Anda di halaman 1dari 5

1

Kenapa Malaysia perlu lebih banyak FDI?


Dr. Eng Wei Chun
26 November 2017 12:12 PM
Malaysia merupakan salah satu destinasi pilihan terbaik bagi pelaburan langsung asing (Foreign Direct Investment) di Asia
Tenggara bagi tahun 2017.

Negara kita juga merupakan antara negara Asia Timur yang disenaraikan sebagai negara teratas yang mudah untuk
berniaga berbanding dengan negara-negara jiran lain. Tambahan lagi, Malaysia juga menjadi negara keenam terbaik untuk
melabur di Asia.

Persoalannya, adakah Malaysia memerlukan pelabur-pelabur asing? Dan adakah ia akan membantu dari segi pengukuhan
ekonomi negara ini?

Jawapan kepada soalan-soalan tersebut adalah afirmatif. Seperti yang kita sedia maklum, pelaburan langsung asing dapat
menambahkan peluang pekerjaan terutama dalam sektor perindustrian sama ada tenaga buruh mahir atau separuh mahir.

Ini juga secara tidak langsung akan mengurangkan kadar pengangguran di negara kita.Bukan itu sahaja, pelaburan langsung
asing juga dapat mengukuhkan nilai mata wang Ringgit Malaysia kerana wang dari luar negara telah dilaburkan di negara ini
dengan menggunakan mata wang ringgit.

Hal ini juga akan membantu mengurangkan kadar inflasi yang berlaku di negara ini kerana mata wang Malaysia akan
menjadi lebih bernilai dan kukuh dalam kalangan mata wang asing sekali gus mengurangkan inflasi.

Justeru, pelaburan langsung asing membolehkan pemindahan teknologi moden serta kepakaran masuk ke negara kita yang
sedang membangun dengan pesat dan akhirnya Malaysia dapat mempelajari teknologi-teknologi tersebut daripada negara
pelabur asing.

Namun begitu, apakah langkah-langkah yang telah diambil kerajaan Malaysia untuk memastikan tanah air ini menjadi pilihan
utama pelabur asing?

Melalui usaha-usaha yang telah diteliti, antara lain adalah melalui polisi kerajaan Malaysia yang melakukan perbelanjaan
bijak dalam membina infrastruktur-infrastruktur yang bertaraf antarabangsa.

Ini boleh dilihat melalui pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur2 (KLIA 2), Projek Landasan Kereta Api
Pantai Timur (ECRL), MRT, Lebuhraya Pan Borneo, Tun Razak Interchange (TRX) dan lain-lain. Pembinaan-pembinaan
tersebut telah menyebabkan penjimatan dari segi masa.

Bukan itu sahaja, nilai pertukaran mata wang kita pada ketika ini yang rendah juga telah memberi peluang kepada pelabur
asing untuk melabur di Malaysia. Di samping itu, kita juga mempunyai sistem perbankan yang amat matang.

Melihat kepada pentingnya pelaburan asing di Malaysia, maka kita perlulah memahami faktor-faktor yang menyebabkan
pelabur asing berminat untuk melabur di negara ini. Salah satu faktor, Malaysia sendiri mempunyai suasana politik lebih
stabil berbanding negara jiran.

Bersaing

Di samping itu, Malaysia juga merupakan sebuah negara yang penuh keunikan dengan kepelbagaian kaum antara Melayu,
Cina, India dan banyak lagi. Lebih membanggakan, orang Melayu mempunyai pemikiran bijak dengan idea bernas dengan
memulakan serta membuka dan pasaran Muslim dan halal.

Malah negara ini juga mempunyai kadar kelulusan pinjaman yang tinggi dan ini akan memudahkan pelabur asing untuk
menguruskan pelaburan-pelaburan mereka di Malaysia.

