Anda di halaman 1dari 12

Penilaian dan Pengukuran dalam PTV

Pengenalan

Dalam menempuh kehidupan seharian, kita seringkali berhadapan dengan apa yang
dikatakan sebagai pengujian, pengukuran dan penilaian dalam semua keadaan yang
memerlukan kita membuat sesuatu pertimbangan atau keputusan. Guru perlu membuat
pertimbangan atau keputusan berhubung dengan pelajar dalam bilik darjah kendaliannya
tentang pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung. Apakah telah mencapai objektif
yang telah ditetapkan atau memerlukan tindakan pengulangan semula dan sebagainya.

Pengujian, pengukuran dan penilaian adalah antara beberapa konsep penting dalam dunia
pendidikan. Sering kali istilah ini bertukar ganti digunakan. Misalnya, sesetengah guru
apabila mengedarkan kertas ujian, mereka mungkin mengatakan mereka mengukur prestasi
pelajar atau menilai prestasi pelajar dalam sesebuah bilik darjah tanpa mengambil hirau
maksud sebenar atau maksud khusus yang mendukung istilah berkenaan. Secara khususnya,
ketiga-tiga istilah berkenaan mempunyai makna yang lebih spesifik dan ketiga-tiganya
mempunyai perbezaan.

Dalam dunia pendidikan, penilaian yang sistematik, dengan mengambil kira semua faktor
yang boleh mempengaruhi maklumat atau dapatan yang diperolehi akan membantu guru
dalam membuat sebarang keputusan yang tepat.

1.1 Konsep Pengujian, Pengukuran Dan Penilaian

Sebagai insan yang hidup di muka bumi ini, kita tidak lari dalam membuat keputusan. Dalam
membuat sebarang keputusan tersebut sama ada mudah atau sukar, penilaian wajar dilakukan
terlebih dahulu. Dalam konteks ini penilaian yang dijalankan melibatkan penentuan objektif,
mendapat maklumat, memproses maklumat dan membuat kesimpulan serta keputusan.
Apabila proses yang dijalankan itu dijalankan secara sistematik dan saintifik, maka
keputusan yang diperolehi lebih tepat dan seterusnya tindakan yang diambil benar-benar
bersesuaian.

Sebenarnya aktiviti penilaian dalam bidang sain perlakuan, sains kemasyarakatan bermula
dengan percubaan kajian yang dijalankan oleh Galton dan Binet dengan mengukur kebolehan
individu. Bermula dengan kajian tersebut, konsep penilaian telah berkembang sehingga
muncul beberapa istilah yang berkaitan seperti pengukuran (measurement), penilaian
(evaluation) dan pentaksiran (assessment). Dalam pengukuran, individu didedahkan kepada
pemboleh ubah yang sama dalam keadaan terkawal. Sebagai contoh pengukuran yang
dijalankan bagi menguji kecerdasan kanak-kanak melalui ujian oleh Stanford-Binet, Raven-
Matrices, Weschler dan A.C.E.R.

Apabila sesuatu penilaian ingin dijalankan, sekurang-kurangnya dua keputusan yang utama
perlu diambil. Pertama, berkaitan dengan sebab ataupun tujuan penilaian dijalankan.
Misalnya ingin taraf bacaan murid di sekolah rendah dengan berpendapat taraf bacaan itu
sudah tidak memuaskan dan satu tindakan yang baru perlu diambil. Kedua, berkait dengan
pemilihan model, alat-alat prosedur menjalankan dan cara penganalisisan. Seseorang penilai
akan memilih model yang dirasai dapat memberikan maklumat yang lengkap kepadanya.

Penilaian adalah konsep yang telah digunakan dalam pelbagai bidang. Penilaian dilakukan
kerana mempunyai matlamat tersendiri. Dengan mengadakan penilaian akan membolehkan
anggaran dapat dibuat sama ada matlamat yang telah ditetapkan itu tercapai atau sebaliknya.
Penilaian juga dapat dianggap sebagai satu cara mendapatkan bukti yang tepat tentang
sesuatu. Maklumat dan bukti ini amat penting dalam menyelesaikan sebarang masalah yang
timbul. Misalnya dalam pendidikan, masalah yang dapat diselesaikan ialah pencapaian
sesuatu matlamat yang ditetapkan seperti menguasai kemahiran membaca, menulis dan
mengira (3M) kepada murid sekolah rendah.

