Anda di halaman 1dari 4

Aktiviti Badan Beruniform Serta Faedahnya

Kementerian Pelajaran Malaysia telah mendominankan kokurikulum dalam sistem pendidikan


nasional. Langkah ini secara eksplisit menerangkan kokurikulum sebagai simbolik kepada
kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Oleh itu, badan-badan beruniform seperti
Kadet Pertahanan Awam, Kadet Remaja Sekolah dan sebagainya mula dipromosikan dalam arus
pendidikan negara.

Faedah-faedah yang boleh didapati apabila para pelajar menyertai badan beruniform
adalah dapat memapankan ketahanan diri. Dalam usia yang setahun jagung, banyak cabaran
yang perlu ditongkah bahkan, formula ketahanan diri tersebut juga perlu diaplikasikan pada
masa hadapan. Aktiviti-aktiviti lasak yang sudah termaktub dalam silabus badan beruniform
seperti 'flying-fox', 'night-walk' dan seumpamanya merupakan pendekatan awal bagi membuka
kotak penerimaan pelajar terhadap kepentingan hal ini.

Di samping itu, penyertaan pelajar dalam unit beruniform berpotensi memangkinkan


semangat kerjasama ibarat aur dan tebing dan pembentukan disiplin mereka. Hal ini dapat
dibuktikan melalui penglibatan pelajar yang mendesak ketepatan masa yang tinggi seperti
aktiviti kawad kaki. Aktiviti tersebut memerlukan gemblengan tenaga yang maksimum daripada
ahli-ahli pasukan bagi menghasilkan formasi yang mantap. Oleh itu, para pelajar yang menyertai
badan beruniform sering masyhur dengan ketepatan masa dan disiplin yang tinggi.

Persis peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya, para pelajar juga akan diasuh
tentang ilmu asas kecemasan. Perkara ini sangat berfaedah kerana apabila berlaku sebarang
kecederaan, para pelajar boleh tampil menghulurkan bantuan. Tamsilnya, Persatuan Bulan Sabit
Merah (PBSM) merupakan unit utama di sekolah yang bertindak menyebarkan wadah kesihatan
kepada ahli-ahlinya dan umum. Maka, tindakan ini dilihat sangat efektif demi memansuhkan
kedaifan akal pelajar tentang ilmu kesihatan.

Akhirulkalam, semua pelajar wajib menyertai kegiatan kokurikulum untuk kemenjadian


masa depan. Elakkan daripada tertumpu kepada kurikulum sahaja. Para pelajar perlu sedar akan
faedah yang terbentang justeru mereka harus mengikuti perkembangan sistem pendidikan untuk
faedah diri sendiri.

(254 patah perkataan)

LANGKAH-LANGKAH MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA

'Bahasa jiwa bangsa', itulah frasa yang paling sesuai untuk melambangkan signifikan sesuatu
bahasa kepada bangsa-bangsa di Malaysia. Pelbagai polemik telah dibangkitkan sejak akhir-akhir
ini bagi membicarakan identiti bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan bagi sebuah rumpun
bernama Malaysia. Bahasa Malaysia telah diadaptasikan daripada frasa asal 'Bahasa Melayu'
yang disifatkan berjiwa perkauman sekaligus tidak relevan dengan Gagasan 1 Malaysia. Namun
begitu, apakah inisiatif yang perlu dilaksanakan demi memartabatkan bahasa Malaysia dalam
kalangan masyarakat?

Langkah-langkah yang patut diambil termasuklah menggesa semua urusan rasmi dan surat-
menyurat di semua jabatan kerajaan diimplimentasikan dalam bahasa ibunda. Mutakhir ini,
jabatan-jabatan kerajaan lebih gemar memilih bahasa Inggeris yang dianggap berdarjat tinggi
berbanding bahasa Malaysia untuk digunakan dalam urusan syarikat mereka. Sifat nafsi yang
menggunung dalam jiwa mereka wajar diibaratkan seperti kacang lupakan kulit kerana mereka
persis mengenepikan sebuah bahasa yang telah mendewasakan pemikiran mereka. Oleh itu,
pihak-pihak ini haruslah menjaga martabat bahasa Malaysia supaya tidak hilang ditelan zaman.