Selain itu, negara kita juga mengamalkan undang-undang common law yang turut diamalkan oleh masyarakat antarabangsa.
Maka sudah tentu pelabur-pelabur asing ini akan lebih selesa melabur di negara ini kerana undang-undang yang
digunapakai lebih kurang sama.

Bukan itu sahaja, kebanyakan rakyat Malaysia kini berpendidikan tinggi, di mana mereka mempunyai pelbagai kelayakan
seperti diploma, ijazah, sarjana dan sebagainya.

Ini juga merupakan salah satu faktor yang menggalakkan pelabur asing untuk melabur di Malaysia. Tenaga kerja
berkemahiran amat mudah didapati dalam kalangan rakyat negara ini berikutan kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan
di rantau Asia Tenggara.
2

Oleh itu, sebagai warganegara Malaysia yang bertanggungjawab, semua pihak haruslah mempunyai keyakinan membantu
usaha menarik pelaburan langsung asing ke negara ini.

Apabila semakin banyak pelaburan asing masuk ke sini, ia sekali gus menonjolkan imej negara kita sebagai negara yang
mampu bersaing dengan negara maju. Oleh itu, sebagai rakyat bertanggungjawab kita hendaklah meningkatkan produktiviti
diri demi kelangsungan negara.

Oleh itu saya tanpa ragu mahu menegaskan keyakinan kemampuan berdaya saing negara kita akan meningkat dari semasa
ke semasa sekali gus Malaysia mampu menjadi negara berpendapatan tinggi serta bersaing sebagai negara maju kelak.

Penulis ialah Pengarah Urusan Orando Holdings Sdn. Bhd.

**************************************************************

Pelaburan Asing
Soalan Contoh

Pelaburan asing merupakan perkara penting yang perlu diberikan perhatian oleh sesebuah negara. Perkara ini penting
untuk membangunkan ekonomi sesebuah negara terutamanya negara-negara yang sedang membangun dengan pessat
seperti negara kita. Huraikan faktor-faktor yang menggalakkan pelaburan asing ke negara kita.

Karangan Contoh

Pelabur asing merupakan golongan yang penting dalam pembangunan sesebuah negara terutamanya bagi negara yang sedang
membangun seperti negara kita. Hal ini amat penting untuk dititikberatkan kerana pelabur asing merupakan pihak yang boleh menjadi
batu loncatan untuk negara kita mencapai kemajuan seiring dengan negara maju yang lain. Pihak yang bertanggungjawab di negara ini
haruslah aktif memainkan peranan, contohnya bertemu dengan pelabur asing bagi memberikan penerangan yang berkaitan dengan hal
ini. Dengan cara itu, sudah tentu pelabur-pelabur asing akan tertarik untuk melabur di negara ini iaitu apabila mereka yakin akan
mendapat pulangan yang sewajarnya hasil daripada penerangan tersebut. Oleh hal yang demikian, pelabur asing memang dialu-alukan
untuk melabur di negara kita ini.

Faktor yang boleh mendorong pelabur asing yag lebih banyak melabur di negara kita ialah faktor kestabilan politik. Sudah tentu
pelabur tidak akan teragak-agak, malah mereka lebih berminat untuk melibatkan diri dalam hal ini sekiranya keadaan politik negara kita
stabil. Kita perlulah mempertahankan dan mengekalkan kestabilan politik yang sudah lama wujud di negara kita. Tambahan pula, pada
zaman sekarang, tidak banyak negara yang stabil dari segi politik yang menyebabkan pelabur akan berfikir dua kali untuk membuat
pelaburan di sesebuah negara. Dengan kelebihan yang kita miliki itu, kita harus memanfaatkannya dengan sebaik-baik yang mungkin
kerana peluang baik seperti itu mungkin tidak akan datang bergolek pada masa akan datang.