Dalam membuat penilaian anda mungkin sering kali berhadapan dengan pelbagai masalah.
Misalnya tentang persoalan yang ingin diselesaikan, apakah bukti yang mencukupi atau
bagaimana cara mendapatkan maklumat, siapa yang perlu mendapatkan maklumat dan
sebagainya. Dengan memahami konsep pengujian, pengukuran dan penilaian anda akan
dapat merancang langkah-langkah dengan lebih teratur dan sistematik bagi mendapatkan
maklumat yang tepat.

Apakah Yang Dimaksudkan Pengukuran?

Pengukuran membawa maksud yang lebih luas berbanding dengan pengujian. Pengukuran
membawa definisi sebagai suatu proses mendapatkan penjelasan secara numerik atau melalui
angka tentang sebanyak mana individu atau murid mempunyai sesuatu ciri yang diukur
dengan menggunakan instrumen. Atau dalam erti kata lain langkah menentukan tahap sejauh
mana seseorang individu memiliki sifat-sifat tertentu.
Biasanya kita mewakilkan sesuatu indeks berbentuk angka kepada prestasi seseorang
individu supaya status individu berkenaan lebih tepat dan dapat mewakili sifat tertentu.
Misalnya, Ramli mendapat markah 60 peratus dalam ujian Matematik. Kita tidak
menyatakan prestasi Ramli berkenaan sama ada baik atau sebaliknya. Dalam hal ini, kita
hanya mengukur tanpa menentukan nilai. Justeru, pengukuran adalah hanya penentuan status
atau tahap.

Pengukuran boleh dilaksanakan tanpa pengujian. Sebagai contoh, proses mendapatkan


maklumat berbentuk kuantitatif menggunakan proses pencerapan atau penggunaan skala
pemeringkatan. Berbeza dengan pengujian yang ingin mendapatkan maklumat sebanyak
mana prestasi yang diperolehi, pengukuran pula menjurus kepada banyak mana skor atau
markat yang diperolehi dengan menggunakan proses tertentu.

Seperti pengujian, pengukuran juga tidak bersifat mutlak. Pengukuran ketinggian mental
seseorang individu sudah tentu lebih sukar dan tidak dapat dilakukan dengan tepat
berbanding pengukuran ketinggian fizikal seseorang individu menggunakan alat ukur yang
tepat seperti penggunaan pembaris. Misalnya, seseorang murid yang mendapat skor 90 tidak
boleh dianggap mengetahui dua kali ganda murid yang mendapat skor 45 walaupun skor 90
itu dua kali angka 45. Manakala seseorang yang mendapat skor sifar pula tidak juga boleh
dianggap sebagai tidak mempelajari sebarang perkara atau tidak memahami sebarang
perkara tentang sesuatu pelajaran yang dilalui. Ini jelas menunjukkan pengukuran aspek
berkenaan bukanlah petunjuk yang tepat sebagaimana mengukur ketinggian murid
menggunakan kayu ukur atau pembaris.

Dengan itu, seseorang guru harus menggunakan instrumen yang tepat bagi menghasilkan
keputusan yang tepat. Jika instrumen yang digunakan mempunyai kecacatan, maka sudah
pastilah hasil yang diperolehi daripada ukuran yang dijalankan itu juga tidak tepat.

Apakah Yang Dimaksudkan Penilaian?

Penilaian ada suatu istilah yang boleh didefinisikan dengan banyak cara. Menilai boleh
dianggap sebagai proses membuat pertimbangan atau membuat keputusan dalam memberikan
nilai mutu, kualiti, harga bagi sesuatu benda atau perkara. Stufflebeam et al. (1971:xxv)
menyatakan penilaian sebagai “the process of delineating, obtaining, and providing useful
information for judging decision alternatives”. Definisi ini menjangkau melepasi daripada
maksud pengujian dan pengukuran.
Gay (1985) berpendapat bahawa penilaian ialah satu proses yang dianggap sistematik semasa
mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah
ditetapkan itu telah tercapai. Hal ini seterusnya bagi membolehkan guru dapat membuat
pertimbangan atau keputusan yang tepat berhubung pengajaran dan pembelajaran. Ini berbeza
dengan pengukuran yang melibatkan pemberian nombor-nombor (numeric) tertentu yang
lebih bersifat kuantitatif.

