Anda di halaman 1dari 4

MASALAH kemalangan di jalan raya adalah masalah global di mana penduduk dunia berkongsi nilai

peratusan penyebab kemalangan yang hampir sama: 85 peratus - faktor pemandu, lima peratus - faktor
mesin, 10 peratus - faktor persekitaran.
Jika kita layari Internet, terdapat halaman-halaman web yang mempunyai topik pengkhususan mengenai
kemalangan jalan raya. Halaman-halaman web ini amat berinformatif, membincangkan pelbagai
perspektif kemalangan di jalan raya, mitos dan faktanya, persepsi masyarakat dan pihak berkuasa, segi
psikologi dan sosialnya, hipotesis, penyelidikan serta pembentangan kertas kerja yang amat
komprehensif. Di antaranya ialah www.drivers.com,www. apa. org,www.jpj.gov.my,www.jpjsabah.gov.
my,www.trinity.edu dan www.visualexpert.com.
Halaman web JPJ Sabah www.jpjsabah.gov.my telah menggariskan konsep pemandu berhemat yang
bermaksud pemanduan yang dilakukan oleh seseorang pemandu yang mempunyai pengetahuan tentang
peraturan-peraturan lalu lintas, kemahiran yang tinggi dalam aspek pemanduan, sikap yang betul ketika
memandu serta sentiasa bersedia dengan mengenal pasti, menganalisis, membuat keputusan dan
bertindak terhadap halangan yang sama ada disebabkan oleh pengguna jalan raya atau halangan semula
jadi yang wujud.
Apakah sebenarnya faktor-faktor psikososial dan intrinsik manusia yang mendorong kita melakukan
kesalahan lalu lintas serta berlakunya kemalangan di jalan raya?
Menurut Marc Green & John Senders dalam kajian mereka yang bertajuk Human Error in Road Accident
(www. visualexpert.com) mengatakan bahawa jawapannya terletak kepada limitasi semula jadi
pemprosesan informasi manusia di mana manusia bergantung kepada tiga fungsi mental yang tak
sempurna: Persepsual, tumpuan dan memori.Kegagalan untuk menggunakan fungsi-fungsi mental
tersebut serta ketidaksempurnaan manusia akan menyebabkan berlakunya kemalangan.
Kajian juga mengatakan bahawa terdapat tiga sebab asas yang menyebabkan berlakunya kemalangan.
Pertama, kesilapan persepsual dan salah pertimbangan persepsual. Kesilapan persepsual ialah apabila
stimuli kritikal di jalan raya adalah di bawah threshold deria penglihatan seseorang pemandu, contohnya
akibat lampu malap, cuaca buruk atau silauan. Salah pertimbangan persepsual ialah apabila pemandu
gagal menilai jarak dan kelajuan kenderaan yang lain atau menilai darjah belokan kenderaannya.
Kedua, hilang tumpuan atau kegagalan untuk memberikan tumpuan sepenuhnya, sungguhpun pemandu
berjaya mengesan stimuli-stimuli kritikal semasa memandu. Contohnya menggunakan telefon bimbit
atau mengantuk. Terdapat juga kes di mana pemandu mengatakan bahawa mereka tidak nampak
kenderaan yang lain. Inattentional blindness ini berlaku apabila stimuli- stimuli terletak di luar skop
tengah penglihatan seseorang pemandu. (Mack & Rock, 1998)
Ketiga, kemalangan boleh berlaku apabila pemandu gagal untuk memilih respons yang betul walaupun
beliau telah berjaya memproses informasi serta stimuli di jalan raya. Ataupun, pemandu mungkin telah
memilih keputusan yang betul tetapi beliau gagal untuk melaksanakannya.