Dengan adanya tenaga kerja yang banyak, perkara ini boleh membantu negara untuk meningkatkan pelaburan asing. Perkara ini
dapat dilihat apabila sesebuah negara itu mempunyai banyak pekerja untuk melakukan sebarang pekerjaan di samping upah kerjanya
yang murah. Oleh itu, pelabur asing akan tertarik untuk melabur di negara kita dan seterusnya mereka akan mewujudkan peluang
pekerjaan yang lebih banyak di negara ini. Secara tidak langsung, negara kita akan dapat banyak manfaat dalam satu masa seperti kata
pepatah, “sambil menyelam minum air”. Oleh itu, masalah pengangguran akan dapat dikurangkan dan secara tidak langsung pelaburan
itu akan meningkatkan taraf hidup masyarakat Malaysia.

Pelabur asing yang datang ke negara kita ingin akan layanan yang baik dari negara kita, termasuklah kemudahan infrastruktur.
Kemudahan-kemudahan seperti sistem jalan raya, pelabuhan, lapangan terbang dan jaringan komunikasi merupakan prasyarat dan
perkara yang sangat penting untuk membawa produk mereka ke luar negara untuk dipasarkan di pasaran antarabangsa. Oleh sebab itu,
pihak kerajaan harulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk menarik pelabur asing yang lebih banyak supaya masuk ke negara
ini. Layanan yang baik ini akan memberikan keselesaan kepada mereka sepanjang berada di negara ini dan membawa rakan-rakan
pelabur asing yang lain melabur di negara ini.

Faktor birokrasi juga turut memainkan peranan penting bagi menentukan kemasukan pelaburan asing. Hal ini dikatakan demikian
kerana jika faktor birokrasi sesebuah negara itu tidak terlalu ketat, sudah pasti pelabur asing akan tertarik untuk melabur di sesebuah
negara itu. Birokrasi seperti urusan pentadbiran yang merumitkan pelabur, contohnya sesuatu permohonan yang memerlukan masa
yang lama untuk diluluskan akan menyusahkan para pelabur asing dan akan menyebabkan mereka menarik pelaburan ke negara lain.
Secara tiidak langsung, perkara ini akan memberikan impak terhadap negara ini.
3

Hal ini bersesuaian dengan peribahasa, “kerana nila setitk, rosak susu sebelanga”. Oleh itu, pihak berkuasa haruslah memastikan urusan
pentadbiran di negara ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kesulitan yang akan memudaratkan negara.

Kegiatan pelaburan asing sering sahaja dikaitkan dengan aspek kestabilan ekonomi sesebuah negara. Dengan cara itu, faktor
ekonomi sesebuah negara juga tidak terkecuali daripada pertimbangan para pelabur sebelum melabur di sesebuah negara itu. Sudah
tentu para pelabur akan mencari negara yang mempunyai ekonomi yang stabil bagi meluaskan perniagaan mereka untuk mendapat
pulangan yang menguntungkan mereka. Jika sesebuah negara itu mundur dan kekurangan modal, tidak mungkin para pelabur akan
berminat untuk melabur di sesebuah negara itu kerana hal ini tidak akan memberikan keuntungan kepada mereka. Oleh itu, sesebuah
negara itu pula akan menjadi semakin mundur dan tidak akan mendapat keuntungan dari luar negara. Dengan kata lain, faktor ekonomi
merupakan faktor yang sangat penting untuk memajukan sesebuah negara. Untuk menarik pelabur asing, sesebuah negara itu haruslah
berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Oleh hal yang demikian, pelaburan asing memang penting untuk menjana kemajuan bagi sesebuah negara. Usaha-usaha yang
berkesan haruslah ditingkatkan untuk menarik pelabur asing di negara kita. Sekiranya pelabur asing kurang membuat pelaburan
di sesebuah negara, sudah pasti ekonomi bagi sesebuah negara itu sukar untuk berkembang dengan pesat. Hal ini dikatakan
demikian kerana negara-negara tersebut kekurangan modal untuk membangunkan negara mereka. Oleh itu, pihak yang
bertanggungjawab dalam bidang pelaburan ini perlu mencari jalan untuk menarik pelabur dan menyediakan peluang yang lebih
banyak kerana "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan".

ARKIB : 21/06/2011

Punca penurunan pelaburan asing

Oleh DR. MUHAMED ABDUL KHALID

PENULIS ialah felo penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia

Belakangan ini, pelbagai pihak menyoal, terutamanya di media alternatif, berkenaan kesan Dasar Ekonomi Baru (DEB) terhadap ekonomi
negara. Rata-rata membuat kesimpulan DEB itu buruk untuk ekonomi.

Terbaru, Pengerusi Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) Tan Sri Ramon Navaratnam (The Star, 31 Mei 2011) menggunakan
penurunan Pelaburan Langsung Asing (Foreign Direct Investment, FDI) sebagai indikator bahawa DEB adalah penyebabnya.

Amatlah mendukacitakan kerana hujah-hujah Ramon agak kurang tepat dari segi fakta. Ini kerana kebanyakan syarikat asing yang
beroperasi di Malaysia tidak lagi tertakluk kepada syarat pemilikan ekuiti DEB semenjak beberapa tahun yang lalu.

Sebagai contoh, semenjak 1998 Malaysia meliberalisasikan sepenuhnya sektor pembuatan (manufacturing) dengan membenarkan 100
peratus pemilikan ekuiti asing tanpa sebarang syarat. Tambahan kepada fakta di atas, syarikat yang berorientasikan eksport mula
dibenarkan pemilikan sepenuhnya secara bersyarat semenjak dari 1986 lagi.

Harus diperhatikan juga, 27 subsektor perkhidmatan telah pun diliberalisasikan semenjak 2009, tanpa sebarang kekangan ekuiti. Harus
diingatkan bahawa sektor perkhidmatan menyumbangkan hampir 60 peratus Keluaran Negara Kasar (GDP) Malaysia. Dalam Industri
Teknologi Tinggi pula , syarikat-syarikat yang berstatuskan Multimedia Super Corridor (MSC) dibenarkan pemilikan ekuiti asing
sepenuhnya.

Ini menunjukkan dua perkara penting; Pertama, fakta-fakta di atas menyanggah hujah-hujah Ramon. Malaysia telah pun melonggarkan
dan seterusnya memansuhkan syarat-syarat penyertaan ekuiti bumiputera semenjak beberapa tahun dahulu.

Kedua, diperhatikan bahawa semakin longgar syarat penyertaan ekuiti, semakin susut aliran masuk FDI. Pemerhatian ini mencadangkan
bahawa terdapat faktor selain DEB yang merencat aliran FDI ke negara kita.

Kita dapat menyimpulkan bahawa DEB bukanlah isu besar bagi pelabur asing. Apa yang lebih penting ialah kestabilan politik, infrastuktur
baik, insentif menarik, bekalan buruh murah dan terpelajar yang dapat ditawarkan oleh negara.

Katalah DEB merupakan penghalang aliran masuk FDI, mana mungkin Malaysia mendapat aliran pelaburan yang besar pada tahun-tahun
1980-an dan 1990-an? Ini adalah tempoh di mana polisi-polisi DEB rancak dilaksanakan.
4

Pada tempoh tersebut, aliran masuk FDI Malaysia bukan sahaja positif tetapi antara yang tertinggi di rantau ini! Buktinya ialah nisbah
FDI dan GDP yang meningkat dua kali ganda kepada 6.6 peratus pada 1991-1996 dari 3.3 peratus pada 1970-1984; dengan rekod
tertinggi aliran FDI sebanyak 23 peratus dicatat pada 1992.

Peningkatan dalam pelaburan ke negara kita begitu tinggi pada pertengahan tahun 1990-an sehinggakan nisbah pelaburan swasta dan
GDP melonjak melebihi 40 peratus!

Tiada penjelasan yang lebih tepat dalam menggambarkan aliran masuk yang begitu baik di atas selain kombinasi faktor politik dan faktor
ekonomi yang mantap.

Perhatikan juga dalam tempoh 1990-1999, aliran masuk FDI Malaysia melonjak pada kadar yang jauh lebih tinggi (19.5 peratus)
berbanding dengan negara ASEAN yang lain seperti Thailand (10.8 peratus), Filipina (14.2 peratus), dan Singapura (11.3 peratus).

Harus diakui bahawa aliran masuk FDI Malaysia mulai merosot semenjak tahun 2007. Fenomena ini berpunca daripada pelbagai faktor
dan yang utama ialah peningkatan kos buruh. Daya tarikan Malaysia dalam menyediakan kos buruh yang murah telah beransur suram
sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Negara jiran kita, Singapura pun mengalami kemerosotan nisbah FDI dan GDP kepada 9.2 peratus pada 2009 dari 19.1 peratus pada
2006 walaupun mempunyai ekonomi yang jauh lebih liberal.

Thailand juga mengalami masalah yang serupa, nisbah FDI dan GDP merosot menjadi separuh kepada 2.3 peratus untuk tempoh yang
sama.

Negara rantau ASEAN yang lain seperti Vietnam, Kemboja dan Indonesia masih menawarkan pelbagai faktor yang menarik aliran masuk
pelabur asing seperti upah buruh murah, tanah pamah yang luas dan pasaran domestik bersaiz 'raksasa'; faktor-faktor yang payah untuk
Malaysia saingi.

Yang paling kritikal ialah negara-negara tersebut menyediakan pelbagai insentif untuk aktiviti-aktiviti intensif buruh; aktiviti yang tidak
lagi diberi perhatian di Malaysia.

United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD), dalam laporan tahun 2009, menegaskan bahawa pelabur asing
melihat kadar pertumbuhan pasaran sebagai faktor terpenting dalam pemilihan destinasi pelaburan, diikuti oleh bekalan buruh murah
dan kesediaan bekalan mentah.

Laporan UNCTAD mendapati bahawa walaupun kelicinan pemerintahan, kualiti perundangan, kesaksamaan undang-undang dan rasuah
adalah antara ciri-ciri pemilihan; kesemua itu bukanlah yang terpenting bagi para pelabur asing. Ini menjelaskan mengapa aliran masuk
FDI yang melimpah-ruah ke India, China dan Vietnam, walaupun mereka menduduki tempat yang corot berbanding Malaysia dalam
World Bank's Ease of Doing Business Index; (Malaysia di tempat ke-21 daripada 183 negara; Vietnam (78), China (79) dan India ditangga
ke-134).

Jika dihalusi komponen FDI, kita dapati perkembangan yang merosot dalam aliran bersih FDI Malaysia disumbangkan oleh aliran keluar
yang besar. Aliran ini disebabkan penghantaran balik untung oleh pelabur asing dan juga aliran keluar dana oleh pelabur tempatan.

Buktinya ialah peningkatan jumlah yang dikategorikan sebagai Pelaburan Langsung Luar Negara (Direct Investment Abroad, DIA) yang
kian meningkat semenjak awal milenium ini; ia meningkat dari 0.3 peratus daripada GDP pada 2001 kepada 5.6 peratus pada 2010.

Akibatnya, jumlah bersih Kedudukan Pelaburan Asing (Net International Investment Position, IIP) menunjukkan baki positif sejak dua
tahun kebelakangan ini, menggambarkan peningkatan aset di luar negara oleh syarikat-syarikat tempatan. Perkembangan positif IIP,
bagaimanapun dari segi kira-kira (accounting), menyumbang kepada perkembangan negatif dalam pengiraan akaun FDI.

Mendakwa DEB sebagai punca kemerosotan aliran FDI Malaysia adalah tuduhan yang lari daripada fakta. Tiada salahnya bersikap kritikal
terhadap kerajaan tetapi ia wajar diimbangi dengan objektiviti.

