Anda di halaman 1dari 15

1.

0 PENGENALAN

Malaysia yang berada di tengah-tengah rantau Asia Tenggara sememangnya terlibat


dalam menghadapi segala bentuk ancaman keselamatan baik dari segi tradisional ataupun
bukan tradisional di peringakat serantau. Kini dapat dilihat bahawa ancaman keselamatan
semakin meningkat dari hari ke hari yang menyebabkan ianya sukar untuk dikawal oleh
semua negara yang terlibat. Sejak tamat Perang Dingin, masalah keselamatan menjadi
isu yang lebih luas yang merangkumi masalah-masalah seperti pelanunan, pendatang
haram, penyeludupan senjata dan barangan, perdagangan manusia yang secara tidak
langsung telah menimbulkan kebimbangan kepada pemerintah di negara-negara
terlibat.(Ruhanas Harun, 2009). Oleh itu, kajian ini akan menumpukan isu ancaman
keselamatan bukan tradisional seperti penyalahgunaan dadah, jerebu, pendatang asing
tanpa izin (PATI) dan juga pemerdagangan manusia.

Menurut Ruhanas Harun (2009), keselamatan negara merujuk kepada tujuan dan
cara bagaimana sesebuah negara tersebut mempertahankan negaranya daripada segala
ancaman serta memperlihatkan kemampuannya mengekalkan nilai teras negara tersebut.
Selain itu,, keselamatan boleh dibahagikan kepada keselamatan tradisional dan bukan
tradisional. Pada masa kini, ancaman keselamatan bukan tradisional merupakan satu
komponen yang penting dalam politik antarabangsa kerana ancaman ini semakin hari
semakin berleluasa. Ancaman keselamatan bukan tradisional merangkumi pelbagai aspek
baik dari segi pembangunan ekonomi mahupun perkembangan sosial. Pada hari ini,
Malaysia sering menghadapi masalah atau kebimbangan dalam menghadapi ancaman
keselamatan bukan tradisional ini. Antara isu keselamatan tersebut adalah penyeludupan
barangan terlarang dan manusia, kegiatan penyeludupan dadah, jenayah siber, keganasan,
perdagangan senjata api dan rompakan di laut. Isu keselamatan ini juga dikenali sebagai
isu keselamatan baru. Aktiviti-aktiviti sebegini secara tidak langsung akan menggugat
keselamatan penduduk dan kestabilan politik negara yang menerimanya.

Malaysia adalah sebuah negara kecil di Asia Tenggara yang pastinya tidak
mampu hidup bersendirian. Oleh sebab wujudnya ancaman-ancaman keselamatan ini,
Malaysia berpendapat bahawa kerjasama serantau adalah agenda penting dalam
mewujudkan kestabilan serantau. Bagi menangani ancaman keselamatan yang wujud itu,
Malaysia telah mengambil langkah dengan mengadakan kerjasama dengan negara-negara
jiran yang terlibat. Malaysia telah bekerjasama dengan negara-negara sama ada dalam

1
bentuk hubungan dua hala atau bilateral mahupun hubungan pelbagai hala iaitu
multilateral. Namun kini dapat dilihat bahawa negara-negara serantau lebih cenderung
untuk mengadakan kerjasama dua hala dalam menangani ancaman keselamatan ini
(Ruhanas Harun, 2009). Kerjasama yang dipupuk ini merupakan cara yang terbaik di
kalangan negara serantau. Oleh itu, kerjasama yang dibina antara Malaysia dengan
negara-negara jiran secara tidak langsung membolehkan sebahagian besar daripada isu
ancaman keselamatan ini dapat ditangani secara berkesan.

2.0 PENGLIBATAN MALAYSIA DI PERINGKAT SERANTAU DALAM


MENGHADAPI PENINGKATAN ANCAMAN-ANCAMAN
KESELAMATAN BUKAN TRADISIONAL

2.1 Penyalahgunaan Dadah

Isu penyalahgunaan dan penggunaan dadah di Malaysia kini bukanlah sesuatu yang asing
lagi. Malah, di seluruh dunia, isu dadah ini telah menjadi fokus utama dan topik yang
paling hangat untuk dibahaskan pada setiap hari. Sehingga kini, permasalahan
penyalahgunaan dan penggunaan dadah telah berkembang begitu pesat sehingga dadah
ini mendapat perhatian semua golongan masyarakat sama ada di dalam mahupun di luar
negara. Terdapat negara di Asia Tenggara menganggap bahawa ancaman dadah wujud
ekoran daripada dasar kerajaan yang tidak mengambil berat terhadap pembanterasan
dadah dan menjauhkan rantau ini daripada ancaman keselamatan bentuk baru. Oleh sebab
inilah, gejala dadah ini semakin hari semakin sukar untuk dibendung oleh semua negara.

Di Malaysia, penyalahgunaan dadah telah menjadi penyakit barah dan menular


begitu pantas ke segenap pelusuk tanah air tanpa mengira bangsa, agama, usia, jantina,
dan taraf pendidikan, Bahkan ianya bukan sahaja melibatkan orang tua, remaja malah
kanak-kanak turut serta terjebak dalam gejala dadah ini. Ancaman dadah yang berlaku di
Malaysia mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa. Menurut De Rouen dan
Bellamy (2008) mendakwa bahawa perspektif keselamatan Malaysia berkaitan dengan
dadah adalah dipengaruhi oleh keadaan ancaman dadah dari negara jiran. Seperti yang
sedia maklum, Malaysia akan terdedah kepada ancaman keselamatan sekiranya negara-
negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Singapura tidak dapat mengawal secara baik
aktiviti dadah di negara masing-masing. Hal ini meyebabkan Malaysia akan terdedah
menjadi negara destinasi atau menjadi negara transit.

