guru kaunseling disebuah sekolah terlibat dengan
kumpulan militan Daesh dan berita ini telah disahkan oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia. Selain itu, menurut Kementerian Pendidikan juga, sebanyak 15 kes guru
mencabul kehormatan pelajar antara 2010 hingga 2016. Walaupun jumlah ini adalah
kecil, namun jika dibiarkan ia boleh merebak dan merosakkan nama baik kerjaya
perguruan. Menurut Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Mahdzir berkata
kepada Bernama pada 07 Ogos 2016, mengenai kes guru didakwa mencabul dan
merogol pelajar di negeri Terengganu dan Sabah, beliau berkata kes itu turut
diserahkan kepada polis untuk siasatan.

"Saya amat kecewa dengan berita seumpama ini bagaimana guru boleh
(didakwa) terlibat dalam kes seumpama ini ...kes ini sudah jadi kes polis.

"Cuma kita di peringkat jabatan dan kementerian akan buat siasatan dalaman
yang boleh menentukan bagaimana tindakan boleh diambil kepada penama
sekiranya kes itu terbukti," BERNAMA.

Walaupun pelbagai tanggapan masyarakat terhadap profesion perguruan pada


masa kini, namun kerjaya ini masih tetap dianggap unggul, mempunyai kelasnya
4

yang tersendiri dan profesional. Mungkin di mata masyarakat yang tidak tahu
menilai pengorbanan dan kepayahan seorang guru boleh sahaja melabel guru sebagai
tidak serius dan sambil lewa dalam tugasnya, tetapi bagi yang benar-benar
memahami keikhlasan seorang guru, martabat guru sentiasa berada di puncak dan
tahap yang paling tinggi.

1.2 Latar belakang masalah

Pemilihan kerjaya yang sesuai dengan minat, kebolehan, tahap pencapaian seseorang
itu membolehkan mereka membuat pemilihan kerjaya yang tepat. Pemilihan kerjaya
yang salah atau kurang tepat boleh menjadi satu kesilapan besar dalam hidup
seseorang individu itu. Guru memainkan peranan penting bagi membimbing pelajar
dalam membuat pilihan kerjaya yang selari dengan minat, kebolehan serta tahap
pencapaian pelajar. Pelajar perlulah mendapatkan maklumat mengenai kerjaya yang
dipilih seperti skop tugas, tawaran gaji, dan isu-isu semasa mengenai kerjaya yang
dipilih. Isu kesilapan memilih kerjaya sudah menjadi perkara biasa dalam diri
pelajar. Perkara ini perlu dititikberatkan oleh guru-guru untuk membimbing pelajar
untuk membuat pilihan kerjaya yang tetap dan sesuai dengan minat pelajar. Menurut
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam ucapan beliau kepada akhbar
Utusan Malaysia pada 30 April 2016,

Kebanyakan pelajar cenderung untuk membuat keputusan mengenai kursus


pengajian atau kerjaya tanpa memahami atau mengetahui sesuatu bidang
dengan sepenuhnya.

Ini boleh menyebabkan pelajar berkenaan tidak berminat, kurang memberi


tumpuan sekali gus sukar untuk cemerlang dalam bidang yang dipilih itu,
dipetik daripada akhbar Utusan Malaysia, 30 April 2016.

Oleh itu keputusan yang dibuat untuk menceburi sesuatu kerjaya amat besar
maknanya dan sangat penting bagi seorang pelajar kerana jika kerjaya yang dipilih
itu tidak sesuai dengan minat dan kebolehan mereka, kemungkinan besar apabila
sudah bekerja kelak mereka akan bertukar-tukar kerja dan tercari-cari kerjaya yang
akhirnya benar-benar sesuai dengan minat dan kebolehan mereka. Jika perkara ini
5

