Anda di halaman 1dari 5

Kemahiran Penyelesaian Masalah Dalam Kurikulum Matematik

Matematik ialah satu bidang pengetahuan yang sentiasa berubah dari segi kandungan,
kegunaan dan cara mempelajarinya. Matematik yang diajar di sekolah perlu turut berubah.
Desakan-desakan untuk perubahan mungkin muncul dari perkembangan dalam ilmu
matematik sendiri, kegunaan matematik dalam masyarakat umum yang kian bertambah
ataupun penemuan-penemuan psikologi mengenai pembelajaran matematik.

Kepada ahli matematik, matematik adalah satu bahasa yang unik di mana ia melibatkan
komunikasi konsep-konsep melalui simbol.

"Mathematics is a language - a way of describing, recording in mathematical sentences and


interpretating the symbols used to
relationship" (Inder, 1982)

Pelajar yang mahir dalam matematik biasanya dikaitkan dengan kebolehan mereka
memahami sesuatu konsep, teorem, keupayaan menguasai kemahiran-kemahiran tertentu
serta kebolehan menyelesaikan masalah dengan menggunakan strategi-strategi heuristik yang
tertentu. Mengapakah ramai pelajar tidak mampu mengaplikasikan kemahiran dan konsep
matematik yang telah dipelajari ? Kenapa matematik dikatakan sukar? Matematik dianggap
sukar kerana pada dasarnya ia adalah berbentuk hiraki. Pemahaman tentang satu konsep
adalah perlu untuk mempelajari suatu konsep yang lain. Kegagalan pelajar untuk memahami
sesuatu konsep asas boleh menjejaskan pembelajaran matematiknya. Apakah kriteria yang
digunakan oleh seorang pelajar dalam mempelajari matematik? Bagi seorang pelajar,
mendapat maklumat dalam matematik adalah satu prosedur yang sukar kerana ia melibatkan
cara memikir dan membuat. Tiga aktiviti utama yang terlibat adalah penerokaan/penyiasatan,
penyelesaian masalah dan pembuktian.

Kemahiran penyelesaian masalah adalah penting dalam matematik. Pelajar digalakkan


menggunakan pengetahuan sedia ada dan kemahiran untuk mencari jawapan kepada masalah
matematik, contohnya hubungan nombor dengan pola nombor. Penyelesaian masalah yang
efektif bergantung kepada imaginasi, kreativiti, pemikiran logik serta kesungguhan pelajar.
Kegagalan pelajar dalam matematik mencerminkan kegagalan mereka dalam penyelesaian
masalah. Selain daripada mengajar konsep dan kemahiran kepada pelajar, guru harus
menekankan kemahiran penyelesaian masalah dengan mengaplikasikan konsep dan
kemahiran yang diajar. Penggunaan masalah matematik yang praktikal dan benar akan lebih
bermakna kepada pelajar.

Suatu masalah dianggap sebagai masalah jika ia memenuhi tiga kriteria iaitu mesti ada
penerimaan, halangan dan penerokaan. Suatu masalah yang merupakan masalah kepada
seorang individu tidak semestinya menjadi masalah kepada sorang individu yang lain. Dalam
suatu masalah mesti terdapat tujuan yang jelas untuk dicapai oleh individu itu dan mesti
terdapat halangan terhadap jalan kepada pencapaian tujuan itu. Penyelesaian masalah pula
boleh ditakrifkan sebagai suatu proses yang terancang untuk mencapai tujuan yang
dikehendaki dalam suatu masalah dengan menggunakan pengetahuan dan pengalaman yang
diperolehi. Ia adalah cara seorang individu menggunakan pengetahuan yang diperolehi
dahulu, kemahiran serta kefahaman untuk memenuhi tuntutan suatu situasi yang tidak lazim.
Individu itu dikehendaki mensintesis apa yang dipelajari dan mengaplikasikannya kepada
situasi yang baru dan berlainan itu.
Pakar matematik Hungari, George Polya 1887-1985