2
Terdapat beberapa sarjana yang mendefinisikan dadah seperti Abdul Ghafar Taib
(1995). Beliau mendefinisikan dadah sebagai bahan yang mendatangkan kemudaratan
kepada kesihatan seseorang dari segi jasmani (fizikal), rohani (mental dan emosi) serta
tingkah laku pengguna apabila digunakan. Selain itu, menurut George (1990), beliau
mengatakan dadah merupakan bahan kimia psikoaktif yang digunakan bukan untuk
tujuan perubatan yang mana penggunaannya adalah dilarang. Kamus Dewan (1997) pula
mentakrifkan dadah sebagai ubat-ubatan atau bahan yang merosakkan atau
membinasakan orang yang menggunakannya secara berlanjutan yang boleh merosakkan
kesihatan, menganggu ketenteraman, membawa maut dan lain-lain.

Dalam usaha menangani masalah dadah ini daripada berleluasa, Malaysia telah
melaksanakan pelbagai langkah terhadap gejala dadah ini antaranya ialah Malaysia
menjadi anggota kepada Program Penasihat Dadah (DAP) Rancangan Colombo. DAP ini
bermula pada tahun 1973 di mana ianya bertujuan untuk meningkatkan pertukaran
pengetahuan dan pengalaman melalui persidangan-persidangan serantau dan penawaran
“fellowship” untuk meninjau program-program anti dadah di negara-negara Rancangan
Colombo. Dalam rancangan ini, Malaysia telah menerima bantuan dalam beberapa
bentuk seperti penawaran “fellowship” untuk latihan, persidangan, seminar dan bengkel.
Selain itu, Malaysia juga menerima pembiayaan kursus latihan di dalam negeri. Semenjak
tahun 1984, Malaysia telah membuat sumbangan tahunan sebanyak US$5,000 kepada
DAP untuk menyokong projek-projek anti dadah di rantau ini. (Pasukan Petugas Anti
Dadah, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri, 1992).

Selain itu, Malayisa juga terlibat secara langsung di peringkat serantau. Ini dapat
dilihat di mana pada peringkat ASEAN, Malaysia telah menandatangani “Deklarasi
Prinsip Untuk Memerangi Penagihan Dadah Narkotik ASEAN” pada 26 Jun 1976 di
Manila, Filipina. Terdapat beberapa syor-syor dalam Deklarasi ini seperti mengadakan
mesyuarat di antara pegawai-pegawai yang terlibat dalam usaha membanteras masalah
dadah. Mesyuarat pertama Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN mengenai dadah (ASOD)
telah diadakan pada tahun 1976. Mesyuarat ini diadakan bertujuan untuk memberi
peluang kepada pegawai-pegawai bertukar-tukar pandangan dan pengalaman, mengenal
pasti projek-projek anti dadah ASEAN dan meningkatkan kerjasama di antara negara-
negara ASEAN. Semasa mesyuarat ini berlangsung, Malaysia menjadi tuan rumah
kepada Mesyuarat ASOD ini yang diadakan pada tahun 1976 dan 1985. (Pasukan Petugas
Anti Dadah, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri, 1992).

3
Seterusnya, kerjasama tidak terhad secara multilateral tetapi turut melibatkan
bilateral juga telah dilakukan oleh Malaysia. Hal ini dapat dilihat di mana Malaysia telah
bekerjasama dengan Singapura dalam memerangi gejala dadah ini. Malaysia dan
Singapura amat mementingkan kerjasama dalam bidang keselamatan dalam usaha
membanteras gejala dadah yang berlaku di rantau ini. Menurut Berita Harian (2015),
kerjasama ini melibatkan pertemuan antara bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia,
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Luar Singapura, Dr Vivian
Balakrishnan di Kementerian Dalam Negeri. Bersempena dengan lawatan yang diadakan
itu, sebagai negara anggota ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Malaysia
dan Singapura akan berkerjasama dan memberikan komitmen di peringkat serantau yang
dilaksanakan dalam beberapa platform. Antaranya ialah Mesyuarat Menteri-Menteri
ASEAN mengenai dadah dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN mengenai
dadah. Dalam aspek hubungan dua hala ini, Malaysia dan Singapura sudah
menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) Kerjasama mengenai dadah
dalam bidang keselamatan pada tahun 2012. Di bawah MoU ini, satu Jawatankuasa Kerja
sudah ditubuhkan yang membabitkan Pegawai-Pegawai Kanan kedua-dua negara
tersebut dalam membincangkan mengenai kerjasama menangani masalah
penyalahgunaan dadah. Selain itu, mesyuarat ini merupakan platform yang terbaik bagi
Malaysia dan Singapura dalam membincangkan lagi mengenai cabaran serta bentuk
ancaman baharu di negara masing-masing termasuklah aspek pemulihan penagih dadah
(Berita Harian, 2015).