Terdahulu daripada itu, Popham (1975) menafsirkan penilaian yang sistematik mestilah
mengandungi satu tafsiran yang formal tentang nilai fenomena pendidikan. Secara
menyeluruh, penilaian pendidikan mencakupi aspek-aspek seperti hasil pengajaran, program
pengajaran dan matlamat ke arah usaha pengajaran itu ditentukan. Dalam sesuatu bilik
darjah, apabila guru memberikan ujian, adakah guru berkenaan mengukur pencapaian pelajar
atau guru menilai pencapaian pelajar. Dalam keadaan ini kita boleh mengatakan bahawa
guru sebenarnya mengukur pencapaian pelajar melalui ujian yang dijalankan. Tindakan
susulan yang dilakukan guru dengan menggunakan keputusan ujian itu berserta maklumat
lain yang berkaitan untuk menilai prestasi murid berkenaan. Dalam sesetengah keadaan
penilaian dibuat tanpa sebarang pengukuran yang melibatkan ujian terlebih dahulu; tetapi
hanya melibatkan pertimbangan nilai semata-mata.

Dengan itu menunjukkan bahawa penilaian boleh dijalankan dengan menggunakan


maklumat atau data yang berbentuk kuantitatif atau data berbentuk kualitatif atau melibatkan
kedua-duanya sekali. Secara kuantitatif, maklumat yang diperolehi melalui penilaian
dinyatakan dalam bentuk angka dan maklumat ini boleh disusun, dikemaskinikan serta
diringkaskan dalam kaedah yang lebih mudah difahami. Manakala secara kualitatif pula,
maklumat yang dapat dinyatakan atau dihuraikan tanpa menggunakan nombor-nombor.
Misalnya Ali menyelesaikan tugas yang diberikan oleh guru dengan bersih.

Secara ringkasnya, prosedur penilaian penilaian mengandungi aspek pengujian, pengukuran,


penganalisisan serta merumuskan data yang diperolehi. Prosedur penilaian boleh
dilaksanakan dalam lima peringkat seperti dalam rajah di bawah:

Dalam konteks sekarang istilah pentaksiran mula digunakan dalam membuat penilaian.
Popham (2000) berpendapat istilah pengukuran, pengujian dan penaksiran digunakan silih
berganti dan dianggap sebagai sinonim. Pentaksiran melibatkan proses membuat keputusan
berdasarkan kepada suatu peraturan atau piawaian. Pentaksiran merupakan sebahagian
daripada proses pembelajaran. Dalam konteks pendidikan juga pentaksiran dianggap sebagai
suatu proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod,
memberi skor dan menterjemahkan maklumat tentang pembelajaran seseorang murid bagi
sesuatu tujuan tertentu (Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2000). Hasil pentaksiran dinyatakan
dalam bentuk skor. Skor mestilah sah dan boleh dipercayai untuk memastikan keadilan
kepada murid serta mengekalkan kewibawaan institusi pentaksiran.

Kesimpulannya, dasar penting bagi pencapaian pengajaran dan pembelajaran yang berkesan
adalah melalui langkah-langkah pengujian, pengukuran dan penilaian yang tepat dan
berkesan dijalankan oleh guru di bilik darjah. Justeru, kecekapan guru dalam membangunkan
instrumen pengujian dan penilaian amat penting malah sama pentingnya dengan
penguasaan guru terhadap kurikulum yang diajar bagi menjamin keberkesanan pengajaran
dan pembelajaran.

1.2 Aras Ukuran

Secara umumnya, terdapat pelbagai bentuk system pengukuran yang berbeza. Misalnya,
pengukuran yang digunakan untuk mengukur pencapaian akademik pelajar adalah berbeza
dengan pengukuran yang digunakan untuk mengetahui tahap apresiasi agama pelajar. Begitu
juga membuat pengelasan darjah motivasi sebagai bermotivasi tinggi, sederhana atau rendah
tidaklah setepat dengan pengukuran yang menggunakan skor sebenar motivasi pelajar.
Penyataan dan pengkelasan kuantitatif pemboleh ubah ini melibatkan system dan proses
pengukuran yang menggunakan skala tertentu. Pada umumnya terdapat dua jenis pemboleh
ubah asas dalam pengukuran iaitu: (i) Jenis kuantitatif dan (ii) Jenis kategori. Kedua-dua
jenis tersebut boleh diukur dengan menggunakan empat jenis skala yang biasa digunakan,
iaitu skala nominal, ordinal, sela dan nisbah.