Selain itu, idea Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
(PPSMI) juga harus dilupuskan. Sifat dominan bahasa Inggeris dalam kehidupan kita tidak harus
dinafikan, tetapi langkah ini dilihat berpotensi memadamkan kegemilangan bahasa Malaysia di
peringkat lokal. Jika teras pentarbiahan turut dilaksanakan dalam bahasa asing, tidak mustahil
pada satu era nanti, generasi akan datang tidak mengenali lagi perkataan 'Melayu'. Ironinya,
usaha Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dilihat
sangat proaktif sebagai mangkin yang efektif demi membejat kemelut bahasa yang sedang
dihadapi Malaysia kini.

Sementelahan pula, kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil juga tidak
harus dikerling enteng berikutan perkara tersebut berkemampuan memperkasakan bahasa Cina
dan bahasa Tamil lantas menjatuhkan darjat bahasa ibunda di sekolah-sekolah berkenaan. Jika
dilihat dari perspektif berbeza, hal ini dapat menimbulkan nafsi perkauman bahkan tidak sejajar
dengan penerapan 1Malaysia dalam kalangan masyarakat. Maka, polemik ini mungkin tidak
dapat mencapai objektif kemenjadian bahasa sebagai agen perpaduan yang utuh bagi semua
rakyat di negara ini. Tuntasnya, pihak-pihak yang berwajib seperti Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP) harus berfikir secara kreatif dan kritis demi menaikkan imej bahasa ibunda secara holistik.

Di samping itu, bagi mengukuhkan kedudukan bahasa Malaysia dalam sanubari rakyat
rencaman golongan, DBP harus melaksanakan pelbagai aktiviti yang menggapai minat umum
terhadap keindahan bahasa Malaysia. Aktiviti seperti Sayembara Pidato Antarabangsa anjuran
Kementerian Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Pelancongan dengan usahasama Radio
Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini dilihat sebagai anjakan paradigma yang berpotensi
memperkenalkan bahasa kebangsaan di peringkat dunia. Deduksinya, langkah yang sama harus
diambil DBP untuk mewujudkan 'jiwa bahasa' dalam kalangan rakyat.

Mendepani arus globalisasi kini, pelbagai perubahan serta modifikasi yang sudah
dilaksanakan terhadap bahasa Malaysia asal sehingga terbentuk bahasa rojak. Lihat sahaja di kiri
dan kanan jalan raya serta di bangunan-bangunan pencakar langit, banyak papan tanda
memaparkan penggunaan bahasa rojak. Perkara ini tidak patut dibiarkan berlarutan kerana
keupayaannya untuk mencemarkan bahasa adalah tinggi. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak
harus berpeluk tubuh dan mendiamkan diri, sebaliknya perlu mengambil tindakan Undang-
undang bagi menyedarkan pihak berkenaan bahawa bahasa Malaysia bukanlah sebuah wadah
mainan komersial. Oleh itu, 'pidana bahasa' ini perlu dibejat bagi mewujudkan rakyat
kontemporari yang berpegang teguh dengan bahasa ibunda.

Konklusinya, semua pihak haruslah menggembleng sinergi untuk meledakkan darjat bahasa
Malaysia sebagai bahasa rasmi dalam semua urusan harian, selain status utamanya sebagai
bahasa kebangsaan. Janganlah kita menjadi manusia yang khusyuk menyelami sungai
pemodenan dengan mementingkan bahasa asing sebaliknya menidakkan kebolehan bahasa
Malaysia untuk membawa kita ke mata dunia. Pepatah Melayu ada menyebut, "yang kurik itu
kendi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah itu bahasa". Oleh hal yang demikian,
marilah kita berpijak di bumi yang nyata dengan menjaga bahasa kebangsaan supaya kekal
nirmala dan 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'.

(597 patah perkataan)

Punca Dan Langkah Menangani Gejala Ponteng Dalam Kalangan Pelajar

Ponteng merupakan kekangan disiplin yang paling banyak berlaku dan sukar diatasi di
sekolah. Antara lain, ponteng bagaikan satu indikator yang menanda aras kelemahan sistem
pendidikan Malaysia yang diimplementasikan melalui Dasar Pendidikan Negara (DPN). Perang
media menerusi akhbar, majalah, blog dan sebagainya telah pun meletus bagi membincangkan
pro serta kontra kegiatan tidak bermoral ini. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan sedang
bergiat cergas dengan mengobservasi punca dan ikhtiar bagi menekan kemajuan polemik ini.