2.2 Jerebu

Menurut Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (2013), jerebu ialah satu
fenomena yang disebabkan oleh kewujudan banyak partikel-partikel kecil yang tidak
boleh dilihat oleh mata kasar dan terapung-apung di udara. Partikel-partikel ini mungkin
berasal secara semula jadi ataupun kesan sampingan daripada aktiviti manusia. Apabila
partikel-partikel ini wujud dalam kuantiti yang banyak dan berkelompok ianya boleh
menyekat pancaran cahaya matahari ke bumi. Oleh yang demikian, keadaan ini
mengurangkan jarak pandangan mata kasar. Fenomena jerebu di rantau Asia Tenggara
termasuk di Malaysia semakin meningkat pada masa sekarang malah melibatkan banyak
negara-negara serantau terkesan dengan fenomena ini. Hal ini adalah disebabkan oleh
pergerakan angin rentas sempadan yang membawa zarahan daripada kawasan
pembakaran di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia. Cuaca yang panas ini juga

4
menyebabkan pembakaran yang drastik berlaku di beberapa kawasan di Malaysia yang
meningkatkan lagi jumlah zarahan terampai di udara Malaysia.

Penglibatan Malaysia di peringkat serantau bagi mengurangkan fenomena jerebu


ini memperlihatkan hasil yang baik kerana terdapat pelbagai pendekatan yang diambil
bagi mengatasi masalah ini. Menurut Utusan Online (2015), fenomena jerebu yang serius
pada 1997 telah mendorong pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad menghasilkan
beberapa pendekatan jangka pendek dan jangka panjang untuk mengatasi masalah ini.
Pendekatan jangka pendek pertama adalah penghantaran pasukan yang terdiri daripada
anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Pasukan Mencari dan Menyelamat
Malaysia (SMART) ke Indonesia untuk memadam kebakaran hutan di republik itu.
Pendekatan ini melibatkan kira-kira 2000 anggota bomba dan anggota Tentera Udara
Diraja Malaysia.Pentadbiran Dr. Mahathir mengutamakan tindakan ini kerana
pendekatan ini merupakan cara terbaik untuk mengatasi masalah jerebu dan membantu
Indonesia memadam kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera. Beliau juga
mengenakan tindakan tegas terhadap 17 syarikat perladangan dan pembalakan Malaysia
di Indonesia yang enggan memadamkan kebakaran di tempat masing-masing.

Antara pendekatan jangka panjang yang diperkenalkan semasa pentadbiran Tun


Dr. Mahathir adalah penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Bencana serta penerbitan satu
garis panduan gerak kerja yang komprehensif mengenai krisis dan bencana termasuk
krisis jerebu. Inisiatif ini dilaksanakan oleh Unit Pengurusan Krisis dan Bencana, Jabatan
Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri pada September 1998. Antaranya,
jawatankuasa ini membentuk pelbagai dasar nasional melibatkan kesiapsediaan pelbagai
agensi yang mengendalikan bencana, memastikan penyelarasannya, dan mengenal pasti
agensi utama yang perlu menangani sesuatu bencana. Berdasarkan pendekatan ini,
pentadbiran Dr. Mahathir mengaktifkan semula Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan
untuk menggerakkan semula pusat operasi untuk menyelaraskan aktiviti pencegahan
jerebu dan kebakaran hutan, mengerahkan anggota tentera, polis dan pegawai pihak
berkuasa tempatan untuk membantu usaha pencegahan kebakaran yang dilaksanakan
oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, dan membentuk peraturan bagi membolehkan
tindakan undang-undang dikenakan ke atas pihak yang melakukan pembakaran terbuka
di ladang-ladang mereka.

5
Malaysia dan Indonesia pula menandatangani Memorandum Persefahaman
mengenai kerjasama dan bantuan bencana. Perkara ini membolehkan Malaysia dan
Indonesia menangani masalah jerebu secara bersama, menerusi pertukaran kepakaran dan
maklumat mengenai teknologi mutakhir bagi mencegah bencana, termasuk mengenai
satelit pengesan bencana. Memorandum ini juga membolehkan Malaysia dan Indonesia
mengadakan latihan bersama mengenai pengurusan bencana, berkongsi pengalaman
mengenai pengurusan kesihatan umum menerusi seminar. Mesyuarat Ketiga Menteri-
Menteri Alam Sekitar ASEAN mengenai jerebu, di Brunei, pada 4 April 1998 juga
bersetuju dengan penubuhan Sub-Regional Fire Fighting Arrangements bagi wilayah
Kalimantan serta Sumatera ataupun Riau. Malaysia bertindak sebagai penyelaras.
Indonesia, Malaysia dan Singapura juga perlu memandatkan sekumpulan saintis dan
pakar keselamatan Asia Tenggara untuk memperdalami komponen sains dan komponen
politik dalam strategi menangani ancaman kepada sektor keselamatan alam sekitar yang
diketengahkan oleh pelbagai sarjana keselamatan barat.

Selain itu, jerebu yang menjadi masalah utama dalam kalangan negara anggota
ASEAN termasuklah Malaysia telah memberi kesan negatif kepada keselamatan dan
kesihatan rakyat. Akibatnya, aktiviti-aktiviti luar terpaksa dihadkan sekali gus
menjejaskan kegiatan kokurikulum di sekolah-sekolah dan pada masa sama merencatkan
operasi perniagaan. Jerebu pada Jun 2013 dan awal 2014 telah menelan kos yang tinggi
untuk operasi memadam kebakaran serta pemulihan semula kemusnahan. Menurut
Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (2017), fenomena jerebu di Malaysia dan rantau
Asia Tenggara terutamanya berpunca daripada pembakaran hutan dalam kawasan tanah
gambut di Sumatera dan Kalimantan. Kebakaran sering terjadi disebabkan cuaca panas
yang berpanjangan dan keadaan kestabilan atmosfera yang tinggi. Pembakaran biojisim
ini menghasilkan habuk, abu, debu dan asap merentasi sempadan. Aliran angin lintang
yang membawa bersama zarah terampai secara besar-besaran.