Ramai ahli pendidik telah mengemukakan pelbagai model untuk kemahiran penyelesaian
masalah. Polya (1957), telah mengemukakan satu model yang terdiri daripada empat langkah
utama iaitu memahami masalah, memperolehi rancangan penyelesaian, menjalankan
rancangan penyelesaian dan menyemak semula. Pada tahun 1945, George Polya telah
menerbitkan buku How To Solve It yang telah menjadi sebuah penerbitan tersohor pada
ketika itu. Bukunya telah terjual lebih satu juta naskah dan diterjemahkan dalam 17 bahasa.
Dalam buku ini beliau telah memperkenalkan 4 prinsip dalam penyelesaian masalah
matematik.

Prinsip pertama : Memahami Masalah


Pelajar seringkali gagal menyelesaikan masalah kerana semata-mata mereka tidak memahami
masalah tersebut. Polya telah mengajar guru-guru untuk bertanya pelajar soalan-soalan
berikut :
Adakah kamu memahami semua makna istilah/perkataan yang digunakan dalam
masalah tersebut ?
Apa yang perlu kamu cari dan tunjukkan ?
Bolehkah kamu menyusun semula ayat-ayat dengan perkataan sendiri ?
Bolehkah kamu menggunakan gambar atau diagram yang boleh membantu kamu
memahamkan masalah ?
Adakah maklumat cukup untuk menyelesaikan masalah ?

Prinsip kedua : Merangka strategi


Polya menegaskan, ada pelbagai strategi untuk menyelesaikan masalah. Kemahiran memilih
strategi yang sesuai bergantung kepada berapa banyaknya pengalaman kita menyelesaikan
masalah sebelum ini. Antara strategi yang boleh membantu ialah:
Cuba jaya
membuat senarai yang tersusun
mengenalpasti kemungkinan-kemungkinan
menggunakan simetri
menimbangkan kes istimewa
menyelesaikan persamaan
melihat pola
melukis gambar
menyelesaikan masalah kecil terlebih dahulu
guna model
bekerja dari bawah/ menggunakan maklumat terakhir terlebih dahulu
guna formula
guna analogi/perbandingan
lakonkan/ujikaji
mempermudahkan masalah

Prinsip ketiga : Melaksanakan strategi


langkah ini biasanya lebih mudah dari merancang strategi. Yang pelajar perlukan pada
langkah ini ialah ketekunan dan berhati-hati apabila menggunakan kemahiran yang sedia ada.
Jika tidak berjaya menyelesaikannya, patah semula ke langkah pertama dan merancang
strategi berbeza. Ini adalah langkah biasa dalam matematik yang juga digunakan oleh pakar
matematik sekalipun.

Prinsip keempat : Menyemak jawapan


Polya merasakan adalah wajar mengambil sedikit masa untuk menyemak jawapan dan
membuat refleksi. Ini bertujuan untuk mengukuhkan keyakinan dan memantapkan
pengalaman untuk mencuba masalah baru yang akan datang. Gunakanlah Model Polya untuk
menyelesaikan sebarang masalah hari ini.

Berdasarkan model Polya ini, pengkaji-pengkaji matematik lain telah mencadangkan banyak
lagi model lain untuk menyelesaikan masalah. Model yang digunakan oleh Zambo (1994)
dalam kajiannya meliputi langkah-langkah berikut:

1. senaraikan (cari) fakta-fakta yang diberi

2. senaraikan (tentukan) apa yang perlu dicari

3. lukiskan satu gambarajah (untuk mewakili masalah)

4. pilih operasi-operasi yang akan digunakan untuk menyelesaikan masalah

5. tulis satu ayat terbuka

6. anggarkan jawapan

7. lakukan komputasi

8. nyatakan jawapan

9. mengesahkan jawapan dengan menilai samada jawapan yang diperolehi itu munasabah dan
hampir dengan anggaran yang dibuat.
Dalam kajiannya ke atas pelajar kolej, Webb (1979) pula dapati langkah pertama yang
dilakukan oleh pelajar semasa menyelesaikan masalah ialah membaca soalan yang diberi. Ini
diikuti dengan strategi-strategi lain seperti melukis gambarajah, menulis persamaan,
menggunakan algotrima dan mengesahkan jawapan.