Tingkah laku dan personaliti seseorang pemandu juga memainkan peranan di dalam berlakunya sesuatu
kemalangan. (I.M McNally & M.Stone, Universiti Central Lancashire, UK). Kajian mengatakan bahawa
pemandu yang berpersonaliti jenis-A (Type-A Behaviour Pattern (TABP)) mempunyai risiko yang amat
tinggi. Individu ini menunjukkan 3 karakter yang tertentu iaitu kompetetif, mahu lekas dan cepat marah
atau senang tercabar. (Chesney, Frautschi & Rosenman, 1985; Friedman & Rosenman, 1974; Jenkins,
1976). Golongan ini berkemungkinan besar memanifestasikan 3 karakter mereka di jalan raya disebabkan
oleh rangsangan yang mereka terima seperti kesesakan jalan raya atau keagresifan pemandu yang lain.
Secara sedar atau tidak, terdapat beberapa persepsi palsu masyarakat dan pengguna jalan raya,
1. Meningkatkan tahap laju di jalan raya adalah kos efektif dan sesuai dengan kemajuan teknologi
kenderaan masa kini.
Realitinya, persepsi ini tidak berapa benar. Ilmu fizik mengatakan bahawa tenaga impak yang diterima
oleh pemandu dan penumpang kenderaan semasa perlanggaran, meningkat secara non-linear dengan
kelajuan kenderaan itu. Maksudnya, lagi laju sesebuah kenderaan itu, lagi tinggi risiko berlakunya
kecederaan teruk atau maut semasa kemalangan (www.usw. com). Dari konteks sosioekonomi negara ini,
meningkatkan tahap laju di jalan raya hanyalah akan memuaskan hati segolongan pengguna jalan raya
sahaja tapi akan memudaratkan pengguna jalan raya lain.
Pemindaan undang-undang lalu lintas yang menguntungkan hanya satu pihak ini perlu diperbetulkan
dengan segera. Kita perlu ingat bahawa usaha untuk mengurangkan jumlah kemalangan dan kehilangan
jiwa di jalan raya ini memerlukan sokongan daripada semua pihak, yang berkenderaan besar dan kecil.
2. Remaja dan orang muda mesti berani.
Persepsi umum mengatakan bahawa remaja dan orang muda mesti berani menghadapi segala cabaran.
Sukan-sukan lasak atau seni mempertahankan diri memerlukan remaja dan orang muda yang berani.
Musibah
Kalau tidak berani, mereka akan dianggap lembik, tidak gagah, tidak macho atau tidak jantan .
Persepsi masyarakat keseluruhan ini ada kebenarannya tetapi malangnya, kegagalan untuk
mengasingkan sikap berani semasa bersukan dengan berani di jalan raya, boleh mendatangkan musibah!
Ramai di antara mereka akan berlagak berani semasa memandu kereta atau menunggang motosikal.
Golongan muda juga mempunyai rangsangan tinggi untuk mencari sensasi (sensation seeking) dengan
memandu secara bahaya atau menunggang motosikal dengan laju (I.M McNally & M. Stone, Universiti
Central Lancashire, UK). Dengan cara itu, mereka akan dipandang sebagai jantan dan berani oleh
rakan-rakan sebaya mereka.
Realitinya, gaya hidup yang berisiko tinggi ini mesti dicegah sama sekali. Percayalah, perlumbaan haram
tidak akan menjadi jika tidak ada yang menonton aksi mereka dan tidak mempedulikan mereka langsung!
3. Kengerian dan kegelisahan yang dirasa akan menginsafkan kita semua.
Kita gerun dan sedih dengan pelbagai peristiwa kemalangan demi kemalangan yang kita baca dan lihat di
media-media. Tetapi satu fakta yang amat nyata ialah bahang kegelisahan dan komitmen yang kita rasai
sejak empat minggu yang lalu, hanyalah akan bertahan untuk sementara waktu sahaja.
Masanya akan tiba apabila kita semua kembali komplesen serta relaks sehinggalah ke musim
kemalangan balik kampung yang akan datang.