Punca bercambahnya masalah ini termasuklah kurangnya didikan duniawi serta ukhrawi
daripada ibu bapa. Hal ini berlaku kerana mereka terlalu ghairah mengejar kemewahan
hinggakan sanggup mempedulikan asas kehidupan serta dasar keagamaan anak-anak mereka.
Bahkan mereka tidak arif bahawa pengabaian inilah yang bakal merosakkan anak bangsa kita.
Persis slogan 'pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara', ibu bapa hendaklah mengawasi
pergerakan dan pergaulan anak-anak mereka supaya terhindar daripada maksiat seterusnya
mengatur strategi kehidupan anak-anak mereka supaya dapat menjadi tonggak negara pada
masa akan datang.

Pemuda watan kita sering tersilap memilih jalan seperti peribahasa menyebut 'terlajak
perahu boleh diundur, terlajak langkah buruk padahnya'. Hal ini disebabkan, remaja marcapada
lebih cenderung memilih rakan yang mengikut trend walhal budaya yang disalurkan adalah
negatif. Sudah terlalu menggunung budaya barat yang diisi dalam kotak pemikiran kita
sehinggakan kita terlupa kepada budaya asal. Dasar remaja pula, mereka mahukan sesuatu yang
lebih menarik dan mengikut peredaran zaman. Jadi apabila wujudnya pengaruh rakan sebaya,
mudahlah baginya untuk turut serta dan mencuba perkara baru. Pemilihan kawan yang baik
dapat mencorakkan kehidupan kita ke aras yang lebih sempurna.

Di samping itu, peranan media juga menjadi tulang belakang kepada kegawatan ini. Media
kini lebih gemar memaparkan program-program yang bertentangan dengan norma masyarakat
lokal. Eksploitasi seks terhadap wanita dalam iklan-iklan sebagai intiha, memesongkan iman para
remaja seterusnya menyebabkan mereka berpotensi untuk terjerumus ke lembah kehinaan.
Selain itu, penapisan filem serta drama dianggap masih longgar kerana wujud adegan-adegan
separa lucah yang dapat meracun minda remaja kita. Oleh yang demikian, remaja seringkali
terikut-ikut dengan paparan negatif yang jelas berbanding kaedah pengajaran dan pembelajaran
(P&P).

Bagi menangani punca-punca ini, pelbagai inisiatif telah diambil oleh variasi pihak. Antara
cara demi menangani polemik sosial ini ialah mengadakan sesi kaunseling yang melibatkan pihak
sekolah, ibu bapa dan remaja itu sendiri. Menerusi pendekatan ini, masalah yang menyebabkan
seseorang pelajar ponteng dapat dikesan. Pihak kaunselor harus menerangkan impak negatif
aktiviti ponteng supaya pelajar tersebut sedar dan berhati-hati menongkah arus kehidupannya.
Hal ini dilihat berkesan demi mengurangkan kadar pertambahan bilangan pelajar yang ponteng
sekolah, kerana peribahasa ghalib menyebut "sediakan payung sebelum hujan". Makanya,
apabila pihak yang berkenaan sudah mengetahui punca-punca gejala ponteng, usaha
membanteras juga lebih efektif.

Seterusnya, para pelajar haruslah faham bahawa gejala ponteng bukanlah aktiviti yang
menjamin masa depan. Sepatutnya, masa yang terluang diisi dengan ilmu dan pengajaran
sebagai bekalan untuk masa hadapan. Pihak kerajaan pula perlulah menitikberatkan peraturan
dan undang-undang kerana para pelajar dilihat memandang sebelah mata akan peraturan
sekolah seolah-olah tiada mata yang melihat pergerakan mereka. Apabila peraturan dan
hukuman dilaksanakan, pelajar-pelajar akan tergerak daripada mimpi dan sedar bahawa
kebebasan yang dikecapi adalah terhad.

Tuntasnya, semua pihak terutamanya pelajar sendiri haruslah bertanggungjawab membaik


pulih sistem pendidikan negara agar dapat memacu kejayaan negara seterusnya bersaing dengan
kuasa besar antarabangsa yang lain. Janganlah kita menjatuhkan air muka negara sendiri tatkala
rumpun lain asyik memperlekehkan kemampuan kita. Sesungguhnya pentarbiahan yang
sempurna menjamin keterjelmaan negara seiring dengan Gagasan 1Malaysia.

(551 patah perkataan)

Anda mungkin juga menyukai