Seterusnya, fenomena jerebu yang semakin meluas ini akhirnya menjadikan


jerebu sebagai ancaman keselamatan bukan tradisional kepada negara Malaysia dan
negara yang terkesan dengan fenomena jerebu. Oleh itu, Persatuan Negara-Negara Asia
Tenggara (ASEAN) berusaha untuk menangani isu yang sangat besar ini. Hasil daripada
perbincangan semua negara ASEAN di persidangan ASEAN telah memperkenalkan
Sistem Pemantauan Jerebu Rentas Sempadan. Sistem ini merupakan antara inisiatif dan
tindakan yang tegas diambil oleh negara-negara ASEAN bagi mengurangkan masalah

6
jerebu. Menurut Utusan Online (2015), Kementerian Luar Singapura akan meneruskan
tindakan undang-undang terhadap syarikat-syarikat yang bertanggungjawab
mencetuskan jerebu dan menggesa Indonesia memberi maklum balas kepada Singapura
untuk berkongsi maklumat mengenai firma-firma yang terbabit. Lima syarikat Indonesia
termasuk syarikat antarabangsa Asia Pulp and Paper (APP), sebahagian besarnya dimiliki
syarikat gergasi Sinar Mas, telah diberikan notis saman. Menurut kenyataan itu,
kebakaran hutan dan jerebu telah memberi implikasi global, sambil menambah kata,
kebakaran hutan pada tahun ini telah mengakibatkan peningkatan ketara pelepasan gas
rumah hijau global.

Menurut Utusan Online (2015), menerusi perjanjian ASEAN mengenai


Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (The ASEAN Agreement on Transboundary Haze
Pollution) yang telah ditandatangani oleh 10 negara anggota ASEAN, sejumlah dana
telah disalurkan untuk aktiviti pemantauan pertanian mesra alam bagi mengurangkan
risiko kebakaran. Singapura juga bekerjasama dengan penduduk di wilayah Jambi pada
tahun 2013 untuk tujuan tersebut. Peruntukan dana itu adalah bukti muafakat negara
anggota ASEAN dalam menangani masalah jerebu, namun berulangnya masalah jerebu
sehingga ke hari ini memberi petanda bahawa strategi dan kaedah yang digunakan adalah
tidak berkesan. Dana ini juga adalah untuk negara-negara ASEAN menjalankan
penyelidikan Negara ASEAN perlu memanfaatkan peruntukan dan dana untuk
penyelidikan atas dasar kesejahteraan serantau. Tambahan pula dalam keadaan ekonomi
di rantau ini yang tidak menentu, usaha pemulihan bencana ini perlu dilakukan secara
berkesan dan bersepadu. Memandangkan masalah jerebu mempunyai hubungan rapat
antara persoalan budaya masyarakat tani dengan keperluan teknologi yang setimpal
dengan situasi ekonomi serantau, penyelidikan sinergi yang menggabungkan pakar-pakar
dalam sosio-budaya masyarakat desa bersama-sama dengan pakar-pakar sains teknologi
dan alam sekitar amat diperlukan.

Di samping itu, Portal Rasmi Kementerian Pembangunan Brunei Darussalam


(2018) menyatakan bahawa Mesyuarat Ke-20 Jawatankuasa Pandu Peringkat Menteri
Sub-Wilayah mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (20th MSC) diadakan
pada 1 Jun 2018 di Bangkok, Thailand dan dihadiri oleh menteri-menteri dan perwakilan-
perwakilan yang bertanggungjawab ke atas alam sekitar serta kebakaran hutan dan juga
jerebu dari Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand serta
Setiausaha Agung ASEAN. Melalui mesyuarat ini, menteri-menteri MSC mengambil

7
maklum mengenai laporan ramalan cuaca dari Pusat Khas Meteorologi ASEAN (ASMC)
akan melaporkan keadaan kering sekali-sekala sepanjang musim ini boleh
mengakibatkan peningkatan risiko aktiviti titik-panas di rantau ini. Ahli MSC berikrar
untuk terus berjaga-jaga dan memantau serta meningkatkan usaha pencegahan jerebu
mereka untuk mengurangkan kemungkinan berlakunya asap jerebu merentas sempadan
di sepanjang tempoh cuaca kering.

ASEAN juga memperkenalkan Sistem Risiko Bahaya Kebakaran (FDRS) yang


memantau risiko kebakaran hutan ataupun tumbuhan dan membekalkan maklumat
tersebut dalam pengurusan kebakaran. Menurut Laman Web Rasmi Jabatan Meteorologi
Malaysia (2019), objektif utama FDRS adalah untuk menyediakan satu bentuk amaran
awal terhadap potensi kebakaran hutan tanah gambut. Amaran awal yang dijana dari
FDRS ini dapat membantu pihak pengurusan dalam mengimplementasikan tindakan
untuk mengawal dan memadamkan kebakaran sebelum ianya menjadi lebih kritikal.
FDRS juga dapat membantu dalam pengurusan kebakaran yang lebih berkesan dengan
cara pemantauan dan rondaan di zon-zon kritikal dan berisiko kebakaran. FDRS boleh
digunapakai sebagai panduan untuk menjangka kelakuan atau sifat api kebakaran bagi
pembuat-pembuat polisi dalam mewujudkan tindakan untuk melindungi nyawa, alam
sekitar dan harta-benda. Hal ini demikian kerana kebakaran hutan luas di sebuah negara
ASEAN telah menyebabkan kejadian jerebu yang menyeluruh di rantau Asia Tenggara.
Kejadian ini telah memberi kesan kepada industri pelancongan, kesihatan penduduk dan
alam sekitar negara-negara di Asia Tenggara.

2.3 Isu Pemerdagangan dan Penyeludupan Manusia

Isu pemerdagangan dan penyeludupan manusia merupakan suatu isu yang tidak asing
lagi di peringkat global. Menurut Mohd Bakri Mohd Zinin (2010), pemerdagangan orang
atau dikenali sebagai perhambaan cara moden merupakan salah satu jenayah terancang
yang melanggar hak dan etika masyarakat. Manusia sewenang-wenangnya diperniagakan
seolah-olah menjadi suatu komoditi yang boleh dijual beli dan dieksploitasi di pasaran.
Jenayah ini juga diistilahkan sebagai pemerdagangan gelap manusia bagi pelbagai tujuan
seperti seksual komersial, kerja paksa ataupun sebagai medium ekstraksi organ atau
jaringan tubuh (pengganti ibu kandung) yang dikenali sebagai remova ovum, (Sekretariat
MAPO, 2011 dalam Samuni &Kanyo, 2013). Penyeludupan pula merupakan istilah yang
digunakan untuk merujuk kepada pengangkutan manusia merentasi sempadan

8
antarabangsa ke pintu masuk bukan rasmi negara destinasi bagi pelbagai tujuan (Mohd
Bakri Mohd Zinin, 2010). Selalunya mereka yang diangkut tidak mempunyai dokumen
perjalanan yang sah atau kebenaran untuk memasuki negara destinasi. Dianggarkan
seramai 2.7 juta manusia diseludup di seluruh dunia setiap tahun dan 80% daripadanya
membabitkan wanita dan kanak-kanak (Mohd Bakri Mohd Zinin, 2010).

Di Malaysia, rekod menunjukkan terdapat sebanyak (21) kes penyeludupan


manusia yang disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (Mohd Bakri
Mohd Zinin, 2010). Seramai (521) mangsa terlibat di dalam kes-kes ini yang terdiri
daripada warga Asia Selatan termasuklah Sri Lanka, Afghanistan, Pakistan, Bangladesh,
Iraq dan Nepal (Mohd Bakri Mohd Zinin, 2010). Hasil daripada siasatan dan risikan yang
dijalankan, jelas menunjukkan bahawa negara Malaysia digunakan sebagai transit bagi
mangsa penyeludupan ini untuk ke negara ketiga (Mohd Bakri Mohd Zinin, 2010).
Negara Australia menjadi destinasi mereka dalam kes-kes tersebut.

Oleh itu, kerajaan Malaysia telah melibatkan diri di peringkat serantau bagi
membendung masalah ini daripada terus berleluasa. Antaranya, melalui kerjasama negara
ASEAN. Utusan (2015) melaporkan bahawa negara ASEAN menyelaras penguatkuasaan
bagi mengatasi masalah pemerdagangan manusia. Dalam pada itu, bekas Menteri Dalam
Negeri iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beberapa resolusi dicapai
dalam Mesyuarat Tergempar Menteri-Menteri ASEAN diharapkan dapat menangani isu
pemerdagangan manusia di Asia Tenggara. Menurutnya lagi, empat negara anggota iaitu
Thailand, Myanmar, Indonesia dan Malaysia sendiri dalam mesyuarat tersebut itu turut
bersetuju untuk menyelaraskan tindakan penguatkuasaan perundangan terhadap ejen dan
sindiket pemerdagangan manusia. Di samping itu, negara-negara lain memberikan
sokongan sepenuhnya terhadap usaha pemerdagangan manusia serta perlakuan jenayah
rentas sempadan. (Utusan, 2015). Antara tindakan penguatkuasaan perundangan yang
bakal diambil adalah dari segi pelaksanaan sistem biometrik (cap jari) terhadap mangsa
pemerdagangan dan hukuman paling berat juga akan dikenakan terhadap ejen-ejen dan
sindiket yang membawa mangsa-mangsa pemerdagangan tersebut.

Selain itu, kerjasama Malaysia dan Indonesia dalam membanteras penyeludupan


di laut juga membuktikan bahawa Malaysia terlibat untuk membanteras isu ini. Menurut
Berita Harian (2016), Malaysia dan Indonesia terus memperkukuhkan kerjasama
membanteras aktiviti penyeludupan merentasi sempadan menerusi Operasi Patroli Laut

9
Terkoordinasi Kastam Malaysia Indonesia (PATKOR KASTIMA). Datuk Seri Khazal
Ahmad selaku Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berkata operasi
PATKOR KASTIMA 22A kali ini bertempu kepada perairan Selat Melaka bermula dari
Kuala Perlis, Perlis hingga ke Sungai Pulai, Johor membabitkan keluasan kira-kira 1,200
kilometer. Menurutnya lagi, operasi selama dua minggu itu membabitkan kekuatan
seramai 100 pegawai dan anggota dari JKDM serta Direktorat Jenderal Bea dan Cukai
(DJBC) Republik Indonesia menggunakan 16 aset marin. Sejak tahun 1994 lagi operasi
tersebut diadakan secara tahunan dengan kerjasama antara JKDM dan DJBC dalam
membanteras kegiatan pelanggaran undang-undang di laut dan menjamin keselamatan
serta keamanan di perairan masing-masing (Berita Harian, 2016). Tambahnya lagi, selain
membanteras penyeludupan barangan dan pemerdagangan manusia, operasi tersebut
turut tertumpu dalam membanteras keganasan khususnya penyeludupan senjata api.

Malaysia dilihat komited menangani isu ini adalah melalui Mesyuarat Menteri-
Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke – 11 yang diadakan
di Manila pada 20 September 2017. Menurut Utusan (2017), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid
Hamidi dalam Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan
(AMMTC) meminta negara anggota ASEAN menyokong usaha Malaysia dalam
menangani isu pemerdagangan manusia supaya tindakan yang diambil selama ini adalah
tidak sia-sia. Beliau turut berkata, negara yang menjadi penyumbang kepada
pemerdagangan manusia itu tidak boleh melepaskan tanggungjawab tersebut kepada
Malaysia sahaja. Tiga lagi cadangan yang dikemukan oleh Malaysia dalam mesyuarat
tersebut adalah Malaysia akan menganjurkan Dialog Keselamatan Antarabangsa
Putrajaya pada Januari 2018 dalam usaha memerangi keganasan. Menurutnya lagi,
Malaysia akan mempromosikan pendekatan dakwah dan kesederhanaan Islam sebagai
satu cara menangani keganasan serta memulihkan mereka yang terbabit. Dalam dialog
tersebut juga akan turut mengkongsikan mengenai pengalaman Malaysia dalam
melaksanakan program deradikalisasi dan pemulihan banduan. Selain negara anggota
ASEAN, wakil daripada kerajaan Amerika Syarikat, United Kingdom, Turki serta NGO
Arab Saudi, Rabitah Al-Alam Al-Islami juga dijemput ke dialog itu. Menurutnya lagi,
Bank Negara Malaysia (BNM) juga merancang mengadakan Persidangan Antarabangsa
Memerangi Pembiayaan Keganasan November ini sebagai komitmen Malaysia
memerangi jenayah pengubahan wang haram. Di samping itu, Malaysia juga

10
mencadangkan agar diadakan program kerja bagi menangani isu penyeludupan manusia
yang merupakan salah satu skop AMMTC.

Namun begitu, menurut Laporan Pemerdagangan Manusia (2018), kerajaan


Malaysia tidak memenuhi standard minimum untuk penghapusan pemerdagangan orang.
Walau bagaimanapun, ia melakukan usaha penting untuk berbuat demikian. Menurut
laporan itu lagi, kerajaan menunjukkan usaha yang ketara dengan mensabitkan lebih
banyak pemerdagang orang, meningkatkan penguatkuasaan terhadap jenayah penahanan
pasport yang tidak dibenarkan, memberi lebih banyak mangsa kebebasan pergerakan,
menambah pembiayaan tiga kali ganda untuk NGO termasuk untuk tiga pusat
perlindungan yang dikendalikan oleh NGO, dan membuka mahkamah khusus yang
pertama untuk pemerdagangan orang. Selain itu, menurut laporan itu juga, kerajaan juga
meminda levi pekerja asing dan Akta Agensi Pekerjaan Swasta untuk mengalihkan beban
hutang daripada pekerja asing. Namun, secara keseluruhannya, kerajaan tidak
menunjukkan peningkatan usaha berbanding tahun sebelumnya. Usaha
antipemerdagangan orang turut terhalang akibat daripada penglibatan dalam kalangan
penguatkuasaan undang-undang. Apabila jenayah ini disiasat oleh pihak berkuasa,
pengawai yang bersalah biasanya terselamat daripada pendakwaan dan hukuman.
Kerajaan kurang mendakwa pemerdagang orang yang disyaki dari tahun sebelumnya.
Oleh itu, Malaysia diturunkan ke Senarai Pemerhatian Tingkat 2 (Laporan
Pemerdagangan Manusia 2018).

2.4 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)

Pembangunan sesebuah negara bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk negara
itu sahaja, malah memberi peluang kepada masyarakat luar yang sentiasa mencari
peluang pekerjaan. Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang membangun. Oleh
itu, pelbagai pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan dan ini telah membuka ruang
kepada masyarakat sekitar untuk mencari pekerjaan. Malaysia muncul sebagai salah
sebuah negara yang ekonominya maju di Asia (Newly Industrialised Country-NIC) dan
mampu memberi peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyatnya dan orang asing,
(Ramli Dollah, Kamarulnizam Abdullah (2017). Dalam membangunkan sesebuah negara
memerlukan sumber tenaga yang banyak, dan hal ini telah mendorong pihak kerajaan
mengalu-alukan pengambilan tenaga buruh dari negara-negara luar yang kebanyakannya

11
terdiri dari negara-negara yang rakyatnya ramai dan miskin. Sebagai contoh, Indonesia,
Nepal, Bangladesh, Myanmar, Pakistan, China dan beberapa buah negara lagi.

