Anda di halaman 1dari 3

Tahukah Anda Rumah Limas Johor?

Author: Wandi Hashim | Posted at: 2:56 AM |

PELBAGAI nostalgia silam wujud dalam diri setiap pengunjung yang menjejakkan kaki ke Rumah
Limas Johor di Teluk Danga, Johor Bahru, kerana kediaman tradisional itu menyingkap kekayaan
seni bina serta warisan budaya kaum Melayu di negeri berkenaan.

Pasti kunjungan ke kawasan pelancongan yang terletak kira-kira lapan kilometer dari pusat
bandar raya itu tidak lengkap jika tidak meluangkan masa berkunjung ke rumah kayu berkenaan
yang menonjolkan ciri-ciri lapan daerah iaitu Muar, Batu Pahat, Pontian, Johor Bahru, Segamat,
Mersing, Kota Tinggi dan Kluang.

Perkataan 'limas' sebenarnya merujuk kepada bentuk bumbung kediaman, di mana bumbung
limas seperti bentuk piramid, panjang dan lebarnya hampir sama manakala bumbung lain
rendah, biasanya tidak lebih dari satu meter tingginya dan tulang bumbungnya pendek.

Wakil Pentadbiran Rumah Limas, Catherine Tan, berkata Rumah Limas yang beroperasi kira-kira
dua tahun lalu menerima kunjungan dan sambutan di luar jangkaan kerana ia bukan sekadar
menjadi replika kediaman masyarakat Melayu sekitar 1950-an, malah pengisian pelbagai aktiviti
di lapan rumah itu pasti memberi pengalaman bermakna kunjungan ke situ.

Katanya, seni bina setiap rumah di situ juga menonjolkan reka bentuk asal sehingga mampu
memukau sesiapa saja yang mengunjunginya.

"Bayangkan ada rumah tradisional di tengah bandar yang menjadi antara pintu masuk ke negara
ini. Sebab itu ia menjadi perhatian ramai, ditambah pula kedudukan Rumah Limas yang boleh
dilihat dengan jelas dari laluan utama di Jalan Skudai.
"Tidak hairan bukan saja pelancong asing tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi Rumah
Limas, tetapi ribuan pengunjung juga membabitkan penduduk tempatan dari seluruh negara,"
katanya.

Sebagai contoh, Rumah Limas Muar yang menekankan adat Bugis mempunyai beberapa ruang,
termasuk bahagian depan rumah digunakan untuk menyambut tetamu, manakala di puncak
bumbung rumah ada sebatang kayu dipanggil 'tunjuk langit'.

Rumah Batu Pahat mempunyai ruang lebih luas biarpun seni binanya ringkas, manakala
bumbung Rumah Pontian mempunyai rabung panjang dan hujungnya pula dihiasi ukiran kayu.

Catherine berkata, lebih menarik, kini pengunjung mampu menjamu selera di ketiga-tiga rumah
itu kerana ia turut beroperasi sebagai restoran yang menghidangkan pelbagai masakan
tradisional Melayu.

"Selain nasi lemak, mi bandung, mi rebus, asam pedas dan siakap tiga rasa, kafe berkenaan
menawarkan menu istimewa seperti nasi beriani dan beraneka kuih tradisional masyarakat
Johor mengikut permintaan pengunjung dan tempahan lebih awal," katanya.

Rumah Limas Kota Tinggi pula yang kini beroperasi sebagai tempat mencanting batik turut
mempunyai reka bentuk unik kerana mempunyai tangga kayu yang tinggi dan bumbung serambi
bercorak kerawang menarik.

Difahamkan, reka bentuk itu terkenal berikutan beberapa kawasan di sekitar daerah itu mudah
dinaiki air banjir sehingga ia menekankan ciri-ciri keselamatan, selain reka bentuk sederhana.

Rumah Mersing yang berserambi dan berbumbung panjang dihiasi seni reka ukiran tradisional
yang halus, melambangkan kekayaan warisan budaya kaum Melayu.

Ia beroperasi sebagai pejabat perancang majlis perkahwinan bagi pasangan yang menunjukkan
minat tinggi untuk mengadakan majlis perkahwinan di Rumah Limas.

Catherine berkata, kewujudan tambahan Rumah Limas yang digelar rumah utama selain dataran
arena menjadi tempat penganjuran pelbagai majlis keramaian dan pertunjukan persembahan
tarian tradisional, termasuk zapin dan ghazal, mampu memuatkan kira-kira 1,000 hadirin pada
sesuatu masa.

"Pasangan yang melangsungkan perkahwinan di situ juga dibawa bersiar-siar menaiki tren di
sekitar kawasan pelancongan itu dengan diiringi paluan kompang," katanya.

Catherine berkata, Rumah Kluang yang mempunyai reka bentuk serambi tinggi berbanding
rumah limas lain menjadi tempat memperkenalkan permainan tradisional, termasuk congkak
dan gasing, di mana pengunjung boleh mempelajari permainan berkenaan.
"Rumah Segamat atau lebih dikenali sebagai 'Taman Orkid' dihiasi dengan lanskap menarik
pelbagai spesies bunga orkid beroperasi sebagai pusat maklumat pelancongan.

"Manakala Rumah Johor Bahru yang terserlah dengan kombinasi kayu yang dicat warna putih
dan coklat pula menawarkan lebih 500 cenderahati termasuk kraftangan, batik gambir lada
untuk dibawa pulang oleh pengunjung bagi memperingati pengalaman mengunjungi rumah
limas.

"Ada juga rumah spa yang menawarkan urutan badan tradisional masyarakat Melayu daripada
harga serendah RM55 bagi pengunjung yang penat bersiar-siar di sekitar Danga Bay," katanya.

Info

> Rumah Limas Johor di Teluk Danga, Johor Bahru menampilkan lapan rumah kayu yang
memiliki ciri-ciri tradisional tersendiri lapan daerah di Johor iaitu Muar, Batu Pahat, Pontian,
Johor Bahru, Segamat, Mersing, Kota Tinggi dan Kluang

> Perkataan 'limas' merujuk kepada bentuk bumbung rumah seperti piramid. Panjang dan
lebarnya hampir sama manakala bumbung lain rendah

> Setiap rumah Limas di Teluk Danga menjalankan pelbagai aktiviti untuk pengunjung seperti
restoran dengan hidangan tradisional Melayu, mencanting batik, persembahan hiburan, taman
orkid, dan pusat jualan cenderahati serta kraftangan

http://manishelma.blogspot.my/2008/10/tahukah-anda-rumah-limas-johor.html

Anda mungkin juga menyukai