1.2.1 Skala Nominal

Skala nominal ialah skala yang dianggap paling mudah dan mempunyai ketepatan yang
paling rendah sebagai bentuk pengukuran. Skala ini mengkategorikan pemboleh ubah
berdasarkan persamaan dan seterusnya memberikan nama kepada pemboleh ubah
berkenaan. Misalnya, guru ingin mengelaskan kategori murid-murid mengikut kumpulan
etnik atau mengelompokkan murid mengikut kumpulan jantina. Guru berkenaan perlu
meletakkan nilai tertentu kepada setiap pemboleh ubah tersebut sebagai mewakili kumpulan
berkenaan. Misalnya, etnik Melayu diwakili nombor 1, Cina diwakili nombor 2, India
nombor 3 dan nombor 4 bagi etnik yang lain. Nombor I dalam sistem ini tidaklah
menunjukkan bilangan yang kecil jika dibandingkan dengan nombor 2,3 dan 4. kita boleh
menukargantikan nombor berkenaan kepada kategori yang lain. Misalnya, 4 untuk Melayu, 3
untuk Cina, 2 untuk India dan 1 untuk lain-lain etnik.

Nombor yang diberikan itu hanyalah mewakili atau melambangkan sesuatu pemboleh ubah
yang dinyatakan. Apabila nombor yang digunakan untuk melambangkan orang atau objek
dan nombor ini sebenarnya tidak mempunyai sebarang hubungan dalaman antara satu sama
lain dari segi nilai. Ini disebut sebagai skala nominal.

Tiga ciri utama skala nominal, iaitu:

i. setiap data hanya dimiliki oleh satu kategori sahaja. Individu yang berada
dalam kelompok Melayu tidak boleh menjadi individu dalam kelompok betnik yang lain.

ii. Kategori atau nombor yang mewakili setiap data tidak mempunyai susunan
pemeringkatan data tetapi dianggap sebagai setara.

iii. Perubahan data asal kepada data nominal atau kategori bersifat satu sama satu.

1.2.2 Skala Ordinal

Pengukuran bersifat ordinal pula ialah data yang menunjukkan urutan atau pangkat. Data
disusun sama ada daripada yang rendah kepada yang tinggi atau daripada yang lemah
kepada yang cemerlang. Nombor atau kategori yang digunakan menggambarkan maklumat
asal pemboleh ubah yang menunjukkan susunan daripada kecil kepada yang besar atau
daripada kategori yang baik kepada kategori yang lebih baik. Misalnya, nombor 1, 2, 3, 4
yang menunjukkan pangkatan atau kedudukan pelajar dalam bilik darjah adalah contoh skala
ordinal. Pelajar yang mendapat markat keseluruhan yang tinggi diberikan nombor 1, diikuti
norbor 2, 3, 4 dan seterusnya. Ini menunjukkan nombor 1 adalah lebih baik daripada nombor
2, 3 4 dan berikutnya. Pada umumnya skala ordinal hanya mampu membezakan kategori
dan nilai susunan secara pemeringkatan. Contoh lain skala ordinal seperti skala Likert.

Ciri-ciri utama skala ordinal seperti berikut:


i. kategori yang digunakan bagi mengelaskan data bersifat saling eksklusif.

ii. Data yang digunakan menunjukkan pemeringkatan secara logik.

iii. Data mempunyai pemberat. Setiap kategori mempunyai pemberatan yang lebih
berbanding kategori yang lain.

1.2.3 Skala Sela

skala ketiga ialah skala jenis sela. Data jenis ini mempunyai urutan atau pangkat serta
anggapan bahawa perbezaan antara sela wujud. Setiap skala berkenaan mempunyai jarak
yang sama. Skala ini berupaya menunjukkan perbezaan antara beberapa kategori dan ia
boleh menunjukkan kesamaan dalam unit pengukuran yang digunakan. Contoh pengukuran
skala sela ialah pengukuran suhu. Misalnya perbezaan darjah suhu antara 25˚C dengan 35˚C
adalah sama dengan perbezaan darjah suhu antara 15˚C hingga 25˚C. Kedua-dua perbezaan
berkenaan menunjukkan perbezaan 10˚.