Aktiviti-aktiviti penguatkuasaan di mana secara relatifnya, lebih kerap dan signifikan di masa-masa hari
perayaan akan berkurangan selepas perayaan tersebut. Kajian mengatakan bahawa terdapat fenomena
the theory of games di mana berlaku di antara pemandu dan pihak berkuasa (www.drivers.com).
Sikap pemandu banyak berubah serta bertambah baik, setiap kali hadirnya pihak berkuasa dan juga
peningkatan tahap penguatkuasaan undang-undang lalu lintas. Berkurangnya pemandu yang melakukan
kesalahan akan menyebabkan bebanan pihak berkuasa turut berkurang.
Maka dengan itu bilangan pihak berkuasa yang terlibat akan juga dikurangkan dan disalurkan kepada
isu-isu lain yang memerlukan kakitangan tambahan. Apabila ini berlaku, tahap penguatkuasaan undang-
undang lalu lintas akan menjadi rendah kembali dan pihak pemandu akan mengulangi segala sikap
negatif mereka di jalan raya. Kitaran tidak stabil ini terus berlaku. (Bjornskau & Elvik, 1992)
Makanya, untuk memastikan kesalahan-kesalahan dan sikap negatif di jalan raya dapat dibendung
dengan jayanya, intensiti penguatkuasaan undang- undang lalu lintas mesti sentiasa berada di tahap yang
maksimum.
Halaman web JPJ Sabah (www.jpjsabah.gov.my) mempunyai topik Kurikulum Pendidikan Pemandu
(KPP) yang perlu kita teliti dan praktikkan. Di antara lain, ia menerangkan definisi Konsep Pemanduan
Berhemat, langkah mencegah berlakunya kemalangan dan pemandu sempurna. Selain daripada itu
kurikulum ini turut menyentuh pengurusan ketegangan stress management di mana ia sangat relevan
kepada pemandu yang berpersonaliti jenis-A (Type-A behavioural pattern).
Untuk pengetahuan semua, terdapat satu standard formula untuk mencegah kemalangan :
D - Mengenal pasti bahaya
A - Menganalisis
D - Membuat keputusan
A - Bertindak
Kesimpulannya, jika berdasarkan kepada segala fakta di atas, apa yang diperlukan sekarang sebenarnya
ialah untuk meningkatkan tahap penguatkuasaan undang-undang lalu lintas.
Bilangan pihak berkuasa yang terlibat secara langsung di jalan raya mesti cukup setiap masa supaya
kehadiran mereka itu sentiasa dirasai oleh pengguna jalan raya. Kitaran the theory of games seperti yang
saya terangkan pada awal artikel ini, mesti dibendung.
Penggunaan kamera di simpang-simpang dan untuk merekodkan kelajuan sesebuah kenderaan perlu
ditambah. Tetapi kajian daripada pihak Royal Automobile Club Foundation (RACF) di England
mengatakan bahawa walaupun kamera-kamera ini praktikal digunakan tapi kehadiran pihak berkuasa
masih amat diperlukan setiap waktu kerana pemandu yang mempunyai rekod jenayah, agresif, khayal
kerana arak atau dadah, mengantuk, tidak berlesen, memotong dengan bahaya atau yang menggunakan
telefon bimbit tidak dapat dirakam oleh kamera-kamera yang sedia ada.
Malah, satu laporan yang disiarkan di jurnal perubatan The Lancet pada 20 Jun 2003 mengatakan
bahawa tiket saman mampu mengurangkan kemalangan dan kehilangan jiwa! Kajian itu telah dilakukan
oleh Dr. Robert Tibshirani dari Fakulti Perubatan Unversiti Stanford. Beliau mengatakan bahawa tiket
saman akan meninggalkan impak yang sangat mendalam dan tersemat di fikiran pemandu-pemandu,
untuk sekurang-kurangnya beberapa minggu. Impak ini akan menyebabkan seseorang pemandu itu lebih
berhati-hati dan lebih berhemat.
Jika kita layari halaman web www.jpj. gov.my, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempunyai satu
sistem baik yang dinamakan Sistem Penalti Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya atau KEJARA.
Ia adalah sistem pemberian mata demerit kepada pemandu-pemandu kenderaan yang telah disabitkan
kesalahan sama ada melalui bayaran kompaun (polis atau JPJ) atau denda (mahkamah) bagi kesalahan
lalu lintas. Buat masa ini, sistem KEJARA ini ditujukan khas kepada pemandu-pemandu kenderaan yang
memiliki lesen memandu CDL dan Lesen Memandu Percubaan.
Selain daripada itu, sistem ini juga mempunyai kursus pemulihan kepada pemandu yang digantung
lesennya. Malah, KEJARA turut memperuntukkan pemberian bonus kepada pemandu-pemandu CDL
yang mendapat mata demerit yang kurang daripada 15 mata, jika tidak melakukan apa-apa kesalahan lalu
lintas selama tempoh 24 bulan berturut-turut.
Secara keseluruhannya sistem KEJARA ini amat baik sekali dan wajar dipertimbangkan serta
diperluaskan kepada seluruh pemandu kenderaan.
Satu kajian komprehensif juga sedang dijalankan di UK untuk mengkaji keefektifan sistem External
Vehicle Speed Control (EVSC), satu sistem yang akan mengehadkan kelajuan maksimum semua
kenderaan di negara tersebut. Keputusan awal kajian ini menganggarkan bahawa sistem ini dapat
mengurangkan jumlah kemalangan sebanyak 35%! (www.drivers.com). Saya dapati bahawa nilai
peratusan hasil dari kajian ini sangat signifikan dan sistem EVSC ini patut diambil kira dengan serius oleh
pihak berkuasa negara ini.
Penguatkuasaan undang-undang untuk mengehadkan kelajuan kenderaan berat juga perlu
dipercepatkan. Alasan tidak kos efektif tidak boleh dijadikan sandaran apabila kita membincangkan harga
nyawa seseorang pengguna jalan raya! Apakah perlunya berlaku lagi kes 12 orang penumpang bas ekspres
yang terbunuh di Kilometer 63, Jalan Lipis-Merapoh atau seorang kanak-kanak kecil yang terputus
kepalanya disebabkan oleh sebuah lori?
Seperkara lagi, kita tentu masih ingat dengan pengakuan yang dibuat oleh Presiden Persatuan Pemandu
Bas Melayu Semenanjung Malaysia (PPBMSM) pada tahun 2004.
Beliau mengakui bahawa terdapat pemandu bas yang bekerja sehingga melebihi 24 jam atau 35 jam tanpa
rehat semata-mata mahu mendapat pendapatan lebih. Beliau juga mendedahkan bahawa terdapat juga
pengusaha syarikat bas yang memaksa pemandu masing-masing memandu tanpa pemandu gantian,
terutamanya bagi perjalanan jarak jauh.
Ada pihak yang mendedahkan tentang kesukaran untuk mendapat barang ganti serta kelemahan kotak
hitam yang dipasang di kenderaan-kenderaan berat. Segala isu ini mesti ditangani dengan segera. Pihak
berkuasa perlu menyiasat dan mengambil tindakan dengan seberapa cepat yang mungkin sebelum
tibanya musim-musim perayaan yang lain.
Pada 21 dan 24 Oktober 2006, kaum India dan Islam akan menyambut Hari Deepavali dan Hari Raya
Aidilfitri. Ramai di antara kita akan mengambil kesempatan ini untuk pulang ke kampung halaman atau
bercuti kerana cuti umum kali ini akan disambung dengan hari Sabtu dan Ahad. Seperti yang kita sedia
maklum, peningkatan kenderaan di jalan raya akan turut menyebabkan peningkatan kadar kemalangan
dan kehilangan jiwa.
Persoalannya, apakah kita telah bersedia? Atau, apakah kita baru hendak tersedar semula?

Artikel
Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1018&pub=utusan_malaysia&sec=rencana&pg=re
_01.htm&arc=hive#ixzz4hIamL000
Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai