Anda di halaman 1dari 3

3.

0 Kelebihan Pelaburan Langsung Asing (FDI)

Bagi kebanyakan negara membangun terutamanya seperti Malaysia, FDI memainkan peranannya
yang tersendiri. Ini kerana FDI adalah sumber utama pembiayaan luar dan berperanan sebagai
pemacu dalam pelaksanaan matlamat pembangunan mampan dan pertumbuhan sektor swasta.
Beberapa kelebihan FDI akan diketengahkan di sini. Antaranya adalah, pertumbuhan ekonomi
meningkat, aliran perdagangan berkembang dan mengukuhkan nilai mata wang.

3.1 Pertumbuhan Ekonomi Meningkat

Aliran masuk pelaburan langsung asing secara empirikalnya menyumbang kepada


pertumbuhan ekonomi secara positif (Adams, 2009). FDI merupakan penentu penting
pertumbuhan ekonomi berbanding pelaburan domestik melalui pemindahan teknologi yang
berlaku. FDI di dalam sesebuah negara akan memberi kesan ke atas perkembangan ekonomi dan
integrasi ekonomi antara negara. Banyak kajian yang dilakukan oleh para ahli ekonomi telah
membuktikan FDI memberi sumbangan yang besar terhadap negara. Antarnya, kajian yang
dijalankan dengan teori asas FDI, iaitu faktor-faktor yang mempengaruhi serta kesannya terhadap
ekonomi sesebuah negara (Jackson dan Markowski 1995). Hasil daripada kajian ini mendapati
terdapat hubungan yang positif diantara FDI dan perkembangan ekonomi, sama ada dalam jangka
pendek atau jangka panjang. Selain itu, ramai juga pengkaji dalam karya pembangunan ekonomi,
bersetuju bahawa aliran masuk FDI memain peranan yang kritikal dalam pergerakan pertumbuhan
di negara-negara penerima. FDI telah meningkatkan kuantiti dan kualiti pengusaha, pengurusan,
pemasaran, teknologi dan sumber tenaga manusia. Ia memberi sumbangan yang penting kepada
pertumbuhan ekonomi, imbangan pembayaran yang baik, industri berorentasikan eksport yang
berjaya dan luas, dan struktur industri yang canggih (Lim et al., 1988).

3.2 Aliran Perdagangan Berkembang

Pelaburan langsung asing (FDI) telah memberikan kesan positif ke atas perdagangan
dengan menunjukkan wujudnya hubungan positif antara FDI dengan eksport dan import.
Kemasukan FDI menyebabkan peningkatan eksport begitu juga dengan peningkatan permintaan
dunia akan mendorong peningkatan eksport. Negara membangun yang berkembang pesat dan
negara membangun lain dijangka menerajui pertumbuhan eksport sebanyak 11.9% (Sumber:
WTO). Namun begitu tren pelaburan domestik tetap tidak begitu mempengaruhi eksport sesuai
dengan fokusnya yang lebih kepada memenuhi penggunaan domestik. Hubungan FDI dengan
import juga menunjukkan tren positif dan ini menggambarkan bahawa barangan eksport Malaysia
bersifat kandungan import yang tinggi. Lebih 80 peratus barangan import Malaysia merupakan
barangan perantara yang juga merupakan input kepada barang eksport negara. Sebagai contoh,
kebanyakan barang elektronik, mesin berteknologi tinggi, komputer dan telefon pintar masih lagi
diimport.

3.3 Pengukuhan Nilai Mata Wang

Salah satu manfaat FDI juga adalah boleh mengukuhkan mata wang negara. Hal ini kerana
apabila pelaburan asing dijalankan, maka mata wang Malaysia akan digunakan untuk melabur di
dalam negara. Hal ini diperkuatkan lagi apabila negara telah menjalankan langkah kawalan tukaran
asing pada September 1998. Langkah ini dijalankan melalui cara pasaran ringgit luar pesisir
dihapuskan sama sekali dan spekulator tidak lagi mempunyai peluang mendapatkan modal dalam
mata wang itu (Mahathir Mohamad, 2000). Ia telah pun dibuat dengan membekukan semua akaun
ringgit luaran bagi bukan pemastautin di Malaysia. Mereka tidak dibenarkan meminjam atau
menjual ringgit kepada bukan pemastautin yang lain tetapi boleh melaburkan dana mereka secara
bebas di Malaysia. Dengan yang demikian, peniaga mata wang tidak lagi boleh membuat jualan
singkat ringgit atau menukar nilai tukarannya. Sebagai tambahan juga, bagi memastikan pinjaman
dalam negara yang dibuat oleh pelabur FDI tidak hanya terhad kepada anak syarikat bank asing
yang beroperasi di Malaysia, kerajaan telah mengenakan syarat 60:40 iaitu 60 peratus daripadanya
mestilah diperolehi daripada bank tempatan milik Malaysia. Cara ini telah dilihat memberi kesan
yang baik kerana ia telah terbukti dan berjaya menstabilkan pasaran mata wang menerusi langkah
kawalan tukaran asing ini. Jadi, apabila mata wang kukuh dan stabil, kadar inflasi seterusnya dapat
dikawal dan dikurangkan.
Rujukan

Mahathir Mohamad. (2000). Krisis Matawang Malaysia: Bagaimana dan Mengapa ia Berlaku.

Pelanduk Publications Sdn. Bhd.

Anis Mardiana Abdullah. (2010). Kesan Pelaburan Lansung Asing (Pla) Ke Atas Ekonomi

Malaysia. PERKEM.

Siti Rafiza Nawawi. (2006). Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Pelaburan Langsung Asing Di

Asean-5. Universiti Malaysia Sarawak.

Ruziana Mohd Ghazi, Norlin Khalid & Ishak Yussof. (2017). Kesan Pelaburan Langsung Asing

terhadap Pertumbuhan Ekonomi: Perbandingan antara Negara Berpendapatan Tinggi

dengan Sederhana Menggunakan Pendekatan Kointegrasi Asimetri. Jurnal Ekonomi

Malaysia, 155 – 168. Dimuat turun pada 30 Oktober,2019, dari http:// www.ukm.my.

Anda mungkin juga menyukai