Skala sela memberikan sela yang sama daripada titik origin yang sewenang-wenangnya. Ini
bermaksud skala sela mempunyai ciri-ciri nominal dan ordinal, terutamanya ciri-ciri aspek
pangkatan. Jarak numerik yang sama di atas skala sela menggambarkan jarak yang sama pada
ciri-ciri yang diukur.

Contoh lain, andai kata terdapat enam orang pelajar yang diukur pencapaiannya pada skala
sela, maka perbezaan pencapaian antara pelajar A dengan C adalah sama dengan F dan D.
walau bagaimanapun kita tidak boleh menyatakan pencapaian F dua kali lebih baik daripada
D. hal ini disebabkan bukan kuantiti yang ditambah atau ditolak, tetapi perkiraan adalah
berdasarkan selak atau jarak tersebut.

Dalam skala sela, nilai kosong (O) atau sifar adalah merupakan suatu nilai. Nilai O adalah
suatu yang arbitrari dan tidak menggambarkan bahawa ciri kuantiti sebagai kosong atau
tidak ada nilai secara mutlak. Misalnya, suhu O˚C mempunyai nilai permulaan sistem
pengukuran suhu. Suhu O˚ C di sini masih membawa makna suhu masih boleh turun di
bawah takat tersebut dan bukan bermakna tidak ada darjah kepanasan.

Ciri-ciri skala sela adalah seperti berikut:

i. kategori yang digunakan bagi mengelaskan data sela bersifat saling eksklusif.
ii. Data yang digunakan menggambarkan susunan pemeringkatan secara logik.

iii. Nilai atau skor yang digunakan mempunyai pemberat. Satu nilai dikatakan
lebih besar atau lebih kecil daripada lainnya.

iv. Nilai dalam skala sela adalah arbitrari. Nilai O adalah satu bentuk nilai dalam
skala jenis ini.

v. Persamaan perbezaan digambarkan dalam nilai nombor yang digunakan bagi


menggambarkan perbezaan.

1.2.4 Skala Nisbah

Skala keempat ialah skala nisbah. Skala ini mempunyai semua sifat jenis sela dan
mempunyai mutlak nilai kosong. Dalam skala nisbah nilai kosong tidak bersifat arbitrari.
Misalnya perbezaan antara 30 hingga 60 adalah sama dengan perbezaan 60 hingga 90. malah
kita boleh mengatakan 90 adalah dua kali ganda 45 (2 X 45 = 90). Nombor dalam skala
nisbah ini menunjukkan jumlah atau ciri sebenar yang diukur. Contoh skala nisbah seperti
umur, ketinggian dan jarak.

Jadual di bawah menunjukkan sifat keempat-empat skala pengukuran berkenaan.

Pengukuran tingkah laku dalam bidang psikologi kadang kala agak sukar dibuat garisan
antara data jenis ordinal dan sela. Misalnya dalam ukuran data yang menggunakan skala
Likert, anggapan yang keterlaluan ialah data ini tergolong dalam data jenis ordinal. Apabila
hanya menganggap skala ini terhad kepada berbentuk ordinal akan menyebabkan
pengehadan kepada analisis data yang dapat dibuat. Analisis data begini tidak dapat
menggunakan analisis varians bagi membandingkan nilai min kumpulan.

Kesimpulannya, setiap jenis skala mempunyai maklumat yang berbeza. Skala nisbah
memberikan sejumlah maklumat yang lebih banyak daripada skala sela. Skala sela pula
dapat memberikan maklumat yang lebih daripada skala ordinal. Begitu juga dengan skala
ordinal lebih memberikan maklumat daripada skala nominal. Penyusunan data akan
mempengaruhi jenis analisis statistik yang bakal dijalankan. Perhubungan atau hierarki
keempat-empat skala ukuran dapat ditunjukkan dalam rajah di bawah.

Apakah Maksud Pengujian?


Antara ketiga-tiga istilah berkenaan, pengujian selalunya dianggap mendukung maksud yang
lebih sempit atau khusus. Pengujian dapat dianggar sebagai proses penyerahan set soalan
yang standard yang perlu dijawab, atau satu set instrumen atau satu prosedur yang sistematik
bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau pelajar.