Kajian yang dijalankan oleh Berinderjeet (1997) pula mendapati pelajar gagal dalam
penyelesaian masalah disebabkan oleh beberapa faktor seperti:

1. kurang pemahaman terhadap masalah yang dikemukakan

2. kurang pengetahuan untuk merancang strategi penyelesaian

3. ketidakupayaan pelajar untuk menterjemah masalah ke dalam bentuk matematik

4. mengaplikasi strategi yang tidak sesuai

5. melakukan kesilapan ketika menukar masalah ke bentuk matematik

6. kesilapan komputasi

7. pengetahuan matematik yang kurang

8. salah dalam menafsir maklumat yang diberi

Namun tidak boleh dinafikan bahawa sikap guru terhadap penyelesaian masalah sedikit
sebanyak akan menpengaruhi pelajarnya. Pengalaman guru sendiri dalam mempelajari
matematik di sekolah kurang menekan kepada penyelesaian masalah, kaedah pengajaran
yang kurang menarik serta terlalu bergantung kepada buku teks. Guru yang kurang
kemahiran penyelesaian masalah gagal membimbing pelajarnya dalam menyelesaikan
masalah. Bagi setengah guru yang inovatif dan ingin mencuba kaedah lain biasanya
menghadapi tekanan dan kurang sokongan daripada pentadbir dan rakan sejawat sehingga
sukar baginya untuk melakukan sesuatu pembaharuan. Bagi mereka yang berjaya melakukan
pengajaran yang berasaskan aktiviti, mereka juga menghadapi halangan di mana mereka
sendiri kurang berkemampuan dalam kemahiran penyelesaian masalah.

Penyelesaian masalah kini merupakan fokus pendidikan di peringkat sekolah rendah dan
menengah. Guru merupakan komponen yang paling penting untuk menjayakan sesuatu
kurikulum matematik di dalam bilik darjah. Kualiti pendidikan matematik sangat bergantung
kepada usaha guru dalam bilik darjah. Oleh itu guru harus bersedia berubah untuk
membolehkan perubahan dalam pengajaran dan pembelajaran matematik.

Penekanan kemahiran penyelesaian masalah matematik dalam bilik darjah adalah satu
langkah ke arah mengubah cara pelajar belajar matematik. Guru boleh membantu dengan
mengemukakan masalah yang bermakna dan bernas kepada pelajar mengikut tahap mereka.
Masalah yang diberi seharusnya mencabar, memerlukan pelbagai kemahiran dan prosedur
yang dapat diperkukuhkan lagi semasa proses penyelesaian masalah. Masalah yang diberi
juga perlu berkeupayaan untuk dikembang samada kepada masalah yang berkaitan atau untuk
dibuat generalisasi.
Kemahiran dan prosedur dalam penyelesaian masalah melibatkan kemahiran dalam
pemahaman, transformasi dan komunikasi. Iklim dalam bilik darjah dan kaedah mengajar
adalah sangat penting dalam menghasilkan satu pengajaran dan pembelajaran penyelesaian
masalah yang berjaya. Walaupun bukan semua matematik boleh diajar dengan cara
penyelesaian masalah, namun adalah diharap pendekatan penyelesaian masalah ini diamalkan
dalam pengajaran matematik agar sikap dan minat pelajar dalam mempelajari matematik
dapat dipertingkatkan. Apabila guru dapat melihat perubahan dan kepuasan pelajar dalam
menyelesaikan masalah, diharap mereka juga akan digalakkan untuk mencuba sendiri,
mengkaji dan mengubah kaedah dan pendekatan mereka dalam mengajar matematik.

Anda mungkin juga menyukai