Pengambilan buruh-buruh dari luar ini telah ditetapkan prosedurnya oleh kerajaan
dalam mengelakkan berlakunya lebihan buruh dan masalah-masalah yang akan timbul.
Penubuhan Pusat Kelulusan (OSC), Pengurusan Pengambilan Pekerja Asing telah
meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh majikan. Penubuhan Pusat
Kelulusan Setempat (One Stop Centre – OSC) dalam mesyuarat JKK-PA ke-33 Bil.
2/2005 pada 5 Julai 2005 bagi memproses pemohonan majikan untuk mengambil pekerja
asing. Manakala, prosedur pengambilan pekerja asing melalui Pusat Kelulusan Setempat
(OSC) di Bahagian Pengurusan Pekerja Asing, Kementerian Dalam Negeri telah
dikuatkuasakan mulai 1Ogos 2005. Hanya sektor-sektor tertentu sahaja yang dibenarkan
untuk mengambil pekerja asing iaitu perkilangan, pembinaan, pertanian, perladangan,
perlombongan dan perkhidmatan.

Walaubagaimanapun, isu yang akan dibincangkan adalah berkaitan dengan


Pendatang Tanpa Izin (PATI) ke negara ini. Mengikut seksyen 55E (7) Akta Imigresen
1959/63 penadatang asing tanpa izin (PATI) ialah mana-mana orang, selain warganegara,
yang menyalahi seksyen 5, 6, 8, 9 dan 15 Akta tersebut dan Peraturan 39, Peraturan-
peraturan Imigresen 1963. Dalam dua tiga tahun kebelakangan ini telah banyak isu yang
dibangkit berkaitan dengan pekerja asing terutamanya yang datang secara haram ke
negara ini. Isu PATI ini adalah sebuah isu yang besar dalam negara kita dan ini boleh
disenaraikan sebagai satu ancaman kepada negara pada masa akan datang. PATI
merupakan salah satu ancaman keselamatan bukan tradisional yang melibatkan dua buah
negara atau lebih iaitu antara Malaysia dan juga negara yang rakyatnya menetap di
Malaysia. Kemasukkan PATI ini tidak mampu dikawal oleh kerajaan kerana ianya bukan
sesuatu yang mudah untuk dibendung. Kedatangan mereka bukan sahaja memenuhi
ruang pekerjaan yang kosong malah turut memberi tekanan dari sudut sosial dalam
masyarakat. Ianya memberi ancaman kepada kesejahteraan dan kepentingan rakyat
tempatan.

Negara telah dijajah oleh pendatang asing tanpa izin secara senyap. Itu adalah
kenyataan yang terbaharu yang dikeluarkan di dada akhbar. Hal ini terbukti dengan jelas
apabila kita pergi ke sesebuah tempat seperti pusat-pusat bandar diibaratkan kita sedang
menjelajah ke lain negara. Sebagai contoh, di Jalan Tunku Abdul Rahman dan kawasan

12
sekitarnya yang dibanjiri oleh warga Bangladesh dan beberapa warga asing lain. Malahan
ada dalam kalangan warga asing ini memandu di sekitar kawasan tersebut dan
kebanyakan kedai sudah diambil alih oleh warga asing yang menjual barangan dari
negara masing-masing dan juga mengusahakan restoran yang menyajikan masakan
mereka. Hal ini menimbulkan tanda tanya sama ada rakyat Malaysia kini lebih senang
segala kegiatan dalam negara diambil alih warga asing atau waraga asing tersebut terlalu
berani di negara ini.

Berdasarkan statistik Jabatan Imigresen Malaysia sehingga September tahun lalu,


jumlah pekerja asing yang bekerja di negara ini secara sah adalah 1.73 juta orang.
Sementara itu, Jabatan Perangkaan mengangarkan jumlah warga asing yang tinggal
secara sah pada tahun lalu 3.3 juta orang daripada keseluruhan 32 juta penduduk
Malaysia. Walaubagaimanapun, lebih ramai warga asing yang memasukki Malaysia
secara haram berbanding warga asing yang memiliki dokumen bekerja yang sah. Hal ini
juga turut disuarakan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Sekretariat Khidmat
Imigran (SKI). Berdasarkan statistik Sekretariat Khidmat Imigran (SKI), pada 2014 lebih
6.7 juta pekerja asing, bekerja dalam pelbagai sektor terutama pembinaan dan
perladangan dan daripada jumlah itu hanya 2.1 juta yang mempunyai permit halal.
Bermakna ketika itu terdapat 4.6 juta warga asing bekerja secara tidak sah di negara ini.

Walaubagaimanapun, jumlah pendatang tanpa izin di negara ini masih menjadi


tanda tanya yang masih tidak terjawab sehingga sekarang. Mungkin diluar sana jutaan
pendatang tanpa izin masih lagi bebas bergerak dan bekerja di negara ini kerana amat
mustahil warga asing terbabit pulang beramai-ramai ke negara masing-masing. Warga
asing yang telah membanjiri negara ini telah menimbulkan masalah kepada rakyat
terutamanya dari segi peluang pekerjaan dan tidak dapat dielakan dari ancaman
keselamatan. Warga asing terutamanya yang datang tanpa izin telah berani membuat
kegiatan-kegiatan jenayah di negara ini seperti merompak, membunuh, merogol dan
sebagainya. Jumlah mereka yang ramai seolah-olah mereka berada di negara mereka
sendiri. Masalah PATI ini boleh dikaitan dengan masalah dadah terutamanya HIV di
negara ini. Menurut pendedahan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja telah
mendapati kebanyakan pekerja asing telah dikesan pembawa virus HIV. Hal ini
menunjukan PATI ini bukan hanya memberi ancaman dari segi keselamatan sahaja malah
memberi impak kepada aspek kualiti kehidupan, sosial, budaya, kesihatan dan
sebagainya.