Menurut Cronbach (1970), ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati
perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan menghuraikan dengan bantuan skala
bernombor, atau satu sistem yang berkategori. Misalnya, skala bernombor seperti angka
30/100 untuk ujian penglihatan, 100 untuk ujian darjah kecerdasan (IQ Test) dan 80/100
bagi ujian pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran seperti Sains. Manakala contoh sistem
berkategori pula seperti ‘ekstrovert’ atau ‘introvert’ bagi ujian personaliti, atau rabun warna
bagi ujian penglihatan.

Kepentingan pengujian bagi mengukur perubahan tingkah laku pelajar seperti yang
dinyatakan di atas, dikukuhkan oleh Milagros (1981) seperti yang dipetik dalam Raminah
Haji Sabran (1991) yang menegaskan bahawa:

Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contohan perlakuan yang diperlihatkan oleh
murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperolehi
daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan. (Raminah
1991:2)

Hasil daripada jawapan yang diberikan yang diberikan oleh pelajar, satu ukuran yang
disebut sebagai markat akan diberikan kepada individu berkenaan. Pengujian menjelaskan
keadaan berapa baguskah prestasi murid yang diuji.

Proses pengujian lazimnya bermula dengan peringkat persediaan, diikuti pelaksanaan


(pentadbiran ujian) dan berakhir dengan pemeriksaan skrip jawapan. Melalui proses
pengujian inilah seseorang guru dapat mengetahui sama ada pelajar-pelajarnya telah
menguasai sebanyak mana kemahiran yang telah dipelajari.

Mengapa Mengukur Dan Menilai

Penilaian dan pengujian dalam sesi pengajaran dan pembelajaran adalah sama pentingnya
dengan proses pengajaran. Matlamat utama penilaian dijalankan ialah untuk meningkatkan
atau memperbaiki pembelajaran. Sekiranya ditinjau dari aspek yang lebih luas, penilaian
yang dijalankan memberi manfaat besar kepada guru pelajar serta ibu bapa malah kepada
pihak sekolah serta kementerian sendiri apabila memberikan maklumat yang tepat dan
berkesan.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, hasil penilaian dan pengujian yang dijalankan dapat
dijadikan asa kepada guru untuk membuat keputusan berhubung dengan aktiviti pengajaran
dan pembelajaran dalam bilik darjah. Sepanjang guru mengajar, beliau akan menggunakan
maklumat yang diperolehi bagi membuat keputusan yang perlu bagi meningkatkan
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Bagi memudahkan pemahaman anda, tujuan atau kepentingan penilaian dalam pendidikan
khususnya dalam bilik darjah ini dijelaskan kepada beberapa tujuan seperti untuk tujuan
diagnosis, melihat pencapaian, membuat pemilihan, menempatkan serta memberikan
bimbingan kaunseling kepada pelajar.

Diagnosis

Pengujian dan penilaian yang dijalankan oleh guru dalam bilik darjah akan dapat
memberikan maklum balas kepada guru berhubung tahap penguasaan pelajar terhadap
sesuatu kemahiran yang telah disentuh dalam bilik darjah serta meninjau masalah yang
timbul dalam sesi pengajaran pembelajaran yang berlangsung. Dengan itu guru dapat
mengenal pasti tahap kemajuan seseorang murid dalam bilik darjah tersebut sama ada pada
tahap yang sangat memuaskan, sederhana, lemah atau tidak ada sebarang kemajuan langsung.
Daripada penilaian yang dijalankan juga guru dapat mengenal pasti murid yang cergas, yang
memerlukan aktiviti pengayaan dan murid yang lemah yang memerlukan aktiviti pengayaan.
Guru juga akan membuat keputusan sama ada untuk mengubah strategi pengajaran agar lebih
bersesuaian dengan keperluan murid atau mengulang menggunakan strategi sama dan
sebagainya.