terjadi, ianya boleh merugikan masa dan diri pelajar itu sendiri. Menurut Abdullah
(2006) ada sebilangan pelajar yang masih tidak mengenalpasti minat sebenar mereka
dalam memilih bidang pengajian di universiti dimana bidang pengajian yang dipilih
tidak selaras dengan personaliti mereka. Jadi mereka akan lebih cenderung untuk
memilih kerjaya dengan sambil lewa dan tidak mengambil serius mengenai pilihan
kerjaya serta bersikap asal boleh menempatkan nama di dalam senarai universiti.
Situasi ini menunjukkan perlunya ada persediaan untuk menentukan kerjaya
individu sebelum menempuh alam pekerjaan yang sebenarnya. Oleh yang demikian,
antara faktor penting atau persediaan yang perlu ada sebelum membuat pemilihan
kerjaya ialah minat dan pengetahuan dalam bidang yang ingin mereka ceburi
(Coulter-Kern, Schenkel, Walker & Fogle, 2013). Sememangnya pengetahuan dan
maklumat mengenai kerjaya adalah sangat penting kerana pemilihan kerjaya yang
salah boleh merugikan diri individu itu kerana tiada kepuasan dalam meneruskan
kerjaya disebabkan oleh tiada minat terhadap kerjaya yang diceburi.
Pengaruh keluarga ke atas pemilihan kerjaya boleh berbentuk positif, iaitu
dengan memberi nasihat atau berbentuk negatif, iaitu dengan menyuruh atau
memaksa anak-anaknya supaya mengelakkan diri daripada pekerjaan-pekerjaan yang
berpendapatan rendah atau mengikut jejak langkah keluarga bagi latar belakang
keluarga pendidik. Persepsi seperti ini perlu dielakkan agar pelajar dapat membuat
pilihan kerjaya mengikut minat dan bersesuaian dengan personaliti masing-masing.
Kebanyakan pelajar di Malaysia membuat pemilihan kerjaya tanpa
perancangan awal yang sistematik dan juga tanpa bimbingan guru atau mereka yang
lebih profesional. Mereka membuat pilihan berdasarkan apa mereka rasa dan apa
mereka inginkan tanpa mengetahui dengan lebih terperinci mengenai pilihan kerjaya
yang mereka bakal ceburi. Menurut Boon dan Ilias (2011), analisis pemilihan kerjaya
menunjukkan bahawa terdapat pelbagai jenis gaya pemilihan kerjaya yang
diamalkan oleh para pelajar iaitu:
(i) Terdapat pelajar yang tidak mempunyai pengetahuan yang secukupnya
mengenai skop pemilihan kerjaya kerana kurangnya pengetahuan dan tidak
mahu mengenali jenis kerjaya yang baru. Mereka lebih cenderung untuk
memilih kerjaya berdasarkan apa yang terdapat di hadapan mereka sahaja.
Keadaan ini menyebabkan mereka memilih kerjaya berdasarkan apa yang
pernah diceburi oleh anggota keluarga atau apa yang ada di persekitaran
mereka sahaja.
6

(ii) Terdapat juga sebahagian besar pelajar terpengaruh dengan keistimewaan


sesuatu bidang kerjaya tanpa meneliti keburukan dan kesulitan yang mungkin
ditempuhi kelak. Sebagai contoh kerjaya perguruan, dimana segelintir
individu beranggapan bahawa kerjaya guru adalah sangat mudah, namun
hakikatnya guru mempunyai tanggungjawab yang sangat besar dalam
membentuk anak-anak bangsa agar menjadi seorang yang berguna kelak.
(iii) Kebanyakan pemilihan kerjaya dipengaruhi oleh kemahuan atau
tekanan daripada ibu bapa atau ahli keluarga lain disebabkan oleh kecetekan
pengetahuan mengenai bidang pengajian bagi kerjaya lain. Terdapat juga
segelintir masyarakat menjadikan sesuatu kerjaya itu sebagai warisan
keluarga yang perlu diteruskan oleh setiap generasi sehinggakan terus
menolak tawaran bagi kerjaya baru.
(iv)Sistem dan sifat kerjaya juga memainkan peranan penting dalam memikirkan
sesuatu kerjaya yang melibatkan ganjaran gaji yang lumayan, pekerjaan yang
mudah dan tidak mencabar.