13
Masalah ini seharusnya dibanteras dengan segera tanpa memandang remeh.
Justeru, tidak hairanlah kerajaan sekarang menjadikan usaha membanteras pendatang
asing tanpa asing sebagai agenda utama. Susulan itu, bekas ketua Pengarah Jabatan
Imigresen Malaysia , Datuk Seri Mustafar Ali, mengambil serius isu lambakan pendatang
asing tanpa izin di negara ini melalui tindakan operasi dan penguatkuasaan berterusan
dengan menyasarkan 850 operasi setiap bulan, ( Berita Harian, Mac 2019). Sejak tahun
lalu telah banyak operasi yang dijalankan dalam membanteras PATI, namun hakikatnya
negara masih dibanjiri pendatang tanpa izin. Jika negara kita masih lagi dibanjiri
pendatang tanpa izin, mungkin kita akan sekali lagi dijajah secara senyap tanpa kita
sedari. Dalam isu ini, bukan hanya kerajaan yang perlu mengambil tindakan, sebagai
majikan kita seharusnya berhati-hati dan sentiasa mematuhi prosedur yang telah
ditetapkan bukan hanya memandang keuntungan semata-mata. Sebagai rakyat pula, kita
tidak seharusnya memberi peluang kepada warga asing untuk terlibat secara berlebihan
dalam sektor pekerjaan. Seharusnya kita merebut segala peluang yang ditawarkan oleh
kerajaan, sekali gus pengangguran juga dapat dikurangkan.

Kedudukan Malaysia yang berada ditengah-tengah antara negara-negara ASEAN


ini telah menyukarkan lagi Malaysia untuk mengatasi isu ini sekiranya tidak bekerjasama
dengan negara-negara ASEAN lain yang terlibat. Dalam menangani masalah PATI ini
Malaysia telah menyuarakan dalam sebuah mesyuarat di peringkat ASEAN iaitu
Mesyuarat Jawatankuasa Persidangan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), (Utusan,
9,2015). Dari segi keselamatan di perairan Malaysia telah menjalinkan kerjasama dengan
negara-negara jiran untuk mengawal kemasukan PATI secara haram ke Malaysia dan
apa-apa kegiatan jenayah yang melibatkan dua negara. Menurut Ruhanas Harun (2009),
kerjasama Filipina dan Malaysia dalam menjaga keselamatan perairan dan sempadan
bersama termasuklah penubuhan ‘Coordinated Maritime Patrol’ (Rondaan Maritim
Terkoordinasi) di sepanjang sempadan bersama kedua negara. Kerjasama antara
Malaysia dan Indonesia pula tidak terhad kepada kawalan di maritim sahaja, pelbagai
kerjasama dari sudut yang berlainan seperti darat, laut dan udara. Kawalan ini tidak
tertumpu kepada pengawalan PATI malah jenayah-jenayah lain juga. Operasi-operasi
yang dijalankan termasuklah pencegahan penyeludupan, pendatang haram, pencemaran
alam sekitar marin, pelanunan dan bantuan kemalangan, (Ruhanas Harun (2009).

14
3.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, ancaman keselamatan bukan tradisonal merupakan satu ancaman yang


perlu ditangani dan diambil tindakan segera secara tegas. Ancaman keselamatan bukan
tradisional yang melibatkan penyalahgunaan dadah, jerebu, pemerdagangan dan
penyeludupan manusia serta PATI memerlukan kerjasama yang erat di peringkat serantau
bagi menangani masalah ini. Hal ini demikian kerana ancaman ini melibatkan negara luar
di peringkat serantau mahupun antarabangsa dan akan menjejaskan keselamatan dan
kedaulatan negara. Sebagai contohnya, fenomena jerebu yang sering berlaku di Malaysia
akibat daripada asap pembakaran terbuka dari negara Indonesia merentas sempadan
negara. Masalah ini telah mendapat perhatian semua negara anggota ASEAN bagi
mengurangkan fenomena jerebu ini dengan menjalankan pelbagai usaha secara bersama.
Begitu juga dengan ancaman-ancaman keselamatan yang lain.

Oleh itu, penglibatan daripada semua pihak untuk menangani ancaman


keselamatan bukan tradisional ini sangat penting kerana semua negara tidak boleh
bertindak sendiri. Malaysia juga jelas menunjukkan komitmen yang sangat baik dalam
penglibatannya dengan negara-negara ASEAN yang lain bagi menangani ancaman
keselamatan bukan tradisional di Malaysia dan negara-negara serantau. Walaupun
terdapat pelbagai cabaran dalam usaha menanganinya, Malaysia haruslah sentiasa
berganding bahu dengan negara-negara anggota supaya ancaman-ancaman ini dapat
dikurangkan secara berkesan.

15

Anda mungkin juga menyukai