Anda di halaman 1dari 3

ABPC1203

PENGENALAN

Pemilihan kerjaya pada kebelakangan ini menjadi semakin kompleks ekoran


terdapatnya kebolehan manusia yang pelbagai dan keperluan untuk menampung kos
kehidupan seharian yang semakin meningkat. Pemilihan kerjaya berkait rapat dengan ciri
pembangunan dan pembentukan personaliti seseorang individu sejak di usia kanak-kanak
lagi. Oleh itu, bagi memastikan kerjaya yang dipilih oleh seseorang individu tersebut
bersesuaian dengan minat dan personaliti dirinya, pelbagai ujian dan pengukuran psikologi
boleh dilakukan seperti ujian minat, ujian nilai dan juga ujian pencapaian yang boleh
membantu individu tersebut menentukan bidang pekerjaan yang paling bersesuaian
dengannya. Ketidakselarasan antara bidang kerjaya dengan minat dan personaliti seseorang
individu akan menyebabkan pembaziran tenaga kerja dan modal insan yang berpotensi. Hal
ini berlaku disebabkan kurangnya produktiviti dan motivasi seseorang individu dalam
menjalani aktiviti seharian disebabkan ketidaksesuaian personaliti dalam karier yang
diceburinya. Justeru, pada tugasan kali ini, saya akan membincangkan kepentingan dan
hubungkait ujian dan pengukuran psikologi dalam pemilihan kerjaya.

Menurut Lombardo, J. (2015), kerjaya adalah satu perjalanan atau kemajuan


seseorang dalam satu lapangan kehidupan yang dijadikan bidang profesional atau pekerjaan
pilihan sebagai satu cara untuk mencari nafkah. Pemilihan kerjaya merujuk kepada
bagaimana seseorang individu menentukan pekerjaan yang paling sesuai kepada dirinya dan
cara individu tersebut melihat dirinya dan hubungannya dengan bidang pekerjaan yang
dilakukannya. Pemilihan kerjaya juga berkait dengan apa yang dicita-citakan oleh seseorang
individu sepanjang hidupnya. Selain itu, kerjaya juga bermaksud kerja dan tingkah laku yang
dilakukan oleh seseorang individu yang mengambil tempat sepanjang hidupnya dan caranya
untuk memenuhi keperluan dan menampung kehidupan sehariannya. Menurut Watts, T.
(1998), kerjaya adalah pekerjaan yang berterusan dan berkesinambungan yang berkaitan
dengan pengalaman dan sikap yang berlaku di dalam kehidupan seseorang individu. Selain
itu, kerjaya juga boleh didefinisikan sebagai kerja atau aktiviti-aktiviti untuk memenuhi
keperluan psikologikal, ekonomikal dan sosiologikal seseorang individu sepanjang hidupnya
dan direalisasikan dengan melakukan bidang pekerjaan yang diceburinya sehingga berjaya.

Menurut Riley, C. (2016), ujian dan pengukuran psikologi yang juga dikenali sebagai
pengukuran mental, ujian psikometrik dan instrumen psikologi merujuk kepada langkah
standard bagi mengukur tahap pemboleh ubah dalam bidang psikologi seperti personaliti,
kepintaran, tingkah laku dan fungsi emosi. Ujian psikologi secara amnya boleh didefinisikan
sebagai aplikasi prosedur yang sistematik dalam usaha meninjau dan menerangkan tingkah
laku dengan menggunakan skala numerik atau kategori-kategori tertentu. Menurut American
Psychological Association [APA] (2010), ujian dan pengukuran psikologi merupakan satu set
item yang direkabentuk untuk mengukur ciri-ciri manusia yang berhubung dengan tingkah
laku. Sehingga kini terdapat lebih 1,000 ujian psikologi yang direkabentuk dan diterbitkan di
negara barat bagi menilai pelbagai aspek psikologi daripada inventori personaliti hinggalah
kepada ujian kepintaran skor kendiri yang melibatkan bentuk pelbagai kaedah seperti
pengamatan dan pemerhatian bagi tujuan penilaian kemahiran kognitif. Menurut Guion, R.
M. (2011), ujian psikologi merupakan satu bentuk pengukuran yang menggambarkan
penggunaan persampelan tingkah laku bagi membuat keputusan berhubung individu tertentu.
Ianya juga merupakan satu instrumen yang bertujuan mengukur pelbagai watak atau
personaliti yang berkait dengan tingkah laku manusia terutamanya tingkah laku interpersonal.
Ujian psikologi juga beroperasi atas prinsip bahawa individu yang mempunyai personaliti
tertentu akan memberi tindakbalas secara berbeza daripada individu yang kurang
mempamerkan personaliti berkenaan. Secara ringkasnya, pengaplikasian ujian dan
pengukuran psikologi dapat membantu seseorang individu dalam mengetahui prestasi tingkah
lakunya dalam kehidupan seharian.

Oleh itu, ujian dan pengukuran psikologi sangat penting dalam membantu pemilihan
kerjaya seseorang individu. Hal ini kerana pemilihan kerjaya pada masa kini merupakan satu
cabaran besar yang perlu dilalui oleh semua individu yang bakal menempuhi alam pekerjaan.
Seringkali didengari rungutan daripada pelbagai pihak tidak kira di media massa seperti
televisyen, akhbar dan media sosial mengenai masalah kekurangan yang terpaksa ditempuhi
oleh para graduan di negara ini. Justeru, pemilihan program yang sesuai di universiti
terutamanya sangat penting kepada seseorang individu bagi mengelakkan kesilapan membuat
pilihan kursus yang mempunyai kurang peluang pekerjaan dan seterusnya membuatkan para
graduan terpaksa menganggur atau memilih kerjaya yang tidak sesuai dengan kelulusan
mereka. Dengan penggunaan ujian dan pengukuran psikologi, seseorang individu dapat
membantu dirinya mengimplimentasikan konsep kendiri dengan memilih bidang pekerjaan
yang akan membenarkan ekspresi dirinya. Menurut Jacobson, F. (2012), kepuasan kerja dan
kepuasan hidup bergantung kepada sejauh mana seseorang individu berupaya menyalurkan
ciri-ciri yang ada pada dirinya terhadap bidang pekerjaan yang diceburi. Semakin hampir
keselarasan antara ciri-ciri personal dengan keperluan-keperluan dalam sesuatu bidang
pekerjaan, semakin besar kemungkinan seseorang invididu berjaya dan dapat memberikan
prestasi yang baik dalam bidang berkenaan. Melalui ujian dan pengukuran psikologi dalam
pemilihan pekerjaan, seseorang individu dapat mengenalpasti trait dan ciri dirinya seperti
personaliti, minat, nilai dan pencapaian diri dalam mengenal potensi diri. Selain itu, individu
tersebut juga dapat mengenalpasti dan menganalisis keperluan-keperluan pekerjaan iaitu
proses mengenali dunia pekerjaan. Seterusnya, ujian dan pengukuran psikologi dalam
pemilihan pekerjaan dapat membantu seseorang individu dengan memadankan potensi diri
dengan bidang pekerjaan yang paling bersesuaian dengan dirinya.

Anda mungkin juga menyukai