Anda di halaman 1dari 4

Pembelajaran bertema ialah kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menggabungkan

disiplin ilmu yang berbeza bagi mencapai obejektif pembelajaran yang tertentu. Dalam konteks
kurikulum fizik bagi tugasan ini, ianya bertujuan menggabungkan beberapa konsep atau
pengetahuan yang berlainan untuk mencapai objektif pembelajaran di samping menerapkan sikap
saintifik dan nilai murni dalam diri murid.

Pendekatan pengajaran dan pembelajaran sains yang dicadangkan bagi bidang


pembelajaran daya,gerakan dan tekanan menggabungkan pendekatan inkuiri penemuan,
pembelajaran kontekstual dan konstruktivism, di mana pada akhir proses pembelajaran murid
dapat membina pemahaman mereka sendiri di samping menghargai dan mengenalpasti
kerelevanan kandungan pembelajaran dalam kehidupan seharian . Aktiviti dirancang
menggunakan kaedah pembelajaran berasaskan masalah di mana murid diberi tugasan untuk
mencipta sistem keselamatan bagi melindung pengguna jalanraya dalam kemalangan yang
melibatkan kenderaan berenjin. Pada fasa pertama iaitu pembentangan masalah dan
perbincangan berkumpulan, murid akan melalui proses sumbang saran di mana mereka perlu
mengenal pasti teori dan hipotesis yang berkaitan dengan pelanggaran yang boleh mengakibatkan
kemalangan. Pada peringkat ini, murid harus mengenalpasti konsep inersia, pecutan,
nyahpecutan, momentum dan tenaga untuk menjelaskan pelanggaran dan kesannya di samping
mengenalpasti konsep yang menjadi asas kepada penciptaan tali pinggang keledar, beg udara
dan zon remuk. Kemahiran proses sains yang dapat dikembangkan dalam fasa ini ialah
menggunakan perhubungan ruang dan masa bagi menjelaskan proses pelanggaran antara dua
jasad yang mempunyai kelajuan. Guru bertindak sebagai fasilitator yang menyediakan scaffold
(Vygotsky, 1978) atau perancah sebagai rangka kerja untuk murid berfikir dan haruslah luwes bagi
mewujudkan suasana pembelajaran inkuiri atau inkuiri terbimbing, selaras dengan keperluan
murid. Pada peringkat seterusnya iaitu pembelajaran secara individu, murid akan melakukan
kajian persendirian ke atas beberapa isu yang telah dikenalpasti seperti menyiasat Prinsip
Keabadian Momentum dengan cara menganalisa pelanggaran, menyiasat kesan sentakan akibat
pelanggaran belakang terhadap pemandu dan penumpang dan penambahbaikan ciri keselamatan
sedia ada. Pada fasa terakhir, murid akan berkumpul semula untuk berbincang dan memperhalusi
penerangan asal mereka berkaitan masalah yang diberikan. Dengan pemahaman baharu ini,
murid akan lebih bertanggungjawab atas keselamatan diri dan keluarga serta pengguna jalan raya
yang lain setelah memahami faktor dan akibat kemalangan. Murid juga akan lebih menghargai
sains dan teknologi yang membantu manusia untuk memudahkan kehidupan seharian di samping
mengurangkan risiko kemalangan yang tidak diingini.

Bagi bidang pembelajaran gelombang dan cahaya, aktiviti yang dirancang masih
menggunakan tiga pendekatan seperti aktiviti pertama dengan tambahan penekanan kepada
pendekatan sains, teknologi dan masyarakat (Spesifikasi Kurikulum, 2013) . Kaedah yang
digunapakai ialah pembelajaran berasaskan projek yang bertemakan pertunjukan bunyi dan
cahaya di mana penggunaan teknologi memainkan peranan penting. Pada peringkat pengenalan
projek, guru memilih satu lagu yang bersesuaian dengan golongan remaja dan memainkannya di
dalam kelas melalui pembesar suara bagi menarik minat pelajar seterusnya mencetuskan
pertanyaan dalam minda murid tentang bagaimana bunyik muzik yang didengari oleh mereka
dihasilkan dan merambat dari alat pemain muzik ke pendengaran mereka. Bagi mencetuskan idea
bagi murid menyiasat perkaitan antara bunyi dengan getaran dan gelombang, guru boleh
meneruskan induksi dengan menjalankan aktiviti menggunakan tala bunyi atau menunjukkan
demonstrasi tepung jagung yang menari di atas pembesar suara. Kaedah scaffolding digunakan
agar perbincangan dan penyiasatan murid tidak mencapah jauh dari objektif asal pembelajaran
dan bakal memupuk semangat. Bagi peringkat seterusnya di mana pelajar perlu menganalisa dan
mengkaji jenis muzik yang pelbagai , aplikasi pemprosesan audio seperti Audacity yang dimuat
turun dalam komputer boleh digunakan bagi menganalisa gelombang muzik yang telah
diperdengarkan kepada pelajar dan membantu pelajar menkonsepsi bentuk gelombang yang
mempunyai puncak dan lembangan serta mengenalpasti amplitud, frekuensi, tempoh, panjang
gelombang dan laju gelombang (Spesifikasi Kurikulum, 2013) . Audacity membantu
mengembangkan kebolehan murid untuk memanipulasi pembolehubah iaitu kenyaringan dan
kelangsingan bunyi yang dihasilkan di samping memaparkan gelombang yang terhasil pada skrin
komputer. Ini membolehkan pelajar menghubungkait dua konsep yang dimanipulasi ini dengan
frekuensi dan amplitud sesuatu gelombang seterusnya mengaplikasikan pengetahuan mereka
bagi memilih instrumen muzik yang bersesuaian dengan konsep pertunjukan yang telah mereka
pilih. Bagi pertunjukan cahaya pula, murid akan menyiasat konsep pantulan cahaya, rambatan
cahaya melalui kanta dan prisma bagi menghasilkan sinar cahaya yang pelbagai arah dan warna.
Gaya pelaksanaan projek ini mendorong murid menghargai sumbangan sains dan teknologi dalam
aplikasi kehidupan seharian seperti pembesar suara yang membolehkan bunyi yang kecil didengar
dari jarak jauh serta mendidik murid untuk lebih terbuka dalam menerima pendapat dan lebih
sopan dalam menyatakan ketidaksetujuan terhadap sesuatu perkara.