Melalui analisis pemilihan kerjaya yang telah dibuat, pengkaji membuat


kesimpulan bahawa pelajar-pelajar membuat pemilihan kerjaya berdasarkan apa
yang ada dihadapan mereka sahaja, sebaliknya mereka malas dan takut untuk
meneroka kerjaya baru yang lebih bersesuaian dengan minat dan personaliti mereka.
Kebergantungan kepada warisan keluarga dan tekanan keluarga juga menyebabkan
pelajar kurang minat untuk menceburi bidang lain yang bersesuaian. Sifat kerjaya
seperti tawaran gaji dan skop tugas juga menjadi faktor kepada pemilihan kerjaya
oleh seseorang pelajar. Menurut The 2016 Hays Asia Salary Guide, 53 peratus rakyat
Malaysia menganggap gaji dan faedah sebagai keutamaan apabila memilih
pekerjaan. Dalam erti kata lain lima dari 10 rakyat Malaysia menjadikan prospek gaji
sebagai faktor penentu dalam memilih pekerjaan. Oleh itu, pemilihan kerjaya yang
tepat adalah perkara yang sangat penting dalam menjamin masa hadapan seseorang
individu.
Dalam kajian ini, pengkaji akan menggunakan Teori Keselarasan Individu-
Persekitaran Holland yang telah mengkategorikan individu kepada enam kategori
berdasarkan pengamatannya. Enam personaliti tersebut ialah Realistik (R),
Investigatif (I), Artistik (A), Sosial (S), Enterprising (E) dan Conventional (C) atau
singkatannya ialah RIASEC. Setiap jenis personaliti terbentuk hasil daripada
7

interaksi antara pelbagai desakan kebudayaan dan personal termasuklah rakan


sebaya, pewarisan biologi, keluarga, kelas sosial, budaya dan persekitaran fizikal.
Namun tidak semua jenis personaliti di dalam teori ini akan digunakan dan pengkaji
telah memilih hanya tiga jenis personaliti iaitu Social (S), Enterprising (E) dan
Conventional (C) yang berkaitan dengan kerjaya perguruan.

1.3 Pernyataan masalah

Pemilihan kerjaya yang sesuai merupakan satu proses yang sangat rumit (Zaib,
2014). Sungguhpun terdapat pelbagai jenis pekerjaan yang boleh diceburi, namun
bagi pelajar-pelajar yang mempunyai pengetahuan dan maklumat serta perhubungan
yang sangat terbatas tentang dunia kerjaya sememangnya memerlukan bimbingan
daripada mereka yang lebih arif. Pelajar ini memerlukan maklumat, bimbingan dan
motivasi yang cukup agar dapat membantu mereka dalam memilih kerjaya yang
sesuai dengan jiwa mereka (Yussof et al, 2008). Selain itu, pengkaji mendapati
bahawa masyarakat sekarang menganggap profesion perguruan sebagai kerjaya
pilihan terakhir ataupun pilihan kedua dalam membuat pemilihan kerjaya mereka.
Walaubagaimana pun mereka tetap menceburi bidang perguruan ini dan keadaan ini
boleh menjadi masalah kepada Kementerian Pelajaran dalam membentuk pendidikan
negara yang seiring dengan Misi dan Falsafah Pendidikan Negara.

Seharusnya bidang ini perlu disandang oleh individu yang betul-betul meminati
bidang perguruan serta individu yang sememangnya bercita-cita menjadi seorang
guru. Keadaan ini akan mempengaruhi kualiti pengajaran mereka dan personaliti
seorang guru. Othman dan Siti Zafirah (2004) menyatakan bahawa faktor-faktor lain
seperti rakan sebaya, saudara mara, guru bukanlah pengaruh yang kuat terhadap
pemilihan kerjaya perguruan. Namun faktor-faktor ini juga mampu menjadi
penyumbang kepada pemilihan kerjaya pelajar. Bagi menjayakan lagi kajian ini,
pengkaji akan menggunakan Teori Kerjaya Holland yang telah diadaptasi daripada
kajian-kajian terdahulu dan disesuaikan dengan kajian ini.

Oleh itu, pengkaji ingin membuat satu kajian faktor-faktor yang


mempengaruhi pemilihan kerjaya pelajar-pelajar tahun satu Ijazah Sarjana Muda
Pendidikan Vokasional di Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, UTHM
8

memilih bidang pengajian perguruan berdasarkan personaliti individu, dorongan luar


seperti dorongan keluarga dan pengaruh rakan sebaya, dan sifat kerjaya perguruan
itu sendiri.

1.4 Tujuan kajian

Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mendapat maklumbalas mengenai faktor-faktor


yang mempengaruhi pelajar tahun satu Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Vokasional,
Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) dalam membuat keputusan
mengenai pemilihan kerjaya perguruan sama ada berkaitan dengan personaliti
individu, dorongan luar atau sifat kerjaya perguruan itu sendiri.

1.5 Objektif kajian

Kajian yang dijalankan adalah untuk mencapai objektif seperti berikut:

(i) Mengenalpasti faktor personaliti individu dalam mempengaruhi pemilihan


kerjaya perguruan dalam kalangan pelajar tahun satu Ijazah Sarjana Muda
Pendidikan Vokasional, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional UTHM
berdasarkan personaliti RIASEC Holland
(ii) Mengenalpasti faktor dorongan luar seperti dorongan keluarga dan pengaruh
rakan sebaya mempengaruhi pemilihan kerjaya perguruan dalam kalangan
pelajar tahun satu Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Vokasional, Fakulti
Pendidikan Teknikal dan Vokasional UTHM
(iii) Mengenalpasti faktor sifat kerjaya perguruan mempengaruhi pemilihan
kerjaya perguruan dalam kalangan pelajar tahun satu Ijazah Sarjana Muda
Pendidikan Vokasional, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional UTHM

1.6 Persoalan kajian

Kajian ini dijalankan bertujuan untuk menjawab persoalan-persoalan berikut:


9

1. Sejauh manakah faktor personaliti individu mempengaruhi pemilihan kerjaya


perguruan dalam kalangan pelajar tahun satu Ijazah Sarjana Muda
Pendidikan Vokasional, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional UTHM
2. Sejauh manakah faktor dorongan luar iaitu dorongan keluarga dan pengaruh
rakan sebaya mempengaruhi pemilihan kerjaya perguruan dalam kalangan
pelajar tahun satu Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Vokasional, Fakulti
Pendidikan Teknikal dan Vokasional UTHM
3. Sejauh manakah faktor sifat kerjaya perguruan mempengaruhi pemilihan
kerjaya perguruan dalam kalangan pelajar tahun satu Ijazah Sarjana Muda
Pendidikan Vokasional, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional UTHM

1.7 Kepentingan kajian

Kajian yang dijalankan diharap dapat memberikan maklumat yang baik dan berguna
kepada semua pihak terutamanya pihak yang terlibat secara langsung dalam bidang
pendidikan iaitu;

(i) Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Kementerian Pendidikan


Malaysia, melalui kajian ini diharap dapat Pihak Kementerian Pelajaran
Malaysia boleh menilai secara lebih terperinci tentang personaliti pelajar
yang benar-benar layak mengikuti program bidang perguruan ini. Selain
itu pihak Kementerian. Dengan kajian ini juga, pihak Kementerian
Pelajaran boleh mengambil langkah untuk memperbaiki perkhidmatan
guru yang sedia.
(ii) Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, melalui kajian ini diharap
dapat membantu pihak fakulti dalam membina keperibadian bakal-bakal
guru melalui subjek-subjek yang bersesuaian.
(iii) Bakal guru atau individu, melalui kajian ini diharap dapat memberikan
gambaran yang lebih jelas mengenai kepentingan dalam pemilihan
kerjaya yang bersesuaian dengan personaliti individu dan membuat
pemilihan kerjaya yang tepat.
(iv) Ibu bapa dan masyarakat, melalui kajian ini diharapkan dapat membantu
memberi panduan kepada ibu bapa dan masyarakat dalam mendorong dan
membantu pelajar dalam membuat pilihan kerjaya yang lebih tepat.
10