Penilaian dan pengujian yang dijalankan sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran
yang berlangsung akan memperlihatkan kemajuan pelajar dalam jangka masa tertentu.
Pengesanan tahap kemajuan yang berterusan ini akan memungkinkan guru mengetahui
masalah yang dihadapi oleh pelajar. Adakah murid mempunyai masalah dalam mempelajari
dan menguasai sesuatu kemahiran yang telah diajar dalam bilik darjah? Sekiranya
menghadapi masalah, guru akan menyelidiki aspek atau kemahiran yang menimbulkan
masalah kepada murid-murid dan mengenal pasti punca masalah tersebut berlaku. Maklumat
berkenaan amat perlu kepada guru bagi menyediakan latihan yang khusus atau pemerhatian
yang lebih kepada murid-murid berkenaan supaya kelemahan atau masalah yang dihadapi
dapat diatasi. Tanpa penilaian dan pengujian yang dijalankan, murid-murid yang
menghadapi masalah sukar dibantu dan akibatnya mereka akan terus ketinggalan dari arus
perdana persekolahan.

1.2.1 Pencapaian

Proses penilaian dan pengujian yang dijalankan pada peringkat akhir sesi pengajaran dan
pembelajaran dapat memberikan maklumat tentang setakat mana penguasaan murid-murid
tentang sesuatu kemahiran yang telah diajar. Selain penilaian yang dijalankan pada akhir sesi
pengajaran dan pembelajaran, proses penilaian yang dijalankan pada akhir sesuatu tempoh
pengajian yang ditetapkan, misalnya pada akhir tahun sesi persekolahan atau kepada pelajar
Tahun 6 (UPSR), Tingkatan 3 (PMR) dan Tingkatan 5 (SPM) adalah bertujuan untuk
menentukan gred yang memperlihatkan tahap pencapaian secara keseluruhan yang telah
murid-murid atau pelajar-pelajar kuasai. Penilaian pada peringkat ini lebih bercorak formal
dengan memfokuskan kepada pemberian sijil atau anugerah atau pengiktirafan kepada pelajar
hasil daripada pencapaian yang ditunjukkan oleh mereka dalam peperiksaan.

Hasil penilaian yang dijalankan akan memperlihatkan pencapaian pelajar mengikut gred
yang telah ditetapkan sama ada cemerlang, sederhana atau gagal. Guru akan dapat
membezakan murid-murid yang cemerlang, sederhana dan lemah berdasarkan keseluruhan
prestasi pencapaian yang ditunjukkan dalam peperiksaan yang diduduki.

1.2.2 Pemilihan dan Penempatan

Penilaian dan pengujian penting bermula sebelum memulakan pengajaran dan pembelajaran.
Sebelum guru memulakan pengajarannya dalam bilik darjah, perlu baginya mengadakan
penilaian dan menguji murid-muridnya bagi meninjau sejauh manakah murid-muridnya
telah menguasai sesuatu kemahiran atau ingin mendapatkan aspek-aspek yang akan
dipelajari. Misalnya, seseorang guru Bahasa Melayu yang akan mengajar kepada penutur
bukan asli bahasa Melayu, guru perlu mengetahui aspek kemahiran manakah yang telah
dikuasai oleh pelajar dari aspek tatabahasa, perbendaharaan kata dan sebagainya. Maklumat
ini penting bagi guru membuat keputusan dalam menentukan peringkat yang bersesuaian
untuk memulakan pengajaran.
Di samping itu, guru juga dapat menentukan adakah semua murid dapat dipilih serta
dikelompokkan dalam satu kumpulan yang besar berasaskan tahap penguasaan yang berbeza
atau di kelompokan dalam kumpulan yang sama. Dalam suasana penguasaan yang berbeza,
wajar bagi guru menempatkan murid mengikut tahap penguasaan masing-masing dan
menumpukan pengajaran mengikut keperluan murid yang berbeza-beza. Keadaan ini
menunjukkan tujuan penilaian dan pengujian yang dijalankan adalah untuk memilih dan
menempatkan pelajar mengikut tahap penguasaan sesuatu kemahiran.

Selain memulakan sesi pengajaran, tujuan penilaian juga ialah untuk memilih dan
menempatkan pelajar mengikut aliran tertentu. Misalnya, keputusan pelajar yang cemerlang
dalam mata pelajaran sains memungkinkan ditempatkan dalam aliran sains atau mengikut
kecenderungan seseorang murid berkenaan.

1.2.3 Bimbingan dan kaunseling

Hasil penilaian dan pengujian yang dijalankan juga dapat digunakan bagi keperluan
bimbingan dan kaunseling kepada pelajar yang berkaitan. Setiap pelajar mempunyai motivasi
untuk belajar dan ia

Anda mungkin juga menyukai