Bidang pembelajaran seterusnya yang dipilih adalah keradioaktifan, di mana pembelajaran


berlaku dalam konteks sejarah dan alam sekitar dengan menggunakan empat pendekatan
pembelajaran dan pengajaran sains yang telah disebut di atas. Kaedah pengajaran dan
pembelajaran adalah berasaskan masalah yang bertemakan kajian terhadap Bencana Chernobyl
yang berlaku 30 tahun lalu di Loji Kuasa Nuklear Chernobyl, Ukraine (Reisch, 1999) dan juga
pengeboman nuklear di Hiroshima, Jepun (Hellman, 2012) . Fasa induksi dimulakan dengan
tayangan simulasi grafik pereputan spontan nukleus yang tidak stabil dengan memancarkan sinar
radioaktif untuk menjadi nukleus yang lebih stabil (Muller, 2008) . Murid haruslah dapat membina
kefahaman bahawa proses yang ditunjukkan dalam simulasi ini merupakan definisi keradioaktifan .
Penggunaan pengesan seperti Tiub Geiger-Muller membantu murid menyiasat sinar radioaktif di
sekeliling mereka dan membuat kesimpulan bahawa keradioaktifan merupakan proses semulajadi.
Seterusnya, simulasi komputer bagi pembelahan nukleus, tindakbalas berantai dan pelakuran
nukleus ditayangkan bagi membina pengetahuan asas murid tentang tiga konsep utama ini. Fasa
pencetusan idea dijalankan dengan tanyangan video pendek kesan kedua - dua bencana ini
terhadap fizikal persekitarannya dan kesan terhadap penduduk di kawasan tersebut, disusuli oleh
perbincangan secara kumpulan di mana guru bertindak sebagai fasilitator untuk membimbing
murid menyatakan pemerhatian mereka terhadap apa yang telah ditayangkan dan mentafsirkan
video tersebut dengan simulasi yang ditunjukkan dalam fasa induksi. Seterusnya murid diberikan
tugas kajian individu seperti mengkaji tindakbalas berantai yang menyebabkan bencana Chernobyl
, mengkaji pelakuran nukleus di sebalik bom atom Hiroshima, mengira tenaga yang dilepaskan
oleh dua proses pereputan di atas menggunakan rumus E= mC2 menyiasat kesan negatif unsur
radioaktif, langkah - langkah keselamatan yang patut diambil dalam pengurusan unsur radioaktif
dan pengurusan sisa radioaktif. Murid - murid juga dibawa melawat Malaysian Institute for Nuclear
Technology Research bagi memberi pendedahan terhadap aplikasi tenaga nuklear, radioisotop
dan teknologi nuklear terbaru kepada para murid. Pada akhir projek, murid kembali berkumpul
dalam kumpulan bagi membentangkan dapatan masing - masing. Projek ini dapat menerapkan
sikap dan nilai mensyukuri nikmat dan mengagumi kebesaran Tuhan berdasarkan pemerhatian
murid terhadap kekuatan tenaga nuklear yang dihasilkan oleh nukleus yang bersaiz sangat kecil.
Begitu juga dengan sikap menghargai keseimbangan alam semulajadi yang terdiri daripada
nukleus - nukelus kecil yang boleh memusnahkan dunia, namun keseimbangan alam ini
membolehkan makhluk di bumi untuk hidup aman tanpa mudarat daripada keradioaktifan di
sekeliling kita.
RUJUKAN

Vygotsky, L. S. (1978). Mind in society: The development of higher psychological processes


Cambridge, Mass.: Harvard University Press.

Reisch, F. (Dec 1999). Reactor Physics Behind the Chernobyl Accident. Final program and book of
abstracts, (p. 287). Israel

Hellman (2012), Stanford STS152, Nuclear Weapons, Risk and Hope, Handout #2, AUT 2011-12

Richard A. Muller (2008) , Physics for Future Presidents : The Science Behind Headlines. W.W.
Norton & Company.

Spesifikasi Kurikulum Fizik Tingkatan 4 ( 2013) . Bahagian Pembangunan Kurikulum . Kementerian


Pelajaran Malaysia.

Spesifikasi Kurikulum Fizik Tingkatan 5 ( 2013) . Bahagian Pembangunan Kurikulum . Kementerian


Pelajaran Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai