Anda di halaman 1dari 2

Amalan Pemakanan Yang Betul Bagi Mengelakkan Obesiti Dalam Kalangan Murid

Instrumen B6D2E1

PBS | Esei Sains Tingkatan 2 : Amalan Pemakanan Yang Betul Untuk Mengelak Obesiti Dalam
Kalangan Murid

Menurut kamus DBP, Kuala Lumpur Edisi Ketiga, obesiti bermakna kegemukan yang disebabkan
terdapatnya lemak yang berlebihan. Obesiti menimbulkan pelbagai masalah kesihatan seperti
penyakit jantung, dan tekanan darah tinggi. Selain tertekan secara emosi, orang yang mengalami
masalah obesiti juga tidak dapat menikmati kehidupan mereka sepenuhnya kerana pergerakan yang
terbatas. Bagi mengatasi masalah ini, mereka perlu mengamalkan pemakanan gizi seimbang, iaitu
yang bermaksud pemakanan harian yang mengandungi kesemua kelas makanan dengan kuantiti
yang betul dalam jumlah yang mencukupi.

Masalah obesiti sebenarnya berlaku disebabkan oleh cara hidup yang tidak sihat seperti tidak
menjaga pemakanan seharian. Pengambilan makanan yang berlemak tinggi dan terlalu manis boleh
membawa kepada masalah kegemukan. Makanan bergoreng juga boleh menyumbang kepada
pengumpulan lemak dalam badan. Justeru itu, kita hendaklah makan lebih banyak sayur, buah-
buahan dan sumber protein yang lain seperti ikan. Penggunaan minyak dikurangkan dan
mempelbagaikan masakan dengan cara mengukus, membakar atau merebus.

Selain daripada itu, sikap malas dan tidak suka bersenam juga menjadi punca berlakunya masalah
obesiti. Apabila kita terlalu memanjakan tubuh dengan cara tidak melakukan sebarang pergerakan
senaman, lemak akan terus terkumpul dalam badan kita. Oleh itu, kita mesti bersenam sekurang-
kurangnya 3 kali seminggu selama 30 minit. Antara senaman yang digalakkan ialah berjalan kaki
pantas, berenang, atau bermain badminton.

Di samping itu, peningkatan restoran makanan segera dan penjualan makanan dalam bungkusan
atau tin turut menjadi satu punca obesiti. Restoran makanan segera sangat digemari ramai
penduduk negara ini terutama mereka yang bekerja kerana tidak perlu lagi bersusah payah untuk
memasak makanan selepas penat bekerja. Walaupun makanan yang disediakan ini menyelerakan,
orang ramai harus sedar bahawa pengambilan makanan ini haruslah dikurangkan kerana makanan
ini tidak berkhasiat dan mengandungi kadar garam, gula, dan lemak yang tinggi.

Kesimpulannya, masalah obesiti hendaklah diatasi untuk mengelakkan perkara buruk yang timbul
sebagai akibatnya. Obesiti yang berpunca daripada pemakanan tidak sihat dan kurang bersenam
dapat dielakkan jika kita mengubah pengambilan makanan, cara memasak, dan lebih kerap
bersenam. Membuang lemak dalam badan bukan perkara mudah untuk dilakukan. Usaha ini
memerlukan kesabaran dan kesungguhan.

(326 patah perkataan)

Anda mungkin juga menyukai