1.8 Skop kajian

Kajian ini melibatkan pelajar tahun satu Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Vokasional,
Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional UTHM yang terbahagi kepada tujuh
bidang yang berbeza iaitu bidang Katering, Binaan Bangunan, Elektrik dan
Elektronik, Multimedia Kreatif, Pemesinan Am, Kimpalan dan Fabrikasi Logam,
serta Penyejukan dan Penyaman Udara. Pengkaji hanya akan mengkaji mengenai
personaliti individu, dorongan luar seperti dorongan keluarga dan pengaruh rakan
sebaya, dan faktor sifat kerjaya perguruan dalam mempengaruhi pemilihan kerjaya
perguruan dalam kalangan pelajar tahun satu Ijazah Sarjana Muda Pendidikan
Vokasional.

1.9 Batasan kajian

Kajian yang dijalankan ini terbatas dalam beberapa keadaan seperti berikut dimana
pengkaji mempunyai tempoh masa yang amat terbatas. Pengkaji merupakan seorang
pelajar sarjana muda sepenuh masa yang mempunyai masa yang amat terbatas dalam
membuat kajian. Pengkaji juga terpaksa membahagikan masa dengan membuat
kajian serta mengulangkaji pelajaran. Selain itu, pengkaji juga mempunyai batasan
dari segi sumber kewangan dimana pengkaji memerlukan kos untuk menyediakan
bahan-bahan kajian. Respondan kajian juga adalah terhad kerana hanya melibatkan
pelajar-pelajar tahun satu Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Vokasional di Fakulti
Pendidikan Teknikal dan Vokasional.

1.10 Kerangka konsep kajian

Kerangka teori merupakan satu elemen yag penting dalam sesuatu kajian yang
hendak dijalankan. Ia dihasilkan bagi membantu pengkaji melaksanakan kajian yang
lebih sistematik. Kerangka teori ini menunjukkan aspek-aspek yang perlu dilihat
oleh pelajar dalam membuat pemilihan kerjaya yang tepat.
11

TEORI KERJAYA HOLLAND

Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Pemilihan Kerjaya Perguruan Dalam Kalangan Pelaja

Sifat Kerjaya Personaliti Individu Dorongan Luar

Minat Keluarga

Rakan Sebaya

Pemilihan Kerjaya Pelajar

Rajah 1.1 : Kerangka konsep kajian oleh Isaac dan Brown (2000)

Berdasarkan Rajah 1, ia menunjukkan pembolehubah bersandar dan pembolehubah


bebas dalam kajian mengenai faktor-faktor yang mempengaruhi pemilihan kerjaya
perguruan dalam kalangan pelajar tahun satu di Fakulti Pendidikan Teknikal dan
Vokasional UTHM. Kerangka kajian ini menunjukkan bagaimana tiga
pembolehubah bebas tersebut mempengaruhi pembolehubah bersandar. Tiga
pembolehubah bebas itu adalah faktor personaliti individu iaitu minat, faktor
dorongan luar seperti dorongan keluarga dan pengaruh rakan sebaya, dan juga faktor
sifat kerjaya perguruan itu sendiri. Ketiga-tiga pembolehubah bebas ini akan
12

memberi kesan kepada pembolehubah bersandar iaitu pemilihan kerjaya perguruan.


Melalui faktor-faktor ini, pengkaji akan menjalankan satu soal selidik dan hasil
daripada set soal selidik ini, pengkaji akan mendapat gambaran mengenai faktor
pemilihan kerjaya perguruan oleh pelajar tahun satu.

1.11 Definisi istilah dan operasi

Definisi istilah dan operasi adalah amat penting dalam sesuatu kajian kerana ianya
dapat mengelakkan kekeliruan kepada pembaca. Ia juga dapat membantu pembaca
mengetahui konsep sebenar dan apa yang ingin dikaji oleh pengkaji. Oleh itu,
definisi istilah dan operasi ini dapat menerangkan maksud sebenar sesuatu istilah
yang digunapakai dalam kajian ini.

1.11.1 Kerjaya

Kerjaya adalah penglibatan secara berterusan dalam sesuatu bidang serta


perkembangan dan kemajuan seseorang bagi mencari nafkah atau menyambung
kehidupan. Kerja pula ditakrifkan sebagai usaha, pekerjaan, tugas atau sesuatu
urusan yang dilakukan dengan perbuatan (Mansor, 2012). Kerjaya juga merupakan
keperluan psikologi, ekonomi dan sosial individu dan ini direalisasikan dengan
bekerja sehingga berjaya (Che Din, 2002). Menurut Mansor (2012) kerjaya merujuk
kepada penglibatan yang berterusan serta perkembangan dan kemajuan seseorang di
dalam sesuatu lapangan ataupun satu kaedah bagi seseorang menyambung
kehidupan. Kerja pula ditafsirkan sebagai usaha, pekerjaan, tugas atau sesuatu
urusan yang dilakukan dengan perbuatan.
Dalam kajian ini, kerjaya adalah suatu profesion atau pekerjaan yang diceburi
oleh seseorang individu. Kerjaya yang dimaksudkan dalam kajian ini adalah kerjaya
perguruan yang menjadi pilihan pelajar tahun satu Ijazah Sarjana Muda Pendidikan.
13

1.11.2 Pemilihan kerjaya

Pemilihan kerjaya merupakan satu proses perkembangan dimana ia bukan hanya satu
keputusan tetapi satu siri aktiviti menentukan keputusan dalam tempoh tertentu dan
setiap keputusan itu pula mempengaruhi keputusan selanjutnya. Menurut Abdul
Ghani dan Ahmad Kamil (2011) dalam kajian mereka pula, pemilihan kerjaya adalah
bidang kerja atau jenis-jenis kerjaya yang menjadi pilihan pelajar.
Dalam kajian ini, pemilihan kerjaya yang di maksudkan adalah keputusan
seseorang pelajar itu dalam membuat sesuatu pilihan. Pemilihan kerjaya dalam
kajian ini juga adalah untuk mengetahui mengapa pelajar memilih kerjaya perguruan
sebagai profesion.

1.11.3 Perguruan

Merujuk Kamus Dewan Edisi Empat (2010), perguruan membawa maksud atau
perkara yang berkaitan mengenai sekolah atau tempat belajar. Ianya juga membawa
maksud kepada pengajaran iaitu pengajaran kepada rakyat. Selain itu, perguruan juga
merujuk kepada perkara yang berkaitan dengan guru atau tempat untuk melatih guru
iaitu maktab.
Bagi fahaman pengkaji, perguruan adalah satu perkara yang berkaitan dengan
guru atau pengajar dalam memberikan atau mencurahkan ilmu pengetahuan sama
ada secara langsung ataupun tidak langsung. Manakala dalam kajian ini, perguruan
adalah suatu bidang yang menjadi pilihan kerjaya pelajar tahun satu Ijazah Sarjana
Muda Pendidikan.

1.11.4 Sifat kerjaya

Menurut kamus Dewan, sifat adalah rupa dan keadaan yang tampak pada suatu
benda; tanda lahiriah:, ciri-ciri khas yang ada pada sesuatu (untuk membezakan dari
yang lain). Menurut Zunker (2006) kerjaya merujuk kepada aktiviti dan kedudukan
yang meliputi pekerjaan dan tugas serta mempunyai perhubungan sepanjang
14

kehidupan individu. Sifat kerjaya pula bermaksud ciri-ciri sesuatu pekerjaan itu
seperti skop tugas, ganjaran gaji, kursus yang disediakan dan lain-lain.
Bagi skop kajian ini, sifat kerjaya yang digunakan adalah untuk mengetahui
skop tugas dan ciri-ciri kerjaya perguruan itu atau kerjaya-kerjaya lain yang menjadi
pilihan pelajar atau sampel.

1.11.5 Persekitaran

Merujuk kepada Kamus Dewan (2010), persekitaran merujuk kepada keadaan di


sekeliling (sesuatu) atau keadaan yang menjadi seperti latar belakang (seseorang atau
sesuatu). Amram Schienfeld menyatakan persekitaran merujuk kepada luaran
seseorang individu dan faktor bakanya bermula daripada peringkat persenyawaan.
Norma L. Munn pula mendefinisikan persekitaran sebagai segala benda yang
terdapat di sekeliling unit-unit. Berdasarkan definisi di atas dapat dikatakan bahawa
persekitaran adalah segala apa yang terdapat disekeliling individu yang mampu
mempengaruhi seseorang individu.
Persekitaran yang digunakan dalam kajian ini adalah keadaan atau dorongan
yang menjadi pengaruh dan penyebab kepada keputusan untuk pemilihan kerjaya
perguruan yang dilakukan oleh pelajar.

1.11.6 Dorongan keluarga

Dorongan keluarga adalah suatu bentuk hubungan interpersonal yang melindungi


seseorang daripada kesan stress yang buruk (Kaplan dan Sadock, 2002). Dorongan
keluarga menurut Friedman (2010) adalah sikap, tindakan penerimaan keluarga
terhadap ahli keluarganya, seperti dorongan informasional, dorongan penilaian,
dorongan instrumental dan dorongan emosional. Jadi dorongan keluarga adalah suatu
bentuk hubungan interpersonal yang meliputi sikap, tindakan dan penerimaan
terhadap ahli keluarga, sehingga ahli keluarga merasa saling disayangi.
Dorongan keluarga dalam kajian ini ialah bagaimana ibu bapa dan keluarga
dalam mempengaruhi pemilihan kerjaya anak-anak, adakah dengan memaksa anak-
anak mengikut jejak langkah mereka sebagai guru atau sebaliknya.
15

1.11.7 Pengaruh rakan sebaya

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, rakan sebaya ialah sahabat yang sama
umurnya. Manakala menurut Syarifah Alwiah Alsagof (dalam Bustami et al, 2013),
rakan sebaya boleh didefinisikan sebagai sahabat yang mempunyai umur, latar
belakang dan minat yang lebih kurang sama. Menurut Saffer (1999) pula, rakan
sebaya membawa erti dua atau lebih individu yang mempunyai aras tingkah laku
yang sama. Mereka juga mempunyai persefahaman antara satu sama lain.
Menurutnya lagi, rakan sebaya ini tidak semestinya mempunyai umur yang sama,
asalkan dapat menyesuaikan diri dengan tingkah laku antara satu sama lain dari segi
minat dan matlamat. Disini dapat dilihat dimana, pelajar mudah terdedah dan
terpengaruh dengan rakan sebaya yang dianggap mereka kawan yang rapat (Quek
Miow Leng, 2006).
Dalam kajian ini pula, pengaruh rakan sebaya yang ingin dikaji ialah
bagaimana seseorang pelajar itu dapat dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam
pemilihan kerjaya perguruan, adakah kerana minat untuk memilih kerjaya perguruan
atau hanya untuk mengikut rakan sebaya semata-mata.

1.12 Rumusan

Secara ringkasnya, bab ini telah membincangkan secara terperinci mengenai perkara-
perkara yang menjadi asas dan halatuju kajian ini. Pada objektif kajian, pengkaji
telah menetapkan matlamat yang hendak dicapai di akhir kajian ini. Kajian ini
diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat secara
langsung dan tidak langsung. Kajian ini turut dibataskan skopnya agar kajian ini
mudah dan munasabah untuk dijalankan. Akhir sekali, pada bahagian definisi,
pengkaji turut menerangkan maksud beberapa istilah dan konsep penting yang
digunakan dalam kajian ini.

Anda mungkin juga menyukai