Saya sependapat dengan Ramon, dalam pentingnya kita menangani kelemahan menarik pelaburan asing; tetapi marilah bersama
melihatnya dengan lensa yang objektif bersama kejujuran intelektual.
5

ARKIB : 19/06/2012

62,628 syarikat dikecuali cukai


Oleh SYUKRI SHAARI
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 18 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebanyak 62,628 syarikat telah diberikan pelepasan atau
pengecualian cukai pendapatan secara kumulatif bagi tahun taksiran 2001 hingga 2011.
Menurut Perdana Menteri, pelepasan atau pengecualian cukai itu bertujuan menggalakkan pelaburan tempatan
dan asing dalam pengeluaran produk serta penyediaan perkhidmatan termasuk mengekalkan daya saing dalam
menarik pelabur.
Katanya, pelepasan atau pengecualian cukai itu diperuntukkan di bawah Akta Galakan Pelaburan 1968, Akta
Penggalakkan Pelaburan 1986 dan Akta Cukai Pendapatan 1967 selaras matlamat pembangunan ekonomi negara
yang mapan di samping memastikan kesejahteraan rakyat.
"Bagi memastikan matlamat pembangunan negara dapat direalisasikan dalam jangka masa ditetapkan,
pelepasan atau pengecualian cukai disediakan untuk tempoh dan kadar tertentu.
"Ia bagi memastikan aktiviti ekonomi dapat menjana sumber kewangan bagi membiayai program pembangunan
negara," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Er Teck Hwa (DAP- Bakri) di Dewan Rakyat hari ini.
Teck Hwa ingin mengetahui jumlah syarikat atau individu yang layak dikenakan cukai tetapi dikecualikan
kerajaan semenjak kemerdekaan sehingga hari ini termasuklah syarat-syarat pelepasan tersebut.
Dalam pada itu, Najib berkata, meskipun pelepasan atau pengecualian cukai mengakibatkan kehilangan hasil
kepada negara, hakikatnya Malaysia mendapat pelbagai faedah dalam jangka panjang.
Katanya, antara faedah itu adalah mewujudkan sebanyak 363,355 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor
terutamanya berasaskan pembuatan dan perkhidmatan bagi tempoh 2008 hingga 2011.
"Pengecualian itu turut merangsang pembangunan vendor atau komponen tempatan di samping menyokong
pembangunan sub sektor perkhidmatan seperti penyedia logistik tempatan.
"Tindakan tersebut juga mampu menjadikan Malaysia sebagai hab operasi global yang sekali gus menggalakkan
pertumbuhan penyediaan perkhidmatan tempatan termasuk logistik dan penggunaan bahan mentah tempatan,"
katanya.
Sementara itu, menurut Najib, pelepasan atau pengecualian cukai kepada syarikat adalah berlandaskan kepada
peranannya dalam memajukan negara daripada aspek ekonomi berasaskan sumber asli dan pertanian semasa
era kemerdekaan kepada ekonomi berasaskan perindustrian.
Sementara itu, bagi pengecualian cukai pendapatan terhadap individu pula, Najib berkata, ia disediakan secara
terhad dan bertujuan mengurangkan beban pembayar cukai serta menggalakkan penyertaan individu dalam
sesuatu aktiviti.
Katanya, pengecualian cukai pendapatan individu diberikan ke atas pendapatan tertentu seperti pendapatan
pencen.
"Apabila pengecualian itu diberikan dan individu tersebut tidak mempunyai pendapatan lain, maka kemudahan
telah diberikan supaya pendapatan yang dikecualikan tersebut tidak diisytihar kepada Lembaga Hasil Dalam
Negeri.
"Oleh itu, tiada rekod bilangan individu yang terlibat," ujarnya.

Anda mungkin juga menyukai